Dadah dan arak mengancam keselamatan ummah


Adab sopan perlu dijaga ketika di masjid



Yüklə 439,49 Kb.
səhifə9/25
tarix03.01.2019
ölçüsü439,49 Kb.
#89053
1   ...   5   6   7   8   9   10   11   12   ...   25

Adab sopan perlu dijaga ketika di masjid


MASJID adalah tempat suci bagi umat Islam. Masjid bukan sekadar tempat melaksanakan solat, malah lebih daripada itu, antara pusat pendidikan, maklumat serta mengeratkan silaturahim dalam kariah masing-masing.

Kedudukan masjid penting dalam Islam. Oleh itu, setiap orang, termasuk bukan Islam perlu menghormati apabila berada dalam kawasan atau dalam masjid.

Setiap orang Islam yang mendampingi rumah Allah (masjid) hendaklah menjaga kehormatan dan kesuciannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad.

Sabda baginda bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, maka janganlah terus duduk sehingga mengerjakan solat dua rakaat (tahiyatul masjid).”

Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda : "Dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah (masjid) dari rumah Allah, sedang mereka membaca kitab Allah serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan mereka dilingkungi oleh malaikat (pembawa rahmat) dan turun mereka semangat tenang dan tenteram serta mereka diliputi oleh limpahan rahmat. Dan juga mereka dipuji oleh Allah dalam kalangan (malaikat) yang ada di sisinya."

Mengenai orang perempuan yang mengunjungi masjid, Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda: "Janganlah kamu melarang perempuan hamba Allah pergi ke masjid-masjid Allah dan hendaklah mereka keluar (dari rumah mereka) dengan memakai pakaian yang sederhana dan tidak pula memakai bau-bauan.”

Orang perempuan walaupun tidak dilarang mengunjungi masjid dengan syarat mereka memakai pakaian yang sopan dan tidak memakai bau-bauan, namun dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad dan at-Tabrani bahawa ketika Rasulullah menjawab pertanyaan Ummu Humaid, Baginda bersabda:

“Dan (sebagai seorang perempuan maka) sembahyangmu dalam bilikmu lebih baik bagimu daripada sembahyangmu di masjid-masjid kampungmu."

Antara amalan bagi memakmurkan masjid ialah beriktikaf dalamnya. Beriktikaf di masjid ertinya duduk dalam masjid dalam suatu masa tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah.

Pada masa beriktikaf, hendaklah diisi dengan mengerjakan sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir (tasbih, tahmid dan tahlil), beristighfar, berselawat ke atas Nabi, berdoa dan amalan lain yang dapat mendampingkan diri seseorang makhluk kepada Allah.

Amalan beriktikaf disyariatkan sejak nabi yang lalu seperti diterangkan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud :

“Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah (Kaabah) sebagai tempat manusia berulang alik (tempat berziarah) dengan aman dan sentosa. Sebab itu ambillah (jadikanlah) olehmu akan makam Nabi Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Ismail supaya kedua-duanya membersihkan rumahku (Kaabah) untuk orang yang tawaf dan untuk orang yang iktikaf, juga untuk orang yang rukuk dan sujud.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

Hukum beriktikaf di masjid ialah sunat muakkad pada tiap-tiap waktu dan lebih afdal lagi pada 10 malam yang akhir daripada Ramadan untuk menunggu Lailatul Qadar. Tetapi, jika seseorang itu bernazar untuk beriktikaf di masjid dalam satu-satu masa tertentu, maka hukumnya adalah wajib.

Saidatina Aishah ada berkata ertinya : “Nabi Muhammad apabila hendak beriktikaf, Baginda sembahyang Subuh (pada waktu fajar) kemudian baginda masuk beriktikaf di tempatnya yang khas dalam masjid.”

Diterangkan lagi dalam sebuah hadis lain, maksudnya: “Bahawa Nabi Muhammad biasanya beriktikaf pada 10 hari yang akhir daripada Ramadan hingga diwafatkan oleh Allah, kemudian (amalan iktikaf itu) diteruskan oleh isteri-isteri baginda.”

Ufuk Minda: Pendidikan agama bukan sekadar maklumat, fakta


Oleh Prof Dr Sidek Baba

GLOBALISASI yang melakukan hegemoni terhadap kita sekurang-kurangnya melakukan sasaran terhadap lima perkara. Pertama, globalisasi kewangan yang menampilkan fungsi Tabung Mata Wang Antarabangsa dan Bank Dunia dalam percaturan kewangan dunia.


Kedua, globalisasi ekonomi yang menampilkan fungsi Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa dalam tata baru ekonomi antarabangsa. Ketiga, globalisasi teknologi maklumat dan komunikasi yang menampilkan fungsi teknologi maklumat dan komunikasi dalam penyebaran ilmu, maklumat dan sains.

Keempat, globalisasi ilmu genetik yang bakal mengubah corak berfikir manusia mengenai keturunan, penyakit dan seumpamanya. Kelima globalisasi media, dengan menampilkan pengaruh media cetak dan elektronik yang mengemukakan pengaruh budaya popular Barat yang bakal merosakkan nilai budaya dan agama.

Apa yang disebutkan di atas bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap proses membangunkan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020 berasaskan acuan kita sendiri. Keupayaan membangun negara maju bergantung kepada jenis manusia yang bakal kita bina pada hari ini.

Pendidikan adalah wadah penting dalam usaha membangun kualiti sumber daya yang mampu memahami faedah berbanding secara positif dan memiliki keupayaan membangunkan Islam sebagai sumber tamadun.

Matlamat ini berkait rapat dengan kualiti guru yang bukan saja mampu memberi ilmu dan ketrampilan, malah pada masa sama memiliki pekerti dan qudwah tinggi menggerakkan minda pelajar serta membangun hati mereka supaya peka dengan apa yang berlaku. Begitu juga mendidik mereka dengan upaya strategik memahami antara keutamaan dan usaha.

Murid dan pelajar adalah generasi penerus yang bakal mewarisi corak kepemimpinan dan golongan pengikut negara pada masa depan. Begitu juga dengan corak ilmu dan ketrampilan yang bakal menentukan jenis kemajuan dan pembangunan.

Apakah corak pendidikan yang diberi akan akhirnya menjadikan generasi penerus sebagai generasi pengguna atau penciplak kepada apa yang diajukan oleh Barat kepada kita? Atau menjadi generasi penyumbang yang bersifat selektif dan kreatif serta mampu melahirkan corak kemajuan dan pembangunan berasaskan acuan yang kita mahukan?

Ia bergantung kepada jenis ilmu yang ditawarkan dan kaedah berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara asas yang selalu dikemukakan ialah ilmu yang sepadu dan kaedah pengajaran serta pembelajaran yang membawa kesan penghayatan kepada anak didik.

Seperti yang disebutkan pada analisis terdahulu, manusia memerlukan dua bidang ilmu, iaitu ilmu membangunkan hati dan diri yang banyak berkait dengan pembentukan nilai dan etika. Dalam konteks Islam keperluan ini merujuk kepada ilmu mengenai akidah, ibadah, akhlak dan seumpamanya.

Kedua, manusia memerlukan ilmu dan pedoman bagi mengurus organisasi, sumber dan sistem. Ia menuntut pengetahuan yang bersifat sains, teknologi, profesional dan vokasional.

Dalam proses membangunkan generasi, keperluan pertama adalah utama dan lebih sukar berbanding keperluan kedua. Pendidikan agama banyak menyentuh mengenai faktor ghaib mengenai Allah, malaikat, hari akhirat, hari pembalasan, dosa pahala dan sebagainya. Pendidik murabbi, muallim dan muaddib perlu mengkaji semula pendekatan yang ada supaya kesan penghayatan boleh berlaku dengan nyata. Pendidikan agama bukan sekadar pendidikan mengenai maklumat dan fakta, malah menuntut kesan penghayatan. Ia menumpu kepada pembangunan hati, keyakinan dan akhlak. Mendekati anak didik memerlukan cara yang amat tersendiri. Ini supaya sentuhan hati dan keyakinan boleh memberi kesan perubahan terhadap naluri ingin tahunya. Selain itu, terhadap naluri ingin mencontohi serta meneladaninya dan terhadap kedahagaan ilmu yang bakal membentuk sikap dan watak.

Mendidik anak mengenai berwuduk umpamanya, tidak harus berkisar hanya pada soal tata caranya, tetapi harus diberikan maksud atau falsafah daripada wuduk itu sendiri. Wuduk bukan sekadar membasuh muka tangan dan kaki, tetapi bagaimana ia membersihkan batin seseorang.

Mata yang melihat, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu, mulut yang bercakap, tangan yang melakukan dan kaki yang melangkah adalah antara faktor penting bagi diri manusia. Ini kerana membersihkan mata zahir tanpa kejernihan mata batin, menyucikan mulut tanpa mengawal percakapan, membersihkan telinga tanpa pengawalan apa yang didengar, membersihkan kaki dan tangan tanpa mengambil kira apa yang dilakukan, tidak akan memberi kesan penghayatan kepada anak didik.

Hal sama juga apabila mereka diajar mengenai tilawah al-Quran. Anak didik tidak sekadar diajar mengenai bacaan, tajwid dan taranum, malah inti sari al-Quran, ibrah atau teladan yang boleh didapati daripada kisah yang dirakamkan. Selain itu, menginsafi akan batasan dalam perlakuan hidup yang Allah gariskan, memanfaatkan ilmu yang amat bernilai hasil daripada tafsir dan ta'wil yang dikemukakan. Jika tidak, akan berterusan tradisi tilawah al-Quran bagi maksud fadilat atau pahala, tanpa mengetahui isi kandungannya.

Begitu juga mendidik anak didik dalam melakukan solat tidak hanya dalam batas fikah solat. Tetapi, bagaimana solat mendidik mereka hadir diri dan hati di depan Allah, memahami apa yang dilafazkan, merasakan muhasabah diri di depan Allah, merasakan kekerdilan diri apabila melafazkan doa meminta sesuatu daripada-Nya. Yang utama bagaimana pekerti rukuk dan sujud dapat mendidik hati supaya wujud rasa patuh dan taat yang mendalam terhadap Allah. Natijah, roh us solat, nantinya akan mendorong pelajar bercakap benar, berhati mulia dan sentiasa cintakan ilmu dan kebaikan.

Memang diinsafi bahawa menyatakan hakikat dan falsafah di sebalik sesuatu ibadat adalah mudah. Bagaimanapun, melaksanakannya dalam konteks pendidikan dan situasi masyarakat dan persekitaran kini adalah suatu hal yang amat mencabar. Tetapi, itulah tuntutan yang perlu dicari kaedahnya supaya pendidikan agama adalah pendidikan yang membawa kesan penghayatan bagi anak didik.

Pada masa sama, faktor lain dalam masyarakat seperti agensi hiburan dan muzik, media cetak dan elektronik serta kemampuan menghasilkan perisian dan program yang baik dalam komputer dan televisyen adalah antara contoh agensi yang amat berkesan membentuk minda, pekerti dan watak generasi muda. Tidak harus timbul pendekatan menyalahkan dan gerak menuding jari kepada sesuatu pihak saja terhadap gejala sosial dan kebejatan hidup yang berlaku.

Tanggungjawab ibu bapa di peringkat awal mendidik anak-anak amat penting dan kritikal. Ini kerana peringkat sebelum akil baligh adalah tempoh yang amat dituntut membina sikap, tabiat dan tingkah laku yang baik. Pihak sekolah hanya menyambung sikap dan tabiat yang sudah tentu dengan memberikan ilmu dan ketrampilan yang berguna.

Sekiranya agensi di luar sekolah mempunyai tanggungjawab moral dan etika terhadap apa saja yang menjadi bahan bacaan, tontonan, kegunaan, kesukaan dan kegemaran anak-anak, tentulah anak didik mengalami proses didik yang baik dan membantu membentuk watak sihat dan disenangi.

Ini sebenarnya tanggungjawab semua pihak supaya berjiwa pendidik dan memiliki tanggungjawab moral supaya apa yang dibina di rumah dan sekolah, tidak hancur di tengah jalan.


Yüklə 439,49 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   ...   5   6   7   8   9   10   11   12   ...   25




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin