Ingin bertanya pada hati, bibir berat berbicara siapa yang bertakhta di hati? Hanya dia



Yüklə 116,32 Kb.
səhifə3/4
tarix21.08.2018
ölçüsü116,32 Kb.
#73242
1   2   3   4

BAB 9

"AAAHHHCCCHHHUMMM!"
Pedih hidungku. Akibat
mengikut rasa bengang di
hatiku, aku mendapat satu lagi penyakit baru. Sudah
beberapa kali aku bersin.
Mama mengamuk bila melihat aku balik dalam
hujan. Aku hanya buat muka sedih dan cuba meraih
simpatinya tetapi tidak dilayan dan akibatnya mulut mama
belum berhenti membebel.
"Minum sup panas ni! Lain kali jalan kaki ajelah...
buat apa naik motor? Mesti lama dapat main hujan, kan?"
Aku hanya diam sahaja.
"Nak kata kecil, dah besar panjang. Kalau kahwin
dah beranak pinak, tapi perangai macam budak tak cukup
bulan!" getus mama.
Aduh dah masuk bab sensitif pula!
"Miera rasa dah lama tak main hujan, sebab tu
Miera redah aje...." Aku cuba berseloroh.

"Itulah, bila kita bercakap... dia memain. Kalau mama takde, siapa nak jaga Miera kalau sakit?"


Aku terkedu bila mama mula meluahkan kata-kata itu.
"Maafkan Miera, mama. Miera janji tak buat lagi...." Aku memegang kedua-dua telingaku.
"Dah, pergi baring. Nanti abang balik mama suruh bawa ke klinik. Nama je cuti sakit, tapi tak tahu duduk diam. Sekarang tak pasal-pasal kena pergi klinik lagi. Siapa yang susah? Bukan mama, bukan abang atau ayah tapi Miera yang kena tanggung, kan?"
Nada suara mama sudah ke tone yang mendayu. Aku baringkan badanku dan mama menyelimutkan sehingga ke dadaku. Mama mencium dahiku. Aduh, sadisnya! Aku tidak tahu berapa lama aku tertidur sehingga mama mengejutkan aku.
"Nape mama?" Terpisat-pisat aku menggosok mata.
"Auntie Shamin datang dengan keluarganya. Miera nak turun tak?"
Aku rasa tidak terangkat kepalaku. "Tak naklah mama. Kepala Miera rasa beratlah."
Terasa sejuk bila mama merasa dahiku.
"Miera demam ni...! Tak apalah, Miera baring aje."
Mama keluar dan seketika kemudian muncul pula Shazlin.
"Mak akak cakap akak tak sihat ye?" Shazlin bertanya, memecah kesunyian.
"Alah, sikit je. Mungkin kena hujan tadi." Seboleh-bolehnya aku tidak mahu membuat orang di sekelilingku risau.
Tiba-tiba telefon di poket jean Shazlin berbunyi. "Assalamualaikum."
Lembut suara Shazlin bersuara. Mungkin buah hatinya, agakku.
"Haah, abang dekat mana ni? Iyelah...."
Aku tidak tahu butir bicara Shazlin sehingga dia menghulurkan telefon bimbitnya kepadaku.
"Kenapa?" tanyaku, pelik.
"Abang nak cakap dengan akak." Shazlin menghulurkan telefon bimbitnya.
"Abang Lin nak apa?"
Shazlin hanya mengangkat bahu.
Aku hanya memandang sepi telefon itu.
"Cakaplah kak, mungkin ada benda yang abang nak tanya...."
Shazlin segera meninggalkan aku. Keluar dan duduk di balkoni bilikku.
"Helo." Sepatah aku bersuara dengan nada yang sengau.
"Miera…."
Lembut dia berbisik. Lelaki ini memang betullah...! Tadi bukan main macam pengganas marahkan aku, sekarang sudah bertukar nada bagaikan Shah Rukh Khan memujuk Kajol pula.
"Miera...."
Sekali lagi namaku diulang.
"Saya, Tuan Megat." Selamba aku menjawab.
"Miera demam ke?"
Terperanjat aku dengan pertanyaannya. Mana dia tahu aku demam? Dia ini ada di mana sekarang?
"Sikit saja, Tuan Megat." Aku cuba mengawal nada emosiku yang mula tergugat.
"Jangan panggil saya tuan. Panggil saya Shah saja, boleh, kan?" bisiknya lagi. Dia ini memang suka main bisik-bisik ke?
"Tak bolehlah tuan. Tak biasa," jawabku spontan.
"Biasa-biasakanlah. Kalau di pejabat tak apalah."
Alasannya memang macam cerita Hindustan. Aku hanya mendiamkan diri.
"Miera…."
Ah, suara dia ni memungkinkan Gunung Fuji yang puncaknya diseliputi salji itu mencair.
"Saya…."
Lembut aku menjawab. Eh, aku pula sudah terikut-ikut dengan gayanya!
"Maafkan saya."
Aduhhh! Boleh jadi layu dengar dia memujuk. Macam cerita Sinchan memujuk mamanya dan macam buku yang kubaca, bila TY memujuk Ifah.
"Pasal apa?" Aku pura-pura tidak faham.
"Perkara di pejabat tadi... dan sebab saya, Miera dah dapat demam."
"Tak perlu minta maaf, saya yang bersalah."
"Kita pergi klinik ya?"
Serasa hendak melambung ke udara bila suaranya mengeluarkan tiap butir kata-kata.
"Tak apalah. Saya tak apa-apa. Okeylah tuan, saya nak hang up ni. Rasa panas telinga ni...."
Aku segera menekan butang merah tanpa menunggu balasan kata-katanya. Cukuplah sekali hari itu dia membawaku ke klinik. Rasa berdebar jantung ini.
Aku segera menyerahkan telefon kepada Shazlin dan budak seorang ini boleh tersenyum simpul meninggalkan aku. Baru aku hendak berbaring, kelihatan pintu bilikku ditolak dari luar.
Kelihatan mama, Shazlin, Auntie Shamin dan Uncle Shaiful muncul sambil menghadiahkan senyuman.
"Miera demam ya?" Auntie Shamin meletakkan tangan di dahiku.
Aku hanya mengangguk.
"Sikit saja, auntie." Aku cuba berbahasa.
"Panas badan dia ni. Kenapa kau tak bawak dia ke klinik, Maz? Nanti melarat!" tingkah Auntie Shamin yang risau dengan keadaanku.
"Itulah Min, aku tunggu abang dan ayah dia. Tapi sampai sekarang tak balik-balik lagi. Kebetulan pula mereka out-station...." beritahu mama dengan wajah risaunya.
"Macam mana bang? Kita aja yang bawa Miera ke klinik," saran Auntie Shamin sambil memandang suaminya.
"Suruh Shah bawa Miera pergi klinik," tegas Uncle Shaiful yang berbicara seperti anaknya. Yalah, mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi!
"Tak apalah uncle. Miera okey, tak apa-apa." Aku cuba membuat alasan.
"Pergilah Miera, nanti tengah malam kalau melarat susah! Abang dan ayah Miera pun belum sampai lagi ni...!"

Aku terpaksa akur dengan cadangan Auntie Shamin, apatah lagi mama juga turut bersetuju. Lemah sahaja aku menuruni tangga setelah menyalin pakaian. Rupa-rupanya lelaki itu ada datang bersama, patutlah dia tahu aku demam!


"MIERA marahkan saya?" Dia memecah kebisuan bila melihat aku hanya diam sahaja dari mula aku masuk ke keretanya.
"Taklah." Aku malas hendak berbicara dengan kepalaku yang terasa berat ini.
"Habis tu, kenapa diam saja dari tadi?"
"Kepala saya sakit."
"Sakit sangat ke? Sekejap lagi kita sampai. Miera cuba tahan, ya."
Nada kerisauannya boleh dikesan. Dia mencapai kot yang terdapat di tempat duduk belakang dan memberinya kepadaku.
"Selimutkan badan Miera," arahnya sambil menaikkan suhu penghawa dingin.
Sampai di klinik, ramai juga pesakit yang menunggu giliran dan aku hanya menyandarkan kepala di dinding ruang menunggu. Tuan Megat begitu setia duduk di sebelahku. Sesekali dia menoleh kepadaku, mungkin risau dengan keadaanku yang asyik bersin sedari tadi. Setelah namaku dipanggil, dia juga ikut masuk ke dalam walaupun aku cuba membantah.
"Hah! Kenapa pula dengan isteri you kali ni?"
Aku bengang betul dengan doktor yang sama ini.

Kalau aku tahu dia bertugas malam ini, lebih baik aku ke klinik lain.


"Dia main hujan."
Aku segera menoleh kepada Tuan Megat. Bagai hendak tercabut jantungku bila matanya dikenyitkan kepadaku. Nak kena dia ni! Baru saja tadi minta maaf....
"Macam manalah you jaga isteri you ni?" Doktor itu menggeleng.
Setelah berada lebih kurang sepuluh minit di dalam bilik rawatan tersebut, aku keluar dengan muka yang masam mencuka. Geram dengan Tuan Megat dan doktor tersebut yang asyik mengenakan aku dari dulu sehinggalah hari ni.
"Kenapa tuan tak cakap dengan doktor tu yang saya ni bukan isteri tuan?"
Belum sempat Tuan Megat menghidupkan enjin keretanya, aku sudah melontarkan ketidakpuasan hatiku.
"Hai, demam-demam pun boleh marah?" usiknya.
Lagilah angin aku naik ke kepala.
"Kalau saya tak kata macam tu, nanti apa pula anggapan dia bila tengok saya dukung Miera hari tu. Miera tu perempuan, saya ni lelaki. Masyarakat kita ni lebih suka buat gosip pada kaum perempuan," luahnya pula apabila melihat aku diam sambil memeluk tubuh.
"Dah, jangan fikir sangat hal tu. Balik nanti Miera makan ubat dan tidur. Miera dah makan ke belum?"
Bagai anak kecil aku mengangguk.
"Bagus, berehatlah secukupnya." Dia menambah.
Sampai saja di rumah, baru aku hendak membuka pintu kereta, Tuan Megat tiba-tiba dengan selambanya
berkata, "hmmm… kalau Miera jadi isteri betul saya, tak salah, kan?"
Terkejut dengan kata-kata lelaki itu, membuat anginku naik kembali ke kepala. "Jangan mimpi!"
Aku melangkah dengan hati yang berbuku sambil diiringi ketawanya yang panjang. Kalaulah Jay Jay tahu apa yang tengah berlaku ini, mesti budak perempuan berkulit lelaki itu akan bergolek-golek ketawakan aku!

BAB 10

PENAT rasanya hari ini setelah
seminggu melepak di rumah.
Kerja yang berlambak-lambak
membuat aku tidak senang duduk. Nasib baik Shikin
menyediakan apa yang kuminta.
"Cik Miera, sekarang waktu makan. Tak mahu
turun ke?"
Baru aku perasan waktu yang begitu cepat berlalu.
Kalau tidak ditegur oleh Shikin, memang aku terus
tenggelam di dalam arus kesibukanku. "Alamak! Dah pukul
satu? Saya tak sedarlah, Shikin."
Shikin hanya tersenyum bila melihat kekalutanku.
Shikin seorang gadis lembut yang telah mempunyai buah
hati, hanya menunggu masa hendak merasmikannya sahaja.
Aku senang berkawan dengannya. Walaupun
jawatanku lebih tinggi daripada kakitangan lain di bahagian
ini, aku tidak pernah membezakannya kerana bagiku,
kerjasama di dalam pasukan itu lebih penting.
"Cik Miera mengelamun lagi ke?"

Terasa malu menyerbu apabila ditegur begitu.


Kami akhirnya sama-sama menghayun langkah menuju ke arah lif. Sampai di tingkat bawah, aku melangkah diikuti oleh Shikin.
"Cik Miera makan di mana?"
Terkejut aku apabila disapa oleh Encik Safuan. Kelihatan Tuan Megat berdiri di sisinya sambil memandang tepat kepadaku.
"Tempat biasalah...." balasku. Aku malas hendak bersoal jawab lagi dengan mereka.
"Saya pergi dululah Encik Safuan... Tuan Megat."
Aku melangkah sambil memaut tangan Shikin sebelum sempat Encik Safuan berkata apa-apa. Dengan sifat ramah Encik Safuan itu, tidak mustahil dia akan mengajak kami makan sekali dengannya. Pada aku, tidak kisah makan dengan sesiapa pun... tetapi memandangkan pengarah ada sekali, pasti seleraku terbantut untuk menikmati makanan.
"Kenapa Cik Miera tergesa-gesa sangat ni?" tanya Shikin.
"Saya laparlah." Aku rasa itu sahaja alasan yang ada di fikiranku ketika ini. Logik tidaknya alasanku, itu soal kedua.
"Tuan Megat tu kacak, kan?"
Rasa nak tergelak aku dengan kenyataan Shikin itu. Kalaulah dia tahu Tuan Megat itu pernah mendukungku, bagaimana penerimaan Shikin agaknya? Terasa bergetar jantungku bila Shikin berkata demikian. Kacakkah lelaki itu?
Aku pun tiada jawapannya kerana aku tidak pernah menatapnya secara terperinci walaupun kesempatan itu sudah dihulurkan oleh empunya diri.
Namun apa yang pasti, lelaki itu memang mempunyai karisma dan sifat kelelakian yang didambakan oleh semua wanita. Di sini sahaja ramai wanita yang cuba menarik perhatian lelaki itu. Mungkin dia sudah ada teman istimewa agaknya... siapa tahu, kan?
"Kenapa, dah terpaut ke? Ingat sikit, abang awak tu nak campak kat mana?" usikku.
"Saya cakap saja, tak ada apa-apa maksud pun!"
Aku menahan tawa di dalam hati. Kelakar dengan sifat lurus bendul Shikin itu.

BAB 11

"BARU balik Miera?" Mama
menyambutku dengan
senyuman.
Mama yang sedang bersantai di sofa kuhampiri.
Tangannya kukucup dan terasa usapan di kepalaku. Hari ini
lewat aku sampai ke rumah. Banyak hal pejabat yang terpaksa
aku hadap dan majlis makan malam yang semakin mendekati
membuatkan aku kecut perut. Tidak tahu yang mana satu
patut didahulukan.
"Hmmm... ya, mama. Penatlah ma," luahku sambil
melabuhkan punggung di sebelah mama.
Helmet kuletak di meja sisi. Hendak terus naik,
malas pula. Rasa nak suruh mama dukung seperti masa aku
kecil-kecil dahulu.
"Kesian anak mama ni. Itulah... mama cakap tak
mahu dengar. Cuba rehatkan diri sikit. Kerja di pejabat
takkan habis, tak kira kita overtime lama mana pun."
Bebelan mama membuatkan mataku terpejam.
Lama aku berkeadaan begitu. Teringat kejadian di pejabat

tadi di mana aku berlanggar dengan seorang perempuan yang hendak masuk ke dalam lif secara tergesa-gesa masa lunch tadi. Tidak tahu tingkat berapa yang dia tuju. Sudahlah aku tidak ada mood pagi tadi. Entah kenapa kepalaku sakit sejak dari keluar rumah. Macam budak sekolah, tidak sabar-sabar hendak masuk. Kami bertiga sengaja diadangnya. Akibatnya aku yang terkena rempuhan perempuan yang tidak ada kesedaran sivik itu. Nasib baik Shikin menarik lenganku. Kalau tidak, aksi kuak kupu-kupu pasti dapat ditonton.


"Buta ke apa orang ni? Tak boleh tunggu orang keluar dulu ke?" tukas Anis geram.
"Aku tak buta, tapi korang yang lembap sangat!" jawabnya sambil memberi jelingan maut.
Dia ingat kami takut agaknya melihat matanya yang jeling menjeling. Nanti juling baru dia tahu.
Anis mahu berpatah balik tetapi segera kutahan. Kalau tidak, bergaduh pula mereka berdua di sini.
Minah tak cukup matang itu masih memandang kami dengan sinis sehinggalah pintu lif tertutup.
"Kenapa Miera tahan Anis tadi? Biar Anis ganyang mulut perempuan tu. Lancang sangat, tak hormat orang langsung!" Keras nada suara Anis membuang rasa hati yang terbuku sambil melangkah meninggalkan kawasan itu.
Dahsyat juga cik kak ni angin. Boleh terbakar semua yang ada di sisinya. Mata-mata yang memandang tidak aku hiraukan. Lantaklah nak pandang. Memang bukan salah kami pun. Mereka ini hanya pandai buat cerita tanpa soal siasat.
"Dahlah Anis, buat apa nak bergaduh. Nanti kita juga yang malu," nasihatku sambil memicit tengkukku berkali-kali.

"Tu la Cik Miera, asyik nak mengalah aje. Sesekali cuba melawan sikit!"


Amboi...! Shikin bersuara pula. Dalam lembut terselit juga angin yang sewaktu dengan Si Anis ni.
"Shikin... dah berapa kali saya cakap jangan panggil Cik Miera," tegurku tanpa menjawab soalan Shikin. Rasa tidak selesa bila di luar pejabat Shikin menggunakan perkataan ‘cik’ di hadapan namaku.
"Sorry, tapi dah biasalah Cik Miera." Shikin memandangku untuk mohon pengertian.
"Awak ni memang...!"
Aku sengaja membuat aksi merajuk dengan berjalan jauh sedikit daripada Shikin.
Dalam sekelip mata Shikin menarik tanganku sambil mendaratkan kepalanya di bahuku. Tanpa rasa malu dan dengan muka selambanya dia berbuat begitu.
Anis sudah ketawa.
Orang keliling terteleng-teleng memandang kami. Aksi tersebut pasti mengundang tanda tanya mereka.
"Okey... okeylah. Saya main-main saja tadi."
Akhirnya aku mengalah, dan Shikin serta Anis ketawa megah.
Entah kenapa hati meronta-ronta untuk memandang ke sebelah kananku. Bagai ada yang menarik-narik perhatianku di situ. Langkahku jadi satu per satu. Nasib baik Shikin dan Anis tidak mengesyaki dan asyik berbual sesama mereka tentang hal tadi.
Sebaik pandangan kulabuhkan, kelibat Tuan Megat sedang tekun merenungku. Di sampingnya Encik Safuan sedang berbual dengan seseorang yang tidak kukenali.

Pandangannya sukar kutafsirkan. Sama ada marah atau simpati. Marah atas kelakuan kami atau simpati dengan apa yang terjadi.


Itu pun kalau Tuan Megat dapat menyaksikan adegan drama sebabak itu.
Aku hanya melemparkan senyuman nipis dan berlalu untuk menyertai Shikin dan Anis tanpa menunggu balasannya.
BAB 12

"ADUH, bosannya...! Apa
aku nak buat ni?" Aku
mula resah sendiri bila
hujung minggu begini. Selalunya aku melepak sahaja di tepi
sungai, tetapi kerana kesibukan kerja, dekat sebulan juga aku
tinggalkan hobiku itu.
Tiba-tiba telefon di atas meja di ruang tamu
berbunyi.
"Assalamualaikum." Aku memberi salam kepada
orang di sana.
"Waalaikumussalam Kak Miera." Lembut
kedengaran suara di hujung talian membalas salamku.
"Siapa ni?"
"Linlah! Apalah akak ni? Tak kenal Lin... Sedih hati
Lin, tau!"
Aku tergelak apabila Shazlin merajuk dengan
kealpaanku.
"Alahai... Minta maaflah dik. Akak tak berapa cam
suara Lin... Dah la lembut sangat, mendayu-dayu pulak tu!" usikku.
"Akak tengah buat apa tu?" tanya Shazlin.
"Tengah buat bodoh!" tambahku sambil tertawa.
"Akak!!!" rajuk Shazlin mula berkembang.
"Okey… okey... akak tengah bosan gila ni...!" Aku terangkan keadaanku yang sebenar.
"Baguslah kalau macam tu!"
Aku terasa kelainan di dalam kata-katanya. Apa maksud kenyataan Lin tadi?
"Kenapa pula bagus?" tanyaku.
"Kita pergi Genting Highlands nak tak?" pelawa Shazlin dengan suara yang tiba-tiba berubah ceria.
"Genting Highlands? Bila? Sekarang ke?" Memang aku benar-benar terkejut dengan cadangan serta pelawaannya itu. Biar betul!
"Iyelah sekarang! Malam nanti kita baliklah," terang Shazlin.
"Akak kena tanya mama dululah," luahku.
"Okey, akak tanya mama akak. Pastu telefon Lin balik, bagitau sama ada jadi atau tak!" arah Shazlin bagaikan ketua ekspedisi.
Setelah meminta kebenaran daripada mama, aku segera menelefon Shazlin untuk memberitahu persetujuanku dengan janji akan pulang semula ke rumah tika malam menjelma.
Aku segera bersiap dan setengah jam kemudian kereta Toyota Harrier putih sudah terparkir di hadapan rumahku. Aku bergegas ke pintu setelah menyalami mama,
tidak mahu tetamuku tertunggu-tunggu akan kedatanganku. Sudahlah pergiku berjemput dan pulangku berhantar, aku tidak mahu terus menyusahkan Shazlin dengan kelewatanku pula.
Langkahku terhenti apabila melihat Tuan Megat keluar dari keretanya dan diikuti oleh Shazlin.
"Kenapa Lin tak cakap abang Lin ikut sekali?" bisikku apabila Shazlin menghampiriku.
"Akak tak tanya pun?" Selamba sahaja Shazlin menjawab.
Aku tidak bertanya dengan Lin ke tadi? Aku mula berkerut-kerut dahi memikirkan kesilapanku tadi.
"Kita bertolak sekarang."
Tuan Megat bersuara bila melihat aku tercegat sahaja di sisi keretanya. Dengan kaca mata hitam yang dipakainya membuatkan ketampanannya terserlah.
Memang Shazlin sengaja hendak mengenakan aku kerana dengan muka toye dia duduk di belakang dan Tuan Megat segera membuka pintu kereta di sebelah pemandu untukku.
"Miera sihat?" tegurnya.
Chewah! Ambil berat sungguh tentang aku walaupun di hadapan adiknya.
"Alhamdulillah sihat," jawabku. Ringkas dan padat yang tidak memungkinkan dia untuk bertanyakan tentang kesihatanku lagi.
"Lin, kawan Lin tu tunggu di mana?" tanya Tuan Megat pada Shazlin yang duduk di tempat duduk belakang.
"Dia tunggu dekat tol Gombak, ayah dia hantar kat situ."

Mendengarkan jawapan Shazlin menjadikan aku bertambah pelik. Berapa ramai yang akan pergi? Yang tertera di kepalaku ketika itu adalah ‘Rombongan Cik Kiah ke Genting Highlands.’


"Lin ajak kawan dia sekali," beritahu Tuan Megat, seolah-olah dia dapat membaca apa yang aku fikirkan.
Aku hanya mengangguk sahaja. Yalah, takkan aku nak membantah. Siapa aku hinggakan mempunyai kuasa veto untuk membangkang? Sedangkan aku sendiri pun hanya menumpang!
Apabila sampai di tol Gombak, kami menunggu kawan Shazlin. Lebih kurang sepuluh minit menunggu, barulah kawannya itu tiba.
Tuan Megat terus menggerakkan kenderaannya dengan penuh hati-hati hingga tiba ke destinasi.
Sampai di puncak Genting, aku ditinggalkan berdua dengan Tuan Megat oleh Shazlin dan kawannya. Aku rasa segalanya memang telah dirancangkan oleh mereka berdua. Sakitnya hati ini. Adik dan abang satu kepala. Kalau diikutkan rasa sakit hatiku, mahu sahaja aku hantukkan kepala kedua-duanya, biar puas hatiku. Kalau aku tahu akan jadi begini, lebih baik aku lepak sahaja di rumah.
"Miera, kenapa ni?" Lembut suara lelaki itu bertanya.
"Kenapa buat saya begini?" luahku tidak puas hati.
"Apa yang saya dah buat pada Miera, cuba cakap?"
Lelaki ini tidak tahukah yang hatiku sakit dengan rancangan bodohnya ini!
"Ini semua rancangan siapa?"
Aku berdiri di tepi batu besar yang ada di situ.
Sakitnya jiwa bila berhadapan dengan lelaki ini. Lelaki yang sentiasa serius serta mempunyai pandangan yang tajam.
"Miera, pandang saya!" pintanya.
Aku buat kepala gila aku tanpa mengendahkan permintaannya dan membuatkan dia berdiri di hadapanku. Pandangannya yang tajam membuatkan aku tertunduk. Aku tahu dia cuba mengawal perasaan marahnya dengan perangaiku. Lantaklah, siapa suruh kelentong aku? Pantang aku kalau ditipu! Memang nak kenalah orang itu!
"Miera, jangan begini. Saya pun tak tahu tentang rancangan ni. Lin kata nak pergi Genting Highlands dan mintak saya pandu dengan alasan dia takut nak bawa kereta ke sini sebab banyak selekoh. Bila dah dalam kereta tadi baru saya tahu... sebab dia suruh saya ambil Miera dulu sebelum ambil kawannya," terangnya bersungguh-sungguh.
"Tuan, perkara yang paling saya tak suka adalah ditipu. Takkan tuan satu rumah dengan Lin tak tahu tentang rancangannya?" sangkal akal warasku yang mula mahu memuntahkan kemarahan.
"Betul Miera. Saya tak tahu. Kenapa susah sangat awak nak percayakan saya?" tingkahnya dengan wajah seriusnya semula.
"Tuan…." Kata-kataku terputus apabila dia pula mula bersuara.
"Saya cubit mulut comel awak tu kalau sekali lagi awak panggil saya tuan!"
Aku cepat-cepat menutup mulutku. Gila ke dia ni nak cubit mulut aku? Buatnya bengkak, naya aje! Kalau bengkak dan seksi macam Angelina Jolie takpe juga, tapi salah cubit, jadi mulut itik betina, husy idaklah teman...!
"Dah, mari kita pergi ke tempat games kat sana, cari Lin dan kawannya. Miera boleh tanya sendiri kalau masih tak percaya." Tuan Megat menarik tanganku.
"Apa ni main tarik-tarik!" Aku mematikan langkah sambil merentap tanganku dari pegangannya.
"Miera nak saya dukung ke? Saya tak kisah, bukannya berat pun!" ejeknya sambil tersenyum sinis.
Geramnya! Bila di pejabat, perangai dan tutur katanya sentiasa terjaga... tapi kalau depan aku, kalah semua barisan kasanova yang ada di atas dunia ni!
"Mieeeraaa…."
Daripada gaya dia memanggil namaku, boleh berdiri bulu roma dibuatnya.
"Tuan nikan..."
Tak sempat aku menghabiskan ayat apabila terasa bibirku dicubit lembut. Lelaki ini benar-benar memaksudkan kata-katanya.
"Sakitlah!" Aku menggosok bibirku. Nasib baik aku tidak pakai gincu, kalau tidak mesti comot.
"Sakit ke? Kalau nak kena cubit lagi, ulanglah perkataan tuan tu lagi."
Kenapalah nasib aku hari ini? Aku nak baliklah kalau aku terpaksa lalui semua ini dengan lelaki sewel ni...!
Kami cuba mencari Shazlin, tetapi tidak berjumpa dan akhirnya aku dan Tuan Megat duduk-duduk sahaja memerhati telatah orang yang berkunjung tanpa bermain apa-apa. Beberapa kali Tuan Megat mengajak aku mencuba permainan yang terdapat di sana tetapi aku menolak. Bukannya apa, aku ni gayat sikit. Buatnya aku terlebih jerit nanti, hilang pula keayuanku di hadapan lelaki ini.
Aku memeluk tubuhku sambil menggosok kedua-dua tanganku. Sejuk juga tempat ini. Selalunya aku masih boleh bertahan dengan cuacanya, lagipun sudah beberapa kali aku ke sini bersama teman-teman. Mungkin juga kerana kali ini tiada aktiviti yang kubuat melainkan duduk melanguk sahaja seperti ini menjadikan tubuhku tidak berpeluh dan kehangatan yang sepatutnya hadir digantikan dengan kesejukan. Tambahan pula bila duduk berdua-duaan kononnya dengan lelaki yang tidak sama sekali kuimpikan ini.
"Miera sejuk ya?"
Aku melihat Tuan Megat cuba membuka jaket yang dipakainya.
"Taklah," dalihku.
Tuan Megat menyangkut jaketnya di bahuku tetapi aku menanggalkannya semula kerana tidak sampai hati melihat dia yang hanya memakai t-shirt sahaja.
"Saya tak mahu." Aku memberikan semula jaket tersebut kepadanya.
"Mieeeraaa…."
Kenapalah lelaki ini suka memanggil namaku sebegitu?
"Please tu…." Terhenti aku hendak meneruskan kata-kata itu. Takut bibirku dicubit lagi.
Lucu agaknya membuatkan Tuan Megat tertawa. Jarang sekali aku melihat dia tertawa begitu menjadikan wajahnya kian menarik untuk terus ditatap.
"Panggil Shah aje. Kalau tak, saya tak mahu pakai baju ni."
Aku pula yang diugutnya. Bertuah betul!!!

"Please Shah, pakai jaket ni. Saya tak sejuk pun!" Aku bersuara dalam terpaksa.


Tuan Megat mengambilnya tetapi menyangkutnya semula di bahuku. "Saya rela kesejukan daripada tuan puteri saya mendapat sakit."
Bisikannya terasa dekat di telingaku, membuat aku tergamam. Mata kami bertentangan dan aku terpesona dengan matanya yang berwarna hazel, hidungnya yang mancung dan bibir yang merah dengan kulit wajahnya yang bersih. Ditambah pula rambutnya yang sedikit berombak tersisir rapi, tubuhnya tegap dan dadanya yang bidang serta tinggi lampai orangnya. Bila aku berdiri di sampingnya, ketinggianku separas telinganya macam Adi Putra, pelakon dari Singapura itu.
"Hai... dah tergoda dengan saya ke?"
Aku tersentak apabila suara itu berbisik di telingaku. Terasa darah menyerbu naik ke mukaku. Aku melarikan pandangan ke tempat lain, mengelak Tuan Megat perasan dengan tone wajahku.
"Saya dah lama tergoda dengan Miera, sejak dulu lagi!"
Selamba sahaja lelaki ini berbicara. Aduh, manalah Lin ni? Selamatkanlah aku dari situasi ini....
"Mieeeraaa…."
Lembut bicaranya setiap kali memanggil namaku, tetapi aku tidak peduli dan melangkah meninggalkannya.
AKU hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang. Tuan Megat dan Shazlin beberapa kali mengajakku berbual
namun aku hanya berbual seketika dan selebihnya aku melayan perasaanku sendiri.
"Bye sayang...." bisik lelaki itu apabila dia menghantar aku ke pintu pagar rumah.
Shazlin yang keletihan tertidur di kerusi belakang.
Aku pura-pura tidak mendengar.
"Mieeeraaa…."
Ketika mahu melangkah setelah pintu pagar ditutup, aku mendengar dia memanggil namaku seperti itu lagi. Aku menoleh dan lelaki itu tersenyum.
"Mimpi yang indah, ye…." Sambungnya dan terus masuk ke dalam kereta tanpa menunggu kata balasan daripadaku.
SELESAI mandi aku merehatkan diri di dalam bilik. Keletihan masih lagi terasa. Bila memikirkan peristiwa tadi, aku tersenyum sendiri. Entah apa di fikiran Tuan Megat agaknya sehingga sanggup berkata demikian. Haikal juga melayanku begitu dahulu, tetapi entah di mana silapnya, aku ditinggalkan terkapai-kapai tanpa sebarang berita. Aku tersentak bila telefon bimbitku memainkan lagu ‘Teman Tapi Mesra’ nyanyian ‘Ratu’, menandakan ada pesanan yang masuk ke dalam inbox.
Hai, mengelamun ke?
Aku tak tahu siapa yang menghantar SMS tersebut. Mungkin salah nombor agaknya. Malaslah nak layan!

Takkan dah tidur?


Aku semakin pelik membaca pesanan-pesanan ini.
Tak jawab berdosa tau!
Orang ni tak fikir ke yang dia lagi berdosa mengacau aku yang sedang mencari kedamaian ini? Hatiku sudah mula berbara.
Ni mesti tgh jauh berangan....
Siapa pengacau ni ye? Terus kudail nombor tersebut dan aku terperangkap sendiri apabila suara itu memberi salam padaku.
"Miera buat apa tu?"
Mulutku terkunci untuk menjawab.
"Mieeeraaa…." bisiknya lembut.
Aku terus mematikan talian. Entah kenapa aku tiba-tiba jadi tidak sanggup untuk terus mendengar suara itu lagi. Ada getar yang halus menghambat di ruang hati.
Maafkan saya kerana mengganggu tuan puteri. Saya tak sangka pesanan saya tak diundang sama sekali. Sekali lagi saya minta maaf.
Alamak! Macam mana ni? Aku tidak tahu apa yang
hendak dibuat sekarang ini. Aku tidak bermaksud untuk mengguris hati lelaki itu, tetapi sikap romantiknya membuatkan aku rasa takut lama-kelamaan akan terpaut padanya. Sesuatu yang cuba kuelakkan buat masa ini.
"Assalamualaikum."
Salam kuberi. Aku sendiri dapat mendengar degupan jantungku yang tidak lagi seirama.
"Waalaikumussalam." Suara itu menyambutnya. Lembut.
"Tuuu… ops... Shah, saya minta maaf pasal tadi. Saya tak bermaksud macam tu...." terangku panjang lebar tetapi suara di sana hanya membisu. Aku menjadi serba salah dengan kebisuan suara di hujung sana.
"Shah… please. Janganlah begini," rayuku tetapi suara itu masih membisu.
"Shahhh…." Aku mencuba lagi, kali ini separuh merayu.
"Iye sayang…."
Erk! Tercekik aku apabila lelaki itu mula bersuara, membuat aku pula membisu. Terkejut. Tersentak.
"Saya suka bila dengar suara Miera merengek."
Malaun punya budak! Dia kenakan aku?
"Shah!!!" Aku bersuara geram dan telingaku dapat menangkap suara lelaki itu ketawa.
"Janganlah marah, sayang...." Dia bersuara lagi.
"Awak nikan…!!!" Aku menjerit geram dan terus memutuskan talian.
Beberapa kali telefonku berbunyi tetapi tidak kuendahkan dan terus mematikannya. Kenapalah hari ini
banyak kali hatiku disakitinya? Kalau begini selalu, aku boleh migrain menghadap dia tiap-tiap hari dengan perangainya yang sebegitu!

Yüklə 116,32 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin