1918. Dari Ummu Salamah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila kamu melihat bulan Zulhijjah telah terbit, dan kamu bermaksud tidak menyembelih kurban, maka janganlah kamu mencukur rambut dan jangan memotong kuku (hingga selesai menyembelih)."
1919. Dari Abu Thufail r.a. katanya 'Ali (bin Abi Thalib) ditanya orang: "Adakah Rasulullah saw. mengistimewakan Anda dengan sesuatu?" Jawab Ali, "Rasulullah saw. tidak pernah mengistimewakan ku dengan sesuatu yang tidak diumumkannya kepada orang ramai, kecuali mengenai yang ada dalam tempat isian pedang ku ini." Kemudian dia mengeluarkan sebuah catatan, di mana tertulis di dalamnya: Allah mengutuk orang yang menyembelih dengan menyebut selain nama Allah, dan mengutuk orang yang mencuri (memindahkan) tanda-tanda batas tanah, dan mengutuk orang yang mencaci ibu-bapanya, dan mengutuk orang yang melindungi tindak kejahatan."
1920. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Aku bertugas menjadi pelayan menuangkan minuman kepada para tamu di rumah, Abu Thalhah pada hari minuman khamar (minuman keras) diharamkan Allah Ta'ala. Minuman mereka terbuat dari campuran kurma muda (al busr) dan kurma kering (at tamr). Tiba-tiba terdengar orang meneriakkan suatu pengumuman. "Keluarlah dan dengarkan!" kata Abu Thalhah. Lalu aku pergi ke luar, kiranya orang mengumumkan suatu pengumuman: "Perhatian! Sesungguhnya khamar telah diharamkan!" Kulihat di jalan-jalan mengalir minuman keras. Kata Abu Thalhah kepada ku, "Keluarlah! Tumpahkan minuman itu!" Lalu kutumpahkan minuman itu semuanya.
1921. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah mengharamkan khamar. Ketika itu di Madinah tidak ada khamar (minuman keras) kecuali yang terbuat dari tamar (kurma)."
1922. Dari Anas r.a. katanya Nabi saw. ditanya orang tentang khamar yang telah menjadi cuka. Jawab beliau, "Tidak mengapa!"
1923. Dari Thariq bin Suwaid Al Ja'fi r.a. katanya dia bertanya kepada Rasulullah saw. tentang masalah khamar. Maka Rasulullah saw. melarang membuatnya. Tanya Thariq, "Aku membuatnya hanya untuk ubat." Sabda Nabi saw., "Khamar itu bukan ubat tetapi penyakit."
1924. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Khamar terbuat dari dua macam (buah) pohon ini, iaitu kurma dan anggur."
1925. Dari Jabir bin Abdullah Al Anshari r.a. katanya: "Rasulullah saw. melarang mencampurkan anggur kering dengan kurma, dan kurma muda dengan kurma kering."
1926. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa-siapa di antara kamu yang minum nabidz (perahan dari buah anggur atau buah kurma) maka hendaklah diminumnya anggur saja, atau kurma saja, atau kurma muda saja."
1927. Dari 'Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang bit'i (minuman keras terbuat dari madu). Jawab beliau, "Setiap minuman yang memabukkan, haram."
1928. Dari Abu Musa r.a. katanya: "Nabi saw. mengutus ku ke negeri Yaman bersama-sama dengan Mu'adz bin Jabal. Aku bertanya kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Di negeri (tempat kami bertugas) ada dua macam minuman yang disebut "mizr" terbuat dari gandum, dan "bit'i" terbuat dari madu. Bagaimana itu?" Jawab Rasulullah saw., "Setiap minuman yang memabukkan, haram."
1929. Dari Jabir r.a. katanya: "Seorang lelaki dari Jaisyan, sebuah negeri di wilayah Yaman datang kepada Nabi saw. lalu dia bertanya tentang jenis minuman yang dibuat orang di negerinya yang disebut "mizr" terbuat dari jagung. Tanya Nabi saw. "Apakah minuman itu memabukkan?" Jawabnya, "Ya, memabukkan." Sabda Rasulullah saw., "Setiap minuman yang memabukkan haram. Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah menjanjikan bagi orang yang meminum minuman memabukkan akan diberiNya (kelak di akhirat) sejenis minuman terbuat dari "thinatil khabal". Lalu para sahabat bertanya. "Ya, Rasulullah! Apa itu thinalil khabal?" Jawab beliau, "Keringat penduduk neraka."
1930. Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Setiap yang memabukkan adalah khamar, dan setiap yang memabukkan adalah haram. Siapa yang minum khamar di dunia lalu dia mati, sedangkan dia telah terbiasa dan belum taubat, maka dia tidak dapat meminumnya nanti di akhirat."
1931. Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: "Rasulullah saw. pernah dibuatkan anggur oleh seseorang pada awal malam (waktu senja), lalu beliau minum esok paginya, kemudian malam harinya, kemudian esok paginya lagi hingga 'Ashar. Sesudah itu bila masih ada sisanya disuruh beliau tumpahkan oleh khadamnya."1932. Dari Al Bara' r.a. katanya: "Tatkala Rasulullah saw. berangkat dari Makkah hijrah ke Madinah, beliau diikuti oleh Suraqah bin Malik bin Ju'syum. Rasulullah saw. mendoa supaya Suraqah dihalangi Allah (agar beliau lolos dari kejarannya). Maka dengan seketika kaki kuda Suraqah terbenam ke dalam tanah (sehingga Suraqah terguling dan kudanya tidak dapat bergerak apalagi lari kencang). Kata Suraqah, "Doakanlah aku kepada Allah (supaya aku dan kudaku bebas), Aku berjanji tidak akan mencelakai Anda." Lalu dia didoakan beliau, maka bebaslah dia seketika itu juga. Ketika Nabi saw. meneruskan perjalanannya berdua dengan Abu Bakar beliau merasa haus. Namun mereka bertemu dengan pengembala biri-biri. Kata Abu Bakar Shiddiq, "Maka kuambil mangkok lalu kuperah susu sedikit, kemudian kuberikan kepada beliau. Beliau meminum susu itu, sehingga aku merasa lega kerananya."
1933. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Pada malam terjadinya Isra' dan Mikraj, di Baitul Maqdis (Illiya) beliau disuruhi dua gelas minuman masing-masing berisi khamar dan susu. Setelah beliau meneliti kedua gelas itu. Maka beliau ambil gelas berisi susu. Kata Jibril, "Segala puji bagi Allah yang menunjuki Anda memilih yang suci. Seandainya Anda mengambil khamar, nescaya sesatlah umatmu."
1934. Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tutuplah bejanamu, tutup tempayan, kunci pintu dan padamkan lampu (ketika hendak tidur), karena syaitan tidak pandai membuka tutup tempayan, tidak pandai membuka pintu, dan tidak pandai membuka tutup bejana. Jika kamu tidak mempunyai tutup segalanya, boleh bentangkan pada bejananya sepotong kayu sambil menyebut nama Allah. Lakukanlah yang demikian kerana si penjahat kecil (tikus, kecoak dan sebagainya) dapat menyalakan api sehingga membakar rumah mereka."
1935. Dari Jabir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tutuplah bejana, tutup tempayan, kerana pada suatu malam dalam setahun penyakit menular berjangkit. Setiap bejana atau tempayan yang didapatinya tidak tertutup, nescaya bibit penyakit itu akan hinggap ke dalam bejana itu."
1936. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah, kerana ketika itu syaitan berkeliaran. Satu jam sesudah itu bila telah malam biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang terkunci (dengan menyebut nama Allah). Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejanamu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dan padamkan lampu (ketika hendak tidur)."
1937. Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja." 1938. Dari Abu Musa r.a. katanya : "Pada suatu malam sebuah rumah penduduk Madinah terbakar. Ketika peristiwa itu dikhabarkan orang kepada Rasulullah saw., beliau berkata: "Api itu sesungguhnya musuh bagi mu kerana itu apabila kamu hendak tidur padamkanlah lebih dahulu!"
1939. Dari Hudzaifah r.a. katanya: "Apabila kami makan bersama-sama Rasulullah saw., kami belum mengulurkan tangan (mengambil makanan yang dihidangkan sebelum Rasululah saw. memulainya. Pada suatu hari kami akan bersama-sama beliau tiba-tiba datang seorang gadis kecil. Seperti didorong dia menjangkaukan tangannya hendak mengambil makanan, tetapi segera ditangkap Rasulullah saw. Kemudian datang pula seorang Arab dusun, dia seperti didorong mengulurkan tangannya. Lalu ditangkap pula oleh beliau. Maka bersabda Rasulullah saw.. "Hanya syaitan yang menghalalkan makanan tanpa menyebut nama Allah memakannya. Dia datang bersama gadis dan orang dusun ini hendak turut makan bersama-sama mereka. Demi Allah yang jiwaku dalam kuasa-Nya. sesungguhnya tangan syaitan itu ada di kedua tangan orang dusun dan gadis itu."1940. Dari Jabir bin 'Abdullah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Apabila seseorang membaca Basmalah ketika hendak masuk rumah dan ketika hendak makan, maka berkata syaitan kepada kawannya. "Malam ini tidak ada tempat kalian bermalam dan tidak ada pula makan malam. Apabila orang itu tidak menyebut Basmalah ketika hendak masuk rumahnya, maka berkata syaitan (kepada kawan-kawannya), "Malam ini kalian mendapat tempat bermalam." Dan apabila dia tidak menyebut Basmalah ketika hendak makan, berkata pula syaitan kepada kawan-kawannya, "Sekarang kamu dapat tempat serta makan malam."
1941. Dari Jabir r.a. dari Rasulullah saw. sabdanya: "Janganlah kamu makan dengan tangan kiri, kerana hanya syaitan yang makan dengan tangan kiri."
1942. Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila kamu makan dan minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan, kerana hanya syaitan yang makan minum dengan tangan kiri."1943. Dari Iyas bin Salamah bin Akwa' r.a., dia mengatakan bahwa bapanya menceritakan kepadanya, "Seorang lelaki makan dekat Rasulullah saw. dengan tangan kiri. Maka bersabda beliau kepadanya, "Makanlah dengan tangan kanan!" Jawab orang itu, "Aku tidak bisa!" Sabda Nabi saw., "Tidak bisa? Tidak ada orang yang melarangmu melainkan perasaan sombongmu." Kata Iyas, " Orang itu benar-benar menjadi tidak dapat mengangkat tangan ke mulutnya."
1944. Dari 'Umar bin Abu Salamah r.a. katanya: "Aku pernah tinggal di rumah Rasulullah saw., (kalau makan) tangan ku bergelak kian-kemari (mengambil makanan). Maka bersabda beliau kepada ku. "Hai anak muda! Bila kamu hendak makan sebutlah nama Allah lebih dahulu. Gunakanlah tangan kananmu dan ambillah makanan yang terhidang di dekatmu!"
1945. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. melarang menunggingkan teko, kemudian minum dari mulut teko tersebut."
1946. Dari Anas r.a., dari Nabi saw., bahwasanya beliau pernah melarang seorang lelaki minum sambil berdiri. Kata Qatadah, lalu kami bertanya: "Kalau makan?" Jawab Anas, "Itu lebih buruk dan lebih keji."
1947. Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya : "Aku pernah menuangkan air
untuk Rasulullah saw. di sumur Zam-zam, lalu beliau minum. Padahal beliau sedang berdiri."1948. Dari Abdullah bin Abi Qatadah r.a., dari bapanya katanya: "Bahwasanya Nabi saw. pernah melarang meniupkan nafas ke dalam bejana."
1949. Dari Anas r.a. katanya: "Bahwasanya Rasulullah saw. pernah meniup ke dalam bejana tiga kali."1950. Dari Anas r.a. katanya: "Bahwasanya Rasulullah saw. pernah meniup ke dalam minuman tiga kali. Kata beliau. "Itu lebih elok, lebih baik dan lebih bagus." Kata Anas, "Kerana itu aku meniup tiga kali setiap minum."
1951. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Rasulullah saw. disuguhi orang susu campur air. Di sebelah kanan beliau ada seorang Arab dusun di kirinya Abu Bakar Shiddiq. Setelah beliau minum lalu beliau berikan (sisanya) kepada orang Arab dusun sambil berkata, "Tolong edarkan ke kanan!"1952. Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a. katanya: "Rasulullah saw. pernah diberi minuman oleh seseorang, lalu diminumnya sebahagian. Di sebelah kanan beliau ada seorang anak muda remaja sedang di kiri beliau beberapa orang tua. Beliau bertanya kepada anak muda tersebut. "Engkau izinkankah aku memberi minuman ini kepada orang-orang tua itu." Jawab anak muda, "Tidak! Demi Allah, aku tidak akan mengalah kepada siapa pun terhadap bagianku dari pemberian Anda." Lalu beliau berikan minuman itu kepada anak muda tersebut."
1953. Dari Ka'ab Ibnu Malik r.a. katanya: "Aku pernah melihat Nabi saw. mengulum jari-jari beliau tiga kali sesudah makan."
1954. Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila suapanmu jatuh, ambillah kembali lalu buang bahagian yang kotor dan makanlah bahagian yang bersih. Jangan dibiarkan dia dimakan syaitan, dan jangan kamu sapu tanganmu dengan lap sebelum kamu kulum jarimu. Kerana kamu tidak tahu makanan mana yang membawa berkah."1955. Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a. katanya: "Ada seorang lelaki Anshar bernama Abu Syu'aib, dia mempunyai seorang pelayan tukang daging. Pada suatu hari Abu Syu'aib melihat Rasulullah saw. Dia tahu dari wajah beliau bahwa beliau sedang lapar. Maka berkata Abu Syu'aib kepada pelayannya. "Kasihan! Siapkan hidangan untuk lima orang. Aku hendak mengundang Rasulullah saw. beserta empat orang lainnya. Setelah hidangan tersedia, Nabi saw. pun tiba beserta empat orang lainnya dan seorang lagi mengikuti mereka. Tatkala sampai di pintu Nabi saw. berkata, "Kawan ini mengikuti kami. Jika engkau izinkan dia turut makan, silakan. Jika tidak, biarlah dia kembali," Jawab Abu Syuaib, "Jangan, tentu aku izinkan, ya Rasulullah!"
1956. Dari Anas r.a. katanya: "Rasulullah saw. mempunyai tetangga
seorang bangsa Persia pandai masak. Pada suatu hari dia memasak hidangan untuk Rasulullah saw. Setelah tersedia maka dia datang mengundang beliau. Tanya beliau. "Aisyah bagaimana?" Jawab orang itu. "Dia tidak!" Kata Rasulullah saw. "Kalau begitu aku juga tidak!" Orang itu mengulangi undangannya kembali. Kata Rasulullah saw. "Aisyah bagaimana?" Jawab orang itu. "Dia tidak!" Kata Rasulullah saw., "Kalau begitu aku juga tidak!" Kemudian orang itu mengulangi undangannya pula. Tanya Nabi saw., "Aisyah bagaimana?" Jawab orang itu pada kali ketiga, "Ya, Aisyah juga." Maka pergilah mereka berdua beriringan ke rumah tetangga yang orang Persia itu."
1957. Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Pada suatu malam Rasulullah saw. pergi keluar rumah, tiba-tiba beliau bertemu dengan Abu Bakar dan Umar. Lalu bertanya beliau, "Mengapa Anda keduanya keluar rumah malam-malam begini?" Jawab mereka, "Kami lapar, ya Rasulullah!" Kata Rasulullah saw., "Demi Allah yang jiwaku dalam kuasa-Nya, aku juga keluar kerana lapar seperti Anda. Marilah!" Mereka pergi mengikutkan beliau ke rumah seorang lelaki Anshar (Abu Haitsam Malik bin Taihan). Sayang dia sedang tidak ada di rumah. Tetapi tatkala isterinya melihat Rasulullah saw. datang, dia mengucapkan Marhaban wa Ahlan (Selamat datang). Maka bertanya Rasulullah saw. "Kemana si Fulan (Abu Haitsam)?" Jawab isterinya. "Dia sedang mengambil air tawar untuk kami." Tiba-tiba suaminya datang dan melihat Rasulullah saw. beserta dua sahabat beliau, maka dia berkata, "Alhamdulillah, tidak ada orang yang lebih bahagia dari ku hari ini kerana kedatangan tamu yang mulia." Lalu dia pergi mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang masih muda, yang mulai masak dan yang sudah masak betul. Katanya, "Silakan dimakan ini," sambil dia mengambil pisau. Nabi saw. berkata. "Jangan dipotong yang mempunyai susu." Maka dipotongnya seekor kambing lalu mereka makan kambing, makan kurma setandan, dan minum susu. Setelah semuanya kenyang dan puas makan minum. Rasulullah saw. berkata kepada Abu Bakar dan Umar, "Demi Allah yang jiwaku berada dalam kuasa-Nya, kamu akan ditanya kelak pada hari kiamat tentang nikmat yang kamu peroleh ini. Kamu keluar dari rumah kerana lapar dan pulang sesudah memperoleh nikmat ini."
1958. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Tatkala penggalian parit pertahanan Khandaq sedang dilaksanakan, aku melihat Rasulullah saw. lapar. Kerana itu aku kembali kepada isteri ku, menanyakan kepadanya, "Adakah engkau mempunyai makanan? Aku melihat Rasulullah saw. telah lapar." Maka dikeluarkannya sebuah karung, di dalamnya terdapat segantang gandum. Di samping itu kami mempunyai seekor kambing muda. Maka ku sembelih kambing itu dan isteri ku menggiling tepung. Setelah isteri ku selesai pekerjaannya, aku pun telah selesai dari pekerjaan ku. Lalu ku potong-potong kambing itu dan ku masukkan ke dalam kuali. Kemudian aku pergi kepada Rasulullah saw. (mengundangnya datang untuk makan ke rumah). Sementara itu isteri ku berkata kepada ku, "Engkau jangan memalukan aku kepada Rasulullah saw. dan para sahabat beliau." Maka ku temui beliau seraya berbisik kepadanya, "Ya, Rasulullah! Aku menyembelih seekor kambing muda kepunyaan kami, dan isteri ku telah menggiling segantang gandum yang ada pada kami. Kerana itu sudilah Anda datang makan bersama-sama dengan beberapa orang sahabat." Maka berteriak Rasulullah saw., "Hai orang-orang Khandaq! Jabir membuat hidangan untuk kamu semua. Marilah kita makan bersama-sama!" Sementara itu Rasulullah saw. berkata kepada Jabir, "Jangan kamu turunkan kualimu dan jangan dimasak dulu adunan rotimu sebelum aku datang." Lalu aku pulang. Tidak lama kemudian Rasulullah pun datang diikuti orang ramai. Ketika ku temui isteri ku dia menyesali ku, katanya, "Bagaimana engkau! Bagaimana engkau!" Jawab ku, "Aku telah lakukan apa yang engkau pesankan kepada ku." Maka kukeluarkan adunan roti kami, lalu diberkati oleh Rasulullah saw. Kemudian beliau menuju ke kuali (tempat memasak kambing), maka diberkati pula oleh beliau. Sesudah itu beliau berkata kepada isteri ku. "Panggillah tukang roti untuk membantumu memasak. Nanti isikan gulai ke mangkok langsung dari kuali dan sekali-kali jangan diturunkan kualimu itu." Mereka semuanya berjumlah seribu orang. Aku bersumpah dengan menyebut nama Allah, semuanya turut makan dan setelah itu mereka pergi. Tetapi kuali kami masih tetap penuh berisi seperti semula. Sedangkan adunan masih tersedia pula sebanyak semula."
1959. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Abu Thalhah menyuruh ku mendatangi Rasulullah saw. untuk mengundang beliau makan ke rumahnya, dan Abu Thalhah telah menyediakan hidangan. Lalu aku pergi mengundang beliau. Kudapati beliau sedang bersama-sama orang ramai. Beliau menengok kepada ku sehingga aku malu kerananya. Lalu kataku, "Abu Thalhah mengundang Anda makan ke rumahnya, sudilah Anda memperkenankan!" Maka berkata beliau kepada orang ramai, "Berdirilah semuanya!" Kata Abu Thalhah, "Ya, Rasulullah! Aku hanya menyediakan makanan untuk Anda seorang." Lalu beliau jamah makanan yang tersedia itu dan mendoakan berkat bagi makanan tersebut. Kemudian beliau berkata, "Suruh masuk kawan-kawan itu sepuluh orang." Kata beliau, "Makanlah Tuan-tuan!" Dari sela-sela jari beliau keluar sesuatu (berupa makanan), maka makanlah mereka sampai kenyang, sesudah itu mereka keluar. Kata beliau. "Suruh masuk sepuluh orang lagi." Mereka makan pula sampai kenyang. Begitulah seterusnya secara bergantian mereka masuk sepuluh orang dan keluar sepuluh orang, sehingga tidak seorang pun yang ketinggalan. Semuanya masuk dan makan sampai kenyang. Kemudian ternyata makanan masih bersisa sebanyak semula."
1960. Dari Abdullah bin Ja'far r.a., katanya: "Aku pernah melihat Rasulullah saw. memakan mentimun dengan kurma yang baru masak."
1961. Dari 'Amir bin Sa'ad bin Abi Waqqash, dari bapanya r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa memakan tujuh buah kurma yang tumbuh di tanah berbatu-batu hitam (di Madinah) pagi-pagi, dia tidak akan celaka oleh racun sampai petang."
1962. Dari 'Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya kurma (dari jenis yang baik) yang tumbuh di dataran tinggi Madinah mengandung ubat."
1963. Dari Sa'id bin Yalid bin 'Amru bin Nufail r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Al Kam-at (cendawan) adalah sejenis manna (sejenis makanan) yang diturunkan Allah Ta'ala kepada Bani Israil, airnya mengandung ubat bagi penyakit mata."
1964. Dari Jabir Ibnu Abdullah r.a. katanya: "Pada suatu ketika aku sedang duduk di rumah ku, tiba-tiba lewat Rasulullah saw. Beliau memberi isyarat kepada ku lalu aku berdiri menemui beliau. Beliau memegang tangan ku (mengajak ku pergi bersama beliau). Kami berjalan hingga sampai ke rumah salah seorang isteri beliau. Beliau masuk dan menyilakan ku pula masuk. Kerana aku masuk sampai ruangan dalam. Beliau bertanya kepada isterinya. "Adakah kamu sedia makanan?" Jawab mereka, "Ada." Maka dibawanya tiga buah roti lalu dihidangkannya ke hadapan Rasulullah saw. Beliau ambil sebuah lagi lalu diletakkannya ke tangan ku. Sesudah itu dipatahkan yang ketiga, separuhnya diambil oleh beliau dan separuhnya lagi diletakkannya ke tangan ku. Kemudian beliau bertanya. "Tidak ada sambal?" Jawab mereka. "Tidak ada apa-apa selain cuka." Kata beliau, "Bawalah kemari! Sambal cuka juga enak!"
1965. Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a. katanya: "Apabila beliau diberi makanan oleh seseorang, beliau makan dan sebahagian lagi diberikannya kepada ku. Pada suatu hari beliau memberikan makanan yang tidak dimakannya kepada ku kerana di dalamnya ada bawang putih. Lalu kutanya, "Apakah bawang putih itu haram?" Jawab beliau. "Tidak! Tetapi aku tidak suka kerana baunya." Kata Abu Ayyub, "Kalau begitu aku juga tidak suka apa yang Anda tidak sukai."
1966. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar." Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan. Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air. Begitulah jawapan mereka masing-masing. Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala." Maka berdirilah seorang lelaki Anshar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!" Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?" Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak." Katanya, "Pujuklah mereka dengan apa saja. Bila tamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahwa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan. Maka duduklah mereka dan sang tamu pun makanlah. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tamu kalian tadi malam."
1967. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki Anshar kedatangan tamu dan bermalam di rumahnya. Padahal dia tidak mempunyai makanan selain makanan anak-anaknya. Maka berkata dia kepada isterinya. "Tidurkan anak-anak dan padamkan lampu. Sesudah itu suguhkan kepada tamu kita apa adanya." Kata Abu Hurairah. "Kerana peristiwa itu maka turunlah ayat: "Dan mereka lebih mementingkan tamu dari diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan. (Al Hasyar. 59:9)
1968. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Makanan seorang cukup untuk dua orang makanan dua orang cukup untuk empat orang, dan makanan empat orang cukup untuk lapan orang."
1969. Dari Ibnu 'Umar r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Orang-orang kafir makan dengan tujuh perut, dan orang mukmin makan dengan sebuah perut."
1970. Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Rasulullah saw. kedatangan seorang tamu orang kafir. Rasulullah saw. menyuruh perah seekor kambing untuk sang tamu lalu diminum habis oleh tamu tersebut. Kemudian beliau suruh perah seekor lagi lalu diminumnya habis pula. Kemudian disuruhnya perah seekor lagi habis pula diminumnya sehingga akhirnya dia meminum habis susu tujuh ekor kambing. Esok pagi dia masuk Islam. Rasulullah memerintahkan supaya diperah seekor kambing untuknya. Susu itu diminumnya habis. Kemudian disuruh Nabi supaya diperah seekor lagi lalu diberikan pula kepadanya tetapi dia tidak sanggup menghabiskannya. Maka bersabda Rasulullah saw., "Orang mukmin minum dengan satu perut dan orang kafir minum dengan tujuh perut."
1971. Dari Abu Hurairah r.a.. katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah mencela makanan apa saja pun sekali-kali tidak. Apabila beliau mengingini menyukai suatu makanan, dimakannya. Dan apabila beliau tidak menyukainya dibiarkannya saja."
1972. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw. mencela suatu makanan sekali-kali tidak. Apabila beliau memang ingininya dimakannya dan apabila beliau tidak mengingininya beliau diam saja."1973. Dari Ummu Salamah r.a. katanya Rasulullah bersabda : "Barangsiapa minum di bejana emas atau perak, nescaya kelak api neraka jahanam mencurahi didalam perutnya."
1974. Dari Al Bara' bin' Ab r.a., katanya, "Rasulullah saw. memerintahkan kepada kami tujuh perkara yang melarang kami dari tujuh perkara. Beliau memerintahkan: (1) Mengunjungi orang sakit. (2) Menziarah jenazah. (3) Mendoakan orang bersin. (4) Menepati sumpah. (5) Menolong orang yang teraniaya. (6) Memenuhi undangan. (7) Menyebarluaskan salam. Beliau melarang : (1) Memakai cincin emas, (2) Minum dari bejana perak, (3) Memakai seperai sutera, (4) Memakai sutera campur katun, (5) Memakai sutera biasa. (6) Memakai sutera tebal, (7) Memakai sutera kembang." 1975. Dari Abdullah bin 'Ukaim r.a. katanya: "Kami berada di Madain bersama Hudzaifah. Hudzaifah minta minum lalu diberi minum oleh pembesar negeri itu dalam bejana perak. Maka dilemparkan bejana itu oleh Hudzaifah seraya katanya, "Kukhabarkan kepada mu bahwa aku telah memerintahkan kepadanya untuk tidak memberi ku minum dalam bejana perak. Kerana sesungguhnya Rasulullah saw. telah bersabda: "Jangan minum dalam bejana emas atau perak dan jangan memakai sutera kembang atau sutera biasa, kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia, dan untuk kamu kelak di akhirat."
Dostları ilə paylaş: |