Pn. Hjh. Elina hj. Mohd abd. Kahar


BAHAN 3 : KARANGAN JENIS LAPORAN KEGIATAN



Yüklə 269,76 Kb.
səhifə3/7
tarix03.11.2017
ölçüsü269,76 Kb.
#29114
1   2   3   4   5   6   7

BAHAN 3 : KARANGAN JENIS LAPORAN KEGIATAN
Sekolah anda telah dipilih sebagai tuan rumah Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri. Anda merupakan setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia yang ditugaskan menyediakan laporan pertandingan itu.

Sediakan laporan itu selengkapnya.


Laporan Pertandingan Bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Kedah
Pada 16 dan 17 Jun 2011, pertandingan bahas ala parlimen peringkat negeri telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik. Pertandingan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut ini dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah. Tujuan utama pertandingan ini dijalankan adalah untuk mencungkil bakat para pelajar dalam arena perdebatan di samping meningkatkan keintelektualan pelajar. Sebenarnya pertandingan bahas merupakan program serampang dua mata yang dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah sejak beberapa tahun yang lalu. Dalam usaha untuk menjadi tuan rumah yang terbaik, Persatuan Bahasa Malaysia di amanahkan untuk mengendalikan pertandingan ini sepanjang dua hari pertandingan. Encik Nas Iffat B. Mohd. Salleh selaku guru penasihat Persatuan Bahasa Malaysia telah membahagikan ahli persatuan kepada empat kumpulan untuk melaksanakan tugas yang sewajarnya.

Seawal pukul 8.25 pagi pada 16 Jun 2011, pasukan bahas yang mewakili Daerah Padang Terap/Pendang, iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min tiba bersama-sama dengan penyokong dari sekolah mereka. Guru pengiring bagi pasukan ini ialah Encik Alang Ekhwan B. Abdullah manakala ketua pasukan mereka ialah Jamilah binti Kassim. Tiga puluh minit selepas itu, pasukan bahas Sekolah Menengah Pinang Sebatang dari Daerah Kuala Muda/Yan tiba bersama-sama dengan guru pengiring mereka, iaitu Encik Md. Haidin bin Rubin. Pasukan yang diketuai oleh Anis Suraya binti Sobri ini merupakan johan pada tahun lepas. Kira-kira pukul 9.15 pagi, naib johan tahun lalu tiba, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lima yang mewakili Daerah Baling/Sik. Pasukan-pasukan lain yang mewakili Daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Kulim/Bandar Baru, dan Langkawi tiba sejurus selepas itu.

Pertandingan yang dijadualkan bermula pada 10.00 pagi terpaksa ditunda lima belas minit berikutan kehadiran hakim yang agak lewat. Tepat pada pukul 10.15 pagi, pertandingan bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri Kedah peringkat saringan dimulakan. Pada peringkat ini, daerah Baling/Sik bertemu dengan Kota Setar membahaskan usul “Hukuman Rotan Wajar Dilaksanakan di Sekolah” manakala Daerah Kubang Pasu bertemu dengan johan tahun lalu, iaitu pasukan bahas dari daerah Kuala Muda/Yan. Pada masa yang sama daerah Padang Terap/Pendang bertemu dengan daerah Kulim/Bandar Baru. Disebabkan beberapa faktor, pasukan bahas dari Langkawi dipilih untuk terus ke peringkat separuh akhir. Seperti yang dijangkakan pasukan yang berjaya meneruskan perjuangan bersama-sama dengan daerah Langkawi di peringkat separuh akhir ialah pasukan dari daerah Baling/Sik, Kuala Muda/Yan, dan Kulim/Bandar Baru.

Pada waktu petang Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lima mewakili daerah Baling/Sik, Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Sebatang dari Kuala Muda/Yan, Sekolah Menengah Kebangsaan India Mahsuri wakil Daerah Langkawi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra dari Kulim/Bandar Baru meneruskan perjuangan pada peringkat separuh akhir. Usul yang diperdebatkan ialah “Keluarga Bahagia Pemangkin Kecemerlangan Komuniti”. Pada peringkat ini daerah Baling/Sik bertemu dengan daerah Kuala Muda/Yan manakala daerah Kulim/Bandar Baru berdebat dengan daerah Langkawi. Tumpuan lebih diberikan terhadap perdebatan johan tahun lalu dengan naik johan bagi melihat kemampuan Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Sebatang mengekalkan gelaran. Selepas lebih kurang sembilan puluh minit pertandingan berlangsung, peringkat akhir yang akan dijalankan keesokan harinya mempertemukan pasukan bahas dari daerah Baling/Sik dengan daerah Langkawi.

Keesokan harinya, iaitu pada 17 Jun 2011, kedua-dua pasukan yang akan berentap pada peringkat akhir, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pinang Sebatang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lima tiba seawal pukul 8.45 pagi. Walhal pertandingan bermula pada pukul 10.00 pagi. Sekali lagi pertandingan ditunda kerana kelewatan para hakim di sebabkan tersekat dalam kesesakan jalan raya di Pekan Sik. Kendatipun sedikit terlewat pertandingan diteruskan lima belas minit selepas waktu yang ditetapkan. Usul yang dibentangkan pada peringkat akhir ialah “Interaksi antara Pelajar dan Guru Penting dalam Usaha Membina Sahsiah Pelajar”. Pertandingan peringkat akhir ini juga menjadi tumpuan kulawangsa Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik sehingga berlaku sedikit gangguan pada proses pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, gangguan kecil ini tidak memberikan impak negatif kepada pertandingan. Pertandingan tamat pada pukul 11.00 pagi dengan kemenangan berpihak kepada pasukan bahasa dari daerah Baling/Sik.

Selepas tamat pertandingan peringkat akhir, para penonton disajikan dengan persembahan nasyid dari kumpulan Al-Hananiah serta diteruskan dengan persembahan Dikir Barat daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik. Selain itu, majlis penutupan ini juga diserikan dengan persembahan nyanyian oleh tiga orang pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kwok Kwok. Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah ,Tuan Haji Osman bin Ayob turut dijemput untuk memberikan ucapan. Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan rasa terkejut melihat kebolehan berdebat yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan. Beliau turut berharap agar pertandingan ini dapat mencapai motif utama, iaitu sebagai medium untuk meningkatkan tahap pemikiran para pelajar. Selepas itu, Tuan Haji Osman bin Ayob sekali lagi dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Segala aktiviti pertandingan tamat pada pukul 12.00 tengah hari. Para jemputan khas dan guru-guru pengiring dijemput ke kantin sekolah untuk menjamu selera manakala para peserta terus bertolak pulang. Urus setia pertandingan, iaitu ahli Persatuan Bahasa Malaysia menjalankan tugas terakhir mereka mengemas dewan serta kelas-kelas yang terlibat sepanjang pertandingan. Sememangnya, tugas untuk mengendalikan pertandingan bahas Ala Parlimen Peringkat Negeri merupakan suatu cabaran baru kepada ahli persatuan. Berkat kerjasama dan sokongan yang utuh, pertandingan ini dapat dijalankan tanpa sebarang kendala. Hal ini bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Akhir kata, ahli Persatuan Bahasa Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu kami secara langsung mahupun secara tidak langsung.
Disediakan oleh, 2 Julai 2011.

Alifsaafar Ali

..................................................

(ALIFSAAFAR ALI B. JOHOR ALI)

Setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia.

BAHAN 4 : KARANGAN JENIS LAPORAN MINIT MESYUARAT
Anda setiausaha Persatuan Bahasa Malaysia di Sekolah anda. Baru-baru ini, persatuan tersebut mengadakan mesyuarat. Sebagai setiausaha, anda ditugaskan menyediakan laporan minit mesyuarat.

Tulis laporan minit mesyuarat tersebut selengkapnya.
Minit Mesyuarat Persatuan Bahasa Malaysia

Kali Kedua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa
Tarikh : 1 September 2011

Hari : Selasa

Masa : 3.00 petang

Tempat : Dewan Muhammad Abduh, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa

Kehadiran : Encik Osman bin Aiyob (Guru Penasihat)

Saudara Sobri bin Abdul Wahab(Pengerusi)

Saudari Hafsah binti Hassan(Timbalan Pengerusi)

Saudara Alif Safar Ali bin Johor Ali (Setiausaha)

Saudari Massita Husnah binti Ahmad (Bendari)

Saudara Azwansyah bin Ma’sum (Ahli Jawatankuasa)

Saudara Najmi bin Abdul Salam (Ahli Jawatankuasa)

Saudari Jamaliah binti Kassim (Ahli Jawatankuasa)



Saudari Siti Ruzanah binti Nasiruddin(Ahli Jawatankuasa)
CATATAN MESYUARAT

  1. Ucapan Pengerusi

    1. Pengerusi memulakan majlis dengan bacaan doa.

    2. Pengerusi mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru penasihat persatuan dan ahli jawatankuasa. Beliau turut melahirkan seribu kesyukuran kepada

Ilahi kerana dengan kuasa-Nya, ahli jawatankuasa dapat berkumpul dalam mesyuarat kali yang kedua ini.

    1. Pengerusi menjelaskan bahawa tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Minggu Bahasa Malaysia yang akan dianjurkan oleh Persatuan ini dan beberapa masalah yang berbangkit.

Tindakan: Untuk Makluman

  1. Pengesahan Minit Mesyuarat Jawatankuasa yang Pertama

    1. Saudari Jamaliah binti Kassim mengusulkan supaya minit mesyuarat yang lalu disahkan tanpa sebarang pindahan. Usul beliau disokong oleh saudara Najmi bin Abdul Salam.

Tindakan : Untuk Makluman

  1. Aktiviti Berkenaan Minggu Bahasa Malaysia

    1. Pengerusi meminta semua ahli jawatankuasa memberikan pendapat tentang aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan.

    2. Saudara Azwansyah mengusulkan supaya diadakan kuiz sastera melibatkan semua pelajar yang berminat. Saudari Massita mengusulkan supaya diadakan pertandingan syarahan melibatkan wakil bagi setiap kelas.

    3. Usul daripada saudara Azwansyah lebih mendapat sokongan berbanding dengan yang dikemukakan oleh saudari Massita.

    4. Guru penasihat memberikan pendapat. Beliau lebih cenderung supaya diadakan pertandingan syarahan. Di samping dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan pelajar, pertandingan ini lebih adil kerana pelajar-pelajar Tingkatan Lima dan Empat lebih banyak mendalami ilmu sastera berbanding pelajar Tingkatan Satu, Dua, dan Tiga.

    5. Saudari Siti Ruzanah mengusulkan supaya pertandingan ini dibahagikan kepada dua ketegori, iaitu menengah rendah dan menengah atas. Semua anggota bersetuju dengan usul ini.

    6. Saudari Hafsah mengusulkan supaya mengadakan pertandingan mencari harta karun. Semua ahli jawatankuasa turut bersetuju dengan usul ini.

    7. Saudari Siti Ruzanah turut mengusulkan supaya diadakan pertandingan teka silang kata bagi setiap kelas. Saudari Hafsah mencadangkan supaya pertandingan ini turut dibahagikan kepada dua kategori.

    8. Pengerusi meminta supaya kebenaran diminta terlebih dahulu daripada pihak sekolah.

Tindakan: Semua ahli jawatankuasa, Setiausaha

  1. Perkara-perkara yang Berbangkit

    1. Bendahari memaklumkan bahawa ada anggota persatuan yang masih belum menjelaskan yuran bulanan.

    2. Setiausaha menyampaikan rungutan segelintir pelajar yang tidak dapat menganggotai kelab ini. Mereka berpendapat agar bilangan ahli persatuan yang dihadkan perlu dipertimbangkan semula.

Tindakan : Bendahari dan Setiausaha

  1. Hal-hal Lain

    1. Semua ahli jawatankuasa dikehendaki memikirkan moto persatuan yang baru.

    2. Timbalan pengerusi diberi tugas membahagikan ahli persatuan kepada beberapa kumpulan untuk menjalankan tugas sepanjang Minggu Bahasa Malaysia.

Tindakan: Semua ahli dan Timbalan Pengerusi
Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan guru penasihat yang sudi menghadiri mesyuarat itu hingga tamat. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 4.30 petang.
Yang bertugas
Alifsafar Ali

.................................................

(ALIFSAFAR ALI B. JOHOR ALI)

Setiausaha,

Persatuan Bahasa Malaysia,

Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa.




BAHAN 5 : KARANGAN JENIS DIALOG
Sebagai penghuni asrama, anda pernah berbual-bual dengan rakan-rakan anda berkaitan dengan kehidupan di asrama.

Tulis dialog itu selengkapnya.
Seperti biasa, selepas sekolah, Osman, Alang, dan Nasir pergi ke surau untuk menunaikan solat zohor. Selepas selesai menunaikan solat, mereka terus ke dewan makan untuk menjamu selera. Sambil berjalan-jalan menuju ke dewan tersebut, mereka berbual-bual tentang kehidupan mereka di asrama.
Alang : Sudah hampir lima tahun kita belajar di sekolah ini. Tahun depan kita bakal

meninggalkan asrama ini dan mencari haluan hidup masing-masing.

Osman: Saya berasa sedih, Alang, Nasir. Pelbagai kenangan pahit dan manis kita harungi di sekolah ini walaupun pada mulanya saya sangat benci pada sekolah ini.

Nasir : Sebenarnya, kita perlu berasa beruntung kerana berpeluang belajar di sekolah

berasrama penuh. Banyak kebaikan yang dapat diperoleh jika kita menggunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya. Namun, di sebalik kebaikan terselit juga keburukan yang sukar untuk kita hindari. Hal ini bergantung kepada individu itu sama ada memilih kebaikan atau keburukan.

Osman: Benar kata-kata kamu itu. Pada pendapat saya, antara kebaikan yang diperoleh adalah melatih diri saya supaya berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sebelum saya tinggal di asrama, saya merupakan seorang anak manja yang tidak pandai mengurus diri termasuklah dalam perkara kecil seperti membasuh baju. Setelah saya datang ke asrama ini, berlaku perubahan drastik terhadap diri saya. Saya terpaksa belajar membasuh baju kerana tiada lagi ibu dan mesin basuh untuk menolong saya. Kamu pula bagaimana Nasir?

Nasir : Keadaan saya hampir sama seperti kamu, Osman. Pada mulanya, saya enggan

datang ke sekolah ini disebabkan tidak sanggup berpisah dengan ayah dan ibu. Mereka memaksa saya belajar di sekolah ini dan saya berasa amat sedih ketika itu. Hal ini demikian kerana, salah satu perkara yang saya tidak suka adalah membasuh baju. Setelah tinggal selama sebulan di asrama ini, saya tidak pernah membasuh baju dan baju saya kelihatan kotor dan berbau hapak. Banyak kawan yang mentertawakan saya. Saya berasa amat malu ketika itu. Oleh itu, saya telah menggambil inisiatif supaya belajar membasuh baju. Selain itu, apa pula pendapat kamu Alang?

Alang : Pada pendapat saya, tinggal di asrama membolehkan saya mendapat kawan

yang banyak dan sahabat seperti kamu berdua. Sebelum tinggal di asrama ini, saya kurang bersosial dengan masyarakat sekeliling. Hal ini disebabkan oleh jadual harian yang padat seperti kelas tambahan, belajar al-Quran, dan sebagainya. Tambahan pula, ibu turut melarang saya bergaul dengan anak-anak jiran kerana ibu takut saya akan terpengaruh oleh gejala yang tidak sihat.

Osman : Saya sokong kata-kata kamu, Alang. Tinggal di asrama secara tidak langsung

dapat mengasingkan diri kita daripada pengaruh luar seperti “black metal”, “punk”, “grunge”, “skinhead”, “hiphop”, “gothic”, dan sebagainya. Pengaruh barat ini semamangnya bertujuan merosakkan minda dan pemikiran kita.

Nasir : Alang, Osman, saya rasa kebaikan utama kita tinggal di asrama adalah dapat

mendisiplinkan diri kita. Disiplin merupakan asas kecemerlangan individu. Tanpa disiplin, manusia seperti tiada arah tujuan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana disiplin menjadikan kehidupan seseorang lebih sistematik dan setiap pekerjaan yang dilakukan akan membuahkan hasil. Sikap garang dan tegas ketua warden sedikit banyak dapat membentuk disiplin dalam diri kita. Walaupun kadang-kadang sikap garangnya amat menyakitkan hati, itu mungkin kaedah terbaik untuk mendidik pelajar.

Osman : Sedang kita asyik berbincang kebaikan tinggal di asrama, bagaimana pula

dengan keburukannya?

Nasir : Oh, terlupa pula saya! Keseronokan tinggal di asrama kadang-kadang

menyebabkan kita lupa akan keburukannya. Keburukan ini akan menimpa diri kita sekiranya kita gagal mengawal hawa nafsu kita. Tinggal di asrama juga bererti kita bebas daripada kongkongan ibu bapa. Oleh itu, kita bebas melakukan apa-apa sahaja. Walaupun terdapat warden-warden yang ditugasi mengawasi pelajar, namun pengawasan itu hanya sementara kerana para warden juga sibuk dengan hal-hal keluarga mereka.

Osman : Masalah ini dapat diselesaikan sekiranya pelajar-pelajar menyedari matlamat

sebenar mereka datang ke sekolah. Tujuannya, adalah untuk menjadi insan berilmu dan dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat. Selain itu, ilmu agama turut penting dalam membina benteng yang kukuh dalam diri pelajar ke arah usaha melawan hawa nafsu. Bagaimana pula dengan kamu Alang?

Alang : Bagi saya, salah satu keburukan tinggal di asrama adalah tiada kelas tuisyen.

Kewujudan kelas tuisyen amat penting dalam usaha meningkatkan prestasi

akademik pelajar. Hal ini demikian kerana pembelajaran di dalam kelas hanya

merupakan topik asas dan hal ini sahaja tidak mencukupi bagi seseorang pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan.

Nasir : Kata-kata kamu itu mungkin betul tetapi bagi saya, keburukan hidup di

asrama ialah pengaruh rakan sebaya.

Alang : Mengapa pula kamu berkata demikian, Nasir?

Nasir : Hal ini demikian kerana rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat

dengan kita. Golongan remaja, khususnya pelajar sekolah, mudah terpengaruh dengan rakan-rakan mereka yang mungkin berkelakuan baik atau sebaliknya. Oleh itu, baik buruk seseorang pelajar juga bergantung kepada jenis rakan yang dipilih oleh mereka.

Alang : Betul kata-kata kamu, Nasir. Saya sokong seratus peratus. Osman, Alang dan

Nasir berjalan masuk ke dewan makan. Masing-masing mengambil makanan dan minuman dan kemudiannya menjamu selera bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Selepas makan, mereka pulang ke asrama untuk merehatkan diri sebelum pergi ke kelas semula.


BAHAN 6 : KARANGAN JENIS BERITA



Sebagai pemberita, anda telah diberi tugas untuk membuat liputan tentang Hari Bahasa dan

Sastera Peringkat Kebangsaan.

Tulis berita itu selengkapnya.
Hari Bahasa dan Sastera Mendapat Sambutan Luar Biasa

Oleh : Firdaus Abdul Rahman


BANTING, 2 Januari - Sekolah Menengah Agama Sik telah muncul sebagai johan keseluruhan peringkat kebangsaan pada Hari Bahasa dan Sastera yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebanyak 10 buah sekolah menengah dari seluruh negara yang mewakili 10 buah negeri telah menghangatkan suasana pertandingan yang dijalankan. Hari Bahasa dan Sastera ini telah dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak , Perdana Menteri Malaysia yang sanggup turun padang bagi sama-sama merancakkan kembali bahasa kebangsaan yang kian dipinggirkan belakangan ini. Hari Bahasa dan Sastera telah diadakan dengan gilang-gemilang di Pusat Dagangan Dunia Putra. Sebanyak 10 orang pemerhati asing dari luar negara dijemput hadir.

Pelbagai pertandingan berunsurkan kesusasteraan bahasa Malaysia dipertandingkan dan disertai oleh banyak peserta. Antara pertandingan yang diadakan termasuklah sayembara deklamasi sajak, acara berbalas pantun, dan bercerita. Pertandingan ini diadakan bertujuan mencungkil bakat penulis dan pendeklimasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dari seluruh pelusuk negara bagi mencapai aspirasi kerajaan supaya Bahasa Malaysia dapat dinaiktarafkan. Setiap peserta dikehendaki menyediakan dan menyampaikan hasil-hasil nukilan menarik mereka. Di samping itu, pertandingan ini juga bertujuan menambahkan rasa cinta akan tanah air dalam kalangan generasi muda yang dilihat semakin hanyut dibawa arus kemodenan.

Sayembara deklamasi sajak mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar sekolah menengah. Pihak penganjur telah menetapkan bahawa setiap sajak yang dipersembahkan mestilah berorentasikan semangat cinta akan tanah air. Impak daripada pendedahan yang meluas daripada guru-guru di sekolah, lebih banyak pelajar aliran sains menyertai pertandingan ini berbanding dengan aliran sastera. Anjakan paradigma yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan memasukkan komponen kesusasteraan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia memberikan pelbagai implikasi dan komplikasi yang positif. Pertandingan sajak dapat membaiki penguasaan bahasa kita.

Selain itu, suasana yang sunyi sepi menjadi riuh-rendah apabila pertandingan perbahasan dijalankan. Usul perbahasan yang dikemukakan bertemakan isu-isu semasa antaranya termasuklah “Wajarkah Bahasa Melayu Dicampuradukkan dengan Bahasa Lain?”

dan “Pelajar Aliran Sains Tidak Harus Menceburi Bidang Sastera dalam Pembelajaran”. Pelbagai hujah yang mantap dan futuristik dikemukakan oleh pembahas dalam usaha membidas dan menyokong hujah mereka. Tepukan yang bertali arus turut menggamatkan suasana. Usaha pihak penganjur yang mengadakan pertandingan bahas ala parlimen pula merupakan inisiatif yang efisien bagi melahirkan para pembahas yang berketerampilan dan kompetitif.

Pertandingan pantun yang diadakan turut menerima penyertaan yang banyak

walaupun terdapat yang menyatakan bahawa pantun sudah lama dipinggirkan. Pantun yang dahulu kala digunakan untuk menyindir dan memberikan nasihat dilihat semakin mendapat sambutan. Para peserta dilihat sangat bersemangat dalam usaha membalas dan menjual pantun. Prestasi mereka sangat membanggakan apabila setiap kali peserta pantun menyampaikan pantun keadaan dewan menjadi sunyi sepi. Hal ini bermakna bahawa para penonton khususnya para pelajar menghayati apa-apa yang ingin disampaikan. Kita dapat memahami nilai-nilai kemanusiaan yang dapat kita jadikan contoh dalam usaha mengharungi arus kehidupan. Usaha menjanakan penggunaan pantun dalam kehidupan, orang ramai berpendapat bahawa pendedahan penggunaan pantun perlu diperluas melalui media massa dan pembelajaran di sekolah.

Dalam usaha memeriahkan Hari Bahasa dan Sastera, pihak penganjur telah mengadakan pertandingan nyanyian lagu-lagu asli dan klasik buat julung kalinya. Walaupun lagu-lagu asli dan klasik kurang diminati namun sambutan yang menggalakkan diterima sehingga pihak penganjur tidak menang tangan menerima penyertaan. Encik Abdul Fatah bin Fadzil daripada pihak pengurusan pertandingan pula menjelaskan, aktiviti nyanyian lagu-lagu klasik dapat melatih pelajar menggungkapkan kata dengan sebutan yang betul dan melatih mereka menggunakan intonasi yang sesuai untuk meluahkan perasaan ketika berhadapan dengan orang ramai.

Majlis perasmian penutupan Hari Bahasa dan Sastera telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah. Beliau mengatakan bahawa pertandingan ini dapat membentuk para pelajar yang memiliki perasaan yakin untuk berinteraksi dengan semua orang. Namun, beliau berpendapat bahawa para peserta perlu memperbaik prestasi mereka dengan mementingkan keaslian hasil yang disampaikan. Tambah beliau lagi, pertandingan ini perlu diadakan sebagai acara tahunan dalam usaha mengangkat martabat bahasa Malaysia supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Oleh itu, kerajaan dan badan bukan kerajaan perlulah bahu-membahu bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” dalam usaha menanam minat rakyat Malaysia tentang kesusasteraan Melayu.

BAHAN 7 : KARANGAN JENIS SYARAHAN
Anda telah mewakili sekolah anda dalam pertandingan syarahan peringkat daerah. Tajuk syarahan itu ialah “Kepentingan Kitar Semula”.

Tulis teks syarahan tersebut selengkapnya.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada seluruh kulawangsa dewan, Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Pegawai Daerah Machang, Guru-guru, rakan-rakan, dan hadirin sekalian. Berdirinya saya di sini pada pagi yang nirmala ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk “Kepentingan Kitar Semula”.
Pada hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya meneruskan bicara, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan terlebih dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Kepentingan” bermaksud perihal keutamaan manakala “kitar semula” adalah barang-barang terpakai seperti surat khabar, botol kaca, dan sebagainya yang diproses supaya dapat digunakan semula.

Kini, negara kita telah membangun seiring dengan negara maju yang lain dalam beberapa sektor. Oleh itu, pelbagai perubahan telah berlaku. Antaranya termasuklah dalam sektor pembuatan makanan, iaitu makanan-makanan diawet dan ditinkan atau dibotolkan untuk kemudahan manusia. Sehubungan dengan itu, jumlah botol terkini semakin meningkat. Sehingga kini, komuniti masih tertanya-tanya tentang faedah kitar semula.
Sidang dewan yang saya hormati,

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” begitu sinonim dengan individu yang menghidap penyakit sama ada serius atau tidak. Kebanyakan punca berlakunya sesuatu penyakit adalah daripada sampah sarap yang terlalu banyak. Oleh itu, dengan menyambut baik usaha kerajaan ini, kita dapat mengelakkan masalah penyakit berjangkit seperti demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes yang membiak dalam air bertakung serta penyakit taun. Penyakit-penyakit ini jika tidak dikawal akan membawa lebih kemudaratan. Mahukah kita melihat kaum keluarga kita terkorban kerana sikap tidak bertanggungjawab diri kita sendiri? Sudah pasti jawapannya “tidak”. Sehubungan dengan itu, tepuk dada, tanya selera, jika kita tidak mahu ahli keluarga kita terkorban gara-gara mengetepikan kempen kitar semula.

Selain itu, kitar semula dapat juga menjimatkan kos pelupusan sampah yang telah menelan sejumlah wang yang besar. Alangkah sedihnya jika wang yang sepatutnya diperuntukkan untuk kebajikan komuniti terpaksa digunakan untuk melakukan aktiviti pelupusan sampah. Namun, apakan daya kerana segala yang berlaku adalah berpunca daripada sikap manusia. Oleh itu, kempen kitar semula dapat mengubah situasi ini. Seandainya setiap anggota masyarakat menyambut usaha kerajaan ini, sudah pasti senario ini tidak mungkin akan kelihatan. Oleh sebab itu, kerajaan telah melancarkan pelbagai cogan kata seperti “fikir dahulu sebelum buang” sebagai titik permulaan untuk menjayakan kempen kitar semula ini. Oleh yang demikian, mengapa kita tidak berfikir dahulu sebelum buang?
Hadirin yang saya hormati sekalian,

Kepentingan yang bakal diperoleh hasil daripada kitar semula ini adalah mengelakkan hasil semula jadi daripada terus musnah. Hal ini demikian kerana barang-barang yang kita gunakan dalam kehidupan seharian berasal daripada hasil semula jadi seperti pokok. Pokok-pokok yang membekalkan oksigen dan menjadi habitat fauna terpaksa ditebang semata-mata untuk menghasilkan kertas. Seandainya kita sebagai individu yang tidak bertanggungjawab hanya membuang sampah yang berasal daripada kertas-kertas begitu sahaja, sudah tentu lebih banyak pokok yang terpaksa ditebang. Keadaan ini akhirnya akan mendatangkan impak negatif kepada diri kita sendiri kerana berlakunya pelbagai masalah seperti hakisan tanah dan peningkatan suhu bumi sekali gus mengugat keselesaan komuniti yang lain. Sehubungan dengan itu, mengapa kita masih bersikap lepas tangan sedangkan impaknya sudah jelas terbukti?

Di samping itu, kitar semula dapat juga mendorong kita menjaga kebersihan alam sekitar. Hal ini demikian kerana kerajaan telah menyediakan tong khas yang bertujuan kitar semula. Tong-tong ini diletakkan di kawasan-kawasan awam untuk memudahkan orang ramai. Selain itu, tong-tong ini juga telah disediakan dengan warna khusus seperti coklat untuk kaca, jingga untuk aluminium dan plastik, serta biru untuk kertas. Lihatlah betapa bersungguh-sungguh pihak kerajaan ingin menjayakan program kitar semula. Jika semua pihak mengambil bahagian dalam program ini sudah tentu masalah kebersihan alam sekitar yang mengganggu konsentrasi masyarakat dapat dielakkan seterusnya memberikan keadaan yang kondusif untuk masyarakat. Oleh itu, kita perlulah menyambut seruan untuk menjayakan program kitar semula ini kerana “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”.
Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Kitar semula bukan sahaja membawa kepentingan kepada negara dan komuniti, malahan diri sendiri juga bakal memperoleh kepentingan. Dengan adanya program kitar semula ini, kita dapat melatih diri sendiri supaya bersyukur atas nikmat yang diperoleh. Sifat bersyukur merupakan sifat mahmudah yang sangat disukai. Oleh itu, kita sepatutnya mengamalkan sifat yang terpuji ini kerana mafhum hadis ada mengatakan bahawa Allah suka kepada manusia yang bersyukur. Sehubungan dengan itu, program kitar semula ini dapat melatih diri supaya bersyukur dengan nikmat yang diperoleh. Hal ini demikian kerana individu yang menyokong program ini tidak akan membuang bahan-bahan terpakai seperti botol kaca dan surat khabar begitu sahaja. Ironinya dia mengumpulkan dan menggunakan semula bahan-bahan tersebut. Senario ini bukan sahaja menguntungkan diri sendiri malahan memberikan keuntungan kepada negara dalam usaha untuk mencapai aspirasi sebagai sebuah negara maju.


Para hadirin yang saya hormati,

Kitar semula merupakan suatu program yang patut dilaksanankan oleh setiap anggota masyarakat yang cinta akan alam sekitar. Hal ini dapat menjamin kebersihan dan keselamatan diri kita daripada terjebak dengan penyakit yang berbahaya. Oleh itu, dengan rasa penuh tanggungjawab saya menyeru setiap individu daripada semua lapisan masyarakat agar menyambut baik usaha kerajaan dan bukannya menghancurkan prakarsa kerajaan selama ini. Hal ini demikian kerana “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhir kata, sebelum saya mengundurkan diri, saya menyusun sepuluh jari jika ada antara kata saya tadi yang menyinggung perasaan para hadirin. Sesungguhnya, yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu daripada diri saya sendiri.


Yüklə 269,76 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6   7




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin