Berkata Imam Ali bin Abi Thalib, semoga Allah meridhoinya: Tidak ada kebaikan dalam ibadah tanpa pengetahuan dan tidak baik pula dalam pengetahuan tanpa memahaminya



Yüklə 3,73 Mb.
səhifə13/107
tarix18.04.2018
ölçüsü3,73 Mb.
#48892
1   ...   9   10   11   12   13   14   15   16   ...   107

548. Dari Tsauban r.a., katanya: "Biasanya apabila Rasulullah saw. telah selesai solat, beliau istighfar (mohon ampun) tiga kali. Sesudah itu beliau membaca: "Allahumma antas salam, wa minkas salam, tabarakta dzaljalali wal ikram."549. Dari Warrad, maula Mughirah bin Syu'bah, katanya Mughirah mengirim surat kepada Mu'awiyah, mengatakan bahwa Rasulullah saw. bila selesai solat, beliau sentiasa membaca : "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli sya-in qadir. Allahumma la mani'a lima a'thaita wa la mu'thiya lima mana'ta wala yanfa'u dzal jaddi minkal jaddu."

550. Dari Abu Zubair r.a., katanya Ibnu Zubair setiap selesai solat, sesudah membaca salam dia sentiasa membaca : "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. La hawla wala quwwata illa billahi. La ilaha illallah wa la na'budu illa iyyahu, lahun ni'matu wa lahul fadhlu wa lahuts tsanaul hasanu. La ilaha illalahu mukhlishina lahud diena wa law karihal kafirun. " Kata Ibnu Zubair, "Rasulullah saw. sentiasa tahlil dengan membaca kalimat-kalimat itu setiap selesai solat." 551. Dari Abu Hurairah r.a., (hadis ini juga dari Qutaibah), katanya: "Orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah saw., lalu mereka berkata: Orang-orang kaya sudah meraih darjat tinggi serta kenikmatan yang kekal abadi. Tanya Rasulullah saw., "Kenapa begitu?" Jawab

mereka, "Mereka solat seperti kami solat, dan mereka puasa seperti kami puasa. Dan mereka dapat bersedekah sedang kami tidak dapat bersedekah. Mereka dapat memerdekakan budak, sedangkan kami tidak." Sabda Rasulullah saw., "Sukakah kamu kuajarkan kepada mu suatu amal, yang dapat memperoleh pahala orang-orang dahulu serta mendahului pahala orang yang sesudah kamu? Dan tidak akan ada orang yang lebih mulia daripadamu, melainkan orang yang mengamalkan seperti amalanmu." Jawab mereka, "Tentu, ya Rasulullah! Sudah tentu kami suka." Sabda Rasulullah saw., "Hendaklah kamu tasbih, takbir dan tahmid, masing-masing tiga puluh tiga kaIi setiap selesai solat. Kata Abu Shalih, "Kemudian orang-orang, itu datang pula kembali kepada Rasulullah saw., lalu kata mereka, "Kami dengar orang-orang kaya itu mengamalkan pula seperti amalan kami." Jawab Rasulullah saw., "Itu adalah kurnia Allah yang dikurniakanNya kepada siapa yang dikehendaki-Nya."

552. Dari Ka'ab bin 'Ujrah, dari Rasulullah saw., sabdanya: "Ada suatu amal tiap-tiap sesudah solat wajib, yang tidak akan merugikan orang-orang yang mengamalkannya, ialah: tasbih 33X, tahmid 33X dan takbir 34 X."

553. Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: 'La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir, maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih dilautan."

554. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Biasanya Rasulullah saw. diam seketika sesudah takbir, sebelum membaca Fatihah. Lalu kutanyakan

kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Apakah yang anda baca ketika anda diam seketika antara takbir dan membaca Fatihah?" Jawab beliau, "Aku membaca : "Allahumma ba'id baini wa baina khathayaya, kama ba'adta bainal masyriqi wal maghribi. Allahumma naqqini min khathayaya kama yunaqqats tsaubul abyadhu minad danasi. Allahumma aghsilni min khathayaya bits tsalji wal ma-i wal baradi."

555. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. berdiri untuk raka'at kedua, beliau langsung membaca Fatihah, tanpa diam lebih dahulu sebentar."556. Dari Anas r.a., katanya: "Seorang lelaki datang dengan tergesa-gesa, lalu masuk ke dalam shaf. Sesudah itu dia membaca: "Alhamdulillahi hamdan katsiran thayyiban mubarakan fihi." Ketika Rasulullah saw. selesai solat, dia bertanya, "Siapa yang membaca kalimat itu tadi?" Jamaah diam saja, tidak ada yang menyahut. Rasulullah saw. bertanya kembali, "Siapa yang membaca kalimat itu tadi? Sesungguhnya bacaannya itu tidak salah." Lelaki itu berkata? "Aku datang tergesa-gesa, lalu kubaca kalimat itu." Sabda Rasulullah saw., "Kulihat dua belas malaikat berebut hendak membawanya ke hadirat Allah Ta'ala."

557. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Ketika kami sedang solat bersama-sama Rasulullah saw., tiba-tiba ada seorang lelaki dalam jemaah membaca : 'Allahu Akbar, kabiran wal hamdulillahi katsiran wa subhanalalahi bukratan wa ashila'. Maka bertanya Rasulullah saw., "Siapa yang membaca kalimat itu tadi?" Jawab lelaki itu, " Aku, ya Rasulullah!" Sabda Rasulullah saw., "Aku kagum terhadap kalimat itu; kerananya dibukakan segala pintu langit." Kata Ibnu 'Umar, "Aku tidak pernah lupa membacanya sejak ku dengar Rasulullah saw. membacanya."

558. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Apabila solat telah diqamatkan orang, janganlah berlari ke tempat solat, tetapi berjalanlah dengan sikap tenang. Solatlah berjamaah seberapa kamu dapati, dan sempurnakanlah bahagian yang ketinggalan (kurang). Kerana apabila kamu pergi sengaja hendak solat, bererti kamu sudah seperti dalam solat."

559. Dari Abdullah bin Abu Qatadah, dari bapanya, katanya: "Ketika kami sedang solat bersama-sama Rasulullah saw., tiba-tiba kami mendengar suara hiruk-pikuk. Kemudian Rasulullah saw. bertanya, "Apa yang terjadi? Mengapa hiruk pikuk?" Jawab mereka, "Kami tergesa-gesa hendak solat." Sabda Rasulullah, "Jangan begitu lagi. Apabila kamu pergi solat, berjalanlah dengan tenang. Apa yang kamu dapati dalam solat ikutilah, dan apa yang kamu tertinggal sempurnakanlah kemudian."

560. Dari Abu Qatadah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila solat telah diqamatkan, jangan berdiri sebelum engkau melihat ku (sudah keluar dari rumah)."

561. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Solat telah diqamatkan. Lalu kami berdiri dan meluruskan shaf kami sebelum Rasulullah keluar. Tidak lama sesudah itu barulah beliau datang dan menuju ke tempat beliau solat (tempat imam). Sebelum takbir, agaknya beliau ingat sesuatu, lalu dia berpaling kepada kami seraya berkata: "Tetaplah di tempatmu masing-masing." Lalu beliau pergi. Sementara itu kami sentiasa menunggu hingga beliau keluar. Kiranya beliau mandi, dan air masih menitik dari kepalanya ketika beliau muncul lagi. Kemudian beliau takbir dan mengimami kami solat. "562. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Bilal azan, bila sudah tiba waktu solat, dia iqamat dikala Nabi saw. keluar (rumah). Apabila beliau telah keluar (dari rumah), barulah dia iqamat, iaitu ketika Bilal telah

melihat beliau."563. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa mendapatkan solat satu raka'at (sebelum habis waktunya), bererti dia telah mendapatkan solat itu seluruhnya."

564. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa mendapatkan solat satu raka'at beserta imam, bererti dia telah mendapatkan solat seluruhnya."

565. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Siapa mendapatkan Subuh satu raka'at sebelum terbit matahari, bererti dia

telah mendapatkan Subuh seutuhnya. Dan siapa mendapatkan Ashar satu raka'at sebelum matahari terbenam, bererti dia telah mendapatkan Ashar seutuhnya. "566. Dari Abu Mas'ud r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Jibril turun mengimami ku solat. Kerana itu aku solat bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya. Beliau menghitung dengan anak jari beliau lima kali solat.

567. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Nabi saw. solat Ashar ketika cahaya matahari telah masuk ke dalam kamarku dan bayangan masih sepanjang sesuatu."

568. Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Solat Subuh waktunya hingga matahari mulai terbit. Solat Zuhur

waktunya hingga datang waktu Ashar. Solat Ashar waktunya hingga cahaya matahari telah menguning. Solat Maghrib waktunya hingga hilang mega

merah. Solat Isya' waktunya hingga seperdua malam."

569. Dari Abdullah bin 'Umar r.a. dari Nabi saw., sabdanya: "Waktu Zuhur, ialah selama belum datang waktu Ashar. Waktu Ashar, ialah selama cahaya matahari belum menguning. Waktu Maghrib, ialah selama mega merah belum hilang. Waktu Isya', hingga seperdua malam. Dan waktu Subuh, hingga terbit matahari."

570. Dari Abdullah bin 'Umar r.a.,katanya Rasulullah saw. bersabda: "Waktu Zhuhur, apabila matahari telah gelincir hingga bayangan seseorang telah sepanjang badannya, iaitu selama belum datang waktu 'Ashar. Waktu 'Ashar, selama cahaya matahari belum menguning. Waktu solat Maghrib, selama belum hilang mega merah. Waktu solat Isya, hingga seperdua malam. Dan waktu Subuh, sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Apabila matahari terbit, berhentilah solat kerana dia terbit antara dua tanduk syaitan."

571. Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., bahwa seorang lelaki bertanya kepada beliau tentang waktu-waktu solat. Sabda Rasulullah saw., "Solatlah bersama-sama dengan kami dua hari ini." Maka ketika matahari telah gelincir, beliau menyuruh Bilal azan dan qamat untuk solat Zhuhur. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat 'Ashar, sedangkan matahari masih tinggi dan cahayanya masih terang. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Maghrib, iaitu ketika matahari telah terbenam. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat 'Isya, iaitu ketika mega merah telah hilang. Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Subuh, iaitu ketika terbit fajar. Pada hari kedua disuruhnya pula Bilal azan dan qamat untuk solat Zhuhur agak telat dari kelmarin, iaitu sehingga hawa panas telah agak reda. Setelah panas reda, barulah beliau solat. Kemudian beliau solat 'Ashar ketika matahari masih tinggi, tetapi agak terlambat dari kelmarin. Dan beliau solat Maghrib sebelum hilang mega merah. Solat 'Isya setelah lewat sepertiga malam. Solat Subuh setelah langit agak bercahaya. Kemudian beliau bertanya, "Kemanakah orang yang bertanya tentang waktu solat?" Seorang lelaki menjawab, "Aku, ya, Rasulullah!" Sabda beliau, "Waktu waktu solat ialah seperti yang telah anda saksikan itu."

572. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila hari sangat panas, maka undurkanlah solat hingga panas agak reda. Kerana panas yang sangat terik itu sesungguhnya wap api neraka."

573. Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Muadzin Rasulullah saw. telah azan untuk soat Zhuhur. Maka bersabda Rasulullah saw., "Tunggulah udara agak reda, kerana udara panas yang amat terik adalah wap api neraka. Kerana itu apabila panas amat terik, undurkanlah solat sampai udara agak reda. Kata Abu Dzar, "Ketika itu solat diundur, sehingga kelihatan oleh kami bayang-bayang bukit."574. Dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah saw. bersabda : "Api neraka mengadu kepada Tuhannya, katanya: Ya, Tuhan! Setengah kami memakan yang setengah." Kerana itu Allah mengizinkannya untuk bernafas dua kali. Satu kali di musim dingin dan satu kali di musim panas. Itulah dia yang kamu rasakan, sangat panas pada musim panas dan sangat dingin pada musim dingin. "

575. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila hari sangat panas, maka undurkanlah solat hingga agak dingin, kerana panas yang bersangatan itu adalah wap dari api neraka. Kemudian beliau mengatakan, bahwa api neraka mengadu kepada Tuhannya supaya ia dibolehkan bernafas dua kali dalam setahun; satu kali dalam musim dingin dan satu kali dalam musim panas."

576. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Nabi saw. solat Zhuhur apabila matahari sudah gelincir."577. Dari Khabbab r.a., katanya: "Kami datang kepada Rasulullah saw. mengadukan perihal pasir yang sangat panas. Dan kami sentiasa bertanya kepada beliau. Kata Zuhair, saya bertanya kepada Abu Ishaq, "Apakah pengaduan itu berkaitan dengan solat Zhuhur?" Jawab, "Ya!" Tanya, "Apakah tentang menyegerakannya?" Jawab, "Ya!"

578. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Kami solat bersama-sama Rasulullah saw. ketika hari sangat panas. Seorang yang tidak sanggup meletakkan dahinya di bumi, membentangkan kain lalu dia sujud di atas kain itu."

579. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah saw. solat 'Ashar, sedangkan matahari masih tinggi dan udara masih panas. Kemudian ada seorang pergi ke puncak yang tinggi, sampai dia di sana matahari masih tinggi.

580. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Kami pernah solat 'Ashar, setelah itu ada di antara kami yang pergi ke Quba'. Sesampainya di sana matahari masih tinggi."

581. Dari Al 'Ala' bin 'Abdur Rahman r.a., katanya dia bertemu dengan Anas bin Malik di rumah Anas di Bashrah, setelah selesai solat Zhuhur. Rumah Anas berada di sebelah masjid. Ketika kami masuk ke rumahnya, dia bertanya, "Sudah solat Asharkah anda?" Jawab kami, "Baru saja sebentar ini kami selesai solat Zhuhur." "Kerjakanlah solat 'Ashar." Lalu kami solat. Sesudah selesai solat, lalu dia berkata, katanya, "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda : Yang demikian itu solat orang munafik. Ditunggu-tunggunya matahari berada di antara dua tanduk syaitan barulah dia solat empat raka'at dengan tergesa-gesa tanpa mengingat Allah dalam solatnya melainkan sedikit sekali. "

582. Dari Abu Umamah bin Sahal katanya: "Kami solat Zhuhur berjamaah bersama-sama dengan 'Umar bin 'Abdul 'Aziz. Setelah selesai solat kami pergi ke rumah Anas bin Malik, kami dapati dia sedang solat 'Ashar. Aku bertanya, "Paman baru selesai solat apa?" Jawabnya, "Solat 'Ashar. Beginilah solat Rasulullah saw. yang sentiasa kami lakukan bersama-sama dengan beliau (iaitu pada awal waktu)."

583. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Kami solat 'Ashar bersama-sama dengan Rasulullah saw. Setelah selesai solat, tiba-tiba datang seorang lelaki Bani Salimah, lalu dia berkata: Ya, Rasulullah! Kami hendak menyembelih unta. Kami berharap semoga Anda sudi menghadirinya." Jawab Rasulullah, "Baiklah!" Lalu beliau pergi, dan kami pun pergi pula bersama-sama dengan beliau. Kami dapati unta itu belum dipotong. Setelah disembelih, lalu dipotong-potong, dimasak sebahagiannya dan kami sempat makan sebelum matahari terbenam. "

584. Dari Rafi' bin Khadij r.a., katanya: "Kami solat 'Ashar bersama-sama dengan Rasulullah saw. Kemudian disembelih orang unta, lalu dipotong-potong menjadi sepuluh bahagian, dan kemudian dimasak. Kami masih dapat memakan masakan itu sebelum matahari terbenam."585. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang ketinggalan solat 'Ashar, sama halnya dengan kehilangan keluarga dan harta bendanya."

586. Dari 'Ali r.a., katanya: "Ketika terjadi perang Ahzab, Rasulullah saw. bersabda: Allah memenuhi kubur dan rumah mereka (orang-orang kafir Quraisy) dengan api, kerana mereka menghalangi kita solat 'Ashar sampai-sampai matahari terbenam."

587. Dari 'Ali r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda ketika terjadi perang Ahzab, sabdanya: "Mereka (Orang-orang kafir Quraisy) menghalangi kita melakukan solat Wustha, yakni solat 'Ashar. Semoga Allah memenuhi rumah dan kubur mereka dengan api." Kemudian Nabi saw. melakukannya antara dua solat malam, iaitu antara Maghrib dan 'Isya."

588. Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Orang-orang musyrik menahan Rasulullah saw. solat 'Ashar, sehingga matahari telah kemerah-merahan atau kekuning-kuningan. Maka bersabda Rasulullah saw., "Mereka menghalangi kita solat Wustha, yakni solat 'Ashar. Allah memenuhi perut dan kubur mereka dengan api."

589. Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Ketika terjadi perang Khandaq, 'Umar bin Khaththab memaki-maki kafir Quraisy dan berkata : Ya, Rasulullah! Hampir saja aku luput solat 'Ashar, sehingga matahari hampir terbenam." Maka bersabda Rasulullah saw., "Demi Allah! Aku juga belum solat 'Ashar." Lalu kami turun ke telaga. Rasulullah saw. segera mengambil wudhuk dan kami mengambil wudhuk pula. Ketika itu Rasulullah saw. solat 'Ashar setelah matahari terbenam, sesudah itu beliau langsung solat Maghrib."

590. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: '"Para malaikat malam dan malaikat siang selalu bergantian mendatangi kamu, dan mereka berkumpul ketika solat Subuh dan solat Ashar. Kemudian malaikat malam naik ke langit, lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka, padahal Allah Maha tahu - Bagaimana keadaan hamba-hambaKu kamu tinggalkan?" Jawab mereka, "Kami tinggalkan mereka sedang solat, dan kami datangi mereka juga sedang solat."

591. Dari Jarir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, kami duduk-duduk dekat Rasulullah saw. Tiba-tiba beliau menengok ke bulan purnama, lalu beliau bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kamu akan melihat Tuhan mu kelak seperti melihat bulan purnama ini, tanpa ada yang menghalangi untuk melihatnya. Kerana itu janganlah kamu lalaikan solat sebelum matahari terbit (solat Subuh) dan solat sebelum matahari terbenam ('Ashar). Kemudian Jarir membacakan ayat: "Wasabbih bihamdi rabbika qabla thulu'isy syamsi wa ghurubiha." (Thaha:130)

592. Dari Abu Bakar bin 'Umarah bin Ruaibah, dari bapanya, katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Tidak akan masuk neraka orang yang sentiasa solat sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam, ya'ni solat Subuh dan solat 'Ashar." Seorang penduduk Bashrah bertanya, "Apakah Anda mendengar sendiri hadis itu diucapkan oleh Rasulullah?" Jawab, "Ya, kudengar sendiri." Kata lelaki itu, "Aku mengaku bahwa aku mendengarnya (pula) dari Rasulullah saw. dengan kedua telinga ku dan kusimpan dalam hatiku. "

593. Dari Salamah bin Akwa' r.a., katanya: "Sesunguhnya Rasulullah saw. biasa solat Maghrib apabila matahari sudah terbenam."

594. Dari Rafi' bin Khadij, katanya: "Kami biasa solat Maghrib bersama-sama Rasulullah saw. Setelah selesai solat, kami masih dapat melihat sasaran anak panah kami."

595. Dari 'Urwah bin Zubair r.a., katanya 'Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita: "Pada suatu malam Rasulullah saw. mengundur solat 'Isya sampai jauh malam, sehingga dikatakan orang solat tengah malam. Rasulullah belum juga keluar, sehingga 'Umar bin Khaththab berkata: "Para wanita dan anak-anak sudah tidur." Maka barulah beliau keluar. Setelah keluar, beliau bersabda kepada jamaah dalam masjid, "Tiada seorang pun penduduk bumi yang menunggu-nunggu waktu solat selain anda sekalian." Peristiwa itu terjadi sebelum Islam tersiar luas.

596. Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Pada suatu malam Nabi saw. lambat keluar untuk solat 'Isya, sehingga sebahagian malam telah berlalu dan jama'ah masjid sudah tertidur. Sesudah itu barulah Nabi saw. keluar untuk solat. Beliau bersabda: "Kalaulah tidak akan memberati bagi umat ku, maka inilah waktu (yang baik) untuk solat 'Isya."

597. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Pada suatu malam kami sentiasa menunggu-nunggu Rasulullah saw. hendak solat 'Isya. Beliau baru keluar kepada kami setelah berlalu sepertiga malam atau lebih. Kami tidak tahu kesibukan apa yang terjadi dalam keluarga beliau atau mungkin barangkali kerana sebab-sebab lain. Ketika beliau keluar, beliau berkata: "Anda semua menunggu-nunggu waktu solat; sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh penganut agama lain selain anda semua. Kalaulah tidak akan memberati bagi umat ku, sungguh-sungguh aku akan solat bersama-sama mereka pada waktu seperti ini." Kemudian beliau perintahkan muadzin supaya adzan, sesudah itu qamat, lalu solat."

598. Dari Tsabit r.a, katanya jamaah bertanya kepada Anas tentang cincin Rasulullah saw. Kata Anas, "Pada suatu malam Rasulullah saw. mengundurkan solat 'Isya hingga seperdua malam atau lebih. Sesudah itu barulah Nabi saw. solat. Beliau bersabda, "Orang-orang sudah solat dan mereka sudah tidur. Tetapi anda semua sentiasa seperti berada dalam solat selama anda dalam menunggu-nunggu waktu solat." Kata Anas, "Seolah-olah masih kelihatan oleh ku bagaimana berkilaunya cincin Nabi saw. yang dibuat dari Perak sambil ia mengangkat jari manisnya yang kiri." 599. Dari Abu Musa r.a., katanya: Aku dan para sahabat yang serombongan dengan ku dalam suatu perjalanan, berhenti di lembah Baqi'. Sedangkan ketika itu Rasulullah saw. berada di Madinah. Kerana itu bergilir beberapa orang menggantikan Rasulullah saw. jadi imam ketika itu untuk solat 'Isya setiap malam. Ketika Rasulullah saw. mengunjungi kami, beliau sedang sibuk dengan urusannya sehingga terlambat solat 'Isya sampai larut malam. Kemudian beliau keluar dan solat bersama-sama dengan mereka. Setelah selesai solat beliau bersabda kepada yang hadir, "Perhatikanlah! Aku beritahukan dan aku gembirakan anda semua! Sesungguhnya adalah suatu kurnia Allah kepada anda semua, kerana tidak ada orang solat pada saat seperti ini selain anda semua." Sesudah itu kami pulang dengan gembira, setelah mendengar sabda Rasulullah saw. tersebut.

600. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Sesungguhnya para wanita mu'minah ikut solat Subuh bersama-sama dengan Nabi saw. Kemudian mereka pulang dengan berselubung kain dan tidak ada yang mengenal mereka."

601. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Para wanita mu'minah ikut solat Subuh bersama-sama Rasulullah saw. dengan cara berselubung kain ketika pergi dan pulang dari masjid, seorang pun tiada mengenal mereka, kerana Rasulullah saw. solat ketika hari masih gelap."

602. Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah saw. solat Zhuhur setelah gelincir matahari. Solat 'Ashar ketika matahari masih bersih (belum berubah warnanya). Solat Maghrib apabila matahari sudah terbenam. Solat 'Isya kadang-kadang diundurkannya dan kadang-kadang disegerakannya. Apabila dilihatnya jama'ah telah berkumpul, disegerakannya dan apabila mereka lambat berkumpul, diundurkannya. Dan beliau solat Subuh ketika hari masih gelap."603. Dari Abu Barzah Al Aslami r.a., katanya: "Rasulullah saw. biasa mengundurkan solat 'Isya hingga sepertiga malam, dan beliau tidak suka tidur sebelumnya dan bercakap-cakap sesudahnya. Dalam solat Subuh, beliau baca kira-kira seratus atau enam puluh ayat, dan kami selesai solat ketika masing-masing kami telah mengenali wajah yang satu dengan yang lain."

604. Dari Abu Dzar r.a., katanya Rasulullah saw. bertanya: "Apa yang anda lakukan, jika semua pembesar atau pejabat negeri telah sama-sama mengundurkan solat dari waktunya? Jawab ku, "Apa perintah anda kepadaku?" Jawab Rasulullah saw., "Solatlah kamu sendirian pada waktunya! Jika kemudian engkau dapat pula berjamaah bersama-sama mereka, solat pulalah, dan solatmu itu adalah sunat (keuntungan) bagimu."

605. Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Rasulullah saw. bersabda kepada ku: Bakal terjadi sesudahku, dimana para pembesar melalaikan solat. Kerana itu solatlah kamu tepat pada waktunya. Jika kamu solat kembali bersama mereka, maka itu adalah suatu keuntungan (sunat) bagi mu. Jika tidak maka sesungguhnya kamu sudah menjaga solatmu." (pada awal waktunya).

606. Dari Abu Dzar r.a., katanya: "Rasulullah saw. bertanya kepada ku, sambil menepuk pahaku: Apa yang engkau lakukan jika engkau berada dalam lingkungan kaum yang suka melalaikan solat dari waktunya?: Jawab ku, "Apa perintah anda kepadaku?" Sabda beliau, "Solatlah pada waktunya (sekalipun sendirian). Sesudah itu selesaikanlah segala urusanmu. Jika kebetulan orang solat berjamaah dan engkau masih berada dalam masjid, maka solat (pulalah bersama mereka)."

607. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Solat berjamaah lebih utama daripada solat sendirian dua puluh lima darjat."

608. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda : "Pahala solat berjamaah melebihi pahala solat sendirian dua puluh lima darjat. Malaikat malam dan siang bertemu pada waktu Subuh." Kata Abu Hurairah selanjutnya, "Kerana itu bacalah Qur'an pada waktu Subuh, kerana membacanya waktu Subuh disaksikan para malaikat."

609. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah saw. melihat amat sedikit orang solat berjamaah. Kerana itu beliau bersabda: "Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang mengimami solat berjamaah (menggantikan ku), kemudian aku pergi mencari orang-orang yang tidak datang berjamaah, sesudah itu ku suruh bakar rumah-rumah mereka dengan ikatan-ikatan kayu bakar. Kalaulah mereka tahu betapa besarnya pahala yang akan mereka peroleh, nescaya mereka akan mendatanginya." 610. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat 'Isya dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjamaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka."


Yüklə 3,73 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   9   10   11   12   13   14   15   16   ...   107




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin