dan siang." Sabda Rasulullah saw., "Bantalmu terlalu lebar. Yang dimaksud (dengan benang hitam) ialah gelap malam, dan (benang putih) ialah cahaya siang."
1054. Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya: "Ketika turun ayat: ".. dan makan minumlah kamu sehingga nyata bagi mu perbezaan benang putih dari benang hitam (Al Baqarah : 187) maka ada seorang lelaki mengambil benang putih dan benang hitam, lalu dia makan sehingga jelas baginya perbezaan keduanya. Kemudian Allah swt. menurunkan kata "minal fajri" (iaitu ketika fajar). Maka jelaslah apa yang dimaksud dengan benang putih dan benang hitam."
1055. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya:
"Rasulullah saw. mempunyai dua orang muadzin (tukang adzan). Iaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum yang buta. Maka bersabda Rasulullah saw., "Bilal azan tengah malam kerana itu makanlah dan minumlah sampai Ibnu Ummi Maktum azan."
1056. Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu terhalang makan sahur
kerana azan Bilal; kerana dia azan tengah malam, untuk memanggil pulang orang-orang yang solat, dan membangunkan yang sedang tidur."
1057. Dari Samurah bin Jundub r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu terperdaya (untuk tidak makan sahur) oleh azan Bilal waktu sahur, dan jangan pula kerana cahaya putih ini (fajar kadzib) sampai dia tersebar."
1058. Dari Samurah bin Jundub r.a., dia berkhutbah menyampaikan hadis Rasulullah saw. yang menyabdakan: "Janganlah kamu terhalang makan sahur oleh azan Bilal, dan jangan pula oleh cahaya putih ini, sehingga terbit fajar (siddik)."
1059. Dari Anas r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Makan sahurlah kamu, kerana makan sahur itu mengandung berkat!"1060. Dari 'Amru bin 'Ash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Perbedaan puasa kita dengan puasa Ahli Kitab, ialah makan sahur."
1061. Dari Anas r.a., dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Kami pernah makan sahur bersama-sama Rasulullah saw. Tidak berapa lama kemudian kami pergi solat. Tanya Anas, "Kira-kira berapa lama jaraknya antara waktu makan sahur dengan solat?" Jawab Zaid, "Kira-kira selama membaca lima puluh ayat."
1062. Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Berbahagialah selalu orang-orang yang menyegerakan berbuka."
1063. Dari Abu 'Athiyah r.a., katanya: "Aku dan Masruq pernah datang menemui 'Aisyah r.a. ke rumahnya, lalu kami bertanya: "Ya, Ummul Mukminin! Ada dua orang sahabat Rasulullah saw. yang satu menyegerakan berbuka dan solat, dan yang satu lagi melambatkannya. Bagaimana itu?" Tanya 'Aisyah r.a., "Siapa yang menyegerakan berbuka dan solat?" Jawab kami, "Abdullah Ibnu Mas'ud." Kata 'Aisyah, "Menyegerakan itulah yang dilakukan Rasulullah saw."1064. Dari 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila malam telah datang, siang telah hilang, dan matahari telah terbenam, maka orang yang puasa sudah boleh berbuka."
1065. Dari 'Abdullah bin Abi Aufa r.a., katanya: "Kami bepergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam beliau bersabda: "Hai, Fulan! Turunlah, dan siapkan makan kita!" Jawab orang itu, "Hari masih siang, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah, "Turunlah dan siapkan makan kita!" Kata 'Abdullah, "Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah saw., dan beliau langsung minum. Kemudian beliau bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: "Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka." 1066. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Bahwasanya Nabi saw. melarang orang melakukan puasa wishal (yakni puasa berturut-turut dua hari atau lebih tanpa berbuka). Lalu kata para sahabat kepada beliau: "Bukankah anda sendiri melakukannya?" Jawab Nabi saw.: "Aku tidak seperti kamu semua. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhan ku."
1067. Dari Abu Hurairah r,a., katanya: "Rasulullah saw. melarang orang melakukan puasa wishal. Maka berkata seorang lelaki muslim kepada beliau: "Bukankah anda sendiri melakukan puasa secara wishal, ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw.: "Tidak seorang pun di antara kamu yang menyamai ku. Bila hari telah malam, aku diberi makan dan minum oleh Tuhan ku." Ketika ternyata mereka enggan hendak berhenti puasa wishal, Nabi saw. puasa pula secara wishal bersama-sama mereka dua hari berturut-turut. Sesudah itu bulan (Syawal) datang. Lalu beliau bersabda: "Seandainya bulan (Syawal) belum terbit nescaya kuteruskan puasa wishal bersama-sama kamu semua - Rasulullah mengucapkan sabdanya itu dengan nada marah,
kerana mereka enggan dilarangnya puasa wishal."
1068. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu puasa secara wishal!" Jawab para sahabat, "Bukankah anda sendiri melakukan puasa wishal?" Jawab Rasulullah saw., "Kamu tidak akan sanggup melakukannya seperti aku. Bila hari telah. malam, aku diberi makan dan minum oleh Tuhan ku. Kerana itu beramal-ibadatlah sesuai dengan kemampuanmu."
1069. Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu malam di bulan Ramadhan, Rasulullah saw. solat. Aku datang dan berdiri di samping beliau. Kemudian datang pula sahabat yang lain, lalu dia berdiri pula, sehingga akhirnya kami menjadi satu rombongan. Tatkala Nabi saw. merasa bahwa kami solat di belakang beliau, maka beliau pendekkan solatnya, kemudian beliau masuk ke rumahnya, dan di sana beliau solat sendirian." Kata Anas, "Pagi-pagi kami bertanya kepada beliau: Apakah anda tahu perbuatan kami semalam?" Jawab beliau, "Ya, aku tahu. Itulah yang menyebabkan aku masuk ke rumah dan di sana aku solat sendirian." Kata Anas selanjutnya, "Beberapa hari di akhir bulan (Ramadhan) Rasulullah melakukan puasa wishal. Kerana itu beberapa orang sahabat melakukannya pula. Maka bersabda Rasulullah saw.: Mengapalah orang-orang ini ikut-ikutan berpuasa wishal. Kamu semua tidak seperti aku. Ketahuilah! Demi Allah! Kalaulah bulan ini bertambah panjang, aku akan terus puasa wishal sehingga orang-orang yang memberati dirinya dalam melakukan suatu amal ibadah kewalahan sendiri."
1070. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Nabi saw. melarang mereka puasa wishal, adalah rahmat bagi mereka. Mereka berkata kepada Rasulullah saw., "Bukankah anda sendiri melakukan puasa wishal?" Jawab Nabi saw., "Aku tidak seperti kamu. Aku diberi makan dan minum oleh Tuhan ku."
1071. Dari Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah mencium salah seorang isteri beliau, padahal beliau puasa." Kemudian 'Aisyah tertawa.1072. Dari 'Aisyah r.a., katanya, "Rasulullah saw. pernah mencium ku, padahal beliau puasa. Siapakah di antara tuan-tuan yang sanggup mengendalikan nafsu seperti Rasulullah saw.?"
1073. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "RasUlullah saw. pernah mencium dan mencumbu ku mesra ketika beliau sedang puasa. Tetapi beliau sanggup mengendalikan nafsunya."
1074. Dari Hafshah r.a., katanya, "Rasulullah saw. pernah berciuman, padahal beliau sedang puasa."
1075. Dari 'Amru bin Abi Salamah r.a., dia pernah bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Bolehkah orang yang puasa berciuman?" Jawab Rasulullah saw., "Tanyalah kepada Ummu Salamah!" Lalu Ummu Salamah menceritakan kepada 'Amru, bahwa Rasulullah saw. pernah melakukannya. Kata 'Amar, "Ya, Rasulullah! Allah telah mengampuni dosa anda yang telah lalu dan yang akan datang." Sabda Rasulullah saw., "Demi Allah! Sesungguhnya akulah yang paling taqwa dan yang paling takut kepada Allah daripada kamu sekalian."1076. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Sesungguhnya Rasulullah saw. pernah mendapati fajar (kesiangan) di bulan Ramadhan, padahal beliau dalam keadaan junub kerana jima'. Lalu beliau mandi dan terus puasa."
1077. Dari 'Abdullah bin Ka'ab Al Himyari, Abu Bakar mengabarkan kepadanya bahwa Marwan pernah mengutusnya kepada Ummu Salamah r.a., menanyakan perihal seorang lelaki yang mendapatkan Subuh dalam keadaan junub, apakah boleh dia meneruskan puasanya? Jawab Ummu
Salamah, "Rasulullah saw. pernah mendapatkan Subuh (kesiangan) dalam keadaan junub kerana jima', bukan kerana mimpi. Kemudian beliau tidak membukai puasanya dan tidak pula mengqadha."1078. Dari 'Aisyah dan Ummu Salamah r.a., dua orang isteri Rasulullah saw., keduanya berkata: "Sesungguhnya Nabi saw. pernah mendapatkan Subuh (kesiangan) dalam keadaan junub kerana jima', tidak kerana mimpi dan beliau terus saja puasa."
1079. Dari 'Aisyah r.a., katanya ada seorang lelaki datang minta fatwa kepada Nabi saw., sedangkan 'Aisyah mendengarkannya di belakang pintu. Tanyanya, "Ya Rasulullah! Waktu solat telah tiba, sedangkan aku dalam keadaan junub. Bolehkan aku meneruskan puasaku?" Jawab Rasulullah saw., "Aku pun pernah mendapatkan waktu solat Subuh dalam keadaan junub, lalu aku terus saja puasa." Kata orang itu, "Anda tidak sama dengan kami. Allah telah mengampuni dosa anda yang lama dan yang baru." Sabda Rasulullah saw., "Demi Allah!
Sesungguhnya aku berharap, semoga akulah orang yang paling takut kepada Allah, dan lebih tahu daripada kamu sekalian tentang bagaimana cara taqwa."
1080. Dari Abu Hurairah r.a., katanya ada seorang lelaki datang kepada Nabi saw., lalu dia berkata: "Telah celaka aku, ya Rasulullah!" Jawab Nabi saw., "Apa sebabnya engkau celaka?" Jawab orang itu, "Aku menyetubuhi isteri ku (siang hari) di bulan Ramadhan." Tanya Nabi saw., "Sanggupkah engkau memerdekakan seorang budak?" Jawabnya, "Tidak!" Tanya Nabi saw., "Sanggupkah engkau puasa dua bulan berturut-turut?" Jawabnya, "Tidak!" Tanya, "Sanggupkah engkau memberi makan enam puluh orang miskin?" Jawabnya, "Tidak!" Kata Abu Hurairah r.a., "Kemudian, sementara orang itu duduk, dibawa orang kepada Nabi saw. sebuah keranjang berisi kurma. Sabda Nabi saw. kepada orang itu, "Bersedekahlah kamu dengan ini!" Jawab orang itu, "Tentu kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Agaknya tidak ada penduduk di sekitar sini yang lebih membutuhkannya daripada kami." Mendengar ucapannya itu Nabi saw. tertawa sehingga kelihatan taring beliau. Kemudian Nabi saw. bersabda kepada orang itu. "Bawalah pulang, beri makanlah keluargamu dengannya."
1081. Dari 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw.
ketika beliau sedang berada dalam masjid di bulan Ramadhan, lalu orang itu berkata: "Ya, Rasulullah! Celaka aku! Celaka aku!" Kerana itu Rasulullah saw. bertanya, apa sebabnya? Lalu jawabnya, "Aku telah menyetubuhi isteri ku siang hari bulan Ramadhan." Sabda Rasulullah saw.,"Bersedekahlah!" Jawab orang itu, "Ya Nabiyallah! Demi Allah! Aku tidak punya apa-apa. Kerana itu aku tidak sanggup melaksanakannya." Sabda Nabi saw. "Tunggulah di sini sebentar!" Sementara dia duduk menunggu, datang seorang lelaki menggiring seekor keldai membawa makanan. Maka bertanya Rasulullah saw., "Mana orang yang dapat celaka tadi?" Maka berdirilah orang itu, lalu Rasulullah saw. bersabda kepadanya, "Bersedekahlah anda dengah ini." Jawab orang itu, "Ya, Rasulullah! Tentu harus kusedekahkan kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Demi Allah, sesungguhnya kami lapar, sedangkan kami tidak punya apa-apa." Jawab Nabi saw., "Kalau begitu, boleh kamu makan."
1082. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada tahun penaklukan Makkah, Rasulullah saw. berangkat melakukan suatu perjalanan dalam bulan Ramadhan dengan berpuasa. Setelah sampai di Kadid, beliau berbuka. Kata Ibnu 'Abbas, "Para sahabat mengikuti segala perbuatan beliau ketika itu."1083. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. melakukan suatu perjalanan jauh dalam bulan Ramadhan, sedangkan beliau puasa. Setelah sampai di 'Usfan, beliau minta bejana berisi minuman lalu diminumnya di siang hari itu supaya dilihat orang ramai. Selanjutnya beliau berbuka hingga masuk kota Makkah." Kata Ibnu 'Abbas r.a., "Dalam perjalanan itu Rasulullah saw. puasa dan berbuka. Maka siapa yang suka puasa boleh puasa dan siapa yang suka berbuka ia boleh tidak puasa."
1084. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Janganlah engkau mencela orang yang puasa dan orang yang tidak
puasa dalam perjalanan. Kerana Rasulullah saw. pernah puasa dan tidak puasa dalam perjalanan."1085. Dari Jabir bin 'AbduUah r.a., katanya: "Dalam suatu perjalanan, Rasulullah saw. melihat seorang lelaki dikerumuni orang ramai, lalu orang itu dilindungi oleh beliau seraya bertanya, "Mengapa dia?" Jawab mereka, "Dia puasa." Maka bersabda Rasulullah saw., "Tidaklah termasuk kebajikan puasa dalam perjalanan, apabila dengan puasa itu ia mendapat kesulitan kerana perjalanannya jauh dan berat."1086. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Kami ikut berperang bersama-sama Rasulullah saw. pada tanggal enam belas Ramadhan. Di antara kami ada yang puasa dan ada pula yang berbuka. Namun tidak ada orang puasa mencela orang berbuka, atau sebaliknya orang berbuka mencela orang puasa."
1087. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Kami pernah pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. dalam bulan Ramadhan. Sebagian kami ada yang puasa dan sebagian lagi tidak puasa. Orang yang puasa tidak keberatan terhadap orang yang tidak puasa, dan sebaliknya orang yang tidak puasa tidak keberatan terhadap yang puasa. Mereka berpendapat, siapa yang kuat puasa sebaiknyalah dia puasa, dan siapa yang tidak kuat sebaiknyalah dia berbuka."1088. Dari Anas r.a., katanya: "Kamu pernah mengadakan suatu perjalanan bersama-sama Rasulullah saw.
Sebagian kami puasa dan sebagian lagi tidak puasa. Ketika hari bersangatan panas, kami berhenti pada suatu tempat, di mana kebanyakan kami membuat naungan dengan kain-kain pakaian yang dibawanya dan sebagian lagi dengan tangannya." Kata Anas selanjutnya, "Orang-orang yang puasa berjatuhan, sedang orang yang tidak puasa dapat tegak,lalu mereka buat tempat-tempat berteduh dan mereka beri minum haiwan-haiwan kendaraan. Maka bersabda Rasulullah saw., "Orang-orang yang berbuka hari ini dapat pahala."
1089. Dari Quzatah r.a., katanya: "Aku mendatangi Abu Sa'id Al Khudri r.a., tetapi dia sedang banyak tetamu. Ketika para tetamu itu sudah pergi, aku berkata kepadanya: Aku tidak akan menanyakan masalah yang ditanyakan mereka itu, tetapi aku akan
menanyakan perihal puasa dalam perjalanan." Jawab Abu Sa'id, "Kami pernah melakukan perjalanan bersama-sama Rasulullah saw. ke Makkah, sedangkan kami puasa. Lalu kami berhenti pada suatu perhentian. Maka bersabda Rasulullah saw., "Kamu semua sudah dekat ke tempat musuh; berbuka akan lebih menguatkan tubuhmu. Dan itU adalah suatu keringanan." Sebagian kami ada yang puasa sedang sebagian lagi berbuka. Kemudian kami berhenti pula di tempat perhentian yang lain. Maka bersabda pula Rasulullah saw., "Esok pagi kamu akan menyerang musuh; dengan berbuka akan lebih menguatkan fizikmu; kerana itu berbukalah kamu semuanya!" Sabda beliau itu adalah perintah. Kerana itu berbukalah kami semuanya." Kata Abu Sa'id selanjutnya., "Saya fikir, sesudah itu kami selalu puasa bersama-sama Rasulullah saw. dalam setiap perjalanan."
1090. Dari Hamzah bin 'Amru Al Aslami r.a., bahwa dia bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Aku kuat puasa dalam perjalanan. Berdosakah jika aku puasa?"
Jawab Rasulullah saw., "Berbuka puasa dalam perjalanan adalah suatu keringanan dari Allah. Maka kerana itu, siapa yang mempergunakan keringanan itu baik, dan siapa yang lebih suka puasa tidak berdosa."1091. Dari Abu Darda' r.a., katanya: "Kami bepergian bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dalam bulan Ramadhan di bawah terik matahari yang sangat panas, sehingga masing-masing kami meletakkan tangannya di kepala kerana sangat panasnya. Ketika itu tidak seorang jua pun kami yang puasa, melainkan Rasulullah saw. dan 'Abdullah bin Rawahah."
1092. Dari Ummul Fadhal binti Harits r.a., dia mengatakan bahwa orang banyak bertengkar di dekatnya tentang puasa Rasulullah saw. di hari 'Arafah. Sebagian mereka mengatakan beliau puasa, dan sebagian lagi mengatakan tidak, lalu kukirimkan kepada beliau secangkir susu. Ketika itu beliau sedang berada di atas untanya di 'Arafah, lalu beliau minum."
1093. Dari Maimunah r.a., isteri Rasulullah saw., katanya: "Orang banyak ragu tentang puasa Rasulullah saw. pada hari 'Arafah. Lalu kukirim kepada beliau secangkir susu ketika itu beliau sedang berdiri di tempatnya lalu diminumnya susu itu, sedangkan orang banyak melihatnya."
1094. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Di zaman jahiliyah, orang-orang Quraisy melakukan puasa pada hari 'Asyura. Dan Rasulullah saw. pernah pula mempuasakannya. Tatkala beliau hijrah ke Madinah beliau mempuasakannya bahkan memerintahkan supaya umatnya mempuasakannya pula. Maka tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, beliau bersabda: "Siapa yang suka puasa di hari 'Asyura silakan, dan siapa yang tidak suka, tidak mengapa."
1095. Dari 'Abdullah Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Kaum Jahiliyah puasa pada hari 'Asyura. Sedangkan Rasulullah saw. dan kaum muslimin pernah juga mempuasakannya sebelum perintah wajib puasa Ramadhan diturunkan. Maka ketika puasa Ramadhan telah diwajibkan, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya hari 'Asyura itu suatu hari di antara hari-hari kebesaran Allah. Kerana itu siapa yang mahu puasa hari itu silakan dan siapa yang tidak mahu boleh meninggalkannya."
1096. Dari Abdurrahman Ibnu Yazid r.a., dia menceritakan bahwa Asy'ab bin Qais r.a., pernah datang ke rumah 'Abdullah ketika dia sedang makan. Lalu kata 'Abdullah, "Ya, Abu Muhammad! Mari silakan makan!" Jawab Asy'ats, "Bukankah hari ini hari Asyura?" Jawab Abdullah, "Tahukah engkau, apakah hari 'Asyura itu?" Kemudian dia melanjutkan, "Hari Asyura adalah suatu hari di mana Rasulullah saw. pernah puasa sebelum perintah wajib puasa Ramadhan diturunkan. Tatkala perintah kewajiban puasa Ramadhan telah turun, maka puasa 'Asyura itu ditinggalkan beliau."
1097. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya:"Rasulullah saw. menyuruh kami puasa pada hari 'Asyura, dan beliau mendorong kami serta memperhatikan kami melaksanakannya. Tetapi ketika puasa Ramadhan telah diwajibkan, kami tidak lagi disuruh beliau, tetapi tidak pula dilarang dan tidak lagi diperhatikannya apakah kami puasa atau tidak."
1098. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Lalu mereka ditanya perihal itu (apa sebabnya mereka puasa pada hari itu). Jawab mereka, "Hari ini adalah hari kemenangan Musa dan Bani Israil atas Fir'aun. Kerana itu kami puasa pada hari ini untuk menghormati Musa." Maka bersabda Nabi saw., "Kami lebih pantas memuliakan Musa daripada kamu." Lalu beliau perintahkan supaya kaum muslimin puasa pada hari 'Asyura.
1099. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?" Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasa
kannya pula." Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih pantas memuliakan Musa daripada kamu semua." Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu.
1100. Dari Abu Musa r.a., katanya : "Hari 'Asyura adalah hari yang dimuliakan orang-orang Yahudi dan dijadikannya hari raya. Maka bersabda Rasulullah saw., "Puasalah kamu di hari 'Asyura itu!"
1101. Dari Abu Musa r.a., katanya: "Penduduk Khaibar puasa pada hari 'Asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, di mana wanita-wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian-pakaian yang indah pada hari itu. Lalu bersabda Rasulullah saw., "Puasalah kamu (pada hari itu)!"
1102. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya dia ditanya orang tentang puasa hari 'Asyura. Lalu jawabnya, "Aku tidak tahu kalau Rasulullah saw. mempuasakannya untuk mendapatkan keutamaannya atas seluruh hari, selain hari ini ('Asyura) dan bulan ini (Ramadhan)."1103. Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahwa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani." Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram." Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat."
1104. Dari Salamah bin Akwa' r.a.,
dia menceritakan bahwa Rasulullah saw. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari 'Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang banyak: "Siapa yang belum puasa hari ini hendaklah dia puasa, dan siapa yang telah terlanjur makan, hendaklah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam."1105. Dari Rubayyi' binti Mu'awwidz
bin 'Afra' r.a., katanya: "Suatu pagi hari 'Asyura, Rasulullah saw. mengirim petugas ke perkampungan orang Anshar yang berada di sekitar Madinah, untuk menyampaikan pengumuman: "Siapa yang puasa sejak pagi hendaklah disempurnakannya puasanya, dan siapa yang tidak puasa hendaklah dia puasa sejak mendengar pengumuman ini. Semenjak itu kami puasa pada hari 'Asyura, dan kami suruh pula anak-anak kecil kami, insya Allah. Kami bawa mereka ke masjid dan kami buatkan mereka main-mainan dari bulu. Apabila ada yang menangis minta makan, kami berikan setelah waktu berbuka tiba."
1106. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. melarang puasa pada dua macam hari. Iaitu pada hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah) dan pada hari raya Idul Fitri (1 Syawal)."
1107. Dari Ziyad Ibnu Jubair r.a., katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Aku bernazar akan puasa satu hari. Kebetulan harinya bertepatan dengan hari raya Adha atau Fitri. Bagaimana itu?" Jawab Ibnu 'Umar r.a., " Allah memerintahkan supaya membayar nazar. Dan RasuluUah saw. melarang puasa pada hari ini."
1108. Dari Nubaisyah Al Hudzali r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari-hari makan minum."
1109. Dari Muhammad bin 'Abbad bin Ja'far r.a., katanya dia bertanya kepada Jabir bin 'Abdullah r.a. ketika thawaf di Baitullah, tanyanya, "Adakah Rasulullah saw. melarang puasa pada hari Jum'at?" Jawabnya, "Ya, ada! Demi Tuhan Bait ini!"
1110. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu puasa pada hari Jum'at, kecuali jika kamu puasa sebelum dan sesudahnya."
1111. Dari Abu Salamah r.a., katanya dia mendengar 'Aisyah r.a. bercerita: "Aku masih punya hutang puasa Ramadhan. Tetapi aku belum membayarnya sehingga tiba bulan Sya'ban barulah kubayar, berhubungan dengan kesibukanku bersama Rasulullah saw."
1112. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang meninggal, sedangkan dia mempunyai hutang puasa, maka hendaklah dibayar oleh walinya."
1113. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Seorang wanita datang bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Ibuku meninggal. Sedangkan dia punya hutang puasa selama sebulan. Bagaimana itu?" Jawab Rasulullah
saw., "Bagaimana pendapatmu, andaikan dia mempunyai hutang kepada seseorang, adakah engkau bayar?" Jawab wanita itu, "Tentu, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw., "Hutang kepada Allah lebih pantas dibayar?"
1114. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya ada seorang wanita datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Ibuku sudah meninggal. Sedangkan dia punya hutang puasa nazar. Bolehkah aku membayarnya?" Jawab Nabi saw., "Bagaimana pendapatmu kalau dia mempunyai hutang kepada seseorang, lalu kamu bayar, lunaskah hutangnya?" Jawab wanita itu, "Tentu lunas!" Sabda Nabi saw., "Nah, puasalah untuk membayar hutang ibumu!"
1115. Dari 'Abdullah bin Buraidah, dari bapanya, katanya: "Ketika aku sedang duduk dekat Rasulullah saw., sekonyong-konyong datang seorang wanita lalu dia bertanya: "Aku pernah memberikan seorang hamba sahaya perempuan kepada ibu ku dan kini ibu ku telah meninggal. Bagaimana itu?" Jawab beliau, "Engkau tentu mendapat pahala dari pemberianmu itu, dan sekarang pemberianmu itu kembali kepada mu sebagai pusaka." Tanya wanita itu, "Ibuku punya hutang sebulan puasa. Bolehkah aku puasa untuk membayarnya?" Jawab beliau, "Ya, boleh! Puasalah untuknya!" Tanyanya lagi, "Ibuku belum pernah haji. Bolehkah aku yang menghajikannya? Jawab beliau, "Ya, boleh! Hajikanlah dia!"
Dostları ilə paylaş: |