Novel Papa... (akhirnya kau tewas jua!)
-
Sinopsis
Pada suatu petang, ketika Intan Julia berada di dapur dengan Mak cik Noraini, dia memerhatikan kemesraan yang ditunjukkan oleh mama dan papanya yang ketika itu berada di kebun kecil berhampiran dengan rumah mereka. Dia berasa kagum akan kemesraan antara mama dengan papanya yang tetap kekal walaupun mereka telah lama berumah tangga. Walau bagaimanapun, apabila melihat keterbukaan mama dan papanya dalam menunjukkan kemesraan mereka, dia berasa kurang senang.
Ibu Julia telah mengandung anak kedua. Hal ini membimbangkan orang-orang yang rapat dengan ibunya kerana ibunya pernah mengalami komplikasi sewaktu melahirkan anak pertama. Namun begitu, mamanya tetap berhasrat untuk meneruskan kandungannya bagi menunjukkan kasihnya kepada papa. Akhirnya, mama melahirkan anak kembar siam. Anak mereka diberi nama Ahmad dan Muhammad. Walau bagaimanapun, anak kembar ini meninggal dunia dan mama koma. Julia mula rapat dengan Rasylan, iaitu teman sekolahnya. Walau bagaimanapun, hubungan mereka tidak disenangi papa. Selepas SPM, Julia dan Rasylan berjaya mendapat tempat di matrikulasi UIA. Di samping itu, papa Julia pula mula rapat dengan pelajarnya yang bernama Aisyah. Aisyah cuba mendekati Julia dengan sering bertanyakan khabar dan mengajaknya bermain tenis. Akhirnya, papa menyatakan hasrat mahu memperisterikan Aisyah. Julia menentang hasrat papanya. Konflik berlaku hingga papa menamparnya. Tetapi selepas papanya berbincang dari hati ke hati dengan Julia, akhirnya Julia bersetuju.
Klimaks novel ini bermula pada suatu malam selepas Julia bersembahyang jemaah dengan papanya. Mama yang sudah lama koma akhirnya sedar dan mula membuka matanya serta mencuba untuk bercakap. Pada ketika itu, semua ahli keluarganya ada di sisi. Walau bagaimanapun, setelah melihat Aisyah, raut wajahnya berubah. Papa menjelaskan perkara yang sebenar, mama berasa kecewa dan menangis. Sejurus selepas itu, mama menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kematian mama amat menyedihkan Julia dan buat pertama kalinya, papanya menangis.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Mak Cik Noraini menasihati Intan Maliana supaya tidak meneruskan kandungannya kerana bimbang akan keselamatan Intan Maliana. Mak Cik Noraini menyayangi mama.
-
Intan Maliana dan Jeffri menggunakan masa lapang mereka dengan berkebun sayur di kebun mini di rumah mereka.
-
Mak Cik Noraini, Jeffri dan lntan Julia menjaga mama yang koma di rumah. Mereka selalu berdoa agar mama sembuh seperti sediakala
Novel Melunas Rindu
-
Sinopsis
Cerita bermula apabila Fuad tertanya-tanya siapa dirinya yang sebenar. Pelbagai pertanyaan timbul dalam usaha mencari identiti dirinya. Pada bahagian permulaan juga, penulis memperkenalkan beberapa watak yang mempunyai kaitan dalam hidup Fuad seperti Farhana, Pak Ismail dan Mak Salmah, Chin, Peter Lim dan Swee Lan serta Robert Lim. Peristiwa yang berlaku pada permulaan cerita pula kebanyakannya di Terengganu.
Cerita mula berkembang apabila Fuad mula ingin mengetahui status ibunya sama ada masih hidup atau sebaliknya. Dalam pencarian tersebut, satu persatu pertanyaan dalam diri Fuad terungkai. Antaranya ialah ayahnya iaitu Robert Lim pernah memeluk agama Islam untuk mengahwini ibunya Mariana. Fuad juga mendapat tahu bahawa nama sebenarnya adalah Abdul Halim bin Roslan.
Fuad menghadapi konflik apabila ayahnya memasukkan wang ke dalam akaunnya tetapi dalam masa yang sama dia tidak dapat memaafkan ayahnya. Konflik juga berlaku apabila Fuad mencintai adiknya sendiri iaitu Sofia dan Farhana. Namun cintanya terpaksa dikorbankan apabila mengetahui bahawa Sofia dan Farhana adalah adiknya. Selain Fuad, konflik juga dapat dilihat apabila Mak Salmah menyayangi Fuad tetapi dalam masa yang sama membencinya kerana menganggap Fuad merupakan punca Sofia meninggal dunia.
Fuad mendapat tahu bahawa ibunya masih hidup. Selain itu, Pak Ismail dan Mak Mah pula didatangi Robert Lim bertujuan untuk memberi cincin ibu Fuad kepadanya. Fuad mendapat tahu bahawa ibu Farhana adalah ibunya juga. Kedatangan Robert Lim ke hospital tempat ibu Farhana dirawat mengesahkan lagi bahawa Mariana adalah ibu Fuad. Di akhir cerita, Fuad menerima hakikat bahawa Farhana adalah adiknya. Pertemuan Fuad dengan ibu dan adiknya telah memberi kebahagiaan kepadanya. Akhir sekali, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
kerjasama yang diberikan oleh Pak Lias, Pak Said dan Pak Shamsuddin untuk memudahkan usaha Fuad mencari ibunya yang dikatakan sudah meninggal dunia.
-
Farhana dan Fuad berusaha meningkatkan prestasi murid-murid di sekolahnya. Mereka mengajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat itu.
-
Farhana menegur sikap Cikgu Zamani yang cuai menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang guru. Farhana tidak suka Cikgu Zamani bekerja sambil lewa
Novel Azfa Hanani
-
Sinopsis
Pada peringkat permulaan cerita, pembaca diperkenalkan dengan watak Azfa Hanani yang berasa takut setelah mengetahui bahawa orang yang selalu mencuri buku-buku rujukan di perpustakaan telah dikenal pasti dan akan ditangkap, Dia kemudiannya dipanggil ke bilik pengetua. Wajahnya dikatakan seiras Tengku Murni oleh Tengku Mazran dan Kak Syafinaz. Tengku Mazran meminta Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni iaitu adiknya yang terbunuh dalam suatu kemalangan jalan raya. Memikirkan masa depan persekolahannya serta peluang untuk membantu sepupunya, Zuraini mendapatkan rawatan, Azfa Hanani bersetuju menerima tawaran Tengku Mazran.
Pada peringkat perkembangan, Azfa Hanani dibawa ke Hotel Universe dan diajar cara bertutur, makan, dan bergaul dengan Datin Maziah. Di rumah Datin Maziah, Azfa Hanani berjaya memainkan peranan sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani kemudiannya dihantar ke Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah barunya, Azfa Hanani telah berkenalan dengan Tengku Ellina, sepupu Tengku Murni dan rakan-rakan yang lain seperti Suzana, Adriani dan Ekran. Azfa Hanani turut terlibat dalam pertandingan Forum Remaja sekolahnya.
Cerita sampai pada peringkat perumitan apabila Azfa Hanani menerima bungkusan hadiah daripada Ekran ketika majlis sambutan ulang tahun Tengku Murni yang ke-17. Azfa Hanani mencari Ekran untuk mendapatkan penjelasan tentang hubungannya dengan Tengku Murni. Ekran mengaku bahawa hubungannya dengan Tengku Murni memang istimewa tetapi tidak disenangi oleh seseorang iaitu Tengku Muzaffar.
Klimaks cerita ini ialah apabila Azfa Hanani mengetahui bahawa abang Tengku Murni, iaitu Tengku Muzaffarlah yang menjadi penghalang hubungan Ekran dengan Tengku Murni. Pertengkaran antara Azfa Hanani dengan Tengku Muzaffar didengar oleh Datin Maziah. Rahsia penyamaran Azfa Hanani akhirnya terbongkar. Datin Maziah begitu marah kerana telah ditipu selama ini. Azfa Hanani telah ditamparnya lalu diusirnya keluar dari banglo tersebut.
Pada pengakhiran cerita, Datuk Tengku Makmur memberitahu bahawa dialah yang menyebabkan teksi yang dinaiki oleh ayah dan ibu Azfa Hanani terjunam ke dalam gaung 16 tahun yang lalu menyebabkan mereka terbunuh. Azfa Hanani kembali ke banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah dengan identitinya sendiri setelah dipujuk. Pasukan Forum Remaja. Sekolah Taman Sari yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani terpilih sebagai Pengerusi Forum Remaja Terbaik. Azfa Hanani juga telah mengetahui identiti sebenar Ekran dan berjaya mendapatkan kepastian daripada Ekran tentang hubungan mereka berdua.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
kesediaan Azfa Hanani membantu keluarga Datin Maziah. Dengan kesanggupan Azfa Hanani menyamar sebagai Tengku Murni, kehidupan Datin Maziah ceria seperti sediakala.
-
Datin Maziah memohon maaf daripada Azfa Hanani - dengan permohonan maaf tersebut, Azfa Hanani datang semula dan tinggal bersama Datin Maziah.
-
Tengku Mazran dan Syafinaz membiayai perubatan Zuraini sehingga Zuraini sembuh daripada penyakitnya. Mereka juga memasukkan telefon ke rumah pak long dan mak long supaya Azfa Hanani boleh berhubung dengan ayah dan emak saudaranya itu.
Novel Renyah
-
Sinopsis
Datuk Dolhi dan Datin Tominah rasa sedih kerana tidak ada anak mereka yang ingin menyambung tugasnya apabila dia tiada kelak. Anak mereka yang pertama Hasnol sebagai PTD sayang akan jawatan, kuasa dan pangkatnya. Hasnol ingin menjadi kaya tapi tidak mahu melepaskan jawatannya. Semasa Hasnol dilahirkan Datuk Dolhi seorang pegawai kerajaan dan beliau berdoa agar anaknya kelak akan menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik dan seterusnya KSU. Datin Tominah meminta supaya Datuk Dolhi melatih anak ketiganya Ilham menggantikannya. Tetapi Datuk Dolhi kecewa dengan Ilham yang suka membuang masa tidak tentu hala. Rencananya tentang alam sekitar mendapat tempat walaupun sering bertentangan dengan bapanya yang menggunakan alam sekitar untuk mencari keuntungan. Datuk Dolhi juga pernah berkahwin dengan wanita peranakan Arab dan mendapat anak lelaki. Tetapi wanita itu meninggal dunia dan menjadi rahsia hidupnya termasuk Datin Tominah. Datuk Dolhi mempunyai seorang rakan kongsi rapatnya Albert Lee. Malah Albert Lee pernah melamar Amera anak Datuk Dolhi untuk anaknya Robert Lee tapi gagal. Anak Datuk Dolhi, Mukhlis yang berjubah dan berjanggut dan sering ke surau. Tidak mahu menguruskan syarikat bapanya kerana syarikat bapanya penuh dengan riba menurut Mukhlis. Manakala anaknya Dani minat dalam bidang hiburan.
Datuk Dolhi menyampaikan ceramah dengan menjadikan Doktor Mahathir sebagai contoh. Kepuasan terbayang pada wajah Datuk Dolhi setelah menyampaikan ceramah. Datuk Dolhi menemani isterinya Datin Tominah menghadiri pertunjukkan fesyen Busana Islam. Datuk Dolhi sangat bosan dengan pertunjukkan tersebut. Amera terpilih sebagai pendidik terbaik seluruh negeri. Amera memohon supaya ayah dan ibunya hadir pada majlis penyampaian anugerah tersebut. Sekali lagi Datuk Dolhi meminta Amera berhenti sebagai pendidik dan bekerja dengan syarikatnya tetapi ditolak oleh Amera yang mencintai bidang pendidikan. Mukhlis memohon pembiayaannya berdakwah ke India tetapi ditolak oleh Datuk Dolhi.
Amera mendapat panggilan talefon daripada peminat misteri mengucapkan tahniah di atas kejayaannya dan juga mendapat jambangan bunga. Pembantu rumah, Inem meminta untuk berhenti kerja. Dia tidak menyatakan sebabnya. Walaupun dipujuk oleh Datin Tominah tapi Inem bertegas untuk berhenti. Mukhlis bernikah dengan Hanisah janda tok guru beranak dua tanpa pengetahuan keluarganya. Hasnol balik ke rumah untuk meminjam RM 10,000.00 daripada keluarganya untuk kelab golfnya dan diberi oleh keluarganya. Datuk Dolhi meminta Rozie menempah tiket dan penginapannya di Jepun untuk menenangkan fikirannya yang runsing memikirkan hal anak-anaknya. Albert Lee kecewa kerana hasratnya untuk melihat Elain berkahwin dengan Hasnol tidak tercapai. Sekarang ini beliau berharap Robert pula cuba untuk memikat Amera seterusnya memperisterikannya
Wakil Timbalan Menteri datang untuk merisik Amera. Majlis perkahwinan Amera dengan Timbalan Menteri disegerakan untuk mengelakkan fitnah. Dani dan kumpulannya Young Rock Band mengadakan persembahan. Sebelum persembahan Dani meminta kebenaran daripada rakannya untuk mendapatkan dadah. Semasa dalam perjalanan Dani telah diberkas oleh polis dan mendapati positif dadah. Tengku Munir terus ke Pejabat Menteri Besar melaporkan Hasnol meminta RM1 juta bagi meluluskan 12 permohonan tendernya. Malam itu Hasnol menelefon ibunya dan kesal atas perbuatannya. Datin Tominah meminta Hasnol pulang untuk mencabar kes itu di mahkamah. Ilham pula mengadakan tunjuk perasaan bersama Pertubuhan Alam Sekitar Sedunia yang disiarkan secara langsung oleh TV antarabangsa. Ilham mengecam kerajaan Malaysia membiarkan balak terus ditebang. Datuk Dolhi pula didatangi pegawai dari Cawangan Khas untuk mengetahui latar belakang Ilham. Malah YB Wahab Yassin juga disoal kerana penglibatan adik iparnya. Datuk Dolhi mengisytiharkan Wahi sebagai anaknya kepada ahli keluarganya yang lain menyebabkan Datin Tominah bersikap dingin kepadanya.
Hasnol dibebaskan dengan ikat jamin dan Dani juga dijamin kerana memiliki dadah. Albert banyak menjalankan tugas Datuk Dolhi. Linda isteri Hasnol tinggal di Paris dan tidak mahu pulang kerana malu. Wahi dan Yuka pulang ke tanah air disambut Datuk Dolhi sekeluarga. Datin Tominah telah berubah dan dapat menerima anak tirinya Wahi. Mukhlis dimasukkan ke hospital setelah dipukul kerana menyerang rumah berhala. Mukhlis beransur pulih daripada kecederaan dan doktor menasihati supaya dihantar ke pusat pemulihan untuk rawatan mental. Manakala bekas isterinya ada menjenguknya di hospital tetapi keluarga Mukhlis tidak mengenalinya kerana berpurdah. Manakala Dani akan dihantar ke pusat pemulihan dadah setelah selesai kesnya di mahkamah dan Dani bersetuju. Amera menunggu suaminya yang pulang ke kawasannya untuk mempertahankan jawatan ketua bahagian parti pemerintah dan anak tirinya dijaga olen mentuanya. Seterusnya, Dolhi Albert Holding mengadakan mesyuarat lembaga pengarah dan Datuk Dolhi mengumumkan pelantikan Wahi menggantikannya dan mendapat sokongan lembaga pengarah kecuali Albert yang keluar selepas pengumuman tersebut. Ketika Datuk Dolhi dan Datin Tominah berehat di anjung banglonya, dia terfikir untuk ke Mekah mengerjakan umrah. Semua urusan perniagaan diserahkan kepada Wahi dan isterinya Yuka. Hasnol akan dibicarakan atas kesalahan rasuah. Kerjayanya musnah dan isterinya Linda mula menjauhkan diri. Ilham berada di luar negara dan berkomplot dengan orang asing memboikot Malaysia dan dianggap penderhaka kepada negara. Manakala Amera belum dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan politik suaminya YB Wahab Yassin. Suaminya pula bergelut untuk mempertahankan jawatan dalam parti. Mukhlis dihantar ke hospital mental dan bekas isterinya Hanisah kembali kepada bekas suaminya. Dani pula dihantar ke Pusat Serenti untuk memulihkannya daripada ketagihan dadah. Akhirnya Wahi anaknya dengan Mastura mewarisi perniagaan Datuk Dolhi dan akan berdepan dengan Albert Lee dalam perniagaan.
-
Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Datuk Dolhi menjamin Dani dan Hasnol supaya keluar dari tahanan selepas mereka didapati bersalah. Dani terlibat dengan dadah manakala Hasnol terlibat dalam rasuah.
-
Albert Lee berbincang dengan keluarga mengenai pelbagai perkara termasuk hal-hal keluarga dan perniagaan. Albert Lee beranggapan bahawa perkongsian pendapat sangat penting untuk menjamin kesempurnaan hidup.
-
Amera menasihati adik-adiknya supaya memikirkan masa depan. Dia tidak suka adik-adiknya membuang masa dengan muzik dan tidak membuat sebarang pekerjaan.
Novel Konserto Terakhir
-
Sinopsis
Peringkat permulaan plot novel ini bermula pada bab pertama. Pengarang memperkenalkan watak utama dalam novel iaitu Hilmi yang telah datang ke rumah Datuk Johari untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Datin Salmah dan Hayati tidak senang hati dengan kedatangan Hilmi ke rumah mereka. Namun Datuk Johari terpaksa menerimanya kerana Hilmi anak saudaranya. Datuk Johari sukar mendapatkan pekerjaan untuk Hilmi. Akhirnya Datuk Johari menjadikan Hilmi sebagai tukang kebun di rumah mereka.
Plot bergerak ke peringkat perumitan dan perkembangan apabila terdapat konflik antara Hilmi dengan Datin Salmah. Hilmi telah menyentuh dan bermain piano itu menyebabkan piano itu rosak secara tidak sengaja. Hilmi dimarahi oleh Datin Salmah. Kemudian, Hilmi telah belajar muzik daripada Encik Bakar. Datin Salmah memarahi Hilmi kerana meninggalkan rumah dan dilarang makan. Hayati pula semakin rapat dengan Hilmi menyebabkan Datin Salmah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna. Datin Salmah mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya. Akhirnya, Hilmi meninggalkan rumah itu dan mendapat pekerjaan di sebuah kios menjual minyak. Hilmi terus belajar muzik daripada encik Bakar sehingga menjadi pemuzik terkenal. Hilmi telah berkahwin dengan Azizah. Rumah tangga mereka goyah kerana tidak sehaluan dan Hilmi tinggal bersendirian. Azizah pula balik ke rumah ibu bapanya bersama-sama anak sulung mereka. Hilmi semakin kecewa dan tertekan. Namun dia tetap mengarang lagu.
Peringkat kemuncak atau klimaks plot pada novel ini bermula apabila Hilmi telah diberi peluang untuk memimpin pertunjukan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Hilmi terpaksa bekerja keras untuk menjayakan persembahan itu. Malangnya, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Keadaan Hilmi kritikal. Hayati yang baru pulang dari London untuk menyaksikan pertunjukan itu telah mengambil alih peranan Hilmi untuk memimpin Orkes Perdana. Setelah selesai persembahan, Hayati, Datuk Johari, Datin Salmah dan Ketua Pengarah RTM telah berkejar ke hospital untuk melihat Hilmi. Mereka bertemu dengan abang sepupu Datuk Johari, yang mendedahkan rahsia bahawa Hilmi ialah anak kandung Datuk Johari.
Peringkat penyelesaian atau peleraian novel ini agak pendek. Ia dapat dikesan apabila Datuk Johari tiba di rumah. Dia dan Datin Salmah berjanji untuk menebus kesilapannya melayan Hilmi dengan buruk. Namun Datuk Johari telah menerima panggilan telefon yang mengatakan bahawa Hilmi meninggal dunia. Setelah menerima berita itu, Datuk Johari terjatuh lalu meninggal dunia.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Mamat memperkenalkan Hilmi kepada Pak Cik Bakar. Dari situlah bermulanya kejayaan Hilmi kerana dia dapat belajar muzik dengan lebih mendalam.
-
Pak Cik Bakar tidak mengenakan sebarang bayaran apabila Hilmi belajar muzik daripadanya.
-
Hayati menggantikan tempat Hilmi dalam persembahan selepas Hilmi jatuh sakit. Persembahan itu dapat diteruskan walaupun ketiadaan Hilmi.
Novel Kembara Amira
-
Sinopsis
Amira bersama Jacinta memulakan pengembaraan menaiki kereta api ke Bukit Mat Raya untuk menyertai ekskavasi menjejak kewujudan tamadun awal manusia.
Amira dihanyutkan oleh arus deras semasa menunggu Malique dan telah diselamatkan oleh Itai. Malique hilang apabila keretanya tergelincir ke dalam gaung semasa gerakan mencari salah seorang pekerja O’Hara yang hilang. Sementara itu, Tau bersetuju untuk membantu Profesor Zaidah dalam usahanya menjejak kewujudan tamadun awal manusia.
Kumpulan yang diketuai oleh Dr. Zawawi menjumpai Gunung Gua Gajah yang mengandungi artifak (kapak dan tulisan zaman purba di dinding) yang sangat berharga untuk memastikan kawasan tersebut tidak akan diterokai oleh manusia yang rakus mengaut keuntungan dari sumber alam kawasan tersebut.
Akhirnya rahsia terbongkar bahawa makhluk yang berbulu adalah Tau manakala Malique dan Itai adalah anak-anak Tau. Akhirnya kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan peninggalan sejarah yang harus dilindungi. Malique pula masih berada di Bukit Mat Raya mengendalikan projek IT.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Dr. Zawawi, Ludin dan beberapa orang lagi berusaha mencari Amira dan Itai di Gua Gunung Gajah. Mereka prihatin akan nasib yang dialami oleh Amira dan Itai.
-
kedatangan Jennifer dari Melaka ke Bukit Mat Raya setelah mendapat tahu Malique hilang. Beliau sayang akan anaknya Malique.
-
Amira mempelawa Jacinta ke Bukit Mat Raya untuk mengisi masa cuti. Amira tidak mahu Jacinta memikirkan masalah yang dihadapinya. Amira prihatin akan masalah yang dihadapi oleh Jacinta
Novel Kabus di Perbukitan
-
Sinopsis
Pengarang memperkenalkan watak Rahayu menunaikan solat subuh dan Rahayu merasa kelainan atau sakit pada lehernya. Pada bahagian ini diperkenalkan juga Rahayu dan Azrul sebagai penuntut Fakulti Ekologi Manusia, UPM.
Rahayu dan Azrul sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan. Semasa di perpustakaan, tiba-tiba Rahayu pengsan dan dia dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada masa yang sama, Faridah kembarnya juga telah ditimpa kemalangan bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa, Iqbal dalam perjalanannya ke pekan Raub. Faridah hilang dari tempat kemalangan. Selepas dua minggu, Faridah ditemui di Perkampungan Orang Asli di Pahang yang diketuai oleh Tok Batin Senik dalam keadaan koma. Akhirnya Rahayu meninggal dunia di sisi Faridah di hospital yang sama mereka ditempatkan. Azrul berjaya menamatkan pengajiannya dan berhasrat menjadi penternak kambing.
Faridah berkahwin dengan Ghazali. Ibunya meninggal dunia dan diikuti dengan kematian Ghazali dalam kemalangan jalan raya. Faridah bersetuju ke New Zealand untuk mengikuti suatu kursus. Faridah menetap di New Zealand dan berkahwin dengan seorang pemuda New Zealand yang bernama Samuel Kirkby Johnsons atau Soleh Johnsons. Mereka dikurniakan sepasang anak kembar, Anne dan Melina. Zain berkenalan dengan Anne semasa Anne menghadapi masalah keretanya yang rosak. Melina berkahwin dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai ‘Benny’ dan berpindah ke Malaysia serta menetap di Terengganu. Benny sibuk dengan urusan perniagaannya bersama-sama dua orang kawannya, Muhammad Attar dan Mehmod. Melina yang sedang mengandung rasa sunyi. Muhamed Attar, Mehmod, dan Benny cuba mempengaruhi Ustaz Hassan Syukri agar menyertai perjuangan mereka.
Faridah, Soleh, dan Anne pulang bercuti di Malaysia untuk melawat Melina, dan membincangkan perkahwinan Zain dan Anne. Muhammad Attar ditangkap oleh pihak Interpol dan Melina membuat laporan ke balai polis kerana suaminya tidak pulang ke rumah. Perkahwinan Anne dengan Zain berlangsung dengan meriah. Soleh dan Melina ke Dubai berjumpa Benny dan Melina bersetuju menetap di Dubai.
Anne dan Zain menetap di New Zealand untuk menerajui syarikat penternakan keluarga Johnsons. Azrul dan Soleh menjalankan perniagaan kotej di Cameron Highlands. Faridah dan Soleh mengambil keputusan menetap di Malaysia.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mencari Faridah yang hilang selepas kemalangan jalan raya.
-
Hamidah menjaga Rahayu yang sakit tenat. Kasih sayangnya mendalam terhadap Rahayu dan dia berharap Rahayu dapat diselamatkan.
-
Salmah membesarkan Faridah dengan begitu gigih selepas bercerai dengan suaminya. Salmah bekerja sebagai petani untuk menyara hidupnya dan Faridah
Novel Sutera dalam Lukisan
-
Sinopsis
Menceritakan watak utama iaitu Bujei yang digambarkan sering mengunjungi latar tempat di kampung. Digambarkan juga latar masa iaitu pada waktu senja dan latar masyarakat kampung Bujei yang telah menganggap Bujei sebagai insan abnormal.
Kematian ibu Bujei yang bernama Fatimah yang dibunuh oleh bapa tirinya merupakan titik hitam dalam kehidupannya. Bujei menjadi sasau dan sering dicemuh dan dipermainkan oleh masyarakat kampung. Perkenalan dengan Adila telah mengubah hidupnya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan untuk meneruskan kehidupan. Dalam masa yang sama dia menaruh hati kepada Adila. Adila juga diminati oleh Alias, Sahak dan Faizal, bekas tunangnya.
Alias berusaha menculik Adila dan dengan bantuan neneknya, mencari ubat pengasih untuk mendapatkan Adila. Adila juga menaruh hati kepada Bujei (Hafiz). Hal ini menyebabkan Alias menjadi sasau kerana cintanya tidak kesampaian. Adila ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti swasta di kota.
(b) Tiga peristiwa yang menjadi teladan
-
Adila mahu memulihkan Bujei supaya menjadi manusia seperti biasa dan dia tidak pernah membuli atau merendah-rendahkan Bujei.
-
Sidang Saman dan Mak Limah mengambil berat masalah Bujei dan mereka tidak pernah menganiayai Bujei. Malah mereka selalu membela Bujei dalam banyak perkara.
-
Bujei membasuh motosikal Alias dengan cermat selepas Alias menyuruhnya berbuat demikian. Bujei rajin dan menurut perintah.
Dostları ilə paylaş: |