Rangka Isi Pelajaran



Yüklə 321,19 Kb.
səhifə4/6
tarix08.01.2019
ölçüsü321,19 Kb.
#92752
1   2   3   4   5   6

Faktor Perkembangan
Dalam era kepesatan sains dan teknologi hari ini, ketidakseimbangan kemajuan material dan kerohanian membuatkan manusia berada dalam krisis identiti yang hebat sehingga menimbulkan kecenderungan untuk jiwa mereka mencari penawar kepada ketenteraman jiwa. Bagi mereka, melibatkan diri dengan aliran kepercayaan yang berteraskan kerohanian adalah jalan singkat untuk keluar daripada kemelut kehidupan ini.
Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan mengadakan pelbagai usaha bagi meninggikan syiar Islam dan membendung ajaran sesat sama ada dari segi penyusunan program keagamaan (secara rasmi atau tidak), penyebaran risalah, kaunseling, dakwah fardhiah mahupun penguatkuasaan undang-undang. Usaha yang menelan belanja jutaan ringgit ini walau bagaimanapun kurang berkesan dalam membendung perkembangan ajaran sesat di negara ini.
Terdapat beberapa faktor yang mendorong perkembangan ajaran sesat di Malaysia. Hasil daripada kajian yang dilakukan oleh JAKIM, faktor utama penyelewengan akidah dan kemunculan ajaran sesat ialah disebabkan oleh tasawuf teosofi, fahaman Batiniah, Syiah, amalan kurafat dan penggunaan akal tanpa batasan. Walau bagaimanapun, faktor ini dapat dibahagikan kepada dua, iaitu faktor dalaman dan faktor luaran. Antara yang termasuk dalam faktor dalaman ialah kepercayaan, kecetakan ilmu dan iman, seks, ilmu dan psikologi. Manakala faktor luaran ialah ekonomi, sosial, politik serta sekularisme dan orientalis Barat.
Kepercayaan
Naluri beragama dan percaya kepada perkara ghaib wujud semenjak manusia dicipta oleh Allah swt. Percaya kepada perkara ghaib merupakan perkara teras dalam Islam dan hanya diketahui melalui perkhabaran al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antara ayat yang sering digunakan ialah firman Allah SWT yang bermaksud :
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”.

(Surah al-Baqarah, 2: 3)


Segelintir umat Islam mudah terpengaruh dengan sesuatu ajaran sesat melalui cara penyampaian guru-guru mereka berkenaan perkara ghaib. Penggunaan al-Quran dan hadis yang diselewengkan bertujuan menutup kesesatan daripada dikesan oleh pengikutnya.
Begitu juga dengan kepercayaan kepada perkara mistik (kebatinan) yang disadur dengan ayat al-Quran dan doa telah mendorong timbulnya sesuatu ajaran sesat. Perkara ini boleh terjadi kerana sesetengah masyarakat mempercayai bahawa dengan melakukan sedemikian, maka mereka akan memperoleh kekebalan dan kekuatan luar biasa dengan membuat beberapa formula, contohnya :
Ayat al-Quran + angka-angka Arab tulis di baju + doa dan bacaan-bacaan oleh wali-walinya + bayaran RM300.00 = jadi kebal

Warak + zahid + khalwat + zikir satu juta sehari semalam + tak tidur = jadi kasyaf (melihat perkara ghaib), dapat mengubat orang sakit

Perkara ini disamakan dengan formula sains, iaitu :

Biru + merah = coklat



Merah + kuning = hijau
Masyarakat Islam juga seringkali terpengaruh dan mempercayai dengan janji yang memberi jaminan kemanfaatan dunia dan akhirat. Kemanfaatan dunia seringkali dikaitkan dengan kesenangan harta, pangkat dan keseronokan seks. Manakala kemanfaatan akhirat dikaitkan dengan balasan syurga.
Kebanyakan ajaran sesat merahsiakan sebahagian daripada isi kandungan ajarannya. Rahsia dalam erti kata tidak diberitahu kepada golongan luar daripada kelompok mereka. Keadaan ini menyebabkan seseorang yang telah tersesat akan terus sesat kerana di samping dia yakin dengan ajaran itu, mereka juga tidak menceritakannya kepada orang lain. Mereka bersumpah di hadapan guru bahawa mereka tidak akan memecahkan rahsia tersebut. Disebabkan rasa ingin tahu terhadap ilmu rahsia yang dimiliki oleh sesuatu ajaran kepercayaan, maka ramai yang menceburkan diri dalam aliran seumpama ini yang akhirnya mengheret mereka ke dalam kesesatan.
Unsur yang paling penting sekali dalam aliran kepercayaan ialah dimasukkan unsur mitos dan juga magik. Aspek kerahsiaan ini menyebabkan ahli kumpulan merasakan perkumpulan adalah istimewa berbanding orang lain. Malahan ketua kumpulan akan menunjukkan atau berhujah betapa mereka ini terpilih. Ada antaranya menggunakan sihir mahupun kuasa psikik untuk menunjukkan kelebihan mereka. Pengikut pula menjadi terpaku melihat kelebihan ketua mereka. Selain itu modal yang sering digunakan ialah Kiamat semakin hampir dan mereka perlu bersedia untuk menghadapinya.
Kepercayaan kepada perkara khurafat menjadi daya tarikan utama dalam perkembangan sesuatu ajaran sesat. Kebanyakan amalan khurafat ini adalah peninggalan adat resam orang jahiliah sebelum Islam. Antaranya ialah mempercayai adanya kuasa yang boleh memberi kesan kepada makhluk selain daripada Allah swt. Begitu juga dengan mempercayai bahawa roh para wali yang telah meninggal dunia boleh mengabulkan hajat serta memberi kesan kepada orang yang masih hidup.
Selain itu, amalan mandi Safar bagi menolak bala juga diadakan pada hari Rabu yang terakhir dalam bulan Safar. Akar umbi kepercayaan ini kebiasaannya diikuti oleh segelintir masyarakat Islam di Mekah. Hal yang sama juga dilakukan oleh masyarakat Islam di India. Mereka mempercayai kononnya bulan Safar merupakan bulan nahas. Perkara ini dikaitkan secara hipotetik dengan tarikh datangnya kecelakaan kepada dunia Islam, iaitu pada hari Rabu, 1 Safar tahun 37 H dan pada hari Rabu, 27 Safar tahun 589 H. Tarikh yang pertama berlakunya peperangan Siffin di mana umat Islam berpecah kepada dua pihak,iaitu satu pihak menyebelahi kepada Saidina Ali ra dan satu pihak lagi menyebelahi kepada Saidina Mu’awiyah bin Abi Sufian.
Manakala tarikh yang kedua merupakan tarikh syahidnya panglima perang Islam yang terkenal dalam peperangan Salib, iaitu Salah al-Din al-Ayubi. Perkara ini berlaku seabad sebelum lahirnya negara Islam di Tanah Melayu. Bagi masyarakat Islam, kematian beliau merupakan satu kecelakaan yang mereka alami selepas Khulafa’ al-Rashidin.
Masyarakat Islam di dunia Melayu khususnya tidak terkecuali daripada pengaruh kepercayaan kepada Imam Mahdi. Malangnya konsep Imam Mahdi yang mereka percaya kebanyakannya dipengaruhi oleh unsur Batiniah yang sangat dominan dengan ajaran sesat dan tidak berlandaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar. Konsep Imam Mahdi yang menjadi pegangan majoriti umat Islam tidak menentukan personaliti dan waktu kedatangan Imam Mahdi tersebut.

Begitu juga kepercayaan kepada konsep Nur Muhammad atau hakikat Muhammad. Konsep ini tersebar melalui kumpulan Batiniah atau Syiah Isma’iliyyah. Mereka mempercayai bahawa benda pertama yang dicipta oleh Allah swt sebelum kejadian sesuatu itu ialah Nur Muhammad. Oleh itu, Nur Muhammad dicipta dahulu sebelum Nabi Adam as. Dalam falsafah Yunani dan Neoplatonisme, fenomena ini dikenali sebagai Logos. Secara tidak langsung, teori Nur Muhammad mengaitkan kesatuan manusia dengan Allah swt kerana kejadian manusia daripada Nur Muhammad dan Nur Muhammad terbit daripada Allah. Teori ini bukan ajaran Islam tetapi mempunyai persamaan dengan ajaran emanasi falsafah Neoplatonisme.


Dewasa ini, amalan bertenung dan menilik nasib bagi menentukan masa depan seseorang masih diamalkan oleh kebanyakan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Manakala dalam beberapa kes sebelum ini didapati ramai orang Islam yang percaya kepada orang saleh dan para wali sehingga menganggap golongan ini berperanan dalam menentukan kehidupan manusia seperti panjang atau pendeknya usia, sihat atau sakitnya seseorang sedangkan perkara ini adalah ketentuan Allah. Bagi mereka ini adalah jalan pintas ke syurga. Tidak kira apa jua kaedah yang diguna pakai oleh golongan ajaran sesat ini asalkan manusia beroleh kebahagiaan. Ternyata perkara ini bertentangan dengan syariat Islam dan menjurus kepada mensyirikkan Allah swt.
Kecetekan Ilmu dan Iman
Dalam ajaran sesat, kongkongan fikiran seolah-olah menjadi satu intipati yang paling penting dalam gerakan mereka. Pemimpin ajaran sesat akan memastikan bahawa segala apa yang diajar kepada pengikutnya diikuti secara total. Ini bermakna mereka juga menyekat segala cetusan intelektual dan segala pandangan alim ulama dan pakar keagamaan. Pemimpin mula mengumumkan bahawa mereka adalah pakar rujuk setaraf dengan ulama dan akhirnya mereka menjadi lebih tinggi daripada nabi atau rasul bahkan ada yang mengaku dirinya adalah Imam Mahdi atau Nabi Isa yang akan kembali ke dunia seperti yang berlaku dalam al-Arqam dan Ahmadiah Qadiani.
Terdapat ramai daripada masyarakat awam mengaku memiliki kepakaran dalam bidang ilmu agama sehingga ke taraf ulama dan mula menghimpunkan sejumlah pengikut. Ada juga yang mendakwa sebagai guru tarekat sedangkan dia masih jahil dari segi akidah mahupun ibadah. Golongan seumpama ini hanya berjaya menarik sebilangan pengikut yang nyata jahil dari segi agama mahupun cetek pengetahuannya.
Kekurangan ilmu di pihak guru merupakan salah satu unsur terpenting menyebabkan lahirnya ajaran sesat. Kekurangan guru dalam ilmu al-Quran memungkinkan timbulnya ajaran yang menolak al-Quran. Kekurangan ilmu dalam fiqh misalnya akan menyebabkan timbulnya ajaran yang meringankan syariat Islam. Manakala kurangnya ilmu agama boleh menyebabkan timbulnya ajaran yang keseluruhannya bergantung kepada akal dan nafsu.
Umat Islam di Malaysia mempunyai ruang yang cukup banyak untuk menimba ilmu agama. Walau bagaimanapun, peluang ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh golongan muda dan cerdik pandai. Penekanan sistem pendidikan pada hari ini lebih menjurus kepada kesepaduan ilmu sains dan teknologi dengan meletakkan ilmu agama dalam kelas kedua. Justeru tidak hairanlah sekiranya berlaku sinkretisme dalam ajaran Islam bahkan ramai daripada golongan cerdik pandai menganggap bahawa semua agama itu sama. Perbezaannya hanya dari sudut bagaimana Tuhan itu disembah. Fenomena ini lahir disebabkan kurangnya pemahaman mereka terhadap Islam dan keangkuhan mereka dalam menjaga status-quo serta kedudukan mereka dalam masyarakat. Sikap menyamaratakan persoalan Uluhiyyah Allah swt dengan kepercayaan lain adalah batil dan perlu dihindari oleh umat Islam.
Kebanyakan ajaran sesat menonjolkan ciri mudah dan amalan yang ringan sebagai daya tarikan kepada masyarakat. Antaranya dengan menyatakan sesuatu ibadah itu memadai dilaksanakan dengan niat. Selain itu, bagi mereka yang mendakwa sudah mencapai makam tertinggi dan bersatu dengan Allah swt, maka dihalalkan baginya segala yang diharamkan oleh Allah swt seperti berzina (nikah batin), minum arak dan sebagainya.
Keghairahan seseorang untuk memperoleh kelebihan yang terdapat dalam ilmu Islam jika tidak disandarkan kepada al-Quran dan hadis boleh membawa kepada kesesatan. Mereka mudah diperdayakan dengan alasan bahawa ajaran yang disampaikan adalah ilmu yang dimiliki oleh para nabi dan rasul serta para awliya’ Allah swt yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang awam. Dengan demikian, para pengikut ajaran sesat ini akan merasakan ajaran yang mereka ikuti amat bernilai berbanding dengan ajaran Islam yang sedia ada.
Terdapat juga masyarakat yang terpengaruh dengan sesuatu ajaran sesat melalui ceramah umum yang disampaikan oleh penceramah. Mereka merasakan penceramah itu sebagai pemimpin mereka yang bertaraf mujtahid yang terus berpegang dengan ajaran al-Quran. Seterusnya merasakan pemimpin mereka tidak perlu merukuk kepada pendapat ulama muktabar sedangkan pada masa yang sama mereka sedari pemimpin mereka telah mengeluarkan fatwa yang bercanggah dengan kaedah hukum syarak.
Disebabkan oleh kecetekan ilmu dan iman, maka seseorang itu digolongkan dalam kategori jahil dari segi akidah. Ini akan menyebabkan umat Islam meragui dan tidak meyakini akan kuasa Allah swt. Keadaan ini juga akan mendorong seseorang itu taksub dan sukar menerima pandangan dan teguran daripada orang lain. Keadaan ini sukar diubah dalam masa yang singkat sebaliknya ia memerlukan proses pemulihan dan pemantauan yang berterusan.
Seks
Kebanyakan ajaran sesat berasaskan logik akal semata-mata. Ajaran ini disusun dan ditokok tambah sesuai dengan selera serta ikutan hawa nafsu manusia berdasarkan hujah yang menarik lagi mempesonakan pengikut ajaran ini.

Acap kali faktor seksual ini dibicarakan menggunakah hujah ’istimewa dan ilmu rahsia’ oleh sesuatu kumpulan ajaran. Misalnya huruf ا pada kalimah الله , digambarkan sebagai lambang zakar yang tegang. Ilmu ini hanya diketahui oleh segelintir individu kerana ilmu ini adalah ilmu rahsia. Di sinilah letaknya keistimewaan ilmu yang diajarkan itu.



Selain daripada itu, terdapat beberapa ajaran sesat yang menggalakkan cara hidup berpoligami bagi pengikut lelakinya (kononnya mengikut sunnah Rasulullah saw) sedangkan pada masa yang sama berlaku pengeksplotasian terhadap wanita. Mereka dikehendaki taat secara taklid dan dijanjikan syurga Allah swt.
Di samping itu, untuk memenuhi nafsu guru dan murid, dicipta satu ajaran yang dikenali sebagai ‘konsep nikah batin’. Dalam konsep ini, guru akan ‘menggauli’ setiap pasangan (isteri) terlebih dahulu sebelum isteri ‘digauli’ oleh suami sendiri. Sekiranya nikah batin ini tidak dilakukan, maka nikah syariat dianggap tidak sah. Bagi anggota yang telah berkahwin, kemudian menjadi pengikut ajaran sesat ini, dianggap zina sekiranya tidak menjalani proses nikah batin oleh gurunya. Ada anggota ajaran sesat yang berpendapat nikah batin yang sebenarnya ialah ‘nikah yang dilaksanakan oleh Allah swt dan Malaikat Kiraman Katibin menjadi saksi’. Mereka menguatkan pendapat dengan mempertikaikan “siapa yang menikahkan Adam dan Hawa sekiranya tidak dilakukan oleh Allah”.
Pengamalan nikah batin, kononnya bertujuan untuk mendapatkan anak yang saleh sering kali terjadi dalam sesebuah ajaran sesat. Penganiayaan ini berlaku dalam kalangan wanita yang cetek ilmu pengetahuan agamanya dan ingin memperoleh ilmu agama dengan jalan pintas tanpa menyelidiki terlebih dahulu.
Psikologi
Antara keperluan psikologi manusia ialah keinginan kepada kehidupan beragama yang lebih mendalam. Setiap peringkat kehidupan manusia bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa mempunyai peringkat keperluan psikologi yang berbeza antara satu sama lain.
Bagi golongan remaja, keterlibatan mereka dalam ajaran sesat disebabkan kurangnya perhatian dan kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa di rumah. Akibatnya mereka mereka mencari sesuatu yang boleh mengisi kekosongan hidup dan bersesuaian dengan minat mereka. Justeru, ajaran sesat berjaya mempengaruhi mereka melalui penonjolan sifat kebal dan kekuatan luar biasa dalam ilmu seni mempertahankan diri.
Melalui penglibatan dalam ilmu seni mempertahankan diri, ahli kumpulan melantik seorang pemimpin sebagai khalifah atau mahaguru. Seterusnya khalifah atau mahaguru akan mendakwa dirinya sebagai seorang yang benar-benar beriman kepada Allah sedangkan pada hakikatnya mereka tidak mempunyai asas Islam yang luas lagi mendalam.
Bagi golongan dewasa pula, kehidupan lalu yang disaluti dosa membuatkan seseorang individu itu berasa kesal dan insaf serta cuba menebusnya. Mereka sering diingatkan bahawa konsep taubat dalam Islam adalah sesuatu yang sangat susah dan sukar untuk dilakukan. Kepada golongan ini, sebahagian daripada ajaran sesat menawarkan cara menebus dosa menggunakan kaedah mudah dan cepat, iaitu dengan berniat dan mengorbankan wang dan harta kepada kumpulan berkenaan di samping mengabdikan diri kepada ketuanya.
Ajaran sesat juga sering kali melemahkan psikologi ahlinya dengan menanamkan sifat kebergantungan ahli kepada pertubuhan mereka. Kebergantungan ini bukan sekadar kebergantungan dalam mendapatkan nafkah seharian sahaja, tetapi juga dalam menbuat keputusan untuk masa depan. Kedudukan mereka semakin terhimpit apabila kesalahan mereka pada masa lampau dimanipulasikan demi meraih ketaatan bagi mengukuhkan status-quo pemimpin mereka.
Bagi kedua-dua golongan ini, mereka diberikan layanan istimewa dan disediakan ganjaran yang tinggi kononnya mereka sudah mencapai makam yang tinggi dan lebih mulia daripada orang lain. Tanpa disedari mereka seolah-olah merasakan bahawa mereka telah suci dan bersatu dengan Tuhan yang membolehkan mereka melakukan segala perkara termasuklah perkara yang diharamkan oleh Allah swt seperti berzina, minum arak dan lain-lain.
Sesuatu ajaran sesat sering menggunakan pendekatan psikologi yang amat halus untuk mengumpan orang ramai. Cara yang mereka gunakan ialah mengikut kaedah one-to-one dengan mangsa. Pengikut ajaran sesat akan muncul kononnya sebagai penyelamat kepada mangsa yang kebetulannya menghadapi masalah. Mereka juga muncul sebagai seseorang yang memahami bagi mengumpan bakal ahli yang mempunyai pelbagai idea yang bernas. Mereka juga muncul sebagai pengikut yang sedia mendengar kepada orang yang ada sifat kepimpinan. Mereka juga akan muncul sebagai pemimpin jika seseorang mahu dipimpin.
Apabila fahaman ini sudah bertapak, maka mereka mula berani mengadakan perhimpunan tetapi eksklusif kepada ahli yang terpilih sahaja. Suasana ini menimbulkan pelbagai reaksi kepada ahli lain untuk mendapat hak menghadiri majlis seumpama ini. Ahli baru akan cuba berusaha mencari jalan agar dirinya terpilih untuk menghadirinya. Pada waktu inilah proses indoktrinasi segera dijalankan dengan penuh berhati-hati. Selain itu, bakal ahli dipantau secara langsung atau sebaliknya. Pemantauan ini menjadikan bakal ahli lebih jauh daripada waris atau ahli keluarga atau hakikat bermasyarakat. Kedaan ini diungkapkan sebagai religio-sociological-emptiness. Kekosongan ini segera diisi oleh pengikut ajaran sesat yang lain. Lanjutan dari sinilah, jika ahli baru ini dipanggil menghadiri perhimpunan tersebut atau dipanggil oleh ketua mereka, dia menganggap diri mereka dihargai, meskipun lokasinya amat daif dan perwatakan pemimpin tidak menyenangkan.
Faktor ilmu berkait rapat dengan faktor psikologi. Kedangkalan ilmu agama menjadikan masyarakat berpendapat apa yang dibuat oleh pengikut ajaran sesat adalah ajaran agama yang sebenar. Malahan, apabila masyarakat berhadapan dengan pengikut ajaran sesat ini, maka mereka merasakan diri mereka kurang agama. Lantas, ini mewujudkan satu religio-psychological-emptiness supaya mereka sendiri terpengaruh.
Keadaan ini jugalah yang menjadikan orang awam melenting dan melatah apabila sesuatu ajaran sesat itu diharamkan. Lebih malang lagi apabila masyarakat menjadi sympathizer kepada pengikut dan ketua sesebuah ajaran sesat;bukan kerana kesesatan mereka tetapi kerana entity yang dibawa oleh ajaran sesat sebagai satu establishment. Secara amnya, inilah cabaran yang paling besar yang dihadapi oleh pihak berkuasa untuk menangani ajaran sesat, bukannya kepda ajaran sesat itu tetapi kepada orang awam yang kurang berpengetahuan terhadap kedudukan yang sebenar.
Ekonomi
Makanan, pakaian dan tempat tinggal merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Jalan singkat untuk memperoleh wang dan harta, guru-guru ajaran sesat yang rata-ratanya tidak mempunyai pekerjaan telah mengeksploitasi kebanyakan pengikut mereka supaya menyerahkan harta serta pendapatan bulanan kononnya sebagai syarat untuk mereka ke syurga. Tindakan ini bertujuan bagi menampung perbelanjaan harian guru itu sendiri.

Dalam erti kata lain, guru-guru itu hidup atas hasil wang ihsan murid atau anggota kumpulannya. ’Guru-guru’ ini akan meminta kepada pengikutnya menyumbang kepada kumpulannya sebagai tanda kesetiaan dan kezuhudan. Bahkan terdapat beberapa ajaran sesat yang mewajibkan anggotanya menyerahkan sepuluh peratus daripada hasil pendapatan bulanan mereka sebagai zakat kepada guru.


Bagi murid dan pengikut ajaran sesat ini mereka bekerja keras mengumpul harta dan wang ringgit untuk diserahkan kepada guru mereka. Mereka berpendapat tindakan itu merupakan tunjang kebaktian murid kepada gurunya dan merupakan satu ibadah kepada mereka dengan harapan mendapat syafaat daripada gurunya. Selain daripada memperoleh balasan syurga oleh Allah swt, para pengikut juga percaya bahawa segala hajat mereka akan dikabulkan oleh Allah swt kerana hajat itu dilakukan melalui perantaraan guru. Fenomena ini berlaku hampir dalam kesemua ajaran sesat, misalnya al-Arqam, Ayah Pin dan Tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol.
Sosial
Setiap ajaran sesat akan bersaing untuk mendapatkan pengikut dan meluaskan pengaruh dalam kalangan masyarakat. Para guru akan cuba menonjolkan diri dan kekuasaan mereka seperti memperoleh kekuatan batin dan kebal dengan menggunakan ayat al-Quran dan hadis bagi memenangi hati masyarakat sehingga ada yang mendakwa mempunyai mertabat yang lebih tinggi daripada Rasulullah saw. Dalam kalangan pengikut pula, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan status. Ada yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan tidak kurang pula yang pernah menjadi sampah masyarakat.

Bagi sesebuah ajaran sesat , pemimpin yang diikuti adalah seseorang pemimpin yang berkarisma. Pemimpin dilihat pandai berhujah tetapi berdasarkan logik akalnya semata-mata. Pemimpin lebih suka dikaitkan dengan seseorang mulia contohnya Imam Mahdi. Meskipun ucapan pemimpin penuh dengan retorik namun kepada pengikut ucapan itu tidak membosankan atau mereka sendiri seolah-olah terkatup mulut mereka untuk bertanya. Keadaan ini terjadi kerana pemimpin akanmenunjukkan kemarahannya jika ada soalan yang agak intelektual. Pemimpin sendiri yang akan menyingkir ahli kumpulan dengan memberi amaran yang sangat keras seperti mendapat bala daripada Allah swt.


Kebanyakan pengikut ajaran sesat ini mempunyai jiwa yang kosong. Ibu bapa tidak memberi perhatian, kasih sayang, belaian dan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Bahkan keretakan rumah tangga dan penceraian yang berlaku dalam kalangan ibu bapa menyebabkan anak-anak semakin liar seterusnya mencari ketenangan dan hiburan di luar rumah tanpa pemantauan. Dengan kata lain ibu bapa tidak boleh menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak.
Para pengikut juga tidak lokek untuk berkongsi pengalaman sama ada pengalaman yang baik ataupun tidak. Keadaan ini juga mengukuhkan pertalian hubungan yang sememangnya diminta untuk bersatu. Mereka mewujudkan satu lingkungan mempercayai sesama lain. Seterusnya, ini akan menutup mereka daripada mendengar nasihat daripada pihak luar termasuk ibu bapa. Mereka menjadi cukup degil dengan apa yang mereka percaya kerana dalam fikiran individu terbabit mereka mempunyai lingkungan kesetiaan yang lebih kuat berbanding waris terdekat.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang menganggotai ajaran sesat. Kebanyakan daripada mereka terpengaruh melalui pertalian persaudaraan, rakan sebaya serta ibu bapa dan keluarga yang pernah terjebak dalam aliran seumpama ini.
Begitu juga dengan pengaruh oarang luar (orang asing) yang berjaya mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini supaya cenderung kepada ajaran yang mereka bawa. Mereka berusaha meraih keyakinan masyarakat Islam untuk menjadi pemimpin tertinggi dalam sesebuah pertubuhan seterusnya mengaut keuntungan daripada pengikutnya. Contohnya ajaran Taslim yang disebarkan oleh Haji Muhammad Matahari (berasal dari Indonesia) setelah dia bertemu dengan seorang berbangsa India di Pulau Pinang.
Timbulnya ajaran sesat juga berkisar kepada perbezaan pendapat atau percanggahan fikiran dalam bidang agama sehingga menimbulkan keinginan untuk mengadakan suatu bentuk kerohanian yang sesuai dengan naluri beragama sesetengah golongan. Kemunculan ajaran sesat juga dilihat sebagai tindak balas daripada situasi kehidupan umat Islam semasa yang banyak melanggar norma kehidupan akibat terpengaruh dengan dunia asing.
Akhirnya golongan ini akan berusaha mencari ’kebahagiaan zahir dan batin’ dengan mengambil jalan mudah lagi cepat. Anggapan ini didasarkan kepada suatu ajaran bahawa ’manusia batin itu dapat berhubung langsung dengan Allah swt’. Oleh yang demikian, mereka akan berusaha menyertai ajaran sesat yang sesuai dengan tuntutan jiwanya walaupun ajaran tersebut bertentangan dengan kehendak Islam. Fenomena ini secara perlahan-lahan mengikis nilai keagamaan dan budaya ketimuran yang menjadi tunjang masyarakat Islam pada hari ini.
Terdapat juga ajaran sesat yang mengamalkan hidup ’communal’ atau menubuhkan cara hidup dalam satu perkampungan. Istilah perkampungan di sini bukanlah kampung tradisional tetapi mereka akan membina perkampungan sendiri dengan konsep dan tatacara yang disusun mengikut falsafah atau prinsip perkumpulan itu. Contohnya al-Arqam telah menubuhkan perkampungan sendiri bertujuan kaderisasi dan mengamalkan prinsip hidup yang mereka anuti. Dalam hal ini boleh dikatakan bahawa mereka ingin jauh daripada pandangan orang ramai. Lazimnya di peringkat awal, kawasan yang dipilih ialah kawasan pedalaman dengan bentuk yang bersifat sementara. Mereka juga akan mengurangkan perhubungan dengan pihak luar.
Kod tingkah laku dalam ajaran sesat juga sangat ketat sehingga segala gerak-geri pengikut seolah-olah telah dilatih sebegitu rupa. Pada pandangan orang luar ciri yang mudah dilihat ialah cara pakaian mereka yang tersendiri. Walau bagaimanapun, bagi pengikut ajaran sesat mereka bangga kerana ini lambang sebenar perkumpulan mereka. Lebih membimbangkan apabila mereka mengatakan bahawa tatacara mereka itu adalah cara hidup Islam yang sebenar.

Selain faktor tersebut, sikap para pendakwah yang banyak menekankan aspek halal dan haram dalam seruan mereka dan kurang mendedahkan unsur kebatinan serta akidah kepercayaan sebenar yang perlu diimani oleh setiap umat Islam juga amat dikesali. Bahkan sikap serta amalan sesetengah orang yang mengaku dirinya ulama dan ahli sufi nyata bertentangan dengan ibadah Islam.


Situasi ini menyebabkan masyarakat merasakan seolah-olah Islam tidak banyak berbeza dengan agama dan fahaman lain dari segi pembentukan rohani, jasmani dan pembinaan mental. Golongan ini mengaku diri mereka Islam dan apabila mereka merasakan diri mereka sudah mencapai makam yang tinggi di sisi Allah swt , mereka boleh melakukan perkara fasik dan dosa yang selama ini dilarang oleh Allah swt. Dengan ini, segelintir umat Islam akan mencari atau menubuhkan ajaran sesat yang membolehkan mereka melakukan perkara sedemikian rupa.
Anggapan masyarakat yang melihat kedudukan ajaran sesat ini sebagai suatu perkara yang umum yang sudah tidak perlu dicari jalan penyelesaian perlu dilihat sebagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan ajaran sesat. Masyarakat tidak lagi menganggap ajaran sesat sebagai suatu perkara yang sensitif lagi memudaratkan akidah kerana kepercayaan adalah hak individu dan tidak boleh dipaksa oleh orang lain. Sifat ’keakuan’ masyarakat ini terus menjadi ’barah’ dalam kehidupan bermasyarakat sehingga merasakan semua ajaran sesat itu benar dan tidak perlu diberi perhatian.

Yüklə 321,19 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin