Duli yang maha mulia paduka seri sultan perak darul ridzuan sultan nazrin muizzuddin shah



Yüklə 39,53 Kb.
tarix06.03.2018
ölçüsü39,53 Kb.
#44615

TITAH

DULI YANG MAHA MULIA

PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH

IBNI ALMARHUM

SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH AL-MAGHFUR-LAH
PERAYAAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI PERAK

TAHUN 2016
TARIKH: 19 SYAABAN 1437/26 MEI 2016 (KHAMIS)

JAM: 10.00 PAGI

TEMPAT: SEKOLAH MENENGAH SAINS

RAJA TUN AZLAN SHAH, TAIPING

GURU; PEMBINA NEGARA BANGSA’






Salam Sejahtera




Pada tengah hari Jumaat 13 Mei 2016, hampir semua khatib di mimbar masjid di seluruh negara, menyampaikan Khutbah Jumaat bertemakan ‘GURU; PEMBINA NEGARA BANGSA’. Para khatib mengingatkan bahawa profesion seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik, malah menjadi seorang guru perlu menggalas tugas dan cabaran yang hebat, untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia, agar menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.
2. Hari Jumaat, penghulu segala hari; Solat Jumaat adalah solat akbar, mimbar Jumaat adalah pentas mulia dalam rumah ALLAH. Profesion guru yang dipilih sebagai mauduk khutbah merupakan satu pengiktirafan tinggi ulama kepada warga guru. Para guru merupakan murabbi, pendakwah yang diiktiraf sangat mulia di sisi agama dan masyarakat, kerana mereka mewarisi tugas-tugas para Rasul, membimbing manusia ke jalan kebenaran dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu. Ayat 2, Surah Al-Jumu’ah bermaksud;
Dia telah mengutus kepada kaum yang buta huruf, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH, dan mensucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka Kitab ALLAH dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
3. Anas bin Malik Radiallahuanhu meriwayatkan betapa besarnya peranan guru yang diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan - menerangi laluan1 bersandarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud;
Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan, sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah tujuan”
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin telah memetik sabda Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam yang bermaksud;
Bahawasanya ALLAH Subhanahu Wata’ala, malaikat-malaikat, isi langit dan bumi, sampai kepada semut di dalam lubang dan ikan di laut, semuanya berdoa kebajikan kepada orang yang mengajarkan manusia.”
4. Dalam suasana manusia yang kini kelihatan semakin hanyut dalam arus kebendaan, kandungan khutbah Jumaat yang disampaikan menjelang sambutan Hari Guru Tahun 2016, memberikan ingatan penting dan telah menyuntik roh – menyinarkan cahaya, untuk mengembalikan apresiasi dan penghormatan masyarakat kepada satu perkhidmatan yang sangat kritikal lagi mulia, perkhidmatan yang diamanahkan untuk membimbing, mendidik, mengasuh, mengajar dan mengilmukan manusia.
5. Peranan guru amat penting dalam kehidupan insan. Negara cemerlang terhasil daripada umat cemerlang, umat cemerlang terhasil daripada keluarga cemerlang, keluarga cemerlang terhasil daripada individu cemerlang, dan individu cemerlang terhasil daripada didikan cemerlang warga guru; kandungan khutbah pada 13 Mei lalu, turut menasihatkan agar jasa guru dihormati dan dihargai.
6. King Philip II Macedonia telah menyerahkan putera baginda, Alexander, ketika Alexander berusia tiga belas tahun untuk diasuh dan dididik oleh Aristotle, seorang ahli falsafah terkenal Yunani. Aristotle telah mengajar Alexander ilmu sains dan sastera. Alexander muncul sebagai Raja yang hebat, dirujuk dengan nama Alexander the Great. Kejayaan Alexander menakluki dunia pada usia tiga puluh tiga tahun menjadi sumber inspirasi kepada pemimpin-pemimpin terkemudian antaranya Roman Pompey, Julius Caesar dan Napoleon Bonarparte. Apabila Alexander ditanya akan rahsia kejayaannya, baginda merujuk kepada jasa besar gurunya Aristotle dengan menyatakan;
I am indebted to my parent for living, but to my teacher for living well”
Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam Al-Ghazali turut memetik nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya supaya menghormati guru, dengan kata-kata;
Wahai anakku, pergaulilah para guru dan rapatilah mereka dengan ke dua lututmu, kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala menghidupkan hati dengan nur hikmah, sebagaimana ALLAH menghidupkan bumi dengan hujan dari langit”.
7. ALLAH Subhanahu Wata’ala telah menunjukkan banyak teladan akan peranan istimewa guru, terkandung pelbagai kisah yang menyentuh adab sopan hubungan murid dengan guru, terdapat pelbagai contoh pedagogi melalui pelbagai peristiwa untuk dijadikan pedoman. Bagaimana seorang insan yang buta huruf, telah diberikan tutorial secara peribadi, oleh Malaikat Jibrail Alaihissalam yang diamanahkan untuk mengajar Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, bermula dalam bilik darjah yang sempit di Gua Hira. Jibrail Alaihissalam mengulangi tiga kali kalimah iqra dan pada akhirnya melakukan sentuhan fizikal, memeluk batang tubuh Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam dalam proses mengajar Baginda membaca. Selanjutnya, setelah Baginda diangkat menjadi Rasul, dengan perintah ALLAH Subhanahu Wata’ala, Malaikat Jibrail Alaihissalam terus menemui Baginda, menyampaikan wahyu demi wahyu, sehingga lengkapnya seluruh kandungan 6,236 ayat Al-Quran, mengambil masa 22 tahun, 2 bulan, 22 hari.
8. ALLAH Subhanahu Wata’ala turut memberikan teladan betapa pentingnya seorang murid menunjukkan sifat sabar dan tidak gopoh sewaktu berguru berasaskan ayat 60 hingga ayat 81 Surah Al Kahfi; sifat kurang sabar Nabi Musa Alaihissalam wajib dijadikan pengajaran; kerana ingkar menghormati pesanan, terputuslah hubungan berguru dengan Nabi Khidir Alaihissalam. Imam Al-Ghazali menasihatkan, hendaklah pelajar itu bersikap kepada gurunya seumpama tanah kering yang disirami hujan lebat; maka meresaplah ke seluruh bahagiannya dan meratalah keseluruhan air hujan itu. Diperingatkan juga, manakala guru itu menunjukkan jalan belajar kepadanya, hendaklah ditaati dan ditinggalkan pendapat sendiri.
9. Kejayaan Helen Adam Keller, pelajar pekak dan buta yang pertama mendapat ijazah universiti, membuktikan hasil daripada kesungguhan dan sifat gigih luar biasa, serta komitmen tinggi seorang guru kepada murid. Helen dilahirkan pada 27 Jun 1880 di Tuscumbia, Alabama. Pada usia sembilan belas bulan, Helen Keller diserang penyakit kritikal mengakibatkan Helen menjadi pekak dan buta. Pada tahun lapan belas lapan puluhan (1880) orang pekak dan buta diklasifikasikan mengikut undang-undang sebagai insan yang tidak relevan. Johanna Anne Mansfield Sullivan Macy, lebih dikenali dengan Anne Sullivan, dilahirkan pada 14 April 1866 di Agawan, Massachusetts. Beliau, seorang guru yang berpegang kepada prinsip bahawa kanak-kanak lebih memerlukan bimbingan dan simpati daripada arahan. Anne Sullivan dapat melihat potensi besar yang terkandung dalam diri Helen. Dengan penuh kesabaran, dengan penuh ketabahan dan dengan penuh rasa kasih yang mendalam, Anne Sullivan telah membuktikan kepada dunia, akan keajaiban yang dimiliki oleh jiwa sejati seorang guru. Anne Sullivan berpendirian, seorang yang berjiwa guru, tidak akan berputus asa untuk membangunkan potensi seorang murid. Anne Sullivan sedar bahawa beliau tidak boleh mengembalikan pendengaran mahupun penglihatan Helen Keller, namun Anne Sullivan mentafsirkan pancaindera hanyalah perkara zahir, kalbu itu batin, lalu meneroka kaedah pengajaran yang berjaya menyalakan penglihatan dalaman, menyalakan harapan dan menyalakan impian di sumbu kalbu Helen Keller. Anne Sullivan memperkenalkan teknik pengajaran yang berupaya menerokai kekuatan dalaman seorang insan yang menganggap hidupnya telah malap tanpa cahaya.
10. Helen Keller dididik untuk merenung ke dalam, hingga menemui kesaktian minda yang berkemudi. Helen Keller yang buta penglihatan untuk melihat dunia di sekitarnya, telah dipertemukan dengan seorang guru yang berupaya membawanya mengembara dunia dalaman, menyemaikan keyakinan dan membina kekuatan dalam dirinya, hingga mengupayakannya mencapai mutiara di langit jauh. Helen Keller menjadi pelajar pekak dan buta yang pertama berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Radcliffe College pada tahun 1904, selanjutnya menjadi pensyarah, pengarang dan aktivis politik sebelum menghembus nafas terakhir pada 1 Jun 1968. Anne Mansfield Sullivan telah berjaya memperkenalkan kepada dunia, kaedah mengajar anak yang pekak, buta dan bisu. Anne Sullivan menjadi contoh – menjadi sumber inspirasi; mempamerkan jiwa tulen seorang guru yang tidak akan berputus asa untuk membantu membangunkan potensi seorang murid.
11. Michael Faraday adalah satu lagi kisah kejayaan yang dihasilkan melalui peranan luar biasa seorang mentor yang sejati berjiwa guru. Faraday bertugas sebagai janitor di makmal Royal Institution Great Britain. Sir Humphrey Davy melihat Faraday memancarkan imej seorang insan penuh potensi yang masa hadapannya tidak harus terbatas berperanan sebagai janitor. Sir Humphrey Davy lalu mendidik, membimbing dan mengajar Michael Faraday; pada akhirnya Michael Faraday mencipta kejayaan lebih hebat daripada gurunya dengan memperkenalkan kepada dunia bahawa elektrik berupaya menjanakan kuasa dan cahaya.
12. Terdapat banyak kisah kejayaan dan kisah perjuangan yang dirintis oleh para guru dalam pelbagai bidang termasuk berperanan sebagai tenaga inteligensia yang menggerakkan perjuangan kemerdekaan negara bangsa. Guru yang hebat berupaya memancarkan visi dan misi; guru yang hebat berupaya menggerakkan hati, meniupkan semangat dan mencetuskan gerakan; guru yang hebat memiliki karakter yang berupaya menerokai lapisan-lapisan potensi yang terselindung di dalam diri setiap anak pelajar; guru yang hebat akan terus berusaha untuk mencungkil setiap bakat demi memastikan kejayaan mereka; guru yang hebat memiliki kombinasi sifat-sifat kreatif, inovator, komunikator dan educator; diperkukuhkan dengan keperibadian yang menawan dan rasa sayang yang bersedia menaburkan muridnya dengan bunga kasih yang semerbak mewangi.
13. Tema sambutan ‘Guru; Pembina Negara Bangsa’ amatlah bertepatan, menggambarkan peranan para guru yang membekalkan kompas agar para pelajar berupaya menakhoda destinasi hidup; dan para guru juga adalah arkitek masyarakat dan jurutera sosial membantu usaha membina masa hadapan sebuah negara bangsa yang berjaya lagi gemilang. Para guru adalah pusat kepada pendidikan atau the centre of education, bertanggung jawab mencanai minda pelajar.
14. Para guru juga diamanahkan dengan tanggung jawab mendidik dan menyemaikan nilai dalam diri anak-anak yang berada dalam usia formatif. Tidak semua pelajar akan berakhir sebagai Presiden atau Perdana Menteri di sebuah negara, atau menjadi seorang Ketua Hakim di Mahkamah atau Naib Canselor di universiti atau Ketua Eksekutif di syarikat ternama, namun setiap pelajar boleh dicanai untuk menjadi aset berharga dan warga patriotik kepada negara bangsanya.
15. Sekolah adalah tapak untuk benih ilmu dan benih pengetahuan dapat disemai. Namun pencapaian jangan terlalu dipengaruhi dengan ukuran yang terlalu mirip kepada kuantiti, terlalu taasub dengan markah peperiksaan. Lebih penting daripada itu, sekolah juga ialah tapak untuk menyemaikan nilai murni. Malah peranan melahirkan insan berjiwa murni, lebih penting diutamakan daripada sekadar melahirkan insan berkelulusan akademik yang cemerlang. Kegemilangan sesebuah negara amat dipengaruhi oleh sifat dan watak para warganya. Semakin tinggi kelulusan pendidikan yang dicapai oleh seseorang insan, semakin besar tanggungjawab yang diserahkan, menjadikan semakin perlu untuk insan tersebut disauhkan sifatnya dengan nilai murni.
16. Negara akan melahirkan warga bersifat robot yang berfungsi secara mekanikal jika komponen membina kekuatan rohaniah tidak disemai sejak mereka berada di bangku sekolah. Kekuatan dalaman adalah benteng utama untuk mencegah manusia daripada mudah dipengaruhi nafsu; kekuatan rohaniah akan melindungi manusia daripada bersifat tamak – bersifat haloba. Kekuatan dalaman dan kekuatan rohani akan menghindar manusia daripada melakukan perkara yang melanggar prinsip kemanusiaan, menghindar manusia daripada melakukan perkara yang bercanggah dengan undang-undang dan menghindar manusia daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Sejak tahun 1979 lagi, telah dirumuskan oleh Jawatankuasa Kabinet, perakuan yang menekankan pentingnya diberikan tumpuan kepada aspek pembentukan nilai. Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 menegaskan, di samping meneliti kemampuan sistem pendidikan melahirkan rakyat yang bersatu padu, terlatih dan berdisiplin, pendidikan akhlak wajib diberikan keutamaan2. Laporan tersebut menggambarkan bahawa matlamat dan hasrat pendidikan negara, tidak akan tercapai, jika tidak berlandaskan nilai luhur dan murni.
17. Sejak daripada zaman para Rasul dan para Anbia, insan-insan yang bersedia mengambil tanggungjawab ulama dan guru telah menjadikan pembentukan sahsiah sebagai tugas utama yang perlu didahulukan. Imam Al-Ghazali menegaskan, orang-orang yang bertanggungjawab dalam lapangan ilmu pengetahuan samalah halnya dengan orang-orang yang bertanggungjawab di benteng-benteng pertahanan dan orang-orang yang berjuang berjihad fisabilillah.3 Meskipun Laporan Jawatankuasa Kabinet itu telah tiga puluh tujuh tahun berlalu, meskipun telah terdapat pelbagai penemuan baru, meskipun telah diperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan terkini, aspek-aspek berkaitan nilai murni tidak harus dipinggirkan; malah dalam menghadapi cabaran dunia semasa yang semakin dikaburi oleh pengaruh materialisme, dan demi menjamin masa hadapan negara yang gemilang, aspek nilai murni ini, jangan sama sekali terlepas daripada perhatian hingga dipinggirkan. Frederick Douglas, seorang pejuang terkemuka kulit hitam menentang perhambaan di Amerika Syarikat pada abad kesembilan belas mengingatkan bahawa;
It is easier to build strong children than to repair broken adults”
18. Nilai tinggi warga terhadap negara wajib terus disemaikan. Setelah hampir 59 tahun mencapai kemerdekaan, semangat kenegaraan jangan dialpakan hingga warga lupa menghargai nikmat kemerdekaan dan gagal memahami erti sebuah negara bangsa yang merdeka. Semangat yang bersemarak ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 hendaklah terus dinyalakan, dihidupkan dan ditiup dalam jiwa dan sanubari pelajar. Akhbar New Straits Times, terbitan 18 Februari 2016, telah menyiarkan artikel tulisan Rueben Dudley. Rueben Dudley, berusia lima belas tahun ketika negara mencapai kemerdekaan dan terpilih sebagai juara kejohanan pidato yang dianjurkan di kalangan prefect sekolah sempena perayaan kemerdekaan tahun 1957. Rueben menyampaikan pidato bertajuk “The Men to Make a State”, pidato yang dipetik daripada pidato yang pernah diucapkan pada pertengahan abad kesembilan belas oleh George Washington Doane, seorang profesor di Washington College. Pidato tersebut antara lain menyebut;
Petikan;
The men to make a state must be honest men. I do not mean men that would never steal. I do not mean men that would scorn to cheat in making change. I mean men with a single face. I mean men with a single tongue. I mean men that always consider what is right, and do it at whatever cost. I mean men whom no king on earth can buy.
Men that are in the market for the highest bidder; ....men that look to office for a living; men that will crawl where they cannot climb; these are not the men to make a state.
The men to make a state must be brave men. I do not mean men that pick a quarrel. I do not mean men that carry dirks. I mean men that walk with open face and unprotected breast. I mean the men that do, but do not talk. I mean that men that dare to stand alone. I mean men that are afraid to kill, but not afraid to die.
The man that calls hard names and uses threats, the man that stabs in secret, with his tongue or his pen; the man that moves a mob to deeds of violence and self-destruction; the man that freely offers his last drop of blood, but never sheds the first; these are not the men to make a state
The men to make a state are made by faith. A man that has no faith is so much flesh; his heart a muscle, nothing more. He lives. So does a clam. Both die. Such men can never make a state. There must be faith, which furnishes the fulcrum Archimedes could not find for the long lever that should move the world..”
19. Tetamu utama semasa berlangsungnya pertandingan pidato tersebut, Menteri Pelajaran ketika itu, Mohd Khir Johari, (Allahyarham Tan Sri) dalam ucapannya, mengakui terkandung nilai tinggi kenegaraan dalam pidato tersebut dan menyatakan beliau akan mengedarkan teks penuh pidato tersebut untuk manfaat rakan-rakan jemaah Menteri. Semangat yang terkandung dalam pidato tersebut, wajar dijadikan pedoman dalam usaha menyuntik nilai-nilai kenegaraan di kalangan pelajar.

20. Dewan ini dipenuhi oleh ramai insan yang telah mencapai dan mencipta kejayaan. Sedarilah! di belakang kejayaan setiap seorang daripada kita, ada guru yang telah berjasa besar dalam hidup kita; mereka tanpa jemu - tanpa bosan; tanpa mengenal lelah – tanpa mengenal letih, dengan sabar, tekun, jujur dan ikhlas, memberikan kita bimbingan, dorongan, asuhan dan panduan. Jasa bakti para guru dan pengorbanan para guru untuk kejayaan kami, amatlah kami sanjung dan hargai. Bersempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak, bagi pihak seluruh rakyat negeri ini, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada seluruh warga guru di atas jasa bakti anda semua kepada kami dan kepada anak cucu kami.


Tenang-tenang air di laut,

Sampan kolek mudik ke tanjung;

Hati terkenang mulut tersebut,

Budi yang baik rasa nak junjung.


Pulau pandan jauh ke tengah,

Gunung Daik bercabang tiga;

Hancur badan di kandung tanah

Budi baik dikenang juga.


Semoga segala jasa bakti dan khidmat murni para guru diterima sebagai amal makruf yang dirahmati ILAHI dengan ganjaran dunia – ganjaran akhirat. Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Perak.






1


2


3



Yüklə 39,53 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin