Wadah Wanita Islam: Golongan muda penyokong kuat perjuangan Islam
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir
PEMUDA dan pemudi memegang peranan penting dalam hampir setiap perjuangan meraih cita-cita seperti revolusi Perancis yang menumbangkan kekuasaan monarki, digerakkan oleh pemuda dan pemudi. Perjuangan pro demokrasi di Republik Rakyat China (RRC) serta di Burma juga digerakkan oleh pemuda dan pemudi.
Medan Tiananmen di Beijing, China, boleh menjadi saksi bagaimana keberanian pemuda-pemudi menyongsong desingan peluru demi cita-cita demokrasi yang diidamkan. Bahkan foto yang merakamkan keberanian seorang pemuda pro-demokrasi menyongsong iringan kereta kebal menjadi foto jurnalistik terbaik sedunia ketika itu.
Pengikut setia Lenin dan Stalin pada awal kemenangan komunis di Russia kebanyakannya adalah pemuda.
Seorang pemuda, Michail Gorbachev ketika berusia 18 tahun menulis, ‘Lenin adalah ayahku, guruku dan Tuhanku’.
Begitu juga dalam sejarah dakwah Islam, pemuda-pemudi memegang peranan penting dan nabi serta Rasul yang diutus Allah untuk meyampaikan ajaran agama juga terpilih daripada kalangan pemuda berusia 40 tahun.
Berkata Ibnu Abbas: “Tidak ada seorang nabipun yang diutus Allah melainkan ia (dipilih) daripada kalangan pemuda saja (antara 30-40 tahun). Begitu juga tidak seorang alim pun yang di beri ilmu melainkan (hanya) daripada kalangan pemuda saja.” – (Tafsir Ibn Katsir III/63).
Dalam al-Quran ada banyak kisah pemuda menegakkan kebenaran seperti Ashabul Kahfi, pemuda bernama Musa, pemuda bernama Yusuf dan keberanian seorang pemuda iaitu Nabi Ibrahim yang kisahnya diceritakan dalam firman Allah bermaksud: “Mereka berkata: Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim.” – (Surah Al-Anbiyaayat, ayat 60).
Ibrahim sememangnya menentang keras kebiasaan kaumnya menyembah sesuatu selain Allah dan mencela patung sembahan mereka yang sama sekali tidak memberi manfaat dan hanya mendatangkan mudarat.
Dalam surah Asy-Syu’ara, ayat 72, diceritakan bagaimana pemuda bernama Ibrahim berdebat mengenai cara kaumnya berfikir. Berkata Ibrahim: “Apakah berhala-berhala itu mendengar sewaktu kamu berdoa kepadanya? Atau (dapatkah) mereka memberi manfaat kepadamu atau memberi mudarat?” Mereka menjawab, Sebenarnya kami mendapati nenek moyang kami berbuat demikian.”
Jelaslah bahawa mereka menyembah berhala itu kerana taqlid buta semata-mata, tanpa ilmu. Ibrahim lantas menjelaskan siapa yang sesungguhnya berhak disembah.
Berkata Ibrahim: “Kerana sesungguhnya apa yang kamu sembah itu adalah musuhku, kecuali Tuhan semesta alam. Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukkan aku dan Tuhanku yang Dialah memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkanku".
Bukan hanya berdebat, malahan Ibrahim juga bertindak seperti yang diceritakan dalam surah Al-Anbiya, ayat 65 yang bermaksud: “Maka Ibrahim membuat berhala-berhala itu hancur, kecuali yang terbesar dari patung-patung yang lain, agar mereka (kaum itu) kembali bertanya kepadanya.” Ketika mereka menangkap Ibrahim dan menuduhnya merosakkan berhala itu, Ibrahim meminta mereka untuk bertanya kepada berhala besar yang masih tertegak itu. Sudah tentu mereka tidak mahu melakukan kerana mereka tahu bahawa berhala itu tidak dapat berbicara. “Kemudian mereka tertunduk (lalu berkata): “Sesungguhnya kamu Ibrahim telah mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berbicara.” – (ayat 65).
Nabi Muhammad ketika diangkat menjadi Rasul berumur 40 tahun sementara pengikutnya adalah generasi pertama, kebanyakan golongan pemuda-pemudi dan ada yang masih kanak-kanak.
Mereka dibimbing oleh Rasulullah setiap hari di Darul Arqam antaranya Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam, kedua-duanya berumur 8 tahun; Thalhah bin Ubaidillah (11); Al-Arqam bin Abi Al-Arqam (12); Abdullah bin Mas'ud (14); Saad bin Abi Waqqash (17); Jaafar bin Abi Thalib (18); Zaid bin Haritsah (20); Mush’ab bin Umair (24); Umar bin Khattab (26); Abu Bakar as-Siddiq (37); Hamzah bin Abdul Muthalib (42) dan Ubaidah bin Al-Harits yang paling tua diantara sahabat, berusia 50 tahun.
Ada puluhan ribu pemuda-pemudi lain terbabit secara aktif dalam dakwah menegakkan panji Islam pada zaman Rasulullah dan umumnya, mereka memainkan peranan besar memperjuangkan agama.
Contohnya, Usamah bin Zaid, ketika berusia 18 tahun, diangkat Rasulullah sebagai komander pasukan Islam ketika menyerbu Syam sedangkan masih ada sahabat yang lebih dewasa seperti Abu Bakar, Umar al-Khatab dan Abdullah bin Umar.
Ramai juga di kalangan pemudi menjadi teras perjuangan pada peringkat awal dakwah Rasulullah seperti isteri nabi, Siti Khadijah dan Siti Aisyah; Fatimah, adik kepada Umar al-Khattab serta Sumayyah binti Khayyat.
Pemuda-pemudi gagah berani, sanggup memikul beban dakwah dan bersedia berkoran menghadapi ujian Allah semata-mata mencapai kejayaan dan kemuliaan Islam mendapat kebaikan, keampunan daripada Allah dan syurga yang tidak terkira nikmatnya.
Mereka itulah yang disebut sebagai orang muflihun (beruntung) seperti firman Allah bermaksud: “Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” – (Surah At-Taubah, ayat 88).
Firman Allah lagi bermaksud: “Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku (kerana mengembangkan dakwah Islam) yang berperang dan yang dibunuh, pasti akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allahlah terdapat pahala yang baik.” – (Surah Ali-Imran, ayat 195).
Berdasarkan dalil yang kuat, diyakini Islam akan melingkupi seluruh dunia pada masa depan sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang mengutuskan rasul-Nya (dengan membawa ) petunjuk yang benar dan agama yang hak untuk dimenangkan-Nya di atas seluruh agama walaupun orang-orang musyrik membencinya.” – (Surah At-Taubah, ayat 33).
Kejayaan Islam pada masa lalu muncul akibat dakwah yang banyak ditunjangi pemuda-pemudi Islam yang memiliki sifat dan sikap perjuangan gigih, tanpa mengira siang atau malam.
Pemuda-pemudi Islam sekarang hidup dalam suasana globalisasi tanpa sempadan yang sungguh mencabar kerana globalisasi menyebabkan banyak kekeliruan antara pertentangan nilai kehidupan fahaman Barat dengan nilai idealisme Islam.
Dari satu sudut, mereka tetap muslim tetapi dari sudut lain, pemikiran, perasaan, tingkah laku dalam berpakaian, bergaul, banyak dicemari oleh pemikiran kebudayaan Barat.
Ramai hilang jati diri dan semangat patriotik disebabkan racun yang mengelirukan dan menyesatkan (westoxciation), yang membelokkan pemahaman ka-um Muslimin terutamanya golongan muda daripada nilai Islam yang murni.
Oleh itu, kaum muda dan remaja perlu di dekati dan dibangkitkan jiwa dengan suntikan kesedaran kemuliaan Islam serta jati diri Muslim sejati menggunakan pendekatan mesra remaja dan kasih sayang.
Jika kita menginginkan kejayaan Islam, kita perlu kepada pemuda dan pemudi berkualiti, memiliki komitmen tauhid yang lurus serta keberanian yang tidak boleh dijual beli.
PENULIS boleh dihubungi di e-mel, wanitajim0@yahoo.com
Dostları ilə paylaş: |