Konsep jati diri melayu



Yüklə 52,01 Kb.
tarix08.01.2019
ölçüsü52,01 Kb.
#92757

KONSEP JATI DIRI MELAYU
Oleh:
ABDUL HALIM RAMLI


PENDAHULUAN

Perbincangan tentang konsep jati diri Melayu, akhir-akhir ini seringkali didengar dalam pelbagai media, sebenarnya natijah dari semakin merosotnya pegangan dan kefahaman orang-orang Melayu terhadap konsep tersebut. Kerungsingan berbagai pihak terhadap pekara tersebut memang berasas apabila melihat realiti generasi Melayu baru kini makin tidak memahami dan berpegang kepada asas tersebut disebabkan berbagai faktor luaran dan dalaman masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi pada zaman negara ini yang sedang berhadapan dengan cabaran globalisasi ini.


Setiap bangsa yang pernah wujud dalam dunia ini mempunyai asas-asas jati diri mereka sendiri sama ada jati diri tersebut diasaskan melalui pegangan agama yang dianuti, warisan lampau yang diwarisi sejak berzaman, nilai hidup yang murni, kekuatan dalaman dan pengalaman bangsa tersebut dalam mengharungi pelbagai cabaran yang ditempuhi dan sebagainya.
Menurut Ismail Noor dan Muhammad Azam (2000), sebenarnya bangsa Melayu sudahpun menjadi bangsa bertamadun semenjak 3,000 sebelum masihi lagi. Seorang putera Raja Byzantium dalam pelayarannya ke negeri Cina telah tersadai di pantai negeri Kedah. Beliau dan anak-anak kapalnya masuk mengembara ke daratan negeri Kedah, dimana mereka terjumpa dengan satu masyarakat setempat yang mana anggota-anggotanya berbadan tegap, kuat dan cergas. Masyarakat ini cukup tinggi tamadunnya dalam aktiviti pertanian, pertukangan dan pembuatan peralatan besi. Pengembara tersebut telah terjumpa sekumpulan “gergasi” yang kemungkinan adalah penduduk tempatan Melayu yang sudah lama menetap di situ .
Kenyataan di atas menjelaskan betapa bangsa Melayu sudah menjadi bangsa bertamadun dan mempunyai kekuatan fizikal yang hebat. Kewujudan bangsa bertamadun (maju dalam semua aspek) sebenarnya adalah berpunca dari pegangan, pandangan hidup dan nilai hidup yang dipegang yang dipegang oleh sesuatu bangsa tersebut sehingga aspek tersebut menjadi asas kepada kemajuan mereka. Justeru itu, bangsa Melayu sudahpun memiliki nilai-nilai hidup tersebut sebagaimana bangsa bertamadun yang lain.


JATI DIRI DAN MELAYU

Mengikut Kamus Dewan (1994), jati diri bermaksud diri yang tulin dan diri yang murni . Justeru itu, jati diri boleh dimaksudkan sebagai “nilai-nilai diri yang tulin dan teras” yang wujud dalam diri individu atau masyarakat. Nilai tersebut tidak dapat dipisahkan dari kewujudan bangsa tersebut yang dipamirkan melalui watak, sikap, keperibadian mereka yang dimanifestasikan dalam perjalanan sejarahnya.


Manakala asal usul perkataan Melayu pula menurut Dr.Nik Safiah Karim (Berita Harian, 29 April 2002) berkembang dari peringkat istilah Melayu yang dikaitkan dengan maksud kerajaan atau kawasan dan tidak manusia atau bangsa sehinggalah istilah Melayu dikaitkan dengan maksud bangsa Melayu itu sendiri. Pada peringkat awalan, Istilah Melayu hanya dirujuk kepada maksud kerajaan atau kawasan dapat dilihat dari beberapa catatan sejarah. Antaranya catatan I’Sing, seorang rahib Buddha dalam perjalanan beliau dari Canton ke India, beliau singgah di Bhoga. Kemudian beliau telah dihantar oleh Raja Bhoga ke negeri “Mo-lo-yu” yang pada masa tersebut disebut Sribhoga. Dipercayai bahawa I’Sing telah mengubah nama “Mo-lo-yu” kepada Bhoga dan Sribhoga (mengikut pelat sebutannya dan sistem tulisan Cina), dan dipercayai juga bahawa Sribhoga ialah Palembang, ibu negeri Sriwijaya dan Bhoga itu tanah jajahan takluk Sriwijaya, termasuk “Mo-la-yu”. Dari penjelasan ini, kelihatan bahawa istilah “Mo-la-yu” digunakan unntuk merujuk kawasan atau kerajaan. Konsep Melayu sebagai bahasa/bangsa belum timbul pada peringkat ini. Hanya istilah Melayu sebagai merujuk sebagai suatu bangsa hanya timbul setelah kewujudan Kerajaan Melayu Melaka. Berdasarkan teks-teks yang ada hubungan dengan Melaka, istilah Melayu merujuk keturunan yang “berbangsa” dan “berasal”. Dengan kata lain, Melayu membawa pengertian keturunan raja-raja Melayu dari Sumatera. Di sini konsep asas ialah manusia dari satu kawasan tertentu, walaupun konsep bahasa kelompok manusia ada tersirat. Lama kelamaan bermula pada abad ke 17 M, penggunaan istilah “Melayu” mula digunakan dalam konteks bangsa. Pada ketika itu, “Melayu” merangkumi bangsa serumpun di Nusantara. Ia juga disahkan oleh Unesco, badan bangsa Bersatu. Pada tahun 1972, Unesco telah memberikan pengertian kepada konsep “Melayu” yang menjadi pegangan hingga ke hari ini. Istilah Melayu digunakan untuk merujuk suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaska .
Dari sudut Istilah (dalam konteks Malaysia) pula, Melayu boleh diistilahkan sebagai “seorang yang mengamalkan agama Islam, yang keturunannya dapat dikesan hinggalah kepada nenek moyang di Empayar lama Melaka atau mana-mana tempat di gugusan kepulauan Melayu, dan kini bermastautin di Malaysia. Seorang Melayu mestilah berwarisan budaya tradisi yang memperkenalkannya sebagai insan berbudi pekerti. Dia hidup dalam persekitaran yang penuh harapan serta berpandangan optimistik dalam menghadapi sesuatu kemungkinan” (Ismail Noor dan Muhammad Azaham, 2000). Sebenarnya amat sukar mentakrifkan siapakah Melayu. Menurut Prof.Syed Hussein al-Attas, jika diminta seseorang mengenal pasti haiwan yang disebut kambing, tiada masalah bagi sesiapa sahaja menunjukkan haiwan tersebut. Namun apabila diminta memberikan sifat kambing, akan timbul kesukaran. Demikianlah, apabila diminta mengenal pasti yang manakah disebut Melayu, dengan mudah sesiapapun dapat menunjukkannya. Kesulitan timbul apabila kita diminta memberikan takrif Melayu (Awang Sariyan, mencari Melayu dalam jati diri sebenar, DB, Jun 2001).
Kesimpulannya, jati diri Melayu bolehlah dimaksudkan sebagai “orang-orang Melayu yang beragama Islam mempunyai nilai-nilai diri atau keperibadian tulin yang menjadi teras pegangan dan kebudayaan mereka seperti adat, budaya, agama Islam dan kehalusan budi perkerti. Nilai-nilai teras ini tetap utuh dipertahankan dalam keperibadian bangsa tersebut walaupun apa zaman sekalipun.


ASAS-ASAS JATI DIRI MELAYU



ISLAM

Semenjak kedatangan Islam ke negara ini sekitar abad ke 13 M, Islam telah menjadi satu agama yang benar-benar merubah keperibadian dan cara hidup Melayu. Penerimaan Islam oleh orang-orang Melayu adalah dengan kerelaan hati mereka dan membawa orang-orang Melayu ke zaman baru (S.M.Naquib al-Attas, 1978). Orang-orang Melayu selepas kedatangan Islam sehingga kini tidak mungkin makna diri atau peribadi Melayu dipisahkan dari agama Islam. Kedatangannya telah membebaskan akal budi Melayu dari belenggu dogengan, tahayul dan legenda metos lalu membimbingnya ke dunia nyata, tradisi ilmuan dan tamadun akhliah, rohaniah subur (Sidiq Fadhil, 1987). Kedatangan Islam bukan sekadar merubah kepercayaan mereka dari seorang animist dan village’s man tetapi telah merubah mereka kepada manusia monotheist, global dan universal man (Prof.Abdullah Alwi, 2000). Kedatangan Islam juga telah memainkan peranan utama dalam meniup nafas segar yang mengandungi unsur persamaan insan, rasionalisme, individualisme, pensejagatan dan banyak nilai lain yang sihat dan membina


Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah dibawa oleh ahli tasawuf yang melalui metafiziknya menyebabkan ketinggian ilmu pengetahuan dan ruh kerasionalan agama memasuki dengan mudah ke dalam pemikiran masyarakat (Syed Naquib al-Attas, t.t: 126). Ia juga telah membawa orang Melayu memahami dan mengamalkan fahaman tersebut sebagai benteng pertahanan jati diri yang ampuh dalam mereka menghadapi cabaran hidup. World View Melayu tradisi tidak dapat dipisahkan dengan empat rangkai kata iaitu “syariat, tarikat, hakikat dan makrifat”. Menurut Hamzah Fansuri dalam kitabnya Sharabul Ashiqin, syariat bolehlah diqiaskan sebagai pagar, tariqat adalah rumah, manakala hakikat adalah isi rumah. Menurut Hamzah Fansuri lagi “yogya kita memagari diri kita supaya jangan diharu (dipengaruhi) Shaytan. Barangsiapa memagari dirinya dengan pagar shariat, tiada dapat (ia) diharu Shaytan. Adapun barangsiapa keluar dari kandang syariat, nischaya dapat (ia) diharu Shaytan. Adapun barang siapa menyangka shariat itu kecil, atau mencela dia, kafir-na’udhubillahi minha- kerana syariat tiada bercerai dengan tarikat, tarikat tiada bercerai dengan hakikat, hakikat tiada bercerai dengan makrifat. Seperti kapal sebuah; syariat seperti lunasnya, tarikat seperti papan, haqiqat seperti isinya, makrifat akan labanya. Apabila lunas dibuangkan, nischaya kapal itu karam; laba pun lenyap, modal pun lenyap, merugi kita” (dipetik dari buku The Mysticism of Hamzah Fansuri).
Konsep tauhid yang menunjangi pegangan orang-orang Melayu bukan sahaja semata-mata kepercayaan kepada keesaan Allah, tetapi orang-orang Melayu telah menterjemahkan tuntutannya dalam kehidupan mereka yang lebih luas. Islam telah diterjemahkan dalam aspek undang-undang, maka terhasilah hukum kanun Melaka ,undang-undang laut Melaka dan undang-undang Pahang yang memperuntukan undang-undang Islam sebagai undang-undang resmi dalam aspek qisas, denda, persetubuhan haram, sodomy, fitnah, minum minuman yang memabukkan, mencuri, merompak dan sebagainya. Apabila Islam diterjemahkan dalam aspek politik, maka berlakulah perubahan nama pemerintah dari gelaran Sri Vijaya, Sri Maharaja kepada Sultan. Sultan mengamalkan prinsip Syura dalam pemerintahannya dengan perlantikan pembesar-pembesar Istana dan ulamak menjadi penasihat kepada Sultan. Keperihatinan masyarakat terhadap pendidikan agama terserlah dengan menjadikan pendidikan agama sebagai asas sebelum ilmu-ilmu lain diajarkan. Ini dirakamkan oleh Munyi Abdullah (abad 18M) dalam hikayatnya:
“…maka katanya, apa guru tiada ajar bahasa Melayu?, maka dijawab guru itu, orang yang empunya anak-anak ini menyuruh ajarkan Quran dahulu, maka kalau ia sudah dapat Quran kemudian boleh berlajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaja semuanya. Dan lagi tiada adat di negeri ini, orang taruh tempat berlajar bahasa Melayu” (Hikayat Munsyi Abdullah).
Begitu jugalah dengan budipekerti Melayu yang banyak dibentuk oleh agama Islam sehingga menjadikan orang-orang Melayu terkenal dengan kehalusan budipekertinya, bangsa beradat, pemalu dan tertib. Islam juga telah mengubahsuai dan mengembangmaju kesenian tempatan dalam pelbagai bidang seperti senibina, kaligrafi, lukisan, ukiran, anyaman, tenunan dan seni persembahan yang berupa pengucapan, becerita, seni lakon, nasyid, qasidah, muzik, tarian berentak zikir sufisme dan seni mempertahankan diri.
Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan betapa tidak dapat dipisahkan orang-orang Melayu dengan agama Islam ibarat “kuku dengan kulit” atau “aur dengan tebing”. Kedatangan dan pengaruh Islam yang besar kepada kehidupan Melayu telah mengangkat martabat bangsa tersebut sehingga menjadi bangsa yang bertamadun. Bagaimanapun, Islam yang telah dianuti oleh orang Melayu sejak berzaman tidak sunyi dari disalahfahamkan oleh orang-orang Melayu melalui pentafsiran yang rigid, dicampuradukan dengan unsur-unsur khurafat dan tahayul. Begitu juga, nilai-nilai hidup yang bercanggah dengan Islam masih terus menguasai pemikiran dan kehidupan masyarakat Melayu seperti pertelagahan sesama sendiri ketika musuh tiada, mementingkan keuntungan diri sendiri, menjaul maruah bangsa seperti pantun yang dinukilkan oelh Prof.HAMKA:
Jangan tergesa menjatuhkan hukuman,

Portugis Belanda jangan kutuki,

Jangan Inggerish lekas cemarkan,

Ketahui dahulu salah sendiri”


Adakah cita-cita akan tercapai,

Adakah dapat apa diingini,

Jika berbalik sebelum sampai,

Mengorbankan darah tiada berani”


Fikirkan pula penjual negeri,

Harapkan emas perak bertimba,

Untuk keuntungan diri sendiri,

Biar bangsanya menjadi hamba”


(Dipetik dari teks ucapan Pro-Canselor UiTM, “Pentadbiran awam Malaysia Dari Kaca Mata Duli Yang Maha Mulia Tengku Idris Shah, Sultan Selangor).


KEFAHAMAN DAN PENGHAYATAN TAUHID

Perkembangan tamadun dan kebudayaan Melayu secara jelas memperlihatkan bagaimana tauhid mencetak atau mencanai peradaban Melayu sehingga tauhid menjadi aspek teras kepada peradaban Melayu. Bagaimanapun, kedatangan penjajahan Barat telah menyekat proses evolusi tersebut. Pemahaman orang-orang Melayu terhadap konsep tauhid adalah sebagai asas penting menjadikan mereka manusia yang memahami tuntutan agama dengan sebenarnya dan menjadikan mereka manusia Melayu yang tulin. Apakah sebenarnya hakikat tauhid yang menjadikan seseorang itu sebagai Melayu tulin yang memiliki jati diri?.


Tauhid adalah berdasarkan “La ilaha illa Llah. Muhammad Rasulullah” yang bererti “Tidak ada Tuhan yang wajib disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, Muhammad adalah Rasulullah”. Penyaksian itu adalah hasil dari keyakinan iman tanpa ragu tentang hakikat ketuhanan Yang Maha Esa, yang merupakan paksi bagi segalanya. Keyakinan ini datang daripada ilmu dan juga kesedaran batin orang yang berkenaan yang disebut sebagai ilmul-yakin 1atau ainul yakin2 atau haqqul yakin3. Keimanan tentang ketauhidan ini berkembang menjadi keimanan kepada rukun-rukun iman yang lain, keimanan kepada sifat-sifat Allah yang tidak terkira dan kemudiannya diringkaskan kepada 20 sifat berdasarkan dalil naqli dan aqli. Seterusnya membawa keimanan kepada nama-nama Allah yang Yang Maha Baik (husna) iaitu 99 nama (Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, 2002).
Mentauhidkan Allah dan beriman kepada rukun-rukun iman yang lainnya sebagai natijah daripada beriman dengan ketauhidan Allah menimbulkan kesan dalam kehidupan manusia yang disebut oleh sesetengah Hadis sebagai “cawangan-cawangan Iman” atau “shuib al-iman”. Antaranya, hadis yang menyebutkan bahawa iman itu mempunyai 70 cawangan, yang tertinggi adalah mengucap bahawa “tiada Tuhan melainkan Allah” dan cawangan iman yang paling rendah sekali adalah membuang duri atau sesuatu yang menyakitkan dari jalan” (Hadis riwayat Bukhari). Dalam kitab Fathul Bari dalam menghuraikan cawangan-cawangan iman telah membahagikannya kepada kepada beberapa hasil iman, iaitu:
1) Kesan iman terhadap amalan-amalan hati seperti keimanan terhadap rukun iman, berselawat, bersyukur, bertawakal, bertaubat, takut kepada Allah, sabar, reda dan lain-lain perbuatan batin yang mahmudah.
2)Kesan iman dalam bentuk amalan lidah pula ialah membaca al-Qur’an, mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu, berdoa, berzikir, beristigfar dan mejauhi perbuatan dan percakapan yang sia-sia.
3) Kesan iman terhadap amalan badan pula ialah berada dalam keadaan suci, menjauhi najis-najis, menutup aurat, melakukan rukun Islam, memberi makan kepada mereka yang memerlukan, memuliakan tetamu, berkahwin dan sifat-sifat terpuji yang lain (Ibid.).
Kesan tauhid terhadap fahaman orang yang beriman pula membawa orang beriman mengabdikan diri mereka kepada Allah semata-mata serta mengeluarkan kuasa-kuasa lain yang dinisbahkan kuasa Tuhan padanya. Dengan demikian maka hilanglah fahaman tahayul, syirik, sihir, bernujum dan pemujaan terhadap jin-jin dan lain-lainnya. Termasuk hilang pemujaan kepada pekara-pekara maknawi seperti akal, kecerdasan atau mana-mana aspek kepandaian atau ilmu manusia. Tauhid pada fahaman juga memberi kepada insan matlamat hidup yang terakhir yang memberi makna kepada segala kegiatan. Manusia yang beriman kepada tauhid bertugas dan berusaha dalam konteks mencari keredaan Allah di dunia yang membawa kebahagiaan di akhirat. Dengan ini tidak ada kekosongan atau kehilangan makna dalam hidupnya. Semuanya mendapat makna dalam konteks mencari keredaan Tuhan (Ibid.)
Kesan tauhid pada fahaman juga menjadikan insan yang yakin kepada tauhid itu mendapat “peta” pembangunan peribadinya pada “Diri Tuhan Sendiri dengan sifat-sifat-Nya Yang Maha Sempurna dan Nama-Nama-Nya Yang Maha Indah”. Sekirannya Allah bersifat kasihan belas (Al-Rahim) maka si mukmin sebagai hamba Tuhannya hendaklah bersifat dengan sifat kasihan belas pada paras manusiawi (Ibid.). Demikianlah sifat-sifat dan nama-nama Allah yang lain, harus diimplimentasikan oleh manusia muslim dalam kehidupannya semada berhubung dengan sesama manusia, haiwan atau dengan alam.

3) BUDI PEKERTI


Kesan Islam telah menjadikan bangsa Melayu berbudaya tinggi. Orang Melayu terkenal dengan kehalusan dan kecantikan budaya mereka yang meliputi bahasa, sastera, adat resam dan tatasusila. Orang Melayu menjadikan keperibadian Rasulullah dan para sahabat sebagai model jati diri mereka. Orang yang berbudi bahasa akan dihormati walaupun dia seorang yang miskin:


“Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau angsa,

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa”.


“Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang cantik itu budi,

Yang indah itu bahasa”.


Bunga melati bunga di darat,

Bunga seroja di tepi kali,

Hina besi kerana karat,

Hina manusia tidak berbudi,


Anak beruk di tepi pantai,

Pandai melompat pandai berlari,

Biar buruk kain dipakai,

Asal hidup pandai berbudi,


Orang-orang Melayu juga menjadi bangsa yang kuat berpegang kepada adat. Pepatah adat perpatih yang menyebutkan “biar mati anak, jangan mati adat” adalah cerminan nilai hidup Melayu yang mematuhi adat-adat yang diwarisi sejak berzaman. Jika seseorang itu dituduh “kurang adat” bermakna dia kurang sopan atau kurang ajar. Sebaliknya, kalau dia dikatakan “tahu adat” bermakna dia seorang yang bersopan santun.
Adat Melayu dikatakan bersendikan syarak seperti kata perpatah “adat bersendi syarak, syarak bersendi adat”. Segala perbuatan jangan bertentangan dengan adat dan agama selagi manusia hidup seperti yang lazim dikatakan “hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”. Justeru itu, orang Melayu bila berbicara jarang berterus terang. Sekiranya mereka ingin melamar seorang gadis, pihak lelaki akan berkias dalam bentuk puisi. Meskipun isinya disampaikan secara samar-samar, tetapi pihak yang dilamar dapat menangkap maksudnya. Seperti yang dinukilkan dalam sebuah cerita lama ketika ibu Si Umbut Muda hendak meminang Puteri Gelang Banyak (Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, 1985):
“Ibu Si umbut: Benar di sini surat nahu,

Kalam tersisip atas kasau,

Benar di sini burung mau,

Hati berahi hendak mencekau,

Ibu Gelang: Beringin di atas gunung,

Uratnya berkelok-kelok,

Kalau ingin kakak burung,

Carilah getah nan elok

Apabila mengkritik, orang Melayu selalu menyindir “siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya” atau menggunakan bahasa yang beralas dan berlapik agar orang itu tidak kecil hatinya . Orang Melayu suka sikap merendah diri “turut resmi padi, makin berisi makin tunduk” manakala sikap sombong amat dibenci “hendak sombong berbini banyak, hendak megah berkawan lebih”. Orang Melayu mementingkan sifat sabar yang dibina hasil dari perjalanan atau pengalaman hidup yang dilalui masa lepas. Seseorang yang sabar dapat menyelesaikan masalah-masalah dengan beransur-ansur dan ini menandakan keluhuran budi bahasa mereka seperti peribahasa “sehari selebar benang, lama-lama jadi kain”. Namun sifat sabar mempunyai batasnya dan tidak semua kita boleh bersabar seperti kezaliman yang berlaku “hutang darah, dibayar darah”. Dalam membuat sesuatu keputusan atau perhitungan, orang Melayu suka membuatnya dengan berhati-hati , rasional dan tidak terburu nafsu “hati muda jangan diturut, kalau diturut salah datang”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”. Kalau pergi merantau ke tempat orang, orang Melayu diingatkan:
Pisang kelat digonggong helang,

Jatuh ke lubuk Inderagiri,

Jikalau berdagang di negeri orang,

Baik-baik membawa diri.


Orang Melayu sentisa dingatkan supaya berpegang teguh dengan ajaran agama dan jangan melupakan kehidupan akhirat:
Halia ini tanam-tanaman,

Di barat saja akan tumbuhnya,

Dunia ini pinjam-pinjaman,

Akhirat juga akan sungguhnya,


Asam kandis asam gelugur,

Ketiga asam si riang-riang,

Menangis mayat di pintu kubur,

Teringat badan tidak sembahyang,


Orang Melayu juga sentiasa diingatkan supaya jangan mencontohi pewatakan Pak Pandir yang melihat dirinya pandai tetapi sebenarnya orang yang bodoh dan rugi serta jangan pula menjadi orang yang malang seperti Pak Kaduk:
Pandai Pak Pandir
Anak dipijak dagang dijunjung,

Kucing dibunuh tikus dibela,

Harta habis badan tergadai,

Mendegar gelagak dagang,

Tak sedar bertelanjang,

Mendegar guruh dilangit,

Air di tempayan dicurahkan,

Mulut disuap pisang,

Buntut kena cangkuk onak,


Malang Pak Kaduk
Ayuhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awang pulang kebuluran,

Ada isteri dibunuh,

Nyaris mati tak makan,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk,

Rumah runtuh, awak menumpang.

Orang Melayu memang terkenal dengan ketertibannya. Apabila berjalan melintasi orang-orang yang lebih tua, badan ditunduk, mohon dipinta maka barulah ia lalu, apabila mereka berjumpa, salam diberi, tangan dijabat, apabila berkawan, sangat rapat sehinggakan “pisang emas dibawa berlayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”. Apabila orang datang bertandang di rumah, dilayan dengan sepenuh hati, lalu dikatakan “buat-buatlah seperti rumah sendiri”. Apabila datang merisik anak orang, diberinya “cincin tanya” , penuh beradab, merendah diri dan berkias-kias, lalu wakil si lelaki mengatakan:
Beginilah kak,

Kami ini ibaratnya:

Kok umur belum setahun jagung,

Kok darah belum setampuk pinang,

Kok akar belum selilit telunjuk,

Maka kedatangan kami:

Kok ari nan sari,

Kok malam nan semalam ni,

Ibarat singkap daun ambil buah,

Kopek kulit ambil isinya,

Bak kata orang,

Bila mengadakan anak,

Kok jantan diserahkan mengaji,

Kok betina diserahkan menjahit,

Sombong pada maknya,

Megah pada ayahnya,

Dalam yang demikian tu lama kelamaan,

Mengaji pun dah tamat,

Mengayam menjahit pun dah pandai,

Maka diserukan pulan untungnya,

Adapun untung anak jantan itu cari-carikan,

Untung si betina itu dinanti-nantikan,

Kemudian dari tu pertemuan nak ada,

Maka ada pulak risik berdesus,

Anak nang merangkak kek rumah kek kampung,

Gamit nang berkecapi,

Kilat yang memancar,

Maka dipertanda teruna cincin sebentuk,

Itu penanya mak dan bapak,

Cincin dua bentuk tanda sia sekata.

Apabila cincin diterima oleh pihak perempuan, kemudian seminggu dua, pihak perempuan pula “memulangkan janji” untuk memberitahu setuju atau tidak, lalu berkata:

Nampaknya beginilah,

Sakit bermula mati bersebab,

Hujan berpokok kata berasal,

Mana asa kata,

Awal permulaan,

Akhir berkesudahan,

Kedatangan datuk dulu membawa,

Cincin mintaan kepada saya,

Mengikut penyemendaan,

Oleh saya menerimalah,

Akan tepati janjinya teguh,

Padangnya lebar,

Nang jauh telah saya jemputkan,

Nang dekat telah saya kampungkan,

Segala tempat semenda saya,

Menerimalah cincin mintaan ini.
(Teromba di atas dipetik dari buku Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi).
Orang Melayu terkenal dengan sikap kepatuhan dan ketaatan kepada siapa yang memerintahnya. Kata-kata Hang Tuan “pantang Melayu derhaka” adalah manifestasi jiwa Melayu yang kuat dengan nilai “saiko-feudalisme” dan masih wujud dalam rata-rata masyarakat Melayu hari ini. Orang Melayu jarang memberontak dan mereka selalu membuat perubahan dengan penuh kebijaksanaan seperti kata-kata “ibarat mengambil rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan sampai berselerakan”. Bagaimanapun, nilai kepatuhan ini tidak disenangi oleh sesetengah pihak sehingga menyarankan supaya orang Melayu bersifat kurang ajar.

ILMU PENGETAHUAN

Dari kajian sejarah mendapati implikasi kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa perkembangan budaya ilmu ke dalam masyarakat Melayu. Pendidikan dan pelajaran yang julung kalinya diperkenalkan serentak dengan kedatangan Islam adalah mengaji al-Qur’an yang merupakan pelajaran dasar kepada semua lapisan masyarakat dengan menjadikan rumah, surau dan masjid sebagai institusinya. Serentak dengan perkembangan itu, diperkenalkan pula tulisan jawi yang merupakan campuran antara tulisan Arab dan Parsi yang ditambah beberapa huruf seperti nga, pa, ga dan nya. Tulisan jawi ini telah berperanan besar bagi menyatukan orang-orang Melayu dari segenap tempat di Nusantara (Hj.Abdullah Sidek, 1995). Apa yang penting, kedatangan Islam bukan sahaja membawa kepada perkembangan institusi pendidikan Melayu sama ada formal atau informal tetapi juga merangsang orang-orang Melayu mempelajari dan mengembangkan ilmu sama ada ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Dengan itu, pemikiran orang-orang Melayu telah dapat ditingkatkan dan memperkembangkan tamadun mereka.


Sekirannya Islam tidak datang ke Alam Melayu, orang-orang Melayu tentunya masih lagi dibelenggu dengan pemikiran “metos-legenda” yang menjadi ciri pemikiran Melayu sebelum kedatangan Islam. Kedatangan Islam telah mengubah pemikiran dan cara hidup bangsa Melayu sehingga ciri-ciri tamadun Melayu pra-penjajahan dapat diringkaskan seperti berikut; a) tamadun maritim; b) berasaskan perdagangan dan bersifat kosmopolitan; c) kaya dengan hasi seni dan sastera d) diperkaya dan dimajukan melalui penerimaan agama Islam dan tamadun Islam yang membentuk identiti baru bagi bangsa Melayu dan menegaskan prinsip persamaan dan keadilan (Abdul Rahman Embong: 2002).

KESIMPULAN


Bangsa Melayu akan hanya menjadi bangsa yang dihormati apabila mereka berpegang kepada jati diri mereka sendiri. Jepun sebagai sebuah negara yang maju hari ini adalah dibina dari asas jati diri mereka sendiri bukan di atas keperibadian orang lain. Nilai-nilai jati diri Melayu seperti yang telah dibincangkan sangat rapat hubungannya dengan Islam. Melayu mestilah mengekalkan keperibadian mereka walau apapun zamannya, kerana nilai hidup mereka sebenarnya “tak lokang dek panas, tak basah dek hujan”. Gurindam, pantun, kata-kata kiasan, kata-kata adat, syair dan sebagainya adalah manifestasi dan rakaman jiwa, minda dan keperibadian Melayu .


Fikirkan gurindam berikut:
Jika hendak mengenal orang yang berbangsa,

Lihat kepada budi bahasa.


Jika hendak mengenal orang berbahagia,

Sangat memeliharakan sia-sia.


Jika hendak mengenal orang mulia,

Lihatlah kepada kelakuan ia.


Jika hendak mengenal orang berakal,

Di dalam dunia mengambil bekal.


Jika hendak mengenal orang baik perangai,

Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


RUJUKAN


Awang Sariyan, “Mencari Melayu dalam jati diri sebenar”, Dewan Budaya, Jun 2001.


Abdullah Alwi Hassan, “Pengenalan Ilmu Ketemadunan: suatu analisis tamadun Islam dan tamadun Melayu” , Seminar Tamadun Islam dan Tamadun Asia, 7-8 Jun 2000, UiTM, Shah Alam.
Hj.Abdullah Ishak, Pendidikan Islam dan pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995
Ismail Noor dan Muhammad Azaham, Takan Melayu Hilang di Dunia, Subang Jaya: pelandok Publication, 2000.
Mohd Yusof Md.Nor dan Dr.Abd Rahman Kaeh, Puisi Melayu Tradisi, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti, 1985.
Muhammad Uthman El-Muhammady, “Tauhid menentang syirik dalaman fahaman dan amalan” dalam Isu dan Proses pembukaan minda umat Melayu Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
“Pentadbiran Awam di Malaysia: Dari Kaca Mata Duli Yang Maha Mulia tengku Idris Shah, Sultan Selangor sempena Istiadat Konvokesyen komemoratif UiTM 2001.
S.Q.Fatimi, Islam Comes To Malaysia, Singapore: Malaysia Sociological Research Institute Ltd., 1963.
Syed Naquib al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri.
___________________, Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, K.Lumpur:UKM, 1978.


1 Ilmul yakin datang daripada ilmu berkenaan dengan kebenaran tauhid hasil dari pengetahuannya dengan berdasarkan bukti-bukti Naqli dan aqli.

2 Ainul yakin timbul daripada tahap tertentu dalam kesedaran batin berkenaan hakikat tauhid

3 Haqqul yakin merujuk kepada pegenalan hakikat tauhid berdasarkan kepada “penyaksian batin” atau musyahadah tentang kebenaran itu yang tidak meninggalkan apa-apa keraguan lagi (keyakinan yang sesungguh-sungguhnya tanpa ada sedikit pun keraguan)




Yüklə 52,01 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin