Membudayakan cinta ilmu sebagai kaedah penolakan serangan pemikiran liberal nazneen binti Ismail



Yüklə 62,86 Kb.
tarix06.03.2018
ölçüsü62,86 Kb.
#44621

3rd International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization

MEMBUDAYAKAN CINTA ILMU SEBAGAI KAEDAH PENOLAKAN
SERANGAN PEMIKIRAN LIBERAL

Nazneen binti Ismail

Jabatan Usuluddin, Akademi Islam

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Dr. Syaidatun Nazirah bt Abu Zahrin

Pusat Citra, UKM


ABSTRAK

Perbincangan tentang ilmu telah dijadikan konsep asas dalam falsafah Islam. Ia kerana ilmu dan proses keilmuan menjadi perkara yang melatari kehidupan seorang Muslim. Buktinya para ulama silam begitu bermotivasi dalam mengkaji dan menuntut ilmu kerana kedudukan ilmu yang tinggi dalam Islam di samping ia sebagai wasilah dalam mengenal Allah SWT. Kecintaan terhadap ilmu begitu tinggi menjadikan keilmuan mereka diiktiraf tanpa ragu. Berbeza dengan hari ini di mana rasa cinta itu mula dihakis dengan penafsiran bersifat sempit terhadap ilmu, tujuan sistem pendidikan yang diubah kepada pengejaran sijil dan peperiksaan dan pandangan umum adanya nilai ekonomi dan martabat sosial mengiringi sijil tersebut. Kebekuan ini menjadikan lahir generasi berpendidikan tetapi lemah dalam melakukan analisis yang kritis terhadap isu semasa. Fenomena ini menjadikan usaha penyelewengan pemikiran semakin menular dalam masyarakat termasuk pemikiran liberal. Pemikiran yang berslogan kebebasan ini dilihat begitu menarik dan seolah-olah benar. Meskipun pada awalnya ia ditolak dan ditentang keras oleh ilmuwan Muslim, namun pada hari ini kemunculan sebahagian golongan Muslim yang memperjuangkan kebebasan pemikiran seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) menjadikan sebahagian umat Islam begitu mudah untuk dipengaruhi. Maka, penulisan ini bakal mengetengahkan kepentingan cinta ilmu dalam membentengi Muslim daripada penyelewengan pemikiran ini. Kajian dilakukan menggunakan kaedah analisis dokumen berdasarkan al-Quran, sunnah dan pandangan para ilmuwan Muslim. Hasil kajian mendapati kecintaan kepada ilmu didasari cinta kepada Tuhan menjana pemikiran yang bersih dan berdaya tahan.
Kata kunci: cinta ilmu, penyelewengan pemikiran, liberal

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


  1. Pendahuluan

Penekanan ilmu dalam Islam dilihat dari sudut ia mempunyai hubungan langsung dengan iman dan takwa kepada Allah SWT. Ia bermakna ilmu yang diperoleh selayaknya menjadikan seorang insan semakin mengenali hakikat diri sebagai hamba sekali gus mengenali Tuhannya. Namun, salah faham tentang ilmu dan peranannya kepada manusia menjadikan ia tidak menjadi tujuan utama kehidupan.

Wan Mohd Nor (1995) menyatakan terdapat salah faham dalam masyarakat tentang konsep ilmu. Antaranya ialah memahami ilmu hanya berkisar isu keagamaan seperti ilmu fikah, akidah dan akhlak. Terdapat juga yang mentafsirkan ilmu terhad kepada perkara bersumberkan akal dan rasional semata-mata. Fenomena ini hakikatnya mempunyai hubungan dengan fasa pemodenan dan sekularisasi sistem pendidikan yang dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu. Fasa ini menjadikan budaya ilmu semakin dihakis kerana tujuan pendidikan sudah diubah haluan kepada pengejaran tergesa-gesa untuk mendapatkan sijil hanya kerana nilai ekonomi dan martabat sosial yang bakal diperolehi melaluinya. Keadaan ini telah menyuburkan budaya peperiksaan yang telah sampai ke tahap eksploitasi oleh golongan yang ingin mengambil kesempatan di atas pemikiran takut gagal dalam diri masyarakat.

Ia semakin membimbangkan apabila timbul masalah kurang membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan purata dua buku setahun pada 1996 dan 2005. Namun begitu, Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia 2010 menunjukkan pembacaan rakyat Malaysia meningkat sebanyak lapan sehingga 12 buah buku setahun. Ini berdasarkan maklum balas yang diterima Perpustaaan Negara Malaysia setelah mengambil pendekatan seperti promosi melalui penerbitan rancangan TV, pelantikan Ikon Membaca dan promosi berganda di tempat tumpuan awam termasuk medium pengangkutan awam seperti keretapi dan feri (Perpustakaan Negara Malaysia 2012).

Usaha ini merupakan satu bentuk penambah baikan selain daripada Baucar Buku 1Malaysia, penganjuran Bulan Membaca Kebangsaan yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur saban tahun menjelang bulan April dan Mei. Terdapat juga penganjuran pesta buku di peringkat tempatan seperti Pesta Buku Selangor anjuran Perbadanan Perpustakaan Sultan Abdul Aziz Shah, Ekspo Buku Islam anjuran Sinergi Ilmu Sdn. Bhd dan Pesta Buku Big Bad Wolf anjuran Big Bad Wolf Sdn. Bhd.

Tidak dinafikan kepesatan teknologi dan kemudahan gajet menjadi faktor penurunan statistik peminjam bahan bacaan di Perpustakaan Negara Malaysia merosot. Maka, untuk menentukan hubungan antara pengunjung dan peminjam bahan bacaan di perpustakaan dengan budaya membaca dalam masyarakat sukar dipastikan. Meskipun begitu, pihak penerbitan dan perpustakaan didapati menggunakan pendekatan teknologi terkini bagi memudahkan bahan bacaan diakses oleh khalayak secara lebih meluas (Perpustakaan Negara Malaysia, 2012).

Budaya pembacaan sering dijadikan ukuran dalam penentuan kecenderungan masyarakat kepada ilmu kerana membaca adalah sumber utama ilmu pengetahuan. Justeru, sebahagian daripada para pengkaji telah berusaha meneliti faktor budaya membaca kurang subur. Antaranya ialah kajian Samsi Farida (2011) mendapati punca kurang membaca dalam kalangan mahasiswa ialah tugasan kuliah yang tidak menuntut para pelajar melakukan pembacaan, tiada minat membaca, kesibukan dalam aktiviti pelajar, rasa malu diejek rakan-rakan dan koleksi bacaan di perpustakaan tidak mencukupi. Ternyata faktor utama ialah kerana membaca bukan menjadi budaya mereka sedangkan pembacaan sepatutnya menjadi perkara wajib harian bagi seorang pelajar. Bahkan dalam menyelesaikan tugasan kuliah, mereka lebih cenderung untuk melayari internet dan menyiapkan tugasan hanya menerusi sunting dan salin (copy and paste) tanpa membuat penilaian sewajarnya. Malah, kajian Husna Afida (2007) menyatakan dua faktor rendahnya budaya membaca disebabkan kurangnya budaya cinta ilmu berbanding budaya berbelanja dan berseronok serta kurang kesedaran terhadap kepentingan membaca itu sendiri.

Manakala kajian Yusof Bin Boon & Mohd Sahlan Bin Salamat (t.th) mendapati budaya membaca dalam kalangan para pelajar Program Khas Pensiswazahan Guru Universiti Teknologi Malaysia berada pada tahap sederhana. Namun, majoriti responden membudayakan pembacaan ringan seperti komik, majalah hiburan, novel dan sebagainya. Suasana ini membimbangkan kerana pembacaan sebegini tidak membantu dalam percambahan ilmu dan tidak dapat dicabar dari sudut kebenaran, kesahihan dan nilai intelektual.

Situasi ini meruncing apabila umat Islam diserang dengan serangan pemikiran khususnya liberalisme. Akibatnya berlaku kekeliruan dalam pemikiran dan perkembangan intelek menjadikan Islam dan kehidupan dilihat dari kacamata sekular, liberal dan relativistik. Awalnya, fahaman ini bertemakan ekonomi dan politik dengan slogan membebaskan diri daripada kawalan pemerintah atau monopoli satu-satu pihak. Kemudian, ia berkembang kepada liberalisasi sosial dan intelektual. Puncanya, Barat berusaha membebaskan pemikiran dan perbahasan ilmiah daripada golongan tertentu khususnya agamawan sekaligus Tuhan. Penyebarannya dilakukan secara meluas menerusi media komunikasi dan pendidikan. Secara lebih khusus bagi memastikan ia memberi kesan secara langsung, maka pemikiran ini tertumpu kepada para mahasiswa dan ahli akademik universiti. Ternyata usaha ini turut dipanjangkan ke akar umbi meliputi masyarakat awam menggunakan pendekatan golongan misionaris, orientalis dan kolonialis (Hamid Fahmi Zarkasyi 2009).

Tidak hairanlah jika ia disusuli dengan gerakan pemurtadan umat Islam. Akhir ini terdapat gerakan rahsia yang disebut sebagai insider movement. Tujuan utama gerakan ini ialah kristianisasi tanpa menzahirkan ciri-ciri Kristian seperti hadir ke gereja dan memakai lambang-lambang agama. Malah, pengikut gerakan ini dibenarkan untuk menjalani kehidupan seperti penganut agama asal mereka termasuklah aktiviti peribadatan (Rebecca Lewis 2009). Keberkesanan gerakan yang mengaku sebagai pengikut Isa atau Jesus ini dilihat menerusi pertambahan secara aktif penganut Kristian dari masa ke masa sejak kebelakangan ini. Christianity Today menjangkakan menjelang 2050 terdapat enam buah negara yang akan terdiri daripada 100 juta penganut Kristian. Lima daripadanya berada di Timur Dunia. Ini bermakna ia mencakupi negara sebelah Asia dan Afrika termasuk Malaysia (C. Tennant 2013). Di samping itu, gerakan ini menumpukan sasaran kepada kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan empat hingga 14 tahun menerusi gerakan The 4-14 Window. Dengan misi dan pendekatan berkonsep menyelamatkan golongan ini daripada kesengsaraan hidup, ia melebarkan pengaruh ke serata dunia termasuk Indonesia dengan nama Jendela 4/14 (J.W Kennedy 2014; Bambang Budijanto 2013).

Serangan pemikiran dan ancaman terhadap akidah umat Islam khususnya belia bukan menjadi perkara rahsia lagi. Pelbagai usaha digiatkan termasuklah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa oleh musuh-musuh Islam dari luar atau dalam. Keadaan ini semakin runcing apabila punca utama golongan sasaran ini dipengaruhi ialah kejahilan mereka dalam memahami, menilai dan membuat keputusan berhubung isu semasa khususnya berkait dengan agama. Maka, ilmu adalah jawapan kepada permasalahan yang sedang berlaku ini.

  1. Kedudukan Ilmu Dalam Islam

Perbincangan tentang ilmu telah dijadikan konsep asas dalam falsafah Islam. Ia kerana ilmu dan proses keilmuan menjadi perkara yang melatari kehidupan seorang Muslim. Bukti jelas menerusi ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah firman Allah SWT:

      1

Maksudnya:

Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).
Gesaan iqra’ ini kemudiannya disusuli dengan pelbagai ayat al-Quran dan hadis lain dengan pengungkapan yang beragam. Malah, al-Quran menyebut perkataan ilmu sebanyak 750 kali dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk kata nama tunggal (ism mufrad), kata nama plural (ism jamac), kata perbuatan masa lampau (ficl al-madi), kata perbuatan masa kini atau akan datang (ficl al-mudaric) dan kata perintah (ficl al-‘amar). Di samping itu, ia turut diungkapkan dengan perkataan yang sinonim seperti macrifah (pengetahuan), hikmah (kebijaksanaan), fikr (fikir), ulu al-albab (ahli ilmu) dan ulu al-absar (memerhati atau kajian saintifik) (Yahaya Jusoh dan Azhar Muhammad 2012).

Secara etimologi perkataan ilmu ialah kata nama yang diambil daripada kata dasar bahasa Arab, calima yang bermaksud mengetahui, mengenal dan bijaksana. Ilmu bermaksud mempelajari sesuatu hakikat sama ada dari segi zat kewujudannya mahupun falsafah kewujudannya. Dalam hal ini, al-Kindi berpandangan falsafah kewujudan yang tinggi ialah falsafah ilmu kewujudan mengenal Allah atau disebut sebagai sains ketuhanan. Justeru, ilmu adalah sesuatu tahap pencapaian yang dapat memberi kesan kepada jiwa manusia. Ia dapat membentuk kepakaran dalam suatu bidang ilmu yang dipelajari sehingga seorang yang berilmu itu dapat membezakan antara satu dengan yang lain. Ini juga bermakna, orang yang berilmu pengetahuan mampu berfikir dan menilai menggunakan potensi yang ada dalam diri. Kaedah mendapatkan ilmu itu pula adalah melalui pengalaman hidup secara jasmani dan fikiran serta pemerhatian, pembacaan, pengkajian dan penyelidikan. (Yahaya Jusoh dan Azhar Muhammad 2012)

Al-Ghazali adalah ilmuwan Islam yang telah mengemukakan pandangannya tentang ilmu. Malah, perkara yang menjadi titik tolak perubahan dalam kehidupan beliau sendiri ialah pencariannya tentang cilm al-yaqin. Maka, al-Ghazali telah mencirikan ilmu sebagai mengenali sesuatu berdasarkan pengalaman seseorang dalam berhubung dengan perkara tersebut. Maka, mendapatkan ilmu sepatutnya menjadi keutamaan dalam hidup manusia khususnya Muslim. Beliau juga menyifatkan pencarian ilmu ini seharusnya mendominasi seluruh aspek intelek, spiritual dan kehidupan sosial Muslim. Ini kerana matlamat akhir daripada pencarian ilmu yang bermanfaat ialah ketakwaan kepada Allah SWT dan tergolong dalam kalangan orang soleh. (Alkanderi 2001)

Imam al-Ghazali (2012) mengemukakan pandangan bahawa kepentingan ilmu dalam hidup Muslim kerana terdapat hubungan secara langsung dengan ibadat. Malah, tujuan penurunan wahyu juga adalah untuk ilmu dan ibadat. Ilmu yang paling utama adalah ketauhidan kepada Allah SWT. Ini kerana ibadat adalah tujuan penciptaan insan. Malah, ilmu dan ibadat disifatkan mempunyai hubungan dengan kehidupan di dunia dan akhirat. Maka, al-Ghazali berpandangan selain daripada ilmu dan ibadat adalah termasuk dalam perkara batil dan sia-sia semata. Mereka yang mengabaikan kedua-dua perkara ini adalah tergolong dalam kalangan mereka yang cintakan dunia.

Pandangan ini dipersetujui oleh cAbdul Qadir Isa (2008) dengan menyatakan bahawa ilmu adalah asas amalan, pemandu dan pembetulnya. Ilmu tanpa amal tidak berfaedah dan amalan tanpa ilmu tidak bermanfaat. Beliau turut membahagikan ilmu kepada tiga bahagian iaitu ilmu yang dituntut mempelajarinya, ilmu yang ditegah mempelajarinya dan ilmu yang sunat dipelajari.

Lantaran itu, terdapat hubungan langsung di antara ilmu dengan ajaran Islam sendiri. Kepentingan ilmu ini tidak sahaja melibatkan pencambahan ilmu itu sendiri bahkan mencakupi penghormatan kepada para ilmuwan dan segala bentuk adab berkaitan. Keprihatinan masyarakat terhadap ilmu ini dinamakan sebagai budaya ilmu di samping wujud usaha keilmuan di mana-mana. Maka, budaya ilmu telah dibawa ke Nusantara khususnya Tanah Melayu melalui para pendakwah Islam sejak kurun ketujuh Masihi (Wan Mohd Nor 1995) Ini dibuktikan dengan adanya sejumlah besar karya Melayu klasik membicarakan pelbagai bidang ilmu seperti tafsir, akidah, hadis, ilmu falak, geografi dan sejarah.

Karya-karya ini dihasilkan oleh para ilmuwan Nusantara sendiri sama ada menerusi penterjemahan, penyaduran mahupun bersifat penemuan baharu mereka. Hasilnya, Kesultanan Aceh dan Kesultanan Melaka pernah menjadi pusat intelektualisme alam Melayu pada kurun ke-16 Masihi. Tambahan pula, interaksi yang bersifat universal diwujudkan di antara alam Melayu dengan setiap pelusuk alam Islam seperti Mekah, Yaman, Syria dan India. Suasana ini berjalan secara terus menerus dengan kewujudan sistem pengajian berpusat sama ada di surau, sekolah mahupun di rumah. (Wan Mohd Nor 1995)

Suasana keilmuan ini tidak bercambah melainkan ia bermula dengan kecintaan kepada ilmu itu sendiri. Motivasi utama ulama silam mengkaji dan menuntut ilmu adalah kerana kedudukan ilmu yang tinggi dalam Islam di samping ia sebagai wasilah dalam mengenal Allah SWT. Mengenal Allah SWT adalah pencapaian yang paling mulia dalam hidup insan dan menjadikan seseorang itu beroleh kecemerlangan di dunia dan akhirat. Maka, hubungan erat di antara ilmu dan cinta ini adalah berpaksikan kepada hakikat ilmu yang yang datang daripada sumber mutlak iaitu Allah SWT. Kecintaan kepada Tuhan menjadikan insan semakin giat meraih ilmu sebagai sumber hidayah. (As-Sawi 2001)


Tambahan pula, kepentingan ilmu jelas dalam Islam seperti hadis direkodkan al-Baihaqi dalam kitab Syucb al-Iman menyatakan:

عن عبد الرحمن بن أبي بكرة عن أبيه : عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : اغد عالما أو متعلما أو مستمعا أو محبا و لا تكن الخامس فتهلك 2

Maksudnya:

Daripada cAbd al-Rahman bin Abi Bakrah daripada bapanya, bahawa Nabi SAW pernah bersabda: Jadilah seorang yang berilmu atau penuntut ilmu atau pendengar majlis ilmu atau pencinta ilmu. Janganlah kamu termasuk golongan kelima (yang tidak termasuk dalam keempat-empat golongan ini), nescaya kamu akan binasa.

Hadis ini menjelaskan kepentingan ilmu tidak hanya terhad kepada para ilmuwan ataupun penuntut ilmu bahkan para pencinta ilmu juga diberikan jaminan terhindar daripada kebinasaan. Para pencinta ilmu pula disifatkan mempunyai ketinggian akhlak kerana mereka sentiasa beriltizam untuk memelihara nilai ilmu yang ada dalam dirinya. Kesemua ini adalah kesan daripada dengan penetapan niat ikhlas dalam menuntut ilmu. Seluruh gerak laku adalah berpusat kepada ilmu menjadikan dirinya juga terhindar daripada perkara maksiat terutama dalam perkara berkait dengan amanah ilmu. (Syaidatun Nazirah 2012)

  1. Ancaman Pemikiran Liberal Terhadap Generasi Muda Muslim

Perkataan liberal ialah berasal daripada Bahasa Inggeris yang bermaksud bebas, berpandangan terbuka, tidak dibelenggu oleh mana-mana tradisi, adat, aliran pemikiran ataupun agama. Fahaman barat ini memperjuangkan kebebasan dan hak individu dalam pelbagai bidang kehidupan. Antara beberapa isu utama yang diperjuangkan oleh gerakan liberalism adalah seperti pemisahan agama dan negara, demokrasi, hak kaum wanita dan golongan minoriti, kebebasan berfikir dan gagasan tentang kemajuan. Idea ini muncul di Eropah pada abad ke-18 oleh para pelopor seperti John Locke, Immanuel Kant, Adam Smith dan John Hick dengan perjuangan kebebasan individu sehingga menafikan nilai-nilai moral dan aspek-aspek transendental (Mohd. Nasir Omar 2013).



Faham liberalisme pasca moden dan pluralisme agama, seperti yang dianjurkan oleh puak progresif Muslim, adalah sekelompok pemikiran yang berbahaya kepada kekuatan pegangan akidah belia Muslim. Hal ini disebabkan kedua-dua ideologi ini mengandungi unsur-unsur seperti kesamarataan yang umumnya menarik bagi pemikiran golongan muda. Secara khususnya, ini merujuk kepada sifat pemuda yang biasanya dipenuhi dengan semangat mencari justeru terdedah kepada pelbagai idealisme perjuangan. Sehubungan itu, belia Muslim mempunyai tanggungjawab mengkaji secara mendalam yang harus ditunaikan demi memastikan kesinambungan iktikad akidah Islam yang jelas pada masa hadapan (Wan Adli Wan Ramli 2012).
Perkembangan globalisasi yang melanda dunia Islam telah mengarusperdanakan fahaman liberal, semua ini meninggalkan pengaruh yang kuat terhadap perkembangan pemikiran dalam dunia Islam. Pada masa yang sama, wajah Islam telah tercemar dengan imej atau momokan sebagai agama teroris, fanatik dan anti Barat serta anti pemodenan. Akhirnya membawa sekelompok ilmuan yang merasakan ingin membela Islam bergerak atas landasan pemikiran liberal dan progresif. Antaranya Islam Liberal yang lahir sebagai sebuah rumusan atau gagasan pemikiran para pemikir Islam yang moderat dalam usaha mereka untuk menjenamakan dan mengharmonikan semula imej Islam (Mohd. Nasir Omar 2013).
Benih-benih pemikiran Islam Liberal yang bercelaru dan membimbangkan ini mula mencalar dalam masyarakat Islam kesan dari pengaruh cara berfikir barat. (Khalif Muammar, 2006) Mereka terpengaruh dengan impian dan seruan yang meyakini bahawa corak kehidupan barat adalah sebagai contoh yang terbaik dalam segenap lapangan kehidupan. Segala pemikiran, keputusan dan sistem yang diamalkan oleh barat perlu diutamakan. Pemikiran mereka terus ditanam dengan doktrin yang mengatakan bahawa sekiranya umat Islam ingin mencapai kemajuan seperti barat maka pemikiran umat Islam perlu diubah. Lalu mereka melontarkan buah pemikiran mereka sebagai pembaharuan dalam Islam walaupun pada hakikatnya sangat menyimpang dari kebenaran.
Ancaman pemikiran ini merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak. Sedangkan ketiga-tiga ini adalah dasar utama jati diri seorang Muslim. Serangan dalam bentuk akidah ialah apabila pemikiran ini menyeru kepada konsep pluralism yang menyatakan bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (Ultimate Reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. Segala perkara dalam hidup ini pula disandarkan kepada akal kerana ia dianggap sebagai wahyu yang tidak tertulis di samping kewujudan wahyu tertulis iaitu al-Quran. Maka, akal didakwa berperanan untuk menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman. Fahaman ini sekaligus menunjukkan bahawa ia meragui ketulenan al-Quran. Dakwaan ini ditambah dengan kenyataan yang pelbagai seperti al-Quran diresapi dengan budaya Arab (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia).
Berikutan itu, golongan ini mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan hadis menerusi slogan mereka ‘membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran’. Pendekatan takwilan sendiri menjadi asas penting pemikiran meskipun ia jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Di samping itu, aliran pemikiran ini juga menggesa tafsiran baru konsep ibadat sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstruksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia).
Malah, kedudukan Rasulullah SAW juga cuba dipertikai dengan persoalan yang menjurus kepada keraguan berkaitan kriteria dan akhlak kenabian. Kritikan dilontarkan terhadap sifat Nubuwwah yang dimiliki baginda dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain. Justeru sesiapa pun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Israk dan Mikraj dianggap sebagai cerita yang sengaja diperbesarkan oleh pengikut baginda yang taksub ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia).

Selain itu, ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-hadith, al-Jarh wa al-Ta'dil dan sebagainya yang secara ijmak diterma secara metode dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai ciptaan manusia. Penentuan hukum yang telah qat'ie dan hukum yang tidak qat'ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia).


Maka, dapat difahami bahawa aliran pemikiran liberal merupakan penyimpangan serius dan berbahaya. Ia adalah sebahagian agenda serangan pemikiran yang didalangi oleh orientalis dan dilatari oleh pengaruh fahaman asing seperti sekuralisme, modenisme, dan pascamodenisme. Tujuannya hanya untuk menggugat pokok-pokok ajaran Islam serta mencemarkan kemurnian dan ketulenannya menerusi slogan kebebasan mutlak yang dicedok daripada barat. Medium penyebarannya yang menggunakan platform intelektual, ilmiah dan akademik menjadikan keperluan kepada ilmu merupakan teras utama dalam mendepani serangan pemikiran ini. Justeru budaya cinta ilmu perlu disuburkan semula khususnya dalam diri mahasiswa agar kelestarian budaya ini mempertahankan pemikiran yang benar.
  1. Cinta Ilmu Sebagai Usaha Menolak Liberalisme

Cinta bererti perasaan sangat sayang atau terlalu mengingini akan sesuatu (Kamus Dewan 2002). Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai love, passion manakala dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Hubb. Kesemuanya merujuk kepada pengertian yang sama iaitu keinginan yang bersangatan kerana rasa kasih dan cenderung hati kepada sesuatu.

Terdapat pelbagai jenis kecintaan manusia. Al-Quran (3:14) menyatakan bahawa manusia berasa cinta kepada wanita, anak-pinak, harta benda melimpah ruah, binatang ternak atau kenderaan, makanan, perhiasan dan kebun tanaman meskipun nikmat paling besar disediakan ialah syurga Allah SWT. (al-Sabuni, 1976) Ini bererti manusia secara fitrahnya cenderung kepada kesenangan dan kenikmatan berupa inderawi. Sedangkan kecintaan seumpama itu bersifat sementara dan tidak setanding dengan kecintaan kepada Allah SWT (al-Quran, 3:15). Ganjaran bagi mereka juga diungkapkan dalam bentuk yang dapat memenuhi kehendak manusia berupa syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai bersama para isteri suci dan reda Allah SWT.

Maka, dalam proses untuk mendapat cinta Allah SWT seseorang itu perlu kepada ilmu. Tanpa ilmu, manusia tidak mengetahui cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak tahu mengenai hakikat hati, penyakit dan cara merawatnya. Mereka juga tidak tahu tentang ancaman dan halangan yang perlu ditempuh dalam menemui cinta Allah SWT.

Oleh itu, ilmu yang dimaksudkan dalam penulisan ini ialah berteraskan tauhid. Tidak sekadar cintakan ilmu tetapi juga mampu menghubungkan ilmu itu kepada sumber ilmu yang hakiki iaitu Allah SWT adalah kunci kecemerlangan individu Muslim. Al-Ghazali (2003) mengungkapkan bahawa ilmu yang paling utama ialah berteraskan tauhid kerana ia berkait dengan ibadah. Kedua-dua perkara ini disifatkan sebagai perkara kebajikan dan mesti menjadi tumpuan setiap Muslim. Tambahan pula, Allah SWT meletakkan kedudukan orang berilmu sebagai mereka yang paling takut kepada-Nya (al-Qur’an, 35:28)

Perbahasan dan kajian tentang cinta menjadi salah satu tumpuan utama ahli tasawuf. Menurut Lumbard (2003), karya sufi terawal membicarakan tentang cinta ialah Adab al-cIbadat yang dikarang oleh Syaqiq al-Balkhi (m. 194/180). Antara lain ialah karya al-Daylami (391 H) bertajuk cAtf al-Latif al-Ma’luf li Lam al-Mactuf yang mengkritik kefahaman salah tentang cinta. Fahaman salah cenderung untuk menyifatkan cinta sebagai satu bentuk kehendak hawa nafsu semata-mata yang perlu dijinakkan atau dihindarkan sama sekali. Manakala, ahli sufi lain yang mengungkapkan tentang cinta termasuklah al-Nuri (m. 295/927-8), Rabicat al-cAdawiyyah (m. 185/801), al-Bistami dan al-Syibli. Ia diikuti oleh al-Qushayri dalam karyanya al-Risalah al-Qushayriyyah, al-Sarraj (m. 378/988) dalam kitab al-Lumac dan al-Kalabadhi (m. 380/990) dalam al-Tacarruf. Kesemua pandangan yang dikemukakan adalah berkisar kecintaan kepada Allah SWT sesuai dengan fokus utama golongan sufi iaitu mencapai darjat al-Ihsan.

Berakar daripada kecintaan hakiki ini berkembangnya dimensi cinta yang lain iaitu cinta kepada Rasulullah SAW, cinta diri sendiri, cinta ibu bapa, cinta kepada makhluk, cinta kepada ilmu dan cinta kepada kebaikan. (Syaidatun Nazirah 2012) Tidak dapat dinafikan juga, kaedah untuk meraih pelbagai dimensi cinta ini adalah diawali dengan ilmu. Sehinggakan hasil daripada kecintaan kepada ilmu dibuktikan dengan kemunculan para cendekiawan Muslim dan kewujudan pusat ilmu serata dunia yang mampu bertahan berabad lamanya. Rasa cinta ini turut menggambarkan Islam dengan erti kata sebenar. Melaluinya, insan akan memusatkan perhatian hanya kepada Allah SWT, menuruti syariatNya dalam ibadah serta mengikuti aturanNya dalam kehidupan seharian sesama makhluk.

McFarlane (2003) menyatakan kecintaan ini berdasarkan faktor seperti perasaan ingin tahu (curiosity), motivasi intrinsik iaitu dorongan dalaman untuk melakukan sesuatu yang disukai, kepuasan (flow) dan minat (interest). Golongan ini menjadikan proses pembelajaran sepanjang hayat kerana padanya terdapat kepuasan dan keseronokan. Ini mempunyai kaitan langsung dengan kemampuan mereka menggunakan semua kemahiran asas yang dimiliki dalam menghadapi masalah di samping pengurusan masa yang baik (Mason 2008).

Syaidatun Nazirah (2012) menyifatkan seorang pencinta ilmu adalah yang bergaul dengan ilmuwan, memiliki bacaan ilmiah, melakukan aktiviti penulisan ilmiah, melakukan pembaikan akhlak dari semasa ke semasa, memperuntukkan sejumlah wang untuk aktiviti keilmuan, menghadiri majlis ilmu tanpa terhad kepada satu-satu tempat dan kesanggupan bersusah payah dalam menuntut ilmu. Kesemua ciri ini didasari oleh kefahaman mereka tentang kemuliaan ilmu dan penuntutnya serta kepentingan berkongsi ilmu dengan orang lain. Mereka juga mempunyai ketinggian akhlak kerana mereka sentiasa beriltizam untuk memelihara nilai ilmu yang ada dalam dirinya. Kesemua ini adalah kesan daripada dengan penetapan niat ikhlas dalam menuntut ilmu. Seluruh gerak laku adalah berpusat kepada ilmu menjadikan dirinya juga terhindar daripada perkara maksiat terutama dalam perkara berkait dengan amanah ilmu.

Ciri lain seorang yang cinta kepada ilmu dan pembelajaran ialah kreativiti (Levings 2004; Sternberg 2001). Individu yang bijak mampu menyeimbangkan antara kreativiti dengan pengetahuan yang dimiliki dalam hubungan sesama manusia. Rowland (2008) menjelaskan cinta ilmu tidak hanya menekankan aspek kognitif sebaliknya ia juga mempunyai aspek afektif dalam pembelajaran. Kecintaan kepada ilmu menjadikan individu mempunyai hubungan rapat dengan ilmu. Ia juga dapat diperkasa dengan cara diekspresikan menerusi keinginan ingin tahu yang lebih, bertanya dengan lebih lanjut serta mempelbagai kaedah mendapatkan ilmu. Cinta ilmu juga mendorong seseorang untuk berkongsi dengan orang lain. Maka, ia menunjukkan pembelajaran adalah bersifat sosial dan bukan individual.

Maka, individu yang cintakan ilmu akan sentiasa menagih ilmu tanpa jemu dengan memberi komitmen sepenuhnya lalu menghasilkan kreativiti sama ada bersifat pemikiran mahupun tindakan sesuai dengan pengetahuan yang dimiliki. Ini bermakna seorang yang mencintai ilmu akan sedaya upaya menggali ilmu dan mendepani serangan pemikiran sebaiknya. Kaedah yang digunakan oleh pencinta ilmu ialah:


  1. Mendalami selok belok sejarah pemikiran liberal, asas pemikiran dan mengambil tahu cara ia menyusup ke dalam pemikiran umat Islam.

  2. Mencari hujah balas kepada persoalan dan pertikaian yang dikemukakan oleh pihak liberal khususnya dalam soal pluralisme agama, kebebasan individu serta hak-hak wanita dan golongan minoriti.

  3. Mengikuti isu semasa yang melibatkan idea-idea yang dibawa oleh golongan ini dalam menarik perhatian khalayak seperti isu kebebasan berkhalwat, mempertikai keputusan majlis fatwa dan kebebasan menukar jantina.

  4. Menggunakan medium komunikasi sama ada berbentuk cetak mahupun eketronik elektronik sebagai cara untuk menjelaskan kepada golongan muda khususnya mahasiswa. Pemikiran liberal disebarkan secara meluas dan mudah didapati dari media sosial, maka cara mendepaninya juga perlu menggunakan pendekatan yang sama.

  5. Menggunakan medium pendidikan dari pelbagai peringkat sama ada dalam kalangan kanak-kanak sehingga kepada mahasiswa Institut Pengajian Tinggi. Pemikiran liberal juga didapati menggunakan dewan kuliah dan kepakaran yang ada pada para pensyarah sebagai cara penyebaran berkesan. Untuk itu, kecintaan kepada ilmu yang benar perlu ditekankan kepada para penuntut agar mereka telus dalam mencari jawapan kepada serangan pemikiran dan kekeliruan yang dibawa golongan liberal.


  1. Kesimpulan

Serangan pemikiran perlu ditentang menerusi pemerkasaan pemikiran juga. Kaedah yang dicadangkan oleh penulisan ini ialah dengan membudayakan cinta ilmu dalam diri masyarakat. Ini kerana cinta adalah bentuk motivasi yang tertinggi dengan mengambil berat ilmu yang dimaksudkan dalam kerangka Islam. Ilmu yang dicintai mestilah berteraskan tauhid meskipun ia dalam bidang selain pengajian Islam. Rasa cinta untuk meraih ilmu disertai dengan kesungguhan dan komitmen tidak berbelah bahagi. Generasi yang cintakan ilmu akan kekal dengan motivasi, rasa ingin tahu, minat, berdamping dengan ilmuwan, memperelokkan akhlak, menjalankan kajian dan penelitian, berkongsi ilmu yang diperoleh dan sentiasa kreatif dalam mendapatkan ilmu serta menyebarkannya kepada umum. Tambahan pula, serangan pemikiran datang dalam pelbagai bentuk menjadikan masyarakat yang cintakan ilmu sentiasa tidak jemu untuk menjernihkan kembali segala bentuk penyelewengan tersebut.




RUJUKAN

Abdul Qadir cIsa. (2008). Haqa’iq cAn al-Tasawwuf. Terj. Mustafa Husain at-Taib. T.p.


Al-Ghazali, Muhammad bin Muhammad. (2003). Minhaj al-cAbidin. Terj. Engku Ali Engku Endut. T.tpt: Pustaka Darul Iman.
Al-Sabuni, Muhammad cAli. (1980). Safwat al-Tafasir. Cet. 9. Kaherah: Dar al-Sabuni.
Al-Sarraj, Abu Nasr. (2009). Al-Lumac. Terj. Wasmukan dan Samson Rahman. Surabaya: Risalah Gusti.

Alkanderi, L. H. (2001). Exploring education in islam: Al-ghazali's model of the master-pupil relationship applied to educational relationships within the islamic family. Dipetik 12 Januari 2015 daripada ProQuest Dissertations & Theses Global.


Bambang Budijanto. (2013). Sejarah Jendela 4-14. Dipetik 5 Februari 2016 daripada http://www.4to14window.com/ind-about
Gary Lane. (2011). Malay Christians Face 'Faith Purification' Centers. CBN News World. 31 Januari. Dipetik 15 Januari 2015 daripada http://www.cbn.com/cbnnews/world/2010/November/Malaysias-Christians-Stand-Firm-Despite-Muslim-Pressure/
Hamid Fahmi Zarkasyi. (2009). Liberalisasi Pemikiran Islam: Gerakan Bersama Misionaris, Orientalis dan Kolonialis. dlm. Jurnal Tsaqafah. Vol. 5 No. 1. Hlm. 1-28. Dipetik pada 5 Februari 2016 daripada ejournal.unida.gontor.ac.id
Husna Afida. (2007). Pengaruh Kebiasaan Belajar dan Minat Membaca Terhadap Prestasi Belajar Siswa Kelas VII Pada Mata Pelajaran IPS di MTs Darul Huda Wonodadi Blitar. Skripsi Sarjana Pendidikan Ilmu Pengetahuan Sosial. Fakulti Tarbiyyah UIN Malang Indonesia.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. (2006). Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah Kali ke 74. Dipetik 10 Februari 2016 daripada e-fatwa.gov.my
Kamus Dewan. (2002). Ed. 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khalif Muammar. (2006). Atas Nama Kebenaran. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan.
Kennedy, J. W. (2004). The 4-14 Window. Christianity Today. Dipetik 5 Februari 2016 daripada http://www.christianitytoday.com/ct/2004/july/37.53.html
Levings, A. E. (2005). Love’s effects on creativity: A heuristic exploration. Dipetik 12 Januari 2015 daripada ProQuest Dissertations & Theses Global.
Lumbard, J. E. B. (2003). Ahmad al-ghazali (d. 517/1123 or 520/1126) and the metaphysics of love. Dipetik 15 Januari 2015 daripada ProQuest Dissertations & Theses Global.
Mohd. Nasir Omar.(2013). Pengaruh fahaman Islam Liberal di Indonesia dan Malaysia. Dlm. Islam Liberal: Isu dan Reaksi. Mazlan Ibrahim et.al (pnyt.) Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor.
McFarlane, T. A. (2003). Defining and Measuring the Love of Learning. Dipetik 12 Disember 2014 daripada ProQuest Dissertations & Theses Global.
Perpustakaan Negara Malaysia. (2012). Laporan Tahunan 2011. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Rebecca Lewis. (2009). Insider movements: Honoring God-Given identity and community. International Journal of Frontier Missiology. 26:1 Spring 2009. Hlm. 16-19. Dipetik 15 Januari 2015 daripada http://www.ijfm.org/PDFs_IJFM/26_1_PDFs/26_1_Lewis.pdf .
Rowland, S. (2008). Collegiality and Intellectual Love. Dlm. British Journal of Sociology of Education 29:33. Hlm. 353-360.
Syaidatun Nazirah. (2012). Kefahaman Remaja Melayu Terhadap Konsep Cinta Dalam Islam dan Hubungannya dengan Pemikiran Rasional dan Akhlak Percintaan. Tesis Doktor Falsafah. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sasmi Farida. (2012). Faktor-faktor penyebab keengganan membaca di lingkungan mahasiswa: Studi Kasus. Prosiding Seminar Nasional Bahasa 2012. Anjuran Fakultas Bahasa Universitas Widyatama. 9 Mei 2012. Hlm. 321-327. Dipetik 13 Januari 2015 dari http://repository.widyatama.ac.id/
Tennant, T. C. (2013). The Hidden History of Insider Movements. Christianity Today. 14 Januari. Dipetik 15 Januari 2015 daripada http://www.christianitytoday.com/ct/2013/january-february/hidden-history-of-insider-movements.html .
Wan Adli Wan Ramli. (2012). Bahaya Liberalisme Dan Pluralisme Agama Terhadap Akidah Belia Muslim. Johor Bahru: Master Gift Sdn Bhd.
Wan Mohd. Nor Wan Daud. (1995). Penjelasan Budaya Ilmu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Yahaya Jusoh dan Azhar Muhammad. (2014). Falsafah Ilmu dalam al-Quran: Ontologi, Epistemologi dan Aksiologi. Skudai: Penerbit UTM Press.
Yusof Bin Boon & Mohd Sahlan Bin Salamat. (t.th). Budaya Membaca Dalam Kalangan Pelajar – Pelajar 4 SPH Program Khas Pensiswazahan Guru Universiti Teknologi Malaysia. Dipetik pada 13 Januari 2015 daripada http://eprints.utm.my/11547/1/Budaya_Membaca_Dalam_Kalangan_Pelajar_%E2%80%93_Pelajar_4_SPH_Program_Khas.pdf.



1 Al-Qur’an, al-cAlaq 96:1

2 Al-Baihaqi, Syucb al-Iman, Bab fi Talb al-cIlm, no. hadis 1709.

e-Proceeding of the 3rd International Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization ICASIC2016 (e-ISBN 978-967-0792-08-8). 14-15 March 2016, Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net

Yüklə 62,86 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin