Kami akan menunjukkan secara tidak langsung empat dalil sebagai contoh yang piawai di antara ratusan dalil yang menunjukkan bahawa akidah kepercayaan kepada akhirat merupakan asas utama bagi kehidupan kemasyarakatan dan individu seseorang manusia, dan ia juga adalah asas kepada seluruh kesempurnaan, keidealan dan kebahagiaan.
Dalil Pertama:
Kanak-kanak yang merupakan separuh daripada bilangan manusia, tidak mampu untuk menghadapi keadaan dan situasi yang kelihatan menyakit dan menyusahkan seperti peristiwa kematian dan kehilangan orang yang tersayang. Tetapi kita dapati mereka mampu menghadapinya berbekalkan kekuatan maknawi yang terdapat di dalam diri mereka yang masih lemah. Kekuatan itu ialah keimanan kepada syurga. Keimanan itulah yang membuka pintu pengharapan yang bersinar di hadapan jasad fizikal mereka yang lemah dan tidak dapat menentang dan bertahan bahkan akan menangis ketika menghadapi peristiwa yang kecil sekalipun. Dengan keimanan tersebut juga, mereka boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan gembira dan bahagia. Maka seseorang kanak-kanak yang beriman dengan kewujudan syurga akan berdialog dengan dirinya sendiri dengan berkata: “Sebenarnya adikku atau kawanku yang meninggalkan aku, sekarang telah bertukar menjadi burung di dalam syurga. Dia dapat berpergian ke mana sahaja yang dikehendakinya di dalam syurga. Di sana, dia dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik dan lebih selesa.” Jika tidak kerana keimanan tersebut, nescaya kematian yang menimpa kanak-kanak seumpamanya bahkan yang juga menimpa orang-orang dewasa, akan menghancurkan kekuatan maknawi yang terdapat padanya yang tidak mempunyai sebarang daya dan usaha. Kematian itu juga akan menghancurkan jiwa dan memahitkan kehidupannya lalu seluruh anggota fizikal serta anggota dalamannya seperti ruh, hati dan akal akan turut menangis bersama tangisan matanya. Setelah itu, perasaan mereka mungkin akan mati dan menjadi keras atau mereka sendiri bertukar menjadi seperti binatang sesat yang celaka.
Dalil Kedua:
Kesabaran dan penanggungan yang ditunjukkan oleh golongan tua yang merupakan separuh daripada bilangan manusia keseluruhannya, sedangkan mereka sedang berada di ambang perkuburan adalah hasil daripada keimanan mereka dengan akhirat. Kesabaran dan kegembiraan yang mereka perolehi meskipun obor kehidupan yang mereka sayangi sudah hampir padam dan pintu dunia mereka yang dipenuhi dengan kemanisan dan keindahan sudah hampir tertutup, tidak lain dan tidak bukan, datangnya daripada keimanan tersebut. Orang-orang tua yang sudah lanjut usianya dan kembali menjadi seperti kanak-kanak dari sudut perasaan, ruh dan tabiat mereka, menghadapi perasaan kecewa yang lahir daripada kematian dan kehilangan orang tersayang, dengan bersabar terhadapnya dengan pengharapan terhadap kehidupan akhirat. Jikalau keimanan kepada akhirat ini tidak ada, nescaya para ibu bapa iaitu orang yang paling layak mempunyai perasaan kasihan belas dan orang yang paling memerlukan ketenangan pasti merasa kepanasan rohani, kegundahan jiwa dan kebimbangan hati. Juga dunia yang luas ini akan dirasakan amat sempit sekali bahkan bertukar menjadi penjara yang gelap dan menakutkan. Kehidupan ini pula akan bertukar menjadi azab seksa yang amat menyakitkan.
Dalil Ketiga:
Para pemuda dan remaja yang merupakan paksi kehidupan kemasyarakatan tidak akan dapat menenangkan kegejolakan perasaan mereka; tidak akan dapat menghalang mereka daripada melampau batas lalu melakukan kezaliman dan kerosakan; tidak akan dapat menyekat kenakalan dan nafsu mereka; dan tidak akan dapat menjamin perjalanan yang lurus dalam kehidupan kemasyarakatan mereka melainkan kerana perasaan takutkan kepada neraka jahannam. Jika bukan kerana perasaan takut ini, nescaya golongan remaja yang nakal dan tenggelam di dalam hawa nafsu mereka akan menukarkan dunia ini kepada api neraka yang menyala-nyala terhadap golongan lemah dan tua, kerana orang yang gagah sahaja akan menguasai seluruh keadaan. Golongan remaja itu juga akan menukar kehidupan kemanusiaan yang tinggi dan mulia kepada kehidupan kebinatangan yang hina dina.
Dalil Keempat:
Kehidupan kekeluargaan merupakan pusat perhimpunan kehidupan keduniaan, syurga kebahagiaannya, kubunya yang paling ampuh dan tempat perlindungannya yang paling selamat. Rumah setiap orang adalah dunia dan alamnya yang tersendiri. Ruh kehidupan kekeluargaan tidak akan memperolehi kebahagiaan kecuali melalui saling menghormati yang dilakukan secara serius dan ikhlas di antara semua anggota keluarga. Juga melalui perasaan kasihan belas dan rahmat yang benar sehingga mencapai tahap sanggup berkorban dan mementingkan orang lain daripada diri sendiri. Perasaan saling hormat menghormati dan kasihan belas yang ikhlas tidak akan berlaku melainkan dengan keimanan terhadap kewujudan persahabatan yang abadi, kekawanan yang berkekalan dan kebersamaan yang berterusan pada satu masa yang tidak mempunyai kesudahan dan di bawah naungan kehidupan yang tidak mempunyai kesudahan. Kebersamaan itu pula diikat oleh hubungan kebapaan yang hebat, persaudaraan yang ikhlas dan suci, persahabatan yang setia dan tulus. Sehingga si suami berkata kepada dirinya sendiri: “Isteriku ini adalah rakan dan sahabatku dalam kehidupan di dalam alam yang kekal abadi. Tak mengapalah jika dia sekarang menjadi seorang yang tua dan hodoh kerana nantinya dia akan mempunyai kecantikan yang abadi. Oleh itu, saya bersedia untuk memberikan sebarang pengorbanan yang dituntut oleh kesetiaan dan kasihan belas saya, dan saya juga bersedia untuk mengorbankan apa sahaja yang dituntut oleh persahabatan yang akan kekal abadi itu…” Demikianlah bagaimana seorang suami mampu untuk memberikan kasih sayang dan kasihan belas kepada isterinya yang sudah tua, sama seperti kasih sayang yang diberikannya kepada bidadari. Jika tidak kerana iman ini, nescaya ia hanyalah persahabatan luaran yang memakan masa selama satu atau dua jam kemudian ia akan disudahi dengan perpisahan abadi. Ia juga merupakan persahabatan zahir yang tidak mempunyai sebarang asas dan sandaran. Persahabatan yang seumpama itu hanya mampu memberikan perasaan kasihan belas yang palsu, penghormatan yang dibuat-buat dan perasaan kasihan belas yang berbentuk kehaiwanan sahaja. Ditambah lagi perasaan kasihan belas dan penghormatan itu dicemari oleh kepentingan-kepentingan tertentu seperti kehendak hawa nafsu. Maka ketika itu, syurga keduniaan akan bertukar menjadi neraka jahannam yang tidak tertanggung azabnya.
Demikianlah salah satu sahaja daripada natijah keimanan terhadap kebangkitan semula. Ia hanyalah salah satu sahaja daripada antara ratusan natijah yang berhubung dengan kehidupan sosial manusia yang memberi faedah kepada mereka dan mempunyai ratusan jenis dan bentuk. Jika ia dibandingkan terhadap keempat empat bukti yang telah disebut itu, dapatlah difahami bahawa kejadian kebangkitan semula merupakan suatu yang pasti sebagaimana pastinya hakikat manusia dan keberhajatan mereka. Bahkan ia adalah lebih jelas daripada keperluan perut kepada makanan. Kita mungkin boleh melihat lebih jauh bagaimana keimanan kepada hari kebangkitan merupakan suatu keperluan kepada manusia dengan lebih mendalam apabila manusia tidak mempunyai atau mempercayai hakikat tersebut, iaitu hakikat kebangkitan semula. Kerana pada ketika itu, hakikat manusia yang tinggi, penting dan aktif akan bertukar menjadi seperti bangkai yang busuk dan tempat membiaknya segala macam jenis kuman dan virus.
Maka ahli sosiologi, politik dan akhlak dari kalangan mereka yang prihatin terhadap permasalahan, akhlak dan sifat sosial manusia… mereka hendaklah mendengar penuh perhatian dan menjelaskan bagaimana mereka mahu memenuhkan kekosongan ini? Dengan apakah mereka akan mengubat dan membalut luka yang luas dan dalam ini?
Dostları ilə paylaş: |