KHUTBAH JUMAAT 16 JAMADILAKHIR 1432H/20 MEI 2011M
GURU MENCORAK GENERASI TERBILANG
Oleh: Ustaz Najion Jamil
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Jin dan manusia diciptakan oleh Allah SWT hanya untuk beribadat kepada-Nya. Ini bererti kehidupan kita di dunia ini mesti dilandasi amal perbuatan yang bernilai ibadah, yakni melaksanakan segala perkara yang disuruh oleh Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan penuh keikhlasan, ihsan dan istiqamah. Inilah satu-satunya jalan bagi mencapai darjat takwa di sisi Allah SWT. Hanyasanya orang yang bertakwa sahajalah yang beroleh keuntungan dan kemuliaan di dunia dan di akhirat.
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Pengetahuan serta keinginan untuk beribadat kepada Allah SWT tidak berlaku secara automatis. Pengetahuan dan kemahuan Mengerjakan ibadah sama ada yang wajib mahupun yang sunat perlu disemai dan disuburkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran atau pendidikan secara formal dan tidak formal. Tanggungjawab ini secara asasinya terpikul di atas bahu para ibu bapa sebagaimana mafhum sabda Rasulullah SAW: “Setiap bayi yang lahir adalah suci fitrahnya. Ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani mahupun Majusi.” (HR. Muslim dan Baihaqi).
Tuntutan ini pula selaras dengan firman Allah:-
Yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah dari manusia dan batu...” (At-Tahrim: 6).
Oleh hal yang demikian, ibu bapa tidak boleh mengabaikan kewajipan mendidik anak-anak khususnya dalam soal akidah, akhlak dan syariah. Hal ini bertepatan dengan pengajaran yang terkandung pada sabda Rasulullah SAW yang antara lain bermaksud: "Ajarkan anak-anak kamu solat ketika mereka masuk usia tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya mereka melalaikan solat apabila mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan)." (HR. Ahmad dan Abu Daud
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Selain daripada memberikan didikan awal mengenai akidah, akhlak dan syariah, ibu bapa juga dituntut supaya menghantar anak masing-masing ke sekolah untuk memperolehi pendidikan secara formal. Tujuan utamanya adalah untuk membangun anak-anak sebagai insan yang berpengetahuan, berakhlak mulia, berketrampilan dan bertakwa supaya tahu dan komited untuk berbakti demi agama, bangsa dan Negara.
Dan di sekolah, anak-anak berkenaan yang diistilahkan sebagai murid ataupun pelajar diasuh dan dididik pula oleh insan-insan yang bergelar cikgu atau guru. Para guru atau pendidik bertanggungjawab menyalur ilmu serta kemahiran di samping membentuk akhlak dan moral pelajar bagi membolehkan mereka menyumbang secara menyeluruh terhadap pembangunan generasi dan negara. Hakikat ini dengan jelas memperlihatkan bahawa menjadi seorang guru yang setiap waktu berkhidmat menyibarkan ilmu pengetahuan supaya generasi hari ini memiliki minda yang cerdas, berdaya saing serta mempunyai sahsiah peribadi yang baik bukan suatu tugas mudah. Yang pasti, kerjaya sebagai pendidik memerlukan semangat, komitmen dan dedikasi yang tinggi yang dilatari oleh kemahiran dan keikhlasan mendidik anak bangsa.
Sehubungan itu, pujangga menukilkan jasa dan sumbangan para guru sebagai:-
Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Jasa para guru yang begitu besar, budi mereka yang ditabur begitu luhur serta khidmat bakti mereka kepada negara yang tidak berbatas tidak mungkin akan dapat diimbal hanya dengan ucapan terima kasih cuma. Ini kerana di setiap ceruk rantau negeri dan negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada seluruh anak bangsa kita. Mereka membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan Negara kita. Pendek kata, sejarah pembangunan negeri dan Negara kita dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan lapangan permainan.
Malah, kejayaan kita berubah dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, adalah berkat kudrat didikan para guru. Demikian juga lonjakan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi terus memerlukan sentuhan didikan berkesan para guru bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara".
Pada masa sama, tema ini juga mengingatkan peranan guru sebagai orang yang bertanggungjawab melakukan transformasi atau perubahan dalam bidang pendidikan bagi memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Dalam kerangka ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia bagi memenuhi aspirasi bangsa dan Negara. Ini tentunya menuntut para guru memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar lebih kreatif dan inovatif dalam mengaplikasi teknik pengajaran dan pembelajaran terkini dan berkesan selain mengupaya diri memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.
Anjakan ini perlu diharmonikan dengan semangat 1Malaysia yang menekankan soal perpaduan nasional. Ini selaras dengan peranan sekolah sebagai tempat paling sesuai dan berkesan untuk menyatupadukan pelajar yang berbilang kaum, agama dan budaya hidup melalui kurikulum dalam bilik darjah dan ko-kurikulum di luar bilik darjah. Jika kena kaedah dan gayanya, insya Allah perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan menjadi amalan dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.
SAUDARA JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH!
Allah berfirman dalam kitab suci-Nya:-
Maksudnya: “Katakanlah adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (S. Az-Zumar: 9).
Melalui ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Justeru, setiap Muslim dituntut menuntut ilmu meskipun terpaksa mengembara jauh hingga ke negeri China kerana ilmu itu besar manfaatnya. Hanya melalui proses pembelajaran melalui bimbingan guru potensi akal dapat digilap untuk menerima pelajaran sehingga berupaya menguasai ilmu yang berbagai cabang dan disiplin.
Hakikatnya, setiap seorang daripada kita sama ada seorang pemimpin, pengurus, jurutera, peguam, doktor, akauntan, ahli sukan mahupun peniaga, petani, nelayan dan sebagainya, pernah melalui asuhan dan didikan oleh insan yang bergelar guru. Malah, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa jasa dan pengorbanan warga pendidik yang dihormati masyarakat sebagai cikgu. Justeru hanya kepada Allah SWT sahaja kita pohonkan doa semoga warga pendidik yang besar jasa dan pengorbanannya terhadap agama, bangsa dan tanah air tercinta ini diganjari pahala yang berkekalan di dunia dan di akhirat. Firman Allah:-
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (S. Al-Mukmin: 60).
Disediakan oleh:
Bahagian Penyelidikan dan Informasi
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
Dostları ilə paylaş: |