Oleh Lokman Ismail
TANGGUNGJAWAB guru semakin mencabar. Sesungguhnya, tugas guru bukan setakat mengajar di dalam bilik darjah dengan sukatan pelajaran yang ditetapkan, tetapi merangkumi semua aspek pendidikan rohani dan jasmani kepada pelajarnya.
Oleh itu, kejayaan guru melaksanakan tugas bukan semata-mata diukur berdasarkan kepada keputusan peperiksaan pelajarnya, sebaliknya merangkumi keseluruhan pembentukan diri pelajar. Ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi pelajar berkualiti dan cemerlang dalam semua aspek.
Sesungguhnya kecemerlangan negara pada masa depan adalah hasil yang diusahakan oleh guru hari ini. Malah guru juga dianggap pemimpin masyarakat setempat yang memainkan peranan membina kehidupan lebih sempurna.
Guru biasanya dipilih menjadi pemimpin persatuan belia, ahli jawatankuasa masjid, ahli jawatankuasa kebajikan dan seumpamanya. Kedudukan guru dipandang tinggi sesuai dengan tahap ilmu dan peranan mendidik anak bangsa.
Penghormatan yang diberikan ahli masyarakat kepada guru adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Kelebihan orang yang berilmu atas orang abid (yang banyak ibadatnya) ialah seperti kelebihan bulan pada malam purnama dari bintang-bintang yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tarmizi).
Sesuai dengan penghormatan dan pengharapan pelajar serta masyarakat terhadap peranan yang mampu disumbangkan guru, adalah sangat penting guru mempersiapkan diri untuk menjalankan tugas yang berat ini.
Perkara penting perlu dilakukan guru ialah mempertingkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran berkaitan kehidupan hari ini. Pada tanggapan masyarakat, seseorang guru berkebolehan dalam semua bidang yang diperkatakan umum.
Perkembangan bidang ilmu berlaku dengan pantas dan amat luas. Perkara baru hari ini mungkin sudah menjadi lapuk keesokannya. Guru sebagai penyebar sumber ilmu perlu sentiasa memahami konsep ilmu yang sentiasa berkembang.
Oleh itu, pencarian ilmu baru di kalangan guru mesti diteruskan tanpa henti. Guru perlu berpegang kepada konsep menuntut ilmu sepanjang masa. Guru perlu sentiasa memperoleh sumber ilmu baru kerana mereka yang bertanggungjawab menyebarkan semula kepada pelajar dan orang ramai.
Tidak rugi guru terus belajar kerana itu untuk dirinya sendiri. Semakin tinggi ilmu dimiliki, semakin tinggi darjat seseorang di sisi Allah. Firman Allah bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang berilmu di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).
Jika sekiranya guru pasif dalam mencari ilmu baru, sudah pasti apa yang mampu disampaikan kepada pelajar sekadar apa yang dipelajari ketika guru belajar di universiti atau maktab perguruan dulu.
Ilmu dan kemahiran itu sudah tentu banyak yang berubah dan mungkin tidak sesuai lagi untuk dipakai pada masa kini. Bahkan banyak perkara yang ada hari ini belum lagi diperkenalkan pada masa lalu. Justeru guru perlu sentiasa mengemaskini tahap ilmu dan kemahiran mereka untuk disesuaikan dengan keadaan sekarang.
Guru berkualiti memberikan satu tahap kecemerlangan sistem pendidikan negara. Negara memerlukan generasi akan datang berilmu dan berwawasan untuk membina sebuah negara maju.
Jika guru tidak mahu melalui anjakan ilmu, mereka akan menghadapi masalah besar untuk berdepan dengan pelajar yang semakin ke hadapan dari segi penguasaan ilmu. Sekarang ini sudah ada pelajar menguji kemampuan guru dengan mengemukakan soalan yang sebenarnya mereka ketahui jawapannya.
Jika guru sering mengingatkan pelajar agar banyak membaca, menggunakan kemudahan teknologi maklumat, mengikuti bengkel dan kursus, berbincang dan membuat rujukan, maka perkara sama juga perlu dilakukan oleh guru.
Ilmu dan kemahiran tidak diperoleh tanpa dilakukan usaha mendapatnya dengan aturannya. Sekarang ini, kaedah mencari ilmu tiada sempadan. Untuk belajar tidak perlu mengembara ke tempat jauh semata-mata untuk menuntut ilmu kerana kini ia boleh mengembara melalui gerbang siber untuk mencari guru dan mengutip banyak ilmu.
Firman Allah bermaksud: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, sesungguhnya diberi kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269).
Sehubungan itu, guru perlu sentiasa berusaha mengemaskini ilmu dimiliki agar mampu memberikan ilmu terkini kepada pelajar. Melalui cara itu saja dapat memastikan guru mempunyai keyakinan untuk berdepan dengan tugas berat ini.
Guru menanggung amanah besar atas kepercayaan bahawa mereka akan melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh. Secara sedar seluruh masyarakat meletakkan satu harapan amat besar agar guru dapat mendidik pelajar menjadi insan berilmu dan berperibadi mulia.
Jangan sampai dikatakan ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Sebab itu, jika guru merokok, pelajar juga akan merokok dan lebih teruk lagi terbabit dengan dadah. Jika guru sering masuk lewat ke kelas, pelajar pula mungkin terus ponteng kelas. Sebab guru sendiri tidak ikut peraturan jalan raya, murid pula menjadi pembuli jalan raya dan pelumba haram.
Kerana itu keikhlasan guru melaksanakan tugas amat penting. Tanggungjawab guru bukan sekadar pada waktu persekolahan, bahkan sepenuh masa hidupnya adalah seorang guru. Justeru guru diumpamakan lilin yang membakar diri sendiri. Penghormatan untuk guru dalam masyarakat amat tinggi. Sekali seseorang itu menjadi guru.
DOA MELAYU
Ya Allah, kami memohon kepadaMu kebaikan sama ada yang kami telah tahu atau yang belum kami ketahui, kurniakan kami nikmat dan rahmat yang berpanjangan, tubuh badan yang sihat, akal fikiran yangs ejahtera, semangat yang membara bagi mempertingkatkan kualiti kerja.
Ya Allah, kami mohon perlindunganMu dari segala keburukan, hasad dengki dan iri hati, sama ada kami telah tahu atau yang belum kami ketahui, ya Allah, lembutkan dan satukanlah jiwa-jiwa hambaMu ini, agar wujud kesepakatan dan kesefahaman antara kami, bagi menunaikan tugas yang diamanahkan, dengan lebih berkesan, meneruskan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara.
Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak diamalkan
Aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk kemegahan
Tuhan, ilmu itu adalah cahaya penyuluh kehidupan
Jangan pula kehidupan orang tersuluh, kehidupanku kegelapan
Tuhan, aku memohon kepadaMu janganlah ilmu itu menjadi beban
Di akhirat kelak menjadi hujjah dan saksi mengapa aku tidak amalkan
Ya Allah, aku memohon kepadaMu bertambah amalku
Jangan sampai usahaku orang lain selamat, aku tidak
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada ilmu untuk mujadalah
Bukan membantuku untuk beribadah dan bertaqwa
Tuhan, aku berlindung denganMu jangan sampai ilmuku melaknatku semula
Kerana bermegah-megah dan tidak amalkan
Jadikanlah aku bertambah-tambah ilmu bertambah dekat dengan Tuhan
Bertambah ilmu bertambah ibadah dan amalan
Tuhan, jadikanlah ilmuku boleh memimpin diri dan orang lain
Boleh menyuluh hatiku dan menyuluh hati orang
Seterusnya jadikanlah ilmu itu sentiasa memberi manafaat dan syafaat
DOA MESYUARAT
Ya Allah, kami mohon limpah kurnia dan ehsanMu, anugerahkan kami ilmu yang bermanfaat, hati yang khusu'. amalan yang Engkau terima, rezeki yang luas, jalan yang lurus yang Engkau redhai, bukakanlah pintu hati kami, agar kami sentiasa mendapat taufiq dan hidayah, mampu membuat keputusan dengan tepat, selari dengan kehendakMu ya Allah, untuk membina insan rabbani yang berkualiti dan masyarakat cemerlang, di samping memperoleh rahmat dan keredhaanMu.
Ya Allah, terimalah segala kerja dan khidmat bakti kami dengan sempurna, sebagai amal ibadat kami kepadaMu.
DO'A UNTUK ORANG TUA
Ya Allah, rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.
Ya Allah, berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar atas kesayangan yang
Mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka
Sebagaimana mereka memeliharaku.
Ya Allah, apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita karena aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua
penyebab rontoknya dosa-dosa mereka,
meningginya kedudukan mereka dan
bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan
perkenan-Mu, ya Allah sebab hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.
Ya Allah, bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama
dengan santunan-Mu di tempat
kediaman yang dinaungi kemulian-Mu,
ampunan-Mu serta rahmat-Mu.
Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Karunia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih Di antara semua pengasih.
Dostları ilə paylaş: |