Rahsia pemilihan semenanjung 'arab sebagai tapak pancaran agama islam



Yüklə 1,2 Mb.
səhifə20/36
tarix17.01.2019
ölçüsü1,2 Mb.
#99555
1   ...   16   17   18   19   20   21   22   23   ...   36

Sebaik sahaja Uthman bin Abdullah bin al-Mughirah salah seorang tentera berkuda musyrikin, melihat Rasulullah, segera beliau menerkam dengan kudanya ke arah Rasulullah dengan laungannya: "Wahai Muhammad kalau selalunya kau boleh terlepas, tapi di hari ini kau tidak akan terlepas". Rasulullah pun segera bangun untuk melawannya, namun kudanya tersungkur kerana kakinya terjerumus ke dalam sebuah lubang menyebabkan Baginda terus terjatuh, dengan itu Uthman telah ditentang oleh al-Harith bin al-Sammah, di mana al-Harith telah sempat mencantas kakinya, menyebabkan beliau jatuh terduduk, sekali lagi al-Harith melepaskan tetakannya yang kencang untuk menamatkan riwayatnya, al-Harith mengambil senjatanya, dan mengekori Rasulullah.

Di masa itu Abdullah bin Jabir seorang lagi tentera berkuda Quraisy meluru kehadapan al-Harith bin al-Sammah menetak dengan pedang ke tengkoknya, menyebabkan beliau luka, dan diusung, di masa itu juga Abu Dujanah pahlawan Islam yang serba lincah dengan lilitan merah di kepalanya, menerkam ke arah Abdullah bin Jabir dan terus memukul dengan pedangnya menyebabkan kepalanya tercerai dari jasadnya.

Semasa pertempuran yang amat sengit itu, tentera Islam terlelap sekejap, itu adalah sebagai petanda memperolehi keamanan dari Allah, sebagaimana yang diperihalkan oleh al-Quran. Kata Abu Talhah: "Daku di antara yang dilelapkan di dalam peperangan Uhud, kiranya pedang ditanganku terjatuh berkali-kali, jatuh aku mengambil semula, jatuh lagi ku mengambilnya semula".

Dengan keberanian ini maka unit yang bersama-sama Rasulullah berjaya berundur secara tersusun ke suatu lereng bukit, dan dituruti oleh kelompok-kelompok tentera Islam lain, ke sudut yang selamat itu, hingga dengan itu kepintaran Khalid tewas bila berhadapan dengan kepintaran Rasulullah (s.a.w).

 

KEMATIAN UBAI BIN KHALAF



Ibnu Ishak menceritakan: Setelah Rasulullah berehat di lereng itu rupanya Ubai bin Khalaf memburu ke situ sambil melaung: Mana dia Muhammad, hari lain ini kau tidak dapat lari lagi, kaum muslin. Wahai Rasulullah boleh tak salah seorang dari membunuhnya? Jawab Rasulullah: Biarkan dia ke mari sebaik sahaja beliau menghampiri Rasulullah, baginda mencapai tombak dari al-Harith bin al-Sammah, Rasulullah bingkas bangun penuh keberanian dan ketegasan, kepantasan tindakan Rasulullah seperti seekor unta yang menerbangkan bulu-bulunya semasa dipecut laju, baginda memerhati lehernya yang terdedah itu terus baginda meluncur tombak ke sasarannya dan tepat kena pada tempat yang diluncurnya itu, Ubai bin Khalaf terhuyung hayang di atas kudanya, setelah beliau berpatah balik ke dalam barisan tentera Quraisy, didapati lukanya tidaklah teruk sangat, namun darah terus mengalir beliau menjerit dengan katanya: Demi Allah, Muhammad telah membunuh aku. Orangnya menjawab:

Demi Allah, kau ini dah tak ada hati, sebenarnya bukan ada apa pun luka sedikit sahaja. Jawab Ibnu Khalaf: Eh, jangan, Muhammad ini telahpun mengugut daku semasa di Makkah dahulu dengan katanya: Akan ku bunuh kau, demi Allah kalaulah Muhammad ludah ke atas ku nescaya aku mati, dan memang beliau mati semasa dalam perjalanan ke Makkah.

Mengikut riwayat Abi al-Aswad dari Urwah: Ibnu Khalaf menguak seperti lembu jantan dan berkata: Kalaulah apa yang terkena ke atas ku ini terkena ke atas seluruh penduduk Zul Majaz nescaya mereka mati semua.

 

TALHAH MEMBANTU RASULULLAH (S.A.W)



Semasa Rasulullah bersama para sahabat berundur ke lereng bukit, seketui batu besar menghalang pergerakan Rasulullah, baginda cuba mendakinya, pun tak dapat juga, kerana Rasulullah telah bertambah berat badan, dibeban pula oleh baju besinya. Selain dari luka yang melemahkan badan Baginda, Talhah bin Abdullah pun duduk membongkok ke tanah, membiarkan Rasulullah memijak ke belakangnya dan berjaya Rasulullah berdiri di atas batu pejal itu, lantas Rasulullah bersabda: Talhah wajib menerima, iaitu Syurga.

 

SERANGAN TERAKHIR KAUM MUSYRIKIN



Setelah Rasulullah berjaya memperkukuhkan markaz pimpinannya di lereng bukit, pihak musyrikin telah membuat percubaannya yang terakhir dalam rangka usaha mereka untuk melenyapkan kekuatan tentera Islam. Dalam hal ini Ibnu Ishak menceritakan; Semasa Rasulullah berada di lereng itu, tiba-tiba sekumpulan tentera Quraisy mara ke atas bukit dibawah pimpinan Abu Sufian dan Khalid bin al-Walid, maka Rasulullah melaung dengan sabdanya: Ya Allah ya Tuhanku, tidak seharusnya mereka itu mengatasi kita, maka dengan itu Saidina Umar dan beberapa orang Muhajirin yang lain mara dan melawan mereka serta memaksa mereka turun.

Di dalam kisah peperangan Banu Umawi menceritakan bahawa kaum musyrikin telah naik ke atas bukit, lalu Rasulullah menyeru kepada Saad: Kalahkan mereka, yakni undurkan mereka - jawab Saad: Bagaimana akan ku kalahkan mereka daku hanya seorang sahaja, beliau mengulangi tiga kali, namun akhirnya beliau mengambil anak panahnya maka dipanahkan, menyebabkan terbunuh si Fulan, beliau mengambil satu lagi lalu dipanahkan sekali lagi menyebabkan terbunuhnya mangsa yang kedua, sekali lagi beliau berbuat demikian menyebabkan terbunuhnya orang depan ketiga, dengan itu kafir Quraisy terpaksa turun dari tempat mereka itu. Aku berkata: Panah ini adalah berkat, aku pun simpan ke dalam uncangannya, diceritakan panah itu berkekalan bersama-sama Saad hingga ke akhir hayatnya, kemudian diwarisi oleh anak-anaknya.

 

MENCACATKAN PARA SYUHADA'



Serangan itu adalah serangan terakhir pihak musyrikin ke atas kedudukan Rasulullah. Oleh kerana mereka tidak mengetahui sangat kesudahan Rasulullah (s.a.w) malah mereka hampir yakin bahawa Rasulullah (s.a.w) telah terbunuh, untuk itu mereka pun kembali semula ke markas, dan semua mereka bersiap untuk berangkat pulang ke Makkah, di antara mereka ada yang sibuk mencacatkan jasad para syuhada termasuk kaum ibu musyrikin, ada yang memotong telinga hidung, kemaluan dan ada yang menikam perut para syuhada dijadikan sebagai kalung dan gelang kaki.

 

KESUNGGUHAN PAHLAWAN BERSEDIA UNTUK BERTEMPUR HINGGA KE TITISAN DARAH TERAKHIR



Detik-detik terakhir, berlaku dua peristiwa yang membuktikan kesungguhan pahlawan-pahlawan Islam untuk berperang dan betapa bersedianya mereka untuk bersungguh-sungguh dan mati ke jalan Allah.

1. Kaab bin Malik menceritakan: Daku adalah di antara kaum muslimin yang telah keluar, sebaik sahaja ku melihat kaum musyrikin mencedera dan mencacatkan jasad-jasad syuhada Islam, ku bangun dan keluar untuk melihat di mana ku dapati seseorang musyrikin yang mengumpul baju-baju besi melalui jasad seorang syuhada sambil berkata-kata:

Ayuh berlonggoklah kamu seperti longgokan najis-najis kambing.Tiba-tiba seorang muslim sedang menunggu si musyrik ini di hadapan juga berbaju besi aku terus mengekori dari belakangnya hingga dapat aku membezakan yang muslim dan yang musyrik, aku dapat melihat si kafir lebih baik pakaiannya dan peralatannya dari si muslim, hinggalah kedua-duanya ini bersemuka, maka si muslim terus menetak si kafir dengan pedangnya hingga sampai ke pangkal paha, dan terus terpelanting kakinya, lepas itu si muslim membuka tudung mukanya sambil berkata: Bagaimana kau tengok wahai Kaab, Akulah Abu Dujanah.

2. Sebaik sahaja peperangan telah selesai,sekumpulan wanita Islam telah datang ke medan , kata Anas: Ku telah lihat Aisyah binti Abi Bakar dan Ummu Salim, sedang bersungguh-sungguh, hingga ternampak betis, mereka menggalas uncang air untuk memberi minum terus ke mulut-mulut tentera Islam yang mengalami sakit, apabila air habis mereka pulang untuk isi semula dengan air. Begitulah kesungguhan mereka, cerita Umar bin al-Khattab: Ummu Salit bertugas di hari Uhud dengan memberikan kami air minuman.

Di kalangan mereka terdapat juga Ummu Aiman, setelah beliau melihat sekumpulan tentera Islam yang lari balik ke Madinah mencari perlindungau, terus beliau mengambil tanah menabur ke atas kepala mereka sambil berkata: Nah ambil pengumpul benang ini, penakut, berikan aku pedang kamu itu, terus beliau ke medan perang, di sana beliau memberi air kepada tentera Islam yang mengalami kecederaan, namun Hibban bin al-Arafah memanah Ummu Aiman menyebabkan beliau terjatuh hingga ternampak sebahagian badannya, Hibban pun ketawa bagaikan satu kelucuan berlaku hal ini berat untuk Rasulullah melihatnya, dengan itu baginda memberikan sebatang anak panah yang tidak bermata kepada Saad dengan berkata, Ayuh kau panahkan seteru Allah itu, Saad pun membidaskan panahnya tepat ke tengkok Hibban menyebabkan beliau jatuh hingga terseiak auratnya, membawa Rasulullah tersenyum hingga kelihatan gigi baginda, dan sabda Rasulullah: Saad telah menuntut bela untuk Ummu Aiman, dan Allah telahpun memakbulkan doanya.

 

RASULULLAH TIBA KE LERENG BUKIT



Setelah Rasulullah sampai ke lereng bukit dan mengambil tempat di situ, Saidina Ali pun keluar mengambil air dengan uncangnya dari al-Mihras untuk Rasulullah minum, oleh kerana air itu berbau, maka baginda tidak jadi meminumnya cuma sekadar membasuh darah di mukanya, dan curah ke atas kepalanya dengan berkata: Allah memurkai manusia yang melukakan RasulNya.

Sahl menceritakan: Sebenaranya daku mengetahui siapa membasuh luka Rasulullah (s.a.w) dan siapa orangnya yang mencurah air serta mengubat luka Rasulullah? Fatimah, puteri Rasulullahlah yang membasuh luka Rasulullah, manakala Ali bin Abi Talib pula mencucur air dengan bijana, namun bila Fatimah melihat bahawa air yang dicurah itu tidak juga memberhentikan darah keluar, malah lebih banyak lagi, lalu beliau mengambil carikan tikar dibakarnya dan diletakkan ke tempat luka Baginda, dengan itu baru darah berhenti.

Tidak berapa lama kemudian Muhammad bin Maslamah membawa air bersih kepada baginda dan baginda pun minum darinya, Rasulullah mendoakan kebaikan untuk beliau, di hari itu baginda duduk ketika mengerjakan sembahyang zohor, kerana kesan luka, kaum muslimin pun duduk bersembahyang di belakang Rasulullah.

 

ABU SUFIAN BONGKAK SELEPAS PEPERANGAN DAN MENGADAKAN DAILOG DENGAN UMAR



Apabila tentera musyrikin bersiap untuk berangkat pulang ke Madinah, Abu Sufian dengan sombong mendaki puncak bukit sambil melaung: Apakah Muhammad masih hidup bersama kamu?. Tidak siapa pun menjawab. Sekali lagi beliau melaung: Apakah anak Abu Quhafah masih hidup di kalangan kamu?. Tidak siapa pun menjawab. Sekali lagi beliau melaung; Apakah anak al-Khattab masih berada dengan kamu? Mereka tidak menjawab, kerana Rasulullah melarang mereka dari menjawab, dan beliau tidak bertanya selain dari tiga peribadi ini sahaja, kerana beliau mengetahui bahawa penerusan Islam adalah melalui tiga peribadi ini, Abu Sufian melaung lagi: Apakah kamu semua telah mempertahankan mereka, namun Saidina Umar tidak dapat menahan dirinya hingga beliau menjawab: Hai seteru Allah, nama yang kamu sebutkan tadi masih hidup, Allah mengekalkan mereka untuk keburukan dirimu. Kata Abu Sufian: Berlaku penderaan dan pencacat celaan ke atas askar-askarmu yang tewas. Namun aku tidak menyuruhnya dan tidak pula menyakiti daku. Sekali beliau melaung:

Dirgahayu Berhala Habal.

Kata Rasulullah: "Buat apa kamu tidak menjawabnya". Kata mereka: "Apa yang kami nak jawab" Kata Rasulullah: "Launglah: Allah Maha Mulia lagi Maha Agung". Jawab Abu Sufian: "Baguslah itu, baru seri satu sama satu tapi ingat peperangan adalah berterusan.

Jawab Umar: "Tak sama, syahid kami di syurga, guguran kamu di dalam neraka".

Kata Abu Sufian: "Kemari wahai Umar", Kata Rasulullah (s.a.w): "Kau pergi tengok apa halnya"? Umar pun mara ke hadapan, tanya Abu Sufian: "Aku benar-benar hendak tahu daripadamu Umar, apakah telah kami bunuh Muhammad"? Jawab Umar: "Ya Allah, itu tidak benar, malah Baginda sedang mendengar dan mengikuti percakapanmu ini". Jawab Abu Sufian: "Ya engkau lebih ku percayai dari Ibni Qami'ah dan lebih benar".

 

JANJI BERTEMU SEMULA DI BADAR



Ibnu Ishak menceritakan: Semasa Abu Sufian bergerak pulang sekali lagi beliau melaung: "Janji! Kita akan bertemu di Badar di tahun hadapan". Rasulullah berkata kepada para sahabatnya: "Jawablah kepadanya: Ya!, kami berjanji dan jangan pula kau mungkiri".

 

MEMASTIKAN SIKAP MUSYRIKIN



Setelah tentera musyrikin bergerak meninggalkan tapak pertempuran, Rasulullah memerimah Ali bin Abi Talib dengan sabdanya: "Cuba kau ikuti jejak mereka dan perhatikan apa yang mereka lakukan. Dan apa tindakan mereka seterusnya? Sekiranya mereka menunggangi unta dan menuntun kuda bererti mereka menuju Makkah, tapi kalaulah mereka menunggangi kuda dan menuntut unta bererti mereka akan memasuki al-Madinah, demi jiwa ku di tangannya sekiranya itulah tindakan mereka akan ku buru mereka". Bila Saidina Ali pulang, beliau memberi tahu bahawa mereka menonggang unta dan menuntun kuda menuju ke Makkah.

 

MENINJAU DAN MENANGANI PARA SYUHADA' DAN YANG CEDERA



Selepas musyrikin Quraisy berlepas pulang ke Makkah seluruh kaum muslimin bertungkus lumus mengenali para syuhada' dan pesakit-pesakit yang luka. Zaid bin Thabit mengisahkan dengan katanya: Rasulullah telah mengutus daku di hari Uhud, untuk mendapatkan Saad bin al-Rabie, kata Baginda kepada aku: Sekiranya kamu menemuinya sampaikanlah salam ku kepadanya serta katakan kepadanya bahawa Rasul berkata kepadanya: Bagaimana kau sekarang? Sambung Zaid: Jadi ku cuba ke sana ke mari di antara jasad-jasad bergelempangan, akhirnya ku dapati beliau di saat menghembus nafas terakhir pada jasadnya terdapat tujuh puluh tikaman, samada tetakan pedang, tikaman-tikaman tombak atau anak panah, ku berkata: Wahai Saad, sesungguhnya Rasulullah menyampaikan salamnya kepada kau, dan Baginda telah berkata: Bagaimana kau sekarang wahai Saad? Kata Saad: Wa'alaikum salam, wahai Rasulullah dan katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah sekarang ku menciumi bauan syurga, dan katakan lagi kepada kaum ku al-Ansar: Tiada mengapa bagi kamu sekiranya ancaman sampai kepada Rasulullah sedang kamu masih hidup, di masa itu Saad menghembus nafasnya yang terakhir.

Di kalangan mereka yang luka, tentera Islam mendapati Amru bin al-Thabit yang masih boleh bernafas lagi, beliau ini pernah di suatu ketika diajak memeluk Islam, tetapi beliau menolak; kata tentera Islam, si degil apa ini yang bawa dia ke mari, dahulu pernah kita dakwahkannya, tetapi beliau menolak, kemudian mereka bertanya: Apa yang mendorong kau kemari, Apakah menuntut bela untuk kaum kau, atau menyukai Islam. Jawab beliau: Malah menyukai Islam. Ku beriman dengan Allah dan Rasulnya, kemudian ku berperang di pihak Rasulullah hinggalah ku menerima apa yang kamu semua saksikan ini, kemudian beliau menghembus nafasnya yang terakhir. Peristiwa ini mereka ceritakan kepada Rasulullah. Lantas Rasulullah menjawab: Beliau adalah penghuni syurga. Cerita Abu Hurairah: Beliau ini tidak sempat bersembahyang walau serakaat sekali pun.

Tentera Islam juga mendapati di kalangan yang luka ialah Qazman, beliau telah bertempur sebagai seorang wira, beliau telah membunuh tujuh atau lapan musyrikin, tetapi kini beliau tak berupaya untuk bergerak, lalu mereka mengusungnya ke kampung Banu Zafar, kaum muslimin pun menyampaikan hal-hal yang menghiburkan beliau, namun beliau menegaskan dengan katanya: Demi Allah sesungguhnya daku ini berperang demi untuk mempertahankan keturunan bangsaku, kalau tidak kerana itu nescaya tidak ku sertai peperangan, setelah beliau mendapati dirinya terlalu penat dan sakit menanggung luka yang parah di jasadnya, beliau pun membunuh diri. Mengenai peristiwa ini Rasulullah berkata: Beliau ini dari kalangan penghuni Neraka.

Sebaliknya apa yang terjadi kepada seorang Yahudi dari qabilah Tha'labah yang mati di dalam peperangan itu, beliau pernah menyeru kaumnya: Wahai kalian Yahudi, demi Allah sesungguhnya kamu sudahpun mengetahui bahawa menolong Muhammad itu adalah di antara kewajipan ke atas kamu, jawab mereka: Kan hari ini hari Sabtu? jawab beliau:

Tidak ada Sabtu bagi kamu, terus beliau mencapai pedang dan peralatan perangnya yang lain. Kata beliau lagi:

"Kalaulah aku terbunuh, maka hartaku adalah untuk Muhammad, biarlah apa yang hendak dia lakukan". . Terus beliau berperang hingga beliau terbunuh. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Mukhairiq adalah sebaik-baik Yahudi.

 

MENGUMPUL PARA SYUHADA DAN MENGKEBUMIKAN MEREKA



Rasulullah mengurus jenazah para syuhada, sehingga Baginda bersabda: Daku saksikan mereka ini semua, tidak seorang pun yang keluar ke jalan Allah kecuali akan dibangkitkan Allah di Hari Qiamat besok dengan lukanya, berwarna dengan warna darah manakala baunya adalah bau kasturi.

Terdapat di antara kaum niuslimin yang telah membawa jenazah keluarganya ke Madinah, maka Rasulullah memerintahkan supaya dikembalikan jenazah itu dan dikebumikan di tempat mereka syahid, tanpa dimandikan malah dikebumikan dengan pakaian jihad mereka setelah ditanggalkan peralatan besi dan kulit, malah mereka ini dikebumikan berdua atau bertiga di dalam satu lahad, ada yang dikapankan dua orang dalam satu kain, di sini baginda bertanya: Mana.di antara mereka yang lebih banyak mengingati al-Quran dan apabila diberitahu si pulan lebih dari yang lain maka didahulukannya ke dalam liang lahad sambil baginda mengungkap: Aku adalah saksi mereka di hari Qiamat. Abdullah bin Amru bin Hiram dikebumikan bersama-sama Amru bin Jamuh di dalam satu lahad lantaran persahabatan mereka berdua yang akrab.

Mereka tercari-cari di mana keranda Hanzalah, akhirnya mereka dapati sedang berada di suatu tempat berhampiran lelehan air yang menitis dari celah-celah batu, dan diceritakan kepada Rasulullah. Baginda pun memberitahu sahabat-sahabatnya bahawa beliau dimandikan oleh Malaikat, nak tahu kenapa demikian tanyalah ahli rumahnya kenapa halnya itu? Lantas mereka pun bertanyalah kepada isterinya. Isterinya pun menceritakan kisah sebenarnya di mana beliau telah keluar ke medan jihad sebelum sempat mandi wajib. Di sini Hanzalah dikenali sebagai syahid yang dimandikan oleh Malaikat.

Setelah Baginda mengetahui segala apa yang telah berlaku terhadap Hamzah bapa saudaranya dan saudara sepenyusuannya, Rasulullah amat sedih dan berduka, di masa itu emak saudaranya Sofiah datang untuk melihat saudaranya Hamzah, namun Rasulullah menyuruh anaknya al-Zaid supaya mengalih pandangannya dri situ, supaya tidak terlihat apa yang terjadi kepada saudaranya itu, lantas beliau bertanya: Kenapa? Telahpun sampai ke pengetahuan ku di mana saudaraku ini telah dicacatkan jasadnya, semua ini kerana Allah, semoga semua ini meredhakan kami, akan ku bersabar dan memohon restu keredhaan Ilahi, insyaAllah. Justeru itu beliau terus menziarahi jenazah saudaranya kerana hendak melihat dengan mata kepalanya dan terus beliau berdoa untuknya setelah mengucap "Innalillahi wainna ilaihi rajiuun" terus beliau beristighfar untuk al-Syuhada, dengan itu Rasulullah pun memerintah supaya dikebumikan Hamzah bersama Abdullah bin Jahsy anak saudaranya malah saudara sepenyusuan.

Cerita Abdullah bin Masud: Belum pernah lagi kami melihat Rasulullah menangis seperti mana baginda menangis ke atas Hamzah bin Abdul Muttalib. Baginda meletakkan jenazah Hamzah di sebelah Qiblat, di situ baginda berdiri di samping jenazahnya lantas baginda menangis hingga kedengaran sedunya.

Pemandangan para syuhada amat memilukan hati. al-Khabbab menceritakan: Sebenarnya Hamzah sendiri tidak mempunyai kain kapan yang secukupnya, selain dari kain serbannya jalur merah putih, kiranya kalau ditutup kakinya terbuka pula kepalanya dan kalau ditutup kepala kakinya akan terbuka, akhirnya beliau ditutup kepala dan kakinya ditutup dengan tumbuhan al-Izkhir.

Kata Abdul al-Rahman bin Auf: Mus'ab bin Umair terbunuh di dalam peperangan ini sedang beliau lebih istimewa dari ku, beliau pun sama juga, kerana bila hendak ditutup kakinya kepalanya akan terbuka dan kalau ditutup kepalanya kakinya akan terdedah. Dalam satu riwayat dari al-Khabbab yang menyebut: Bahawa Rasulullah telah berkata, ayuh tutup sahaja kepalanya sedang kakinya selimutkan dengan daun-daun Izkhir.

 

RASULULLAH MEMUJI ALLAH DAN BERDOA PADANYA



Al-Imam Ahmad meriwayatkan mengenai keadaan selepas tentera musyrikin selesai pulang ke Makkah di mana Rasulullah bersabda dengan katanya: Ayuh berbaris lurus kamu sekalian yang ada, supaya ku memuji Tuhan Azawajjala, maka dengan itu sekalian mereka pun berbaris di belakang baginda dengan sabdanya:

"Ya Allah ya Tuhanku bagimu jua segala puji-pujian, ya Tuhanku tiada penghalang bagi apa yang Engkau berikan dan tiada pemberi bagi apa yang Engkau pegangkan, tiada petunjuk bagi orang yang Engkau sesatkan dan tiada penyesat bagi orang yang Kau hidayatkan, tiada pemberi barang sesuatu yang Engkau sekatkan dan tiada penyekat barang sesuatu yang Engkau berikan, tiada siapa dapat mendekatkan sesuatu yang Engkau jauhkan dan tiada siapa pun dapat menjauhkan sesuatu yang Engkau dekatkan Ya Tuhanku tebarkanlah ke atas kami barakan Mu, rahmat Mu, kelebihan Mu dan rezekiMu Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya daku memohon nikmat yang berkekalan yang tidak terhalang dan tidak hilang ya Tuhanku: Sesungguhnya daku memohon bantuan di hari kesuntukan, keamanan di hari menakutkan , ya Tuhanku sesungguhnya daku berlindung dengan Dikau dari kejahatan yang ada pada yang Kau berikan kami dan kejahatan yang ada pada apa yang Kau halang pemberiannya kepada kami, Ya Tuhanku perkenankanlah kecintaan iman itu kepada kami serta hiasilah di persada hati nubari kami, hidupkanlah kebencian terhadap kafir, fasiq dan pendurhakaan di dada kami, jadilah kami dari mereka yang terpimpin. Ya Tuhan kami matikanlah kami sebagai muslim serta hidupkan kami sebagai muslim, letakkanlah kami bersama mereka yang solih tanpa sebarang kehinaan atau terfitnah. Ya Allah ya Tuhanku, hancurkanlah golongan kafir yang mendusta utusanMu, menghalang di jalanMu, humbankan ke atas mereka kemurkaanMu dan siksaanMu. Ya Tuhanku hancurkanlah golongan kafir yang sebelum ini telah diturunkan kepada mereka kitab lalu mereka mendustakannya. Ya Allah ya Tuhanku yang sebenar, perkenankanlah".

 

KEPULANGAN RASULULLAH KE MADINAH DISAMBUT DENGAN KELUHURAN CINTA DAN KETULUSAN HATI



Sebaik sahaja Rasulullah selesai menyelenggarakan pengkebumian para syuhada serta berdoa restu kepada Allah Rabbu al-Jalil terus Baginda berangkat pulang menuju ke Madinah, dan tertera di hadapan mata Rasulullah gambaran yang jarang-jarang berlaku, kecintaan dan ketulusan hati nubari kaum muslimat yang menunggu-nunggu kepulangan Baginda sebagaimana tertera perilaku kaum muslimin di dalam peperangan.

Di pertengahan jalan baginda telah diketemukan dengan Hamnah binti Jahsy, Baginda menyampaikan berita syahid saudaranya Abdullah bin Jahsy beliau mengucap "Innalillahi wainna ilaihi rajiuun" dan beristighfar untuknya, beliau menyampaikan berita kematian bapa saudaranya (sebelah emak) Hamzah bii-t Abdul Muttalib beliau mengucap "Innalillahi wainna ilaihi rajiuun" dan beristighfar untuknya, kemudian Baginda menyampaikan berita syahid suaminya Mus'ab bin Umair, terus beliau menangis dan meraung, maka jawab Rasulullah: Sebenarnya suami bagi seseorang wanita adalah di suatu kedudukan yang istimewa.

Seterusnya Rasulullah melalui di hadapan seorang wanita dari qabilah Banu Dinar, di mana suami dan saudaranya telah syahid di dalam peperangan Uhud dan hadirin pun menyampaikan berita syuhada' itu, lantas beliau berkata: Apa yang berlaku ke atas diri Rasulullah, jawab hadirin: Wahai ibu, Baginda baik, al-Hamdulillah seperti yang ibu harap-harapkan. Kata beliau lagi Tunjukkan daku diri Rasulullah, hingga dapat ku pastikan kebenarannya, maka ditunjukkan kepada si ibu tadi dan setelah pasti bagi ibu tersebut kebenarannya, maka katanya: Keselamatan diri Rasulullah menjadikan segala yang lain kecil sahaja.

Ibu Saad bin Muaz datang berlari-lari ke hadapan Rasulullah, di masa itu Saad sedang memegang tali kuda Rasulullah, beliau menyeru: Itu ibuku wahai Rasulullah, jawab Rasulullah: Diucapkan selamat datang dengan ibumu tu. Di situ Rasulullah berdiri untuk berhadapan dengan ibu Saad, sebaik sahaja beliau berada di hadapan Rasulullah, Baginda pun menghebahkan berita kematian anaknya Amru bin Muaz. Jawab beliau: "Namun bila ku mendapati Rasulullah (s.a.w) selamat kesemu'anya adalah ringan sahaja. Dengan itu Rasulullah pun berdoa untuk seluruh keluarga, yang anak mereka terbunuh di dalam peperangan, kata Baginda: Bergembiralah wahai ibu Saad dan sampaikanlah berita mengembirakan kepada keluarga sekalian di mana anak-anak dan keluarga mereka yang terbunuh itu diiringi masuk ke dalam syurga Allah, malah mereka akan memberi syafaat kepada ahli keluarga mereka, jawab ibu Saad: Kami redha dan bersenang hati dengan kesemuanya itu wahai Rasulullah, dan tiada siapa lagi yang akan menangis, tambah beliau: Wahai Rasulullah doakanlah untuk keluarga mereka yang masih ada ini, maka doa Rasulullah: "Ya Allah Ya Tuhanku! Hilangkanlah duka nestapa dari hati-hati mereka, perbaikilah musibah dan kesusahan mereka, dan jadikanlah yang tertinggal sebagai keluarga terbaik bagi mereka yang telah pergi.


Yüklə 1,2 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   16   17   18   19   20   21   22   23   ...   36




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin