Dadah dan arak mengancam keselamatan ummah


Manusia akhir zaman cintakan dunia



Yüklə 439,49 Kb.
səhifə11/25
tarix03.01.2019
ölçüsü439,49 Kb.
#89053
1   ...   7   8   9   10   11   12   13   14   ...   25

Manusia akhir zaman cintakan dunia


Oleh Drs Wan Aminurrashid

UMAT Islam hari ini sedang berada pada akhir zaman. Tidak dinafikan zaman ini adalah zaman ramai manusia tertarik dan terpesona terhadap kehidupan dunia.


Zaman ini juga adalah zaman banyak berlaku pelbagai bentuk kejahatan dan penyelewengan di sana sini demi untuk merebut pangkat serta kedudukan.

Dalam hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa pada suatu masa nanti semakin ramai manusia yang hatinya terpaut kepada dunia. Hadis itu bermaksud: “Akan datang kepada umatku suatu zaman, di mana mereka lebih cinta kepada lima perkara dan lupa kepada lima perkara lain iaitu cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat; cinta kepada harta dan lupa kepada hari hisab (perhitungan); cinta kepada makhluk dan lupa kepada khaliq (penciptanya); cinta kepada dosa dan lupa kepada taubat; cinta kepada mahligai dan lupa kepada makam (kuburan).”

 Cinta dunia lupakan akhirat.

Setiap Mukmin tentu sedar dan yakin bahawa dunia yang dihuni sekarang hanyalah tempat persinggahan sementara. Dunia itu sendiri bererti pendek, dekat atau tidak lama.

Dunia yang didiami manusia ini akhirnya akan lenyap dan binasa. Yang abadi lagi kekal ialah kehidupan akhirat. Akhirat bererti kemudian hari. Allah sendiri menyifatkan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal.

Lamanya masa hidup di alam dunia ini diibaratkan Rasulullah sebagai bermimpi sewaktu tidur.

Menerusi hadis lain, Baginda mengumpamakan sebagai musafir sedang berjalan di bawah bahang matahari, lalu dia berhenti berehat di bawah sebatang pohon.

Apabila rasa penat sudah hilang dan udara panas kembali elok, maka musafir terbabit menyambung pengembaraannya dan tidak kembali lagi ke tempat itu untuk selama-lamanya.

Allah sebagai pemberi rezeki sudah memberikan pelbagai bentuk nikmat dan kesenangan kepada manusia. Mereka yang dianugerahkan kemewahan perlulah menghayati dan mensyukuri nikmat itu dengan memanfaatkannya ke jalan kebaikan demi mendekatkan diri kepada Allah di samping mencapai kehidupan lebih baik di akhirat.

Namun, kecenderungan kepada kemewahan dan kesenangan dunia sudah menjadi tabiat manusia meskipun dunia yang dikejar itu suatu masa nanti akan binasa.

Muslim sejati perlulah memiliki jiwa atau perasaan tidak terlalu mencintai dunia hingga tidak mempersiapkan bekalan secukupnya untuk menghadapi kehidupan akhirat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa bercita-citakan kehidupan akhirat, maka Tuhan menjadikan kekayaan dalam hatinya, dihimpunkan segala kepentingannya, dan diberikan kepadanya kenikmatan hidup ini seberapa perlunya. Sesiapa bercita-citakan kehidupan dunia, Allah menjadikan kemiskinan antara dua matanya, dipisahkan daripadanya apa yang menjadi keperluannya dan tidak di-berikan kepadanya kenikmatan hidup dunia kecuali apa yang sudah ditentukan.” – (Hadis riwayat aT-Turmizi).

 Cinta kepada harta lupakan hisab (perhitungan).

Islam tidak menghalang penganutnya mencari harta sebanyak mungkin asalkan caranya halal dan perkara paling mustahak ialah jangan sampai harta benda atau kekayaan itu dijadikan tujuan hidup.

Anggaplah harta anugerah Allah itu sebagai barang amanat dan sebagai alat saja, iaitu alat mendekatkan diri kepada Allah dan dapat mewujudkan perhubungan erat dan mesra antara sesama manusia.

Biarpun begitu, tidak sedikit jumlah mereka yang menjadikan harta benda sebagai matlamat kehidupan hingga sampai kepada ‘tujuan menghalalkan cara’.

Perlu diingat bahawa harta yang diperoleh walaupun dengan ikhtiar dan usaha sendiri, namun ia sebenarnya anugerah Allah, sekali gus milik mutlak-Nya.

Manusia hanyalah pemegang amanah dengan kemampuan dan hak yang terbatas. Walaupun manusia bekerja keras, tetapi jika tanpa izin Allah, manusia tidak akan mencapai kejayaan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kerajaan langit dan bumi dan yang ada di antara kedua-duanya adalah kepunyaan Alah.” – (Surah al-Maidah, ayat 17).

Sebenarnya cara pemilikan dan penggunaan harta sudah digariskan Islam di mana seseorang itu boleh mencari harta atau wang ringgit secara halal, kemudian dia berhak memanfaatkan atau membelanjakan harta itu dengan wajar iaitu tidak mewah atau berlebih-lebihan hingga ke tahap pembaziran.

Oleh kerana dalam harta miliknya itu sebenarnya ada hak orang lain, maka seseorang berkewajipan membayar zakat, menafkahkan untuk pembangunan Islam dan kepentingan masyarakat umum serta bersedekah kepada golongan yang hidup susah.

 Cintakan makhluk lupakan Khaliq.

Mencintai Allah akan menjadikan seseorang sentiasa tekun beribadah dan sujud kepada Allah, suka kepada kebajikan dan beramal salih. Tetapi akhir-akhir ini, ramai manusia jatuh cinta kepada makhluk hingga cuai dalam mengingati Allah.

Contohnya, ramai manusia yang mengabaikan perintah Allah dan menentang hukum Allah. Mereka sibuk dengan kerjaya, mesyuarat, mengejar keuntungan dan sebagainya, tetapi lupa kepada kewajipan solat.

Mencintai Allah perlu ditempatkan pada kedudukan tertinggi kerana cintakan Allah akan memantulkan kebaikan kepada manusia sendiri sama ada dalam kehidupan dunia atau akhirat.

Orang yang benar-benar mencintai Allah dalam kehidupan dunia ini akan sentiasa beroleh petunjuk dan ketenteraman hidup.

 Cinta berbuat dosa lupakan akhirat.

Tidak dinafikan bahawa manusia tidak terlepas daripada dosa kerana manusia bersifat lemah dan lupa. Ada di kalangan manusia sengaja atau gemar melakukan pelbagai perbuatan yang menjadi larangan agama.

Akibat terlalu asyik dengan keseronokan melakukan sesuatu yang sebenarnya dilarang agama akhirnya ada yang lupa bertaubat apatah lagi jika menemui ajal secara tiba-tiba.

Berkaitan dengan dosa manusia, ia boleh dibahagikan kepada dua. Pertama, dosa yang dilakukan secara sedar dan kedua, dosa disebabkan kejahilan.

Biarpun begitu, pintu keampunan sentiasa dibuka Allah biar sebesar dan seberat mana dosa yang dilakukan.

Rasulullah walaupun insan maksum (bebas daripada dosa) tetapi masih mengharapkan keampunan dan taubat daripada Allah.

Justeru, apakah kita manusia biasa yang banyak dosa, sudah tentulah sepatutnya sentiasa beristighfar atau bertaubat.

Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa taubat yang sebenarnya (taubat nasuha) ialah ‘meninggalkan (berbuat) dosa dengan niat tidak akan mengulangi lagi berbuat demikian pada masa akan datang.’

 Mencintai mahligai lupakan makam (kuburan)

Hari ini, ramai orang yang suka membina rumah dan gedung besar bagaikan istana sedangkan ia hanya diduduki untuk tempoh singkat. Hakikatnya, kuburan yang luasnya hanya beberapa meter adalah tempat bersemadi untuk tempoh yang lama hingga menunggu hari kiamat.

Biarpun rumah dibina di dunia itu begitu mewah bagaikan kubu pertahanan untuk mempertahankan diri daripada serangan atau gangguan luar, namun ia tidak dapat menghindari kedatangan malaikat maut apabila tiba masanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada dalam benteng tinggi lagi kukuh.” – (Surah An-Nisa’, ayat 78).

Sesungguhnya, lima perkara ini perlulah diberikan perhatian setiap Muslim. Semoga dengan memperhatikan kelima-lima perkara itu, kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi.



Yüklə 439,49 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   7   8   9   10   11   12   13   14   ...   25




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin