Dadah dan arak mengancam keselamatan ummah


Renungan: Doa tidak termakbul disimpan untuk akhirat



Yüklə 439,49 Kb.
səhifə13/25
tarix03.01.2019
ölçüsü439,49 Kb.
#89053
1   ...   9   10   11   12   13   14   15   16   ...   25

Renungan: Doa tidak termakbul disimpan untuk akhirat


BERDOA adalah suatu ibadat. Insan dianggap melakukan kebaktian dan ibadat ketika berdoa kepada Tuhannya. Sama ada sesuatu doa dimakbul atau tidak, pahalanya sentiasa ada di sisi Allah.

Justeru, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Doa adalah ibadat.” Setiap doa pula dimakbulkan dari tiga segi, iaitu:

 Doa yang dimakbulkan segera di dunia. Inilah yang biasanya menjadi harapan setiap orang yang berdoa. Ramai di kalangan insan yang memperoleh kurniaan hasil kesungguhan mereka berdoa.

Kadangkala dengan begitu pantas dan kadangkala lewat disebabkan hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui.

Tidak mustahil Allah menerima doa seseorang yang sama sekali dianggap mustahil oleh manusia.

 Doa yang tidak dimakbulkan di dunia, tetapi disimpan untuk balasan kebaikan di akhirat di atas hikmah yang hanya dikehendaki Allah.

Jika ia berlaku, hendaklah difahami bahawa ia adalah pilihan terbaik daripada Allah untuk hamba-Nya. Akhirat adalah kehidupan yang hakiki, kebaikan di sana tidak ada tukar ganti dengan dunia yang sementara.

Allah tidak memakbulkan sesuatu doa secara mutlak di dunia kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia kehidupan alam, baik atau buruk di sebalik sesuatu perkara yang dimohon. Akal manusia kadangkala tidak mampu menjangkau hakikat sesuatu.

 Doa diganti dengan keselamatan diri daripada keburukan yang akan menimpa. Insan terselamat daripada betapa banyak keburukan bukan kerana kehebatannya atau kebijaksanaannya tetapi kerana rahmat Allah yang barangkali berpunca daripada pelbagai doa kepada Allah.

Sesungguhnya, setiap Muslim wajar berdoa kepada-Nya dan jangan berputus asas untuk mendapatkan rahmatnya, selagi ia untuk kebaikan diri kita dan sesama insan serta meminta perlindungan daripada-Nya.


Hargai ilmu jadikan umat lebih kuat


Oleh Abdul Razak Mohamed

KEMAJUAN dan kesejahteraan individu, komuniti atau organisasi bergantung kepada beberapa faktor. Islam ialah ad-din iaitu cara hidup yang sesuai, bukan saja untuk zaman, malah semua manusia.


Allah sudah menentukan prinsip dan unsur kebaikan yang patut menjadi pegangan serta ikutan manusia.

Prinsip dan unsur ini dianjurkan untuk menentukan kejayaan seseorang, komuniti atau organisasi. Sebenarnya ada banyak prinsip penentu kejayaan hidup. Jika diteliti kepada al-Quran, nescaya akan ditemui pelbagai prinsip yang diutarakan untuk ikutan orang mukmin.

Matlamat asas kehidupan di dunia adalah kesejahteraan dan keharmonian supaya laluan ke akhirat menjadi mudah terutama melalui iman dan amal soleh. Dalam ayat 97 Surat an-Nahl, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesiapa beramal soleh lelaki atau perempuan sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala lebih baik daripada apa mereka kerjakan.”

Orang mukmin akan memperoleh kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Namun, apakah faktor penentu kejayaan individu, komuniti atau organisasi agar tersenarai di kalangan orang mukmin serta soleh.

Faktor utama menempah kejayaan ialah nilai baik dipegang seseorang, komuniti atau organisasi. Nilai yang menjadi pegangan ini berperanan dalam mencorakkan ‘cara hidup’ mereka.

Cara hidup berasaskan keimanan dan amal soleh akan mewujudkan keharmonian serta ketenteraman yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan.

Hari ini, umat Islam dilihat sebagai lemah, lesu dan ketinggalan walaupun potensi dan sumber kurniaan Ilahi berada dalam naungan umat Islam.

Sebahagian besar hasil bumi umpamanya minyak berada di negara Islam. Kekayaan individu muslim juga besar. Namun, kemajuan komuniti muslim masih rendah berbanding sumber kurniaan Allah kepada mereka. Mengapa berlaku demikian?

Sebaliknya jika dilihat kepada komuniti bukan Islam, mereka tampak maju dalam banyak bidang. Negara paling maju di dunia sama ada di Barat mahupun di Timur, bukanlah negara Islam.

Negara berkenaan tidak pula dikurniakan Allah dengan sumber rezeki alam melimpah ruah. Sebaliknya, mereka terpaksa mendapatkan sumber berkenaan daripada negara Islam melalui pelbagai cara sama ada manipulasi politik atau ekonomi dan termasuklah juga peperangan.

Ternyata pada masa ini, umat bukan Islam lebih maju, sebaliknya umat Islam ketinggalan. Adakah Allah sengaja membiarkan rahmat-Nya jatuh kepada komuniti bukan Islam dan meninggalkan umat Islam menderita?

Sifat Allah adalah ar-Rahman dan ar-Rahim iaitu Maha Pengasih serta Maha Penyayang. Allah mengurniakan sesuatu kepada sesiapa yang dikehendaki.

Begitu juga dengan kejayaan, Allah kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, apakah syarat untuk memperoleh kejayaan itu.

Individu, masyarakat atau organisasi yang mahu merebut kurniaan kejayaan hendaklah mengamalkan faktor kejayaan ditetapkan Allah.

Di antara yang terpenting untuk diamalkan ialah berilmu, bersih dan menjaga masa.

Nilai pertama menjadi faktor penentuan kejayaan ialah ilmu. Islam meletakkan ilmu pada kemuncak kehidupan manusia hinggakan untuk menjadi mukmin, manusia hendaklah berilmu kerana iman yang hanya ikutan (taklid) tidak dianggap sempurna.

Ketika Allah hendak melantik khalifah di dunia, Allah mengajarkan nama benda kepada Nabi Adam. Tamadun manusia sama ada tamadun Islam atau bukan Islam ditunjangi ketinggian ilmu dalam peradaban itu.

Komuniti yang menghargai dan menuntut ilmu akan maju dan memperoleh kekuatan. Kerajaan Umayyah di Sepanyol, Abbasiyyah di Baghdad dan Uthmaniyyah di Turki menempa kemuncak kekuasaan serta kegemilangan ketika ilmu dihargai, dituntut serta diamalkan.

Pada masa ini, Barat menjadi negara berkuasa kerana membina kekuatan melalui ketinggian ilmu teknologi mereka.

Tamadun Islam juga mencapai kemuncak kekuatan hingga berupaya memperluaskan empayar Islam berlandaskan kekuatan dan ketinggian ilmu.

Untuk menjadi umat kuat, kita hendaklah menghargai dan menuntut ilmu. Bagaimanakah caranya kita menghargai dan menuntut ilmu?

Pertamanya, setiap orang Islam hendaklah mencari dan menambah ilmu mereka. Majlis ilmu hendaklah dihadiri setiap orang.

Seterusnya, orang yang mendapat suatu ilmu wajib pula menyampaikannya kepada orang lain sama ada melalui media cetak atau elektronik atau melalui teknologi internet.

Selain itu, membaca hendaklah menjadi amalan wajib setiap orang, perbincangan, forum dan perbahasan pada peringkat masyarakat.

Nilai kedua yang amat penting tetapi sering diabaikan ialah bersih. Kebersihan membawa ketenangan dan keselesaan untuk menuntut ilmu dan menjalani kehidupan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).” – (Surah al-Syams, ayat 9).

Komuniti Barat yang maju pada masa ini menjadikan kebersihan sebagai nilai asas kehidupan mereka. Bandar, tempat kediaman, pejabat, tandas dan sebagainya dijaga bersih.

Sebaliknya masyarakat kita yang sepatutnya ditunjangi Islam masih dikelilingi kekotoran tidak kira di rumah, jalan, kampung, bandar mahupun tandas.

Sampah dan bahan buangan seolah-olah menjadi teman hidup kerana ke mana saja kita menoleh, maka akan kelihatan kekotoran dan sampah.

Di samping kebersihan persekitaran, kebersihan yang penting adalah makanan yang dimakan setiap hari. Makanan tidak bersih akan mengotori hati yang akhirnya akan menyebabkan seseorang sukar memperoleh ilmu dan mudah menerima hasutan syaitan serta iblis.

Akhirnya, perpaduan umat Islam runtuh, perkelahian menjadi-jadi dan malas menjadi tabiat.

Kekotoran menyebabkan banyak sumber dibazirkan. Pernahkah kita menghitung kos yang terpaksa dikeluarkan bagi membersihkan kekotoran.

Alangkah baik jika wang itu digunakan untuk menjana ilmu daripada hanya membuang kekotoran yang sepatutnya sudah dilakukan setiap individu.

Nilai ketiga yang juga amat penting tetapi tidak diberikan perhatian yang sewajarnya ialah penjagaan masa.

Masa ialah suatu perkara yang apabila sudah hilang tidak dapat diganti lagi. Masa tidak menunggu sesiapa. Individu, komuniti atau organisasi maju sentiasa memaksimumkan faedah daripada masa yang ada.

Sebaliknya individu, komuniti atau organisasi yang mundur adalah sentiasa berlengah serta bertangguh atau membuang masa.

Barat dan masyarakat Jepun memulakan kerja termasuk mesyuarat tepat pada waktunya. Mesyuarat mereka pendek dan penuh persediaan hinggakan mesyuarat bukan lagi menjadi masa untuk bersembang atau bercerita.

Bayangkan jumlah kerugian jika sepuluh ahli mesyuarat memulakan mesyuarat satu jam lewat dari masa ditetapkan atau bas yang membawa 30 penumpang memulakan perjalanan lewat satu jam.

Kelengahan dalam membuat dan menyampaikan keputusan boleh menyebabkan sesuatu pasukan tidak dapat mencapai matlamatnya.

Sesiapa tidak menghargai, malah membuang masa pastinya akan berhadapan dengan kerugian seperti yang dinyatakan al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” – (Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 2).

Sebagai langkah kembali menempa kemajuan dan keagungan, umat Islam secara individu atau kelompok hendaklah mengamalkan tiga nilai asas iaitu menghargai ilmu, mengutamakan kebersihan dan memanfaatkan masa. Nilai ini perlu dilaksanakan melalui revolusi diri tanpa kompromi.



Kataloq: 2009

Yüklə 439,49 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   9   10   11   12   13   14   15   16   ...   25




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2022
rəhbərliyinə müraciət

    Ana səhifə