-
Nur Syahirah Bt Halim,
17 Tahun
Sebelum masuk Perkasa ni, hari cuti saya cuma dihabiskan di rumah dan tidak ada apa-apa aktiviti. Kadang-kadang saya akan keluar melepak bersama kawan-kawan. Tapi sekarang masa cuti saya penuhi dengan aktiviti kelas perkasa. Kelas pertama yang saya ikuti ialah kelas kek. Tapi selepas tamat kelas kek, saya telah mengikuti dua lagi kelas perkasa iaitu andaman & solekan dan kelas seni kasut. Perubahan yang saya perolehi selepas join perkasa antaranya ialah waktu malam saya tidak lagi melepak. Saya lebih suka berada di rumah dan jika ada peluang saya akan membuat kek dan berikan kepada saudara terdekat. Semasa menyertai kelas seni kasut pula, perkara yang saya dapat lihat adalah saya boleh berkongsi barang, bekerjasama dengan orang lain kerana sebelum ini saya lebih bersikap tidak peduli dengan orang lain. Harapan untuk masa depan saya selepas menjalani kelas kemahiran di perkasa ialah dapat menjalankan perniagaan kek di rumah dan dapat menggunakan hasil jualan untuk membantu keluarga dan persekolahan saya.
2. Linda Nasir
PPR Cempaka
Kelas pertama yang saya sertai ialah kelas andaman pada tahun 2012. Selepas tamat kelas andaman, saya rasa sayang nak tinggalkan perkasa, jadi saya sertai kelas lain iaitu pastri dan kek. Sebab utama saya sayangkan perkasa ini ialah sebab program ini banyak memberikan kesedaran kepada saya tentang kehidupan sebagai remaja. Hati saya tersentuh bila menyertai program kem “change your life” di mana kami diberikan nasihat, kami diberikan kesedaran tentang hakikat hidup remaja. Terasa sangat insaf dan saya berjaya mengubah sedikit demi sedikit sikap negatif saya. Dulu saya seorang yang suka melepak, ponteng sekolah, balik lewat malam. Saya tidak hiraukan nasihat ibubapa saya. Program ini telah menunjukkan jalan yang lebih baik untuk saya pilih. Selepas menyertai program ini, saya mula nampak tanggungjawab saya sebagai anak dan sebagai pelajar. Saya berazam untuk menjadi lebih baik dan akan menyenangkan hati ibubapa saya dengan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi remaja yang berjaya.
3. Muhammad Iskandar Bin Hazlin
16 Tahun
Nama saya Iskandar. Umur saya 16 tahun. Saya seorang yang minat dengan kesenian terutamanya seni lukis. Saya sering menyertai pertandingan melukis dan mewarna ketika saya di sekolah rendah. Apabila saya melangkah ke sekolah menengah, saya masih meminati hobi ini tetapi ramai rakan-rakan saya menganggap saya seperti budak sekolah rendah yang tidak mempunyai hobi yang lebih menarik. Saya agak tertekan dan ia telah mematahkan semangat saya. Ayah saya seorang juruteknik. Beliau telah memberikan semangat dan telah menyuruh saya menyertai program perkasa remaja ini bagi meningkatkan lagi kemahiran saya. Setelah menyertai program ini, Cikgu telah banyak mengajar dan mendedahkan saya peluang yang akan saya perolehi melalui bidang ini. Saya telah terlibat dalam aktiviti jualan hasil seni. Alhamdulillah, saya semakin bersemangat apabila hasil seni saya mendapat pengiktirafan daripada orang ramai yang telah membeli hasil seni saya. Walaupun ianya tidak banyak, tetapi ia memberikan kepuasan kepada saya. Kini, saya lebih yakin dengan bakat yang saya ada. Saya berharap agar rakan yang belum menyertai program ini, ambillah peluang ini kerana ia sangat berguna untuk masa akan datang. Selain itu juga, saya juga mendapat sokongan daripada rakan-rakan lebih dewasa dari saya yang turut bersama dalam aktiviti Perkasa remaja.
4. Farah Nadira
Bukit Melawati
Saya mula menyertai perkasa selepas diperkenalkan seorang kawan, kak Diana. Saya weekend biasanya akan sibuk dengan berniaga dan membantu ibu menguruskan rumah dan menjaga adik-adik. Walau bagaimanapun saya akan cuba mencari masa untuk mengikuti program perkasa ini. Jadi, saya ingin mengajak dan menasihatkan rakan-rakan yang mempunyai masa terluang, sertai dan ikuti program perkasa ini selagi berpeluang kerana tidak semua orang mempunyai peluang untuk menyertainya. Contohnya saya. Walaupun saya tidak selalu berpeluang mengikuti program ini, tetapi program ini telah memberikan semangat dan azam yang kuat kepada saya untuk terus belajar dan menggunakan ilmu yang diperolehi untuk membantu meringankan beban keluarga saya. InsyaALLAH saya akan bawa semangat ini sehingga saya berjaya. Memang anda tidak akan rugi sedikit pun.
5. Noralia Bt Mat Zain
Taman Melati
Ok. Impian saya ialah saya ingin membuka kedai pastri saya sendiri. Jadi, saya perlu belajar bagaimana menghasilkan pastri yang baik. Selain itu, saya perlu belajar tentang ‘teamwork’ supaya bila mempunyai kedai sendiri saya mampu menjadi orang yang boleh bekerjasama dengan baik. Dalam program inilah, saya telah mendapat kesedaran tentang apa saja yang kita ingin lakukan perlulah ada semangat kerjasama dan berpasukan. Cadangan saya ialah program ini perlu disebarkan dengan lebih meluas sama ada media massa atau media cetak sebab ramai lagi yang tidak tahu tentang program ini terutamanya remaja. Kepada remaja yang masih belum menyertai program ini, sertailah kerana program ini saya baik dan bermanfaat untuk masa kini dan akan datang.
6. Nuraini Bt Mohd Tajuddin
PPR Seri Pantai
Pada mulanya saya tidak pernah tahu tentang program perkasa remaja. Emak saya yang telah mengambil borang dan menyuruh saya menyertainya. Saya berasa sungguh beruntung kerana dapat menyertai program ini. Perkara pertama yang saya telah perolehi ialah saya mendapat ilmu. Seterusnya saya dapat mengenali rakan-rakan dari tempat lain, mengeratkan silaturrahim semasa penduduk di sini. Saya juga dapat mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari di rumah. Jadi saya akan menggunakan masa di rumah dengan aktiviti ini bersama keluarga. Bagi saya, program ini sangat baik dan sangat bermanfaat untuk semua remaja. Sebelum saya menyertai kelas perkasa ini, saya juga banyak menghabiskan masa terluang saya tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah. Selepas mengikuti kelas ini, saya lebih menghargai masa dan lebih berdikari. Saya berharap pihak perkasa dapat menggalakkan lebih ramai remaja untuk menyertai program ini kerana kadang-kadang remaja di luar sana banyak menghabiskan masa dengan melepak dan membuang masa sahaja. Jadi, apabila mereka sertai program ini, mana yang tidak tahu, mereka akan tahu dan boleh menjalankan perniagaan sendiri pada suatu hari nanti. Harapan saya ialah, InsyaALLAH, jika ada modal, saya akan membuka kedai kek sendiri.
7. Ashraf Alia
Ukay Perdana
Kalau nak ambik kelas fotografi dekat luar, memang keluarga saya tak mampu untuk hantar saya sebab mahal. Beruntung sangat bila join PERKASA, tercapai juga hasrat saya untuk belajar fotografi”. Mula-mula join kelas fotografi, saya fikir kelas ini hanya mengajar tentang ilmu mengambil dan menyunting gambar. Setelah mengikuti, bukan ilmu fotografi saja yang saya perolehi tetapi lebih dari itu. Kelas ini menjadikan saya seorang yang lebih berdisiplin. Dulu, saya seorang yang malas untuk bangun pagi terutamanya hari cuti sekolah, saya seorang yang tidak menepati masa. Tetapi selepas menyertai kelas ini, saya terpaksa untuk bangun awal sebab nak pergi ke kelas fotografi, saya juga perlu datang tepat atau awal sebab takut tertinggal pelajaran. Lama-lama, ia sudah menjadi rutin kepada saya untuk bangun pagi dan menjaga masa bukan untuk ke kelas fotografi sahaja tetapi apa juga aktiviti yang saya ikuti.
8. Mazlan Zulkarnain
PPR Lembah Pantai
Sebelum menyertai program perkasa remaja ini, saya akui memang saya seorang yang tidak ada hala tuju untuk masa depan saya. Tidak ada rasa tanggungjawab dalam diri. Hidup terasa hanya untuk enjoy bersama kawan-kawan. Saya mula berminat dengan program perkasa apabila ada kelas kemahiran terutamanya fotografi. Selepas join perkasa, saya diberikan pendedahan tentang ruang dan peluang dalam fotografi. Peluang ini telah memberikan semangat yang baru untuk saya menetapkan hala tuju hidup saya. Dengan kemahiran yang ada, saya berjaya menjalankan perniagaan mengambil gambar. Walaupun kecil-kecilan tetapi hasil yang saya perolehi juga meningkatkan semangat saya untuk terus maju. Selain itu, perkasa telah mengajar saya tentang keyakinan diri dan bekerjasama dalam satu organisasi. Dengan itu, saya bersama rakan lain telah menubuhkan kelab fotografi kami sendiri. Kami sentiasa bergerak bersama perkasa untuk membantu pelajar-pelajar baru kerana mereka juga memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar seperti kami dahulu.
9. Ashikin Rahman
Sungai Besi
Saya tinggal di Sungai Besi. Saya memang tidak tahu tentang program Perkasa sehingga saya ternampak iklan di pangsapuri rumah saya. Saya minat dengan fotografi. Saya mula mendaftar pada bulan Julai 2012. Sebelum join perkasa, saya memang zero. Tak tahu apa-apa tentang kamera. Selepas tamat menjalani kursus forografi di Perkasa, saya sudah mahir mengambil gambar. Sekarang saya selalu mendapat jemputan dari rakan di Putrajaya untuk setiap event mereka. Saya sering terlibat dalam model Photoshoot event. Saya memperolehi pendapatan sampingan sebanyak RM250 setaip kali saya dijemput. Alhamdulillah, sedikit daripada pendapatan tersebut, saya boleh beri kepada ibu saya dan saya mampu untuk menyimpan. Saya juga berhasrat untuk membeli kamera yang lebih baik. Saya juga mempunyai cita-cita untuk membuka perniagaan sendiri. saya ingin menjadi profesional photographer muslimah. Selain itu, perkara yang saya pelajari daripada perkasa ialah, menepati masa, berkeyakinan diri, bertanggungjawab dan lain-lain. Perkara-perkara ini sering ditekankan oleh cikgu-cikgu kerana untuk menjadi Photographer yang terbaik, kita perlu ada semua nilai-nilai ini.
10. Puspalatha a/p Balakrishnan
17 Tahun
Pengalaman saya ini adalah untuk rakan-rakan diluar sana yang masih belum menyertai Perkasa remaja terutamanya remaja berbangsa India. Sebelum saya menyertai Perkasa remaja ini, saya bukanlah antara remaja yang mempunyai masalah disiplin tetapi saya seorang yang kurang keyakinan diri. Saya berasa tidak yakin dapat bergaul mesra dengan rakan di Perkasa kerana kami tidak mengenali antara satu sama lain dan berlainan bangsa. Kali pertama saya menyertai kelas ini, saya berasa sungguh gembira kerana rakan-rakan di Perkasa dapat menerima saya dengan baik. Kami bergaul seperti sudah lama berkenalan. Ini telah menaikkan semangat saya untuk terus mengikuti kelas Perkasa remaja ini. Keluarga saya juga turut menberikan dorongan dan sokongan kepada saya untuk terus mengikuti sehingga tamat dan mengikuti kelas-kelas lain yang ditawarkan dalam program ini. Program ini jelas telah menaikkan motivasi saya dalam merancang masa depan yang positif. Saya berharap sangat supaya program ini dapat disebarkan lagi terutamanya kepada remaja india yang masih belum mengenali dan masih belum mengetahui tentang program ini.
11. Nana Azliana
Rawang
Saya telah menyertai program ini 2 tahun yang lalu. Suka untuk saya kongsikan kepada rakan-rakan tentang pengalaman saya sebelum dan selepas menyertai Perkasa remaja. Saya sangat meminati bidang solekan dan andaman kerana saya suka bila melihat orang lain cantik. Walau bagaimanapun saya tidak mempunyai kemahiran dalam bidang ini sehingga saya menyertai program ini. Walaupun tempat tinggal saya jauh tetapi ianya sangat berbaloi bagi saya. Program ini juga percuma dan ia telah memberikan motivasi kepada saya untuk terus hadir ke program ini. Program ini juga telah membantu saya dalam menentukan masa depan saya. Alhamdulillah, selepas 8 minggu, saya berjaya mendapatkan sijil latihan andaman dan solekan yang telah di tandatangani sendiri oleh YBhg Datin Seri Rosmah Mansor. Kini, saya giat menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk majlis pertunangan, persandingan, majlis-majlis keramaian dan sebagainya. Pendapatan yang boleh dianggarkan adalah sekitar RM200 – RM 300 untuk satu acara. Jika musim cuti sekolah, pendapatan saya juga bertambah kerana banyak acara berlangsung. Buat masa ini, saya perlu mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran diri sebelum saya meneruskan cita-cita saya untuk membuka sebuah “bridal”.
12. Wan Normardiana, 25 Tahun
PPR Pantai Permai
Saya telah menyertai aktiviti perkasa sejak tahun 2011 dan kelas pertama yang saya sertai adalah kelas solekan dan andaman. Selepas sertai kelas solekan &andaman, saya rasa sangat teruja untuk memulakan bisnes solekan, nak buka spa tapi ia memerlukan modal yang besar. Jadi buat masa ini, saya telah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan iaitu rawatan medicure & padicure dari rumah ke rumah. Saya juga ada menjalankan bisnes andaman. Sebagai permulaan bisnes, saya Cuma mengambil upah sebanyak Rm15 sahaja untuk asas tetapi jika termasuk potong kuku dan cuticle saya mengambil upah sebanyak RM20. Jadi termasuk minyak untuk ke sana, tidak lah terlalu mahal. Mengikut kawasan pelanggan. Saya berharap program perkasa ini dapat diperluaskan di seluruh malaysia supaya remaja lebih mengenali perkasa dan dapat mengikuti program ini. Jadi remaja akan lebih dapat menggunakan masa lapang mereka dengan aktiviti yang lebih berfaedah. Cadangan untuk program terbaru ialah, saya berharap perkasa dapat mengadakan kelas bahasa inggeris kerana saya dapati ramai remaja yang berminat untuk mempelajari bahasa inggeris tetapi tidak yang yakin dan tidak tahu bagaimana hendak memulakannya, malu dan segan untuk bercakap kerana takut salah dan tiada keyakinan diri.
13 Muhd Zulfaqar Bin Yusni
PPR Pantai Ria
18 Tahun
Nama saya Zulfaqar. Berusia 18 tahun. Selepas tamat SPM, saya seorang yang malas untuk bekerja. Saya lebih suka tidur dan bangun lewat. Di waktu malam pula, saya akan menghabiskan masa saya melepak bersama rakan-rakan saya yang juga baru tamat sekolah. Kami berasa seronok dengan kehidupan seperti itu. Kadang-kadang kami akan pergi ke bandar untuk ‘jamming’. Saya mula menyertai Perkasa pada tahun 2011 dan telah memilih kelas muzik dan vokal kerana sangat berminat dengan alat muzik terutamanya ‘Drum’. Saya merasakan kelas Perkasa hanyalah kelas yang mengajar saya tentang muzik sahaja. Ternyata tanggapan saya salah kerana Perkasa banyak mengajar saya tentang muzik dan kehidupan saya sebagai remaja. Saya sering menerima nasihat daripada cikgu kerana untuk menjadi pemuzik yang berjaya, saya perlu ada disiplin. Perkasa mendidik saya menjadi seorang yang lebih menghargai diri dan memberikan saya hala tuju sebagai remaja agar masyarakat dapat menghargai golongan muda seperti saya. Sebagai anak sulong, saya mula sedar akan tanggungjawab saya terhadap keluarga dan adik-adik. Alhamdulillah banyak perubahan dalam diri saya. Azam saya sekarang adalah cuba untuk menarik lebih ramai rakan saya yang masih belum sedar dan masih memikirkan tentang keseronokan semata-mata.
14 Mohammad Talha Bin Rosli
PPR Lembah Pantai
Saya Talha. Saya seorang peminat muzik. Sebelum ini, saya memang tidak pernah mendengar nama program ini sehingga saya terjumpa poster berkaitan program ini di kediaman saya. Saya menyertai program Perkasa remaja ini adalah untuk mengasah bakat saya dalam bidang muzik. Sebelum ini saya hanya bermain gitar di rumah sahaja. Selepas menyertai program ini, saya telah didedahkan dengan aktiviti muzik di luar. Saya telah di bawa ke studio dan telah mengadakan persembahan ‘busking music’ bersama rakan-rakan Perkasa. Selepas menyertai kelas dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti perkasa, saya mula sedar tentang nilai-nilai kerjasama dan saling membantu dalam kumpulan. Ia bukan sahaja dalam kumpulan muzik tetapi melibatkan kerjasama dengan orang lain. Saya juga berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat, yakin dengan diri sendiri mampu untuk menyampaikan sesuatu kepada orang ramai. Saya berharap, remaja lain juga dapat menyertai program ini kerana program ini bukan sahaja dapat mengasah bakat, menuntut ilmu, meningkatkan kemahiran tetapi memberikan peluang kepada anda untuk menjadi remaja yang akan menjadi modal insan kepada negara.
15. Mohd Norzainuddin Bin Nor Azam
PPR Pantai Ria
19 Tahun
Bila memikirkan tentang kisah lalu, memang ianya sungguh memeritkan. Namun untuk maju, saya perlu bangkit dari kesilapan lalu. Saya berharap agar apa yang saya kongsikan ini dapat dijadikan pengajaran kepada remaja diluar sana. Tanpa memikir panjang, saya telah menamatkan zaman persekolahan seawal usia 15 tahun. Sebelum saya menyertai Perkasa remaja, saya merasakan bahawa keputusan saya ini adalah benar tetapi setelah menyertai program Perkasa, barulah saya sedar ianya adalah kerugian yang sangat besar dalam hidup saya. Saya berasa merasakan bahawa saya sudah tiada masa depan. Program perkasa telah berjaya menaikkan semula semangat dan keyakinan untuk saya mengubah diri saya. Dengan bakat bermain muzik, saya telah menyertai Program ini. Dengan peluang yang diberikan oleh Perkasa remaja, saya telah berjaya mengembangkan bakat yang ada. Di Perkasa, saya bukan sahaja diajar tentang muzik sahaja tetapi saya turut dididik tentang moral seperti disiplin, kepimpinan, bertanggungjawab, kemahiran dalam diri dan lain-lain. Dengan sedikit ilmu yang ada, saya juga telah menubuhkan kumpulan muzik saya sendiri yang diberi nama “kelibat melodi”. Saya dan rakan-rakan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan diri kami. Nasihat saya kepada rakan-rakan supaya walaupun anda mempunyai minat dalam sesuatu bidang, janganlah abaikan dunia persekolahan kerana walau apapun, pendidikan adalah amat penting demi kejayaan anda pada masa akan datang.
16 Nur Azmina Bt Ahmad Sobri
16 Tahun
Ppr Sri Pantai
Saya seorang yang gemarkan muzik. Saya mula menyertai kelas PERKASA pada awal tahun 2013. Pada mulanya saya tidak berminat untuk menyertai PERKASA kerana saya beranggapan kelas yang dianjurkan adalah bosan dan tidak menyeronokkan. Namun setelah beberapa kali dipaksa oleh rakan akhirnya saya akur dan ternyata apabila saya merasai sendiri suasana pembelajaran di PERKASA ternyata yang tanggapan saya selama ini salah. Jika selama ini saya hanya berangan-angan untuk bermain alat muzik namun kini angan-angan saya sudah menjadi kenyataan malahan saya sudah mula tahu ternik-teknik yang betul untuk bermain alat muzik. Saya juga berasa amat bertuah kerana diberi peluang untuk membuat ‘busking’ di depan khalayak ramai. Selain itu, dengan menyertai PERKASA saya mula sedar tentang pentingnya nilai kerjasama dalam satu kumpulan. Jika dulu saya lebih gemar berpeleseran di pusat-pusat membeli-belah pada hujung minggu namun kini saya sudah tidak sabar menanti hujung minggu bagi menghabiskan masa di studio bersama rakan-rakan. Saya dapat rasakan yang masa lapang saya sekarang lebih terisi dengan perkara yang berfaedah dan bermanfaat. Kepada rakan-rakan yang belum bersama PERKASA ayuh bersama-sama kami merebut peluang yang telah disediakan ini.
Dostları ilə paylaş: |