Ingin bertanya pada hati, bibir berat berbicara siapa yang bertakhta di hati? Hanya dia



Yüklə 116,32 Kb.
səhifə1/4
tarix21.08.2018
ölçüsü116,32 Kb.
#73242
  1   2   3   4

Sinopsis

"INGIN bertanya pada hati, bibir berat berbicara... siapa yang bertakhta di hati? Hanya dia..."

Kata orang cemburu itu tandanya sayang dan boleh menguji sejauh mana perasaan cinta pada kita.. Tetapi kadangkala cemburu itu membuat diri menjadi tak tentu hala.

Perhubungan kasih yang cuba di hulurkan Tuan Megat membuat Miera dalam dilema. Hatinya masih menunggu kehadiran Haikal iaitu cinta pertamanya. Kehilangan Haikal bertahun lamanya tanpa khabar berita membuat Miera tertanya-tanya. Apa salahnya? Dalam masa yang sama sikap Tuan Megat yang sentiasa memburu cintanya meletakkan dia di persimpangan. Seperti janji Tuhan, setiap makhluknya tidak sempurna semuanya. Begitu juga dengan Tuan Megat. Dalam keperibadian yang terjaga masih ada kecacatannya. Demi keluarga, Miera menerima Tuan Megat dengan bersyarat dan cuba memberi ruang untuk mengenali lelaki itu. Tetapi tidak semuanya indah belaka. Panas yang diharapkan gerimis gugur juga. Kehadiran teman lamanya Jay Jay yang lebih bersikap tomboy dan kemunculan Haikal mencabar keegoaan Tuan Megat.

Siapakah yang dapat mengetuk pintu hati Miera hanya beliau sahaja yang tahu. Adakah Haikal kembali merebut takhta dan Tuan Megat menjeruk rasa? Dapatkah Tuan Megat memenuhi syarat yang ditetapkan dan bagaimana pula perhubungan Miera dengan teman karibnya. Perlukah Miera berkorban lagi untuk senyuman orang lain dan gerimis masih meniti bibir hatinya.


BAB 1
"DAH boleh pergi ni...."
Aku berbicara sendiri.
Aku begitu ralit
memeriksa segala peralatan memancing tanpa menyedari
mama sudah berada di belakang, memerhati tingkah lakuku.
"Kau ni nak ke mana, Miera?"
Hampir gugur jantungku bila mama menyergah.
"Mama ni buat Miera terkejut aje. Lain kali bagilah
salam," usikku bila melihat mama menjeling tajam.
"Janganlah mama membebel...." doaku sendiri.
"Kau ni nak ke mana?"
Aku terdiam bila mama sudah bersuara.
"Miera nak pergi memancing kat sungai belakang
rumah tu." Rasa tak tertelan air liur bila menerangkan
rancanganku hari ini.
"Kau nak jadi apa, Miera? Kalah budak lelaki! Abang
kau pun tak seteruk ni."
Aku menghela nafas sambil menadah telinga,
terpaksa mendengar leteran mama sambil menggosok-gosok joran kesayanganku.
"Alah mama, Miera pergi sekejap aje. Lagipun minggu depan Miera dah mula kerja, jadi mesti tak ada masa." Aku cuba memujuk mama membenarkan aku pergi.
"Biarlah dia nak pergi. Bukan ke mana pun!"
Aku tersenyum bila ayah melangkah menghampiri kami. Aku tahu ayah selalu menyokong segala apa yang kubuat kerana ayah lebih percayakan aku daripada mama.
"Abang nikan, selalu menangkan anak kesayangan abang ni...."
Aku melihat mama sudah menarik muka masam.
"Bukan abang menangkan Miera ni... Cuba Maz fikir, dari dia merayau tak tentu arah di kompleks-kompleks membeli-belah, bercampur pulak dengan orang-orang yang tak senonoh, lebih baik dia melekat di sungai. Kita tahu di mana nak cari dia!" terang ayah membuat hatiku kembang.
"Abang memang, suka kalau dia ikut jejak langkah abang, kan? Tunggang motor besar, memancinglah... macam-macam lagilah! Kekadang saya pun tak tahu anak saya ni perempuan ke lelaki!" luah mama sambil matanya menjeling tajam ke arahku.
"Mama ni... ada pulak tak kenal Mira ni lelaki ke perempuan! Miera ni masih tahulah nak bezakan hobi dan sikap." Aku cuba membela diri.
"Betul cakap Mira tu, Maz. Salah anggapan Maz pada anak kita ni...." Ayah sudah mula bersyarah.
"Dahlah, malas saya nak bertekak dengan bapak dan anak ni. Takkan menangnya saya...." rajuk mama sambil bangun mahu meninggalkan kami.

"Sikit-sikit sayang abang ni tarik muncung. Janganlah merajuk, sayang...."


Geli hati aku melihat ayah memujuk mama.
"Mulalah tu! Tak malu langsung dengan anak agaknya?"
Aku lihat muka mama sudah merona merah. Tawa aku dan ayah bersatu melihat tingkah mama. Memang aku dan ayah selalu menyakat mama kerana bagiku mama begitu pemalu sifatnya. Mungkin juga sebab itu ayah begitu setia dengan mama. Aku berharap agar dapat merasai seperti percintaan mama dan ayah, tetapi adakah insan yang mahu menjadikan aku teman hidupnya dengan perangai aku begini? Biarlah masa menentukan segalanya... Bagiku biarlah pasanganku dapat menerima aku seadanya. Terbayang wajah yang satu itu.
BUNYI air yang mengalir membuat aku leka seketika. Kuambil seekor cengkerik yang kubeli tadi dan kucucuk di mata kail lalu kulontar ke dalam air. Kugulung perlahan-lahan talinya sehingga tegang dan membiarkannya. Aku memang suka duduk di tepi sungai ini andai tiada apa yang hendak kulakukan. Sungai ini telah banyak berjasa denganku kerana di sinilah segala rintihan dan kegembiraan kulepaskan. Seperti kata ayah, mama sudah tahu di mana hendak mencariku kalau kelibat ini tiada di depan matanya.
Minggu depan aku akan mula bekerja di sebuah syarikat gergasi di bahagian pentadbiran. Dengan sijil dan pengalaman di tempat lama, aku diterima sebagai Pentadbir Kanan. Itu yang dikatakan rezeki, kata ayah. Teringatkan ayah membuatkan aku senyum sendiri terkenang peristiwa
Siapakah Di Hatiku
tadi. Selamba sahaja ayah menunjukkan kasih sayangnya dengan mama. Romantik sungguh! Adakah suami aku pun begitu nanti?
Haikal... satu nama yang sering sahaja menghiasi bibirku. Tetapi itu dulu, sebelum lelaki itu menghilangkan diri tanpa khabar berita. Aku sendiri tidak tahu apa kesilapanku sehingga aku ditinggalkan sendirian. Nasib baiklah ayah dan mama tidak mengetahui perhubungan kami. Hanya abang sahaja yang mengerti dan sering meniupkan semangat agar aku tidak terus rebah.
Haikal, di mana kau? Kalau tidak suka berkawan dengan aku, beritahu saja.... desis hatiku.
Tiba-tiba aku terasa joranku bergerak. Dengan pantas aku menyentap. Berhati-hati aku menggulung tali agar ikan yang sudah tersangkut di mata kail tidak terlepas. Akhirnya setelah berhempas-pulas, aku berjaya menaikkan seekor ikan keli yang saiznya lebih kurang sama dengan lenganku. Aku akan meminta mama buat masak lemak cili api. Tetapi tentu lebih sedap kalau dibakar dulu. Meleleh air liur beb!
BAB 2

HARI ini adalah hari pertama
aku bekerja di Perfect
Holdings Berhad. Syarikat
gergasi yang mempunyai tiga tingkat ruang pejabat. Aku
ditempatkan di tingkat lima belas manakala tingkat enam
belas adalah bahagian kewangan dan tingkat tujuh belas
hanya untuk pengarah syarikat ini dan pegawai-pegawainya.
Majoriti pekerja di sini adalah Melayu. Hanya segelintir sahaja
yang bukan kaum bumiputera. Memandangkan bahagian
aku masih tidak mempunyai ketua yang kebetulan baru
meletakkan jawatan, jadi segala-galanya diamanahkan kepada
aku untuk sementara waktu. Di bawah tanggungjawabku
terdapat lima orang pekerja, dua lelaki dan tiga perempuan.
Rasa segan apabila aku yang tidak biasa mengarah orang tibatiba
terpaksa berbuat begitu. Aku berjanji untuk membentuk
pasukanku berbekalkan pengalamanku sendiri.
"Cik Miera, ini ada borang permintaan dari
bahagian akaun untuk membeli sebuah printer bagi
menggantikan printer mereka yang rosak."
Tersentak aku apabila Shikin tiba-tiba sahaja
bersuara. Jauh aku mengelamun mengenangkan hal sebulan yang lepas.
"Awak ni Shikin, lain kali bagi salam dulu. Terperanjat saya. Amalkanlah sergah-sergah orang ni!"
Sengaja kujegilkan mata sambil tangan mengurut dada. Terkebil-kebil Shikin bila aku berkata demikian.
"Maafkan saya, Cik Miera. Lain kali saya beri salam dulu."
Pecah ketawaku melihat betapa lurusnya gadis ini.
"Dahlah Shikin, saya memain saja tadi. Errr... apa yang awak cakap tadi?" Aku bersuara bila tawaku reda.
"Ini... bahagian kewangan ada hantar borang permintaan untuk pembelian printer," kata Shikin sambil menunjukkan sekeping borang yang telah siap diisi datanya.
"Baiklah, sekarang saya mahu awak cari quotation dari tiga syarikat pembekal. Saya nak lihat perbandingan harganya," arahku.
"Kenapa banyak sangat?" tanya Shikin.
"Apa yang banyak?" tanyaku semula.
"Quotation tu sampai tiga syarikat," luahnya.
Aku tahu Shikin hairan dengan cara aku bekerja kerana aku lebih suka membuat perbandingan harga sebelum membuat sebarang keputusan.
"Cik Shikin sayang... kalau kita ada tiga quotation dari tiga syarikat, senanglah kita tahu harga pasaran sekarang ni dan senang kita nak buat perbandingan...."
Jawapanku membuat Shikin tersenyum simpul.
"Baiklah Cik Miera, esok saya akan serahkan," janji Shikin akhirnya.

"Awak tak mahu balik ke? Dah pukul berapa ni...." soalku seraya melihat jam tangan.


"Saya nak baliklah ni. Cik Miera tak balik lagi ke?"
Aku pula ditanya.
"Awak balik dulu, kejap lagi saya balik. Ada kerja sikit lagi ni." Aku tersenyum dengan sikap ambil berat Shikin.
"Kalau macam tu, saya balik dululah Cik Miera," pohon Shikin.
Setelah Shikin berlalu, aku segera meneliti kerjaku yang hanya tinggal beberapa muka surat lagi. Bila petang begini, aku memang malas hendak balik dalam keadaan yang sesak. Membawa motosikal besar umpama membawa kereta juga, susah hendak menyelit. Memang salah aku kerana sudah ditegah mama dulu, tetapi memandangkan minat, aku teruskan juga apatah lagi mendapat sokongan daripada ayah dan abang. Baru sekarang sesalan itu tiba. Tetapi kalau aku mengeluh depan mama, mesti ada habuan percuma menanti.
Kulihat jam di pergelangan tangan sudah menunjukkan pukul lapan malam. Tidak sedar masa berlalu. Aku mencapai helmet di meja sisi dan mencapai beg sandangku lantas bergerak ke lif.
Sebaik sahaja pintu lif terbuka, kelihatan seorang lelaki di dalamnya. Tersenyum lelaki itu menyambut pandanganku dan sebagai membalasnya, bibirku merekah dengan spontan. Sedekah sahaja, apa salahnya. Boleh tahan juga orangnya. Tinggi lampai, segak dengan kemeja biru dan bertali leher biru gelap. Briefcase di tangan dan kot terselit di celah lengannya menjadikan dia seperti orang korporat lagaknya.
"Tingkat berapalah agaknya dia ni bekerja?" tanyaku
sendiri di dalam hati sambil mataku mengerling sekilas memandangnya.
Memang aku jarang naik ke tingkat yang melebihi bahagian kewangan. Kalau boleh memang hendak dielakkan. Aku sendiri tidak pernah melihat pengarah syarikat ini yang sering disebut-sebut oleh kakitangan syarikat. Menurut kata mereka, orangnya masih bujang. Kalau sudah dikata bujang, maka banyak borang yang tidak rasmi dihantar.
Lantaklah, aku tidak suka hendak campurkan hal peribadi dan kerjaya. Cukuplah namanya kubawa ke sana ke mari untuk urusan kerja. Megat Shahrizal Bin Megat Shaifulbahri. Satu nama yang menarik tetapi tidak tahulah bagaimana orangnya. Biarlah... yang penting gajiku setiap bulan dimasukkan ke dalam akaun bank.
"Cik, dah sampai."
Termalu sendiri aku bila ditegur. Hai... kenapa aku asyik berkhayal sahaja?
"Terima kasih." Hanya itu sahaja jawapanku sambil melangkah keluar. Terasa berbahang mukaku dan untuk menoleh, tidak sama sekali.
Aku mendapatkan motosikal kesayangan yang terparkir megah di bahagian tempat letak kenderaan yang memang disediakan untuk motosikal. Mangga kunci depan dan belakang kubuka. Memang remeh tetapi itu adalah langkah keselamatan untuk motosikal kesayanganku. Biarlah ambil masa tetapi barang berharga terjaga. Aku tekan suis untuk menghidupkan enjin, tetapi motosikal ini bagaikan tidak mahu berfungsi. Berkali-kali aku mencuba tetapi masih tidak berjaya. Kuperiksa meter minyak. Takkanlah minyak? Baru sahaja kuisi pagi tadi. Mintak-mintak betullah motor ni...! Kuperiksa plagnya, tiada apa-apa masalah. Setiap bulan aku akan menghantar ke mekanik untuk diservis. Janganlah motor ni buat perangai malam-malam begini dan di tempat ini, mampus aku!
Sedang aku terkial-kial berusaha untuk menghidupkan motosikal kesayanganku, sebuah kereta lalu dan tiba-tiba berhenti. Dahiku yang sudah berpeluh bertambah berpeluh bila melihat kereta itu berundur.
"Kenapa?"
Sepatah kata daripada pemandu itu setelah tingkap kereta diturunkan. Alhamdulillah... Rupa-rupanya lelaki yang kutemui di dalam lif tadi.
"Tak ada apa-apa."
Aku cuba menutup keresahan di hati. Kucuba menghidupkan motosikalku sekali lagi, namun masih begitu. Sekali lagi kutekan suisnya dan alhamdulillah motosikalku seakan mengerti dengan keluh-kesahku lantas mengaum enjinnya. Kupulas minyaknya supaya enjinnya cepat panas dan tidak tersengguk-sengguk nanti.
Rambutku yang panjang kuikat dan masukkan ke dalam helmet dan identitiku sebagai perempuan tidak kelihatan setelah menyarungkan jaket kulit.
Aku mengangkat tangan kepada lelaki yang sedari tadi memerhati perbuatanku tanpa bersuara dan bergerak perlahan-lahan.
Lelaki tersebut juga ikut bergerak meninggalkan tempat parkir.
BAB 3

MIERA!!! Miera!!! Tengok
siapa datang ni!"
Terdengar jeritan
mama dari ruang tamu.
Aku yang sedang berpeluh-peluh mengeluarkan
baju yang telah siap dicuci, tersentak. Kenapa mama terjeritjerit
ni? Dah hilang keayuan ke apa? Dengar dari nada suara,
macam gembira aje.
"Kejaplah mama, Miera tengah sibuk ni!"
Malas aku hendak ke ruang tamu. Lebih baik aku
selesaikan kerja, lagi bagus. Entah-entah kawan mama. Penat
kurasakan hari ini kerana menyiapkan kerja rumah. Dari atas
sampai ke bawah, semuanya di atas pundakku. Tugasan
mama hanya memasak. Begitulah yang berlaku kalau hujung
minggu. Sudah jadi undang-undang di dalam rumah ini.
"Marilah sini. Cepatlah!" jerit mama lagi.
"Isy... mama ni ada-ada sajalah!" rungutku sambil
meletakkan bakul baju yang sudah penuh di muka pintu. Aku
membasuh tangan di sinki dan mengelap tanganku yang
basah pada kain batik sarung yang elok terlilit di tubuhku. Belum sempat aku melangkah sampai di sisi pintu...
"Aaahaaahhh...!!!"
Terkejut aku dengan sergahan itu. Akibat dari kejutan itu, tubuhku tersandar di peti sejuk berhampiran pintu.
"Ha ha ha!"
Pecah ketawa insan yang bertanggungjawab dengan kejadian itu. Kutatap wajah menyerupai lelaki yang sedang menekan perutnya. Ketawanya masih bergema. Macam aku kenal bunyi suara tawa itu. Tawa yang sudah bertahun tak kudengar. Betul ke? Kalau diukur dari segi pakaian, sembilan puluh peratus adalah betul.
"Jay Jay...?"
Betul ke di hadapan ini budak yang sama-sama membesar denganku dulu?
"Hmmm... ha ha ha!"
Hanya itu jawapan yang keluar dari bibirnya dan ketawa itu bersambung kembali.
"Jay Jay...?" tanyaku lagi. Soalanku masih dibiarkan tidak berjawab.
"Jamaliah Jamaluddin!!!" panggilku geram.
Serta-merta ketawa itu terhenti.
"Jamaliah Jamaluddin, kan?" tanyaku mohon kepastian.
Betul ke budak ini? Dari segi pakaian masih tidak berubah. Kemeja lengan pendek yang terlipat sedikit di lengan dan seluar jean gedobohnya masih seperti dulu. Rambut yang sentiasa digunting pendek dan cuping telinga
kiri disumbat dengan subang perak dan cuping telinga kanannya dibiarkan kosong. Tubuh badannya yang kurus masih seperti dulu. Lekuk-lekuknya tetap tersorok kemas di sebalik bajunya yang besar.
"Teruklah kau, panggil nama penuh aku!"
Akhirnya bersuara juga Si Jay Jay aku ini.
"Ha ha ha!"
Kali ini gelakku pula pecah. Mimik muka Jay Jay atau Jamaliah Jamaluddin ini berjaya menggeletek hatiku.
"Janganlah gelakkk...!" rayunya sambil tangannya menampar bahuku kuat.
Ketawaku masih bergema di ruangan dapur dan masih tidak dapat kuhentikan. Tadi aksinya bagaikan lelaki macho dan sekarang, sifat keperempuanannya terserlah.
"Kau gelakkan aku," rajuk Jay Jay sambil tangannya masih mendarat di merata tempat dengan tamparan.
"Bukan aku nak gelak tapi dah tergelak... ha ha ha!" Ketawaku yang hampir surut kembali bergema.
"Dahlahhh... pleaseee...!" pujuknya lagi sambil menyatukan kedua-dua belah tangannya menjadi satu sambil mengangkatnya.
"Okey... okey.... Aku diam." Aku menarik nafas panjang dan berdeham berkali-kali.
"Janji jangan gelak macam tadi?" pohon Jay Jay. Jari telunjuknya diangkat sambil matanya bersinar geram.
"Ha ha ha!" Gelakku bersambung kembali. Sisanya masih ada apatah lagi tika melihat gelagat Jay Jay.
"Kau gelak lagi! Janganlah gelak...." rengek Jay Jay sambil menarik-narik lengan bajuku.

"Iyelah, iyelah dear... Aku janji!" akurku sambil menariknya ke dalam pelukanku.


Begitulah panggilan kami sesama sendiri, sehingga ada yang tersalah tafsir. Tidak semesti hanya dengan kekasih hati boleh bersayang-sayang. Persahabatan pun sama juga. Yang penting nawaitu kita.
Bertahun kami tidak berjumpa setelah masing-masing membawa arah sendiri-sendiri. Bila tamat sekolah menengah, Jay Jay mengikut keluarganya berpindah ke Singapura dan kami terputus berita. Memang sedih kerana kehilangan teman karib yang sama-sama membesar tetapi kerana ingin mengubah kehidupan menjadi lebih baik, mereka sekeluarga berhijrah ke sana setelah ayah Jay Jay mendapat tawaran bekerja di negara Singa itu.
Dahulu kami terkenal dengan sikap lasak. Apatah lagi pakaian kami mengalahkan budak lelaki membuatkan kami digeruni di sekolah yang kesemuanya dihuni oleh murid perempuan. Walaupun demikian, kami tahu batas kami dalam hal jantina ini. Sebut sahaja JM, mesti satu sekolah kenal kami. Huruf yang kami ambil dari permulaan nama kami. Memang ada juga orang salah mengerti dengan perhubungan ini dan menggelar kami lesbian tetapi kami tidak ambil kisah kerana bagi kami tahu siapa diri kami. Dengan baju kurung yang dilipat lengan sehingga ke siku dan kainnya kami sentengkan sehingga menampakkan stoking, telah menjadi ikutan para pelajar lain dan sering kali nama kami tercatat dalam buku catatan pengawas. Tetapi itu semua hanya kegilaan zaman remaja kami dan tidak lebih dari itu.
"Aku rindu sangat dengan kau, dear," bisik Jay Jay.
Kami tenggelam di dalam rindu yang bertahun disimpan.
Setelah aku berpindah, Jay Jay tidak dapat mencariku kerana alamat yang diberikan telah hilang semasa aku berpindah dan aku tidak dapat memberitahu di mana aku tinggal. Hampir sebulan aku merana mencari alamat Jay Jay. Setelah abang memujukku dengan berjanji bila besar nanti dia akan cuba mencari Jay Jay untukku, barulah aku akur.
"Aku pun sama, rindu sesangat," ujarku, sebak.
"Bila kau sampai?" tanyaku sambil meleraikan pelukan.
Aku mengelap air mata di pipi Jay Jay dan tangannya segera menarik jariku untuk menghentikan perbuatan itu. Memang Jay Jay tidak suka aku memujuknya kerana baginya itu sifat seorang insan yang lemah kalau sentiasa hendak dipujuk. Entahlah... aku pening dengan prinsip anak dara yang berkulit anak teruna ini. Lantas aku menarik kerusi di meja makan berhampiran dan melabuhkan punggungku di situ.
"Lama kau hilang, kan?" luahku dan Jay Jay ikut sama duduk di kerusi hadapanku.
"Bukan aku hilang, cuma jodoh untuk kita berjumpa belum sampai lagi," usiknya sambil mencapai gelas kosong lantas menuang air suam ke dalamnya. Begitulah Jay Jay, tidak pernah malu bila berada di rumah kami. Kami sudah seperti adik-beradik.
"Kau tak berubah pun." Aku pandang wajah Jay Jay lama. Memang kawanku ini tidak berubah sejak dulu.
"Lahhh... buat apa nak berubah! Aku tetap aku, kan? Yang penting kau tahu siapa aku." Jay Jay mengeluarkan pendapatnya.
"Iyelah... Kau dah kahwin ke?" soalan cepumasku menyerangnya.

Wajah Jay Jay berubah. Renungan tajamnya seakan menikam. Lama kami bertentang mata. Sebenarnya bukan memaut rasa, tetapi berlawan siapa yang terkelip mata dulu. Perlahan-lahan senyuman terukir di bibir Jay Jay tetapi matanya tetap begitu. Keningnya sengaja diangkat beberapa kali.


"Mana aci!!!" Akhirnya aku kalah. Ketawa Jay Jay pecah dan dengan pantas aku menjentik jari runcing yang elok terletak di atas meja.
"Sakitlah, mangkuk!" Jeritan Jay Jay memuaskan hatiku.
"Oit... cakaplah kau dah kahwin ke belum?" Aku bertanya dalam kelelahan tawa.
"Rahsia...." jawab Jay Jay.
"Kau songsang ek?" Sengaja aku menjentik kemarahan Jay Jay lagi.
"Kau memang nak kena, kan? Aku belasah kang!"
Jay Jay sudah bangun dan aku turut bangun. Jay Jay mengejar aku keliling meja. Ketawa kami bergema bersama-sama dan akhirnya kami terduduk di lantai simen.
"Lahhh... kau pakai kain batik ke?" Jay Jay kembali mengenakanku setelah kepenatannya hilang.
"Kenapa? Tak boleh ke?" ejekku sambil menongkat tangan ke belakang.
"Bukan tak boleh, tapi kelakarlah. Seorang budak tomboy dulu yang tak pernah memakai kain kecuali uniform sekolah, sekarang berkain batik. Macam dara sunti!" gelak Jay Jay sambil tangannya cuba menarik-narik kain batikku.
"Hoiii... janganlah! Terburai nanti!!!" jeritku sambil memegang kuat ikatan kain.

"Ha ha ha!" Jay Jay ketawa bagai orang gila dan tarikannya lama-kelamaan dilepaskan.


"Cuak juga kau, ek? Aku ingat terror bebenor tadi!" usik Jay Jay.
"Kau memang!!!" ujarku geram.
"Kau ingat aku ni gila ke nak jatuhkan maruah kawan baik aku? Saja-saja aje tadilah," luah Jay Jay sambil cuba berdiri dan lantas tanganku ditarik sama.
"Lupa nak tanya, tadi kau datang dengan siapa, dear?" tanyaku sambil membetulkan ikatan kain batikku.
"Dengan mak akulah, siapa lagi?" ujar Jay Jay sambil bersandar di kabinet dapur.
"Lahhh... mak kau ada, nape tak cakap?" marahku.
"Kau tak tanya." Selamba Jay Jay menjawab.
"Teruklah kau," luahku geram.
"Biarlah mak aku dengan mama kau tu kat depan. Mungkin dia orang berdua pun tengah bergelak ketawa macam kita," gurau Jay Jay.
"Jomlah join dia orang. Aku pun dah lama tak jumpa mak kau," ujarku sambil menarik tangan Jay Jay agar mengikutiku ke ruang depan.
Kelihatan mama dan mak Jay Jay sedang bersembang tak ingat dunia. Begitulah akrabnya perhubungan kami. Cuma masa membataskan segalanya. Baruku ketahui yang keluarga Jay Jay sudah kembali menetap di Malaysia dan berusaha menjejaki kami. Buat sementara ini Jay Jay masih bekerja di Singapura menanti tamat tempoh kontraknya yang masih berbaki dua tahun lagi. Seronok kurasa bila teman yang memahamiku sudah kembali ke sisiku.

BAB 4

KESIBUKAN suasana bekerja
membuatkan aku tidak sangka
sudah tiga bulan aku di sini.
Teman-teman sentiasa menceriakan keadaan. Mama pula
sudah mula bising kerana masaku lebih banyak dihabiskan
di pejabat daripada menemaninya. Tetapi ayah seperti biasa
menjadi penyelamat dalam apa juga keadaanku. Manakala
Jay Jay sudah lama tidak kutemui semenjak pertemuan
dulu. Bekerja sebagai IT programmer menjadikan Jay Jay
seperti manusia yang hidup di alam lain. Segala masanya
ditumpukan kepada satu-satu projek mengikut deadline.
Hanya telefon dan e-mel sahaja yang menghubungkan kami.
Itu pun sesekali. Bagai orang bercinta pula. Malanglah siapa
yang menjadi kekasih Jay Jay.
Mak Jay Jay juga seperti mama, sering mengeluh
dengan kesibukan kami. Tetapi Jay Jay lagi teruk. Bila aku
menyampaikan keluhan maknya, hanya satu alasan yang
diberikan. Dia ingin menghabiskan projeknya seberapa
banyak yang boleh sebelum dia meninggalkan Kota Singa
itu.

Bayangkan cuma dua tahun lagi, namun entah berapa ribu projek yang Jay Jay kena siapkan. Aku takut bila dia balik ke Malaysia ini rupanya dah tak serupa orang. Kadangkala aku cuba risik juga kalau-kalau perempuan yang berkulit lelaki ini sudah berpunya, tetapi hanya jawapan ‘rahsia’ sering diberikan.


Memang teruk betul Si Jay Jay ni. Bertahun kami terpisah memang banyak cerita yang hendak kami kongsi bersama. Bagaimana dengan kehidupannya di Kota Singa itu setelah berpisah denganku, semuanya hendak aku korek satu per satu. Nantilah kau, Jay. Kalau aku dapat tahu kau sudah ada kekasih tetapi masih nak berahsia dengan aku, pasti telur tembelang aku bagi. Biar dia rasakan penangan telur tersebut.
Lamunanku terputus bila mendengar bunyi telefon di atas meja.
"Cik Miera, Encik Safuan nak berjumpa dengan cik sekarang."
Suara Anis kedengaran di hujung talian.
"Kenapa Anis, ada apa-apa ke?" Aku cuba mengorek rahsia daripada Anis memandangkan aku sudah biasa dengannya.
"Alah… Cik Miera naik sajalah!" Anis tergelak.
"Okey, tak apa... Nanti saya tak mahu belanja awak!" Aku cuba mengugut Anis.
"Ugut nampaknya? Naik sajalah!" Anis memang tidak goyah diugut.
"Tak apalah kalau tak mau cakap. Saya naik sekarang." Aku segera meletakkan gagang telefon.
Hatiku menjadi berdebar-debar setiap kali naik ke
tingkat ini. Mana tidaknya, semua pegawai ditempatkan di sini. Lagipun di sini letaknya bilik pengarah.
Tersenyum Encik Safuan melihat wajahku tersembul di muka pintu biliknya. Sebagai penolong pengarah, Encik Safuan banyak menolongku sejak aku mula bekerja di sini. Segala yang tidak kufahami, sering kurujuk kepadanya. Usianya yang lebih tua daripadaku menjadikan aku lebih menghormatinya.
"Syarikat kita akan mengadakan majlis jamuan tahunan bagi tahun ni. Jadi saya mahu bahagian Cik Miera mengendalikan."
Aku termangu bila menerima arahan tersebut.
"Boleh saya bertanya, Encik Safuan?" Spontan ayat itu keluar.
"Boleh, apa salahnya?"
Senyuman Encik Safuan melegakan hatiku untuk terus bersuara.
"Tahun sebelum ni, siapa yang mengendalikan majlis ini?" Tanpa membuang masa terus aku bertanya.
"Di syarikat ni, setiap bahagian diberi kesempatan untuk mengendalikan majlis tahunan dan tahun ni bahagian Cik Miera pula."
Aku tidak tahu sama ada aku mampu melakukannya ataupun tidak. Mampukah aku? Soalan itu segera berlegar-legar di kepalaku. "Boleh ke?"
Tanpa sedar bisikanku itu didengar oleh Encik Safuan.
"Saya yakin Cik Miera boleh melakukannya."
Aku termalu sendiri bila Encik Safuan menjawab.

Encik Safuan menerangkan serba sedikit tentang majlis yang telah berlangsung pada tahun lepas dan berjanji akan memberi salinan rakaman sepanjang majlis tersebut untuk aku tonton.


"Safuan, you jangan lupa petang ni ya?"
Perbualan kami terhenti bila secara tiba-tiba seorang lelaki masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Tidak ada kesedaran sivik langsung!
"Maaf, I mengganggu rupanya."
Lelaki itu tersenyum ke arah kami sambil meminta maaf di atas keterlanjurannya mengganggu perbincangan kami.
Aku rasa macam pernah melihat wajah ini.
"Taklah, saja nak bincang tentang majlis jamuan tahunan dan kali ni bahagian Cik Miera yang kendalikan."
Senyumanku mati bila melihat wajah lelaki itu serius memandangku.
"Cik Miera, kenalkan... ini pengarah kita Tuan Megat Shahrizal. Cik Miera mesti belum pernah berjumpa dengan tuan pengarah kita ni, kan? Yalah, sentiasa sibuk aje...."
Aku menyambut huluran tangannya. Inilah dia pengarah syarikat yang selama ini hanya aku dengar namanya sahaja. Terasa sejuk tanganku bila berada di dalam genggamannya.
"Megat Shahrizal."
Cara dia perkenalkan diri.
"Miera Eliani," jawabku pula. Yalah, cara dia dah begitu... aku hanya mengikut rentak sahaja.

"Motor dah okey?"


Spontan aku teringat peristiwa itu dan aku hanya mengangguk kerana lidahku kelu untuk berkata-kata.
"Okeylah, kalian sambunglah perbincangan tadi. I nak keluar dan you jangan lupa janji kita." Luahnya pada Encik Safuan sambil berlalu pergi.
Yüklə 116,32 Kb.

Dostları ilə paylaş:
  1   2   3   4




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin