Semantik dan peristilahan bahasa melayu institut pendidikan guru kementerian pelajaran malaysia



Yüklə 355,57 Kb.
səhifə3/5
tarix08.01.2019
ölçüsü355,57 Kb.
#92763
1   2   3   4   5

2.1.2.1 Antonim pasangan komplemen
Antonim pasangan komplemen merupakan pasangan perkataan berlawanan yang saling melengkapi antara satu sama lain. Cotohnya, perkataan tidur-jaga, hidup-mati, duduk-bangun, tajam-tumpul, kembang-kuncup, sihat-sakit, gembira-sedih dan sebagainya.
Selain itu, perkataan – perkataan seperti tidak hidup-mati, dan tidak mati-hidup, tidak tidur-jaga dan tidak jaga-tidur dan sebagainya juga termasuk dalam antonim jenis ini.

2.1.2.2 Antonim hubungan darjah
Jenis kedua ialah pasangan kata antonim yang menunjukkan hubungan darjah seperti perkataan besar-kecil, tebal-nipis, tinggi-rendah, panjang-pendek, kurus-gemuk dan sebagainya. Makna kata adjektif yang menunjukkan pasangan kata ini mempunyai hubungan rujukan dengan benda yang dimaksudkan. Sebagai contoh, sebatang kayu itu dikatakan bersiaz panjang dengan merujuk kepada kayu itu secara spesifik berbanding dengan kayu yang sama jenis.
Selain itu, perkataan itu sendiri tidaklah menggambarkan darjah secara mutlak. Sebagai contoh, perkataan ‘kecil’ pada ‘kerbau kecil’ sebenarnya ,menunjukkan darjah dan makna yang tidak sama pada perkataan ‘tikus kecil’. Demikian juga perkataan ‘laju’ bagi merujuk kepada kereta lumba tentulah tidak sama darjahnya jika merujuk kepada kereta biasa.

2.1.2.3 Antonim hubungan bertentangan
Jenis pasangan kata antonim yang ketiga dinamakan hubungan bertentangan. Dalam hal ini, kedua-dua pasangan kata itu dari segi semantiknya membawa makna yang setara, misalnya beri-terima, jual-beli, murid-guru, majikan-pekerja dan sebagainya. Contohnya jika X ‘beri’ barang pada Y bermakna Y akan ‘terima’ barang itu.

2.2 Hiponim, Homonim dan Polisem

2.2.1 Hiponim
Hiponim ialah kata yang maknanya terangkum dalam makna kata yang lain. Sebagai contoh, melur, mawar,melati,kemboja dan cempaka ialah hiponim kepada bunga.
Secara umumnya, hiponim merupakan kata umum yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kata-kata yang lebih khusus atau dalam erti kata lain ialah kata umum yang mempunyai lingkungan atau anggotanya terdiri daripada kata yang khusus.

2.2.2 Homonim
Homonim merujuk kepada hubungan antara homonim. Iaitu dua kata atau lebih yang mempunyai, sama ada bunyi atau ejaan yang sama, tetapi berlainan makna. Perkataan yang mempunyai sebutan yang sama, tetapi berbeza makna seperti yang disebutka tadi dikatakan mempunyai hubungan homonim. Sebagai contoh, perkataan ‘kepala’ yang membawa maksud ‘ketua’ tidak sama maknanya dengan ‘kepada kereta api. ‘kepada manusia’ dan ‘kepala surat’.
Penggunaan homonim dalam pertuturan atau ayat boleh menimbulkan kekeliruan jika tidak berlatar belakangkan konteks tertentu. Hal ini kerana homonim mempunyai sebutan dan bentuk ejaan yang sama, tetapi berbeza dari segi makna.

2.2.3 Polisem
Polisem ialah perkataan yang mempunyai beberapa makna yang berkaitan sama ada secara konseptual atau sedarjah. Dengan kata lain, polisem ialah hubugan kata atau frasa yang mempunyai dua makna atau lebih dan mempunyai etimologi yang sama.
Sebagai contoh, kata bantu ‘tentang’ boleh bermaksud berkaitran sesuatu perkara. Ada masanya perkataan ‘tentang’ boleh membawa maksud ‘lawan’, seperti dalam ayat “Kita tentang habis-habisan”. Contoh lain ialah perkataan ‘bisa’ yang membawa maksud sakit sangat dan boleh. Dalam perbualan di Indonesia, secara normalnya ‘bisa’ digunakan untuk menggantikan perkataan ‘boleh’. Berdasarkan contoh-contoh tersebut, ‘tentang’ dan ‘bisa’ bervariasi maknanya, tetapi kewujudan polisem ditinjau dengan berasaskan konteks penggunaan.

Aktiviti Kendiri 2.2.3.1

  1. Huraikan jenis-jenis sinonim beserta dengan contohnya

  2. Dengan contoh yang sesuai, terangkan perbezaan antara hiponim dan polisem.



TAJUK 3

MAKNA AYAT DALAM BAHASA MELAYU




  • SINOPSIS

Topik ini akan menjelaskan tentang makna ayat dalam bahasa Melayu. Seperti yang telah dijelaskan perkataan dan morfem merupakan unit terkecil bahasa yang mempunyai makna. Kita telah pun mempelajari hubungan makna perkataan dan unsur semantik sebagai semantik leksikal sebelum ini. Walau bagaimanapun dalam banyak perkara kita berkomunikasi menggunakan frasa dan ayat. Makna frasa dan ayat bergantung pada makna perkataan yang terkandung dalamnya dan bagaimana perkataan itu distruktur dan digabungkan. Dalam tajuk ini juga akan dihuraikan penganalisisan makna auat Bahasa Melayu mengikut Kerangka Generatif Chomsky untuk menunjukkan perubahan semantik dan pengembangan makna.




  • HASIL PEMBELAJARAN

1. Menjelaskan definisi makna ayat.

2. Menghuraikan perubahan semantik dan teori pembuktian.

3.1 Makna Ayat
Makna merupakan satu unsur penting dalam mana-mana ujaran atau tulisan. Tanpa unsur ini, maka apa sahaja yang diujarkan atau yang dituliskan tidak akan memberi sebarang kefahaman kepada orang yang dilawan bercakap atau orang yang membaca sesuatu yang ditulis.
Semua bahasa bergantung kepada makna dalam perkataan dan ayat. Setiap perkataan dan setiap ayat lazimnya dikaitkan sekurang-kurangnya dengan satu makna. Bagi ayat persoalannya sangat rumit. Dalam setiap bahasa untuk membentuk suatu ayat, perkataan hendaklah disusun dan untuk mendapatkan makna ayat bergatung pada makna perkataan yang terdapat dalam ayat tersebut.
Terdapat juga perkataan yang memiliki dua makna dan ada juga yang mempunyai tiga makna. Adakalanya terdapat juga perkataan yang digunakan tanpa membawa apa-apa makna.Dalam konteks berbahasa, kita beranggapan bahawa pendengar atau penulis memehami makna yang ingin di sampaikan sehinggakan kita mengabai ataupun tidak menyebut atau menulis beberapa perkataan. Dalam bahasa Melayu makna ayat boleh dibahagikan makna konotatif dan makna denotatif.

3.2 Kerangka Generatif Chomsky

Bagi Chomsky “language is not a habit Structure”. Hipotesisnya, semua bahasa dilihat dari struktur dalaman adalah sama iaitu menunjukkan tingkat fikiran seseorang. Chomsky telah mengemukakan empat konsep utama dasar analisis Kerangka Generatif iaitu kemampuan berbahasa, perlakuan berbahasa, struktur dalaman dan struktur luaran. Kemampuan berbahasa ialah segala pengetahuan yang terdapat dalam otak manusia secara sedar dan tidak sedar. Proses ini juga mengkaji tentang bagaimana proses mengujarkan bahasa yang terdapat dalam bentuk rumus-rumus.

Perlakuan bahasa ini mengkaji bagaimana cara seseorang itu mengujarkan bahasa dan bahasa apa yang diujarkan serta mampu didengar oleh orang lain. Seterusnya, strukrur dalaman pula wujud daripada kemampuan seseorang untuk berbahasa serta bagaimana cara menyusun ayat-ayat untuk diujarkan. Konsep yang terakhir iaitu struktur luaran ini wujud daripada ujaran bahasa yang dikeluarkan oleh seseorang iaitu apa yang diujarkan. Menurutnya lagi, ayat-ayat yang diungkapkan oleh penutur lahir di bawah pengetahuan dan kesedaran penuturnya. Ia diketahui, disedari dan dinyatakan menerusi bunyi-bunyi dan ejaan.

Aktiviti kendiri 3.2.1


  1. Apakah yang dimaksudkan dengan makna ayat?

  2. Huraikan empat konsep utama Kerangka Generatif Chomsky.




TAJUK 4

PERUBAHAN SEMANTIK




  • SINOPSIS

Tajuk ini akan mengupas tentang perubahan semantik daripada segi pengembangan makna, iaitu satu proses perubahan makna daripada makna yang khusus kepada makna yang lebih umum. Manakala penyempitan makna pula ialah proses perubahan makna daripada makna yang umum kepada makna yang lebih khusus. Akhir sekali anjakan makna yang bermaksud makna yang mengalami proses perubahan berdasarkan situasi atau keadaan.




  • HASIL PEMBELAJARAN

1. Menghuraikan proses pengembangan makna.

2. Menghuraikan perubahan semantik dari aspek penyempitan makna.


  • KERANGKA TAJUK-TAJUK


4.1 Pengembangan Makna
Semantik atau makna boleh dilihat dalam dua sudut iaitu pemgembangan makna dan penyempitan makna. Peluasan makna meliputi sintaksis dan pragmatik dan menurut Nor Hashimah Jalaluddin (1992:1) yang memetik pendapat Sperber dan Wilson (1980) bahawa pengkajian makna belum dapat dipastikan makna sepenuhnya mengikut apa yang dihajati pleh penutur.
Cakupan makna sekarang lebih luas daripada makna yang lama. Contohnya ‘berlayar’, dulu digunakan dengan pengertian bergerak di laut dengan memakai layar, tetapi sekarang semua tindakan mengarungi lautan atau perairan dengan alat apa saja disebut ‘berlayar’ . Dahulu kata ‘bapa’ hanya dipakai dalam hubungan biologis, sekarang semua orang yang lebih tua atau lebih tinggi kedudukannya disebut ‘bapa’ sedangkan segala orang yang dianggap sama darjatnya disebut ‘saudara’.

4.2 Penyempitan Makna
Menurut Chaer (1995), Pateda (1986), penyempitan makna ialah gejala yang terjadi pada kata yang mulanya mempunyai makna yang cukup luas,kemudian menjadi makna yang cukup terbatas hanya pada makna tertentu sahaja. Sedangkan Keraf (1986:97) menyatakan bahawa penyempitan makna sebuah kata ialah proses perubahan makna kata daripada makna yang lebih luas kepada makna yang lebih khusus atau spesifik.
Sebagai contoh kata ’ahli’ membawa makna yang lebih luas iaitu keluarga, sanak-saudara atau orang-orang yang memasuki sesuatu golongan. Walau bagaimanapun kata ’ahli’ juga telah disempitkan kepada makna orang yang mahir atau pandai dalam sesuatu ilmu atau disebut juga pakar dalam sesuatu bidang.

 


TAJUK 5

PERISTILAHAN BAHASA MELAYU




  • SINOPSIS

Kursus ini mengandungi pengenalan, definisi, konsep peristilahan, sejarah penggubalan peristilahan, prinsip pembentukan istilah, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka, Peranan MABBIM, kepentingan peristilahan dalam Bahasa Melayu, dan cabarannya pada masa hadapan.


Di samping itu, kursus ini juga mengandungi sumber istilah Bahasa Melayu, istilah singkatan dan lambang Bahasa Melayu dan ejaan dan peristilahan Bahasa Melayu


  • HASIL PEMBELAJARAN

Setelah mengikuti kursus ini, anda dapat :




    1. Menjelaskan definisi istilah dalam bahasa Melayu;

    2. Prinsip – prinsip pembentukan istilah;

    3. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM;

    4. Kepentingan Peristilahan dalam Bahasa Melayu;

    5. Cabaran dan masa depan peristilahan.



5.1 Pengenalan
Walaupun serumpun dan mempunyai pertalian yang amat erat dari segi sejarah, politik dan ekonomi Malaysia , Indonesia dan Brunei Darussalam bergerak dan memancarkan kepelbagaian corak pengayaan bahasanya. Ketiga – tiga negara itu juga mempunyai kaedah tersendiri dalam perkembangan korpus bahasa Melayu.
Dalam usaha menyatukan aspek kebahasaan, terutamanya dari segi peristilahan, Majlis Bahasa Indonesia – Malaysia (MBIM) dan kemudiannya Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia atau MABBIM telah memainkan peranan untuk mewujudkan satu bentuk ejaan dan istilah yang baku atau seragam sejak tahun 1972. Pembakuan itu dilakukan untuk pengembangan dan pelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa maju mengungkap pelbagai ilmu pengetahuan.
Istilah ialah lambang linguistik yang berupa huruf, bentuk bebas atau gabungan beberapa bentuk bebas yang gramatis dan sistematik, yang mengandungi timbunan konsep atau objek khas dalam bidang tertentu. Bentuknya telah disepakati oleh sekumpulan pakar melalui jawatankuasa bidang berkenaan sebagai mempunyai nilai komunikatif yang sesuai. Kewujudan sesuatu istilah itu dianggap penting kerana mempunyai nilai komunikatif yang menjadi unsur penyampai ilmu pengetahuan. Melalui istilah, sesuatu konsep dalam bidang ilmu tertentu dapat diungkapkan dan disampaikan kepada khalayak. Kedudukan istilah menjadi lebih penting lagi dalam bidang sains dan teknologi yang mengandungi pelbagai konsep khusus dan bersifat teknikal.
Dari segi teorinya, bidang peristilahan merupakan bidang ilmu yang sama dengan bidang-bidang ilmu yang lain, iaitu mempunyai teori yang tersendiri. Peristilahan merupakan bidang linguistik praktis yang menerapkan Teori Umum Peristilahan (TUP) dalam melaksanakan tugas pembinaan istilah. Teori ini dikembangkan oleh Professor Dr. Eugen Wuster, Vienna. Manakala teori yang lebih khusus, Gumperz (1908) telah memperkenalkan model dari segi tiga teori peristilahan iaitu konsep, simbol dan objek. Teori ini kemudiannya disesuaikan lagi oleh Wuster (1931) dengan Teori Ferdinand de Saussure yang menyatakan empat perkara, iaitu lambang, bahasa lisan/tulisan, makna, dan objek.
Sebagai badan tunggal yang bertanggungjawab mengubal istilah bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mencipta banyak istilah dalam bahasa itu. Hingga kini, DBP telah berjaya menghasilkan lebih daripada sejuta istilah dalam pelbagai bidang ilmu, yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku. Pencapaian tersebut amat jelas menunjukkan bahawa DBP begitu kominted untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa berteknologi tinggi dan bertamadun melalui peristilahan. Akan tetapi semua usaha itu tidak memberi manfaat jika pihak masyarakat atau pengguna bahasa Melayu tidak menghargai sumbangan badan berkenaan, dan bersama – sama meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang maju di rantau ini dan dunia umumnya.


Latihan 5.1

  1. Nyatakan konsep peristilahan dan pengistilahan

  2. Untuk menguji pengetahuan dan kefahaman anda kaitkan peranan Bahasa Melayu dari segi jati diri rakyat Malaysia.

Dapatkan seberapa banyak maklumat dari perpustakaan atau pusat sumber yang berdekatan.


5.2 Definisi Istilah
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2007:591), istilah ialah kata, gabungan kata atau frasa yang mengungkapkan konsep yang khusus yang terdapat di dalam sesuatu bidang ilmu atau profesyen. Sesuatu istilah itu mempunyai makna yang tepat bagi konteks bidangnya. Menurut Pedoman umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (1992: 1-3) Tataistilah ialah kumpulan peraturan untuk membentuk istilah ( termasuklah kumpulan istilah yang dihasilkannya). Tata istilah atau ‘terminology’ pula merupakan kumpulan istilah bagi satu-satu bidang tertentu yang dibentuk menurut peraturan-peraturan yang ada. Misalnya, tataistilah matematik yang ada yang telah dibentuk berdasarkan sistem tertentu. Manakala tatanama ialah kumpulan peraturan untuk menentukan nama dalam bidang ilmu (termasuklah kumpulan nama yang dihasilkannya). Terdapat perbezaan kata biasa dengan kata istilah. Kata biasa atau kata umum ialah kata-kata biasa di dalam bahasa. Namun demikian, kata umum boleh menjadi istilah. Kata istilah ialah kata yang penggunaannya dan maknanya khusus pada bidang tertentu. Contohnya, kata hidrogren, nitrogen, neonatal, fonem, alofon, alormof dan morfem merupakan istilah khusus dalam bidang masing-masing.
5.2.1 Morfem dan Proses Peristilahan
Morfem ialah unit atau fungsi nahu. Morfem peristilahan ialah kata akar dan imbuhan yang digunakan dalam pembentukan istilah. Proses pembentukan istilah Bahasa Melayu ialah pengimbuhan, pengandaan dan penggabungan.
5.2.1.1 Kata akar
Kata akar ialah kata yang belum mendapat imbuhan.

Misalnya: rumah, asid, algebra dan sebagainya.


5.2.1.2 Imbuhan dan Pengimbuhan
Imbuhan ialah morfem yang digunakan untuk mencipta istilah melalui proses pengimbuhan. Misalnya: ber- (berinteraksi), -an (hasilan), peN- …-an (pemprosesan).
5.2.1.3 Penggandaan
Penggandaan ialah ulangan kata dasar sama ada sebahagian (rambut = rerambut) atau seluruh (kacang = kacang-kacang) untuk membentuk istilah.
5.2.1.4 Gabungan
Gabungan ialah cantuman dua kata atau lebih untuk membentuk istilah melalui proses penggabungan. Ada 16 kata majmuk yang mantap seperti setiausaha, warganegara, bumiputera dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ada juga antara istilah yang digunakan di dalam konteks umum. Dewan Bahasa dan Pustaka (2004), menjelaskan bahawa hal ini berlaku apabila istilah itu digunakan dengan kerap oleh masyarakat pengguna bahasa, dan penggunaannya itu tersebar melalui media massa. Contohnya, kata taqwa merupakan istilah dalam bidang keagamaan Islam dan belanjawan iaitu istilah dalam bidang ekonomi (dewasa ini istilah ‘bajet’ digunakan), sekarang ini kata-kata berkenaan sudah digunakan secara am di dalam penggunaan bahasa sehari-hari. Usaha penggubalan istilah di Malaysia bermula selepas tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam tahun 1956.
Pada peringkat awalnya tidak ada satu sistem organisasi yang memberi panduan dan mengawal kerja-kerja peristilahan. Jawatankuasa istilah ditubuhkan berdasarkan permintaan individu yang berwibawa sebagai pemimpin masyarakat atau sebagai ahli akademik. Jawatankuasa istilah yang paling awal ditubuhkan ialah Jawatankuasa Istilah Ekonomi yang dipengerusikan oleh Profesor Diraja Ungku A. Aziz. Sebagai pengerusi dan pengarah pertama DBP, beliau juga seorang pejuang bahasa kebangsaan. Ungku A. Aziz telah menyaksikan beberapa ciri perkembangan di dalam perwujudan istilah ekonomi yang tidak menyenangkan beliau.



Latihan 5.2

  1. Pada pendapat anda, mengapa pengistilahan amat penting di negara kita?




  1. Secara ringkas, nyatakan usaha-usaha yang telah di mainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terhadap perkembangan dan kemajuan peristilahan di Malaysia.


5.3 Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka

Perbincangan tentang perkembangan bahasa di Malaysia tidak akan lengkap sekiranya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak disentuh. DBP merupakan satu satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan khusus untuk memajukan bahasa Melayu. Sehingga hari ini, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka di dalam memajukan bahasa amat penting dan tidak ada badan – badan lain yang mampu berperanan sebagaimana yang dimainkannya.


Dewan Bahasa dan Pustaka memainkan peranan yang penting di dalam pembentukan istilah bahasa Melayu. Di dalam bidang bahasa, DBP berperanan membina korpus dan menyebarkan melalui buku buku istilah, tatabahasa dan perkamusan. Bahagian pembinaan dan pengembangan bahasa bertanggungjawab membina dan memperkembangkan istilah, mengadakan penyelidikan dan menyebarkan hasil pemerolehan mereka. Badan ini juga bertanggungjawab mengawal penggunaan bahasa dengan mengeluarkan risalah dan panduan umum kepada sektor awam dan sektor swasta di samping menyediakan khidmat nasihat.
Untuk memperkukuhkan lagi peranannya, Unit Pelaksanaan Bahasa ditubuhkan pada tahun 1980. Unit ini bertanggungjawab menggalakkan penggunaan bahasa Melayu. Ia telah melaksanakan beberapa langkah seperti mengadakan ceramah, taklimat, forum, kursus, rancangan Dewan Bahasa di radio, menyebarkan panduan bahasa, khidmat nasihat, mengadakan kempen “Mencintai Bahasa Melayu” dan mengawasi penggunaan bahasa Melayu di sektor awam dan swasta. Apa yang jelas, pelaksanaan perancangan bahasa yang dijalankan oleh DBP melalui bahagian - bahagian tersebut di dalamnya bersifat revolusi tetapi teratur dan sistematik.
Di dalam usaha memajukan lagi bahasa Melayu, DBP juga telah mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak lain. Kerjasama terbesar DBP ialah dengan Majlis Bahasa Indonesia Malaysia (MBIM). Kerjasama ini diperluaskan lagi dengan memasukkan Negara Brunei Darussalam. Hasil kerjasama ini terbentuklah istilah baharu yang sesuai digunakan di ketiga tiga buah negara yang terlibat.
Peranan utama DBP ialah melaksanakan usaha bagi memenuhi matlamat Bahagian Peristilahan DBP. Oleh itu, antara peranan yang dilaksanakannya ialah;

  • Mengumpul istilah bahasa Melayu di dalam pelbagai bidang ilmu.

  • Membentuk istilah bahasa Melayu di dalam pelbagai bidang ilmu.

  • Memperbanyak istilah bahasa Melayu di dalam pelbagai bidang ilmu.

  • Menerbitkan istilah bahasa Melayu di dalam pelbagai bidang ilmu.

  • Mewujudkan Pangkalan Data Peristilahan yang bersistem, sesuai dengan matlamat penyebaran dan pemasyarakatan istilah.

  • Menyelaraskan istilah dan penggunaan istilah bahasa Melayu dan mengadakan kerjasama dengan Indonesia dan Brunei Darussalam melalui MABBIM, dan negara-negara lain.

Pada tahun 1950-an, apabila dasar pelajaran kebangsaan dirangka dan diluluskan oleh Dewan Undangan Persekutuan dan kemudian oleh Dewan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu, pengajaran sains dan teknologi diperkenalkan dan ditingkatkan. Dengan itu, istilah sains dan teknologi perlu diadakan dengan segera. Bagi mendapat hasil yang seragam dan lebih cepat maka disusun pedoman pembentukan ini dalam tahun 1950-an.


Segala istilah ilmu dan nama alat perkakas asing yang sedia ada di dalam bahasa Melayu pada masa itu dipakai terus setelah disesuaikan dengan kemajuan ilmu pengetahuan. Kalau tidak ada di dalam bahasa Melayu di Tanah Melayu, bolehlah diambil istilah yang dipakai di Indonesia, kerana memang bahasa di Tanah Melayu hendak disamakan dengan bahasa di Indonesia. Kalau istilah Indonesia itu tidak sesuai atau tidak memuaskan hati barulah dibentuk baharu. Istilah-istilah asing yang dipakai oleh kebanyakan bangsa-bangsa dunia atau istilah asing yang tidak dapat diterjemahkan dengan setepat-tepatnya bolehlah diterima jadi istilah Melayu. Apabila membentuk istilah baharu hendaklah digunakan akar kata Melayu. Oleh yang demikian, istilah baharu yang dibentuk itu hendaklah menggambarkan benda atau fikiran atau keadaan yang dimaksudkan oleh istilah asing itu. Di bawah ini diberikan contohnya:


  1. Acid - asid (bukan acid)

  2. Aciditiy - keasidan (bukan asiditi)

  3. Acidic - berasid (bukan asidik)

Selain itu, adalah dilarang mengambil bentuk Inggeris secara sepenuhnya seperti acid, asiditi, dan asidik, kerana bentuk-bentuk morfologi Melayu berlainan dengan morfologi bahasa Inggeris.
Pada penghujung tahun 1960-an dan awal tahun 1970-an telah disusun semula satu pedoman pembentukan istilah baharu yang lebih terperinci. Berdasarkan pedoman yang baharu itu, ada beberapa bahagian yang ditetapkan serta diperluas dari segi dasar, cara dan pedoman, iaitu:


  1. Pembentukan istilah baharu hendaklah berdasarkan sikap dan pandangan yang progresif dan fleksibel bagi bahasa Melayu moden,

  2. Istilah baharu hendaklah yang praktis sama ada dalam bidang ilmu atau masyarakat pemakai bahasa,

  3. Pembentukan istilah baharu, dalam semua bidang ilmu atau yang popular, hendaklah sentiasa diselaraskan dengan yang dibuat di Indonesia,

  4. Istilah baharu hendaklah memperlihat kekayaan perbendaharaan kata bahasa Melayu dan yang mempunyai sistem struktur menurut kudrat bahasa Melayu-Indonesia; dan

  5. Istilah ilmu hendaklah seboleh-bolehnya memperlihat bentuk yang jelas dengan istilah asal atau istilah antarabangsa.

Dasar baharu yang ditetapkan ini sudah membawa peluang kepada penggubal-penggubal istilah untuk melihat dengan lebih luas cakupan pandangannya menuju kearah peringkat antarabangsa. Pada masa lalu apabila menggubal istilah, penggubalan itu dibuat dengan melihat ke dalam bahasa Melayu sahaja. Contohnya jika ada kata berakhiran “gy” dalam bahasa Inggeris maka dalam bahasa Melayu hendaklah dipakai kata “kaji”, sedangkan kata-kata dasarnya yang lain dicari kata terjemahannya dalam bahasa Melayu. Contohnya adalah seperti yang berikut:



  1. Biology - kajihayat

  2. Anthropology - kajimanusia

  3. Sociology - kajimasyarakat

  4. Archeology - kajipurba

  5. Phonology - kajibunyi

  6. Geology - kajibumi

  7. Psychology - kajijiwa

  8. Climatology - kajiiklim

Berdasarkan conoth – contoh di atas bentuk istilah memang baik dan sesuai kerana ia seragam, dan boleh dijadikan panduan untuk membentuk pelbagai istilah dalam bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang lain mengikut bentuk di atas seperti kajiserangga, kajibintang, kajihaiwan, kajitumbuhan, kajilautan, kajipenyakit dan berbagai-bagai lagi. Demikian juga daripada bentuk istilah seperti di atas menggambarkan bahawa bahasa Melayu memang cukup kaya dengan istilah dan mudah pula membentuk kata-kata istilah baharu dalam bahasa Melayu.


Penggubalan kata istilah di atas ini berlaku kerana kita cuba hendak mempertahankan keaslian bahasa Melayu dan dalam bentuk istilah Melayu yang sedia ada, tetapi mengapa pula perkataan “organ” diciplak daripada bahasa Inggeris, bahasa asing juga?
Oleh itu, untuk mengelak daripada berlakunya hal-hal seperti di atas, maka ditetapkan dasar kedua, supaya penggubalan istilah lebih mudah dan lebih praktis, dan kita dapat menggubal istilah dengan lebih pantas dan cepat, terutama sekali bidang-bidang ilmu yang sudah tersebar luas di seluruh dunia, seperti farmasi, farmakologi, filologi, fotosintesis, neurologi, antropologi, linguistik, dan yang seumpamanya. Bagi dasar yang ketiga pun penting, kerana bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berakarkan induk bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu Johor-Riau. Persamaannya sangat banyak, jika berbeza pun hanya kerana pengaruh persekitaran dan penjajahan yang berlainan. Kalau di Indonesia ada pengaruh bahasa Belanda, di Malaysia pula ada pengaruh bahasa Inggeris yang kuat. Selain itu kita dapat berkongsi membaca buku-buku rujukan, sama ada yang terbit di Indonesia ataupun yang terbit di Malaysia.
Dasar yang seterusnya ialah menggali lebih banyak kosa kata daripada sumber yang lebih tua, iaitu daripada bahasa Melayu klasik dan bahasa Indonesia. Dengan itu akan dapat memperlihatkan kekayaan bahasa Melayu-Indonesia dan ini akan dapat meningkatkan kemampuan dan kudrat bahasa Melayu-Indonesia dalam dunia ilmu pengetahuan. Dasar yang kelima akan dapat merapatkan hubungan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa dunia antarabangsa yang lain, jika membentuk atau menggubal istilah mengikut arus perdana antarabangsa seperti istilah bahasa Inggeris yang sudah menjadi bahasa induk, atau menyerap istilah daripada bahasa Latin yang menjadi induk bahasa barat yang maju seperti Peranchis, Jerman dan Sepanyol. Oleh itu, untuk merealisasikan dasar – dasar berkenaan maka DBP telah menyediakan lapan kaedah atau cara, iaitu:
Bagi istilah pinjam-terjemah.

  1. Meminjamterjemahkan istilah asing yang sesuai ke dalam bahasa Melayu.

Misalnya:

  1. Fixed price - harga tetap

  2. Market price - harga pasaran

  3. Price list - senarai harga

  4. Cost price - harga kos

  5. Cost section - bahagian kos

Untuk kepentingan kecekapan, keseragaman, penyelarasan, praktis, ekonomi dan ilmiah, maka (mengikut keutamaan):




  1. Beberapa istilah asing yang sama konsep/pengertiannya dalam satu bidang ilmu tertentu hendaklah ditetapkan dengan satu sahaja istilah Melayunya;

  2. Sesuatu istilah asing yang hanya satu sahaja pengertiannya, walau dalam apa bidang sekalipun, hendaklah ditetapkan dengan satu sahaja istilah Melayunya; dan

  3. Sesuatu istilah asing, hendaklah ditakrifkan Melayunya dalam bentuk istilah (bukan terjemahan) yang ringkas dan jumlah perkataan atau suku kata yang minimum.

Bagi istilah pinjaman, DBP telah memberi pedoman seperti yang berikut:




  1. Pengambilan istilah asing dan terus menjadikannya istilah Melayu hendaklah terbatas kepada (menurut keutamaan):

  1. Istilah ilmiah dalam bidang-bidang ilmu tertentu. Ini bermakna hanya dalam bidang-bidang seperti perubatan, farmakologi, kejuruteraan, aeroangkasa dan seumpanya.

  2. Istilah khusus seperti nama tempat atau negeri, orang atau gelaran atau idiom. Contohnya seperti Greenland, Wellington, Burkina Passo, James Watt dan lain-lain.

  3. Istilah asing yang belum pernah ada konsepnya, atau tidak ada persamaan Melayunya, atau tidak ada persamaan atau terjemahan yang setepat-tepatnya. Contohnya seperti computer dan digital camera. Kata-kata istilah ini diserap sahaja dengan penyesuaian ejaan dan tatabahasa Melayu menjadi komputer dan digital kamera.

  4. Istilah umum yang didapati telah popular/praktis dalam masyarakat pemakai bahasa Melayu-Indonesia. Contohnya seperti radio, televisyen dan sebagainya.

Pedoman kedua untuk istilah pinjaman yang ditetapkan oleh DBP ialah:


Kata istilah pinjaman yang diambil hanya dalam bentuk dasar, sama ada kata nama atau kata sifat. Pengambilan istilah terbitan asing dibatasi kepada unsur-unsur atau bentuk-bentuk yang dapat disesuaikan dengan struktur dan kudrat bahasa Melayu.

Contohnya kita meminjam hanya perkataan “atom” dan tidak boleh meminjam kata atomic, atomization dan yang seumpamanya. Tetapi perkataan nuklear (daripada nuclear) boleh dipinjam, sekalipun kata akarnya nucleus, kerana ini mempunyai pengertian yang khas.


Pedoman yang ketiga untuk istilah pinjaman yang ditetapkan oleh DBP adalah kata yang dipinjam, pada umumnya, hendaklah berdasarkan ejaan asal dan bukan bunyinya dan keutamaannya adalah seperti yang berikut:

  1. mengambil bentuk istilah Romawi-Yunani.

Contohnya seperti nama-nama saintifik untuk tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

  1. mengambil bentuk asal istilah asing dan disesuaikan dengan sistem ejaan baharu bahasa Melayu-Indonesia. Bagi bahagian ini ada dua pecahannya, iaitu:

  1. menyesuaikan ejaan konsonan/vokalnya menurut bentuk asal Rumawi-Yunani atau bentuk istilah asal, terutamanya bagi istilah ilmiah, atau

  2. menyesuaikan bunyi ejaan konsonan/vokal istilah asing dengan bunyi menurut ejaan Melayu-Indonesia, terutama bagi istilah bukan ilmiah.

Dalam buku Pedoman Pembentukan Istilah yang baharu di atas, banyak perkara dan tajuk baharu dimasuk dan tiap-tiap tajuk diberi takrifnya sekali, sehingga pedoman ini menjadi panduan yang jelas dan tidak mengelirukan. Antara tajuk-tajuk penting yang dimasukkan ke dalam pedoman ini termasuklah:



  1. Beberapa konsep dasar seperti definisi istilah, tataistilah dan tatanama, istilah khusus dan istilah umum, morfem peristilahan, kata dasar dan kata akar, imbuhan, kata berimbuhan, kata gabungan, bentuk prototaip dan paradigma kata atau perangkat kata;

  2. Sumber istilah, seperti kosa kata bahasa asing; dan skema tatacara pebentukan istilah yang mengandungi tujuh langkah yang ditetapkan seperti yang berikut:

a) Kata dalam bahasa Melayu yang lazim dipakai,

b) Kata dalam bahasa Melayu yang sudah tidak lazim dipakai,

c) Kata dalam bahasa serumpun yang lazim dipakai,

d) Kata dalam bahasa serumpun yang tidak lazim dipakai,

e) Kata dalam bahasa Inggeris,

f) Kata dalam bahasa asing lain,

h) Pilih yang terbaik antara istilah baharu.


Yüklə 355,57 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin