Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”
(21 November 2008 / 23 Zulkaedah 1429H)
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sempena musim cuti persekolahan 2008, mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk ” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, 'alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga orang lain. Kedudukan mereka ada hubungankait dengan sifat integriti, bertanggungjawab, amanah, istiqamah dan beriman kepada Allah SWT. Di Malaysia, bidang pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh bagi mewujudkan modal insan yang cemerlang, iaitu cerdas minda, mantap rohani, stabil emosi dan sihat jasmani. Sebenarnya kecemerlangan pendidikan tidak hanya dibebankan kepada para guru di sekolah, bahkan ia bergantung kepada peranan ibubapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu sekolah dan rumahtangga saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan pendidikan.
Bermulanya cuti persekolahan, maka tugas guru yang mengajar di sekolah telah dihentikan sementara dan ibubapa bertanggungjawab penuh menyambung kesinambungan tugas mendidik anak-anak di rumah. Ibubapa harus sentiasa memastikan pendidikan anak-anak terpelihara walau pun memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa. Sebagai ibubapa kita tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa cabaran sekalipun. Jika tidak, anak-anak akan rosak pegangan akidah, hilang kemurnian akhlak dan moral serta ketinggalan dalam arus pendidikan negara.
Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, mimbar menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.
Allah SWT menegaskan seksaan yang sangat berat jika ibubapa sengaja cuai atau bersifat khianat dengan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena dengan cuti persekolahan anak-anak sekarang ini, mimbar ingin menyeru ibubapa agar melaksanakan beberapa tindakan dalam mempastikan kesinambungan aktiviti pembelajaran dan pendidikan anak-anak dapat diteruskan, sekalipun di masa cuti persekolahan. Antara tindakan tersebut adalah:
Pertama: Ibubapa Hendaklah Berperanan Sebagai Guru di Rumah.
Ibubapa perlu berperanan sebagai guru di rumah iaitu membimbing dan menggalak anak-anak mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ibubapa wajar memberikan perhatian sepenuh masa semasa bersama anak-anak. Janganlah pula ibubapa menganggu pembelajaran anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang kontra dengan pembelajaran anak-anak seperti menonton teliyisen, melayari internet, berbual kosong dan sebagainya. Dorongan dan bimbingan ibubapa di rumah akan dapat membentuk daya tahan anak-anak dalam menghadapi cabaran pendidikan yang semakin kompleks.
Ibubapa perlu insaf bahawa taraf pencapaian pendidikan anak-anak kita masih lagi rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dikeluarkan, anak-anak kita masih lagi ketinggalan, terutamanya dalam kursus-kursus sains dan profesional. Mudah-mudahan pengembelingan usahasama antara ibubapa dan guru-guru akan dapat mengangkat martabat pendidikan di kalangan anak-anak kita.
Kedua: Menyedia Penjadualan Aktiviti Yang Berfaedah.
Penjadualan aktiviti anak-anak di musim cuti persekolahan sangat penting demi mengelak anak-anak daripada terjerumus ke dalam aktiviti yang merosakkan. Ibubapa perlu menyusun dengan baik masa yang terluang itu dengan perkara-perkara yang dapat menjana kekuatan peribadi mereka. Dalam erti kata lain, biarlah cuti ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan peribadi anak-anak, sama ada dari segi keilmuan, sahsiah dan hala tuju.
Ketiga: Ibubapa Berkewajipan Membangun Rohani Anak-anak.
Perlu difahami bahawa ibubapa berperanan besar dalam memberi pengajaran dan pendidikan agama untuk anak-anak. Justeru ibubapalah yang akan melahirkan anak soleh dan menjauhkan anak menjadi derhaka. Apabila jiwa anak-anak sentiasa diisi dengan takwa dan iman, maka perasaan kasih sayang dan hormat menghormati akan wujud dalam keluarga kita.
Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak benar-benar komited dengan perintah Allah SWT seperti solat terutamanya solat berjemaah. Pendidikan ini perlu disertakan dengan tahap disiplin diri yang tinggi agar anak-anak terbiasa dan dapat membentuk budaya berjemaah sehingga dewasa. Konsep dakwah bilhal oleh ibubapa amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Pembudayaan ibubapa berjemaah, membaca al-Qur'an, memberi tazkirah dan membaca buku-buku agama, insya allah akan dapat menyuburkan iman dan takwa anak-anak.
Insafilah bahawa beriman atau tidaknya anak-anak adalah berpunca daripada ibubapa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sabda baginda:
Mafhumnya: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, mimbar ini menyeru marilah kita memastikan sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak kita dinaungi oleh suasana pendidikan dan pembelajaran yang berterusan. Semoga usaha ini dapat mengawal pengaruh liar dari aktiviti yang negatif dan sekaligus melahirkan generasi yang mantap akidah dan cemerlang dalam pendidikan.
Dostları ilə paylaş: |