PERKATAAN fitnah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.
Al-Quran dalam surah al-Hujuraat, ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani."
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara yang memberi kebaikan kepada dirinya dan orang lain. Kalau tidak dapat memberi sesuatu yang membawa kebaikan, maka lebih baik berdiam diri saja.
Rasulullah ditanya mengenai kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga. Jawab Baginda: "Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak.” Ketika Baginda ditanya: "Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?" Baginda menjawab: "Kejahatan mulut dan kemaluan."
Allah memberi amaran kepada golongan yang suka berbohong dan berdusta melalui firman-Nya bermaksud: "Maka nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik-baik saja kebenaran itu disampaikan kepadanya. Bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang kafir?" (Surah az-Zumar, ayat 32)
Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda bermaksud: "Tidak beriman seseorang itu dengan sempurna hingga ditinggalkan pembohongan sama ada ketika bersenda gurau, bersengketa atau perbalahan.”
Yahya bin Mu'aadz Arrazi berkata: “Jadikanlah bahagian orang mukmin daripadamu tiga macam supaya tergolong orang yang baik:
- Jika engkau tidak dapat menguntungkan kepadanya maka jangan merugikan (merosaknya).
- Jika engkau tidak dapat menyenangkannya, maka jangan menyusahkannya
- Jika engkau tidak memujinya, maka jangan mencelanya.”
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.” (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).
Memperkatakan sesuatu bermaksud buruk amat ditegah. Ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan terang-terang. Kecuali (hanya di muka pengadilan saja) oleh yang dianiaya.” (Surah an-Nisa, ayat 12)
Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah bermaksud: “...fitnah itu besar (dahsyat) daripada melakukan pembunuhan...” (Surah al-Baqarah, ayat 217).
Hadis: Istiqamah penggerak kejayaan
DIRIWAYATKAN ada seorang lelaki datang bertanyakan Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu lagi aku ajukan soalan lain."
Lantas Baginda menjawab dengan sabdanya yang ber maksudnya: "Katakanlah! Aku beriman kepada Allah, kemudian tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada pendirian itu." (Riwayat Muslim)
Melalui hadis ini dapat difahami bagaimana kepentingan sifat istiqamah untuk dihiasi dalam sanubari setiap Muslim agar segala apa yang dicita-citakan akan menemui matlamatnya.
Istiqamah bermaksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua pun.
Biar apa pun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walupun nyawa dan jasadnya akan menjadi bahan pertaruhan.
Jelas daripada dalil ini juga dapat disimpulkan bahawa iman berfungsi penting dalam kehidupan individu muslim.
Jika iman yang bertapak di sudut jiwanya kukuh dan mantap, maka dia adalah seorang yang benar-benar beristiqamah dalam kehidupannya.
Sebaliknya, jika imannya nipis, maka dia mudah terpedaya oleh godaan dan pesona dunia yang menghimpit hidupnya. Akhirnya dia tidak memiliki pendirian yang tetap dan akan jatuh tersungkur daripada landasan yang lurus.
UMAT Islam kini berada pada bulan keenam dalam kalendar Islam iaitu Jamadilawal. Pada bulan ini berlaku beberapa peristiwa penting, termasuk Perang Al ‘Ashirah dan Zat Ar Riqa.
- Peperangan Al ‘Ashirah pada tahun kedua hijrah dipimpin oleh Rasulullah.
Namun, tidak berlaku apa-apa pertempuran disebabkan perjanjian damai yang dimeterai antara Rasulullah dengan Bani Mudlij serta penyokong mereka Bani Hamzah.
Baginda bersama sahabat kembali ke Madinah.
- Peperangan Zat Ar Riqa juga pada tahun kedua hijrah juga diketuai oleh Nabi Muhammad.
Peristiwa itu berlaku di satu kawasan di daerah Najd, kediaman Bani Muharib dan Bani Tha’labah dari kaum Ghatafan.
Dalam peperangan ini juga tiada pertempuran berlaku. Ia dinamakan Zat Ar Riqa (yang mempunyai cebisan kain) kerana sahabat membalut kaki mereka dengan cebisan kain kerana kepanasan bumi Najd.
- Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke Al Qussah yang mengandungi 10 orang.
Ia bertujuan memerangi Bani Tha’labah. Perutusan itu diserang hendap oleh 100 orang Badwi dan membunuh semua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah. Beliau cedera parah hingga orang Badwi menyangkanya sudah mati.
Sekumpulan Badwi yang lain membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.
- Peperangan Mu’tah pada tahun kelapan hijrah.
Peristiwa ini disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin ‘Amr Al Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah, yang bernama Al Harith bin Umair Al Azdiy dari kaum Bani Lahab.
Beliau diutuskan Baginda membawa sepucuk surat kepada maharaja Rom atau pembesar Busra. Al Harith kemudian ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya.
Rasulullah kurang senang dengan pembunuhan itu kerana mengikut peraturan pada zaman itu, seseorang utusan tidak boleh diapa-apakan hingga dia pulang ke tempat asalnya.
Baginda menghantar sekumpulan tentera yang diketuai Zaid bin Harithah dan berpesan “sekiranya Zaid terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja’afar bin Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi.”
Semua sahabat tadi syahid dalam peperangan itu lalu, ia dipimpin oleh Khalid bin Al Walid yang telah mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.
- Peperangan Ajnadin pada tahun ke-13 hijrah.
Peristiwa ini berlaku antara tentera Islam yang dipimpin oleh ‘Amr bin Al ‘As, Abu ‘Ubaidah bin Al Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang diketuai oleh Wardan.
Tentera Rom tewas dalam peperangan itu dan pemimpin mereka, Wardan juga mati di situ.
Peristiwa itu berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.
- Kematian Asma’ binti Abu Bakar yang digelar Zat An Nitoqain.
Beliau adalah salah seorang yang dijanji masuk ke syurga oleh Allah adalah wanita kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid.
Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah ketika berusia 100 tahun.
Asma’ adalah ibu kepada Abdullah bin Az Zubair yang dibunuh oleh Al Hajjaj As Thaqafiy.
- Kematian Abdullah bin Az Zubair pada 17 Jamadilawal tahun ke-73 hijrah.
Beliau adalah anak kaum Muhajirin yang pertama dilahirkan di kota Madinah ketika penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah.
Bapanya Az Zubair bin Al ‘Awwam, sepupu Nabi dan ibunya, Asma’ binti Abu Bakar. Emak saudaranya pula ialah Aishah binti Abu Bakar.
Beliau syahid dibunuh oleh Al Hajjaj bin Yusuf iaitu pembesar kerajaan Bani Ummaiyyah.
Dostları ilə paylaş: |