Ingin bertanya pada hati, bibir berat berbicara siapa yang bertakhta di hati? Hanya dia



Yüklə 116,32 Kb.
səhifə2/4
tarix21.08.2018
ölçüsü116,32 Kb.
#73242
1   2   3   4

BAB 5

MALAM itu mama
menyediakan lauk
kegemaranku. Mungkin
kerana sudah lama aku tidak makan bersama menjadikan
suasana di meja makan kecoh dengan celoteh mama.
"Malam esok Miera jangan ke mana-mana."
Arahan mama membuat aku tidak senang duduk.
Ini mesti ada benda yang mama hendak suruh aku buat.
Berada di bawah lembayung kasih mama dan ayah membuat
aku sudah dapat membaca gerak langkahnya.
"Kenapa pula, mama?"
Pertanyaanku dibiarkan tanpa jawapan. Aku
memandang ke wajah ayah untuk memohon sebarang
pertunjuk.
"Mama!" Sepatah aku bersuara.
"Esok mama nak pergi ke rumah kawan mama.
Kebetulan minggu lepas mama terjumpa dengan dia masa
membeli-belah dengan ayah," terang mama sambil
menyenduk sambal sotong ke dalam pinggan ayah.

"Kawan mama yang mana satu?"


Aku hairan dengan penerangan mama kerana kawan mama boleh dikatakan semuanya aku kenal. Auntie Minah, Auntie Zaleha dan ramai lagi kerana mama memang disenangi oleh rakan-rakannya.
"Ini kawan mama masa sekolah dulu. Lepas SPM kami berpisah kerana mama sambung belajar di universiti tempatan dan dia dapat tawaran ke luar negeri. Dia jemput keluarga kita datang ke rumahnya," terang mama dan aku hanya menjadi pendengar.
"Ohhh... iye ke? Macam Miera dengan Jay Jaylah, ek?" usikku. Dari ekor mata, aku sempat melihat mama sedang menjelingku.
"Hah... cakap pasal Si Jay, apa khabarnya dia?" sampuk ayah yang sedang mengambil seketul ayam masak merah dan meletakkan di pinggan mama.
Melihat adegan tersebut aku pun mengangkat pinggan dan menyuakan kepada ayah. Tersengih ayah dengan gelagatku dan seketul ayam jatuh juga ke dalam pingganku.
"Anak manja!" ajuk mama.
"Alah... mama ni, takkan ayah nak layan mama sorang aje. Miera pun nak jugak," usikku dan serta-merta pipi mama merona merah. Jahatnya aku...!
"Apa salahnya... Dua-dua ayah sayang tapi mama... persen dia tinggi sikit dari Miera."
Usikanku tadi disambut oleh ayah. Wajah mama sudah berubah. Ini yang menyeronokkan aku.
"Persen Miera tak boleh sama ke dengan mama?" Sengaja aku ingin membakar wajah mama dengan kenakalanku.

"Mana boleh! Persen tu dah ada cap mohor," ulas ayah sambil memandang mama, lembut.


Aku hanya tersenyum sumbing. Bahagianya mama dan ayah.
"Jay apa khabar?" Sekali lagi ayah bertanya.
"Dia macam biasalah, yah. Sibuk memanjang," aduku sambil mengunyah nasi. Memang bagi kebanyakan orang masa makan tidak boleh bersembang, tetapi tidak bagi kami. Keluarga kami lebih senang hendak berbicara ketika ini kerana di situlah letaknya kemesraan.
"Bila habisnya kontrak dia di sana?" tanya ayah lagi. Mata ayah memandangku, menagih jawapan.
"Entahlah, dia kata dua tahun tapi kalau siap semua projek under dia, cepatlah dia balik sini."
Panjang lebar aku menerangkan pada ayah. Terangguk-angguk ayah mendengar ulasanku.
"Kesian dia. Sorang aje kat sana."
Simpati ayah menggelikan hatiku. Si Jay Jay yang kaki berdikari takkan menyusahkan sesiapa pun. Baginya, letaklah dia di mana sahaja, insya-Allah dia boleh hidup.
"Ayah nak kesiankan Si Jay Jay ke?" tanyaku sambil tertawa.
"Iyelah, Miera tak kesian kat kawan baik Miera tu?" tanya ayah pelik.
"Ayah jangan takutlah, Jay Jay... mana aje dia pergi, pasti boleh hidup," terangku sambil menggeleng lucu.
"Pandailah anak ayah ni!" usik ayah.
"Tengoklah siapa ayahnya. Kan ma?" tanyaku pada mama yang sedang bangun untuk membawa pinggan kotor.

"Perasan!" jawab mama dan hilang di sebalik pintu.


"Ingat tau Miera, apa yang mama cakap tadi."
Mama bersuara sebaik sahaja kembali ke meja makan.
"Cakap apa ma?" tanyaku kembali. Memang aku terlupa setelah bersembang dengan ayah.
"Budak nikan! Mama cakap pasal undangan kawan mamalah," keluh mama.
"Kalau macam tu okeylah, tapi abang pergi sama tak?" Baru aku teringat tentang abangku.
"Abang tak dapat pergi sekali. Dia cakap ada hal."
Aku tahu abang sengaja mengelak. Memang selalu aku sahaja yang terkena mengikut ke mana mama dan ayah pergi.
"Pukul lapan malam kita ke sana." Ayah bersuara kembali.
Aku hanya menundukkan muka tanpa sepatah kata.

BAB 6

SEPERTI yang dijanjikan, kami
ke Shah Alam, rumah teman
mama. Setibanya di sana, kami
disambut dengan penuh mesra oleh Auntie Shamin dan
suaminya.
Pada mulanya aku berfikir mungkin suasana ini
akan membuat aku dilanda kebosanan memandangkan hanya
aku sahaja orang muda. Tetapi bila melihat kehadiran anak
perempuannya yang agak ramah, kebisuan kulontarkan jauhjauh.
"Sudah besar anak kau, Maz. Cantik macam
ibunya."
Terasa kembang hatiku bila Auntie Shamin
memujiku.
"Kau pun apa kurangnya, anak dara kau ikut
langkah maknya... sentiasa jaga kecantikan."
Aku hanya tersenyum pada Shazlin, anak ketiga
pasangan ini sementara Shazlin mengangkat keningnya
sambil membalas senyumanku.

"Mana anak kau yang lagi dua orang tu, Min?"


Mama ni, semuanya hendak ditanya. Biarlah mereka tiada di sini, senang sikit hatiku.
"Yang sulung tu sibuk memanjang dengan kerjanya, yang kedua tu pulak bekerja di Sarawak," terang Auntie Shamin serba sedikit.
"Nasib baiklah ada anak membantu kau, Min," luah mama.
"Iyelah Maz, nasib baik yang sulung tu sanggup nak ambil alih perniagaan ayahnya. Kalau tak, sampai sekarang tak duduk rumahlah orang tua tu...."
Beruntung Auntie Shamin mempunyai anak yang begitu bertanggungjawab.
"Hai, abang-abang kita kat luar tu tak mahu makan ke?"
Pertanyaan mama mengingatkan yang kami datang bersama ayah. Dari tadi ayah asyik berbual dengan suami Auntie Shamin yang masih tidak kutahu namanya, di ruang tamu. Aku terasa ada kelainan di perutku. Mungkin kerana di rumah tadi, bergelas air yang kuminum. Hajat hati hendak masuk sahaja ke tandas di ruang dapur ini, tetapi macam tidak manis pula.
"Kak Miera, mari naik atas sekejap nak tak?"
Sapaan Shazlin menyelamatkanku.
"Marilah...." jawabku spontan sambil memandang mama. Aku takut mama marah dengan gelagatku.
"Miera!"
Sepatah ayat mama aku sudah tahu niatnya.
"Biarlah Maz, dia orang nak berbual jugak. Asyik
mendongak pandang kita berbual tak tahu hujung pangkalnya." Tersenyum Auntie Shamin menyokong kami.
Shazlin menarik tanganku agar mengikutnya. Sampai sahaja di tingkat atas, aku pula menarik tangan Shazlin, membuatkan langkahnya terhenti.
"Lin, akak nak masuk bilik airlah." Segera aku sampaikan niatku.
"Boleh, apa salahnya. Akak nak masuk yang mana? Situ ada, dan dalam bilik Lin pun ada."
Bagiku biarlah aku masuk ke bilik air di luar sahaja kerana segan rasanya hendak menggunakan bilik air di bilik Shazlin. Tambahan pula kami baru sahaja berkenalan.
"Bilik air kat luar sajalah."
Aku segera masuk ke bilik air tersebut sementara Shazlin berlalu ke biliknya. Setelah selesai segala-galanya, aku memulas tombol pintu dan hendak melangkah keluar dari situ. Oleh kerana terperanjat melihat seseorang berdiri di muka pintu sebuah bilik, menjadikan aku terpijak permukaan yang tidak rata di antara tebing pintu dan bilik air tersebut. Terduduk aku di situ menahan sakit. Mungkin kaki aku terseliuh kerana terasa sakit di buku lali.
"Miera! Apa awak buat di sini?"
Aku segera mendongak dan bagai hendak luruh jantungku melihat wajah yang begitu kukenali berada di hadapan mataku.
"Tuan!!! Apa tuan buat kat sini?"
Dia turut terperanjat melihat diriku yang terduduk di atas lantai bilik air.
"Kenapa Kak Miera?" tanya Shazlin sambil menerpa ke arahku yang masih terduduk.

"Kaki akak terseliuhlah," jawabku tanpa menjawab pertanyaan daripada lelaki itu.


"Lin kenal kakak ni ke?"
Mungkin kerana tidak mendapat jawapan daripadaku, maka dia menagih daripada Shazlin pula.
"Ini anak kawan maklah, Kak Miera namanya. Itulah abang, asyik kerja saja sampai tetamu pun tak kenal."
Huh! Dahsyat juga Si Shazlin ni membebel!
"Kak Miera boleh jalan tak?" tanya Shazlin.
"Rasanya boleh kut." Aku cuba bangun dan berjalan, tetapi terduduk semula.
"Kenapa?" Lelaki itu bertanya.
"Kaki saya tak boleh nak pijak." Berkerut keningku menahan sakit.
"Kak Miera tunggu sini, Lin pergi turun ambil minyak angin sekejap."
Belum sempat aku berkata apa-apa, Shazlin segera berlari turun, meninggalkan aku dan lelaki ini. Tanpa sebarang signal, tubuhku diangkat dan diletakkan di atas sofa yang terdapat di situ.
"Tuan!!!" Aku hanya sempat berkata itu sahaja bila kata-kataku dipintas.
"Diam!" Tegas suaranya kedengaran di telinga.
"Jangan salah faham. Saya tak mahu awak duduk di atas lantai sambil menahan sakit," sambung lelaki itu apabila menyedari aku hanya terlopong melihat perbuatannya.
Baru aku hendak bersuara, suasana menjadi kecoh semula bila mama, ayah, Auntie Shamin dan suaminya terkocoh-kocoh meniti anak tangga dan menuju ke arahku.

"Macam mana boleh jadi begini, Shah?"


Auntie Shamin cuba memegang kakiku tetapi segera kualih kerana denyutannya sudah mula menyerang ke seluruh bahagian buku lali.
"Miera terseliuh masa keluar dari bilik air, mak. Mungkin licin agaknya," terang Shah.
"Salah Miera, auntie." Aku cuba meredakan kerisauan di hati Auntie Shamin dan mama. Kulihat ayah dan suami Auntie Shamin hanya memerhati.
"Dah bengkak kaki Miera ni, kena bawa ke klinik," luah Auntie Shamin sambil matanya tidak lekang dari melihat kakiku yang mulai membesar dari saiz asal.
"Tak apalah auntie, sikit aje ni. Nanti baiklah." Aku cuba membuat alasan.
"Mana boleh baik kalau kaki tu dah bengkak. Shah, boleh bawa Miera ke klinik tak?"
Ini yang aku lemah bila Auntie Shamin mengarah Tuan Megat.
"Tak apalah Min, nanti Maz bawa Miera ke klinik. Kesian pula dengan Shah, kan ke dia baru balik kerja. Penat pun tak hilang lagi tu," sampuk mama.
"Auntie dan uncle tunggu kat sini, biar Shah bawa Miera ke klinik. Auntie pun baru sampai kat rumah kami. Biar Lin temankan kami."
Aku hanya memerhati mereka berbincang pasal diriku.
Tuan Megat berlalu masuk ke biliknya dan sebentar kemudian dia muncul dengan berseluar jean dan t-shirt. Nampak kasual pula bila sesekali melihat dia berpakaian seringkas ini.

"BAGAIMANA isteri you boleh jadi begini?"


Terkulat-kulat aku bila doktor itu berkata demikian dengan Tuan Megat. Doktor ni, sedap-sedap saja kata aku isteri kepada lelaki ini! Mungkin dia melihat perbuatan Tuan Megat mendukungku masuk ke bilik rawatan ini sementara Shazlin disuruh menunggu di luar.
"Dia terjatuh masa nak keluar dari bilik air."
Termangu dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Megat, aku langsung tidak membantah dengan anggapan doktor itu. Terlintas semula peristiwa ketika hendak ke klinik tadi. Ayah sememangnya tidak larat hendak mendukungku ke kereta dan secara gentleman Tuan Megat meminta kebenaran daripada mama dan ayah untuk menghulurkan bantuan. Permintaan itu disokong pula oleh Auntie Shamin dan suaminya kerana menurutnya, niat anak bujang mereka ikhlas dan tidak perlu dipertikaikan.
Pada mulanya aku menolak dan cuba juga untuk melangkah, tetapi kerana kesakitan yang teramat, aku tidak sanggup untuk terus memaksa diriku melakukannya. Tidak tahu di mana hendak kuletakkan mukaku bila berada di dalam dukungan Tuan Megat.
Shazlin dari tadi asyik tersenyum simpul bila mata kami bertembung. Jantungku berdegup pantas bila harumannya mencucuk-cucuk hidungku, tetapi wajahnya kelihatan selamba sahaja. Ini adalah kali kedua aku dikendongnya. Berhati-hati dia meletakkanku di kerusi penumpang sebelahnya dan memakaikan tali pinggang keselamatan.
"Isteri you pernah jatuh ke?"
Tersentak aku bila doktor itu bertanya. Aku bagaikan boneka sahaja di hadapan dua orang lelaki ini.

Tuan Megat yang sedari tadi duduk di kerusi setelah meletakkanku, segera menghampiriku.


"Miera pernah jatuh ke?"
Lembut dia bertanya. Baru pertama kali aku dengar suaranya begitu lembut. Kalau tidak dari tadi asyik dengan gaya seriusnya.
"Miera pernah jatuh dulu, tapi dah lama." Aku membuka sejarah silamku.
"Jatuh dari apa? Pokok ke, tangga ke atau katil?"
Doktor ini kurasa sudah melebih pula.
"Saya pernah jatuh motor masa kemalangan dulu." Selamba aku menjawabnya. Geram aku dengan Tuan Megat kerana tiada membantah bila doktor itu bertanya macam-macam.
"Suami awak yang bawa ke?" Doktor itu masih tidak puas hati nampaknya dengan jawapanku.
"Taklah, saya bawa sendiri. Kenapa doktor tanya macam-macam ni?" Anginku mula menyerang satu badan.
"Pandai awak bawa motor? Saya sendiri pun tak reti bawa motor."
Aku mendengus geram, tidak ambil endah apa yang doktor itu bicarakan.
"Dia memang begini, doktor. Perangai pun macam budak lelaki."
Terkejut dengan kenyataan daripada Tuan Megat membuatkan aku merenung tajam ke arahnya. Macam bagus sahaja mulutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu. Macamlah sudah kenal lama. Hanya di tempat kerja sahaja kami bertembung, itu pun dari jauh.

"You harus beri perhatian pada isteri you ni. Kalau dia jatuh lagi, mungkin kakinya boleh patah. Okey, sekarang I nak balut kaki isteri you supaya tulang buku lalinya tidak bergegar kerana itu yang membuatkan kakinya sakit bila berpijak. Jadi minta isteri you bertahan sikit."


Panjang lebar doktor itu memberi penerangan.
Tuan Megat mengambil tempat di belakangku dan memegang bahuku. Aku cuba mengelak kerana tidak suka diperlakukan begitu.
"Cuba beri kerjasama!" bisiknya perlahan sambil tangannya diletakkan kembali di bahuku.
Geram sangat rasanya bila memikirkan dia ini cuba hendak mengambil kesempatan. Terasa sakit bila doktor itu menarik kain balutan untuk menegangkan dan aku memegang tepi katil sekuat hati.
"Cuba tahan sikit!" bisik Tuan Megat lagi bila mendengar aku mengaduh sambil menarik diriku bersandar ke dada bidangnya. Selesa dengan tindakan dan perbuatannya, juga berjaya mengurangkan kesakitan. Lagipun aku malas hendak memberontak dengan perangainya. Betul apa yang pernah kubaca - belaian akan membuat kesakitan berkurangan.
Setelah selesai membalut buku laliku, doktor memberi kata-kata nasihat supaya aku tidak banyak bergerak. Dia memberiku cuti sakit selama seminggu.
Ketika hendak keluar dari bilik doktor, Tuan Megat mahu mendukungku tetapi aku menolak dengan memberi alasan bahawa aku sudah boleh berjalan. Apabila kaki sudah dibalut, memang senang hendak melangkah kerana kesakitannya mula berkurangan.
"Macam mana, dah baik?"

Shazlin menyambutku di ruang menunggu. Aku duduk di bangku yang disediakan sambil menunggu Tuan Megat mengambil ubat.


"Bolehlah." Sepatah aku menjawabnya. Masih terasa malu dengan tingkah Tuan Megat tadi.
"Berapa hari doktor bagi MC?" tanya Shazlin.
"Dua hari saja...." usikku.
"Kenapa dua hari saja? Teruklah doktor tu!" bebel Shazlin.
"Tak apalah... Lagipun kerja akak banyak di pejabat," tambahku dengan tujuan untuk mengusiknya.
"Syarikat apa yang akak kerja ni, teruk betul sampai sakit begini pun masih nak suruh bekerja?"
Aku tidak sangka Shazlin akan berkata demikian. Terperanjat aku bila Tuan Megat berdiri di sebelahku dan mungkin mendengar luahan Shazlin. Tetapi hendak menyalahkan dia, tidak munasabah pula. Lagipun dia tidak tahu aku bekerja dengan abangnya.
"Dah, mari balik."
Dia melangkah dulu tanpa mempedulikan kami.
"Kenapa dengan abang ni? Tadi datang bukan main romantik, nak balik main tinggal-tinggalkan pulak!"
Bebelan Shazlin tidak kuendahkan, tetapi lebih memikirkan lelaki itu memang sah sudah mendengar perbualan kami.


BAB 7

"ASSALAMUALAIKUM. "
Dalam mamai aku
menjawab telefon yang
berdering.
"Waalaikumussalam dear."
Suara di hujung talian bergema sebaik sahaja aku
memberi salam.
"Siapa ni?" tanyaku sambil menggosok mata. Jam
di hujung meja dipandang lama. Sedikit demi sedikit
pandanganku dapat menangkap jarum jam Mickey Mouse
yang comel terletak.
"Mangkuk betullah kau ni dear, suara aku yang
macho ni pun kau boleh tak cam."
Suara di hujung talian memarahiku pula. Lama aku
terdiam. Siapa ni ek? "Alamak! Sorrylah dear, aku tak
kenallah. Sorry ye dear."
Tegak badanku sambil menarik bantal dan
meletakkannya di atas pangkuanku. Rambut yang kusutmasai
dirapikan menggunakan jari-jariku.

"Kau ni tidur ke?" sergah suara di hujung sebelah sana.


"Iyelah, aku tengah tidur. Kacau aje," akuiku.
"Kau tak kerja ke?" tanyanya lagi. Macam polis pencen pula kurasa.
"MC hari ni," jawabku ringkas.
"Kau sakit ke? Berapa hari?" Bertubi-tubi soalan masuk ke dalam kotak pertanyaan.
"Terseliuh dan seminggu cuti mulai hari ni," terangku sambil menggosok kakiku perlahan-lahan. Bila tersentuh tempat yang bengkak, serta-merta sakitnya berdenyut.
Kenangan semalam kembali bermain di fikiran. Lelaki yang cuba mengganggu debaran hati yang selama ini sering merindui kehadiran Haikal. Lelaki yang cuba mengetuk memori lalu dan cuba menguis pergi.
"Lamanya MC, kau bodek doktor ek?" usik si pemanggil.
"Bodek doktor buat apa? Lebih baik aku bodek bos aku. Cuti tak perlu bayar," terangku.
"Wait... wait... dear, aku tak faham maksud kau. Cuba kau terangkan." Suara di hujung sana kembali bertanya.
"Tu, la...! Mak suruh pergi sekolah, kau pergi panjat pokok. Sekarang siapa yang susah? Kau dan aku jugak, kan?" ujarku, geram.
"Alahhh... bukan aku sorang yang panjat, kau pun sama, kan? Nak salahkan orang pulak!" marah suara di hujung sana. Nasib baik jauh, kalau tidak mesti telingaku ditariknya.

"Kalau kau tak ajak aku Jay, mesti aku pun tak buat," lawanku, tidak puas hati.


Kenangan di kebun Pak Atan kembali menjelma. Pada mulanya aku tidak berani memanjat pokok jambu air yang sedang masak ranum itu tetapi melihat Si Jay Jay beria-ia mengunyah, membuat aku tidak boleh berdiam diri. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk sama-sama memanjat. Bila sudah berada di atas pokok, rasa gerun pula apabila aku memandang ke bawah. Setelah ditenangkan oleh Jay Jay, baru rasa takutku hilang. Ingat hanya itu sahaja masalahnya, tetapi timbul pula masalah baru. Aku tidak tahu bagaimana hendak turun pula. Puas Jay Jay ajar. Hendak menangis rasanya tetapi Jay Jay memujukku dan akhirnya aku dapat juga memijak tanah. Itu pun sedikit lagi aku tidak jatuh menyembah ke bumi.
"Hoi! Tidur ke?" Jay Jay menjerit di hujung talian.
Aku menjauhkan telefon kerana tidak tahan mendengar jeritan Jay Jay.
"Aku dengarlah, janganlah menjerit! Kau tak kesian ke dengan orang sakit ni?" rayuku yang dibuat-buat. Hendak tergelak pun ada.
"Alahhh... sayangnya dia. Sakit ye, meh sini aku ubat."
Usikan Jay Jay mengundang tawaku.
"Kau MC lama sangat ni, tak kena warning letter ke?" tanya Jay Jay setelah tawa kami reda.
"Bos aku dah tahu. Dia yang bawak aku ke klinik," terangku jujur.
"Whattt...???" Sekali lagi Jay Jay menjerit.
"Kau ni asyik menjerit aje. Pekak telinga aku!"

"Iyelah. Mana aku tak menjerit? Cik Miera kusayang dibawa oleh bosnya ke klinik. Ada skandal ke dear?" tembak Jay Jay.


"Skandal janggut hang!" marahku.
"Aku mana ada janggutlah, dear."
"Habis tu kau cakap aku ada skandal dengan bos aku?" ujarku sambil menarik tali bantal peluk di kakiku.
"Iyelah... mana tahu, kan? Aku yang musafir di sini pun tak pernah bos aku hantar ke klinik," luah Jay Jay.
"Bukan bos yang hantar kau ke klinik, takut kau yang hantar bos kau ke klinik pulak nanti," usikku dan senyuman meniti di bibir bila mengenangkan hal semalam.
"Okey... okey... aku serius ni. Kau couple dengan bos kau ke, dear?" tanya Jay Jay jujur.
"Hellooo dear, sorry sesangat. Tak mahu aku and tak sanggup aku!"
Terbayang wajah Tuan Megat yang serius semacam. Sekejap okey, sekejap anginnya tunggang-langgang.
"Habis tu kau tak ada pakwe ke?"
Suara Jay Jay mengacau benak fikiranku. Teringat akan Haikal. Rindu sangat dengan lelaki itu. Tetapi apakan daya? Hanya kelibat Haikal yang menari-nari di ruang mata tetapi jasadnya aku tidak tahu di mana letaknya.
"Miera, kau okey ke?" Jay Jay bertanya lagi. Mungkin risau dengan sikap diam diriku.
"Aku okey. Untuk pengetahuan kau, dulu aku ada berkawan dengan kawan abang aku," terangku dengan tenang. Biarlah aku cuba luahkan semuanya, sekurang-kurangnya lega sedikit hati ini.

"Now bagaimana?" Tidak sabar Jay Jay menyerang lagi.


Bahasa Jay Jay ini kadangkala buat aku tergelak. Bahasa yang digunakannya terlalu rojak. Bagaimanalah dia deal dengan warga Singapura yang seratus peratus berbahasa Inggeris itu?
"Nantilah satu hari nanti aku cerita dengan kau," keluhku. Aku tidak ada kekuatan rupanya untuk meluahkan.
"Okey, aku tunggu. Hujung bulan ni aku turun KL. Kita cerita. Kau jangan sedih-sedih," pujuk Jay Jay bila mengesan suara sebakku.
"Iyelah, nanti aku cerita," janjiku pasti.
"Dahlah, kau rehat. Aku nak masuk meeting ni. Dua hari lagi aku call kau." Jay Jay pula berjanji.
"Dua hari lagi? Apalah punya kawan," kompelinku. Bantal di atas paha kuletak tepi dan telefon ditukar ke telinga sebelah.
"Kau ingat panggilan ni murah? Singapore dollarlah dear. Mahal gila tau!" jawab Jay Jay sambil terdengar bunyi seperti kerusi ditarik.
"Kedekut!" ejekku.
"Nantilah... Kalau aku jumpa kau, taulah apa aku nak buat." Suara Jay Jay tenggelam dalam gelakku.
"Okeylah dear, aku nak meeting ni. See you soon. Assalamualaikum." Jay Jay ingin memutuskan talian.
"Okeylah dear, you take care. See you. Waalaikumussalam."
Akhirnya talian diputuskan dan aku termenung bersama senyuman. Terasa lega sedikit perasaan ini walaupun aku tidak bercerita tentang Haikal sepenuhnya. Entahlah,
sejak Haikal meninggalkanku tanpa berita, aku terasa bagaikan hidup di dalam dunia sendiri. Bila rindu menjenguk, sesekali aku rasa tidak boleh bernafas. Sesak dada ini.
Perhubungan aku dengan Haikal bermula apabila abang masuk ke universiti tempatan. Abang dan Haikal mengambil jurusan yang sama. Abang dan Haikal adalah kawan karib yang tidak boleh dipisahkan seperti aku dan Jay Jay. Dari usik-mengusik menjadikan aku dan Haikal rapat. Sesekali kami keluar bertiga dan abang yang jenis sporting, sentiasa menjaga perhubungan aku dan Haikal. Dalam erti kata sebenar abang merestui hubungan ini. Cuma mama dan ayah tidak tahu ketika itu kerana kami masih belajar.
Haikal juga jenis yang tidak kisah dan berjanji setelah dia bekerja dan membantu keluarganya, baru kami akan menitikkan hala tuju hubungan ini. Tetapi panas yang kuharapkan, gerimis di tengah hari. Haikal hilang tanpa khabar, tanpa pesan. Tinggalkan aku kekosongan. Tanpa teman untuk meluahkan segala masalah.
Haikal... salahkah aku untuk menjadi kekasihmu? Salahkah aku untuk menjadi surimu? Andai jawapannya ya, noktahkanlah perhubungan ini. Aku akan pasrah untuk segalanya.

BAB 8

HANYA baru dua hari di rumah,
aku mula dilanda kebosanan
yang teramat. Segala yang
dilakukan serba tak kena. Hendak melakukan itu, ini... ada
sahaja mata yang memerhati. Semuanya mama yang aturkan.
Alat penggera (mulut mama) sentiasa berbunyi apabila aku
berbuat sesuatu yang tidak digemarinya. Bergerak sedikit
sahaja, berbunyilah alat penggera itu. Tambahan pula hendak
pergi memancing... jangan haraplah!
Bila aku merengek pada ayah dan abang, hanya
simpati yang diberikan kerana mereka tidak berani campur
kalau mama yang menjaga. Aku tahu mama amat ambil berat
tentang sakit pening kami.
Kakiku pun sudah baik sedikit kerana mama
menjemput Auntie Zainab untuk mengurut. Memang Auntie
Zainab pandai dalam bab-bab ini semua. Patutlah badannya
cantik sahaja walaupun sudah berusia. Dia juga mengajar
mama bagaimana hendak menjaga kecantikan dan aku pun
tumpanglah sekali. Lagipun kecantikan itu adalah milik
setiap insan.

Esok bolehlah aku mula bekerja kerana aku risau dengan tanggungjawab yang Encik Safuan berikan untuk mengendalikan majlis jamuan tahunan. Ini bukan macam majlis olok-olok atau majlis perpisahan macam di sekolah dulu. Kalau majlis ini tidak berjaya, maka secara tidak langsung reputasi syarikat terbabit sama. Aku akan berbincang dengan ayah untuk memujuk mama membenarkan aku mula bekerja.


"EH, Cik Miera! Bukan ke cik masih bercuti lagi?"
Aku tersenyum apabila ditegur oleh Hamdan, salah seorang kakitanganku.
"Kaki saya dah okey sikit. Lagipun bosan duduk di rumah, tak ada apa yang nak dibuat. Saya risau banyak kerja yang tak siap kat ofis ni," luahku.
"Cik Miera tak percaya dengan kami ke untuk melakukan kerja-kerja ni semua?" Hamdan bersuara.
"Jangan salah faham, Hamdan. Saya cuma risau tentang majlis tahunan syarikat ni yang bahagian kita kena kendalikan. Kalau saya ada di sini, sekurang-kurangnya saya boleh membantu apa yang patut," tambahku lagi.
"Bertuah syarikat ni dapat pekerja macam Cik Miera, kan?"
Usikan Hamdan membuatkan aku teringat kepada Tuan Megat. Aku harap dia tidak tahu akan kedatanganku hari ini. Aku rasa belum masanya aku berjumpa dengannya kerana rasa malu dengan peristiwa hari itu masih menebal. Lagipun dia mungkin sudah melupakannya kerana dia tiada menghubungiku. Hanya Shazlin yang rajin menelefon.
"Saya nak turun beli makanan. Cik Miera nak kirim apa-apa?" Hamdan menyapu pergi lamunanku.
"Tak apalah, saya dah minum di rumah tadi," jawabku perlahan.
Kerja yang bertimbun-timbun membuatkan aku leka, tetapi pergerakanku masih terbatas kerana itu janjiku dengan mama - tidak membuat kerja-kerja yang renyah dan lasak.
Ketika waktu tengah hari, aku masih menatap fail-fail yang hendak disemak. Aku hanya menyuruh Shikin dan Wati membungkuskan makanan untukku.
"Kenapa awak datang kerja hari ni? Kan awak masih bercuti?"
Rasa hendak terlepas pen di tangan apabila disergah begitu. Orang yang tidak mahu kutemui hari ini sudah berdiri di hadapanku. Entah bila lelaki ini masuk ke bilikku, aku sendiri tidak perasan. Tanpa ketukan dan sapaan, aku disergah sedemikian.
"Minta maaf, Tuan Megat. Saya rasa bosan di rumah. Lagipun kaki saya dah baik." Aku cuba menerangkan. Wajahnya yang tegang itu menjadikan aku kalut hendak berkata-kata lagi.
"Awak ni nak membodek syarikat ke?"
Berdesing telingaku bila Tuan Megat berkata demikian.
"Bukan begitu, tuan." Aku cuba bersabar memandangkan dia adalah pengarah di syarikat ini. Kalau bukan status itu yang dipegangnya, sudah lama aku sembur. Dia fikir mulutnya sahaja yang boleh bercakap! Belum lagi mulut celopar aku bersuara...!
"Nanti cakaplah dengan semua orang yang syarikat ni mendera pekerja. Suruh bekerja walaupun masih cuti sakit. Biar orang cakap-cakap tentang saya lagi baru puas hati awak!"
Terasa hendak mengalir air mataku di situ. Tersinggung dengan kata-katanya.
Hari itu bukan maksudku untuk berkata demikian, hanya bertujuan hendak mengusik Shazlin sahaja.
Sebecok-becok mama, tidak pernah aku tersinggung dengan kata-katanya tetapi dengan lelaki ini hatiku cepat sahaja terasa. Kututup fail lantas kubangun dan mencapai helmet. "Minta maaf tuan, saya bersalah. Saya akan datang mulakan kerja setelah cuti sakit saya habis."
Aku berlalu meninggalkan lelaki yang masih bermuka toye itu. Sampai di bawah, kudapati hujan sedang turun dengan lebatnya. Baru aku teringat aku terlupa mengambil jaket. Hendak naik ke atas semula, minta maaflah. Aku mengambil keputusan untuk meredah sahaja hujan tersebut kerana lagi lama aku berada di dalam bangunan ini, lagi sakit hatiku.
"HAMDAN, kau ada nampak Cik Miera tak?" tanya Shikin kepada Hamdan yang sedang berbual dengan Encik Safuan dan kelihatan Tuan Megat datang menghampiri mereka.
"Cik Miera tadi ada sebelum aku keluar. Kenapa kau cari dia?" Hamdan pula bertanya.
"Dia suruh kami bungkuskan nasi tadi." Shikin menunjukkan bungkusan di tangannya.
"Mungkin dia keluar agaknya," sahut Hamdan.
"Macam mana dia nak keluar? Hujan lebat kat luar tu!"
Jawapan daripada Shikin membuatkan Tuan Megat tergamam mendengarnya. Rasa bersalah mula menyerang benaknya.
"Helmet dia tak ada ni, mungkin dia dah balik agaknya. Diakan masih dalam cuti sakit lagi." Hamdan membuat kesimpulan.


Yüklə 116,32 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin