Islah Pemikiran Ke Arah Penyatuan Ummah



Yüklə 74,81 Kb.
tarix07.01.2019
ölçüsü74,81 Kb.
#91451


Islah Pemikiran Ke Arah Penyatuan Ummah

Pengenalan

Penyatuan ummah adalah isu utama yang diperbincangkan di kalangan sarjana Islam khususnya selepas kejatuhan Khilafah Islamiah pada tahun 1924. Pelbagai faktor dan penyelesaian dikemukakan dalam usaha untuk mengembalikan semula kekuatan dan kegemilangan peradaban Islam yang berpaksikan kepada semangat ‘persaudaraan Islam’. Makalah ini mempunyai matlamat yang sama. Namun begitu, penulis hanya membincangkan pemikiran seorang tokoh muslih dan mujtahid Islam di abad 14H, iaitu Badi al-Zaman Said Nursi (1294-1379H/1877-1960M).

Perbincangan akan menyentuh berkenaan satu aspek pembaharuan yang terpenting, iaitu islah pemikiran. Idea-idea islah pemikiran tokoh ini amat wajar dikaji secara mendalam disebabkan kesesuaian dan kepentingannya yang bukan hanya terbatas kepada zaman beliau sahaja, bahkan kepentingannya juga cukup jelas jika dilihat dalam konteks semasa, khususnya di Malaysia.

Sorotan Sejarah Perselisihan Ummah

Perbezaan pendapat dan pandangan serta kepelbagaian pemikiran manusia adalah isu yang sentiasa menjadi perhatian para pengkaji dan penganalisis terhadap pemikiran manusia semenjak dahulu lagi. Isu ini juga sentiasa dianggap ’panas’ dalam konteks pemikiran Islam, khususnya selepas zaman Nabi s.a.w. Pada zaman Baginda s.a.w., setiap perselisihan pandangan akan berakhir dengan penyatuan dan keterikatan kepada satu pandangan sahaja melalui ijtihad Rasulullah s.a.w. ataupun 2 dengan penurunan wahyu. Akan tetapi, hal ini tidak berterusan selepas ketiadaan Rasulullah s.a.w., sedangkan masyarakat Islam perlu berhadapan dengan isu-isu baru yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Keadaan ini menuntut kepada ijtihad. Dengan berlalunya zaman ke zaman, perselisihan makin memarak dengan meluasnya ijtihad.

Dengan demikian, ulama’ Islam semenjak awalnya memahami bahawa kestabilan hidup hanya akan berlaku dengan ijtihad. Ijtihad pula pastinya akan membawa kepada perselisihan kerana adalah mustahil untuk menyatukan para mujtahid dan masyarakat kepada satu pandangan. Para ulama’ telah menyimpulkan bahawa pengetahuan dan hakikat keilmuan dalam semua aspek tidak terlepas dari tiga pecahan berikut:

i. Kebenaran yang putus, iaitu yang tidak harus berlaku perselisihan padanya. Bahagian inilah yang dinamakan sebagai ‘al-ma’lum min al-din bi al-darurah’. Ia meliputi asas akidah dan hukum-hukum syarak yang bersifat umum.

ii. Bahagian yang diputuskan akan kebatilannya. Bahagian ini merupakan lawan kepada bahagian pertama di mana sesuatu yang diputuskan akan kebenarannya, maka secara tidak langsung, ‘lawannya’ akan diputuskan batil seperti kekufuran dan syirik dalam akidah, kezaliman dan kerosakan (al-fasad) dalam muamalat.

iii. Bahagian yang berada di pertengahan antara bahagian pertama dan kedua. Bahagian ini tidak mempunyai dalil syarak dalam menentukan kedudukannya. Dengan demikian, ia ‘tergantung’ di antara kesahihan dan kebatilan. Bahagian inilah yang menjadi medan ijtihad dan secara tidak langsung berperanan meluaskan titik perselisihan.

Menyoroti sejarah Islam khususnya catatan kegemilangan peradabannya, perselisihan dan perbezaan pandangan menjadi faktor utama ke arah perkembangan ilmu dan pemikiran pada zaman-zaman awal Islam. Ini terbukti dengan wujudnya beberapa aliran ‘madaris ijtihadiyyah’ dan pemurnian pelbagai cabang pengetahuan lampau. Di samping itu, wujud juga apa yang boleh dinamakan sebagai metode perdebatan dan majlis-majlis yang berperanan menemukan pihak-pihak yang berselisih pandangan untuk berdialog dan berhujah. Namun begitu, pada peringkat ini, kita tidak melihat perselisihan pandangan ataupun perdebatan menjadi sebab kepada pertelingkahan dan permusuhan sehingga boleh melemahkan kekuatan dan penyatuan di kalangan masyarakat Islam.

Sungguhpun begitu, era kegemilangan dan percambahan ilmu melalui dialog dan debat ini tidak berpanjangan. Perselisihan negatif (madhmum) mula mengambil tempat perselisihan yang membina (mamduh). Maka umat Islam mula berpecah disebabkan perbezaan kefahaman dan ijtihad dan sentimen taasub terhadap pandangan-pandangan tertentu mula ketara sehingga apa yang diutamakan dalam perdebatan ilmu hanyalah untuk memenangkan pegangan mazhab masing-masing.

Inilah antara sebab ’kebantutan’ pemikiran Islam di zaman-zaman mutakhir di mana setiap orang taasub dengan pandangan sendiri dan ’menyerang’ orang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengannya. Hal ini berterusan sehingga ke zaman kita ini dalam bentuk jelas dan amat ketara sekali. Nursi menggambarkan fenomena ini dengan katanya; Sesungguhnya mereka yang sezaman denganku – malangnya – walaupun mereka adalah generasi abad ke 13 H, tetapi mereka masih menjadi imbauan abad-abad pertengahan dari sudut pemikiran dan peradaban. Mereka seumpama indeks, contoh dan campuran kesilapan bagi zaman lampau dari abad ke tiga hingga ke abad 13 H sehinggakan banyak dari perkara badahiyyat di zaman ini masih kabur pada pandangan mereka (Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id, Sayqal al-Islamterj. Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, 1995, hlm. 24.) Selepas bermulanya kebangkitan Islam di zaman moden dan pada masa yang sama, dilihat tunas-tunas kebangkitan pemikiran Islam telah mula tumbuh kembali. Dan isu yang perhatian di kalangan ramai tokoh muslih adalah ’perselisihan pandangan’ kerana mereka memahami isu ini perlu difahami dan dicari penawarnya dengan kadar segera agar kebangkitan Islam berjalan lancar. Antara salah seorang tokoh muslih moden yang berusaha merungkai persoalan ini dan mengutarakan penawarnya ialah Badiuzzaman Said Nursi.

Bermulanya abad ke 20M, Nursi mengamati secara mendalam permasalahan perselisihan di kalangan umat Islam untuk mencari punca sebenar permasalahan. Di dalam Maktubatnya, Nursi menimbulkan persoalan; Soalan yang penting dan amat menghairankan, kenapa boleh berlaku perselisihan di kalangan orang yang beragama, ulama’ dan shaykh-shaykh tarekat sufi sedangkan mereka adalah golongan yang benar, bersatu dan berkasih sayang sehingga masing-masing berlumba-lumba dan bercakaran. Pada masa yang sama, ahli-ahli dunia dan mereka yang lalai, bahkan termasuk juga golongan yang sesat dan nifaq, sesama mereka tidak pula berlaku percakaran dan hasad dengki.

Hakikatnya, kesepakatan adalah sifat golongan yang bersatu dan berkasih sayang dan perselisihan pula adalah sifat yang biasanya wujud di kalangan ahli nifak dan suka bersengketa. Bagaimana boleh terjadi perubahan antara yang benar dan yang batil sehinggakan ’yang benar’ berada di pihak ini (ahli dunia) dan ’yang batil’ pula di pihak itu (ahli agama)!!!2 Di dalam al-Khutbah al-Shamiyyah, Nursi melahirkan rasa kesedihannya di atas perselisihan, perbalahan dan perpecahan umat Islam yang disifatkannya sebagai ’suka bermusuh’ dan ’jahil terhadap ikatan ruhani antara mukmin’.3 Situasi begini menurutnya adalah kejumudan serta kemunduran umat Islam.4

2Al-Nursi, Badi al-Zaman Said, al-Maktubat, terj. Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, 2001, hlm. 347.

3Al-Nursi, Badi al-Zaman Said, al-Khutbah al-Shamiyyah, terj. Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, t.th., hlm. 30-31.

4Al-Nursi, Badi al-Zaman Said, Sirah Dhatiyyah, terj. Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, 1998, hlm. 314.

Bagi merungkaikan persoalan ini, penulis akan membincangkan tiga elemen asas berdasarkan pemikiran Nursi, iaitu;



i. Faktor Perselisihan dan Perbalahan Serta Kaedah Rawatannya

ii. Asas Teori Ke Arah Penyatuan Pemikiran

iii. Asas Amali Ke Arah Penyatuan Pemikiran

Faktor Perselisihan dan Kaedah Menanganinya

Sebagaimana yang telah disebutkan, perselisihan pemikiran dalam konteks ’berijtihad’ di zaman salaf salih membawa kepada perkembangan pemikiran Islam. Perselisihan ini berlaku apabila semua pihak bermatlamat untuk mencapai kebenaran dan akan kembali kepada kebenaran tersebut tanpa melihat kebenaran itu dari pihak mana. Atas maksud ini, ulama’ mensyaratkan bagi seseorang mujtahid itu untuk mengetahui titik persepakatan (ijma’) dan titik perselisihan (khilaf) dan perlu mengambil kira pandangan yang bertentangan ketika berijtihad. Dengan ini, tidak semua perselisihan itu dicela melainkan sekiranya ia membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Nursi cukup memahami fenomena ini dan mengungkapkannya dalam bentuk ’perselisihan positif’ dan ’perselisihan negatif’.

Menurut Nursi, perselsihan yang positif ialah ’perselisihan wasilah’ sedangkan matlamat dan asasnya adalah satu. Perselisihan seperti ini baginya akan dapat memberikan sumbangan dalam menemui hakikat dan mampu menzahirkan salah satu sudut hakikatv tersebut dengan cara yang jelas. Beliau merujuk perselisihan bentuk ini kepada hadis nabi yang berbunyi, ’ikhtilaf ummati rahmah’.

Bagi beliau, kerahmatan itu hanya berlaku sekiranya setiap orang berusaha untuk mempromosikan pendiriannya dan menzahirkan kebenaran pandangannya, tanpa meruntuhkan pendirian orang lain atau mencela atau membatilkan pandangannya.

Bahkan, ia berusaha untuk menyempurnakan kekurangan dan mempaikinya Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 347.

semampu mungkin.6 Pandangan Nursi ini menjelaskan akan pentingnya peranan ’membina’ ketika wujudnya perselisihan pandangan dan bukannnya ’meruntuh’ dan ’mencela’ pandangan pihak lain.

Perselisihan negatif pula, menurutnya, adalah yang bertujuan untuk mendapatkan kemasyhuran dan dianggap sebagai beliaulah satu-satunya yang betul dan tepat sehingga menidakkan pendirian orang lain. Nursi menganggap sikap ini berpunca dari perasaan dengki, dendam dan permusuhan. Keadaan ini bertentangan dengan sifat perselisihan yang disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. Tidak wujud pembinaan pemikiran dalam perselisihan ini kerana perdebatan dan pencarian hakikat dengan bermatlamatkan kepentingan peribadi, untuk menguasai, dilihat hebat, memenuhi tuntutan nafsu jahat, mengejar kemasyhuran dan penonjolan. Maka cahaya kebenaran, menurut Nursi, tidak akan terpancar dari perbincangan dan perdebatan seperti ini.

Bentuk perselisihan kedua inilah yang akan dibincangkan di sini. Perselisihan inilah yang menyebabkan kejumudan dan kemunduran dan Nursi berusaha mendiagnosis malaise (penyakit ummah) ini dan mengesyorkan penawarnya agar perselisihan bertukar kepada perselisihan yang membina.



i. Kejahilan terhadap hakikat Islam dan persangkaan wujudnya pertentangan antara Al-Quran dan Sains

Faktor ini menyebabkan masyarakat Islam terpecah kepada dua dan masing-masing mengambil sikap bermusuh ketika berinteraksi antara satu sama lain. Setiap kumpulan membodohkan yang lain dan meletakkan pelbagai gelaran buruk.

Kumpulan pertama ialah golongan ulama’ dan para shaykh tradisional yang menolak setiap pembaharuan serta mamandang serong kepada mereka yang belajar

Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 347.

Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 347.

ilmu-ilmu moden dan menganggap mereka tergelincir dari landasan agama. Manakala kumpulan kedua pula ialah golongan penuntut aliran moden yang tidak mengenali Islam melainkan pada syiar dan ibadat khusus sahaja. Kedua-dua kumpulan ini menyangka wujudnya pertembungan antara al-Quran dan sains moden. Maka golongan pertama menolak pembaharuan dan golongan kedua pula menafikan kesyumulan dan kesejagatan Islam. Perselisihan pemikiran dan metode seperti ini telah mengeruhkan nilai akhlak dalam masyarakat Islam dan meminggirkan mereka dari arus kemajuan semasa.

Disebabkan pertelingkahan sesama Islam ini, hakikat Islam dan hidayah al-Quran terhijab dari masyarakat bukan Islam. Pada masa yang sama, kebaikan yang wujud dalam peradaban Barat pula terhjab dari masyarakat Islam. Situasi ini dijelaskan oleh Nursi dengan menggambarkannya sebagai antara faktor yang membawa kepada terjadinya gerhana mentari Islam. Katanya; Manakala penghalang kelapan, penghalang paling utama iaitu sangkaan kita dan juga masyarakat bukan Islam dengan persangkaan yang salah bahawa wujudnya pertentangan dan pertembungan dalam beberapa aspek antara Islam dan sains… Ya sesungguhnya faktor terbesar yang mencabut keselesaan orang Islam di dunia dan menghalang orang asing dari mengecapi kebahagiaan akhirat, dan terhijabnya sinaran Islam dan terjadi gerhananya ialah salah faham dan sangkaan bahawa pertentangan Islam percanggahannya terhadap hakikat sains… Kefahaman yang salah ini telah meninggalkan kesannya sehingga ke saat ini. Ia melemparkan keraguannya ke dalam diri dan menutupkan pintu-pintu kemajuan dan pengetahuan terhadap bangsa Kurdi dan yang sepertinya..

Nursi melihat jalan penyelasaian yang perlu diambil untuk mempertautkan pengajian tradisional dan moden ialah dengan melakukana islah kepada bentuk sistem pendidikan agar ilmu-ilmu moden dan falsafah kemanusiaan bergerak seiringan dengan tuntutan Islam. Menurut Shukran Vahide, Nursi membahagikan perkembangan sejarah kemanusiaan kepada dua aliran iaitu aliran kenabian dan aliran falsafah kemanusiaan. Nursi mempertemukan kedua-dua aliran tersebut pada

Muhammad Harb, al-‘Uthmaniyyun fi al-Tarikh wa al-Hadarah, Dar al-Qalam, Damshik, t.th., hlm. 261.

Al-Nursi, Sayqal al-Islam, hlm. 23-24.

unsur kemanusiaan dan menjelaskan kesudahan aliran-aliran itu. Aliran kenabian yang merupakan wahyu berdialog dengan hati manusia, manakala aliran falsafah pula berdialog dengan akal manusia. Kesepakatan antara kedua-duanya adalah matlamat sebenar dialog tersebut. Ini bermakna falsafah berfungsi dengan baik apabila menuruti dan mendukung agama serta kenabian. Apabila ini berlaku manusia akan merasai kebahagiaan dan hidup dalam keadaan tenang dan selesa.

Namun begitu, sekiranya berlaku perpisahan antara keduanya, maka cahaya dan kebaikan tersisih kepada aliran kenabiaan. Aliran falsafah pula akan terkumpul keburukan dan kesesatan sebagaimana yang berlaku di Barat.

Ini bermakna wahyu berfungsi sebagai pembimbing dan pemurni kepada pemikiran manusia. Pemikiran ini mempertautkan antara agama dan dunia, antara sains dan al-Quran, maka kedua-duanya seumpama dua wajah yang terbentuk pada satu syiling. Setiap satu berhajat dan menjadi sempurna dengan bantuan pihak yang lain. Nursi menyebut;

Sinaran hati ialah ilmu agama. Cahaya akal pula ialah ilmu moden. Dengan kesepakatan antara keduanya maka terserlah hakikat (kebenaran). Apabila terpisah, maka muncullah kesangsian dan keraguan di pihak ini dan di pihak yang satu lagi muncullah sikap taasub Penyelesaian melalui integrasi ilmu ini memerlukan ilmu-ilmu agama diajar di sekolah aliran moden bagi memelihara pelajar dari sifat keraguan terhadap agama dan atheis. Ilmu-ilmu sains pula perlu diajar di sekolah aliran agama agar pelajarnya terselamat dari sifat taasub dan jumud. Nursi memulakan sistem integrasi ini di Sekolah Hor Hor. Risale-i Nur sendiri membuktikan pendekatan keintegrasian ilmu menjadi metode penghujahan beliau sehingga ilmu-ilmu moden dilihat mendukung dan membenarkan hakikat wahyu.

Shukran Vahide, 1992, Mu’allafat Badi’ al-Zaman ka namudhaj li taqdim al-Islam ila algharb,

Prosiding Mu’tamar Badi’ al-Zaman Sa’id al-Nursi, hlm. 222-223.

Al-Nursi, Sayqal al-Islam, hlm.

Urkhan Muhammad ‘Ali, al-Nursi Rajul al-Qadr fi Hayat Ummah, Sharikat al-Nasl li al-

Tiba’ah, Istanbul, 1995, hlm. 25.

ii. Ketundukan kepada nafsu dan ketiadaan kekuatan diri dengan tarbiah ruhani

Kekadang ilmuan itu boleh terpedaya dengan ilmunya sehingga dirasakan dirinya tidak memerlukan kepada pendidikan, penyucian dan penjagaan ruhaninya. Dia menyangka bahawa keperluan tersebut hanya tertentu kepada masyarakat awam dan orang-orang yang sesat. Dengan perasaan ini, maka dia sebenarnya telah membuka kecenderungan dirinya kepada keburukan dan permainan nafsunya. Ini mengundang kepada permusuhan dan perbalahan yang mana ia terjadi apabila nafsu mula bergerak mencari kemasyhuran dan ketinggian. Penyakit dalaman ini amat mudah menghidapi golongan agamawan dan ilmuwan disebabkan status dan pandangan masyarakat yang terlalu tinggi terhadap mereka. Di samping itu, keadaan ini diparahkan lagi oleh habuan berbentuk keduniaan (pangkat dan wang) yang diberikan oleh pihak tertentu sehingga masing-masing berebut-rebut dan berlumbalumba mengejar habuan tersebut. Ini mengakibatkan wujudnya persaingan dan permusuhan, hasad dengki sehingga kemuafakatan menjadi kepura-puraan dan perpaduan pula berubah menjadi perselisihan dan perpecahan. Antara tipu daya keegoan ialah seseorang merasakan dirinya benar dan orang yang berbeza pandangan dengannya pula dirasakan salah, maka perselisihan dan persaingan negatif akan menggantikan kesepakatan dan kasih sayang. Dan pada masa yang sama akan hilanglah keikhlasan dan gugurlah amalannya serta kesannya yang baik (yang diharapkan) terlalu jauh untuk dicapai.

Penawar bagi permasalahan dalaman ini, menurut Nursi ialah pendidikan dan penyucian diri yang dilakukan oleh seseorang ilmuwan sepanjang hidupnya. Pendidikan jiwa ke arah keikhlasan yang berpanjangan boleh dibentuk melalui pengamatan terhadap beberapa ayat al-Quran seperti di bawah ini.

Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 227.

Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 228.

Maksudnya: Aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah Yang Aku sampaikan itu); balasanKu hanyalah dari Allah semata-mata Bur Maksudnya: dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah Dengan penjelasan Yang terang nyata”.

Maksudnya: hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah.

Antara penawarnya lagi ialah dengan sentiasa mendampingi para salikin dan salihin. Nursi mengingatkan dengan katanya;

Keikhlasan adalah pembebas dan penyelamat daripada azab. Permusuhan dan keingkaran menggoncangkan kehidupan maknawi seorang mukmin, maka kesucian pengabdiannya terhadap Allah akan tercalar apabila hilangnya keikhlasan. Hal ini berlaku kerana yang mengingkari itu dengan berpegang dengan kepada pendapatnya dan kumpulannya berusaha menundukkan penentangnya sehinggakan dalam perkara yang baik sekalipun. Maka dengan itu, dia tidak akan diberikan panduan sepenuhnya untuk menjadikan amalannya ikhlas kerana Allah. Kemudian dia juga tidak akan dipandu ke arah keadilan kerana dia pastinya sendeng kepada mereka mendukung serta bersetuju dengannya atas apa yang dinyatakan dan dilakukannya. Beginilah bagaimana dua asas terpenting (keikhlasan dan keadilan) dalam melakukan kebaikan akan terpinggir disebabkan oleh perseteruan dan permusuhan.15

15Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 253.



iii. Pengabaian prinsip keutamaan

Kekadang sesuatu amalan itu baik menurut syarak, tetapi keperluan kepada amalan yang lain lebih utama dan dituntut. Sebahagian umat Islam banyak menghabiskan masanya dengan berwirid dan berzikir dengan meninggalkan medan perjuangan sebenar. Maka amalan wirid dan zikir menjadi penyebab kepada terbantutnya kesepakatan umat dan ini akhirnya melemahkan umat Islam itu sendiri. Nursi menyebut;

Demikian kerana permasalahan yang kamu sangkakannya hanya satu juzuk atau remeh, kemungkinan dari sudut jihad maknawinya ia mempunyai kepentingan yang besar. Sepertimana kawalan pasukan tentera di sesuatu sempadan dalam jangka masa tertentu mungkin nilainya menyamai setahun ibadah16

Nursi dengan ini menasihatkan umat Islam agar menjadi seorang sufi mujahid yang bukan hanya berjuang di atas sejadah, bahkan perlu mengembeling tenaga bersamasama menghadapi permasalan masyarakat secara praktikal (turun padang).

Peringatan juga diberikan kepada golongan pimpinan dan agamawan agar penekanan ucapan mereka difokuskan kepada perkara besar dan memberi impak positif kepada Islam. Penekanan yang silap boleh membentuk tanggapan yang salah daripada masyarakat dan berkemungkinan juga menambahkan jurang pemisahan di kalangan masyarakat Islam. Menurut beliau, golongan wu’ad yang mengabaikan prinsip keutamaan, ucapan-ucapan mereka boleh menjadi penghadang besar kepada hakikat agama yang suci.17

Rawatan kepada masalah ini ialah dengan kembali kepada pertimbangan akal dan syarak yang mempertimbangkan amalan dengan melihat kepada maqasid, hikmah dan matlamatnya serta kepentingannya pada sesuatu masa.

16Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 236.

17Al-Nursi, Sayqal al-Islam, hlm. 46.



iv. Berleluasanya autokrasi dan penularan sikap taklid dan taasub

Penyakit ini menjadikan seseorang itu tidak meraikan hak orang lain dalam berpandangan dan berijtihad sehingga dia tidak berpaling melainkan kepada pandangannya sahaja. Hal ini sudah tentu tidak memungkinkannya untuk meraikan pandangan seseorang yang bercanggah dengan pandangannya. Baginya, dialah terbaik dalam berijtihad. Nursi menyebut, ”pandangan autokratik dan pemikiran ketunggalan (infiradi)…merosakkan amalan manusia walaupun sebenarnya manusia itu ditugaskan secara fitrahnya untuk memelihara haknya melalui pemeliharaannya terhadap hak-hak orang lain”.18 Sikap taasub terhadap seseorang atau satu golongan (mazhab) yang timbul dari kecintaan yang keterlaluan disebabkan ciri-ciri keagamaan, kewarakan serta kesolahan, tidak boleh menjadi penghalang dalam bidang ilmu pengetahuan daripada itqan dan dabt.Boleh jadi seseorang yang warak di zamannya, namun pada masa yang sama tidak sesuai diambil darinya ilmu tertentu disebabkan bukan keahlian, beliau dianggap thiqah tetapi tidak dhabit dalam istilah ulama’ hadis. Antara kritikan Nursi terhadap sebahagian ulama’ di zamannya ialah taasub kepada mazhab fiqh tertentu dan memandang buruk mereka yang keluar daripada pegangan mazhab. Ada di antara mereka yang keluar dari mazhabnya ataupun berijtihad di luar ruang lingkup sesebuah mazhab, maka keilmuan serta agama mereka terdedah kepada kutukan dan celaan. Bagi Nursi, golongan agamawan yang bersikap taasub ini memudaratkan kepentingan masyarakat dan agama sehingga ciri-ciri ulama’ su’ wujud pada diri mereka.

Inilah beberapa faktor perselisihan dan pertikaian yang disebutkan oleh Nursi dalam beberapa tempat di dalam Risale-i Nurnya. Faktor-faktor inilah yang menjadikan masyarakat Islam di zamanny, bahkan juga di zaman kita berpecah kepada puak, kumpulan yang saling bercakaran dengan gelaran buruk serta makian.

Kita dapati adanya golongan Syiah dan Ahli Sunnah, golongan sekular dan para fuqaha’ tradisi dan tarekat-tarekat sufi serta ahli Zahir. Keadaan perpecahan ini wujud sehingga kini yang kekadangnya bertambah dari penamaan dan istilah dan sifat, bahkan terkadang sampai kepada peringkat mengkafirkan sesama sendiri.

18Al-Nursi, Sayqal al-Islam, hlm. 433.

Sebahagian daripada kita mendakwa kebenaran di pihaknya dan menjadikan pihak lain sebagai medan sindiran dan pandangan mereka sebagai mengarut. Bahkan tidak kurang pula yang tiada usaha dan kerjanya melainkan untuk menolak hujah dan memperlekehkan pandangannya. Lebih menyedihkan, perlakuan buruk ini berlaku terhadap isu-isu yang bersifat khilafiyyah. Itulah ulasan yang dibuat oleh Prof. Ikawi terhadap fenomena perselisihan dan kesan negatifnya dalam masyarakat Islam.19 Berkemungkinan seluruh dunia Islam menghadapi situasi yang sama yang sewajarnya ditangani dengan segera dan dengan cara yang baik.



Asas Teori Ke Arah Penyatuan Pemikiran

Apa yang dimaksudkan ialah kaedah-kaedah yang termaktub di dalam al-Quran dan disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadisnya. Termasuk dalam kategori ini juga, kaedah yang diterima oleh akal dan dipandu oleh peredaran masa dan perubahan kehidupan manusia. Dan ia sama sekali tidak pula bercanggah dengan wahyu. Dengan kaedah ini, dapat didekatkan dan disatukan pemikiran masyarakat Islam. Seterusnya, dapat pula dijinakkan hati mereka dan disatukan usaha dan ijtihad mereka berasaskan kepelbagaian pemikiran dan pandangan. Pada masa yang sama, kaedah ini mampu memperkukuhkan ikatan dialog dan kerjasama yang bermanfaat antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Secara ringkasnya, asas-asas ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, asas syarak dan asas akal.



Asas Syarak

Asas syarak yang dimaksudkan di sini ialah ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan kewajipan menjaga hubungan sesama 19‘Ikawi, ‘Abd al-Karim, Juhud al-Nursi fi irsa’ usas al-wihdah al-fikriyyah wa tadhbit al-hiwar al-‘ilmi fi ‘asrihi, dalam Juhud Sa’id al-Nursi fi Tajdid al-Fikr al-Islami, Nesil, Istanbul, 2005, hlm.195 Islam.

 Nursi menamakan asas-asas ini sebagai perlembagaan (dustur) sebagai isyarat kepada kedudukannya yang tinggi dan utama sebagai rujukan. Ia juga bersifat garis pandu dan undang-undang tertinggi di mana segala usaha yang dilakukan tidak terkeluar dari ruang lingkup keharusannya. Antara perlembagaan tersebut ialah al-Anfal: 46, al-Ma’idah: 2, al-Baqarah:

41dan 238, Yunus: 72 dan al-Nur: 54. Ayat-ayat dan hadis berkaitan persoalan persaudaraan sesama Islam begitu banyak. Cukuplah sebagai contoh dalam perbincangan ini disebutkan sebuah hadis yang bermaksud, ”seorang mukmin terhadap seorang mukmin itu seumpama binaan yang mana sebahagiannya memperteguhkan bahagian yang lain”. Berdasarkan perlembagaan ini, tidak sewajarnya perbezaan pandangan dan ijtihad dijadikan alasan terjadinya perpecahan dan perbalahan. Dengan mengamati ayat-ayat dan hadis perlembagaan dalam persaudaraan Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Nursi, didapati ia tidak terkeluar dari dua elemen utama iaitu ta’awun dan ikhlas. Keikhlasan adalah pelincir kepada semangat ta’awun dan penyelamat daripada sesuatu yang boleh merosakkan nilai ta’awun.20

Justeru, dengan memahami hakikat perlembagaan ini, masyarakat Islam akan saling membantu biarpun wujud perselisihan dalam beberapa isu antara mereka.

Adalah tidak wajar sama sekali, membiarkan titik perbezaan dan perselisihan menjadi penyebab kepada kelemahan mereka.



Asas Akal

i. Perpaduan dan saling membantu di zaman mutakhir ini adalah kemestian di kalangan umat Islam. Ini memandangkan kepada situasi masyarakat Islam seluruh dunia yang berada dalam keadaan lemah dan miskin, sedangkan musuh-musuh mereka pula berada di kemuncak kuasa dan kekuatan. Masyarakat Islam diserang

20Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 227, 241.

dari pelbagai penjuru sama ada dari sudut material mahupun pemikiran agar perhatian dan hati mereka berpaling dari Islam.21 Adakah wajar dalam keadaan ini untuk bagi mereka yang berakal untuk memusatkan perhatian mereka terhadap kelemahan sesama mereka ataupun mengerahkan mereka untuk melakukan perkaraperkara yang bersifat sunat dan harus ataupun mngisytiharkan perang terhadap saudara mereka dengan dakwaan sebagai golongan mubtadi’, sedangkan musuh mengisytiharkan perang terhadap Islam seluruhnya secara terbuka mahupun rahsia?

Dengan kewarasan akal, umat Islam wajib bersatu dan saling membantu dan sekiranya tidak – seperti yang diungkapkan oleh Nursi – ”kamu tidak mampu untuk mempertahankan hak-hak kamu, bahkan untuk mempertahan kehidupan kamu juga tidak mampu. Ini kerana dengan jelas seorang budak yang kecil mampu untuk memukul dua orang pahlawan yang sedang bertempur dan sesungguhnya seketul batu yang kecil mampu mempengaruhi memberatkan mahupun meringankan neraca sekiranya pada kedua-dua bahagian neraca tersebut dua bukit yang sama beratnya…22. Nursi juga membawakan contoh mudah yang mana bagi yang berakal pasti akan menerimanya. Beliau menyebut;

Lima orang berpakat untuk menyalakan sebuah lampu minyak. Maka yang pertama membawa minyak, yang kedua pula membawakan sumbu pelita, yang ketiga membawa cermin pelita, yang keempat membawa pelita itu sendiri dan yang terakhir pula membawa mancis api. Apabila pelita itu dinyalakan, maka setiap seorang daripada mereka menjadi pemilik kepada pelita yang lengkap… beginilah hakikat kesepakatan dalam perkara akhirat dengan rahsia keikhlasan, saling berganding bahu dengan rahsia persaudaraan…23

ii. Nilai kasih sayang kemanusiaan yang diterapkan oleh Islam mengkehendaki umat Islam membentuk hubungan dialog dan kerjasama dengan seluruh manusia khususnya golongan ilmuwan. Lebih khusus lagi hubungan baik, menurut Nursi, perlu dilakukan dengan penganut agama samawi yang lain seperti Nasrani.

21Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 241.

22Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 350.

23Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 248, 249.

Berdasarkan pemikiran Nursi, keutamaan dalam pembentukan persaudaraan dengan bukan Islam dilihat kepada yang paling hampir. Neracanya ialah beragama atau mengingkari agama. Maka yang beragama pula dilihat kepada agama samawi dan dalam konteks perbahasan Risale-i Nur, Nursi banyak menfokuskan hubungan Islam dengan Kristian dengan melihat kepada ancaman atheis yang hebat di zaman beliau. Ancaman ini menurut Nursi bukan hanya membahayakan masyarakat Islam, bahkan juga masyarakat Kristian. Beliau menyebutkan;

Dengan ini, ahli iman dan hakikat di zaman ini tidak berhajat kepada persetujuan total sesama mereka sahaja, bahkan mereka dituntut juga untuk membentuk pakatan dengan golongan agamawan ruhani yang hakiki dari agama Kristian. Hendaklah mereka tinggalkan sementara apa yang boleh mencetuskan perselisihan dan perbalahan bagi tujuan menghadapi musuh mereka, atheis24 Berdasarkan pemikiran Nursi juga, kerjasama ke arah kebaikan bersama juga harus dibentuk dengan mana-mana kumpulan yang berpegang dengan nilai akhlak dan kemanusiaan. Nilai baik akhlak merupakan titik temu antara sesama manusia secara umumnya. Menurut Nursi, nilai kebaikan adalah asas kepada alam dan keburukan pula hanyalah sampingan. Tidak sewajarnya asas dipinggirkan dan yang sampingan pula diutamakan. Penyelewengan seperti ini, menurut beliau akan mengundang keburukan yang banyak.25



Asas Amali Ke Arah Penyatuan Pemikiran

Antara asas amali yang boleh diambil dari pemikiran Nursi ialah:

i. Menjadikan perselisihan pandangan dan ijtihad sebagai landasan untuk menzahirkan kebenaran dan mempercambahkan pengetahuan dan khazanah pemikiran Islam. Disebabkan adalah mustahil untuk menyatukan mujtahid pada satu pandangan, maka kewajipan mujtahid ataupun mereka yang cintakan

24Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 229.

25Al-Nursi, al-Kalimat, hlm. 542, Sayqal al-Islam, hlm. 41.

kebenaran ini untuk menjadikan perselisihan mereka sebagai perselisihan yang positif sebagaimana yang disebutkan oleh Nursi.

Mereka perlu berusaha mencari kata sepakat seboleh mungkin. Namun begitu, sekiranya tidak memungkinkan, maka setiap orang boleh menyatakan pandangan masing-masing setelah mencari kebenaran. Mereka tidak boleh berhadapan dengan orang yang mempunyai pandangan berbeza dengan mencela dan memperlekeh. Sebaliknya, perlu berpegang dengan kemungkinan pandangannya silap dan pandangan lawannya itu ada kebenarannya. Nursi menegaskan;

Seseorang boleh berkata; ”Jalan aku adalah terbaik”, tetapi tidak harus baginya untuk mengatakan, ”hanya jalan aku sahaja yang baik dan utama” kerana pandangan kamu yang tidak sempurna dan pemikiran kamu yang lemah tidak boleh dianggap muhkam dan hukum yang dapat memutuskan kebatilan pendirian orang lain26

ii. Neraca bagi menilai pandangan sama ada betul atau salah, tepat atau tidak bukanlah pada orang yang berkata, tetapi dilihat kepada pandangan (hujah) itu sahaja. Nursi sering mengingatkan murid-muridnya agar menilai pemikiranpemikirannya yang dimuatkan di dalam Risale-i Nur dan bukannya melihat kepada dirinya. Bahkan beliau pernah memarahi salah seorang muridnya yang ingin meletakkan gambarnya yang sedang memegang batu asas pembinaan Jami’ Tughay di Isparta sebagai muka depan buku sejarah kehidupan Nursi. Beliau menegur dengan katanya;

Gambar apa ini? Kamu lebih mementingkan diriku lebih daripada apa yang sepatutnya aku dapat. Aku menganggap perhatian dan penghormatan kepada diriku sebagai penghinaan terhadapku. Dengan tindakan seperti ini, kamu bergantung kepadaku dan bukannya kepada Risale-i Nur (yang mempunyai hubungan dengan al-Quran). Aku tidak menyukai diriku…Sesungguhnya aku bukanlah apa-apa, aku ’tiada’. Janganlah kamu melihat dari diriku ini sesuatu yang luarbiasa27

26Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 232-233.

27Al-Nursi, Sirah Dhatiyyah, hlm. 539.

Kaedah asal dalam membetulkan pandangan, menilai mahupun menjawabnya ialah dengan tidak menyebutkan nama individu-individu tertentu.28 Sekiranya sesuatu pandangan itu memang perlu dijawab dan diperbetulkan, maka cukuplah dengan menjawab pandangan tersebut. Ini bertujuan agar tidak menyinggung pemilik pandangan tersebut dan ini secara tidak langsung boleh membuka hatinya untuk menerima pandangan balas yang diberikan. Inilah metode yang diaplikasi oleh Nursi dalam Risale-i Nur. Memang banyak perselisihan pandangan yang berlaku antara beliau dan ulama’ sezamannya. Namun dalam kebanyakan tempat dalam Risale-i Nur, Nursi menganalisis pandangan-pandangan ulama’ tersebut dalam bentuk soal jawab. Sebagai contohnya Nursi menyebut:

sekiranya dikatakan begini, begini, maka jawabnya begini, begini. Risale-i Nur sebenarnya menjawab pemikiran-pemikiran yang melanda masyarakat ketika itu, khususnya pemikiran sekular, tasawuf dan sebahagian ulama’ di zamannya. Namun demikian tidak disebutkan nama individu dan tidak pula dinyatakan tulisan ini bertujuan menjawab atau membetulkan sesuatu pandangan atau pemikiran yang lain.29

iii. Keadaan semasa perlu diambil kira untuk menilai atau melakukan sesuatu. Melihat kepada keadaan pengaruh masyarakat Islam pada zaman ini yang semakin hilang dan kekuatannya pula seakan pudar, sedangkan musuh-musuh mereka semakin kuat dan banyak. Maka dengan kefahaman ini, kewajipan yang paling utama ialah memelihara agama ummah dan kesepaduannya serta menangkis keraguan yang ditimbulkan oleh musuh. Umat Islam juga perlu bersiap sedia dalam setiap masa akan serangan-serangan musuh yang akan datang dalam pelbagai bentuk dan muslihat. Justeru, ruang masa dan tenaga yang ada tidak boleh dikerahkan untuk mencari kelemahan dan kekurangan sesama Islam. Apatah lagi, perkara yang diperselisihkan itu dalam bentuk cabang dan bukannya usul.

28Metode ini telah diamalkan oleh ulama’ Islam seperti Imam al-Ghazali dan al-Shatibi.

29‘Ikawi, Abd al-Karim, Juhud al-Nursi fi irsa’ usas al-wihdah al-fikriyyah wa tadhbit al-hiwar al-

‘ilmi fi ‘asrihi, hlm. 206.

Menyibukkan diri dengan perkara-perkara yang diperselisihkan pada zaman ini dalam keadaan umat Islam dalam bahaya dianggap oleh Nursi sebagai penyakit sosial yang parah. Nursi mengingatkan dengan katanya; Wahai orang yang beriman, adakah kamu tahu berapakah bilangan kumpulan musuh yang bersiap sedia untuk menceroboh ke atas satu kumpulan Islam?

Sesungguhnya mereka melebihi seratus dan sedang mengelilingi Islam dan umatnya seperti bulatan yang berlapis-lapis. Pada ketika sepatutnya umat Islam bersatu menghadapi musuh, mereka bercakaran pula sesama sendiri kerana menurut kepentingan peribadi. Tindakan ini seolah-olahnya mereka memberi jalan kepada musuh untuk memasuki kubu Islam. Adakah ini layak dengan umat Islam….Maka wahai muslim sedarlah dan ketahuilah bahawa goncangan terhadap kubu kekuatan Islam dengan alasan remeh dan sebab yang lemah adalah bertentangan dengan jiwa yang sedar… dan menafikan kepentingan Islam…30

Atas prinsip ini, Nursi adalah antara pendukung ke arah penyatuan Ahli Sunah dan Syiah. Ini jelas dari kata-katanya;

Hentikanlah pertelingkahan yang tidak ada makna dan hakikatnya. Pertelingkahan itu sendiri batil dan merosakkan pada masa yang sama. Sekiranya kamu tidak menghentikan pertelingkahan ini, puak zindiq yang berkuasa sekarang akan melaga-lagakan kamu dan mereka akan menggunakan salah satu daripada kamu untuk memusnahkan yang lain. Setelah pihak tersebut binasa, maka pihak yang dijadikan alat itu pula akan dibinasakan. Maka semestinya kamu membuang permasalahan cabang yang boleh menimbul perbalahan kerana kamu semua adalah ahli tauhid dan antara kamu wujudnya ratusan ikatan suci yang menyeru kepada persaudaraan dan perpaduan…31

iv. Mengambil langkah berwaspada dan sentiasa bertindak secara bijak dan sedar. Mereka yang mempunyai niat jahat tidak akan suka sekiranya melihat penyatuan ahli kebenaran. Oleh itu, mereka tidak akan berdiam diri dan sentiasa mencari jalan untuk menimbulkan permusuhan antara sesama Islam. Keadaan ini diburukkan lagi dengan perkembangan media massa dan alat komunikasi. Nursi selalu mengingatkan murid-muridnya agar sentiasa berwaspada, bijak dan prihatin tentang setiap perkara kerana beliau begitu yakin adanya pihak yang cuba merosakkan kekuatan dan kesatuan Tullab al-Nur. Beliau menasihatkan agar membuang perselisihan faham dan krisis sesama mereka supaya musuh tidak menjadikannya sebagai umpan propaganda atau provokasi.32

30Al-Nursi, al-Maktubat, hlm. 349.

31Al-Nursi, al-Lam’at, hlm. 38.

 Beliau secara khusus menasihatkan agar cukup berhati-hati ketika berbicara atau mengeluarkan pandangan kerana katakata tersebut mungkin dipesongkan atau ditafsirkan dengan cara yang jahat. Beliau menegaskan perkara ini dengan katanya, “kerana situasi kita sekarang semuanya serius dan tidak ada gurauan”.33 Antara cara untuk menghadapi situasi ini, Nursi dan Tullab al-Nur mengambil pendekatan untuk bersangka baik sesama mereka.

Sebagai contohnya walaupun Nursi tidak bersetuju dengan pendekatan Darwish Wihdati yang agak kasar dan keras, namun begitu, beliau tetap memuji Darwish.

Katanya, “dia seorang yang berpegang dengan agama, tetapi dia perlu lebih rasional ketika berbicara”. Ini bermakna pendekatan kasar dan keras dalam tulisan Wihdati memudahkan musuh untuk memutarbelitkan kenyataan sehingga yang baik dilihat bersalah dan yang bersalah pula dilihat baik.34



Penutup

Islah pemikiran sememangnya penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Apatah lagi matlamat yang ingin dicapai itu sesuatu yang cukup sukar seperti penyatuan umat Islam. Kesukaran ini boleh dilihat dalam konteks semasa yang begitu mencabar seperti perbezaan ideologi politik, ekonomi dan sebagainya. Ini ditambah lagi dengan wujudnya sesetengah pihak yang tidak mahu penyatuan umat Islam ini berlaku. Justeru, dengan perbincangan ini, diharapkan kesedaran kita terhadap penyatuan ummah meningkat dan usaha-usaha tertentu (jangka pendek/panjang) yang melibatkan semua pihak dapat digembelingkan ke arah cita-cita mengembalikan kekuatan ummah.



Mohamad Zaidin Mohamad

Prof. Madya Dr. Wan Kamal Mujani

Dr. Ermy Azziaty Rozali

* * *


 32Al-Nursi, Sirah Dhatiyyah, hlm. 424-425.

33Al-Nursi, Sirah Dhatiyyah, hlm. 429.

34‘Ikawi, Abd al-Karim, Juhud al-Nursi fi irsa’ usas al-wihdah al-fikriyyah wa tadhbit al-hiwar al-

‘ilmi fi ‘asrihi, hlm. 218.



Rujukan

Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id. 1993. al-Lam’at. Trans. Ihsan Qasim al-Salihi.

Istanbul: Sozler Publication.

Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id. 1995. Sayqal al-Islam. Trans. Ihsan Qasim al-Salihi.

Istanbul: Sozler Publication.

Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id. 1998. Sirah Dhatiyyah. Trans. Ihsan Qasim al-Salihi.

Istanbul: Sozler Publication.

Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id. 2001. al-Maktubat. Trans. Ihsan Qasim al-Salihi.

Istanbul: Sozler Publication.

Al-Nursi, Badi’ al-Zaman Sa’id. t.th. al-Khutbah al-Shamiyyah. Trans. Ihsan Qasim al-

Salihi. Istanbul: Sozler Publication.

Shukran Vahide. 1992. Mu’allafat Badi’ al-Zaman ka Namudhaj li Taqdim al-Islam



ila al-Gharb. Prosiding Mu’tamar Badi’ al-Zaman Sa’id al-Nursi. Istanbul.

Harb, Muhammad. t.th. al-‘Uthmaniyyun fi al-Tarikh wa al-Hadarah. Dimashq:

Dar al-Qalam.

Muhammad ‘Ali, ‘Urkhan. 1995. al-Nursi rajul al-qadr fi hayat ummah. Istanbul:

Sharikat al-Nasl li al-Tiba’ah.

‘Ikawi, ‘Abd al-Karim. 2005. Juhud al-Nursi fi irsa’ usas al-wihdah al-fikriyyah wa



tadhbit al-hiwar al-‘ilmi fi ‘asrihi. Juhud Sa’id al-Nursi fi Tajdid al-Fikr al-

Islami. Istanbul: Nesil.

Related Posts
Yüklə 74,81 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin