Berkata Imam Ali bin Abi Thalib, semoga Allah meridhoinya: Tidak ada kebaikan dalam ibadah tanpa pengetahuan dan tidak baik pula dalam pengetahuan tanpa memahaminya



Yüklə 3,73 Mb.
səhifə99/107
tarix18.04.2018
ölçüsü3,73 Mb.
#48892
1   ...   95   96   97   98   99   100   101   102   ...   107

2142. Dari Anas r.a., katanya: "Ada seorang lelaki meminta kambing kepada Nabi saw. sepenuh lembah antara dua bukit, lalu diberi oleh beliau. Kemudian orang itu datang kepada kaumnya seraya berkata. "Hai, kaumku! Islamlah kalian semuanya! Demi Allah, sesungguhnya Muhammad telah memberi ku suatu pemberian yang banyak sekali tanpa dia takut miskin." Maka berkata Anas, "Jika ada seseorang masuk Islam kerana menginginkan harta dunia, dia itu bukan Islam, sehingga Islam itu sendiri lebih dicintainya daripada harta benda dunia dan segala yang ada di atasnya."

2143. Dari Ibnu Syihab r.a., katanya : "Setelah Rasulullah saw. berhasil menaklukkan kota Makkah, beliau pergi dengan pasukannya dan berperang di Hunain. Dalam peperangan itu Allah swt. memenangkan agama-Nya dan kaum muslimin. Pada hari itu Rasulullah saw. memberi Shafwan bin Umaiyah seratus ekor ternak, kemudian ditambahnya pula seratus ekor lagi."

2144. Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya Rasulullah saw. pernah menjanjikan kepadanya. "Jikalau kita beroleh harta (rampasan) dari Bahrain, nanti kuberi engkau sebegini, sebegini. Sambil beliau memberi isyarat dengan kedua belah tangannya bersamaan. Tetapi sebelum memperoleh harta itu beliau telah wafat. Sesudah itu Abu Bakar menggantikan beliau memerintah. Dia memerintahkan supaya mengumumkan suatu pengumuman: "Siapa yang pernah dijanjikan sesuatu oleh Rasulullah saw. atau beliau mempunyai hutang kepadanya, hendaklah dia datang kepada ku menagihnya!" Lalu aku datang kepada Abu Bakar seraya berkata: "Sesungguhnya Nabi saw. pernah berkata kepada ku, "Jika kita beroleh harta dari Bahrain, nanti kuberi engkau sebegini, sebegini dan sebegini." Abu Bakar meraup satu kali. Lalu diberikannya kepada ku. Kemudian katanya. "Hitunglah!" Setelah kuhitung ternyata ada lima ratus. Kemudian dia berkata pula, "Ambillah dua kali sebanyak itu lagi."

2145. Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. pernah berkata: "Pada suatu malam anakku lahir, seorang bayi lelaki, lalu kuberi nama dia dengan nama bapaku, Ibrahim.

Kemudian anak itu kukirim kepada Ummu Saif, isteri seorang pandai besi, bernama Abu Saif, Rasulullah saw. mendatanginya dan aku ikut mengiringkan beliau. Ketika kami sampai di rumah Abu Saif, dia sedang meniup api di bengkelnya sehingga rumah itu penuh dengan asap. Aku berjalan duluan di hadapan Rasulullah saw., lalu kuberitahu Abu Saif. "Hai Abu Saif! Berhentilah! Rasulullah saw. datang!" Maka berhenti dia. Kemudian Nabi saw. menanyakan bayinya, lalu diserahkannya ke pangkuan beliau. Nabi saw. mengucapkan kata-kata sayang apa saja yang diucapkannya. Kata Anas. "Kulihat bayi itu rela dengan sakit yang diderita, senang dalam pangkuan Rasulullah saw." Maka Rasulullah saw. menangis mengucurkan air mata. Kata beliau. "Air mata boleh mengalir, hati boleh sedih, tetapi kita tidak boleh berkata-kata kecuali yang diridhai Tuhan kita. Demi Allah, wahai Ibrahim, kami sungguh sedih keranamu!"

2146. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Tidak ada kulihat orang yang lebih penyayang terhadap keluarganya melebihi Rasulullah saw. Ibrahim (anak beliau) disusukan pada suatu keluarga di sebuah kampung di perbukitan Madinah. Pada suatu hari beliau pergi menengoknya, dan kami ikut bersama-sama dengan beliau. Setelah beliau masuk ke rumah orang tua susuan Ibrahim, didapatinya rumah itu penuh asap, kerana orang tua susuan anak itu adalah seorang pandai besi. Nabi saw. menggendong bayinya lalu diciumnya, kemudian beliau pulang. Kata 'Amru, "Tatkala Ibrahim wafat, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Ibrahim adalah anakku. Dia meninggal dalam usia menyusu. Kedua orang tua susunya akan menyempurnakan susuannya nanti di syurga."

2147. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Aqra' bin Habis pernah melihat Rasulullah saw. mencium cucunya, Hasan. Kata Aqra', "Aku punya anak sepuluh orang. Namun tidak satu pun di antara mereka pernah ku cium." Maka bersabda Rasulullah saw., "Siapa yang tidak penyayang, tidak di sayangi."

2148. Dari Jarir bin 'Abdullah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang tidak menyayangi manusia, dia tidak disayangi Allah 'Azza wa Jalla."

2149. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya: "Rasulullah saw. adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari gadis pingitan. Apabila beliau tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya di wajah beliau."

2150. Dari 'Abdullah bin 'Amr r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya orang-orang pilihan di antara kamu ialah yang paling indah budi pekertinya."

2151. Dari Samak bin Harb r.a. katanya: "Aku bertanya kepada Jabir bin Samurah r.a., "Pernahkah kamu duduk bersama-sama Rasulullah saw.?" Jawab Jabir. "Bahkan sering. Beliau biasanya belum berdiri dari tempatnya solat (di mana beliau solat) Subuh, sebelum terbit matahari. Apabila matahari telah terbit barulah beliau berdiri. Selama duduk-duduk itu para sahahat ada yang bercakap-cakap mempercakapkan urusan masa jahiliyah, lalu mereka tertawa, sedangkan beliau tersenyum."2152. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Pada suatu ketika, Ummu Sulaim bepergian bersama-sama dengan para isteri Nabi saw., diiringkan seorang pengiring (budak hitam yang bagus suaranya bernama Anjasyah). Lalu Nabi saw. bersabda, "Hai, Anjasyah, perlahan-lahanlah kamu mengiringkan botol-botol kaca."

2153. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw. katanya: "Apabila Rasulullah saw. diberi pilihan dua urusan atau pekerjaan, beliau memilih yang termudah, selama yang termudah itu tidak mengandung dosa, jika pekerjaan itu mengandung dosa, maka beliau menjauhkan diri daripadanya sejauh-jauhnya. Dan beliau tidak pernah mencela seseorang, melainkan apabila orang itu melanggar larangan Allah 'Azza wa Jalla."

2154. Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Sekalipun wahyu turun kepada Nabi saw. pada pagi hari yang dingin, namun keringat memancar jua di kening beliau." 2155. Dari 'Aisyah r.a. katanya Harits bin Hisyam pernah bertanya kepada Nabi saw., "Bagaimana caranya wahyu datang kepada Anda?" Jawab beliau, "Kadang-kadang wahyu datang kepada ku seperti bunyi lonceng. Itulah yang paling berat bagi ku. Kemudian bunyi terputus, namun aku telah hafal dan faham maksudnya. Kadang-kadang malaikat datang menyerupai bentuk seseorang lelaki, lalu aku hafal dan faham apa yang dikatakannya."

2156. Dari 'Ubadah bin Shamit r.a. katanya: "Apabila wahyu sedang turun kepada Nabi saw., beliau kesusahan kerananya dan wajahnya berubah menjadi keabu-abuan."

2157. Dari 'Ubadah bin Shamit r.a. katanya: "Apabila wahyu sedang

turun kepada Nabi saw., beliau menundukkan kepalanya, dan para sahabat menundukkan kepala pula. Maka apabila wahyu telah selesai turun, beliau mengangkat kepala kembali."2158. Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya : "Para Ahli Kitab biasanya menguraikan rambut mereka, tetapi orang-orang musyrik membelah dua rambut mereka. Rasulullah saw. lebih suka mencontoh para Ahli Kitab, sebelum ada perintah tertentu mengenai urusan itu. Kerana itu Rasulullah saw, menguraikan rambut kepalanya, tetapi kemudian beliau belah dua."

2159. Dari Al Bara' r.a. katanya: "Aku tidak pernah melihat orang yang lebih tampan berpakaian merah daripada Rasulullah saw. Rambut beliau terutai ke bahunya yang bidang, perawakannya tidak tinggi kurus dan tidak pula gemuk pendek."

2160. Dari Al Bara' r.a. katanya: "Rasulullah saw. adalah seorang yang berwajah paling tampan, berakhlak paling indah, perawakannya tidak tinggi kurus dan tidak pula gemuk pendek."2161. Dari Ibnu Sirin r.a. katanya: "Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a., "Adakah Rasulullah saw. mencelup rambut beliau?" Jawab Anas, "Beliau tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya tampak beberapa helai rambut putih." Kata Ibnu Sirin, "Aku bertanya pula kepadanya. adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?" Jawab Anas," Ada, dengan inai."

2162. Dari Anas bin Malik r.a.. "Makruh seorang lelaki mencabut rambut putih di kepala dan di janggutnya." Katanya. "Sedangkan Rasulullah saw. ada rambut putih di bawah bibir beliau sebelah bawah, dan antara mata dengan telinga, dan yang tumbuh jarang di kepalanya."

2163. Dari Jabir bin Samurah r.a. katanya: "Rambut Nabi saw. kelihatan bercampur putih di kepala bahagian muka dan di janggut beliau, tetapi apabila telah beliau minyaki tidak nyala kelihatan. Apabila rambut beliau kusut barulah jelas kelihatan. dan janggut beliau tebal." Lalu bertanya seseorang. "Apakah wajah beliau seperti pedang?" Jawab Jabir. "Tidak! Bahkan bundar seperti matahari dan bulan. Dan aku melihat sebuah cap di bahunya kira-kira sebesar telur merpati." Dia serupa dengan warna tubuh beliau."2164. Dari Jabir bin Samurah r.a. katanya: "Aku melihat sebuah cap (stempel) di punggung Rasulullah saw. kira-kira sebesar telur merpati." 2165. Dari Saib bin Yazid r.a. katanya: "Bibiku pergi bersama-sama dengan ku kepada Rasulullah saw., lalu bibi berkata kepada beliau. "Anak lelaki saudara ku sakit." Maka beliau pegang kepala ku, kemudian beliau mendoakan keberkatan bagi ku. Sesudah itu beliau berwudhuk lalu kuminum sisa air wudhuknya. Kemudian aku berdiri (solat) di belakang beliau. Aku terlihat cap beliau terletak antara kedua bahu kira-kira sebesar telur burung." '

2166. Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Rasulullah saw. wafat pada usia enam puluh tiga tahun, Abu Bakar pada usia enam puluh tiga tahun, dan 'Umar pada usia enam puluh tiga tahun."

2167. Dari Ibnu 'Abbas r.a. katanya : "Rasulullah saw. menetap di Makkah setelah menjadi Nabi tiga belas tahun, dan di Madinah sepuluh tahun. Dan beliau meninggal ketika berusia enam puluh tiga tahun."

2168. Dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im, dari bapanya r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku mempunyai beberapa nama: (1) Aku bernama Muhammad. (2) Aku bernama Ahmad (3) Aku bernama Al Mahi (penumpas), di mana Allah menumpas kekafiran keranaku. (4) Aku bernama Al Hasyir (pengumpul) di mana Allah swt. mengumpulkan manusia atas risalahku. (5) Dan aku bernama Al 'Aqib (penutup), di mana tidak ada seorang jua pun lagi Nabi sesudahku. Dan sesungguhnya, juga aku oleh Allah diberi nama Ra'uf (penyantun) dan Rahim (penyayang)."2169. Dari Abu Musa Al Asy'ari r.a. katanya: "Rasulullah saw. menyebutkan beberapa nama kepada kami sebagai nama beliau peribadi, sabdanya: "Aku bernama Muhammad, Ahmad, Al Muqaffa (sama dengan Al 'Aqib, penutup), Al Hasyir, Nabiyyut-Taubah dan Nabiyyur-Rahmah."2170. Dari Abu Hurairah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Apa yang telah kularang kamu mengerjakannya hentikanlah. Dan apa yang kuperintahkan kamu mengerjakannya, lakukanlah sehabis dayamu. Sesungguhnya umat yang sebelum kamu binasa kerana mereka banyak tanya, dan banyak debat terhadap nabi-nabi mereka."

2171. Dari 'Amir bin Sa'ad, dari bapanya r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya dosa terbesar di antara kaum muslimin ialah dosa orang yang menanyakan sesuatu yang tidak diharamkan Allah, lalu Allah mengharamkannya kerana pertanyaan orang itu."

2172. Dari Anas bin Malik r.a., katanya, "Ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw. katanya: "Ya, Rasulullah, siapa bapaku?" Jawab Nabi saw., "Bapamu si Fulan." Kemudian turun ayat: "Hai, orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanya sesuatu, jika jelas pertanyaan itu akan melukai hatimu..." hingga akhir ayat - (Al Maidah. 5: 101).

2173. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Ketika matahari telah tergelincir, Rasulullah saw. pergi mengimami solat Zhuhur. Setelah selesai solat, beliau naik ke mimbar lalu mengingatkan jama'ah perihal hari kiamat dan mengingatkan pula bahwa sebelumnya akan terjadi beberapa peristiwa besar. Kemudian beliau bersabda: "Siapa yang ingin bertanya kepada ku mengenai sesuatu, tanyakanlah. Demi Allah, jika ada pertanyaan yang tuan-tuan tanyakan kepada ku, nescaya akan kujawab selama aku masih berdiri di tempatku ini." Kata Anas bin Malik, "Maka banyaklah orang menangis mendengar ucapan Rasulullah saw. tersebut. Kemudian beliau mengulang-ulang ucapannya itu, "Bertanyalah kepadaku!" Maka berdirilah Abdullah bin Hudzafah lalu dia bertanya: "Siapa bapaku, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "Bapamu Hudzafah!" Maka tatkala Rasulullah saw. mengulang ucapannya, "Bertanyalah kepadaku!" Umar menyela. Katanya: "Kami rela Allah menjadi Tuhan kami, Islam menjadi agama kami, dan Muhammad menjadi Rasulullah." Kata Anas, "Setelah Umar mengucapkan kata-katanya itu, Nabi saw. diam seketika, kemudian beliau bersabda: "Perhatikanlah! Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sebentar ini diperlihatkan Allah kepada ku syurga dan neraka, tepat di sisi dinding ini. Suatu pemandangan yang belum pernah kulihat seperti hari ini mengenai kebaikan dan kejahatan." Kata Ibnu Syihab, "Ubaidullah bin Abdullah bin 'Utbah mengatakan, bahwa Ummu 'Abdullah bin Hudzafah berkata kepada anaknya, Abdullah bin Hudzafah, "Aku tidak pernah mendengar seorang jua pun anak yang lebih sial daripadamu. Percayakah engkau bahwa ibumu telah melacur seperti halnya wanita-wanita jahiliyah, lalu 'aibnya terbuka di kalangan orang ramai?" Kata Abdullah bin Hudzafah, "Demi Allah, seandainya aku dibangsakan kepada budak hitam sekalipun, maulah aku rasanya."

2174. Dari Abu Musa r.a. katanya : "Nabi saw. ditanya orang tentang beberapa soal, yang sesungguhnya pertanyaan itu tidak disukai beliau. Maka tatkala pertanyaan-pertanyaan itu bertambah banyak, Rasulullah saw. marah. Kemudian beliau berkata kepada orang ramai, "Tanyalah kepada ku apa yang kalian hendak tanyakan!" Maka bertanya seorang lelaki. "Siapa bapaku?" Jawab beliau. "Bapamu Hudzafah!" Dan bertanya pula yang lain, "Siapa bapaku, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Bapamu, Salim maula Syaibah!" Tatkala 'Umar melihat wajah Rasulullah saw. menunjukkan kemarahan, maka berkata 'Umar, "Ya, Rasulullah! Kami taubat kepada Allah."

2175. Dari Musa bin Thalhah, dari bapanya r.a., katanya: "Aku berjalan bersama-sama Rasulullah saw., maka di tengah jalan kami bertemu dengan sekelompok orang sedang di atas pohon kurma. Beliau bertanya, "Apa yang sedang kalian perbuat?"

Jawab mereka, "Kami sedang mencangkuk pohon kurma." Kata Rasulullah saw., "Menurut dugaanku, pekerjaan itu tidak ada gunanya." Lalu mereka hentikan pekerjaan mereka. Tetapi kemudian dikhabarkan orang kepada beliau bahwa pekerjaan mereka itu berhasil baik. Maka bersabda Rasulullah saw., "Jika pekerjaan itu ternyata bermanfaat bagi mereka, teruskanlah! Aku hanya menduga-duga. Maka janganlah diambil peduli duga-dugaan itu. Tetapi jika aku berbicara mengenai Agama Allah, maka pegang teguhlah itu, kerana aku sekali-kali tidak akan berdusta terhadap Allah." 2176. Dari Rafi' bin Khadij r.a., katanya: "Rasulullah saw. tiba di Madinah, dan orang-orang Madinah sedang mencangkuk pohon-pohon kurma. Beliau bertanya, "Apa yang tuan-tuan kerjakan?" Jawab mereka, "Mencangkuk pohon kurma." Kata beliau, "Barangkali ada baiknya kalau pekerjaan itu tidak diteruskan." Maka berhentilah mereka mencangkuk. Tetapi kemudian, ternyata usaha mereka berhasil dengan melimpah-limpah, lalu mereka khabarkan kepada Rasulullah saw. Maka bersabda beliau, "Sesungguhnya aku hanya seorang manusia. Apabila kuperintahkan kamu mengenai urusan agamamu, maka laksanakanlah perintahku itu. Dan apabila kuperintahkan kepada mu sesuatu berdasarkan buah fikiranku semata-mata, maka sesungguhnya aku hanya seorang manusia."

2177. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia bertanya, "Siapakah dari keluargaku yang paling berhak dengan kebaktianku?" Jawab Rasulullah saw., "Ibumu!" Tanya, "Kemudian siapa?" Jawab, "Ibumu!" Tanya, "Kemudian siapa?" Jawab, "Kemudian ibumu!" Tanya, "Kemudian siapa?" Jawab, "Kemudian bapamu!"

2178. Dari Abu Hurairah r.a., katanya : "Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah, siapakah dari keluargaku yang paling berhak dengan kebaktianku yang terindah?" Jawab beliau, "Ibumu! Kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu, kemudian yang terdekat kepada mu, yang terdekat."

2179. Dari Abdullah bin Amru r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw. minta izin hendak ikut jihad (berperang). Tanya Nabi saw. kepadanya, "Apakah kedua orang tua mu masih hidup?" Jawab orang itu, "Masih!" Sabda beliau, "Berbakti kepada keduanya adalah jihad."

2180. Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a. katanya: "Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah saw. lalu dia berkata: Aku bai'at (berjanji setia) dengan Anda akan ikut hijrah dan jihad, kerana aku mengingini pahala dari Allah." Tanya Nabi saw., "Apakah orang tua mu masih hidup?" Jawab orang itu, "Bahkan keduanya masih hidup." Tanya Nabi saw., "Apakah kamu mengharapkan pahala dari Allah?" Jawabnya, "Ya!" Sabda Nabi saw., "Pulanglah kamu kepada kedua orang tua mu, lalu berbaktilah pada keduanya sebaik-baiknya!"

2181. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" Lalu beliau ditanya orang, "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi saw., "Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan merawat orang tuanya sebaik-baiknya)."

2182. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: "Seorang lelaki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota MaKkah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas himar yang dikenderainya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar, "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar, semoga Allah Ta'ala membalasi kebaikan Anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah. "Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khaththab. Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya kebajikan yang utama ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya."2183. Dari Nawwas bin Sam'an Al Anshari r.a., katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah saw. tentang erti kebajikan dan dosa." Sabda beliau, "Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui orang lain."

2184. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Bacalah (Qur'an): 'Seandainya kamu berkuasa, apakah kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (kasih sayang)? Mereka itulah orang-orang yang dikutuk Allah dan ditulikanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?" (Muhammad, 47: 22-24)

2185. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Rahim (kasih sayang) itu tergantung di 'Arasy." Katanya, "Siapa yang menghubungkan ku, menghubungi pula Allah akan dia dan siapa memutusi ku, memutusi pula Allah akan dia."

2186. Dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im r.a., katanya bapanya menghabarkan kepadanya bahwa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim."

2187. Dari Anas bin Malik r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang ingin rezekinya dilapangkan Allah, atau ingin usianya dipanjangkan, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim."

2188. Dari Abu Hurairah katanya "Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya aku mempunyai karib kerabat. Aku sentiasa menghubungkan silaturrahim kepada mereka, tetapi mereka memutusnya. Aku sentiasa baik kepada mereka tetapi mereka jahat kepada ku. Aku sentiasa santun kepada mereka tetapi mereka jahat kepada ku. Bagaimana itu?" Jawab Nabi saw., "Jika benar engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau telah menyebabkan mereka menjadi bosan. Tetapi Allah sentiasa akan menolong terhadap mereka selama kamu tetap berlaku demikian."

2189. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw, bersabda: "Janganlah kamu saling marah, jangan saling dengki, dan jangan pula saling tak acuh satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga hari."

2190. Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim tidak bersapaan dengan saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga malam. Keduanya saling bertemu juga, tetapi mereka saling tak acuh satu sama lain. Yang paling baik di antara keduanya ialah yang lebih dahulu memberi salam (menyapa)."2191. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki. Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."

2192. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu saling menjauhi (tidak bersapaan). Jangan saling tak acuh. Jangan saling mencari-cari cela masing-masing. Dan jangan sebahagian kamu menawar barang yang sedang ditawar orang lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara selaku hamba-hamba Allah."

2193. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya. "Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali. "Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya." 2194. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta mu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu."

2195. Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang tidak musyrik, kecuali orang yang bermusuhan dengan saudaranya (sesama muslim). Maka dikatakan, tunggulah dahulu kedua orang ini berdamai! Tunggulah kedua orang ini berdamai! Tunggulah kedua orang ini berdamai!"

2196. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda, "Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah swt. dalam sepekan (se Jumaat) dua kali. Iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah juga setiap hamba-Nya yang mukmin, kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan tunggukanlah kedua orang ini dahulu, sampai mereka berdamai."

2197. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencinta kerana keagunganKu? Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naunganKu."

2198. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Seorang lelaki pergi mengunjungi saudaranya yang bermukim di negeri asing (jauh dari tempatnya bermukim). Maka Allah Ta'ala mengirim seorang malaikat untuk menemaninya dalam perjalanan. Setelah malaikat bertemu dengan orang itu, maka bertanya malaikat, "Hendak kemana Anda?" Jawab orang itu, "Aku hendak mengunjungi saudara ku di negeri Anu." Tanya malaikat, "Apakah Anda berkunjung ini kerana Anda berhutang budi kepadanya?" Jawab orang itu, "Tidak!" Aku mencintainya hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala." Kata malaikat, "Sesungguhnya aku (malaikat) diutus Allah Ta'ala menemani Anda, sebab Anda mencintai saudara mu kerana Allah semata-mata."

2199. Dari Tsauban r.a., maula Rasulullah saw., katanya beliau bersabda: "Siapa mengunjungi orang sakit, maka dia sentiasa berada dalam sebuah taman syurga penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetik sampai dia pulang kembali."

2200. Dari Tsauban r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya sesama muslim, maka orang itu sentiasa berada dalam suatu taman syurga yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetik sampai dia pulang."

2201. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Pada hari kiamat kelak Allah Azza wa Jalla berfirman: Hai anak Adam! Aku sakit, mengapa tidak engkau kunjungi Aku?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan ku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu bahwa hamba Ku si Fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati Ku di sisinya?" "Hai, anak Adam! Aku minta makan kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku makan?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Apakah kamu tidak tahu, bahwa hamba Ku si Fulan minta makan kepada mu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi Ku?" "Hai, anak Adam! Aku minta minum kepada mu, mengapa kamu tidak memberi Ku minum?" Jawab anak Adam, "Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum, padahal Engkau Tuhan semesta alam?" Firman Allah Ta'ala, "Hamba Ku si Fulan minta minum kepada mu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah, seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi Ku."


Yüklə 3,73 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   95   96   97   98   99   100   101   102   ...   107




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin