Pemandu Para Pemuda Bagi Keselamatan Pada Hari Pembalasan



Yüklə 467,64 Kb.
səhifə1/14
tarix06.08.2018
ölçüsü467,64 Kb.
#67438
  1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   14


Panduan Para Pemuda Bagi Keselamatan Pada Hari Pembalasan

Kalimah Pertama

‘Bismillah’ adalah punca segala kebaikan dan permulaan bagi setiap urusan yang berkepentingan. Oleh itu, kita juga memulakan dengannya.

Wahai jiwaku! Ketahuilah bahawa di samping kalimah baik yang penuh berkat ini adalah syiar Islam, ia juga adalah zikir yang dilakukan oleh segenap makhluk yang dilakukan melalui lisan halnya.1

Jika anda ingin mengetahui tentang sejauhmana kekuatan agung dan keberkatan luas tidak terhingga yang terdapat pada ‘bismillah’, maka dengarlah kisah pendek berikut:

Seseorang Arab Badwi yang berpindah randah ke sana ke mari di padang pasir, sudah pasti bernaung di bawah seorang ketua kabilah dan berada di bawah perlindungannya. Ini dilakukannya agar dia selamat daripada ancaman orang-orang jahat, serta dapat menyempurnakan segala pekerjaan dan memperoleh segala keperluannya. Jika ini tidak dilakukannya, maka dia akan berhadapan dengan musuh yang ramai sedangkan dia sentiasa tertekan untuk menyempurnakan segala keperluannya.

Demikianlah… Secara kebetulan terdapat dua orang lelaki melakukan perjalanan yang serupa. Salah seorang daripada mereka adalah seorang yang tawaduk, sedangkan seorang lagi adalah seorang yang sombong. Si tawaduk bernaung di bawah seorang ketua kabilah, sedangkan si sombong enggan untuk berbuat demikian. Kedua-duanya memulakan perjalanan di padang pasir… Setiap kali si tawaduk singgah di mana-mana perkhemahan, maka dia akan disambut dengan penuh penghormatan dan penghargaan kerana nama ketua kabilah yang dibawanya. Jika dia berjumpa dengan perompakpun dia berkata: “Aku berjalan di bawah perlindungan ketua si anu bin si anu…”, lalu si perompak beredar ketakutan. Sedangkan si sombong tadi menempoh pelbagai musibah dan kecelakaan yang tidak dapat dibayangkan kesengsaraannya. Sepanjang perjalanan, dia berada di dalam ketakutan dan kegerunan yang berterusan. Dia sebenarnya telah menghina dan merendahkan dirinya sendiri.

Wahai jiwaku yang sombong! Ketahuilah bahawa engkau adalah si badwi yang sedang berjalan itu. Dunia yang luas ini adalah padang pasir tersebut. Kefakiran (keberhajatan) dan kelemahan engkau tidak terbatas. Sebagaimana musuh engkau juga tidak berkesudahan. Oleh kerana inilah keadaannya, maka perbesarkanlah nama pemilik hakiki dan pemerintah abadi bagi padang pasir ini agar engkau terselamat daripada kehinaan meminta-minta di hadapan seluruh para makhluk, juga agar engkau terlepas daripada kehinaan ketakutan berhadapan dengan segala kejadian tidak diingini.

Ya! Kalimah baik iaitu ‘bismillah’ ini merupakan satu khazanah agung yang tidak binasa selama-lamanya. Kerana dengannya keberhajatan anda berhubung dengan suatu rahmat yang luas dan mutlak, lebih luas daripada seluruh makhluk. Kelemahan anda bergantung dengan qudrat agung yang menguasai segala kewujudan daripada sekecil zarah sehingga sebesar galaksi, sehingga kelemahan dan keberhajatan anda menjadi pemberi syafaat yang diterima di sisi tuhan yang maha berkuasa, maha penyayang dan mempunyai kebesaran.

Seseorang yang bergerak, diam, berpagi dan berpetang dengan kalimah ini (bismillah), adalah sama seperti seorang yang menjadi tentera. Dia melakukan segala perkara dengan nama negara. Dia tidak takut kepada seorang manusiapun, kerana dia berbicara di atas nama undang-undang dan nama negara. Dia melaksanakan segala tugas dengan tegas serta tenang dalam segala perkara.

Pada permulaan lagi kami telah menyebutkan bahawa segala makhluk yang wujud ini sentiasa berzikir dengan lisan hal masing-masing menyebut nama Allah. Ia berkata ‘bismillah’… Betulkah demikian?

Ya! Jika anda melihat seseorang individu menghalau kumpulan manusia yang ramai ke satu kawasan yang luas dengan memaksa mereka melakukan pelbagai jenis pekerjaan, maka anda tentu pasti dan yakin bahawa individu tersebut tidak melambangkan dirinya sendiri, tidak menggunakan namanya sendiri dan berdasarkan kekuatannya sendiri ketika dia menghalau kumpulan manusia tersebut, bahkan sebenarnya dia hanyalah seorang tentera yang bertindak di atas nama negara serta bersandarkan kepada kekuatan seorang pemerintah atau sultan.

Maka begitu juga dengan segala makhluk yang wujud ini. Mereka melaksanakan tugas mereka dengan nama Allah. Biji-biji benih yang amat seni memikul pokok-pokok yang amat besar dan berat dengan nama Allah. Iaitu setiap pokok berkata “bismillah” dan tangannya dipenuhi dengan buah-buahan daripada khazanah rahmat ilahi lalu mempersembahkannya kepada kita… Setiap kebun berkata “bismillah” lalu ia menjadi umpama dapur bagi kudrat ilahi yang memasak dan meranumkan pelbagai jenis makanan yang lazat… Setiap haiwan yang mempunyai manfaat dan keberkatan seperti unta, kambing dan lembu juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia menjadi sumber susu enak yang melimpah ruah. Ia memberikan rezeki yang paling lembut dan bersih kepada kita… Batang setiap pohon dan rumput juga sentiasa berkata “bismillah” lalu ia membelah dan menembusi batu batan yang keras dengan rerambutnya yang halus bak sutera dengan nama Allah yang maha pemurah. Dengan itu, setiap perkara yang sukar menjadi amat mudah sekali!

Dahan-dahan yang berceracak di udara serta buahan-buahan yang dipikulnya, begitu juga dengan akar-akar yang bersimpang siur di dalam batu batan yang keras, serta bahan-bahan makanan yang disimpannya di dalam kegelapan tanah, begitu juga ketahanan dedaun hijau menanggung kepanasan dan kehangatan pancaran matahari, malah terus kekal dalam keadaan lembut dan segar… Semua ini dan lain-lain perkara lagi menjadi satu tamparan hebat terhadap gologan materialis penyembah sebab dan musabbab. Ia juga adalah pekikan yang berdengung ke dalam telinga mereka. Pekikan ini berkata kepada mereka: Kekerasan (batu-batan) dan kepanasan yang kamu bangga-banggakan itu tidak berfungsi dengan sendiri. Bahkan ia hanya menjalankan tugasnya berdasarkan arahan seorang pemerintah yang menjadikan urat-urat yang halus dan lembut itu seperti tongkat Nabi Musa yang boleh membelah batu batan dan menurut perintah firman Allah swt (al-Baqarah, ayat 60):

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Maksudnya: “…maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu…”

Ia juga menjadikan daun-daun yang lembut dan segar itu seperti anggota-anggota badan Nabi Ibrahim yang ketika menghadapi tamparan kepanasan api ia membaca (al-Anbiya’, ayat 69):

يَا نَارُ كُونِي بَرْدًا وَسَلاَمًا عَلَى إِبْرَاهِيمَ

Maksudnya: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!”

Oleh kerana setiap benda yang wujud sentiasa berkata “bismillah” atau sesuatu yang semakna dengannya, lalu ia memberi dan mempersembahkan nikmat Allah kepada kita dengan nama Allah, maka kita juga hendaklah sentiasa berkata “bismillah”. Ketika memberi kita hendaklah berkata “bismillah”. Begitu juga ketika mengambil kita hendaklah berkata “bismillah”. Kita juga hendaklah menolak pemberian yang dihulurkan oleh orang-orang yang lalai ketika mereka menghulurkan sesuatu kepada kita tanpa ‘bismillah’.

Satu soalan: Kita sentiasa memperlihatkan penghormatan dan penghargaan kepada sesiapa sahaja yang menjadi sebab kepada nikmat yang kita perolehi. Apakah agaknya pula yang dituntut oleh Allah yang menjadi tuan dan pemilik sebenar kepada segala nikmat tersebut?

Jawapan: Sesungguhnya tuhan pemberi nikmat yang sebenar itu menuntut daripada kita tiga perkara sebagai harga bayaran kepada nikmat-nikmat yang berharga itu:

Pertama: Zikir. Kedua: Syukur. Ketiga: Fikir.

Bismillah yang diucapkan pada permulaan penggunaan nikmat tersebut adalah zikir. Al-Hamdulillah yang disebutkan setelah sesuatu nikmat itu digunakan pula adalah syukur. Manakala fikir pula terletak di antara kedua-duanya. Iaitu pemerhatian yang dilakukan terhadap nikmat yang indah ini. Iaitu mengetahui bahawa ia adalah mukjizat qudrat Allah yang maha esa serta menjadi tempat pergantungan seluruh makhluk dan merupakan hadiah rahmatNya yang maha luas. Pemerhatian ini adalah fikir.

Jika seseorang yang mencium tapak kaki tentera tadi yang hanya menjadi khadam untuk menyampaikan hadiah seorang sultan telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang memalukan… maka bagaimana pula dengan seseorang yang hanya memuji sebab-sebab fizikal yang nampaknya kelihatan membawa segala nikmat kepadanya, lalu dia menyayangi dan mengasihinya sahaja, bukan menyanyangi dan mengasihi pemberi nikmat yang hakiki… bukankah individu yang kedua ini telah melakukan satu kebodohan dan kedunguan yang lebih dahsyat ribuan kali ganda jika dibandingkan dengan individu yang pertama tadi?

Wahai jiwaku! Jika engkau tidak mahu menjadi seperti si bodoh dan si dungu di atas, maka berilah dengan nama Allah… ambillah dengan nama Allah… mulakan dengan nama Allah… beramallah dengan nama Allah.

Wassalam.



Bagaimana Menyelamatkan Akhirat

(Suatu dialog yang berlaku dengan beberapa orang pemuda yang sentiasa bergelut dengan bujukan-bujukan hawa nafsu, namun kewarasan mereka masih belum hilang)

Beberapa orang pemuda telah memohon agar Rasa’il al-Nur menghulurkan bantuan kepada mereka. Mereka berkata:

Bagaimana kami boleh menyelamatkan akhirat kami pada zaman ini yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah yang menggiurkan, tarikan hawa nafsu yang mempesonakan dan penipuan hiburan yang menyeronokkan?

Lalu saya menjawab dengan nama keperibadian maknawi yang dimiliki oleh Rasa’il al-Nur dengan berkata:

Kubur terpampang di hadapan semua orang! Tiada siapa boleh mengingkarinya. Setiap orang daripada kita pasti akan memasukinya. Terdapat hanya tiga jalan untuk memasukinya, tiada yang keempat:

Jalan pertama: Jalan ini akan membawa orang-orang yang beriman merasakan kubur sebagai sebuah pintu yang terbuka terhadap taman-taman yang indah dan dunia yang luas, lebih baik dan lebih indah daripada dunia ini.

Jalan kedua: Jalan ini akan membawa orang yang tenggelam di dalam kesesatan walaupun mereka beriman dengan akhirat merasakan bahawa kubur adalah pintu penjara yang kekal. Mereka diperlakukan sebagaimana kepercayaan mereka dan sebagaimana pandangan mereka terhadap kewujudan dan kehidupan di atas muka dunia dahulu. Mereka akan diasingkan daripada semua para kekasih mereka dan dikurung bersendirian kerana mereka tidak beramal sebagaimana iktikad dan pegangan mereka.

Jalan ketiga: Melalui jalan ini, mereka yang tidak beriman dengan akhirat iaitu mereka yang sesat akan diheret. Ketika itu, mereka mendapati kubur menjadi pintu yang menghabis dan mengakhiri riwayat mereka sepenuhnya. Kubur pada pandangannya merupakan tali gantung yang menamatkan riwayatnya dan riwayat mereka yang dikasihinya. Ini adalah balasan kepada keingkarannya terhadap hari akhirat.

Kedua-dua hakikat ini adalah suatu yang diketahui secara badihi, tidak perlu kepada dalil dan bukti, kerana ia boleh disaksikan dengan mata kepala.

Ajal tidak diketahui oleh kita kerana dilindungi oleh dinding alam ghaib. Kematian pula mungkin mendatangi kita pada bila-bila masa sahaja tanpa membezakan antara yang tua dengan yang muda… Tidak syak lagi manusia lemah yang melihat permasalahan yang menggerunkan ini berlaku di hadapan matanya pada setiap ketika, maka sudah pasti dia akan sentiasa berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh menyelamatkannya daripada hukuman mati tersebut. Dia juga akan berusaha untuk mencari apa sahaja jalan yang boleh menukar pintu kuburnya daripada kegelapan pekat kepada cahaya bersinar yang membawanya kepada dunia abadi dan taman-taman yang menakjubkan di alam cahaya dan kebahagiaan berkekalan… Tidak diragukan lagi, ini adalah permasalahan utama manusia, bahkan ia adalah permasalahan yang lebih utama dan lebih besar daripada seluruh isi dunia ini.

Kejelasan hakikat ini, iaitu hakikat kematian dan alam kubur melalui tiga jalan yang telah dinyatakan di atas telah dikhabarkan oleh 124 ribu orang-orang yang benar percakapannya iaitu para nabi yang mulia, yang memikul panji-panji kebenaran yang merupakan mukjizat mereka yang jelas nyata… Hakikat ini juga telah dikhabarkan oleh 124 juta pada wali yang salih. Mereka membenarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi yang mulia. Mereka turut menyaksikan kebenaran hakikat tersebut melalui kasyaf, zauq dan syuhud… Kemudian hakikat ini turut dikhabarkan oleh bilangan yang tidak terhingga dari kalangan ulama yang muhaqqiqin. Mereka juga turut membukti benarkan apa yang dikhabarkan oleh para Nabi dan para wali itu dengan dalil-dalil akli yang mencapai tahap ilmu al-yaqin,2 sehingga mencapai tahap keyakinan 99%.

Semua mereka memperakui bahawa untuk menyelamatkan diri daripada hukuman ‘ketiadaan abadi’ dan untuk menyelamatkan diri daripada diletakkan dalam tahanan bersendirian serta menukar kematian kepada kebahagiaan abadi hanyalah boleh berlaku dengan beriman kepada Allah dan mentaatiNya sahaja. Tiada lagi cara selain itu.

Ya! Jika seseorang melalui satu jalan tanpa menghiraukan amaran yang diberikan oleh orang lain tentang bahaya yang wujud pada jalan tersebut, meskipun risikonya hanya satu peratus sahaja, sudah pasti kebimbangan dan kegelisahan yang dialaminya kerana menggambarkan bahaya yang bakal menimpa itu sudah cukup memutuskan keinginannya terhadap makanan? Maka bagaimana pula keadaannya terhadap perkhabaran yang dibawa oleh ratusan ribu orang yang benar percakapannya seratus peratus! Mereka semua bersepakat mengatakan bahawa kesesatan dan keingkaran akan menolak manusia menuju ke arah tali gantung dan penjara kubur yang terasing dan berkekalan, sebagaimana ia jelas terpampang di hadapan kamu semua. Mereka juga mengatakan bahawa iman dan ibadat dengan keyakinan seratus peratus sudah cukup boleh digunakan untuk menghilangkan kayu tali gantung dan mengunci pintu penjara perkuburan. Ia juga boleh mengubah kubur menjadi satu pintu yang terbuka mengadap ke arah istana-istana yang dihiasai dengan kebahagiaan yang berkekalan serta dipenuhi khazanah yang tidak pernah berkurangan… Perlu dinyatakan di sini, di samping mereka membawa perkhabaran tersebut, mereka juga telah menunjukkan tanda-tanda dan kesan-kesannya.

Sekarang saya ingin bertanya kepada kamu:

Apakah pendirian manusia yang tidak bernasib baik terutamanya seorang muslim terhadap masalah yang besar ini? Adakah seluruh kekuasaan yang ada di dunia ini di samping segala kelazatan dan kenikmatan yang ada padanya, mampu menghilangkan kecelaruan dan kebimbangan manusia yang sedang menunggu gilirannya pada setiap saat untuk masuk ke dalam kubur, jika dia adalah seorang yang tidak mempunyai iman dan amal ibadat?

Di samping itu, proses penuaan, penyakit dan bala bencana, serta kematian yang berlaku di sana sini, semuanya melahirkan rasa amat dukacita di dalam hati setiap manusia dan memberikan amaran kepadanya tentang kesudahan yang pasti akan dihadapinya. Sudah pasti di dalam hati orang-orang yang sesat, bodoh dan bersifat kegilaan itu akan bergejolak api maknawi yang mengazabkan mereka sehingga walaupun mereka sedang menikmati kesukaan dan kelazatan duniawi. Tetapi hanya kealpaan sahaja yang menghalang mereka daripada merasai azab yang pedih itu.

Ahli iman dan ketaatan melihat kubur yang terpampang di hadapan mereka sebagai satu pintu yang menuju kepada taman-taman bahagia dan kenikmatan yang berkekalan. Kekuasaan ilahi mengurniakan kepada mereka satu paspot yang membolehkan mereka memperoleh suatu khazanah yang tidak akan binasa lantaran penyaksian keimanan yang mereka lakukan. Oleh itu, setiap orang daripada mereka akan merasai kelazatan mendalam yang sebenar, serta kesegaran ruh yang membugar ketika menunggu seruan yang memanggilnya: “Marilah… Ambillah kad anda ini!” Kesegaran ruh tersebut jika boleh bertukar dalam bentuk yang berjisim nescaya ia akan menjadi seumpama taman maknawi yang khusus buat si mukmin tersebut, sebagaimana sesuatu biji benih boleh bertukar dan terbentuk menjadi sepohon pokok yang mempunyai daunan yang menghijau.

Jika inilah hakikatnya, maka sesiapa yang meninggalkan kenikmatan rohani yang kudus itu hanya kerana ingin mengecap suatu kelazatan sementara yang tidak dibenarkan, bahkan dipenuhi dengan pelbagai kesakitan (seperti ingin memakan madu yang beracun) berdasarkan dorongan kegilaan kemudaan dan kebodohannya, maka sudah pasti dia akan tenggelam ke dalam lembah yang lebih hina daripada lembah haiwan… Bahkan kedudukannya tidak sama dengan kedudukan golongan mulhid juga, kerana mungkin orang yang mengingkari Rasul kita Nabi Muhammad saw dari kalangan mereka, mungkin beriman dengan rasul-rasul yang lain. Jika dia tidak beriman dengan keseluruhan rasul-rasul, mungkin dia beriman dengan kewujudan Allah swt. Jika dia tidak beriman dengan Allah swt, mungkin dia mempunyai sifat-sifat terpuji yang akan memperlihatkan kepadanya sifat-sifat kesempurnaan Allah. Sedangkan seseorang muslim tidak mengenal para rasul yang mulia, tidak beriman dengan tuhannya, tidak mengetahui sifat-sifat kesempurnaan manusia melainkan melalui perantaraan Nabi Muhammad saw. Oleh itu, sesiapa yang tidak beradab dengan pengajarannya yang berkat, bahkan melepaskan diri daripada perintahnya, maka dia tidak mengiktiraf para nabi yang lain, bahkan dia mengingkari Allah swt itu sendiri. Dia juga tidak mampu untuk memelihara asas-asas kesempurnaan manusia di dalam ruhnya, kerana asas-asas agama dan tarbiah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah amat dalam dan tegap serta sempurna sehingga sesiapa yang meninggal dan mengabaikannya tidak mungkin dapat mendakap sebarang cahaya dan sebarang kesempurnaan. Bahkan dia dihukum agar dihumbankan ke lembah kehinaan dan kerendahan mutlak. Kerana baginda saw adalah penyudah kepada seluruh para Nabi, penghulu segala mursalin dan pemimpin manusia seluruhnya dalam segala hakikat kebenaran. Bahkan baginda juga adalah paksi kebanggaan dan kemuliaan, sebagaimana dibuktikan dengan pembuktian yang indah sepanjang 14 kurun.

Wahai mereka yang terfitnah oleh keindahan kehidupan dan kenikmatan di dunia! Wahai mereka yang mengerahkan seluruh tenaga bagi menjamin kehidupan dan masa depan dalam keadaan kebimbangan! Wahai mereka yang merana!

Jika kamu ingin mengecap kenikmatan dan kelazatan dunia melalui kebahagiaan dan kerehatan yang terdapat di dalamnya, maka kelazatan dan kenikmatan yang diizinkan oleh syarak sudah mencukupi bagi kamu. Ia sudah memadai bagi memenuhi segala tuntutan dan keinginan kamu serta menenangkan hawa nafsu kamu. Daripada penjelasan yang saya berikan sebelum ini, anda tahu bahawa setiap kelazatan dan kenikmatan yang terkeluar daripada batasan kebenaran syarak mengandungi seribu satu macam kesakitan, jika kita dapat menayangkan peristiwa dan kejadian yang akan berlaku selepas 50 tahun misalnya di atas skrin layar, sebagaimana kita menayangkan peristiwa dan kejadian yang telah berlaku. Jika ini dapat dilakukan, nescaya mereka yang alpa yang bertindak bodoh pasti akan menangis dengan tangisan yang pahit terhadap apa yang menggembirakan mereka sekarang.

Sesiapa yang menginginkan kegembiraan dan kesukaan yang suci serta berterusan di dunia dan akhirat, dia hendaklah menurut segala pentarbiahan keimanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw.



Skrin Maknawi (Kegembiraan Sejati)

Pada suatu hari saya duduk di hadapan sebuah tingkap di penjara Eskisehir. Tingkap tersebut mengadap ke arah sebuah sekolah menengah bagi murid-murid perempuan. Beberapa orang murid kelihatan bergelak ketawa dan bermain-main dalam keadaan sungguh gembira. Sebaik saja saya melihat mereka berada dalam keadaan demikian, sekonyong-konyong pada pandangan saya, mereka bertukar menjadi bidadari3 neraka jahannam yang sedang berada di taman dunia ini. Kerana secara tiba-tiba saya ternampak keadaan mereka pada masa akan datang iaitu selepas 50 tahun. Gelak tawa dan kegembiraan mereka bertukar menjadi gambaran-gambaran tangisan yang memerit dan amat mendukacitakan.

Melalui keadaan ini, tersingkap kepada saya hakikat berikut:

Melalui skrin khayalan dan maknawi ini, saya melihat apa yang akan berlaku kepada mereka selepas 50 tahun. Saya melihat 50 orang pemudi yang sedang ketawa sekarang ini sedang diazab di dalam kubur. Jasad mereka telah hancur. Sementara 10 orang yang lain, masih hidup dalam usia yang telah lanjut lebih kurang 70 tahun. Wajah mereka yang berkedut hodoh menyebabkan orang lain meluat dan menjauhkan diri.

Saya tidak dapat menahan diri berhadapan dengan pemandangan ini, lalu saya menangis teresak-esak terhadap keadaan mereka. Kemudian saya ternampak pula fitnah di akhir zaman yang jauh lebih dahsyat yang terkena terhadap orang-orang yang beriman. Iaitu fitnah yang dibawa oleh golongan wanita menggiurkan yang lahir daripada ketiadaan sifat malu. Keberanian mereka telah merampas kekuatan semangat orang lelaki lalu si lelaki jatuh terkulai ke lembah kebodohan, sebagaimana rama-rama mencampakkan dirinya ke dalam api. Perempuan tersebut telah berjaya menjadikan si lelaki mengutamakan kenikmatan dunia fana’ yang hanya boleh dikecapi selama satu minit sahaja jika dibandingkan dengan tahun-tahun kenikmatan yang bakal diperolehi pada kehidupan yang kekal abadi nanti.

Saya sendiri telah merasakan kesan contoh kepada fitnah tersebut. Pada suatu hari, saya menyaksikan apa yang berlaku di dalam masyarakat. Setelah menyaksikannya, saya merasa amat kasihan kepada keadaan yang menimpa para pemuda. Saya berkata: “Aduhai kasihannya saya terhadap mereka! Bagaimana mereka boleh menyelamatkan diri mereka daripada api dan bujukan fitnah yang kuat ini?”

Ketika saya sedang menerawangkan khayalan dan tenggelam di dalam pemerhatian tersebut, tiba-tiba peribadi maknawi kepada penyala api fitnah, guru dan penyerunya menjelma di hadapan saya.

Saya berkata kepadanya dan kepada golongan mulhid yang menerima arahan dan pengajaran daripadanya:

“Wahai si celaka yang mengorbankan agamanya demi mengecap kenikmatan dengan bidadari neraka jahannam lantaran kebodohan dan kesesatan! Wahai si celaka yang rela dirinya kufur dan keluar daripada agama bagi mengenyangkan keinginan-keinginan nafsunya yang sentiasa menyuruh melakukan kejahatan! Wahai si celaka yang berpegang kuat dengan kehidupan dunia sehingga mengurangkan amal ibadatnya dan melarikan diri daripada kematian! Wahai si celaka yang langsung tidak suka jika disebut tentang kubur di hadapannya, bahkan lebih rela memalingkan mukanya ke arah riddah! Ketahuilah secara pasti:

Sesungguhnya dunia engkau yang besar ini, setiap saat yang berlalu sebelum ini, setiap saat yang akan mendatang, isi dunia keseluruhannya, masa lampau dan masa depan engkau, sesiapa saja yang telah mati dari kalangan anak bangsa engkau, mana-mana makhluk dan generasi yang akan datang, ummat yang terdahulu, manusia dan kabilah yang akan datang, semua mereka mati dan hilang. Mereka mati, bukannya hidup… dengan sebab kesesatan engkau.

Tetapi oleh kerana engkau terikat dari sudut akal dan kemanusiaan dengan kesemua dunia yang bergerak dan hidupan yang berjalan, kepala engkau sentiasa dihujani dengan kesakitan yang lahir daripada sentiasa memikirkan tentang akibat kesudahan orang-orang yang telah mati dan memenuhi dunia ini dahulunya. Jumlah mereka tidak terkira banyaknya. Semua itu berlaku lantaran kejahilan dan keingkaran engkau, sehingga keadaan ini mendukacitakan hati engkau jika engkau masih mempunyai perasaan, membakar ruh engkau jika engkau masih mempunyai ruh, dan menenggelamkan akal engkau ke dalam lautan kedukaan jika engkau masih mempunyai akal yang belum terpadam.

Ya! Jika keseronokan dan kelazatan dalam tempoh kurang daripada sejam yang terhasil melalui perbuatan bodoh dapat menyamai segala kedukacitaan dan kepiluan yang tidak berkesudahan itu, maka engkau dipersilakan untuk terus berada dalam keadaan demikian. Teruslah berada dalam kelalaian, kealpaan dan kegilaan engkau. Tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka kembalilah engkau kepada kewarasan. Dengarlah dengan telinga yang peka akan ajaran-ajaran al-Quran. Gantilah kelazatan-kelazatan kecil, yang akan binasa dan tidak melebihi satu minit itu dengan kelazatan-kelazatan menyeluruh yang berterusan4 agar engkau selamat daripada neraka maknawi dan memasuki syurga maknawi di atas dunia ini juga serta mengecapi nikmat kebahagian hidup. Janganlah engkau berkata: “Saya akan meneruskan kehidupan saya seperti haiwan!” Kerana masa silam dan akan datang terhijab daripada dilihat oleh haiwan. Masa silam dan akan datang adalah ibarat perkara ghaib bagi mereka. Mereka telah diselamatkan oleh Allah yang maha bijaksana lagi maha penyayang daripada ditimpa kesakitan yang tidak bersempadan dengan menghijabkan alam ghaib daripada mereka. Hinggakan ayam yang dicipta untuk disembelih tidak merasa sakit dan dukacita kecuali ketika pisau melalui tengkuknya. Itupun rasa sakit tersebut dengan segera akan hilang seterusnya ia terselamat daripada merasainya lagi. Sesungguhnya rahmat Allah tuhan yang maha mencipta amat luas. Kasihan belas dan kasih sayangNya terhadap makhluk jelas kelihatan melalui penghijaban alam ghaib. Ia kelihatan dengan lebih jelas lagi pada binatang-binatang yang tidak berdosa.

Dari sini, anda tidak boleh selama-lamanya untuk bernikmat-nikmat dengan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak sebagaimana dilakukan oleh haiwan, apatah lagi jika nikmat tersebut jauh ribuan kali ganda lebih rendah daripada apa yang dilakukan oleh haiwan. Ini adalah kerana akal anda mempunyai perasaan dan melihat apa yang ghaib di sisi haiwan. Akal anda akan merasa sakit dan dukacita. Anda tidak akan memperoleh kerehatan sempurna sebagaimana dirasai oleh haiwan yang dihijab sama sekali daripada melihat perkara ghaib di hadapannya.

Kemudian segala paksi kebanggaan dan kemuliaan anda seperti persaudaraan, penghormatan, kasih sayang dan lain-lain sifat terpuji seumpamanya akan terjadi dalam bentuk yang dibuat-buat, dipaksa-paksa, sementara sahaja, palsu, lemah dan tidak menyeluruh kerana ia hanya terbatas dalam tempoh waktu yang amat singkat, seperti dalam masa satu jam sahaja daripada suatu zaman yang tidak berkesudahan. Ia juga hanya terbatas pada suatu tempat sempit umpama satu jari sahaja daripada satu kawasan padang pasir yang amat luas. Oleh itu, kemanusiaan anda, bahkan idelisme serta kesempurnaan anda menjadi kecil dan kerdil, bahkan mungkin akan terus hilang sama sekali, tidak dapat dikesan lagi.

Tetapi persaudaraan ahli iman dan penghormatan sesetengah daripada mereka terhadap sesetengah yang lain serta kasih sayang yang mengikat di antara mereka, akan sentiasa meninggi dan meningkat dengan peningkatan iman itu sendiri.

Dengan itu, kemanusiaan seseorang yang beriman dan kesempurnaannya jika dinisbahkan kepada dirinya akan menjadi besar dan hebat, kerana sifat-sifat tersebut menjadi besar dan meluas ke ufuk masa lepas dan dimensi masa akan datang tanpa terbatas dan tersisih pada tempat dan masa yang terhad sahaja.

Tetapi sebab kejayaan dan ketinggian anda dalam perkara-perkara keduniaan, puncanya adalah disebabkan oleh keadaan anda yang amat sama dengan si Yahudi saudagar emas gila yang membayar harga yang mahal untuk membeli kepingan kaca yang disangkanya ketulan emas. Anda juga begitu. Anda mengerahkan segala usaha yang sepatutnya anda kerahkan untuk kehidupan abadi yang maha luas di akhrat nanti, tetapi anda mengerahkannya demi kenikmatan dalam waktu yang amat pendek dan terhad sahaja. Maka tidak peliklah jika anda mendapat kejayaan dalam ruang yang amat sempit itu, kerana anda memperuntukkan segala kesungguhan, kesukaan dan keinginan untuk membalas dendam yang membuak-buak yang hanya melazatkan anda dalam tempoh setahun sahaja misalnya, dan anda memalingkan segala perasaan tersebut dalam tempoh beberapa minit sahaja, maka tidak peliklah jika anda kelihatan mendapat kedudukan yang lebih tinggi meskipun dalam tempoh yang sementara sahaja jika dibandingkan dengan kedudukan ahli iman. Oleh kerana akal, ruh, hati dan perasaan anda ditanggalkan daripada melaksanakan tugasnya yang asasi lagi mulia akibat tenggelam dan turut serta di dalam urusan-urusan jiwa yang sentiasa menyuruh ke arah keburukan dan menyahut keinginan hawa nafsunya yang jahat, maka tidak hairanlah jika anda kelihatan mengatasi orang-orang yang beriman di dunia ini. Tidak hairanlah jika anda kelihatan lebih bahagia daripada mereka dari sudut zahir, kerana akal, hati dan ruh anda telah terhempas ke lembah yang amat dalam, bahkan ia telah ditukar dan diubah sama sekali untuk berkhidmat kepada kehinaan hawa nafsu yang amat rendah kedudukannya.

Dari sini, tidak diragukan lagi bahawa anda mungkin beroleh kejayaan yang sementara sahaja, kerana nantinya anda akan beroleh api neraka jahannam, sedangkan orang-orang beriman yang dizalimi nantinya akan beroleh syurga yang kekal abadi.

(Suatu Isu Penting Yang Tiba-tiba Terlintas Di Fikiran)


Yüklə 467,64 Kb.

Dostları ilə paylaş:
  1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   14




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin