Rahsia pemilihan semenanjung 'arab sebagai tapak pancaran agama islam



Yüklə 1,2 Mb.
səhifə17/36
tarix17.01.2019
ölçüsü1,2 Mb.
#99555
1   ...   13   14   15   16   17   18   19   20   ...   36
GHAZWAH UHUD

PERSIAPAN QURAISY UNTUK PERTEMPURAN GANAS

Makkah dibakar bahang api kemarahan terhadap kaum muslimin. Ini adalah ekoran natijah kekalahannya dipertempuran Badar. lanya adalah suatu tragedi kerana kekalahan dan kematian pemuka-pemukanya. Desakan menuntut bela di atas kematian wira-wira Quraisy memuncak, pihak Quraisy melarang sebarang ratapan di atas kematian itu, dan melarang penebusan segera ke atas tawanan perang, supaya tidak dilihat oleh kaum muslimin betapa berdukacitanya mereka dengan peristiwa yang tragedik itu.


Selepas peperangaan Badar seluruh Quraisy telah bersetuju untuk membuat satu serangan dan peperangan yang menyeluruh terhadap kaum muslimin, serangan yang boleh melegakan perasaan marah mereka dan melunakkan kesumat hasad mereka. Untuk itu mereka membuat persiapan secukupnya bagi membolehkan mereka masuk ke kancah peperangan nanti.

Ikrimah bin Abu Jahal, Safwan bin Umaiyah, Abu Sufian bin Harb dan Abdullah bin Abi Rabiah merupakan tokoh yang paling aktif dan pengerak utama malah yang paling bersemangat ke kancah peperangan berkenaan.


Tindakan awal yang mereka lakukan untuk tujuan berkenaan ialah memegang kafilah yang terlepas dahulu yang dipimpin oleh Abu Sufian, yang menjadi punca peperangan Badar. Mereka menegaskan kepada pemilik-pemilik harta itu, dengan kata mereka : "Wahai kalian Quraisy, Muhammad telahpun membuat pukulan ke atas kamu dan membunuh tokoh-tokoh kamu, ku mengharapkan agar kamu kalian dapat membantu kami, memerangi Yathrib dengan harta-harta ini. Semoga dapat kita menebus kekalahan dan menuntut bela ke atas kematian orang-orang kita yang tersayang itu". Mereka semua pun bersetuju, maka dijual kesemua barang itu menjadi aset mereka, berjumlah seribu ekor unta dan lima puluh ribu dinar wang emas. Sempena usaha ini Allah menurunkan firmanNya yang bermaksud :

"Sesungguhnya meraka yang kafir membelanjakan harta mereka untuk menyekat dakwah ke jalan Allah. Dan mereka berbelanja, kemudian perbelanjaan itu mendatangkan penyesalan seterusnya mereka akan ditewaskan " (al-Anfal: 36)
Setelah itu mereka membuka peluang untuk pejuang sukarela kepada sesiapa sahaja yang berkeyakinan untuk turut serta dalam operasi mengepong orang-orang Islam di Al-Madinah. Peluang dibuka untuk golongan awam Al-Ahabisy, Kabilah Kinanah dan penduduk Tuhamah. Sebagai langkah memberansang orang ramai, beberapa insentif mereka lakukan, di antaranya, Safwan bin Umaiyah memikat Abu Azzah untuk turut sama bergerak, beliau adalah penyair yang telah dibebaskan Rasulullah tanpa sebarang bayaran, beliau telah membuat janji dengan Rasulullah selepas ini beliau tidak akan membuat sebarang hasutan terhadap Islam, namun beliau termakan dengan ajakan Safwan, beliau turut berusaha mempengaruhi kabilah Arab untuk turut serta memerangi kaum muslimin. Safwan menjanjikan Abu Azzah kiranya beliau selamat pulang dari peperangan terhadap kaum muslimin nanti akan diberi kemewahan kepadanya, kalau tidak beliau akan bertanggungjawab menyara hidup puterinya. Abu Azzah bergerak penuh semangat melalui syair-syairnya yang bersemangat meransang kabilah-kabilah disekitar Makkah, malah disamping itu pihak Quraisy telah memilih seorang penyair lagi untuk meransang saraf musyrikin Makkah.

Abu Sufian merupakan tokoh yang bersungguh-sungguh bergerak menentang umat muslimin setelah beliau lari lintang pukang dari buruan ghazwah Al-Sawiq, malah dalam operasi itu beliau kehilangan sebahagian besar dari bekalan makanannya.

Apa yang menambahkan suasana lebih buruk dan menyemarakkan lagi kemarahan Quraisy ialah kejayaan angkatan Zaid bin Harithah menewaskan kafilah Safwan bin Umaiyah yang membawa kerugian besar malah hampir meranapkan ekonomi Quraisy dan mensugulkan perasaan dan pemikirannya. Kesemua faktor ini mendesak Quraisy untuk mensegerakan tindakan ke satu kancah peperangan penentu di antara mereka dan kaum muslimin.

 

KEKUATAN TENTERA QURAISY DAN PIMPINANNYA



Dalam tempoh setahun, pihak Quraisy telah berjaya memperlengkapkan angkatannya dengan peralatan ketenteraan yang diperlukan. Kekuatan tenaga manusia terdiri dari tiga ribu orang askar. Gabungan Quraisy, sekutu dan Al-Ahabisy, sesetengah pemimpin Quraisy berpendapat, peperangan kali ini baik disertai oleh kaum ibu. Kerana penyertaan seupama ini boleh mempertingkatkan prestasi dan mutu peperangan tentera Quraisy, agar mereka akan bermati-matian semasa bertempur kerana mempertahankan maruah dan kehormatan keluarga mereka. Bilangan kaum wanita yang turut serta adalah seramai lima belas orang.

Logistik pengangkutan di dalam angkatan kali ini sebanyak tiga ribu ekor unta, kekuatan tentera berkuda adalah seramai dua ratus ekor kuda. Peralatan penangkis adalah sebanyak tujuh ribu perisai.

Pimpinan agung diserahkan kepada Abu Sufian bin Harb manakala pimpinan tentera berkuda diletak dibawah kelolaan dan tanggungjawab Khalid bin Al-Walid dengan dibantu oleh Ikrimah bin Abi Jahal. Adapun tanggungjawab membawa panji peperangan diserahkan kepada Banu Abdul Al-Dar.

 

TENTERA MAKKAH BERGERAK



Dengan kelengkapan yang sebegini kemas, tentera Makkah mula bergerak menuju ke Madinah. Kesumat kemarahan yang amat sangat untuk menuntut bela di atas kematian-kematian silam membakar perasaan masing-masing, menunggu saat yang pada bila-bila masa sahaja boleh membangkit dan mencetuskan pertempuran yang sengit.

 

RISIKAN-RISIKAN RASULULLAH MENYINGKAP PERGERAKAN MUSUH



Al-Abbas bin Abdul Muttalib mencerap pergerakan ketenteraan Quraisy. Al-Abbas pun segera pula mengutus risalah memaklumkan Rasulullah segera sesuatu mengenai tentera Quraisy dan pergerakannya.

Utusan Al-Abbas itu bergerak cepat sekali merentas perjalanan di antara Makkah dan Madinah yang dianggar jaraknya lima ratus kilometer memakan masa tiga hari, utusan tadi segera menyerah risalah Al-Abbas itu ke tangan Rasulullah (s.a.w.) yang pada masa itu sedang berada di masjid Quba'.

Ubai bin Kaab bertugas membaca risalah yang diterima itu kepada Baginda. Baginda meminta agar dirahsiakan risalah berkenaan, dengan itu Baginda segera pulang ke Madinah dan terus Baginda berbincang dengan pemimpin Muhajirin dan Al-Ansar.

 

PERSIAPAN KAUM MUSLIMIN MENGHADAPI KECEMASAN



Kini Al-Madinah berada dalam suasana seruan jihad am (Al-Nafir al-Aam ). Tentera Islam terus membawa senjata ke mana sahaja hingga ke dalam solat mereka, sebagai persiapan buat menghadapi suasana kecemasan.

Satu kumpulan bertindak telah dibentuk dari kalangan Al-Ansar, terdiri dari Saad bin Muaz, Usayyid bin Hadhir dan Saad bin Ubadah, mereka bertugas mengawal Rasulullah, mereka ini sepanjang masa berada di pintu kediaman Rasulullah siap sedia dengan senjata mereka.

Dan beberapa kumpulan yang lain bertugas menjaga pintu masuk ke Madinah dan lorong-lorong yang lain, takut diserang hendap dan curi masuk secara mendadak.

Sekumpulan yang lain membantu relawan peninjau buat meninjau pergerakan musuh, kumpulan ini bergerak di sekitar jalan-jalan yang dianggap kemungkinan tentera musuh merempuh masuk menyerang kaum muslimin.

 

TENTERA MUSUH DI PINGGIR AL-MADINAH



Tentera Makkah meneruskan perjalanannya dengan melalui jalan awam utama di sebelah barat, setibanya ke Al-Abwa', Hindun binti Utbah isteri Abu Sufian di antara kaum ibu Quraisy yang turut serta bersama tentera Makkah telah mencadangkan supaya mereka mengali lubang kubur ibu Rasulullah di situ, namun pemimpin tentera enggan berbuat demikian, malah mereka memperlngatkan bahawa tindakan seumpama itu boleh mendatangkan padah yang buruk ke atas mereka semua.

Tentera Makkah teruskan perjalanannya hingga sampai berhampiran al-Madinah dengan melalui "Wadi al-Aqiq" kemudian membelok sebelah kanan dan singgah berhampiran bukit "Uhud" di kawasan yang dikenali sebagai "Ainain" di lembah "al-Sabkhah" berdekatan terusan di tebing lembah di situ, kira-kira disebelah utara "al-Madinah" mereka berkhemah di situ pada tanggal tujuh haribulan Syawal tahun ketiga hijrah di hari Jumaat.

 

MAJLIS PERMESYUARATAN BERSIDANG MEMBENTUK PELAN PERTAHANAN



Risikan al-Madinah telah memungut berita mengenai tentera Makkah pada setiap pergerakannya, sehingga berita terakhir mengenai perkhemahannya. Justeru itu Rasulullah pun bersidang dengan anggota Majlis Permesyuaratan Tertinggi Ketenteraan Islam, bagi bertukar pendapat untuk menentukan pendirian, malah Baginda menceritakan mimpi yang dilihatnya dengan berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya daku telah bermimpi sesuatu yang baik, daku melihat seekor lembu jantan disembelih, mata pedangku sumbing dan ku memasukkan kedua tangan ku ke dalam baju besi". Baginda mentakbirkan mimpi lembu jantan sebagai beberapa orang sahabatnya terbunuh, pedang sumbing sebagai seorang keluarganya dibunuh dan baju besi sebagai "al-Madinah".

Kemudian Rasulullah mengemukakan pendapat kepada para sahabat untuk tidak keluar dari al-Madinah, malah mereka wajar mempertahankan al-Madinah, kiranya kaum musyrikin berkhemah di tempat mereka sekarang bererti mereka mengambil yang buruk dan tidak berfaedah dan kalau mereka menyerang al-Madinah maka kaum muslimin akan menanti mereka di pintu-pintu lorong ke Madinah. Kaum wanita berperanan dari atas bumbung rumah, itu adalah pendapat Baginda. Pendapat Baginda dipersetujui oleh Abdullah Ibni Ubai bin Salul kepala munafiqin, beliau menghadiri majlis berkenaan dengan statusnya sebagai salah seorang pemimpin al-Khazraj. Persetujuan beliau dengan cadangan Rasulullah tadi bukanlah berasaskan pendirian yang sihat dari logik ketenteraan, tetapi maksud beliau ialah untuk mengelak dari peperangan dalam keadaan tidak disedari oleh orang lain, namun dengan niat tak eloknya beliau dan rakannya terdedah kepada kaum muslimin, dan tertonjol lagi sifat nifaqnya di saat terawal lagi.

Sekumpulan para sahabat Rasulullah yang tidak menyertai peperangan Badar telah meminta Rasul supaya berperang di luar di al-Madinah, dan mereka beriya-iya untuk keluar, ada di antara mereka yang berkata : "Wahai Rasulullah, sememangnya kami mengharapkan hari seumpama ini dan kami senantiasa berdoa kepada Allah. Nah! Allah telah pun membawa hari itu untuk kami, di mana perjalanannya tidak jauh dari sini, semua ini Allah yang memperdekatkannya, Ayuh! Keluarlah wahai Rasulullah untuk bersemuka dengan, musuh Allah dan jangan biarkan mereka melihat kita sebagai orang-orang yang pengecut". Orang yang mengepalai mereka, yang bersemangat untuk keluar ini ialah bapa saudaranya Hamzah bin Abdul Al-Muttalib, sebagai orang yang dilihat oleh Rasulullah di dalam mimpinya, sebagai mata pedang yang sumbing, akhirnya Rasulullah bersabda kepada mereka : "Demi Tuhan yang telah menurunkan ke atas ku al-Kitab, aku tidak akan memakan sebarang makanan hinggalah akan membelasah mereka dengan pedangku ini di luar al-Madinah.

 

PEMBAHAGIAN KELOMPOK TENTERA ISLAM DAN KEMARAAN BAGINDA KE MEDAN PERANG



Di hari itu Rasulullah bersembahyang Jumaat bersama-sama seluruh kaum muslimin di Madinah diikuti dengan nasihat dan pesanan yang meminta supaya mereka sentiasa bersabar di mana mereka akan dianugerahkan dengan kemenangan dari Allah dan seterusnya meminta mereka bersiap sedia serta berjaga-jaga untuk menghadapi musuh. Maka seluruh hadirin terasa gembira dengan seruan Baginda itu.

Di sebelah petang Rasulullah (s.a.w.)bersembahyang Asar bersama kaum muslimin, penduduk al-'Awali telah turut di dalam perhimpunan itu, kemudian Rasulullah masuk ke dalam rumahnya dituruti oleh dua orang sahabatnya Abu Bakr dan Umar (r.a). Mereka berdua memasangkan serban ke kepala Baginda dan memakaikan Baginda pakaiannya, seterusnya Rasulullah mengambil senjata, memakai baju besi mengalas pedang dan keluar ke hadapan khalayak ramai.

Orang ramai sedang menunggu kemunculan Rasulullah, di masa itu Saad bin Muaz dan Usaid bin Hadhir bercakap kepada Hadirin : "Kamu telah paksa Rasulullah supaya keluar, sewajibnya serahkan sahaja urusan ini kepada Baginda", dan mereka semua terasa menyesal dengan tindakan mereka itu, bila sahaja Rasulullah muncul semula di hadapan mereka, mereka pun menyuara : "Wahai Rasulullah tidak wajar bagi kami mencanggahi tuan hamba, lakukanlah apa sahaja sehendak tuan hamba, kiranya Rasulullah lebih suka bertahan di al-Madinah, Rasulullah boleh lakukan". Jawab Rasulullah (s.a.w.) dengan sabdanya yang bermaksud:

"Tidak wajar bagi seorang nabi apabila telah memakai baju besinya akan menanggalnya hinggalah Allah membuat penentuan di antaranya dan musuhnya".

Rasulullah memulakan penyusunan tentera dengan membahagikan kepada tiga kelompok:

1. Katibah (kelompok) al-Muhajirin panjinya diserahkan kepada Mus'ab bin Umair al-Abdari.

2. Katibah al-Ansar dari al-Aws diserahkan panjinya kepada Usaid bin Hadhir.

3. Katibah Ansar dari al-Khazraj diserahkan panjinya kepada al-Habbab bin al-Munzir.

Semua tentera terdiri dari seribu orang askar di antaranya seratus berbaju besi dan lima puluh penunggang kuda tapi ada pendapat mengatakan di hari Uhud itu tidak ada askar berkuda. Rasulullah melantik Ibnu Umu Maktum sebagai Khalifahnya di al-Madinah untuk mengimami sembahyang dengan orang yang masih berada di Madinah. Setelah itu Rasulullah pun memerintah tentera Islam bergerak menuju ke sebelah utara, kedua-dua Saad keluar berlari di hadapan Rasulullah dengan memakai baju besi masing-masing.

Setibanya Rasulullah berhampiran dengan "Thaniyah al-Wada'" Baginda terlihat satu katibah tentera yang kemas peralatannya, berasingan dari tentera induk, Baginda bertanya siapa mereka itu, maka diberitahu itu adalah katibah Yahudi sekutu al-Khazraj. Mereka relahati untuk turut serta di dalam peperangan menentang kaum musyrikin, tanya Baginda : "Apakah mereka itu telah memeluk Islam?" Jawab mereka : "Tidak". Maka Rasul menolak penyertaan mereka kerana Baginda tidak mahu meminta bantuan dari kaum kafir untuk menentang kaum musyrikin.

 

PERBARISAN TENTERA



Setibanya Baginda ke tempat yang dikenali sebagai "al-Syaikhan" Baginda memeriksa perbarisan tenteranya, mana-mana peserta yang dianggap masih kecil belum cukup layak, tidak berkemampuan untuk berperang dihantar pulang, di antara mereka ialah : Abdullah bin Umar bin al-Khattab, Usamah bin Zaid, Usaiyid bin Zahir, Zaid bin Thabith, Zaid bin Arqam, Urabah bin Awsi, Amru bin Hizam, Abu Said al-Khudari, Zaid bin Harithah, al-Ansari dan Said bin Hibbah. Ada pendapat menyebut di antara yang masih muda dan dihantar pulang ialah al-Barra' bin Azid tetapi hadith al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Azib membuktikan kehadiran beliau di dalam peperangan Uhud Itu.

Namun Baginda membenarkan Rafi' bin Khudaij dan Sumrah bin Jundub meskipun kedua-kudanya terlalu muda, tapi oleh kerana Rafi' mahir melontar anak panah maka Baginda membenarkannya. Di sini Sumrah berkata :



"Daku lebih gagah darinya, daku pernah mengalahkannya semasa bergusti dengannya, setelah dicerita hal ini kepada Rasulullah, lalu Baginda meminta mereka berdua bergusti, dan mereka pun melakukannya, memang Sumrah mengalahkan Rafi', maka Rasulullah (s.a.w.) membenarkan kepada mereka berdua untuk turut serta.

 

BERMALAM DI TEMPAT DI ANTARA UHUD DAN AL-MADINAH



Rasulullah sampai ke tempat ini dilewat petang, setelah bersembahyang Maghrib, dan Isya' di waktunya, maka Rasulullah pun bermalam di situ. Sebelumnya Rasulullah telah pilih seramai lima puluh orang untuk membuat pengawalan, dengan meronda di sekeliling perkhemahan di ketuai oleh Muhammad bin Maslamah, al-Ansari, wira dan jaguh sariyah Kaab bin al-Asyraf, sedang Zakwan bin Abd Qais pula bertugas khusus menjaga nabi (s.a.w.).

 

PENDERHAKAAN ABDULLAH BIN UBAI DAN RAKANNYA



Sebelum fajar menyising di akhir malam dan sebelum masuk waktu, Rasulullah bersembahyang sunat fajar, tapak perkhemahan Baginda itu adalah dekat dengan tempat musuh, kiranya Rasulullah (s.a.w.) boleh nampak mereka dan mereka boleh nampak Baginda. Di ketika ini Abdullah bin Ubai memberontak dengan menarik diri bersama dengan pengikut-pengikutnya, kira-kira tenaga mereka seramai sepertiga dari keseluruhan tentera Islam, dianggar sebanyak tiga ratus orang dengan katanya: "Untuk tujuan apa kita berperang?" Beliau protes dengan alasan Rasulullah tidak meminta pendapatnya malah Baginda senang mengikut pendapat orang lain.

Tidak syak lagi motif utama penarikan diri ini bukan sekadar sebagaimana yang dinyatakan oleh kepala munafiq tadi, iaitu kerana Rasulullah menolak pandangannya kalau tidak kenapa pula beliau telah mengikuti Rasulullah hingga ke tempat ini, sekiranya inilah alasannya nescaya beliau menarik diri dari awal-awal lagi. Tujuan beliau yang sebenarnya ialah untuk menimbulkan kekacauan di kalangan tentera Islam, di hadapan tentera musuh, dan supaya tentera-tentera yang lain akan turut jejak langkahnya dan supaya semangat juang dikalangan tentera Islam musnah sama sekali dan membangkitkan semangat musuh setelah melihat keadaan umat Islam, malah inilah cara yang paling berkesan untuk memusnahkan Rasulullah (s.a.w.) dan sahabat-sahabatnya yang jujur ini, seterusnya akan terbuka baginya untuk kembali berkuasa di Madinah pada anggapannya.

Memang benarlah apa yang dimaksudkan oleh kepala munafiq tadi, kerana hampir tercapai sebahagian dari matlamatnya, lantaran dua kumpulan dari Banu Harith dari al-Aws dan Banu Salamah dari al-Khazraj hampir hendak menuruti jejak langkahnya, tetapi Allah menyelamatkan mereka dengan mencampak kekuatan ke dalam hati-hati mereka, justeru itu mereka kembali sedar dan cekal, sebagaimana diceritakan Allah di dalam firmanNya:

 

"Dan ingatlah ketika dua golongan di antara kamu hendak berundur dan Allah jua wali, memelihara mereka berdua. Dan hanya kepada Allah hendaklah orang-orang beriman menyerahkan diri. " (Ali-Imran: 122)

Dalam hal begini Abdullah bin Hiram iaitu bapa Jabir bin Abdullah bertindak memperingatkan orang-orang munafiq ini akan kewajipan mereka di saat segenting ini, beliau mengekori mereka memarah dan menggesa mereka supaya berpatah balik, dengan katanya: "Ayuh ke mari berperanglah ke jalan Allah itu, atau setidaknya bertahan". Apa jawab mereka: "Kalaulah kami tahu bahawa perang akan berlaku masakan kami akan menarik diri". Dengan itu Abdullah Bin Hiram kembali semula dengan berkata: "Allah akan jauhkan kamu, kamu memang musuh Allah, Allah akan menyempurnakan kerja RasulNya tanpa kehadiran kamu". Mengenai golongan munafiqin Allah berfirman:

"Dan supaya dia mengetahui orang melakukan nifaq dan dikatakan kepada mereka marilah kamu berperang pada jalan Allah, atau pertahanlah kamu dengan bilangan kamu itu. jawab mereka: Kalau kamu tahu bahawa perang akan berlaku tentu kami mengikut kamu, mereka pada hari itu terlebih dekat kepada kekafiran daripada keimanan, mereka mengatakan dengan mulut mereka barang yang tiada dalam hati. Dan Allah lebih mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan ".

(Ali-Imran: 167)
TENTERA ISLAM YANG MASIH KEKAL TERUS MARA KE UHUD

Selepas penderhakaan dan penarikan diri oleh golongan munafiqin, namun Rasul meneruskan kemaraannya dengan tentera yang masih bersama Baginda yang seramai tujuh ratus orang askar, untuk terus berhadapan dengan tentera musuh. Perkhemahan musuh menghalang Baginda untuk sampai ke bukit Uhud dari beberapa arah. Maka Rasulullah merayu: "Siapa di antara kamu yang boleh bawa kita keluar dari tempat ini dengan tidak melintasi hadapan mereka?". Jawab Abu Khaithamah: "Daku wahai Rasulullah". Maka beliau memilih jalan yang ringkas untuk sampai ke Uhud dengan melalui perkampungan Banu Harithah dan ladangnya, membiarkan tentera musyrikin ke sebelah barat.

Tentera Islam melalui di tepi tembok Mirba' bin Qaidzi, beliau seorang munafiq buta, bila beliau mengetahui tentera Islam melalui di situ beliau melontar tanah dan pasir ke arah tentera Islam sambil berkata: "Sekiranya kau Rasulullah tak seharusnya kau memasuki tembok ku ini". Sekalian tentera mara ke hadapannya untuk membunuh, tetapi mereka dilarang oleh Rasulullah dengan sabdanya:

"Tak usah bunuhnya, sudahlah dianya buta hati ditambah dengan buta mata pula".

Rasulullah meneruskan perjalanan tenteranya hingga sampai di suatu lorong di bukit Uhud di tebing lembahnya, di situlah Baginda menempatkan tenteranya membelakangi bukit Uhud sedang tentera musyrikin berada di hadapannya. Dengan itu kedudukan semasa Baginda merupakan pemisah di antara tentera musyrikin dan al-Madinah.

 

STRATEGI PERTAHANAN



Di sini Rasulullah menggerak dan menyusun kedudukan tenteranya, mempersiapkan mereka semua untuk pertempuran. Rasulullah memilih di antara mereka dan menubuh sepasukan pemanah yang mahir, dengan tenaga seramai lima puluh orang, pimpinan diserahkan kepada Abdullah bin Jubair bin al-Nukman al-Ansari al-Awsi al-Badri. Mereka diperintahkan supaya mengambil tempat di atas bukit Uhud, yang terletak di sebelah selatan tebing lembah yang kemudian dikenal sebagai "Jabal al-Rumaah" di tenggara perkhemahan tentera Islam, kira-kira seratus lima puluh meter dari pengkalan tentera Islam.

Tujuan Rasul menyusun tenteranya sedemikian rupa adalah sebagaimana yang dapat dilihat dari pesanannya yang disampaikan kepada pemanah-pemanah berkenaan dengan sabdanya yang bermaksud:

 

"Humbankan kuda-kuda musuh yang menyerang dengan panah-panah kamu. jangan beri kesempatan kepada mereka menyerang dari belakang kami, sekiranya kami menang atau kalah jangan bergerak dari tempat kamu itu, supaya jangan kami diserang dari arah kamu kalian, peliharalah belakang kami, sekiranya kamu dapati kami sedang diganyang jangan kamu turun membantu kami dan sekiranya kamu dapati kami menang dan sedang mengumpul harta rampasan jangan pula kamu turun untuk mengumpul harta rampasan ".



 

Di dalam hadith yang lain riwayat al-Bukhari Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

"Sekiranya kamu dapati kami diganyang jangan sekali-kali kamu tinggal tempat-tempat kamu itu hinggalah aku memberitahu kamu. dan sekiranya kamu mendapati kami berjaya mengalahkan musuh dan dapat melanyak mereka, juga jangan kamu kosongkan tempat kamu itu hinggalah aku menyuruh kamu turun ".

Terbentuknya unit khusus yang diletakkan di atas bukit dengan tugas-tugas khasnya itu yang begitu ketat, bererti Rasulullah sudah berjaya mengatasi satu penyebab kekalahan, yang berkemungkinan besar tempat kelemaahan ini akan dipergunakan oleh seteru untuk meluru masuk ke dalam saf Islam dari belakang dan ini besar kemungkhian pula seteru akan berjaya melingkungi tentera Islam.

Adapun baki askar, Rasulullah membahagikan mereka kepada sayap kanan di bawah pimpinan al-Muzir bin Amru dan sayap kiri dibawah pimpinan al-Zubair bin al-Awwam dengan dibantu oleh al-Miqdad bin al-Aswad. Kepada al-Zubair juga diserahkan tanggungjawab "pertahanan habis-habisan" untuk menolak serangan tentera berkuda Khalid bin al-Walid, di barisan hadapan sekali diletaknya sekumpulan terpilih dan berani dari tokoh-tokoh tentera Islam yang memang terkenal dengan keberanian dan keperwiraan mereka. Keupayaan mereka setanding dengan seribu orang.

Strategi Rasulullah merupakan strategi yang bijak dan teliti serta tertera kehandalan dan kebijaksanaan pimpinan Rasulullah (s.a.w.). Tak mungkin ada seorang pemimpin yang cekap dan berwibawa mampu merencana strategi sekemas dan sejitu perencanaannya meskipun Baginda turun ke medan terkemudian dari musuh. Baginda membentengkan belakang dan kanannya dengan benteng semulajadi iaitu dengan bukit-bukit, manakala kelemahan belakang dan kirinya pula Baginda segera menutupnya dengan tapak markas operasi. Baginda memilih suatu tempat tinggi kiranya berlaku kekalahan di pihaknya, dan tentera Islam pula tidak akan lari, kerana alternatif itu memberi peluang kepada tentera musuh menawan mereka, taktik ini juga memberi peluang untuk membuat pukulan hebat ke atas tentera musuh, sekiranya mereka melanggar tapak markasnya, perencanaan ini juga telah memaksa musuh menerima dataran rendah sebagai tapak kedudukan mereka, di mana kiranya sukar bagi mereka memperolehi kemenangan, malah sukar pula untuk mereka melarikan diri dari buruan tentera Islam kiranya mereka tewas dalam pertempuran. Sebagai langkah untuk menampung kekurangan bilangan tentera Islam Rasulullah memilih seunit askar tempor yang berani dan nekad.


Yüklə 1,2 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   13   14   15   16   17   18   19   20   ...   36




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin