Berkata Imam Ali bin Abi Thalib, semoga Allah meridhoinya: Tidak ada kebaikan dalam ibadah tanpa pengetahuan dan tidak baik pula dalam pengetahuan tanpa memahaminya



Yüklə 3,73 Mb.
səhifə14/107
tarix18.04.2018
ölçüsü3,73 Mb.
#48892
1   ...   10   11   12   13   14   15   16   17   ...   107

611. Dari Abu Hurairah r.a., katanya seorang lelaki buta datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Aku ini buta. Tidak ada orang yang akan menuntun ku pergi ke masjid (untuk solat berjamaah).Lalu dia minta agar Nabi saw. membolehkannya solat di rumahnya. Mula-mula Nabi saw. membolehkannya. Tetapi setelah orang itu pergi belum begitu jauh, dia dipanggil beliau kembali, seraya bertanya, "Adakah azan solat terdengar sampai ke rumah anda?" Jawab orang buta itu, "Terdengar, ya Rasulullah!" Sabda Nabi saw., "Kalau begitu, penuhilah panggilan azan itu!"

612. Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Menurut pengamatan kami, tidak ada orang yang tertinggal solat berjamaah, kecuali orang munafik yang jelas nifaknya, atau orang sakit yang apabila pergi solat harus dipapah oleh dua orang ke tempat solat. Sesungguhnya Rasulullah saw. telah mengajarkan ajaran-ajaran agama (sunanal huda). Di antara ajaran agama

itu ialah solat berjamaah ke masjid, bila mendengar azan."

613. Dari Abdullah r.a., katanya: "Siapa yang ingin bertemu dengan Allah kelak sebagai seorang muslim yang sempurna, maka hendaklah dia selalu solat berjamaah setiap mendengar azan. Kerana Allah telah mengukuhkan hukum-hukum agama kepada Nabi-Nya, di antaranya ialah solat berjamaah itu. Andaikata anda solat sendirian di rumah anda, tidak datang ke masjid seperti halnya orang-orang yang tidak datang ini, bererti anda meninggalkan "sunnah nabi" anda. Apabila anda meninggalkan sunnah Nabi, bererti anda sesat. Siapa berwudhuk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke salah satu masjid, maka dituliskan Allah baginya untuk setiap langkah yang dilangkahkannya ke masjid itu, pahala satu kebajikan dan diangkat darjatnya satu darjat, serta dihapus daripadanya dosa satu kejahatan. Menurut pendapat kami, orang yang tidak suka solat berjamaah ke masjid, ialah orang-orang munafik. Namun begitu, masih ada orang yang pergi solat berjamaah ke masjid, dipapah oleh dua orang lelaki sampai ia ditegakkan dalam shaf."614. Dari 'Abdur Rahman Ibnu Abi 'Amrah r.a., katanya: "Pada suatu ketika 'Usman bin 'Affan masuk ke masjid sesudah solat Maghrib, lalu dia duduk sendirian. Kerana itu aku duduk dekatnya. Katanya, "Mai, anak saudaraku! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang solat 'Isya berjamaah, nilainya sama dengan solat seperdua malam. Dan siapa yang solat Subuh berjamaah, nilainya sama dengan solat sepanjang malam." 615. Dari Jundab Al Qasri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam perlindungan Allah. Kerana itu janganlah hendaknya Allah sampai menuntut

apa-apa terhadap mu tentang perlindungan-Nya itu, kerana siapa yang dituntut-Nya, akan dilemparkan-Nya ke neraka dengan muka tertelungkup."

616. Dari 'Itban bin Malik r.a., iaitu seorang sahabat Nabi saw. dari golongan Anshar yang turut dalam peperangan Badar, dia datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku sudah buta. Sedangkan aku menjadi imam solat bagi wargaku. Apabila hari hujan, air mengalir di lembah antara rumahku dengan rumah-rumah mereka, sehingga aku tak dapat datang ke masjid mengimami mereka solat berjamaah. Kerana itu aku mengharapkan semoga anda sudi datang ke rumahku, lalu di sana anda solat di tempat ku solat dan kemudian menjadikannya Mushalla. Jawab Rasulullah saw. "Baiklah! Insya Allah aku akan datang. Besok, ketika hari telah agak siang, Rasulullah saw. dan Abu Bakar Siddiq datang. Beliau minta izin masuk. Lalu ku persilakan. Tanpa duduk lebih dahulu beliau langsung menanyakan. "Di manakah anda sukai aku solat di rumah mu ini?" Aku menunjuk ke salah satu pujok rumah. Rasulullah berdiri di sana lalu beliau takbir. Kami berdiri di belakang beliau, mengikuti beliau solat dua rakaat. Kemudian memberi salam. Sesudah itu kami jamu beliau dengan hidangan sup daging yang telah kami sediakan untuk beliau. Penduduk kampung berkumpul semuanya ke rumah ku. Seorang di antaranya bertanya, "Mana Malik bin Dukhsyun?" Yang lain menjawab, "Dia itu munafik! Dia tidak suka kepada Allah dan Rasul-Nya." Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berkata begitu terhadapnya. Bukankah anda telah menyaksikannya mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah?" Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu." Kami mendapat kesan, bahwa Rasulullah saw. mengarahkan nasihatnya itu kepada orang-orang munafik. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka bagi orang-orang yang telah mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah. "

617. Dari Anas bin Malik r.a., katanya neneknya Mulaikah mengundang Rasulullah saw. menyantap juadah yang disediakannya untuk beliau. Setelah selesai makan, Rasulullah saw. bersabda: "Berdirilah! Aku hendak mengimami anda semua solat berjamaah." Kata Anas, "Aku mengambil sehelai tikar yang telah menghitam kerana telah lama dipakai, lalu ku perciki dengan air. Kemudian Rasulullah solat di tikar itu. Aku dan seorang anak yatim berbaris di belakang beliau, dan nenek di belakang kami telah solat mengimami kami dua rakaat, sesudah itu selesai."618. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah saw. adalah seorang yang berakhlak paling baik. Beliau sering datang ke rumah kami, lalu beliau solat di rumah itu. Beliau suruh bentangkan tikar, beliau suruh sapu, kemudian diperciki air, sesudah itu beliau solat mengimami kami, dan kami mengikuti beliau di belakang. Tikar kami terbuat dari pelepah kurma,"

619. Dari Tsabit r.a., dari Anas bin Malik, katanya: "Nabi saw. datang ke rumah kami, sedangkan di rumah yang ada hanya aku, ibu ku, dan bibiku. Kata beliau, "Berdirilah! Aku hendak mengimami ,anda solat bukan solat wajib" Lalu beliau solat berjamaah dengan kami. Seorang lelaki bertanya kepada Tsabit, "Ketika itu di mana Anas berdiri?" Jawab Tsabit, "Di sebelah kanan Rasulullah saw." Kata Anas, "Setelah selesai solat, beliau mendoakan kepada Allah kebaikan dUnia dan akhirat bagi kami seisi rumah." Kemudian ibu ku berkata kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Doakan pulalah pelayan kecil anda ini! (maksudnya Anas yang ketika itu masih anak-anak)." Lalu beliau mendoakan bagi ku kebaikan dunia dan akhirat. Akhir doa beliau itu ialah: "Allahumma aktsir maalahu wa walauahu, wa harik lahu fihiri.

620. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. solat berjamaah bersama-sama dengannya, dengan ibunya, dan dengan bibinya. Kata Anas, "Rasulullah menyuruh ku berdiri sebelah kanan beliau, dan para wanita di belakang kami (pria)."

621. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Solat berjamaah pahalanya melebihi solat sendirian yang dilakukan di rumah atau di kedai dua puluh sembilan darjat. Yang demikian itu ialah apabila seseorang berwudhuk sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke masjid tanpa maksud lain yang mendorongnya kecuali hanya solat. Maka setiap langkah yang dilangkahkannya meningkatkan darjatnya satu darjat, serta menghapus satu dosa daripadanya sampai dia masuk ke dalam masjid. Setelah berada dalam masjid, dia dipandang seperti dalam solat selama menunggu waktu solat tiba. Sedangkan malaikat sentiasa mendoakannya. selama dia masih berada di tempatnya solat, dan Wudhuknya belum batal. Katanya, "Wahai, Allah! Berilah dia rahmat. Ampunilah dia dan terimalah taubatnya."

622. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya malaikat sentiasa mendoakan seseorang kamu, selama

dia masih berada di tempatnya solat, dan wudhuknya belum batal. Katanya: "Wahai, Allah! Ampunilah dia, dan berilah dia rahmat." Dan dia dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."623. Dari Abu Musa r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Orang yang paling besar mendapat pahala solat, ialah orang yang paling jauh berjalan ke tempatnya solat berjamaah. Dan orang yang menunggu-nunggu waktu solat berjamaah pahalanya lebih besar daripada orang yang solat sendirian, sesudah itu dia tidur."

624. Dari Ubay bin Ka'ab r.a., katanya: "Ada seorang lelaki, yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan solat berjamaah. Kata orang kepadanya,"Alangkah baiknya anda beli seekor keldai untuk tunggangan anda, di malam gelap atau di panas terik." Jawabnya, "Aku tidak suka tinggal dekat masjid, kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku." Sabda Rasulullah saw., "Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi anda." 625. Dari Ubay bin Ka'ab r.a., katanya: "Ada seorang lelaki Anshar tinggal paling jauh dari masjid Madinah. Walaupun begitu dia tidak pernah terlambat solat berjamaah bersama-sama dengan Nabi saw. Kerana itu kami merasa kasihan kepadanya. Lalu kuanjurkan kepadanya, "Hai, Fulan! Alangkah baiknya kamu beli seekor keldai untuk melindungi mu dari terik panas dan dari ular-ular tanah yang berbisa." Jawabnya, "Ketahuilah! Aku tidak senang rumahku diikatkan ke rumah Nabi Muhammad saw." Kata Ka'ab, "Aku merasa keberatan dengan ucapannya itu. Kerana itu aku datang kepada Nabi saw., lalu ku sampaikan kepada beliau keberatanku terhadap ucapan orang itu." Sahut Nabi saw., "Panggillah dia!" Setelah berhadapan dengan beliau, orang itu bahkan mengulang ucapannya dan menambahkan harapannya akan beroleh pahala bagi setiap langkah yang dilangkahkannya pulang pergi ke masjid. Maka bersabda Nabi saw. kepadanya, "Anda pasti memperoleh apa yang anda harapkan."

626. Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Rumah kami jauh dari masjid. Kerana itu kami ingin membeli rumah yang dekat ke masjid. Tetapi Rasulullah saw. melarang kami, sabdanya: "Untuk setiap langkah yang kamu langkahkan ke masjid, kamu mendapat imbalan satu darjat."

627. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang berwudhuk di rumahnya, kemudian dia pergi ke masjid menunaikan solat wajib, maka setiap dia melangkah dua langkah, langkahnya yang pertama menghapus satu dosa, sedangkan langkah yang kedua mengangkat darjat antara satu darjat."

628. Dari Abu hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : (tetapi di dalam hadis B disebutkan bahwa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda): "Bagaimana pendapat anda, jikalau sebuah sungai mengalir di hadapan rumah anda, di mana anda mandi setiap hari lima kali, masih adakah kotoran yang melekat di badan anda?" Jawab mereka, "Tidak, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Seperti itulah solat yang lima waktulah menghapus dengannya segala dosa-dosa kecil."629. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Siapa yang datang ke masjid pagi-pagi atau setelah matahari gelincir (maksudnya lebih awal dari waktu solat), maka disediakan Allah baginya tempat di syurga setiap kali dia datang."

630. Dari Simak bin Harb, dia bertanya kepada Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Pernahkah anda duduk bersama-sama Rasulullah saw.?" Jawab Jabir, "Ya, seringkali! Sesudah solat Subuh, beliau belum berdiri dari tempatnya solat hingga matahari terbit. Apabila matahari telah terbit, barulah beliau berdiri. Sedangkan para sahabat bercakap-cakap sesama mereka, memperkatakan urusan mereka semasa jahiliyah, lalu mereka tertawa, dan Nabi saw. ikut tersenyum."

631. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda "Yang paling disukai Allah dalam suatu negeri ialah masjidnya. Dan yang paling dibenci Allah ialah pasarnya."632. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila kamu bertiga, angkatlah seorang jadi imam. Dan yang paling baik jadi imam ialah yang paling pandai membaca."

633. Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang pantas jadi imam (solat berjamaah) ialah yang paling pandai membaca Kitabullah. Jika ternyata mereka sama pandai, maka yang paling alim tentang sunnah. Jika ternyata mereka sama alim, maka yang paling dahulu hijrah. Jika ternyata mereka bersamaan pula hijrah, maka yang paling dahulu masuk Islam. Janganlah kamu menjadi imam dalam wilayah kekuasaan orang lain, dan jangan pula duduk di tempat yang disediakan khusus untuk kemuliaan seseorang, kecuali dengan izinnya."

634. Dari Malik bin Huwairits r.a., katanya: "Kami datang kepada Rasulullah saw., sedangkan kami adalah pemuda-pemuda yang hampir sebaya semuanya. Kami menetap di samping Rasulullah saw. selama dua puluh malam. Beliau seorang yang penyantun dan lemah lembut. Mungkin beliau menyangka, kami sudah merindukan keluarga kami, lalu beliau bertanya tentang keluarga kami itu. Setelah kami jelaskan, maka beliau menyuruh kami pulang. Sabda beliau, "Pulanglah kepada keluargamu masing-masing. Tetaplah di samping mereka, ajarilah mereka dan suruhlah mereka solat. Apabila waktu solat telah tiba, maka azanlah salah seorang kamu, kemudian jadikan imam yang tertua di antara kamu."

635. Dari Abu Hurairah r.a., katanya:"Pernah setelah Rasulullah saw. selesai membaca "Sami'allahu liman hamidah, Rabbana lakal hamdu," kemudian beliau masih sedang berdiri membaca doa' sebagai berikut : "Allahumma anjil Walid Ibnal Walid, wa Salamah bin Hisyam, wa iyasy bin Abi Rahi'ah, wal mustadh'afina minal mukminin. Allahummasydud wathataka 'ala'Mudhar, waj'alha 'alaihim kasini Yusuf AIlahummal'an Lihyana, wa Ri'lalla, wa Dzakwana, wa 'Ushayyata, 'ashatillaha wa rasulahu." Kemudian kami dapat kabar bahwa beliau meninggalkan doa itu setelah turun ayat: "Laisa laka minal amri syaiun au yatuba 'alaihim au yu'adz dzibahum fainnahum zhalimun. (Al 'Imran : 128)

636. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Demi Allah! Akan kuajarkan kepada mu cara solat Rasulullah saw. Maka Abu Hurairah qunut ketika solat Zhuhur, 'Isya dan Subuh, mendoakan kebaikan bagi orang-orang mukmin dan mengutuk orang-orang kafir."

637. Dari Muhammad r.a., dia bertanya kepada Anas r.a., katanya: "Adakah Rasulullah saw. qunut dalam solat Subuh?" Jawab Anas, "Ada! Iaitu sesudah ruku'."

638. Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah qunut sebulan lamanya dalam solat Subuh sesudah ruku', iaitu mengutuk kabilah-kabilah Ri'il, Dzakwan dan 'Ushliyyah, kerana mereka mendurhakai Allah dan Rasul-Nya."

639. Dari Al Barra' bin 'Azib r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah qunut dalam solat Subuh dan Maghrib."

640. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. kembali dari perang Khaibar, beliau berjalan tengah malam, sehingga beliau mengantuk, lalu beliau berhenti dan istirehat untuk tidur. Beliau bersabda kepada Bilal, "Bangunkan kami bila waktu Subuh tiba." Sementara itu Bilal solat seberapa dapat dilakukannya, sedangkan Nabi saw. dan sahabat-sahabat yang lain tidur. Ketika fajar hampir terbit, Bilal bersandar ke kenderaannya menunggu fajar terbit. Tetapi dia sangat mengantuk dan tertidur ketika sedang bersandar itu, sehingga dia tidak dapat membangunkan Rasulullah saw. dan para sahabat yang lain,

sampai sinar matahari mengenai mereka. Yang mula-mula terbangun



ialah Rasulullah saw. Ketika beliau terbangun, beliau bertanya, "Mana Bilal?" Jawab Bilal, "Demi Allah! Aku tertidur, ya Rasulullah." Sabda Rasulullah saw., "Bersiaplah semua!" Lalu mereka siapkan kenderaan mereka. Kemudian Rasulullah saw. mengambil wudhuk dan menyuruh Bilal qamat. Setelah Bilal qamat, Nabi saw. mengimami mereka solat Subuh. Setelah selesai solat, beliau bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah dia solat apabila ingat. Sesunguhnya Allah berfirman: "Tegakkanlah solat untuk mengingat-Ku."

641. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Rasulullah saw. berpidato di hadapan kami. Antara lain beliau bersabda: Kamu akan berjalan sejak petang dan sepanjang malam. Insya Allah baru akan bertemu air esok." Pasukan terus berjalan tanpa menoleh satu sama lain. Kata AbU Qatadah, "Ketika hari sudah larut malam, aku berada di samping beliau - Rasulullah saw. mengantuk, sehingga duduknya di atas kenderaan jadi miring. Aku mendekati beliau, dan menopang beliau tanpa membangunkannya, sehingga duduk beliau di atas kendaraan lurus kembali. Kemudian beliau miring pula kembali, lalu kuluruskan pula. Demikianlah kulakukan sepanjang jalan pada malam itu, sehingga akhirnya ketika waktu sahur tiba, beliau sangat miring dari sebelumnya dan hampir jatuh. Aku mendekati beliau dan menopangnya. Beliau terbangun dan mengangkat kepalanya seraya berkata, "Siapa ini!" Jawab ku, "Abu Qatadah!" Tanya beliau, "Sejak bila engkau berjalan seperti ini di sampingku?" Jawab ku, "Sudah sejak sepanjang malam." Kata beliau, "Semoga Allah selalu menjagamu kerana kamu telah menjaga Nabi-Nya. Apakah kita telah ketinggalan? Masih adakah orang sekitar kita?" Jawab ku, "Ini ada beberapa orang pengendara." Ternyata kami semua ada tujuh orang. Tiba-tiba Rasulullah saw. menyimpang dari jalan, lalu merebahkan diri seraya bersabda: "Jaga waktu solat!" Yang mula-mula terbangun ialah Rasulullah saw., iaitu ketika sinar matahari telah mengenai punggungnya. Kami pun bangun dengan terkejut. Beliau bersabda, "Mari berangkat!" Kami berangkat dan terus berjalan. Ketika matahari telah agak meninggi, beliau berhenti dan meminta air yang kubawa untuk berwudhuk. Beliau berwudhuk tidak seperti biasanya, tetapi agak ringan, namun melengkapi semua anggota wudhuk. Setelah beliau berwudhuk, air masih bersisa di ember sedikit. Sabda beliau, "Simpan air ini baik-baik, nanti akan ada gunanya bagi kita." Kemudian Bilal azan. Sesudah itu Rasulullah saw. solat dua rakaat (sunat fajar), kemudian solat Subuh, seperti yang biasa dilakukan beliau setiap hari. Kata Abu Qatadah, "Sesudah solat, Rasulullah saw. mengendarai kendaraannya. Kami meneruskan perjalanan sambil berbisik-bisik satu sama lain, apakah kiranya tebusan perbuatan kita kerana kita telah mensia-siakan solat?" Sabda Rasulullah saw. "Bukankah peristiwa itu suatu contoh bagimu? Ketahuilah, bahwa kerana ketiduran tidak bererti mensia-siakan solat. Yang termasuk mensia-siakan solat ialah orang yang tidak solat sehingga datang waktu solat yang berikutnya. Sedangkan orang yang ketiduran, hendaklah dia solat bila dia terbangun. Selanjutnya, hendaklah dia solat tepat pada waktunya." Kemudian beliau bertanya, "Bagaimana pendapat anda tentang orang-orang yang telah dahulu dari kita? Mereka berjalan lebih dahulu tanpa Nabi mereka. Abu Bakar dan 'Umar menduga bahwa kita berada di belakang mereka. Tetapi yang lain-lain berkata, beliau telah dahulu- Kalaulah mereka mengikuti Abu Bakar dan 'Umar, tentulah mereka benar. Kata Abu Qatadah, "Kami dapat menyusul mereka ketika hari telah tinggi dan panas telah terik." Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Celaka kami-kami kehausan!" Jawab Rasulullah saw., "Tidak! Kalian tidak akan celaka." Kemudian beliau meminta gelas dan bejana wudhuknya yang berisi sisa air wudhuk beliau tadi, lalu beliau tuang ke dalam gelas. Sedangkan Abu Qatadah membagi-bagikannya kepada mereka. Kerana air yang tersedia dalam bejana hanya sedikit, mereka berebut-rebutan. Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berebut! Setiap kamu akan dapat minum sepuas-puasnya." Mereka patuh akan perintah Nabi saw. tersebut. Beliau terus menuangkan air ke gelas sedangkan aku membagi-bagikannya kepada mereka, sehingga akhirnya tidak ada lagi yang ketinggalan selain aku dan Rasulullah saw. Rasulullah saw. menuangkannya pula dan berkata kepada ku, "Sekarang giliran kamu yang minum." Jawab ku, "Aku tidak akan minum sebelum Rasulullah saw. minum." Sabda beliau. "Si pemberi minum orang banyak harusnya minum penghabisan kali." Kerana itu aku minum lebih dahulu dan sesudah itu barulah Rasulullah saw. Dengan sisa air wudhuk yang sedikit itu, seluruh pasukan jadi segar dan puas."

642. Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Aku pernah berjalan sepanjang malam bersama-sama Rasulullah saw. dalam suatu perjalanan. Ketika hari hampir Subuh, kami berhenti, lalu kami tertidur hingga matahari terbit. Yang mula-mula terbangun ialah Abu Bakar. Dan kami tidak berani membangunkan Nabi saw.dari tidurnya, sehingga beliau bangun sendiri. Kemudian bangun pula 'Umar, lalu dia berdiri dekat Nabi saw. dan takbir keras-keras, sehingga Rasulullah saw. terbangun kerananya. Ketika beliau mengangkat kepala, dilihatnya matahari sudah terbit. Beliau bersabda, "Ayuh, berangkat!" Kami meneruskan perjalanan, sehingga apabila matahari telah tinggi, Rasulullah saw. berhenti, kemudian solat Subuh bersama-sama kami. Kecuali seorang lelaki, dia tidak ikut solat dan memencilkan diri dari kami. Setelah selesai solat Rasulullah saw. bertanya kepadanya, "Hai, Fulan! Apa sebab engkau tidak ikut solat bersama-sama kami?" Jawabnya, "Aku junub, ya, Nabiyallah." Lalu Nabi saw. menyuruhnya tayammum dengan tanah, dan sesudah itu dia solat. Kemudian, setelah kami meneruskan perjalanan kami kembali,

Rasulullah saw. menyuruh ku berjalan lebih dahulu untuk mencari air kerana kami telah kehausan. Sekonyong-konyong kami bertemu dengan seorang wanita menjuntaikan kakinya antara dua buah mazadah (tempat air atau qirbah besar). Lalu kami bertanya kepadanya, "Di mana kami bisa mendapatkan air?" Jawab wanita itu, "Jauh, jauh sekali. Anda tidak akan dapat menemukannya." Tanya kami, "Berapa jauhnya antara kampung anda dengan tempat air itu?" Jawabnya, "Sehari semalam perjalanan." Kata kami, "Mari kita menemui Rasulullah saw." Jawabnya; "Rasulullah? Apa itu Rasulullah?" Sejak itu kami tidak membiarkannya lagi, sehingga dia kami giring sampai ke hadapan Rasulullah saw. Beliau bertanya kepadanya seperti apa yang kami tanyakan, dan dia menjawab seperti jawapannya kepada kami. Selanjutnya dia menceritakan bahawa dia mempunyai beberapa orang anak yatim yang masih kecil. Kemudian Nabi saw. menyuruh dudukkan untanya. Lalu Nabi menyedut air dari kedua qirbah itu dengan mulutnya, kemudian disemburkannya kembali. Sesudah itu unta disuruhnya berdiri. Lalu pasukan kami yang kehausan sejumlah empat puluh orang minum sepuas-puasnya. Bahkan kami mengisi semua qirbah kami, serta segala tempat air yang ada pada kami, kami isi sampai penuh. Begitu pula teman kami yang junub kami suruh mandi. Hanya kamilah yang tidak dibeli minum. Walaupun begitu, kedua tempat air wanita itu masih penuh seperti sedia kala, bahkan melebihi semula. Kemudian Nabi saw. bersabda, "Kumpulkan makanan yang ada pada kamu semuanya." Lalu kami kumpulkan sisa-sisa makanan yang ada pada kami, kemudian diserahkan Nabi saw. kepada wanita itu, seraya berkata: "Pulanglah anda! Berikan makanan ini kepada keluargamu. Dan ketahuilah, bahwa aku tidak mengurangi sedikit jua pun air yang kamu bawa." Ketika wanita itu sampai di kampungnya, dia bercerita kepada mereka peristiwa air yang dialaminya bersama Nabi saw. dan para sahabat beliau. Katanya, "Tadi aku bertemu dengan tukang sihir yang sangat pandai, atau mungkin sesungguhnya dia itu Nabi sebagaimana dia katakan." Setelah itu penduduk kampung itu masuk Islam semuanya, termasuk wanita itu, oleh petunjuk dari Allah berkat peristiwa yang dialami wanita tersebut."

643. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang lupa solat, maka hendaklah ia tunaikan segera ketika dia ingat. Tidak ada denda baginya kecuali hanya itu."

644. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:"Siapa yang lupa solat atau tertidur, maka dendanya ialah menunaikannya segera ketika ingat."645. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila kamu tertidur sebelum solat, atau lalai daripadanya, maka hendaklah kamu tunaikan ketika ingat. Sesungguhnya Allah berfirman: Tegakkanlah solat untuk mengingat Ku."

646. Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Pada mulanya solat diwajibkan dua-dua rakaat bagi orang yang menetap dan bagi musafir. Kemudian bilangan itu ditetapkan bagi musafir khusus, sedangkan bagi orang yang menetap (muqim) ditambah."

647. Dari Ya'la bin Umayyah r.a., bahwasanya dia pernah bertanya kepada 'Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Bagaimana pendapat anda tentang ayat : "La i 'aillikum an taqshuru minash shalati in khiftum an yaftinakumul llidzina kafaru "(AnNisa: 101) bukankah sekarang telah aman?" Jawab 'Umar, "Aku juga pernah memikirkan apa yang engkau pertanyakan itu. Lalu kutanyakan langsung kepada Rasulullah saw. Jawab beliau: Hal itu adalah suatu kelapangan dari Allah yang dikurniakanNya kepada mu. Maka terimalah kemurahanNya itu."

648. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Allah mewajibkan solat melalui lidah Nabi saw., empat rakaat ketika muqim (menetap), dua rakaat ketika musafir, dan satu rakaat ketika takut."

649. Dari 'Isa bin Hafash bin 'Ashim bin 'Umar bin Khaththab r.a., dari bapanya, katanya: "Aku pernah berjalan bersama-sama Ibnu 'Umar dalam suatu perjalanan menuju Makkah. Dalam perjalanan itu dia mengimami kami solat Zhuhur dua rakaat. Setelah selesai solat dia pergi, dan kami mengikutinya sampai ke tempatnya dan duduk bersama-sama dengan dia. Sebentar kemudian dia menoleh ke tempat solat dan dilihatnya masih banyak orang yang solat. Lalu dia bertanya, "Apa yang diperbuat orang-orang itu?" Jawab ku, "Mereka solat sunat." Kata Ibnu 'Umar, "Kalaulah aku harus solat sunat pula (sesudah qashar), lebih baik kucukupkan solat ku. Hai, anak saudaraku! Aku sering menyertai Rasulullah saw. dalam perjalanan. Beliau solat (dalam setiap perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga beliau meninggal. Aku juga sering menemani Abu Bakar dalam perjalanan. Beliau juga solat (dalam perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga dia meninggal. Aku juga sering menemani 'Umar dan 'Usman, mereka solat (dalam perjalanan itu) tidak lebih dari dua rakaat, hingga mereka meninggal. Kemudian beliau membaca firman Allah: "Laqad kana lakum fi Rasulutlahi uswatun hasanatun " (Al Ahzab: 21)


Yüklə 3,73 Mb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   10   11   12   13   14   15   16   17   ...   107




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin