Kemenangan bermakna apabila kebenaran dan kebaikan meranapkan kepalsuan dan kejahatan



Yüklə 53,46 Kb.
tarix26.07.2018
ölçüsü53,46 Kb.
#59340

KHUTBAH AIDIL FITRI 1428H

MODAL INSAN PEMANGKIN UMMAH GEMILANG”


اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً. لاَ اِلَـٰهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُندَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَن لاَ اِلَـٰهَ إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِينَ وَتَابِعِى التَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَىٰ يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.


Kaum Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Dengan laungan takbir setulus hati mentakzimkan Allah SWT sebagai mensyukuri segala nikmat dan rahmat Allah SWT, marilah kita memperkasakan diri dan umat Islam dengan sifat taqwa dengan melakukan amal kebajikan yang tiada berputusan serta meninggalkan perkara yang membawa kerosakan dan kemungkaran lebih-lebih lagi di hari lebaran yang mulia ini. Mudah-mudahan kita memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.


Sidang Jemaah, Muslimin dan Muslimat sekalian,

Ramadan Al-Mubarak baru sahaja berlalu meninggalkan kita. Mudah-mudahan Ramadan yang lalu, meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita semua dalam rangka kita melatih dan mendidik diri dan keluarga ke arah insan yang beriman dan bertaqwa. Pemergian Ramadan pasti memberi keuntungan kepada mereka yang memenuhinya dengan amal ibadah dan dalam masa yang sama ia juga menyaksikan insan-insan yang rugi lantaran tidak memanfaatkannya. Sesuai dengan kembalinya kita kepada fitrah yakni bersih dari kemungkaran, maka Aidil Fitri kita raikan sebagai satu kemenangan.


اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin, dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Bermula terbenamnya matahari di akhir Ramadan maka Lailatul Jaa’izah ataupun Malam Pengurniaan Hadiah daripada Allah SWT disambut dengan penuh kesyukuran oleh hamba-hambaNya. Maka, berkumandanglah laungan Takbir Hari Raya Aidil Fitri sepanjang malam di surau-surau, masjid-masjid, rumah-rumah dan di sepanjang jalan sehinggalah tergelincirnya matahari pada pagi ini. Kebesaran dan Keagungan Allah Rabbul ‘Izzati yang tiada tolok bandingnya ini terus dihayati dengan berkumpulnya umat Islam selaku hambaNya di masjid, surau atau lapangan bagi menegakkan Sembahyang Sunat Aidil Fitri yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Pada pagi ini, umat Islam tanpa mengira latar belakang, mengenakan pakaian dan penampilan yang baru, cantik dan bersih dan masing-masing menghayati erti ukhuwwah dan kasih sayang yang sejati dengan menghulurkan salam kemaafan serta ziarah menziarahi. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang berbunyi :

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَـنِ الرَّجِيمِ

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ.


Maksudnya : “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَ لِلَّهِ الْحَمْدُ

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Dalam kita meraikan kemenangan ini, sedikit sebanyak mengingatkan kita saudara seagama yang tidak dapat meraikan Aidil Fitri bersama keluarga atau di dalam ancaman dan ketakutan. Kita hendaklah insaf bahawa di sebalik kegirangan terdapat di kalangan muslimin dan muslimat yang meraikan Aidil Fitri ini di sebalik runtuhan akibat peperangan dan bencana alam, ada yang berhari raya di dalam khemah-khemah pelarian, di bawah teduhan yang usang serta berada di celah-celah binaan tanpa kediaman. Justeru, di hari yang mulia ini kita mentakzimkan Allah SWT sebagai menginsafi Kudrat Allah SWT yang Maha Besar, Tinggi dan Berkuasa, yang Maha Berkehendak. Oleh itu, di kesempatan ini marilah kita meraikan kemenangan dengan bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas keamanan dan rezeki yang tiada berputusan sambil merafa’kan doa buat insan-insan yang ditimpa ujian dan mihnah, semoga mereka beroleh kekuatan dan beristiqamah di dalam perjuangan. Hanya Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Menyaksikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8 berbunyi :

فَمَن يَعْمَلْ مِثْــقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ. وَمَن يَعْمَلْ مِثْــقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ.

Maksudnya : “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”.
Sidang Jemaah, Muslimin Muslimat sekalian,

Di dalam kita meraikan kemenangan ini, kita juga merasa bangga dengan kejayaan terlancarnya Angkasawan Negara ke angkasa lepas pada 10 Oktober bersamaan 28 Ramadhan yang lalu. Kejayaan ini sekaligus membuktikan anak watan di kalangan umat Islam mempunyai keupayaan dan kemahuan untuk meneroka ilmu pengetahuan sains ke skala yang lebih besar. Pencapaian ini bagaikan satu seruan dan ajakan bahawa kita umat Islam hendaklah berusaha mengembalikan kemenangan yang pernah ditempa pada zaman kecemerlangan tamadun Islam yang lampau. Falsafah kemenangan ini perlulah dihayati sedalam-dalamnya kerana umat Islam telah Allah SWT tentukan untuk mendapat kemenangan bagi mereka yang benar-benar berada di dalam syariatNya. Kemenangan yang ingin dicapai amat memerlukan jerih payah dan kesungguhan, sebagaimana hari kemenangan yang kita dambakan hari ini adalah satu kejayaan setelah berusaha memenuhi perintah Allah SWT pada bulan Ramadan. Namun demikian makna kemenangan dan kejayaan ini sememangnya layak bagi umat Islam kerana Umat Islam itu adalah umat yang terpilih dan terbaik sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُـؤْمِنُونَ بِاللهِ.

Maksudnya : “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Untuk mencapai anugerah ‘terbaik’ yang merujuk kepada kemenangan hakiki oleh Allah SWT ini bukanlah suatu omongan kosong yang sekadar dilafazkan dengan kata-kata semata-mata, namun anugerah terbaik atau kemenangan ini perlu diraih dengan memenuhi kehendak Allah SWT dengan meletakkan segala usaha dan kesungguhan demi memenuhi kehendak tersebut. Memahami konsep kemenangan ini, pepatah Melayu ada mengatakan “Yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang bergolek”. Islam sejak dari awal lagi memerintahkan umatnya agar sentiasa berusaha tanpa berpeluk tubuh dengan mengharapkan habuan dan hasil daripada titik peluh orang lain, malah tidak sekadar mengharapkan perubahan yang datangnya dari Allah SWT tetapi hendaklah berusaha atas pilihan diri sendiri demi mengejar keredhaanNya. Dalam Hal ini, setiap umat Islam perlu memperlengkapkan diri, keluarga, masyarakat dan negara dari segi rohani, jasmani serta aqli agar terbentuk umat yang benar-benar perkasa, malah tidak dapat digoyah oleh anasir yang rosak lagi merosakkan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW sendiri telah mengiktiraf semua umatnya sebagai pemimpin yang bertanggungjawab ke atas jatuh bangunnya agama sebagaimana yang diungkapkan di dalam sabda baginda Rasulullah SAW yang berbunyi :

" كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُوْلٌ عَنْ رَعِـيَّـتِـهِ."


Maksudnya : “Setiap daripada kalangan kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin adalah bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Manusia adalah faktor penting kepada sesebuah kejayaan namun demikian modal insan pula adalah bekalan yang menentukan kedudukan sama ada seseorang manusia itu berguna dan penting atau sebaliknya. Modal dapatlah secara umum difahami sebagai harta, sumber dan permulaan yang berharga bagi memulakan langkah-langkah yang membawa kepada kebaikan dan keuntungan yang seterusnya. Umpamanya dalam sebuah perniagaan, sebelum mencapai keuntungan yang dicita-citakan maka ia hendaklah bermula dengan modal. Dengan modal maka mudahlah sesebuah perniagaan dibangunkan. Istilah Modal Insan pula adalah merujuk kepada sumber yang ada di dalam diri manusia yang menjadi punca kepada segala kemanfaatan. Apabila sumber di dalam manusia adalah baik, bermutu dan bermanfaat maka ia akan dapat digunakan untuk kebaikan.


Maka, di hari kemenangan ini marilah kita mengorak langkah untuk memperkasakan Modal Insan yang bermula dengan diri dan keluarga kita dengan memberi penekanan terhadap kualiti rohani yang meliputi hati dan jiwa yang bersih, nafsu yang terdidik serta iman yang kental. Kekuatan rohani ini adalah lahir dari amalan taqarrub kepada Allah SWT selain dari anugerah dan hidayah ke atas hamba-hambaNya yang benar-benar takut dan mengharapkan keredhaanNya. Apabila sudah ada kekuatan rohani ini, maka ia mencetuskan perubahan positif dari segi minda, akhlak dan amalan yang berupaya menjadi modal yang menentukan hala tuju seseorang insan.
Modal Insan kedua pula ialah merujuk kepada persoalan kualiti ilmu. Ilmu pengetahuan adalah merupakan harta yang berharga kerana ia adalah jiwa kepada amalan. Insan yang tidak memiliki ilmu adalah diibaratkan bahtera tanpa nakhoda. Menuntut, mengajar dan mengamalkan ilmu pengetahuan adalah merupakan satu bentuk tradisi yang telah diwarisi oleh para anbia’, ulamak dan umara’ yang amat ditekankan di dalam Islam. Dalam hal ini, Islam memerintahkan umatnya agar menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW :

"طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَىٰ كُلِّ مُسْلِمٍ."



Maksudnya : “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.”

( Riwayat Ibnu Majah )
Modal Insan yang seterusnya dari sudut kualiti jasmani. Islam amat menekankan pembangunan jasmani manusia yang bersih, indah dan terpelihara. Allah SWT telah menganugerahkan nikmat yang meliputi fizikal manusia, alam dan kebendaan. Namun segala pemberian ini adalah merupakan pinjaman daripada Khaliq, yakni Pencipta kepada makhluknya. Justeru, adalah menjadi satu amanah umat Islam untuk memelihara dan memulihara pemberian Allah SWT sebagai tanda kita memenuhi amanah tersebut. Umat Islam hendaklah mengamalkan budaya bersih, sihat dan kemas kerana ia merupakan tuntutan di dalam agama. Dalam masa yang sama umat Islam hendaklah menghindari diri daripada mengambil apa-apa sahaja yang haram, kotor dan memabukkan kerana ia akan merosakkan tubuh badan dan akal. Apabila tubuh badan dan akal dirosakkan maka lupus modal dalam diri insan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membina agama, bangsa dan negara.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَـٰذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.





Yüklə 53,46 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin