Tidak baik pula dalam pengetahuan tanpa memahaminya



Yüklə 1,02 Mb.
səhifə5/34
tarix18.01.2019
ölçüsü1,02 Mb.
#101160
1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   34

168, Dari Abu Ja'far r.a., katanya: "Pada suatu ketika ia berada dekat Jabir bin Abdullah dan bapaknya. Dan di dekatnya ada pula orang banyak. Mereka menanyakan kepada Jabir perihal mandi. Jabir menjawab, "Cukup segantang." Seorang laki-laki berkata, "Bagi saya tidak cukup." Jawab Jabir, "Segantang itu sudah cukup (bahkan) bagi orang yang lebih tebal dan lebih bagus rambutnya dari rambut anda." Kemudian Jabir mengimami kami (sembahyang) pada sehelai kain." 169, Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: "Nabi saw. dan Maimunah (isteri beliau), keduanya mandi dari satu bejana." 170, Diceritakan oleh Jabir bin Muth'im r.a., "Kalau aku mandi, kusiram kepala ku tiga kali. Dan Nabi mengisyaratkan dengan kedua belah tangannya."

171, Abu Ja'far r.a. mengatakan bahwa Jabir bercerita kepadanya: "Anak Pak-Cikmu (yaitu Hasan bin Muhammad al Hanafiah) pernah datang kepada ku menanyakan bagaimana caranya mandi junub. Jawab Jabir, "Biasanya Nabi saw. mengambil air tiga telapak tangan dan menyiramkannya ke kepalanya. Sesudah itu beliau menyiram seluruh tubuhnya." Kata Hasan kepada ku, "Saya ini banyak rambut." Jawab ku, "Nabi saw. lebih banyak rambutnya dari rambut Anda."

172, Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Maimunah r.a. bercerita: "Aku sediakan air untuk mandi Nabi saw. Maka beliau cuci kedua belah tangannya, dua atau tiga kali. Sesudah itu dituangkannya air ke tangan kirinya lalu dicucinya kemaluannya dan disapukannya tangannya ke tanah. Kemudian beliau berkumur-kumur, menghirup air ke hidung (istinjak), mencuci muka dan mencuci kedua tangannya. Sesudah itu disiramkannya air ke seluruh tubuhnya. Kemudian beliau bergeser sedikit dari tempatnya dan mencuci kedua kakinya."173. Aisyah r.a. mengatakan: "Aku dan Nabi saw. mandi bersama dari satu bejana; tangan kami berganti-ganti mengambil air dari bejana itu."174, Muhammad bin Al Muntasyir r.a. mengatakan: Saya bertanya kepada Aisyah, lalu kusebutkan kepadanya perkataan Ibnu Umar: Saya tidak suka ihram di pagi hari yang masih semerbak bau harum-harumanku."

Kata Aisyah, "Saya memberi harum-haruman kepada Rasulullah saw., kemudian beliau mengedar kepada para isteri beliau, dan paginya beliau ihram."175, Aisyah r.a. mengatakan: "Saya seolah-olah melihat kilat harum-haruman di kepala Nabi, ketika dia sedang ihram."176, Abu Hurairah r.a. menceritakan: " (Pada suatu ketika) orang telah qamat untuk solat. Saf telah diluruskan sambil berdiri. Rasullullah saw. datang kepada kami.Setelah beliau berdiri di tempatnya biasa solat, tiba-tiba ia teringat bahwa beliau junub. Beliau berkata kepada kami, "Tunggulah sebentar!" Sesudah mandi ia datang kembali kepada kami, sedangkan rambutnya masih basah. Lalu beliau takbir dan sembahyang bersama-sama dengan kami."177, Abu Hurairah r.a. mengatakan bahwa Nabi saw. bersabda: "Banu (turunan atau bangsa) Israil itu mandi bertelanjang satu sama lain saling lihat melihat. Tetapi Nabi Musa mandi seorang dirinya. Mereka mengatakan: "Demi Allah! Tidak ada yang melarang Musa mandi bersama-sama dengan kita, kecuali kerana dia berpenyakit, buah pelirnya besar." Pada suatu kali Nabi Musa mandi, kainnya diletakkannya di atas batu. Lalu batu itu melarikan kain Nabi Musa, dan beliau menyusulnya sambil berteriak: "Kainku ! Hai, batu !"

Sehingga oleh kerana itu, Bani Israil dapat melihat (aurat) Nabi Musa, lantas mereka berkata, "Demi Allah! Musa tidak berpenyakit apa-apa." Lalu Nabi Musa mengambil kainnya dan dipukulnya batu itu."

178, Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Pada suatu ketika Nabi Ayyub sedang mandi bertelanjang. Tiba-tiba jatuh kepadanya belalang lalu dibungkusnya dengan kainnya. Maka berfirman Tuhan kepadanya, "Hai Ayyub! Bukankah Aku telah memberi mu kekayaan secukupnya, dan engkau tidak membutuhkan belalang itu lagi?" Jawab Ayyub, "Benar, ya, Tuhan ku! Tetapi demi kekuasaan Engkau, saya masih membutuhkan berkat dari Engkau."

179, Dari Maula Ummu Haniy binti Abu Thalib r.a. katanya, dia mendengar Ummu Haniy berkata: "Saya pergi kepada Rasulullah saw. pada tahun penaklukan Mekkah, kedapatan olehku Rasulullah sedang mandi, dan Fathimah (puteri beliau) menutupinya. Kata Nabi, "Siapakah itu'!" Jawab ku, "Aku Ummu Haniy!"

180, Abu Hurairah r.a. bercerita, bahwa dia bertemu dengan Nabi saw. pada sebuah jalan di Madinah. Ketika itu Abu Hurairah berhadas junub, lalu dia menghindar dan pergi mandi. Sesudah itu dia datang kepada Nabi. Kata Nabi," Ke mana engkau tadi, hai Abu Hurairah?" Jawabnya, "Tadi saya berhadas kerana junub. Saya malas duduk bersama anda ketika saya tidak suci seperti itu." Sabda Nabi,"Subhanallah! Orang Muslim itu tidak najis."181, Anas bin Malik r.a. menceritakan: "Nabiyallah saw. datang bergilir kepada para isteri beliau dalam satu malam. Waktu itu Nabi mempunyai sembilan orang isteri."182. Abu Salamah r.a, mengatakan: "Aku bertanya kepada Aisyah,'Adakah Nabi saw. tidur ketika dia masih junub." Jawab Aisyah, 'Ada! Tetapi dia berwuduk seperti wuduk sembahyang."

183. Aisyah r.a. mengatakan: "Biasanya Nabi saw. apabila beliau hendak tidur, padahal dia masih junub, dibasuhnya kemaluannya dan dia berwuduk (lebih dahulu) seperti wuduk untuk sembahyang."

184. Umar bin Khathab r.a. mengatakan kepada Nabi saw. pada suatu malam bahawa ia junub. Kata Rasulullah kepadanya: "Berwuduklah, dan basuh kemaluanmu, sesudah itu tidurlah!"

185. Abu Hurairah r.a. mengatakan bahwa, Nabi saw. bersabda: "Apabila seseorang kamu bersetubuh dengan isterinya, maka wajiblah dia mandi."

186. Cerita dari 'Aisyah, katanya: Kami berangkat,tiada lain sengaja kami selain dari mengerjakan haji. Setelah kami sampai di Syarif, saya haid. Rasulullah saw. datang kepada ku padahal aku sedang menangis. Lalu beliau bertanya: "Kenapa engkau menangis. Haidkah engkau?" Jawab ku, "Betul!" Sabdanya, "Sesungguhnya haid itu, adalah suatu perkara yang telah ditetapkan Allah swt. atas kaum wanita anak-cucu Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang haji selain tawaf keliling Kaabah." 'Aisyah menambahkan, "Setelah itu Rasulullah berkurban untuk para isteri beliau dengan menyembelih sapi."

187. Cerita dari 'Urwah bahwa dia ditanya orang: "Bolehkah wanita haid melayani ku, dan bolehkah wanita junub mendekati ku?" Jawab 'Urwah, Semuanya boleh bagi ku. Semuanya boleh melayani ku dan tiada celanya. 'Aisyah menceritakan kepada ku, dia pernah menyisir rambut Rasulullah saw. ketika dia sedang haid. Pada hal ketika itu Rasulullah sedang iktikaf di masjid. Maka didekatkannya kepalanya kepada Aisyah yang sedang berada di dalam kamarnya,

lalu 'Aisyah menyisir rambut Rasulullah pada hal dia sedang haid."

188. 'Aisyah menceritakan, katanya: "Rasulullah saw. bersandar keribaanku padahal ketika itu aku sedang haid; sesudah itu beliau membaca Qur'an."

189. Ummu Salamah bercerita, katanya: "Pada suatu ketika aku tidur bersama Nabi saw. di bawah satu selimut kain bulu. Tiba-tiba aku haid, lalu aku menjauhkan diri dari Nabi dan mengambil kain haidku. Nabi saw. bertanya, "Haidkah engkau?" Jawab ku, "Betul!" Lalu aku dipanggilnya dan tidur kembali bersama-sama dengan beliau di bawah selimut itu.

190. Cerita dari 'Aisyah, katanya: "Aisyah pernah mandi bersama Rasulullah saw. dari satu bejana, padahal kami berdua dalam keadaan junub. Pernah juga aku disuruhnya memakai sarung, lalu beliau mencumbu ku, padahal aku sedang haid. Dan pernah pula beliau mengulurkan kepalanya kepada ku dari dalam masjid ketika beliau sedang i'tikaf, lalu kubersihkan kepalanya itu padahal aku sedang haid."

191. Cerita dari 'Aisyah, katanya: "Apabila salah seorang kami (para isteri Nabi saw.) sedang haid, padahal Rasulullah saw. hendak bercumbu dengannya, maka disuruhnya isterinya itu memakai sarung, sesudah itu beliau mencumbunya.

'Aisyah menambahkan, "Siapakah di antara kamu yang sanggup mengendalikan nafsunya sebagaimana Rasulullah saw. sanggup mengendalikannya?"

192. Abu Said al Khudri bercerita, katanya: "Pada hari raya Idul Adha atau hari raya Idul Fitri, Rasulullah saw. keluar rumah pergi ke tempat solat. Beliau lalu ke tempat kaum wanita solat dan di situ beliau bersabda: "Hai, kaum wanita! Bersedekahlah kamu sekalian. kerana saya melihat, kaum wanitalah yang terbanyak di antara penduduk neraka. Mereka bertanya, "Sebab apa, ya, Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw., "kerana kamu sekalian banyak mencerca orang dan ingkar kepada suami. Saya tidak melihat di antara orang-orang yang kurang akal dan agamanya, yang lebih merosakkan hati laki-laki yang cermat, selain daripada kamu sekalian."

Tanya mereka,"Kurang bagaimanakah akal dan agama kami,ya,Rasulullah?" Jawab Nabi,"Bukankah kesaksian kaum wanita seperdua kesaksian kaum pria?" Kata mereka,"Betul!" Jawab Nabi."Itulah salah satu bukti bahwa akalnya kurang. Bukankah apabila wanita itu haid, dia tidak solat dan tidak pula puasa?" Jawab mereka,"Betul!" Sabda Nabi saw. "Itulah salah satu bukti bahwa agama mereka kurang."193. Cerita dari 'Aisyah,katanya: "Fatimah binti Abu Hubaisy bertanya kepada Rasulullah saw., katanya:"Ya,Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak pernah suci. Apakah aku harus meninggalkan solat selamanya?" Jawab Rasulullah saw.,"Sesungguhnya yang demikian itu adalah darah yang keluar dari pembuluh darah, bukan darah haid. Maka apabila yang keluar itu darah haid, berhentilah anda solat selama haid, dan apabila masa haid itu telah habis, sucikanlah tubuhmu dan setelah itu solatlah anda kembali."194. Cerita dari Asma' binti Abu Bakar, katanya:"Seorang wanita bertanya kepada Rasulullah saw., katanya,"Ya, Rasulullah! Bagaimanakah caranya apabila pakaian kami kena darah haid, apakah yang harus kami perbuat." Jawab Rasulullah,"Apabila pakaianmu kena darah haid, kopeklah darah itu kemudian bersihkan dengan air, dan setelah itu anda boleh solat memakai pakaian anda itu." 195. Cerita dari 'aisyah,katanya:"Salah seorang isteri Rasulullah saw. i'tikaf bersama Rasulullah. Tiba-tiba ia melihat darah kuning keluar dari kemaluannya, dan dia meletakkan sebuah bejana di bawahnya, padahal ia sedang solat."

196. 'Aisyah menceritakan,"Aku ihram bersama Rasulullah saw. pada haji wada'' maka aku termasuk orang-orang yang mengerjakan haji tamatuk dan tidak membawa hadya. Tiba-tiba aku haid dan belum juga suci sampai malam' Arafah. Maka berkata ' Aisyah kepada Nabi saw., "Ya, Rasulullah! Malam ini malam 'Arafah; padahal aku umrah." Jawab Nabi saw., "Bukalah sanggulmu, kemudian bersisir dan berhentilah umrah."

Kata ' Aisyah, "Apa yang disuruhkan Nabi itu, aku laksanakan semuanya. Ketika telah selesai haji, Nabi saw. menyuruh Abdurrahman (saudara ' Aisyah) supaya membawa ku pada Malam hasbah untuk mengerjakan umrah dari Tan'im, iaitu akan ganti umrah yang tadinya gagal aku laksanakan."

197. Cerita dari 'Aisyah mengatakan, "Kami berangkat melaksanakan haji, tepat pada permulaan Zulhijjah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Barangsiapa yang hendak ihram untuk umrah, silakan ihram! " Kalaulah bukan kerana aku tidak membawa hadya, nescaya aku ihram untuk umrah. Beberapa orang di antara kami ihram untuk umrah sedang yang lainnya ihram untuk haji. Dan aku sendiri' ihram untuk umrah. Maka tibalah hari 'Arafah, dan aku haid. Lalu kuceritakan hal itu kepada Nabi saw. Kata beliau, "Tinggalkanlah umrahmu., buka sanggul kepalamu dan bersisirlah. Kemudian ihramlah untuk haji." Apa yang disuruhkan Nabi itu aku lakukan. Ketika malam hasbah tiba, Nabi saw. menyuruh ku bersama saudara ku Abdurrahman bin Abu Bakar pergi ke Tanaim melakukan ihram untuk umrah pengganti umrah yang tadinya gagal kulaksanakan."

198. Diceritakan oleh Anas bin Malik, bahwa Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla telah menugaskan pada rahim wanita, seorang malaikat. Dia berkata, "Ya, Tuhan. Ini nuthfah (air mani). Ya, Tuhan. Ini 'alaqah (segumpal darah). Ya, Tuhan, Ini mudhgah (segumpal daging)." Apabila Allah ingin hendak menyempurnakan kejadian itu sempurnalah dia. Malaikat itu bertanya kepada Tuhan', Laki-laki atau perempuan? Malang atau bahagia? ' Apakah rezekinya dan berapa umurnya?" Lalu semuanya itu dituliskan dalam rahim ibunya.199. Cerita dari Mu'adzah: "Seorang wanita bertanya kepada 'Aisyah, "Cukupkah kami solat apabila kami telah suci tanpa qadha?" Jawab 'Aisyah, "Apakah anda termasuk kaum Haruriyah? Kami juga haid dimasa Nabi saw. tetapi Nabi tidak menyuruh kami qadha (membayar) solat yang tertinggal selama haid" 200. Cerita dari 'Aisyah: Fatimah binti Abu Hubaisy bertanya kepada Nabi saw. katanya: "Saya ini istihadhah dan tidak pernah suci. Apakah aku harus menghentikan solat?" Jawab Nabi, "Tidak! Istihadhah itu dari pembuluh-pembuluh darah. Tetapi berhentilah solat beberapa hari, iaitu pada hari-hari biasanya anda haid. Sesudah itu mandilah dan solatlah!"

201. Cerita dari 'Aisyah, isteri Nabi saw.: "Ummu Habibah istihadhah selama 7 tahun. Lantas kutanyakan hal yang demikian kepada Rasulullah saw. Beliau menyuruh supaya Ummu Habibah mandi saja. Kata beliau, "Istihadhah itu dari pembuluh darah." Sejak itu, Ummu Habibah mandi setiap kali akan solat.

202. Cerita dari 'Aisyah,isteri Nabi saw.: "'Aisyah berkata kepada Rasulullah saw. "Ya, Rasulullah! Shaiyah binti Huyay haid." Kata Rasulullah saw., "Kiranya melambatkan kita. Bukankah dia telah thawaf bersama-sama dengan kamu?" Jawab mereka, "Ya!" Kata Nabi, "Nah, berangkatlah!"

203. Cerita dari Samurah bin Jundab, "Ada seorang wanita meninggal kerana melahirkan. Nabi saw. mensolatkan wanita itu, dan beliau berdiri tentang pinggangnya." 204. Maimunah isteri Nabi berkata: "Dia sedang haid, tidak solat. Dia duduk bersimpuh dekat tempat sujud Rasulullah saw. dan beliau sedang solat di atas sajadah beliau. Apabila beliau sujud, maka sebahagian pakaian beliau mengenai tubuhku. " 205. Berita dari 'Aisyah, isteri Nabi saw., katanya: "Kami pergi bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan. Ketika sampai di Baidak, atau Dzatul Jisy, kalungku putus. Rasulullah saw. berhenti mencari kalungku itu dan rombongan pun berhenti pula bersama beliau. Di tempat itu tidak ada air. Beberapa orang datang kepada Abu Bakar mengatakan, "Tidakkah anda lihat apa yang diperbuat 'Aisyah? Dia memaksa Rasulullah saw. dan rombongan berhenti di tempat yang tidak berair, padahal mereka tidak pula membawa air." Maka datanglah Abu Bakar (ayah 'Aisyah) kepada 'Aisyah. Ketika itu Rasulullah saw. sedang tidur dengan kepala beliau terletak di atas paha 'Aisyah Kata Abu Bakar, " Engkau menahan Rasulullah saw. dan rombongan di tempat yang tidak berair padahal mereka tidak membawa air." Kata 'Aisyah, "Aku dimarahi oleh ayahku (Abu Bakar), dan berbagailah ucapannya kepada ku, sehingga ditusuknya pinggangku dengan tangannya, tapi untunglah aku tidak bergerak kerana Rasulullah saw. sedang tidur di pahaku." Rasulullah saw. bangun tatkala hari telah pagi dan justru air tidak ada. Maka diturunkan Allah ayat tayammum (Kalau kamu tidak memperoleh air, tayammumlah kamu dengan tanah yang bersih, sapulah muka dan tanganmu dengan tanah itu - Al Maidah : 6). Lalu mereka tayammum. Berkata Usaid bin Hudair, "Bukankah itu keberkatan mu yang pertama, hai keluarga Abu Bakar?" Kata 'Aisyah pula, " Setelah itu ku suruh berdiri unta tunggangan ku, maka jumpa kalungku di bawahnya."

206. Jabir bin Abdullah mengabarkan, bahwa Nabi saw. bersabda: "Aku diberi (Allah swt.) lima perkara yang tidak pernah diberikan-Nya kepada seorang pun sebelumku. Yaitu: 1. Aku dimenangkan dengan perasaan gentar pada musuh sejauh satu bulan perjalanan. 2. Dijadikan Allah bagi ku bumi sebagai mesjid dan untuk bersuci (tayammum) Maka di mana saja umat ku berada dan waktu solat tiba, mereka boleh solat di sana. 3. Dihalalkan bagi ku harta rampasan perang, dan belum pernah dihalalkan bagi seorang pun sebelumku. 4. Aku diberi kuasa untuk memberi syafa'at bagi ummat ku di hari kiamat nanti. 5. Nabi-nabi terdahulu diutus untuk kaumnya saja, sedangkan aku diutus kepada manusia seluruhnya.

207. Diberitakan oleh 'Aisyah: "Bahawasanya 'Aisyah meminjam kalung kepada saudaranya, Asma', lalu kalung itu hilang. Nabi menyuruh seseorang mencari kalung itu dan dapat olehnya. Kebetulan waktu solat tiba, sedangkan mereka tidak membawa air. Lalu mereka solat saja. Kemudian mereka mengadukan kejadian itu kepada Rasulullah saw. Maka diturunkan Allah ayat tayammum. Kata Usaid bin Hudair kepada 'Aisyah, "Semoga Allah melimpahkan balasan yang baik bagi mu. Demi Allah, tidak terjadi atasmu suatu perkara yang tidak kamu sukai, melainkan Allah menjadikan yang demikian itu kebaikan bagi mu dan bagi kaum muslimin seluruhnya."

208. Kata Abu Juhaim: "Nabi saw. datang dari arah Telaga Jamal, lalu beliau bertemu dengan seorang laki-laki. Orang itu memberi salam kepada Nabi dan Nabi belum menjawab salamnya, sehingga Nabi menghadap ke sebuah tembok, lalu beliau menyapu muka dan kedua tangan beliau, sesudah itu barulah beliau menjawab salam orang itu."209. Berita dari Abdurrahman bin Abza mengatakan: Seorang laki-laki datang kepada Umar bin Khaththab, dia berkata: "Saya junub, sedang air tidak ada." Lalu Ammar bin Yasir berkata kepada Umar bin Khathab, "Tidak ingatkah anda, ketika saya dan anda dalam suatu , perjalanan. Anda tidak solat (karena tidak ada air untuk wuduk) sedang saya berguling-guling di tanah, sesudah itu saya solat. Kemudian kuceritakan hal itu kepada Rasulullah saw., lalu beliau bersabda: "Cukuplah begini saja - Nabi memukulkan kedua telapak tangannya ke tanah lalu dihembusnya keduanya, kemudian disapukannya

keduanya ke muka dan kedua punggung tangannya."

210. Berita dari 'Imran mengatakan : "Kami menyertai Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan dan kami berjalan hingga jauh malam. Kami berhenti pada suatu perhentian dan segera mengantuk kerana lelah. Tidak ada tidur yang lebih enak bagi seorang musafir daripada tidur di bahagian akhir malam. Sehingga tidak ada yang membangunkan kami selain teriknya panas matahari. Orang yang bangun pertama kali ialah si Fulan, kemudian itu si Fulan, dan kemudian itu lagi si Fulan (nama-nama orang itu ada disebutkan oleh Abu Raja' yang menerima hadis ini dari 'Imran, tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' telah lupa), kemudian itu bangun pula Umar bin Khathab nombor empat. Nabi saw. sendiri apabila beliau tidur, tidak ada yang berani membangunkan, sehingga beliau bangun sendiri; kerana kita tidak tahu apa yang sedang terjadi dengan beliau waktu beliau tidur. Setelah Umar bangun dan melihat apa yang terjadi, padahal dia seorang yang bersikap keras, lalu dia takbir dengan suara sekeras-kerasnya sehingga Rasulullah saw. terbangun oleh suaranya itu. Setelah Nabi bangun, mereka mengadu kepada beliau apa yang telah terjadi (yaitu solat subuh mereka luput kerana tertidur). " Jawab Nabi saw., "Tidak mengapa dan marilah kita berangkat!" Setelah berangkat dan berjalan tidak berapa jauhnya, Nabi berhenti dan meminta air untuk berwuduk. Setelah wuduk dan adzan, maka Nabi solat berjamaah dengan rombongannya. Setelah selesai solat, Nabi melihat seseorang yang menjauhkan diri dan tidak ikut solat berjamaah dengan rombongan.

Nabi bertanya: "Hai, Fulan! Mengapa anda tidak ikut solat berjamaah bersama rombongan?" Jawabnya, "Saya kena jinabah, sedangkan air tidak ada." Sabda Nabi saw., "Gunakanlah tanah, sesungguhnya tanah itu cukup untukmu (bertayammum)." Sesudah itu Nabi saw. dan rombongan meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, rombongan mengadu kepada Nabi saw. bahwa mereka haus. Nabi berhenti dan memanggil si Fulan, yang namanya disebutkan oleh Abu Raja', tetapi 'Auf yang menerima hadis ini dari Abu Raja' lupa namanya, dan dipanggilnya pula' Ali bin Abi Thalib. Kata Nabi saw., "Pergilah anda berdua mencari air!" Keduanya lalu pergi mencari air. Mereka bertemu dengan seorang wanita sedang duduk di antara dua mazadah di punggung untanya. Keduanya bertanya kepada wanita itu, "Di manakah kami boleh memperoleh air?" Jawab wanita itu, "Kelmarin saya telah berjanji akan membawa air ke sini sekarang, kaum kami sedang menunggu-nunggu." Kata keduanya, "Berjalanlah sekarang juga!" Tanya wanita itu, "Kemana?" Jawab keduanya, "Kepada Rasulullah saw." Tanya wanita itu, "Apakah yang anda maksudkan orang yang disebut Ash Shabi (pembawa agama baru) itu?" Jawab keduanya, "Ya, betul orang yang anda maksudkan itu. kerana itu teruslah berjalan kepadanya." Keduanya membawa wanita itu kepada Rasulullah saw. dan menceritakan peristiwa di atas kepada beliau. Kata Nabi saw., "Suruhlah wanita itu turun dari untanya!"

Dan Nabi menyuruh mengambil sebuah bejana, lalu dituangkannya air dari, mulut kedua mazadah itu dan setelah itu ditutupnya kembali, kemudian dibukanya pula mulut mazadah yang lain. Kemudian dipanggilnya seluruh rombongan dan disuruhnya minum, "Minumlah kamu sekalian dan beri minum pula binatang-binatangmu!" Maka minumlah mereka semuanya dan memberi minum pula siapa yang hendak memberi minum binatang-binatangnya. Akhirnya Nabi saw. memberikan sebuah bejana berisi air kepada orang yang kena jinabah. Kata Nabi kepadanya: "Pergilah anda mandi!" Wanita itu berdiri saja memperhatikan apa yang dibuat orang dengan airnya. Demi Allah, setelah seluruh rombongan selesai mengambil air, kami lihat mazadah itu lebih penuh isinya dari sebelumnya. Sabda Nabi saw., "Kumpulkan barang makanan untuk wanita ini!" Maka dikumpulkan orang untuk dia, makan-makanan seperti tamar, susu, tepung. Setelah terkumpul, lalu dibungkus dengan sehelai kain, kemudian wanita itu dinaikkan ke atas untanya kembali dan bungkusan itu diletakkan di hadapannya. , Kata Nabi kepadanya, "Engkau tahu, kami tidak mengurangi airmu sedikit pun. hanya Allah swt. yang memberi minum kami. " Maka sampailah wanita itu kepada kaumnya dan dia terlambat datang. Kata mereka, "Mengapa engkau terlambat, hai, Fulanah?" Jawab wanita itu, "Sungguh ajaib! Saya bertemu dengan dua orang laki-laki, lalu saya dibawanya kepada orang yang di sebut Ash Sahbi (pembawa agama baru). Lalu dibuatnya begini dan begitu. Demi Allah, sesungguhnya dia seorang tukang sihir yang sangat pandai di antara ini dan ini (dia berkata dengan isyarat dua anak jarinya) jari tengah dan jari telunjuk, kemudian mengangkat keduanya ke langit, maksudnya antara langit dan bumi, atau dia itu benar-benar Rasulullah sesungguhnya." Tidak lama kemudian, kaum muslimin menyerang orang-orang musyrik di sekitar kampung wanita tadi, tetapi mereka tidak menyerang kaum tempat asal wanita itu sendiri. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, "Saya kira kaum muslimin itu dengan sengaja tidak menyerang kamu kerana itu Islamlah kamu!" Mereka patuh akan ajakan wanita itu, lalu semuanya masuk Islam.

211. Berita dari Anas bin Malik mengatakan, "Abu Dzar pernah bercerita, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Pada suatu waktu ketika aku berada di Mekkah, tiba-tiba atap rumahku dibuka orang. Maka turunlah Jibril, lalu dibedahnya dada ku, kemudian dibersihkannya dengan air zamzam. Sesudah itu dibawanya sebuah bejana emas penuh berisi hikmat dan iman, lalu dituangkannya ke dalam dada ku, dan sesudah itu dada ku dipertautkannya kembali. Kemudian ditariknya tangan ku, dan ia membawa ku naik ke langit-dunia. Setelah tiba di langit pertama, Jibril berkata kepada pengawal, "Buka pintu!" Malaikat pengawal bertanya, "Siapa itu?" Kata Jibril, "Saya, Jibril!" Kata pengawal, "Adakah orang beserta anda?" Jawab Jibril, "Ada! Muhammad saw. beserta ku." Tanya pengawal, "Sudah diutuskah dia?" Jawab Jibril, "Ya, sudah!" .

Setelah pintu terbuka, maka kami naik ke langit pertama. Sekonyong-konyong kami bertemu dengan seorang laki-laki sedang duduk, di kanan kirinya tampak menghitam kelompok orang banyak. Apabila dia menengok ke kanan dia tertawa, tetapi apabila dia menengok ke kiri dia menangis. Orang itu berujar. "Selamat datang, wahai Nabi dan anak yang saleh." Aku bertanya kepada Jibril. "Siapakah orang ini?" Jawabnya, "Inilah Adam. Kumpulan orang yang banyak di kanan-kirinya ialah roh anak-cucunya. Yang sebelah kanan penduduk syurga dan yang sebelah kiri penduduk neraka. Maka apabila ia menengok ke kanan ia tertawa dan apabila ia menengok ke kiri ia menangis." Kemudian Jibril membawa ku naik ke tempat kedua. Ia berkata kepada pengawal. "Buka pintu!"

Penjaga pintu bertanya kepada Jibril seperti penjaga pintu pertama bertanya, kemudian ia membukakan pintu. Kata Anas. "Rasulullah saw. menceritakan. bahawa di beberapa langit beliau bertemu dengan para Nabi, Adam, Idris, Musa, Isa, dan Ibrahim Shalawatullhi 'Alaihim . tetapi tidak diceritakannya di langit mana masing-masing berada, selain hanya menyebutkan Adam di langit pertama dan Ibrahim di langit keenam.' Kata Anas. Tatkala Jibril beserta Nabi saw. bertemu dengan Idris. Idris mengucapkan salam, "Selamat datang, Wahai Nabi dan Saudara yang saleh." Nabi saw. bertanya kepada Jibril "Siapa ini?"


Yüklə 1,02 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6   7   8   9   ...   34




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin