KHUTBAH KHAS
AIDUL FITRI 1430 H / 2009 M
“AIDUL FITRI PEMANGKIN WAHDATUL UMMAH ”
( 20 September 2009 M / 1 Syawal 1430 H )
* اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, * اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ
* اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, * وَللهِ الْحَمْدُ
اَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاَ. لاَ اِلَهَ إِلاَّّ اللهُ وَحْدَهُ, صَدَقَ وَعْدَهُ, وَنَصَرَ عَبْدَهُ, وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ اْلأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ الله ُ وَحْدَهُ َلا شَرِيْكَ لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَالتَّابِعِينَ وَتَابِعِى التَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله! إِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَاَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Pada hari yang mulia ini, Umat Islam sedunia menyambut kedatangan 1 Syawal dengan seruan takbir membesarkan Allah SWT dan tahmid sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan kerana telah berjaya menempuh satu ujian, iaitu menunaikan kewajiban berpuasa sebulan Ramadhan dengan penuh kesabaran dan ketaatan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,
Aidul Fitri merupakan satu anugerah istimewa daripada Allah SWT kepada umat Islam setelah menunaikan fardhu puasa dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat seperti solat tarawih, bertadarus al-Quran, berqiamullail, bersedekah, berdoa dan sebagainya. Semua ini akan berupaya menimbulkan keinsafan, melebur dan membersihkan diri dari dosa-dosa yang telah lalu dan seterusnya menyucikan hati nurani kita seumpama hati bayi yang baru dilahirkan.
Inilah yang diistilahkan sebagai kembalinya insan kepada fitrah manusia yang sebenar. Mudah-mudahan amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.
Dalam kegembiraan menyambut 1 Syawal ini, kita umat Islam sepatutnya menyambut dan menghayatinya dengan dua keadaan. Keadaan pertama ialah kegembiraan kerana telah berjaya mengharungi ujian dan Tarbiah Ramadhaniah dengan jayanya, serta berpeluang mera’ikan kejayaan tersebut pada hari ini. Manakala keadaan kedua ialah kesedihan kerana berlalunya bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan serta belum pasti, sama ada kita akan diberi peluang untuk bertemu dengannya pada tahun yang akan datang ataupun tidak. Maka adalah diharapkan agar penghayatan Iman dan Taqwa ini kekal dan semakin bertambah kepada Allah SWT khususnya dalam kita menyambut Aidul Fitri ini pada tahun ini.
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIHORMATI SEKELIAN,
Pembersihan jiwa melalui proses Ramadhan telah mengembalikan fitrah manusia yang sukakan kebaikan, kebajikan, kedamaian, ketenangan dan kasih sayang. Kesucian Fitrah ini terkandung di dalam laungan takbir membesarkan Allah SWT dan tahmid pada Lailatul Jaizah yakni pada malam hari raya, serta sebelum sembahyang sunat Aidul Fitri pada pagi ini. Gema takbir membesarkan Allah SWT dan tahmid memujiNya yang dikumandangkan bersama-sama, meyakinkan kita semua bahawa umat Islam mampu bersatu dan kembali berada di bawah satu panji Islam. Sesungguhnya, Wahdah atau kesatuan Ummah adalah agenda utama di dalam Islam kerana ia adalah satu-satunya wasilah yang mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin, patuh dan maju jaya sehingga mampu membina Tamadun Khaira Ummah dan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 153
Maksudnya : “Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus, maka turutlah dan jangan kamu turuti jalan-jalan yang salah, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Itulah yang dia perintahkan kepada kamu semoga kamu bertaqwa.”
Sepanjang millennium ini, umat Islam sedunia hari telah dan ditimpa musibah dan ujian daripada Allah SWT apabila umat Islam dijajah, diperang, ditindas, dizalimi, dipersenda dan dihina oleh orang ain. Lebih malang lagi, umat Islam menghadapi pergeseran politik, social dan ekonomi dalaman yang tidak berkesudahan serta kegagalan sistem pemerintahan di kalangan negara Islam. Semua ini adalah berpunca dari perpecahan umat Islam, terhakisnya hubungan Sillaturahim serta akibat dari peminggiran terhadap Al-Quran dan As Sunnah.
Walaupun kesatuan ummah di rantau ini tidak seburuk yang melanda umat Islam lain, namun kita juga tidak boleh menutup sebelah mata apabila bibit perpecahan mula bertapak di dalam masyarakat kita seperti fahaman Islam Liberal, Anti Hadis, Syiah dan ajaran-ajaran sesat yang lain. Baru-baru ini, muncul pula kecenderungan pihak tertentu menyebarluaskan fahaman sempit dan amalan asing mengenai penetuan hukum-hakam agama di tengah-tengah masyarakat. Mereka bebas memperbesar-besarkan permasalahan agama yang berbentuk cabang dan cepisan dengan cara yang boleh mengelirukan saudara seagama mereka. Padahal, umat Islam masih lagi berdepan dengan masalah yang lebih memerlukan perhatian seperti kejahilan beragama, gejala sosial, jumlah perceraian yang semakin meningkat serta kemunduran dalam pelbagai bidang akibat dari sikap tidak peduli. Hal ini jika diambil mudah, maka ia berpotensi memecah-belahkan Ummah yang telah sedia bersatu dan merencatkan gagasan wahdatul ummah yang sepatutnya lebih diutamakan.
Untuk mengembalikan kegemilangan Tamadun Ummah, kita tidak mempunyai pilihan, melainkan bersatu membentuk Wahdatul Ummah. Gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia adalah seruan yang perlu diambil peluang oleh umat Islam dalam merealisasikan matlamat tersebut. Firman Allah SWT di dalam Surah as-Syura, ayat 13
Maksudnya : “Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah di dalamnya.”
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ
SIDANG JEMAAH SEKELIAN
Rasulullah SAW sejak awal-awal lagi telah mengisyaratkan umat baginda mengenai peri pentingnya kesatuan ummah dari hal berkaitan akidah, syariah, akhlak sehinggalah dalam hal yang melibatkan tarbiyah dan dakwah kerana hanya melalui kesatuan ummah maka perancangan akan dapat dilaksanakan dan musuh pula tidak dapat mengalahkan. Semua ini adalah bermula dengan Ukhuwah Islamiah, yakni persaudaraan Islam.
Bak kata pepatah “HATI GAJAH SAMA DI LAPAH, HATI KUMAN SAMA DI CICAH”. Model Persaudaraan yang berasaskan akidah telah dipelopori oleh Rasulullah SAW bersama para sahabat di Madinah yang terdiri daripada berbagai pegangan agama dan kabilah. Hal ini digambarkan oleh baginda Rasulullah SAW melalui sabda baginda:
Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, berkasihan belas dan simpati mereka sesama mereka adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota dari tubuh itu mengadu kesakitan maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasainya dengan berjaga malam dan panas badan (demam)”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Berbekalkan Wahdah atau kesatuan Ummah, Nabi Muhammad SAW telah mampu mengubah satu bangsa yang jahil dan lemah kepada bangsa yang berilmu lagi perkasa. Baginda SAW selanjutnya mewarisi pemerintahan Islam kepada para Sahabat baginda bermula zaman Khulafa ur Rasyidin, Muawiyyah, Abbasiyyah dan seterusnya berkembang sebagai tamadun ilmu yang luar biasa serta menguasai satu perempat dunia selama hampir 1000 tahun. Walaubagaimanapun, Tamadun Ummah akhirnya runtuh pada zaman Uthmaniyah di Turki pada abad ke-20, akibat dari perpecahan umat Islam yang tidak terbendung.
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ
HADIRIN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIHORMATI SEKELIAN,
Bersempena menyambut Aidil Fitri, mimbar menyeru umat Islam agar menghindari sebarang gejala yang memecahbelahkan dan memberi keutamaan kepada persaudaraan dalam rangka membentuk Wahdatul Ummah sebagaimana digariskan di dalam Islam, antaranya:
Pertama ialah, bersama Menghayati kehidupan umat Islam ini sebagai satu jamaah dengan meletakkan ketaatan di bawah kepimpinan yang melaksanakan tanggungjawab memajukan Ummah dan yang telah dilantik meliputi urusan agama dan hal ehwal pemerintahan. Kesepakatan di antara Umara’, Ulama’, golongan Ulul Albab dengan rakyat secara amnya adalah tuntutan ke atas Umat Islam. Umat Islam hendaklah merujuk dan meletakkan keutamaan kepada kesatuan yang digagaskan. Sayyidina Umar RA menyatakan:
لاَ إِسْلاَمَ بِلاَ جَمَاعَةٍ وَلاَ جَمَاعَةَ بِلاَ أميرٍ وَلاَ أَمِيرَ بِلاَ طَاعَةٍ
Maksudnya: “Tidak sempurna Islam tanpa Jamaah, tidak sempurna jamaah tanpa pemerintah dan tidak sempurna pemerintah tanpa ketaatan”.
Kedua, setiap individu muslim hendaklah kembali mengamalkan ajaran Islam dan mengembalikan rasa kasih sesama insan tanpa menunggu dan melihat orang lain memulakannya. Umat Islam perlu menghentikan budaya yang tidak baik seperti mengumpat, mencaci dan memfitnah sebaliknya menghidupkan suasana yang berupaya mendidik jiwa, diri, keluarga dan masyarakat ke arah kasih sayang, dengan berbaik sangka sesama sendiri, mempraktikkan budaya-budaya yang baik sesama insan atas kerana Allah SWT seperti budaya senyum, salam, prihatin, bergotong-royong, maaf-memaafi, redha merdhai, mengambil berat, menganjur dan menghadiri majlis-majlis ilmu yang bermanfaat serta membudayakan sedeqah dan bertukar hadiah. Bak kata pepatah Melayu “Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa”
Ketiga, mempraktikkan budaya Syura atau mesyuarah. Bermesyuarat bukan sekadar difahami sebagai amalan organisasi sahaja, tetapi hendaklah juga dibiasakan di dalam pergaulan suami-isteri, ahli keluarga, pergaulan sesama insan, jiran tetangga rakan taulan dan masyarakat. Islam juga menggariskan Adaabul Ikhtilaf , iaitu Adab perbezaan pendapat di kalangan umat Islam kerana ia adalah rahmat yang dapat memperkukuhkan umat Islam, bukannya melemahkan. Firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran, ayat 159
وَشَاوِرْهُمْ فِى اْلاَمْرِ فَاِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَلْ عَلَى الله
Maksudnya,”….Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.”
Dan keempat, setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berfikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa jua kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja selagi ia tidak bertentangan dengan syariat dan mendatangkan kebaikan umat. Firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 2 yang berbunyi:
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”
اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, اَللهُ أَكْبَرُ, وَللهِ الْحَمْدُ
KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Akhirnya, bersempena pada hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita bersihkan jiwa dengan kembali kepada fitrah ke arah mewujudkan kesatuan Akidah, Syariah, dan Amalan kita. Marilah kita menyuburkan perasaan kasih mesra antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa, kaum keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat yang ada di sekeliling kita tanpa mengira kedudukan, fahaman dan usia. Mudah-mudahan ia benar-benar mempereratkan Ukhuwah dan mencetuskan Wahdatul Ummah.
Maksudnya:“Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras ”.
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ, إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا, وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
KHUTBAH KE 2
( 20 SEPTEMBER 2009 / 01 SYAWAL 1430H )
* اللهُ أَكْبَر, اللهُ أَكْبَر, اللهُ أَكْبَر, * اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ, اللهُ أَكْبَرُ,
* اللهُ أَكْبَر, وَللهِ الْحَمْدُ.
الْحَمْدُ للهِ الَّذِى لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الأَخِرَةِ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الْخَلائِقِ وَالْبَشَرِ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ اللهِ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فِى كُلِّ وَقْتٍ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Hari ini kita berkumpul dalam satu perhimpunan besar sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT kerana berjaya melaksanakan perintah-Nya. Aidil Fitri mengingatkan kita kepada nikmat agama Islam yang menghimpunkan hati kita dalam perpaduan ummah yang kukuh. Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama meneruskan azam dan tekad untuk tetap berada dalam ikatan ukhuwah Islamiah yang sejati dengan melakukan amalan ziarah menziarahi dan bermaafan di hari raya ini agar kemesraan terus berkekalan.
Ambillah kesempatan di hari yang mulia ini untuk bermaaf-maafan, mengucapkan selamat sejahtera antara satu sama lain dan sebagainya yang mungkin jarang sekali dapat kita lakukan di masa-masa yang lain di luar musim perayaan seumpama ini. Sesungguhnya Islam amat memandang tinggi ke atas insan yang memaafkan saudaranya, lebih daripada orang yang dimaafkan. Dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah S.A.W. bersabda :
وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا, وَلاَ تُؤْمِنُوا, حَتَّى تَحَآبُّواْ أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَىْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ, أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ.
Maksudnya : “ Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu.”
( H.R. Muslim )
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIKASIHI SEKALIAN,
Dalam merayakan hari yang mulia ini, marilah kita raikan kegembiraan dengan cara yang sederhana terutama dalam menjamu selera, ketika memenuhi jemputan rumah terbuka dengan pelbagai hidangan, kuih muih dan minuman yang disediakan untuk para tetamu menjamu selera.
Sesungguhnya keseronokan kita menyambut hari raya dengan berkunjung ke rumah saudara mara dan rakan taulan, menghadiri rumah terbuka dan sebagainya perlulah dibatasi oleh landasan syariat. Di mana pergaulan lelaki dan perempuan mestilah terkawal, batasan aurat hendaklah selari dengan tuntutan Islam, pakaian yang menjolok mata dan tidak selari dengan kehendak Islam hendaklah dihindari dan hiburan melampau perlu dijauhi.
Sesungguhnya perbelanjaan yang paling baik ialah yang bersederhana. Alangkah mulianya jika setiap kita lebih mengutamakan kepada pendidikan dan kebajikan anak-anak dalam merancang perbelanjaan. Ini adalah kerana mereka adalah harta yang paling berharga bagi kita kerana ianya merupakan amanah daripada Allah S.W.T. Lebih-lebih lagi hari raya adalah merupakan hari ibadah. Maka kita hendaklah berusaha supaya kegembiraan dalam berhari raya tidak sesekali bercampur aduk dengan perkara-perkara berbentuk maksiat serta pembaziran kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.
Akhirnya, setelah bergembira merayakan Aidil-Fitri, sama-samalah pula kita teruskan semangat Ramadhan yang tertanam di jiwa dengan melaksanakan puasa sunat di bulan Syawal sebagaimana yang dituntut kepada kita melakukannya.Sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi :
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.
( رواه مسلم )
Maksudnya : “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun ”.
اللهُ أَكْبَر, اللهُ أَكْبَر, اللهُ أَكْبَر, وَللهِ الحَمْد.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
وَارْضَ اللَّّهُمَّ عَنِ الصَّحَابَةِ وَالْقَرَابَةِ أَجْمَعِيْنَ. وَعَنِ التَّابِعِيْنَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ اْلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ أَنْزِلِ الرَّحْمَةَ عَلَى السَّلاَطِيْنِ الْكِرَامِ وَوُلاَةِ الْمُسْلِمِيْنَ الْعِظَامِ, الَّذِيْنَ قَضَوْا بِالْحَقِّ وَبِهِ كَانُوا يَعْدِلُوْنَ, وَخُصُوْصًا عَلَى صَاحِبِ المعاليى توان يغ تراوتام يغ دفرتوا نكري سراوق
اللَّهُمَّ اجْعَلْ مَالِيْزِيَا وَسَائِرَ بِلاَدِ الْمُسْلِمِيْنَ طَيِّبَةً آمِنَةً مُطْمَئِنَّةً رَخِيَّةً. رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَّقِ وَأَنْتَ خَيْرُ الْفَاتِحِيْنَ. رَبَّنَا لاَتُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً, إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ. رَبَّنَا آتِنَا فىِ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ, إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ, وَإِيْتَآئِ ذِى الْقُرْبىَ, وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ, يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ, وَاشْكُرُوْهُ عَلىَ نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ, وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ, وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ, وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.
اللهُ أَكْبَرْ, اللهُ أَكْبَرْ, اللهُ أَكْبَرْ, لاَ إِلَهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرْ, اللهُ أَكْبَرْ وَللهِ الْحَمْدُ
Dostları ilə paylaş: |