KEMAHIRAN KOMUNIKASI BERKESAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
(KESANTUNAN BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA DAN KESUSASTERAAN MELAYU)
Oleh :
Dr. Tuan Jah binti Tuan Yusof
Pensyarah Kanan / Guru Cemerlang BM
Jabatan Bahasa Melayu
IPG Kampus Bahasa Melayu
Lembah Pantai
Kuala Lumpur
Ringkasan
Pendidikan Bahasa Melayu perlu diberikan penekanan terhadap aspek kepersisan, kesantunan dan keestetikaan bahasa. Penguasaan aspek ini mempamerkan kebijaksanaan dan kewibawaan penutur mengungkapkan bicara dan buah fikiran. Kertas kerja ini membincangkan aspek kesantunan bahasa sebagai elemen penting dalam peraturan sosiobudaya yang perlu diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang bertatasusila dalam pengajaran kemahiran bahasa, iaitu lisan dan tulisan bertujuan untuk melahirkan murid-murid yang mengamalkan kesantunan bahasa dalam kehidupan seharian. Selain membincangkan kesantunan bahasa secara umum dan pengaplikasiannya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, kertas kerja ini juga menyediakan latihan, tugasan dan aktiviti yang sesuai dan mencabar. Tujuannya adalah untuk memantapkan penguasaan kesantunan bahasa dalam komunikasi lisan, bahasa bertulis dan penulisan kreatif. Amalan kesantunan bahasa dalam kehidupan seharian sama ada secara lisan, tulisan atau dalam karya kreatif mencerminkan kehalusan jiwa, ketajaman akal fikiran dan ketinggian budi penutur bahasa Melayu.
-
PENDAHULUAN
Kesantunan Bahasa ditakrifkan sebagai kebolehan menggunakan bahasa yang sopan, santun dan halus sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan, dalam urusan rasmi dan tidak rasmi. Kesantunan bahasa menitikberatkan bentuk dan pilihan kata, kata sapaan serta ungkapan yang dapat menggambarkan tingkah laku seseorang. Menurut Asmah Haji Omar, (2007 : 1-5), ada pelbagai ungkapan dalam bahasa Melayu yang menggambarkan tingkah laku yang diingini oleh masyarakat dan dianggap sopan dan santun. Antaranya ialah budi bahasa, adab tertib, budi pekerti, sopan santun, etika dan etiket.
Budi bahasa membawa makna perilaku atau tingkah laku yang baik dari segi gerak geri, tutur kata dan sikap manakala adab tertib merujuk kepada tradisi hidup yang berlandaskan peraturan yang mulia dan indah. Budi pekerti pula bermaksud peraturan mulia yang dikehendaki dari segi tingkah laku manakala sopan santun merujuk kepada penggunaan bahasa yang halus (refined) dari segi tingkah laku . Etika serta etiket pula menggambarkan tingkah laku yang sopan santun semasa menampilkan diri dalam hubungan kita dengan orang lain (Asmah Haji Omar, 2007 : 1- 5 ).
Manakala Hashim Musa (2009 : 114-115 ) berpendapat bahawa konsep kesantunan bagi orang Melayu tidak boleh dipisahkan daripada agama, iaitu Islam yang dikaitkan dengan tiga komponen keperibadian seseorang, iaitu pertama, fiil atau perangai dan budi pekerti yang membawa kepada tindak tanduk perbuatan dan aksinya. Kedua, budi bahasa dan tutur kata yang membawa kepada budi bicara dan percakapannya dan ketiga hati budi, iaitu akalnya. Ketiga-tiga komponen ini dipugar dan diadun dengan penyemaian dan pemupukan adab melalui proses pendidikan formal dan tidak formal yang boleh melahirkan insan atau manusia Melayu dan bangsa Malaysia yang budiman dan berguna kepada keluarga, masyarakat , negara serta umat sejagat.
Kesantunan bahasa dalam konteks tulisan merujuk kepada penggunaan bahasa yang santun dan sopan dalam urusan rasmi dan tidak rasmi seperti dalam urusan surat-menyurat, penulisan laporan, memo, iklan serta dalam penulisan kreatif.
Memandangkan penggunaan bahasa yang sopan dan santun mencerminkan ketinggian akal budi penutur bangsa maka kesantunan bahasa dimasukkan sebagai elemen utama dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tujuannya adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi JERIS, iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
2.0 OBJEKTIF
Objektif kertas kerja Kesantunan Bahasa ini adalah seperti yang berikut, iaitu peserta dapat :
2.1 Memahami konsep bahasa yang sopan dan santun dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.
2.2 Mengaplikasikan kesantunan bahasa dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
-
Mengamalkan kesantunan bahasa dalam kehidupan seharian.
-
KONSEP KESANTUNAN MELAYU
Menurut Hashim Musa ( 2008 : 114-115) sifat santun dan kesantunan boleh didefinisikan sebagai halus budi bahasa dan pekerti dalam kelakuan berinteraksi dan berkomunikasi supaya terhindar konflik dan persengketaan dengan pendengarnya dan sentiasa menjaga air muka mereka. Dalam pengertian orang Melayu kesantunan seharusmya dikaitkan dengan tiga komponen keperibadian atau sahsiah seseorang manusia, iaitu perangai, tutur kata dan hati budinya. Kesantunan ialah sebahagian daripada akhlaknya dan bukan setakat etika dan moral sahaja. Tatasusila yang dianggap mempunyai nilai moral yang tinggi dan murni ialah merendah diri, tidak takbur, benar, belas kasih, hati suci, cinta akan kedamaian, berdikari, berhemah tinggi, saling menghormati, adil dan saksama, berani, bersih fizikal dan mental, jujur, rajin, bekerjasama, syukur, mengenang budi, dan bersemangat kemasyarakatan. Justeru, individu yang memiliki sifat-sifat yang disenaraikan di atas dianggap sebagai bersantun.
Dalam masyarakat Melayu, seseorang yang dianggap mempunyai nilai etika, moral dan akhlak yang tinggi dipandang mulia oleh masyarakat dan dinamakan sebagai orang yang budiman. Orang yang berbudi pekerti mulia, seorang yang budiman mampu bertindak dan berkelakuan dengan bijak, adil, dan saksama, seperti kata pepatah :
Kalau hendak tahu baiknya orang,
Budi bahasanya engkau pandang :
Bercakap lidahnya sedap,
Berkata bermanis muka,
Berbual berlurus akal,
Bermesyuarat menurut adat,
Bekerja dengan ilmunya,
Kepada sahabat ingat-mengingat,
Kepada saudara jaga-menjaga,
Kepada kawan segan-menyegan,
Ditimpa musibah ia tabah,
Ditimpa malang ia tenang,
Susah tidak berkeluh kesah,
Senang tidak sewenang-wenang,
Melarat tidak mengumpat,
Kaya tidak menganiaya,
Berlebih tidak menindih,
Kurang tidak meradang.
( Hashim Musa, 2008 : 119)
Daripada contoh pepatah di atas jelas terbukti bahawa orang yang santun dianggap sebagai seorang budiman kerana dia mampu bertindak dengan rasional dalam semua keadaan dan sentiasa menggunakan bahasa yang indah dan sopan dalam semua situasi.
-
KONSEP KEINDAHAN DAN BAHASA
Bahasa dan keindahan saling berkaitan dan tidak boleh dilihat secara berasingan. Bahasa ialah satu unsur yang penting dalam mengungkapkan keindahan. Tanpa bahasa keindahan tidak dapat diungkapkan atau diterjemahkan kerana proses penzahiran daripada fikiran kepada ungkapan memerlukan media bahasa, iaitu kata-kata dan ayat yang tepat,benar dan indah. Justeru, Hashim Musa ( 2008 : 121) berpendapat bahawa untuk menjadikan sesuatu ucapan, madah dan ungkapan bahasa itu indah maka diksi dan makna yang dipilih harus benar, tepat, wajar, simbolik, memiliki alunan ritma dan irama, berpuitis dan boleh menggamit serta menarik hati dan budi pendengarnya seperti gaya yang digunakan dalam karya sastera.
-
KARYA SASTERA : PANCARAN KEINDAHAN DAN KESANTUNAN
Menurut Aftarudin dalam Naffi Mat ( 2006 : 2) sastera adalah komunikasi seni yang hidup bersama bahasa. Tanpa bahasa, sastera tak mungkin wujud. Melalui bahasa, sastera dapat mewujudkan dirinya dalam bentuk sastera lisan mahupun bertulis.
Dalam sastera bertulis atau penulisan kreatif bahasa dan gaya bergerak seiringan Menurut Graham Hough ( 1993 : viii), jika bahasa dianggap sebagai “pakaian fikiran” maka gaya pula merujuk kepada “fesyen pakaian”. Gaya dan bahasa saling melengkapi dan tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya menggunakan ilmu secara sopan dan santun untuk memantulkan keindahan atau estetika dalam karya sastera.
Bahasa juga merupakan alat yang digunakan untuk memindahkan pengalaman jiwa manusia yang merangkumi pernyataan perasaan dan fikiran (Dharmawijaya, 1987 : 4). Sasterawan melahirkan pemikiran, perasaan, wawasan, falsafah dan ideologi mereka melalui bahasa konotatif yang sopan, santun, halus dan berseni untuk renungan pembaca. Bahasa konotatif atau tersirat ini berbeza dengan bahasa tersurat atau bahasa denotatif kerana bahasa konotatif ini menuntut ketelitian pemilihan, pembentukan dan cara penyusunan untuk menimbulkan kesan kehalusan, kemuliaan dan kesempurnaan sebagai memenuhi syarat-syarat keindahan.
Keindahan dalam bahasa sastera dikekalkan melalui penggunaan susunan bahasa yang luar biasa yang dapat membangkitkan emosi melalui gaya artistik, figuratif, emotif, imaginatif dan teknik deviasi.
Penyimpangan atau deviasi bermaksud kelainan daripada kelaziman dan sering menyalahi atau melanggar tatabahasa. Antara deviasi atau penyimpangan yang sering ditemukan dalam karya sastera yang memantulkan keindahan tersendiri ialah deviasi fonologi, deviasi morfologi, deviasi semantik, deviasi sintaksis, deviasi leksikal, deviasi historis atau penggunaan kata-kata arkaik, serta deviasi grafologis.
Deviasi atau penyimpangan memberi “lesen poetika” atau poetic license kepada sasterawan untuk menyalurkan pemikiran atau mesej yang berat dan serius secara halus dan terselindung melalui penggunaan bahasa yang indah dan santun.
Keindahan atau kesantunan bahasa dalam karya sastera boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu keindahan dalaman dan keindahan luaran.
Menurut Imam Ghazali ( 1994 : 4-5) keindahan luaran dinyatakan dan boleh dicerap oleh pancaindera manakala keindahan dalaman yang tersirat tidak dinyatakan tetapi boleh dicerap oleh akal. Menurut beliau lagi sesungguhnya keindahan dalaman memerlukan pentafsiran akal.
“Keindahan tidak terbatas dalam rangka benda-benda yang dapat dilihat dan tidak pula merupakan sekadar keselarasan bentuk dan rupa yang penuh harmoni ataupun kesepadanan putih kulit dan merah pipi……
Ketahui olehmu bahawa sesuatu yang tidak dirasakan oleh pancaindera boleh juga dikira indah dan baik.Ketika orang berbicara tentang akhlak mulia maksudnya pengetahuan, kecerdikan, budi bahasa, keberanian, iman kukuh, kemurahan hati dan lain-lain sifat baik. Banyak daripada sifat-sifat tersebut dihayati bukannya dengan pancaindera, tetapi dengan sinar akal”.
|
Jika Imam Ghazali berpendapat bahawa keindahan dalaman memerlukan pentafsiran akal untuk menghayati dan merasainya maka Muhammad Haji Salleh ( 1994 :6) berpendirian bahawa keindahan dalaman memberi landasan kepada keindahan didaktik. Keindahan dalaman ini amat penting dan wajar didedahkan kepada pelajar kerana mesej dianyam secara halus dan santun untuk renungan pembaca melalui keindahan rohani ini.
Konklusinya, keindahan dalaman atau keindahan rohani yang merangkumi fikiran, perasaan, tindakan yang elok dan indah yang menimbulkan kesedaran kepada pembaca dan yang menjadi teladan kepada insan dan generasi yang akan datang wajar didedahkan kepada pembaca atau pelajar pada peringkat awal iaitu di peringkat sekolah rendah agar mereka menjadi insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan spiritual selaras dengan falsafah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menekankan
keseimbangan, ESQ ( Emotional, Spiritual dan Intelligence Quotient) untuk melahirkan modal insan kelas pertama.
Justeru dalam kertas kerja ini karya sastera daripada pelbagai genre seperti puisi tradisional, puisi moden, prosa dan naskhah klasik dipetik untuk mendedahkan serta menyuntik aspek kesantunan dalam diri pelajar agar mereka mengamalkan kesantunan bahasa dalam interaksi sosial serta komunikasi bertulis.
4. Kesantunan Berbahasa
Bahasa ialah lambang kehalusan dan kesopanan tingkah laku yang mencerminkan akal budi seseorang atau masyarakat yang menuturkan bahasa itu. Seseorang penutur bahasa Melayu sering menuturkan bahasa Melayu dengan lemah lembut dan penuh sopan santun supaya tidak dianggap orang yang biadab atau tidak berbudi bahasa. Kesantunan berbahasa merupakan elemen penting bagi mencerminkan kehalusan dan kesopanan seseorang yang terpancar melalui penggunaan bahasa sama ada secara lisan atau tulisan.
4.1 Sistem Panggilan dan Sapaan Asas Kesantunan Berbahasa
Sistem panggilan dan sapaan sangat penting diketahui dan diamalkan semua golongan dan lapisan rakyat kerana orang yang menyapa seseorang yang lain dengan mengikut sistem yang telah terbaku dalam masyarakat, maka seseorang itu dianggap sebagai orang yang berbudi bahasa. Menurut Amat Juhari Moain (1989), orang yang bersifat demikian diberikan nilai yang tinggi dalam kebudayaan Melayu. Konsep budi bahasa ini amat penting seperti yang digambarkan dalam pantun yang berikut :
Saya tidak menanam nanas,
Tanam papaya di dalam padi,
Saya tidak memandang emas,
Budi bahasa yang saya cari
(Mohd. Taib Osman 1975 : 21)
Bahasa yang santun mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Padanya terdapat kata-kata yang dapat mencerminkan ketinggian budi orang yang bercakap dan kedudukan orang yang dilawan bercakap atau orang yang disapa. Kesantunan bahasa dalam sapaan dapat dilihat dalam penggunaan kata ganti nama, rujukan kehormat dan gelaran serta panggilan. Antara gelaran termasuklah gelaran warisan, gelaran kurniaan, gelaran jawatan, gelaran keagamaan, gelaran akademik dan gelaran pergaulan.
4.2 Panduan Panggilan Hormat Untuk Urusan Rasmi
Murid seharusnya menguasai peraturan sosiobudaya memandangkan murid lepasan sekolah rendah akan melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya ke institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan. Aspek kepersisan dan kesantunan bahasa seharusnya diserapkan melalui pengajaran dan pembelajaran khusus Bahasa Melayu sejak di sekolah rendah dan menengah supaya murid kita tahu berbudi bahasa semasa bergaul dengan masyarakat dan berurusan dengan orang-orang tertentu, di tempat-tempat tertentu, melalui saluran-saluran tertentu seperti lisan, tulisan, emel dan dalam genre tertentu untuk mencapai keberkesanan dan tujuan berkomunikasi.
Dalam masyarakat Melayu terdapat beberapa panduan bagi menggunakan panggilan rasmi dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah seperti yang berikut :
-
Orang yang mempunyai gelaran anugerah (Tun, Datuk, Datuk Seri, dll), nama profesion (Doktor, ustazah, cikgu), nama pangkat (Inspektor, kolonel, dll), dan anugerah kecemerlangan (Sasterawan Negara, Bapa Kemerdekaan, Ibu Mitahli dll).
-
Tuan, untuk semua lelaki terutama yang dikenali sebagai tokoh penting dalam masyarakat dan organisasi. Jikalau individu itu sudah menunaikan haji, gunakan Tuan Haji.
-
Puan untuk semua wanita, lebih-lebih lagi sekiranya diketahui sudah berkahwin. Sekiranya sudah menunaikan haji, gunakan Puan Hajah. Sekiranya tidak pasti status perkahwinan, gunalah Cik Puan.
-
Encik boleh digunakan untuk lelaki sama ada sudah atau belum berkahwin.
-
Saudara atau saudari digunakan untuk pemuda atau pemudi antara 16 hingga 25 tahun. Boleh digunakan kepada orang yang dianggap sebagai setaraf dari segi kedudukan sosial atau umur atau lebih rendah tarafnya daripada orang yang bercakap. Umpamanya seorang pemimpin boleh memanggil semua orang dengan saudara.
4.3 Rujukan Kehormat Dalam Majlis Rasmi
Dalam bahasa Melayu terdapat rujukan kehormat yang mesti digunakan pada tempat yang telah ditetapkan. Hal ini penting kerana melibatkan protokol, kesilapan menggunakan rujukan kehormat yang tepat boleh merosakkan majlis dan upacara rasmi. Contoh rujukan kehormat mengikut taraf, status dan kedudukan tetamu kehormat adalah seperti yang berikut :
Bil.
|
Rujukan Kehormat
|
Orang yang disapa
|
1
|
Yang Mulia
|
Orang yang mempunyai gelaran warisan, seperti raja dan tengku yang bukan kerabat
|
2
|
Yang Amat Mulia
|
Anak kepada raja, keluarga dan kerabat yang sedang memerintah
|
3
|
Duli Yang Teramat Mulia
|
Sultan dan Sultanah, Raja perempuan serta Tengku Ampuan Besar
|
4
|
Yang Maha Mulia
|
Balu Almarhum Sultan
|
5
|
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
|
Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong
|
6
|
Yang Berbahagia
|
Tan Sri, Puan Sri, Datuk, Datin, Profesor dan Doktor
|
7
|
Yang Amat Berbahagia
|
Tun dan Toh Puan
|
8
|
Yang Berhormat
|
Wakil Rakyat, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO)
|
9
|
Yang Amat Berhormat
|
Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri
|
10
|
Yang Berhormat Mulia
|
Menteri yang bergelar warisan yang kanan (contoh Tengku, Raja dll)
|
11
|
Yang Amat Berhormat Mulia
|
Perdana Menteri yang bergelar warisan yang kanan
|
12
|
Yang Arif
|
Hakin dan kadi
|
13
|
Yang Amat Arif
|
Ketua Hakim Negara
|
14
|
Yang Setia
|
Pegawai tentera dan polis
|
15
|
Yang Amat Setia
|
Turus tentera dan polis
|
4.4 Rumus Perurutan dalam Panggilan dan Sapaan
4.4.1 Orang yang mempunyai satu gelaran ( r + g + n + j)
Contoh :
Rujukan (r)
|
Gelaran (g)
|
Nama (n)
|
Jawatan (j)
|
Yang Berusaha
|
Puan Hajah
|
Norezan bt. Hj. Abu Bakar
|
Guru Besar SK Simpang Tiga
|
Cara menyebut dengan santun ialah : Yang Berusaha / Puan Hajah Norezan bt. Hj. Abu Bakar/ Guru Besar, SK Simpang Tiga/ Kuala Trengganu/ Trengganu Darul Iman.
4.4.2 Orang yang mempunyai lebih daripada satu gelaran (r + g + n + j)
Contoh :
Rujukan (r)
|
Gelaran (g)
|
Nama (n)
|
Jawatan (j)
|
Yang Teramat Mulia
|
Tengku
|
Adnan bin Hj. Wahab
|
Yang Dipertua PIBG….
|
Yang Amat Berbahagia
|
Tun
|
Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi
|
Mantan Perdana Menteri Malaysia …
|
Yang Berbahagia
|
Tan Sri
|
Lee Lam Tai
|
Pengerusi PLKN….
|
Yang Mulia
|
Syeikh
|
Fadzil bin Che wan
|
Ketua Penerangan UMNO……
|
4.4.3 Ada gelaran warisan kanan = (r + gwk + gk + n)
Contoh :
4.4.4 Ada gelaran warisan biasa = (r + gk + gwb + n)
Contoh :
4.4.5 Ada gelaran kurniaan kanan = (r + gk + gwb + n)
Contoh :
4.4.6 Orang yang mempunyai lebih daripada dua atau tiga gelaran
(i) Tidak melibatkan gelaran warisan
(ii) Melibatkan gelaran warisan
(iii) Gelaran warisan biasa
Dalam konteks pengajaran bahasa Melayu, guru perlu kreatif dalam menyerapkan aspek kesantunan berbahasa khususnya sistem panggilan dan sapaan dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pengajaran (p & p). Sebelum mengajar guru terlebih dahulu perlu tahu dan menguasai aspek peraturan yang terdapat dalam sistem panggilan dan sapaan masyarakat Melayu.
4.7 Ungkapan Rabbani Dalam Kesantunan Bahasa
Ungkapan Rabbani bermaksud ujaran yang mengandungi ungkapan-ungkapan yang menunjukkan kebesaran Allah SWT secara langsung dan kekerdilan manusia dan sikap merendah diri secara tidak langsung. Secara keseluruhannya ungkapan ini menggunakan bahasa Arab atau bahasa Al-Quran yang boleh dibahagikan kepada lima bahagian, iaitu :
-
Bismillah, Fatihah dan Doa – dalam ungkapan ini mengandungi ungkapan semoga dan mudah-mudahan
-
Alhamdulillah dan Bersyukur – mengelakkan seseorang itu sombong dan meninggi diri
-
Salam – ungkapan menyapa dan menegur mesra
-
Insya-Allah – ungkapan ini bermaksud dengan izin Allah
-
Tawakkal – ungkapan ini bermaksud penyerahan diri kepada Allah setelah segala usaha telah dilakukan segali gus mempamerkan sikap rendah diri.
4.8 Kesantunan Bahasa Dalam Surat-menyurat
Pengungkapan bahasa yang sopan dan santun dalam penulisan surat rasmi dan separa rasmi seperti memo dan pekeliling penting untuk menyatakan sesuatu tujuan. Dengan adanya Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sekarang ini, surat rasmi dihantar melalui emel, tetapi peraturannya tetap sama seperti menulis dalam bentuk hard copy. Peraturan menulis surat rasmi termaktub dalam dua bingkai pertimbangan, pertama bingkai format dan kedua bingkai bahasa. Kedua-dua bingkai ini mempunyai beberapa peraturan yang standard dalam menghasilkan surat rasmi (Asmah, 2007 : 12 - 13). Dalam bingkai peraturan bahasa terdapat petunjuk-petunjuk dalam menyapa dan merujuk serta penggunaan ungkapan dan ayat tertentu. Kedua-dua bingkai ini memberi ciri formal kepada surat rasmi, memo dan pekeliling. Ciri-ciri ini memberi identiti kepada surat-surat berkenaan yang membezakannya daripada surat-surat lain seperti surat peribadi. Ciri formal ini ditandai dengan sifat rapi dan teratur yang perlu dipatuhi untuk menimbulkan kesan kesantunan. Penyimpangan daripada ciri formal ini dianggap melanggar batas kesantunan.
4.9 Jenis-jenis Surat Rasmi
Surat-surat rasmi boleh dibahagikan kepada berbagai-bagai jenis berdasarkan tujuannya. Antaranya adalah seperti yang berikut :
-
Surat permohonan
-
Surat pemberitahuan
-
Surat pelantikan
-
Surat rayuan
-
Surat tawaran
-
Surat pengahragaan
-
Surat tahniah dan takziah
-
Surat jemputan atau undangan
Dari segi bahasa, tiap-tiap jenis surat di atas ada peraturan sopan santun supaya surat yang dihantar kepada seseorang itu diterima, diberi perhatian dan pertimbangan serta diambil tindakan yang sewajarnya oleh penerima surat tersebut. Di sinilah pentingnya ungkapan hormat digunakan yang ditandai dengan ciri sopan santun dengan bahasa yang lembut dan jelas yang mampu menusuk dan menikam kalbu orang yang membacanya. Ungkapan tidak perlu berlaku pada permulaan surat, tetapi boleh digunakan pada mana-mana bahagian yang sesuai. Tiap-tiap jenis penyataan maksud dalam surat rasmi sudah mematuhi kesopanan standard, iaitu ungkapan yang digunakan cukup sopan dan tidak kasar. Walau bagaimanapun penulis ada pilihan untuk menunjukkan peribadi yang lebih halus dengan menggunakan ungkapan lain yang lebih lunak dan manis yang boleh digolongkan sebagai kesopanan taraf tinggi.
4.9.1 Penggunaan Ungkapan Khusus dalam Surat Rasmi
Bil.
|
Ungkapan khusus
|
Cara menggunakan ungkapan dengan sopansantun
|
1
|
Ungkapan Hormat
| -
Dengan segala hormatnya, saya mohon
-
Dengan penuh takzimnya, patik mohon izin menyembah maklum
-
Izinkan saya dengan hormatnya merujuk kepada
-
Dengan hormatnya izinkan saya
|
2
|
Menyatakan Hasrat / Tujuan
| -
Saya dengan hormatnya ingin menyemapikan hasrat…..
-
Untuk makluman tuan, perkara ini sudah pun dibawa ke perhatian Jawatankuasa Induk….
-
Saya mengemukakan permohonan ini untuk pertimbangan tuan
|
3
|
Menyatakan Perkara Negatif (kecewa dan tidak puas hati)
| -
Pihak saya memandang berat terhadap sikap yang kurang teliti itu.
-
Saya ingin menyatakan rasa dukacitanya saya…
-
Dukacita pihak kami tidak dapat member persetujuan……
|
4
|
Menyampaikan harapan (peribadi dan bukan peribadi)
| -
Saya dengan sepenuh hati mengharapkan…….
-
Harapan kami agar sudilah kiranya tuan………
-
Adalah menjadi harapan pihak kami………….
|
5
|
Menyatakan Rasa Empati
| -
Saya dengan segala sukacitanya memaklumkan bahawa puan telah berjaya…….
-
Saya dan semua staf di jabatan saya turut berdukacita atas kembalinya suami / isteri / anak puan / tuan ke rahmatullah baru-baru ini.
|
6
|
Membuat Rujukan
| -
Dengan segala hormatnya saya ingin merujuk kepada…..
-
Dengan segala hormatnya izinkan saya / saya mohon merujuk kepada……….
|
7
|
Menyampaikan Permintaan atau Permohonan (kaedah langsung mohon, minta, sudi, tolong, sila)
| -
Tuan dipohon berada bersama-sama dengan Guru Besar pada…….
-
Pihak pejabat ini meminta tuan melaporkan diri pada……
-
Sudilah apa kiranya pihak tuan menjawab surat ini secepat mungkin / dengan kadar segera
-
Tolong hadir di majlis itu sebagai wakil sekolah
|
8
|
Menyatakan Penghargaan dan Terima Kasih
| -
Terima kasih saya ucapkan atas kiriman…….
-
Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada puan atas bantuan mengelolakan………….
-
Atas kerjasama tuan saya dahulukan dengan uacapan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih
|
9
|
Menyampaikan Tahniah dan Takziah
| -
Rasa gembira kerana mendapat cahaya mata / dinaikkan pangkat / anugerah ijazah dll.
-
Rasa dukacita, diharap mendapat hidayah daripada Allag SWT
|
10
|
Menamatkan Surat
| -
Ayat yang ringkas dan padat, tidak perlu mengulang apa yang telah dituliskan dan ucapan terima kasih
-
Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas perhatian / pertimbangan tuan
|
4.10 Kesantunan Berbahasa dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Menengah
Keupayaan murid berkomunikasi berasaskan kesantunan bahasa dengan menggunakan kata, frasa, rangkai kata, ungkapan dan ayat yang betul, tepat dan bertatasusila terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KBSR) dan Sekolah Menengah (KBSM) dalam kemahiran berbahasa lisan dan tulisan. Kertas kerja ini memberikan tumpuan terhadap aspek kesantunan berbahasa khususnya penggunaan panggilan dan gelaran yang betul dalam pelbagai situasi dan penulisan surat rasmi dengan menggunakan ungkapan yang sopan dan santun.
5. 0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, bahasa merupakan unsur yang penting dalam menzahirkan keindahan dan kesantunan. Keindahan dalam bahasa dijelmakan dalam pertuturan dan pengungkapan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran kepada khalayak. Manakala keindahan dan kesantunan dalam sastera disalurkan melalui bahasa figuratif dan konotatif yang memiliki ambiguiti yang tinggi. Melalui pendedahan dan penggunaan bahan sastera dalam subjek bahasa Melayu, pelajar yang kreatif ,inovatif dan yang memiliki daya sensitiviti dan nilai insani yang tinggi dapat dibentuk kerana karya sastera menggambarkan sesuatu dan tidak menerangkannya secara langsung. Justeru, individu yang memiliki nilai rasa dan nilai fikir yang seimbang dan yang mengamalkan kesantunan bahasa dalam interaksi lisan dan penulisan dapat ditingkatkan jika kemahiran komunikasi dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah dan menengah.
Dostları ilə paylaş: |