Berkata Imam Ali bin Abi Thalib, semoga Allah meridhoinya: Tidak ada kebaikan dalam ibadah tanpa pengetahuan dan tidak baik pula dalam pengetahuan tanpa memahaminya



Yüklə 3,73 Mb.
səhifə104/107
tarix18.04.2018
ölçüsü3,73 Mb.
#48892
1   ...   99   100   101   102   103   104   105   106   107

2377. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Biasanya apabila Rasulullah saw. hendak melakukan suatu perjalanan jauh, beliau mengadakan undian di antara para isteri beliau. Siapa yang menang undiannya dialah yang berhak ikut mendampingi Rasulullah saw. dalam perjalanan itu. Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengundi kami untuk ikut mendampingi beliau dalam suatu peperangan yang dipimpin beliau sendiri. Aku beruntung, kerana undian ku lah yang keluar sebagai pemenang. Kerana itu akulah yang berhak pergi bersama beliau. Peristiwa ini terjadi sesudah turunnya Ayat Hijab (lihat surat Ahzab, 33:53-59). Lalu aku dinaikkan ke dalam sebuah sekedup dan diturunkan dalam setiap perhentian (tanpa aku keluar tetapi sekedupnya yang diturun naikkan). Setelah selesai perang, Rasulullah saw. serta rombongan pulang kembali ke Madinah (membawa kemenangan). Hampir sampai ke Madinah, beliau memberi izin seluruh pasukan istirehat malam. Ketika istirehat itu, aku keluar dari sekedup dan berjalan menjauhi pasukan untuk buang hajat. Setelah selesai buang hajat aku segera kembali ke pasukan. Ketika aku menyentuh dada ku terasa kalung ku yang terbuat dari permata zhafar buatan Yaman telah putus. Kerana itu aku kembali mencari kalung ku sehingga aku terlambat kembali ke pasukan. Sedangkan para pengawal yang bertugas menjaga ku selama dalam perjalanan telah mengangkat sekedup ku dan menaikkannya ke punggung unta yang ku kendarai (tanpa memeriksa lebih dahulu apakah aku ada di dalam atau tidak) lalu mereka berangkat. Mereka menyangka bahwa aku berada dalam sekedup. Ketika itu berat badan ku sangat ringan. Sehingga kalaupun aku berada dalam sekedup, para pengawal tidak akan merasa lebih berat bila mereka mengangkat sekedup itu. Dan ketika itu aku masih merupakan wanita muda usia. Mereka terus berjalan menggiring unta ku (tanpa aku). Aku mendapatkan kalung ku

kembali setelah pasukan berjalan agak jauh. Ketika aku sampai di tempat peristirahatan, ku dapati di sana telah sepi. Aku memutuskan untuk tetap menunggu di tempat ku semula. Kerana aku berpendapat, bila rombongan tidak menemukan ku tentu mereka akan kembali mencari ku. Ketika aku duduk menunggu mereka di tempat itu, aku mengantuk dan tertidur. Kebetulan Shafwan bin Mu'aththal As Sulami ketinggalan pula oleh rombongan kerana dia tertidur. Ketika terbangun dia segera menyusul mereka dan lewat di



dekat tempat ku menunggu. Ketika dia terlihat sesusuk tubuh sedang tidur, dia menghampiri dan mengenali ku, dia memang sudah pernah melihat ku sebelum ayat hijab turun. Aku terbangun ketika dia dengan terkejut mengucapkan kalimah istirja' (inna lillaahi wa inna ilaihi raji'un) setelah dia mengenali ku. Dan aku segera menutup muka ku dengan jilbab (kain penutup muka). Demi Allah! Dia tidak pernah mengucapkan sepatah kalimat pun kepada ku selain kalimah istirja' yang menyebabkan aku terbangun. Dia segera menyuruh untanya merunduk, dan aku disilakannya menaiki kenderaan itu. Sedangkan dia sendiri berjalan kaki menuntun unta sampai induk pasukan tersusul oleh kami sesudah mereka berhenti berehat dari terik panas tengah hari. Tetapi sungguh celakalah orang yang sengaja membuat fitnah terhadap diri ku mengenai peristiwa itu, yang diprakarsai oleh pemimpin mereka 'Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah kami sampai di Madinah aku jatuh sakit sebulan lamanya. Sementara itu dalam masyarakat telah meluas khabar bohong mengenai diri ku. Sedangkan aku tidak tahu berita itu telah meluas sedemikian rupa kerana aku sedang sakit. Tetapi ada suatu hal yang membimbangkan ku, ialah sikap Rasulullah saw. yang tidak memperlihatkan kasih sayang seperti biasanya kalau aku sedang sakit. Beliau pernah datang menengok ku sekali, setelah memberi salam beliau bertanya, "Bagaimana keadaan mu?" Itulah yang membimbangkan ku. Aku tidak mengetahui sama sekali heboh mengenai diri ku, sampai pada suatu hari setelah aku agak sembuh, aku pergi bersama Ummu Misthah ke lapangan di pinggir kota untuk buang hajat. Kerana memang di sanalah tempat kami buang hajat. Dan kami tidak pergi ke sana kecuali hanya pada malam hari saja. Yang demikian itu ialah sebelum kami membuat tempat tertutup di sekitar rumah kami. Memang sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada masa dahulu, kalau buang hajat pergi ke lapangan di pinggir kota. Kerana mereka merasa jijik membuat tempat tertutup di sekitar rumah mereka. Ummu Misthah (nama aslinya Salma), ialah anak perempuan Abu Ruhma bin Muththalib bin Abdu Manaf. Sedangkan ibunya ialah anak perempuan Shakhar bin Amir bibi Abu Bakar Siddiq. Anak lelakinya ialah Misthah Ibnu Utsatsah bin Abbad bin Muththalib. Ketika kami pulang setelah selesai buang hajat, Ummu Misthah tersandung sandalnya lalu dia menyumpah: "Celaka si Misthah." katanya. Maka ku tegur dia, "Tidak baik berkata begitu. Bukanlah engkau memaki orang yang ikut dalam peperangan Badar?" Jawab Ummu Misthah, "Alangkah bodohnya engkau! Apakah engkau tidak mendengar apa yang dikatakannya?" Tanya ku, "Apa yang dikatakannya?" Dia menghabarkan kepada ku omongan tukang-tukang fitnah (yang memburuk-burukkan diri mu)." Semenjak aku mendengar berita Ummu Misthah itu, sakit ku semakin menjadi-jadi. Ketika Rasulullah saw. datang ke rumah ku, beliau memberi salam, lalu dia bertanya, "Bagaimana keadaan sakit mu?" Lalu aku bertanya kepada beliau, "Sudikah Tuan mengizinkan aku pulang ke rumah orang tua ku?" Kata 'Aisyah, "Sebenarnya aku ingin hendak menanyakan kepada orang tua ku kebenaran berita yang disampaikan Ummu Misthah kepada ku." Ternyata Rasulullah saw. mengizinkan ku, lalu aku pulang ke rumah orang tua ku dah bertanya kepada ibu ku, "Wahai ibu! Benarkah ada berita buruk yang dipercakapkan orang mengenai diri ku?" Jawab ibu, "Wahai anak ku sayang! Jangan engkau hiraukan. Demi Allah, jarang sekali wanita cantik yang disayangi suaminya, padahal dia mempunyai banyak madu yang tidak diomongi orang." "Subhanallah!" kata ku. "Kalau begitu, memang benarlah kiranya orang banyak mempercakapkan ku." Malam itu aku menangis semalam-malaman sampai Subuh. Air mata ku mengalir tak dapat ditahan dan aku tak dapat tidur kerananya. Sementara itu Rasulullah saw. memanggil Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid untuk bermusyawarah dengan mereka - kerana waktu itu wahyu terhenti - Beliau bermusyawarah dengan keduanya apakah beliau harus menceraikan ku atau tidak. Usamah bin Zaid menyatakan pendapatnya, bahwa dia tahu benar para isteri Rasulullah saw. semuanya suci (setia) dan dia tahu benar mereka semuanya mencintai Rasulullah saw. Katanya, "Mereka adalah para isteri Anda. Aku yakin benar bahwa semuanya adalah para isteri yang setia." Adapun 'Ali bin Thalib berkata, "Allah Ta'ala tidak akan mempersulit Anda. Masih banyak wanita selain dia ('Aisyah). Tika Anda menghendaki seorang gadis, tidak seorang pun yang akan menolak Anda." Kemudian beliau panggil pula Barirah (pembantu rumah tangga 'Aisyah), lalu beliau bertanya, "Hai Barirah! Adakah engkau melihat sesuatu yang mencurigakan mengenai diri 'Aisyah?" Jawab Barirah, "Demi Allah yang mengutus Anda dengan agama yang benar. Sungguh, aku tidak melihat sedikit pun yang mencemarkan dirinya, selain hanya dia itu seorang wanita muda yang manja, yang pergi tidur meninggalkan adonan kuih, lalu datang haiwan peliharaan (kucing atau kambing) memakan adonan itu." Kemudian Rasulullah saw. berpidato di mimbar, menyatakan keberatannya atas tuduhan yang diprarasai Abdullah bin Ubay bin Salul." Sabda beliau di mimbar, "Hai kaum muslimin! Siapakah di antara tuan-tuan yang setuju dengan penolakan ku atas tuduhan yang telah mencemarkan nama baik keluarga ku? Demi Allah, aku yakin keluarga ku bersih dari tuduhan kotor yang tidak benar itu. Mereka juga telah menyebut-nyebut seorang lelaki (Shafwan bin Mu'aththai As Sulami) yang aku yakin bahwa dia itu orang baik. Dia tidak pernah masuk ke rumah ku kecuali bersama ku." Maka berdirilah Sa'ad bin Mu'adz Al Anshari, lalu dia berkata, "Aku membela Anda dalam masalah ini, ya Rasulullah! Jika tuduhan itu datang dari suku Aus, kami penggal lehernya. Dan jika datangnya dari saudara-saudara kami suku Khazraj, kami menunggu perintah Anda. Apa yang Anda perintahkan segera kami laksanakan." Maka berdiri pula Sa'ad bin Ubadah, pemimpin suku Khazraj dan seorang yang shalih tetapi diperdayakan oleh rasa kesukuan. Lalu dia berkata kepada Sa'ad bin Mu'adz, "Engkau bohong! Demi Allah, engkau tidak boleh membunuhnya dan memang engkau tidak sanggup melakukannya." Maka bangun pula Usaid bin Hudhair, anak paman Sa'ad bin Mu'adz. Katanya kepada Sa'ad bin Ubadah, "Engkaulah yang bohong! Demi Allah! Kapan saja dan di mana saja kami sanggup membunuhnya! Engkau munafik, kerana engkau membela orang-orang munafik!" Pertengkaran antara suku Aus dan Khazraj itu menjadi hangat, sehingga hampir terjadi perkelahian antara mereka. Tetapi Rasulullah saw. yang masih berdiri di mimbar dapat menenangkan mereka sehingga mereka diam. Kata Aisyah selanjutnya, "Sehari-harian kerja ku hanya menangis dan menangis siang malam. Sehingga kedua orang tua ku cemas, kalau-kalau jantung ku pecah kerana menangis. Selama aku menangis, kedua orang tua ku selalu berada di samping ku. Tiba-tiba seorang perempuan Anshar minta izin hendak bertemu dengan ku, lalu ku izinkan dia masuk. Setelah dia masuk, dia pun menangisi ku (menambah kesedihan ku). Sementara itu Rasulullah saw. pun datang. Beliau memberi salam, lalu duduk di samping ku. Sejak berita bohong itu tersiar, beliau tidak pernah duduk di samping ku. Dan sudah sebulan wahyu tidak turun kepada beliau. Iaitu semenjak peristiwa ku ini. Ketika beliau duduk di samping ku, mula-mula beliau membaca tasyahhud. Kemudian beliau bersabda: "Hai 'Aisyah! Telah sampai kepada ku berita mengenai diri mu begini dan begitu. Jika engkau bersih dari tuduhan itu maka Allah Ta'ala akan membebaskanmu. Jika engkau memang berdosa, Minta ampunlah kepada Allah Ta'ala dan taubatlah kepadaNya. Kerana apabila seorang hamba sadar bahwa dia telah berdosa, kemudian dia taubat, nescaya Allah menerima taubatnya." Setelah ucapan beliau itu selesai diucapkannya, air mata ku mengambang dan tak tertahankan oleh ku dia jatuh berderai. Aku berkata kepada bapa ku. "Pak, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah." Jawab bapa ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku ucapkan kepada Rasulullah." Kemudian ku minta ibu ku, "Ibu, tolonglah aku menjawab sabda Rasulullah sebentar ini." Jawab ibu ku, "Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus ku katakan kepada Rasulullah." Maka terpaksalah aku sendiri yang harus menjawabnya. Kata ku, "Aku ini adalah seorang wanita muda usia yang belum banyak mengetahui isi Al Qur'an. Demi Allah! Sekarang aku telah tahu bahwa Anda telah mendengar berita mengenai tuduhan terhadap diri ku, sehingga tuduhan itu tertanam dalam diri Anda dan nampaknya Anda seperti membenarkan berita itu. Walaupun aku mengatakan kepada Anda aku bersih dari tuduhan itu - demi Allah, hanya Allah sajalah yang maha tahu bahwa aku memang bersih Anda tentu tidak akan mempercayai ku juga. Dan seandainya aku mengatakan bahwa aku telah bersalah dan berbuat dosa, - demi Allah, Dia jugalah yang Maha Tahu bahwa aku bersih lentil Anda akan mempercayainya. Demi Allah! Aku tidak memperoleh sebuah contoh pun yang paling tepat mengenai peristiwa ini, selain ucapan yang diucapkan Nabi Ya'qub, bapa Nabi Yusuf, katanya : Sabar jualah yang paling indah, dan hanya Allah sajalah tempat minta tolong atas segala tuduhan yang dituduhkan mereka." Kemudian aku berpaling dan berbaring di tempat tidur ku. Kata 'Aisyah selanjutnya, "Demi Allah! Aku benar-benar bersih dari tuduhan itu, dan aku yakin bahwa Allah Ta'ala akan membersihkan nama baik ku dari tuduhan itu. Namun sejauh itu demi Allah, aku tidak menduga sama sekali bahwa Allah akan menurunkan wahyu dalam kaitannya dengan kasus yang sedang ku hadapi ini. Sehingga akhirnya wahyu itu selalu kita baca. Kerana kasus itu sangat cemar terasa oleh ku dibanding dengan keagungan firman Allah Ta'ala yang selalu kita baca. Tetapi aku berharap semoga Rasulullah saw. dapat melihat dalam mimpi beliau, di mana Allah Ta'ala memperlihatkan kepada beliau bahwa aku sungguh-sungguh bersih. Maka demi Allah, belum lagi Rasulullah saw. meninggalkan tempat duduknya, dan belum seorang jua pun yang keluar dari rumah kami, Allah Ta'ala menurunkan wahyu kepada Nabinya. Terlihat Nabi saw. seperti orang yang keberatan memikul beban berat, sebagai biasanya bila wahyu sedang diturunkan kepada beliau, sehingga beliau bersimbah peluh. Ketika Wahyu telah selesai turun, Rasulullah saw. tertawa. Kalimat yang mula-mula diucapkannya ialah: "Gembiralah, wahai 'Aisyah! Allah Ta'ala telah mengatakan bahwa engkau sungguh-sungguh bersih dari tuduhan itu." Lalu berkata ibu ku kepada ku, "Bangunlah engkau, nak! Mintalah maaf kepada beliau!" Jawab ku, "Demi Allah! Aku tidak perlu minta maaf kepada beliau. Aku hanya wajib memuji Allah, kerana Dialah yang menurunkan wahyu yang menyatakan bahwa aku memang bersih dari tuduhan kotor itu. Wahyu itu tersebut turun dalam Al Qur'an, surat An Nur sebanyak sepuluh ayat: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong ini adalah dari golongan kamu juga (lihat An Nur, 24 : 11 20). Kata 'Aisyah selanjutnya, "Selama ini Misthah dibelanjai oleh (bapa ku) Abu 'Bakar Siddiq sebagai keluarga dekat bapa. Semenjak kasus itu terjadi, bapa ku bersumpah akan menghentikan bantuannya kepada Misthah untuk selama-lamanya. Maka turun pula wahyu yang melarang penghentian bantuan itu: "Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabatnya....sampai dengan...Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampuni mu?" (An Nur, 24:22). Berkata Hibhan bin Musa, kata Abdullah bin Muharak. "Inilah ayat yang istimewa di dalam kitab Allah." Maka berkata Abu Bakar, "Demi Allah! Aku lebih suka mendapat ampunan Allah Ta'ala." Maka nafkah untuk Misthah diteruskannya kembali. Dan aku tidak pernah menghentikan nafkah untuk Misthah sepeninggal beliau."

2378. Dari Zaid bin Arqam r.a. katanya: "Kami bepergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan di mana rombongan kami ditimpa kesulitan (berupa kelaparan). Maka berkata Abdullah bin Ubay (seorang tokoh munafik) kepada kawan-kawannya, "Jangan dibantu orang-orang yang setia kepada Rasulullah agar mereka lari daripadanya." Selanjutnya dia berkata pula. "Jika kita kembali ke Madinah, orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah." Kata Zaid, "Aku datang kepada Rasulullah saw. melaporkan ucapan-ucapan Abdullah bin Ubay tersebut." Beliau mengirim orang kepada Abdullah untuk memeriksa kebenaran laporan ku itu. Setelah ditanyakan, ternyata Abdullah tidak mengaku bahwa dia telah mengucapkan kata-katanya itu, bahkan dia bersumpah-sumpah. Katanya, "Si Zaid itu telah mendustai Rasulullah saw." Kata Zaid, "Aku mendapat

kesulitan sendiri kerana pengakuan Abdullah yang bohong itu. Tetapi akhirnya turun wahyu yang membenarkan ku, iaitu ayat: "Apabila datang kepada mu orang-orang munafik.." (Al Munafiqun, 63 : 1) Kata Zaid, "Kemudian mereka dipanggil oleh Nabi saw. untuk dimintakan ampun bagi mereka. Mereka menundukkan kepala bagaikan kayu-kayu tersandar." Kata Zaid, "Padahal mereka sebenarnya adalah para pemimpin terkemuka orang-orang munafik yang tampan."

2379. Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya : "Ketika 'Abdullah bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) dayang kepada Rasulullah saw. meminta jubah beliau untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. Kemudian dimintanya pula supaya Rasulullah saw. menyolatkan jenazah bapanya. Ketika beliau berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju beliau oleh 'Umar (bin Khaththab) seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Akan Anda solatkankah dia? Bukankah Allah telah melarang Anda menyolatkannya." Jawab beliau, "Aku diberi pilihan oleh Allah Ta'ala menyolatkan atau tidak. Lalu dibacanya ayat, "Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali (Taubah, 9:80). Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali." Kata 'Umar, "Dia munafik!" Tetapi Rasulullah saw. menyolatkannya juga. Kemudian Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di kuburannya.."(At Taubah, 9:84)

2380. Dari Ibnu Mas'ud r.a. katanya : "Ada tiga orang berkumpul dekat Ka'bah, dua orang dari suku Quraisy dan seorang lagi dari suku Tsaqafi atau sebaliknya. Ketiga-tiganya kurang terpelajar tetapi mereka gemuk-gemuk. Salah seorang di antara mereka bertanya kepada temannya, "Tahukah kamu bahwa Allah mendengar apa yang kita ucapkan?" Jawab yang lain, "Dia mendengar kalau kita bicara keras, dan tidak mendengar bila kita berbicara perlahan." Kata orang yang ketiga, Maka Dia mendengar bila kita berbicara keras tentu Dia mendengar juga bila kita berbicara perlahan." Lalu Allah Azza wa Jalla menurunkan ayat: "Kamu sekali-kali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan, dan kulitmu.. "(Fushshilat, 41 :22).2381. Dari Zaid bin Tsabit r.a. katanya: "Ketika Nabi saw. berangkat ke medan perang Uhud, beberapa orang yang ikut berangkat bersama-sama beliau pulang kembali di tengah perjalanan. Kerana itu para sahabat Nabi saw. berbeza pendapat mengenai mereka menjadi dua golongan: Sebagian mengatakan mereka harus diperangi dan sebagian lagi mengatakan jangan diperangi. Kerana itu turunlah ayat: "Mengapa kamu menjadi dua golongan dalam (menghadapi) orang-orang munafik.." (An Nisaa', 4:88).

2382. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Beberapa orang munafik pada masa Rasulullah saw., apabila beliau pergi berperang mereka tidak turut berperang dan merasa bangga dengan taktik mereka itu (untuk melemahkan kekuatan kaum muslimin). Apabila Rasulullah saw. telah kembali (membawa kemenangan dan harta rampasan perang), mereka mengemukakan alasan mereka masing-masing, mengapa mereka tidak turut berperang dan menguatkan alasannya dengan sumpah. Kemudian mereka ingin dipuji (seolah-olah merekalah yang pahlawan) padahal mereka tidak berbuat apa-apa. Kerana itu turunlah ayat : "Janganlah sekali-kali kamu mengaku bahwa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka ingin dipuji terhadap perbuatan yang tidak mereka kerjakan, janganlah kamu mengira bahwa mereka akan terlepas dari siksa." (Al Imran, 3:188).

2383. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Siapa mendaki bukit Murar hapus dosanya seperti Bani Israil." Kata Jabir, "Yang pertama-tama mendaki ialah kami dengan kuda Bani Khazraj, kemudian barulah semuanya habis mendaki." Sabda Rasulullah saw., "Kamu diampuni semuanya, kecuali penunggang unta merah." Maka kami datangi orang itu seraya berkata kepadanya, "Pergilah minta ampun kepada Rasulullah saw." Jawabnya, "Wallah! Mendapatkan untaku yang hilang lebih berharga bagi ku daripada minta ampun kepada kawanmu itu." Kata Jabir, "Orang itu memang sedang mencari untanya yang hilang."

2384. Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Perumpamaan orang munafik, seperti seekor kambing betina yang bingung mengikuti dua ekor kambing jantan. Sekali dia hendak mengikuti yang ini, kali yang lain hendak mengikuti yang itu."

2385. Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya seorang pendeta datang kepada Nabi saw. lalu dia berkata, "Ya, Muhammad! Kelak di hari kiamat Allah Ta'ala memegang langit, bumi, bukit/gunung-gunung, pohon-pohon, air, binatang-binatang, dan seluruh makhluk dengan anak jari-Nya (dengan mudahnya). Kemudian Dia goncang seluruhnya seraya berkata:

"Akulah Raja (penguasa)! Akulah Raja!" Rasulullah saw. tertawa mendengar perkataan pendeta itu dan membenarkannya. Kemudian beliau membaca ayat: "Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung-Nya dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan." (Az Zumar, 39:67)

2386. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kelak di hari kiamat Allah Tabaraka wa Ta'ala akan menggenggam bumi dan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya." Kemudian Dia berfirman : "Akulah Raja (penguasa)! Mana dia raja-raja di bumi?"

2387. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Kelak hari kiamat Allah 'Azza wa Jalla akan menggulung langit, kemudian dipegang-Nya dengan tangan kanan seraya berkata, "Akulah Maharaja Maha Kuasa! Ke mana orang-orang yang sewenang-wenang, ke mana orang-orang yang sombong? Kemudian digulung-Nya bumi dengan tangan kiri-Nya seraya berkata, "Akulah Maharaja Maha Kuasa! Kemana orang-orang yang sewenang-wenang, kemana orang-orang yang sombong?"

2388. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. memegang tangannya, lalu beliau bersabda: "Allah Azza wa Jalla menjadikan tanah pada hari Sabtu, menancapkan gunung pada hari Ahad, menumbuhkan pohon-pohon pada hari Isnin, menjadikan bahan-bahan mineral pada hari Selasa, menjadikan cahaya pada hari Rabu, menebarkan binatang pada hari Khamis, dan menjadikan Adam Alaihissalam sesudah 'Ashar pada hari Juma'at setelah selesai tercipta seluruh makhluk dan pada saat terakhir di hari Juma'at antara 'Ashar dan malam."2389. Dari Sahal bin Sa'ad r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kelak di hari kiamat umat manusia di kumpulkan di suatu lapangan tanah yang putih mengkilat bagaikan seloka tanpa tanda-tanda penunjuk."

2390. Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Aku bertanya kepada Rasulullah saw. tentang firman Allah 'Azza wa Jalla: "Pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan (begitu pula langit)..." (Ibrahim, 14:48), maka di manakah umat manusia ketika itu, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Di Titian!" 2391. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Seandainya ada sepuluh orang Pendeta Yahudi yang sungguh-sungguh iman dengan ku, tidak seorang jua pun orang-orang Yahudi yang tinggal, melainkan mereka masuk Islam semuanya."

2392. Dari Abdullah r.a. katanya: "Pada suatu ketika aku berjalan-jalan bersama Nabi saw. di sebidang kebun, beliau bertongkat pelepah kurma. Tiba-tiba lewat serombongan orang-orang Yahudi. Setengah mereka berkata kepada yang lain, "Tanyakanlah kepadanya (Nabi saw.) masalah ruh!" Kata yang lain, "Tidak ada faedahnya ditanya kepadanya. Nescaya jawapannya akan menjengkelkanmu." Kata yang lain pula, "Tanya sajalah!" Maka datanglah sebagian mereka kepada beliau menanyakan perihal ruh.

Kata Abdullah, (Setelah mendengar pertanyaan mereka) Rasulullah saw. terdiam, tidak langsung menjawab apa-apa. Aku tahu ketika itu beliau sedang mendapat wahyu. Kerana itu aku tetap saja di tempatku. Setelah wahyu selesai turun, beliau membaca ayat: "Dan mereka bertanya kepada mu perihal ruh. Katakanlah ruh itu urusan Tuhan ku dan kamu tidak diberi pengetahuan tentang masalah itu melainkan hanya sedikit." (Al Isra,7:85).

2393. Dari Khabbab r.a. katanya : "Aku mempunyai piutang pada Ash bin Wail. Kerana itu aku mendatanginya untuk menagih." Jawab 'Ash kepada ku, "Aku tidak akan membayar sebelum engkau kafir dengan Muhammad." Jawab ku, "Aku sekali-kali tidak akan kafir kepadanya sampai mati, kemudian sampai berbangkit." Kata 'Ash bin Wail, "Aku juga akan dibangkit kembali sesudah mati, kerana itu akan kubayar kelak kepada mu bila aku telah menemukan harta dan anak-anakku." Sesudah itu turunlah ayat ini : "Sudah tahukah kamu bahwa orang-orang yang kafir dengan ayat-ayat Kami berkata, pasti aku akan diberi harta dan anak " (Mariam, 19 : 77).

2394. Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Abu Jahil bertanya kepada kawan-kawannya, "Betulkah Muhammad menyentuhkan mukanya (ke tanah ketika sujud) di hadapan kalian?" Jawab kawannya, "Betul." Kata Abu Jahil, "Demi Lata dan 'Uzza. Jika kulihat dia berbuat seperti itu di hadapanku, akan kuinjak Kuduknya, atau kutempelkan mukanya ke tanah." Kemudian didatanginya Rasulullah saw. ketika beliau sedang solat dengan maksud hendak menginjak kuduk beliau. Setelah dihampirinya, ternyata dia tidak sanggup melakukannya. Bahkan dia mundur sambil menutup muka dengan tangannya. Lalu dia ditanya oleh kawan-kawannya, "Mengapa engkau?" Jawab Abu Jahil, "Mengerikan! Ada dinding api menjilat-jilat." Sabda Rasulullah saw., "Seandainya dia tambah mendekat kepada ku, nescaya tubuhnya dicopoti satu demi satu oleh malaikat." Maka turunlah ayat: "Ketahuilah, (Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya cukup. Sesungguhnya kepada Tuhan mu sajalah kamu kembali Bagaimana pendapatmu tentang orang-orang yang melarang seorang hamba bila dia solat, bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran, atau dia menyuruh taqwa; dan bagaimana pendapatmu jika dia (yakni Abu Jahil) mendustakan atau berpaling? Tidakkah dia tahu bahwa sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, iaitu ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk memenangkannya) ; Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah. Sekali-kali janganlah kamu mematuhinya (takut kepadanya). Tetapi haruslah sujud dan mendekatkan diri kepada Tuhan mu!"(Al 'Alaq,96: 6-9).


Yüklə 3,73 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   99   100   101   102   103   104   105   106   107




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin