Pn. Hjh. Elina hj. Mohd abd. Kahar


BAHAN 8 : KARANGAN JENIS PERBAHASAN TAJUK



Yüklə 269,76 Kb.
səhifə4/7
tarix03.11.2017
ölçüsü269,76 Kb.
#29114
1   2   3   4   5   6   7

BAHAN 8 : KARANGAN JENIS PERBAHASAN TAJUK

Kemalangan di jalan raya berpunca daripada kecuaian manusia.

Bahaskan pernyataan ini.
Dewasa ini, kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya makin hari makin meruncing dan membimbangkan beberapa banyak pihak. Statistik kadar kemalangan jalan raya akan meningkat dengan mendadak terutamanya semasa musim perayaan. Keadaan ini telah mendorong pihak kerajaan untuk mengambil pelbagai langkah bagi merungkai pemasalahan ini agar tidak menjadi lebih kritikal. Merujuk kepada kata-kata orang tua-tua, “mencegah adalah lebih baik daripada merawat”, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melancarakan pelbagai kempen keselamatan di jalan raya agar kes ini dapat ditangani dengan sempurna. Hakikatnya, kemalangan jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya termasuklah berpunca daripada kecuaian manusia sendiri. Persoalannya, benarkah kemalangan jalan raya hanya berpunca daripada kecuaian manusia semata-mata? Wajarkah kita menuding jari dan menyalahkan manusia seratus peratus?

“Biar lambat asalkan selamat”. Ungkapan ini amat jelas membuktikan bahawa pemanduan yang berhemah amat penting bagi menjamin keselamatan. Namun, dalam dunia kontemporari serba moden, komuniti dunia telah mengejar masa tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Oleh itu, banyak kes kemalangan jalan raya berpunca daripada sifat pemandu yang memandu terlalu laju. Mereka sering memandu melebihi tahap kelajuan maksimum yang dibenarkan. Kadangkala keadaan ini bukan disebabkan ingin mengejar masa, namun hanyalah sebagai salah satu medan melepaskan perasaan dan mendapat kepuasaan yang tiada tandingan. Bagaikan berada di litar sepang, kita dapat menyaksikan perlumbaan yang tidak diiktiraf di jalan-jalan awam. Oleh itu, tidak hairanlah jika di dada-dada akhbar akan terpampang berita kejadian nahas jalan raya setiap hari bagai salah satu rutin harian.

Merah tandanya berhenti. Frasa ini acap kali di ulang-ulang dalam iklan televisyen yang mempromosikan kempen keselamatan jalan raya. Iklan ini menyarankan semua pengguna jalan raya agar mematuhi lampu isyarat. Ironinya, pengguna jalan raya pada hari ini lebih gemar melanggar lampu isyarat. Dalam situasi ini, mereka langsung tidak memikirkan keselamatan diri mereka dan penumpang yang turut berada dalam kenderaan mereka. Melihat pada keadaan ini tiada salahnya jika orang ramai melabel pemandu di Malaysia bersikap gopoh, yakni tidak sabar. Bagi mereka, berhenti di persimpangan lampu isyarat dan menanti lampu yang merah bertukar kepada hijau akan membuang masa mereka. Mereka akan mara ke hadapan tanpa sabar sekali gus lupa seketika bahawa sabar itu sebahagian daripada iman.

Teknologi moden pada hari ini memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Sama ada sedar atau tidak sedar, sebenarnya teknologi juga merupakan salah satu penyumbang kepada peningkatan statistik kadar kemalangan jalan raya. Telefon bimbit merupakan salah satu keluaran teknologi yang mendatangkan bahana kepada pengguna jalan raya yang salah menggunakanya. Larangan berbual melalui telefon bimbit bagaikan semilir pendengaran semua golongan dan langsung tidak diendahkan. Pelbagai kempen seperti penggunaan alatan bebas tangan semasa memandu turut dilancarkan. Namun, terdapat fakta yang menyatakan bahawa kemalangan lebih banyak berlaku jika menggunakan alatan bebas tangan berbanding dengan secara manual. Kesimpulannya, kita sewajarnya mengharamkan terus penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Apabila konsentrasi terganggu, dapatkah pemandu memandu dengan berhemah? Fikirkanlah.

Hakikatnya kemalangan jalan raya yang berlaku tidak seharusnya menyalahkan manusia seratus peratus. Kita tidak sepatutnya terlepas pandang pada isu yang kecil tetapi mendatangkan impak yang besar kepada pengguna jalan raya. Contohnya, kes-kes kemalangan jalan raya turut berpunca daripada kerosakan lampu isyarat. Hal ini secara tidak langsung akan memaksimumkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya. Cuba anda bayangkan apabila sesuatu persimpangan lampu isyarat yang gagal berfungsi, sudah pasti akan ada kemalangan yang bakal terjadi di tempat tersebut. Keadaan ini turut mendedahkan orang ramai kepada risiko kemalangan jika tidak ada tindakan yang efektif yang diambil oleh pihak yang bertanggungjawab. Maka manusia tidak dapat disalahkan dalam hal ini kerana lampu isyarat sendiri yang gagal berfungsi dengan baik.

Keadaan jalan raya yang tidak berada dalam keadaan yang sempurna turut menyumbang kepada peningkatan nahas jalan raya. Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang dan tidak dibaiki akan menimbulkan masalah kepada pemandu terutamanya ketika cuaca buruk. Selain itu, pembahagi jalan yang tidak dipasang juga turut meninggikan risiko kenderaan bertembung antara satu dengan yang lain. Pada masa yang sama, pengguna jalan raya turut berada dalam keadaan yang berbahaya jika tiada penghadang jalan di kawasan tinggi yang dikelilingi dengan gaung-gaung yang curam. Di samping itu, jalan yang berliku-liku dan mempunyai selekoh tajam juga membimbangkan pengguna jalan raya. Papan tanda amaran yang dirosakkan dan tidak dibaiki sekali gus gagal menyampaikan mesej amaran awal kepada pemandu.

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya yang berlaku pada hari ini bukanlah berpunca daripada kecuaian manusia semata-mata. Memang benar jika dikatakan bahawa manusia cuai ketika memandu, namun tanggapan ini harus diperbetulkan kerana tidak semua kes kemalangan jalan raya berpunca daripada manusia seratus peratus, manusia juga tidak wajar dibebankan dengan tuduhan ini tanpa disiasat kesahihannya, kita juga harus sedar bahawa kadangkala banyak terdapat faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada keadaan ini. Oleh itu, kita harus berganding bahu dalam membaiki kepincangan ini di samping membetulkan sikap manusia itu sendiri. Kesepaduan yang jitu daripada semua pihak amat diperlukan bagi menangani fenomena ini sekali gus menjadikan slogan “pandu cermat jiwa selamat” sebagai pegangan seluruh komuniti global.

BAHAN 9 : KARANGAN JENIS KESUSASTERAAN (CERPEN)
Anda ingin menyertai suatu pertandingan menulis cerpen anjuran penerbitan majalah sekolah anda. Pertandingan itu bertemakan kepentingan mentaati kedua-dua ibu bapa.

Tulis cerpen itu selengkapnya.
“Mak, lepaskan Sham. Tolonglah buka ikatan ni, mak!” Jerit Hisham meminta pertolongan ibunya. Manik-manik jernih mengalir pada pipi Mak Cik Saodah yang mulus itu tatkala mendengar rintihan daripada anak kesayangannya. Hanya itu sahaja yang sering dipinta oleh Hisham setelah terjaga daripada tidurnya. Dahulu mereka merupakan sebuah keluarga yang cukup bahagia. Kemiskinan hidup yang dialami bukanlah menjadi penghalang untuk mereka menjalani hidup dengan sempurna kerana kehidupan yang dialami dengan kasih sayang lebih menjamin kebahagiaan yang berkekalan. Ayah Hisham, iaitu Pak Cik Ramli bukanlah bekerja sebagai doktor mahupun peguam tetapi hanyalah seorang insan biasa yang menjadikan aktiviti menoreh getah sebagai periuk nasi keluarga mereka. Mak Cik Saodah pula hanya membuat kuih-muih untuk dijual di kedai yang berhampiran dengan rumah mereka bagi menampung perbelanjaan keluarga. Kehidupan mereka ini dapat diibaratkan “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Hidup yang serba kekurangan telah membakar semangat Hisham untuk belajar dengan sungguh-sungguh dan berusaha untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Hisham bertekad untuk membawa keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan. Dia ingin berbakti dan membalas jasa ibu bapanya yang semakin dimamah usia. Hisham merasakan tanggungjawab terhadap keluarganya terlalu berat lantaran hidupnya merupakan seorang anak tunggal yang menjadi harapan ibu dan ayah untuk mengubah taraf kehidupan keluarga. Ibu dan ayah Hisham sentiasa mendoakan kejayaannya. Terdapat mafhum hadis yang menyatakan bahawa doa seorang ibu terhadap anaknya pasti akan dimakbulkan oleh Allah. Berbekalkan doa itulah Hisham telah berjaya mendapat keputusan yang amat cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan muncul sebagai pelajar terbaik. Kejayaan ini dijadikan buah tangan yang amat berharga kepada Pak Cik Ramli dan Mak Cik Saodah. Rezeki Hisham datang mencurah-curah “bagai tikus jatuh ke beras” apabila dia telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Walaupun sedih untuk melepaskan Hishan merantau ke negara orang, ibu dan ayahnya terpaksa reda kerana pelajaran merupakan elemen penting untuk berjaya dalam kehidupan.

Hisham menjalani kehidupan di luar negara seperti biasa. Setiap bulan dia tidak pernah lupa mengutus surat kepada keluarganya di kampung untuk bertanya khabar. Namun, perangai Hisham semakin berubah apabila pengajiannya di universiti tersebut memasuki semester ke-2. Keadaan ini berlaku setelah dia mula berkenalan dengan seorang gadis kaya bernama Lina. Hisham lebih kerap mengutus surat untuk meminta wang daripada ibu bapanya. Dia memberitahu mereka bahawa duit biasiswa yang disediakan masih tidak mencukupi untuk membeli buku dan perbelanjaan harian. Ibu dan ayah Hisham cuba berikhtiar mencari wang bagi menampung perbelanjaan pengajiannya. Setelah duit simpanan mereka untuk menunaikan haji masih tidak mencukupi, ibu dan ayahnya mencuba mencari alternatif lain. Untuk mengatasi masalah tersebut, mereka terpaksa menjual tanah pusaka yang dimiliki dan meminjam duit daripada sanak-saudara yang terdekat. Pengorbanan tersebut tidak pernah dihargai oleh Hisham. Dia sanggup berbohong kepada kawan-kawannya bahawa dia merupakan anak orang kaya yang sentiasa dilimpahi kemewahan sejak kecil lagi. Sebenarnya, Hisham malu untuk mengakui kebenaran bahawa dia hanyalah anak seorang penoreh getah kerana teman-temannya berasal daripada golongan orang berada. Hisham seolah-olah lupa daratan.

Setelah empat tahun berada di perantauan Hisham pulang ke tanah air membawa kejayaan yang dimilikinya. Namun, karektor Hisham berubah secara drastik. Dia tidak suka tinggal dalam suasana kampung dan tinggal di rumahnya yang dianggap pondok usang. Perubahan Hisham dapat dikesan oleh ibunya. Sesungguhnya naluri keibuan dapat merasai perubahan yang berlaku terhadap anaknya. Mak Cik Saodah terlalu sedih dengan perangai Hisham. Baru beberapa bulan pulang ke tanah air, Hisham telah menyatakan hasrat kepada ibu dan ayahnya untuk bekerja di bandar. Mereka agak keberatan dengan keputusan Hisham kerana masih tidak puas melepaskan rindu terhadap anak yang baru pulang di perantauan. Walaupun agak sedih, mereka tetap menerima keputusan tersebut dengan hati yang senang setelah termakan pujuk rayu Hisham yang berjanji akan pulang ke kampung setiap bulan. Tanpa pengetahuan keluarganya, Hisham telah mengahwini Lina. Dia berjaya menjawat jawatan tinggi, iaitu sebagai penolong pengurus sebuah syarikat milik ayah mertuanya. Perangai Hisham jelas menunjukkan dia seorang yang materialistik kerana sanggup mengetepikan keluarga semata-mata ingin mencari kemewahan. Walau bagaimanapun, Lina masih tidak mengetahui keadaan sebenar suaminya.

Dari sebulan ke sebulan, Hisham makin jarang pulang ke kampung untuk menziarahi keluarganya. Mak Cik Saodah pernah menghubunginya beberapa kali untuk meminta supaya pulang menziarahi keluarganya. Walau bagaimanapun, pelbagai alasan telah diberikan oleh Hisham yang enggan pulang ke kampung. Kerjanya sebagai penolong pengurus syarikat bukanlah terlalu sibuk tapi sikapnya yang umpama kacang lupakan kulit itu menyebabkan dirinya semakin culas untuk pulang ke kampung halamannya. Setelah beberapa bulan tidak menatap wajah anak yang dirindui, Pak Cik Ramli mula jatuh sakit. Penyakit lemah jantung yang dihidapinya semenjak muda mula menyerang kembali. Mak Cik Saodah menghubungi Hisham untuk memberitahu keadaan ayahnya yang sedang sakit tenat. Ibunya sanggup merayu agar Hisham pulang menziarahi ayahnya tetapi dia masih berdegil. Pada masa yang sama, rahsia yang lama terpendam akhirnya terbongkar. Ketika itu, buat pertama kalinya Mak Cik Saodah telah bercakap dengan menantunya. Alangkah terkejutnya Mak Cik Saodah setelah mengetahui anak yang ditatang bagai minyak yang penuh telah berkahwin tanpa pengetahuannya. Hancur luluh hati seorang ibu tatkala mengetahui keadaan sebenar.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Hanya itu yang mampu digambarkan dengan keadaan Hisham yang tidak sempat berjumpa dengan ayahnya buat kali terakhir. Pak Cik Ramli menghembuskan nafasnya dalam keadaan sedih dan tidak sempat menatap wajah anak yang dirindui. Apabila mengetahui ayahnya telah kembali ke rahmatullah, Hisham seolah-olah nanar seketika. Pada waktu itu, barulah dia sedar dan menyesal kerana tidak sempat memohon ampun daripada ayahnya. Walau bagaimanapun nasi sudah menjadi bubur kerana insan yang telah pergi akan tetap pergi dan tidak akan kembali lagi. Setelah kehilangan ayah yang disayangi Hisham pula telah ditinggalkan oleh isterinya. Lina tidak sanggup hidup bersama dengan seorang suami yang layak digelar anak derhaka. Situasi yang menimpa Hisham dapat diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. Kekayaan yang dimiliki juga telah lenyap menyebabkan Hisham menjadi gila kerana tidak dapat menerima kenyataan. Akhirnya, Hisham seperti ikan pulang ke lubuk. Dia pulang ke kampung halaman dan tinggal bersama ibunya. Kaki dan tangan Hisham perlu diikat kerana dia asyik memberontak. Keadaannya yang terjerit-jerit minta dilepaskan membuatkan air mata Mak Cik Saodah tumpah setiap hari. Namun, inilah balasannya terhadap anak yang derhaka.

Keadaan Hisham ini dapat diibaratkan seperti kisah Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya sehingga disumpah menjadi batu. Sebagai masyarakat yang terkenal dengan budaya murni, kita haruslah menjadikan kisah-kisah ini sebagai suatu pengajaran dan contoh teladan dalan kehidupan. Setiap anak mestilah mentaati suruhan ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar batasan syarak. Orang tua-tua pada zaman dahulu sering mengatakan bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya mentaati dan menghormati ibu bapa. Anak yang derhaka akan mendapat balasan daripada Allah. Seperti yang kita ketahui, Hisham dapat dianggap sebagai anak derhaka dan dia telah menerima hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukannya. Jika kita berada ditempatnya, adakah kita sanggup melakukan perkara sepertinya? Tepuk dada tanya selera. Oleh itu, anak-anak haruslah mentaati perintah ibu bapa yang telah menjaga mereka sejak kecil lagi. Menderhaka kepada ibu bapa akan dianggap seperti menderhaka kepada Allah Taala juga.

BAHAN 10 : KARANGAN JENIS ULASAN BERBENTUK KOMENTAR
Sebagai wartawan majalah sekolah, anda diberi tugas membuat ulasan tentang kejohanan olahraga peringkat daerah.

Tulis ulasan anda itu sepenuhnya.
Kejohanan olaraga peringkat daerah yang berlangsung selama lima hari telah pun berakhir pada 6 September yang lalu. Kejohanan olaraga tersebut bertempat di Padang Lata Hijau Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abdul Aziz yang telah menyaksikan kemenangan sekolah tersebut mengungguli keseluruhan permainan. Kejayaan ini merupakan kemenangan berturut-turut bagi sekolah ini setiap kali kejohanan ini berlangsung semenjak tahun 1989 lagi.

Dari segi penganjuran, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abdul Aziz selaku tuan rumah, layak diberi pujian. Sekolah itu berjaya menjadikan kejohanan olaraga pada tahun ini yang terbaik pernah diadakan. Tiada masalah yang dihadapi oleh setiap pasukan yang menyertai kejohanan olaraga pada tahun ini dari segi kawalan keselamatan, makanan, dan pengangkutan. Suasana dan keadaan padang juga turut memuaskan. Penonton dari luar yang ingin menyaksikan kejohanan itu juga telah memberikan kerjasama tanpa membuat sebarang gangguan agar kejohanan berjalan dengan lancar.

Bagi pemain bola sepak, pasukan tuan rumah tampil dengan kedudukan yang selesa selepas menjuarai kejohanan tersebut. Hal ini tidak dapat disangkal lagi kerana penganalisis kejohanan olaraga sudah menjangkakan kemenangan pasukan tersebut. Mutu permainan setiap pasukan dikatakan meningkat hasil usaha gigih mereka menjalani latihan. Daerah Kuala Ketil dan Bayan juga harus diberi pujian kerana telah berjaya menewaskan pasukan dari daerah Padang Terap yang selalu mendahului pasukan mereka sebelum ini. Daerah Setiu pula mempamerkan aksi permainan yang menarik serta menakjubkan.

Walau bagaimanapun, setiap kelebihan pasti ada kekurangannya. Mutu pengadilan pada kejohanan tahun ini dikatakan tidak berapa memuaskan. Banyak pihak yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang telah diputuskan serta bercanggah antara satu acara dengan acara yang lain. Sebagai contoh, dalam acara lontar peluru, pengadil perlawanan bercanggah sesama mereka dalam menentukan ukuran yang paling tepat. Situasi yang sama juga berlaku bagi acara melontar lembing. Kejelikan mutu pengadilan yang paling ketara dalam acara pecut. Dalam acara tersebut, pengadilan tersebut ternyata berat sebelah memberikan kemenangan kepada atlet dari daerah Besut sedangkan penonton menjadi saksi bahawa peserta dari daerah Naka mendahului acara tersebut.

Pencapaian pasukan dari daerah Naka, Teloi Tua, Ulu Langgat menunjukkan prestasi yang sangat mengecewakan. Ketiga-tiga pasukan tersebut tidak dapat melayakkan diri dalam acara seterusnya kerana telah tewas pada awal pertandingan lagi. Hanya daerah Sik sahaja yang dahulunya menunjukkan prestasi yang agak kurang memuaskan bangkit dengan semangat kesukanan yang tinggi apabila melayakkan diri pada peringkat seterusnya. Hal ini menunjukkan semangat kesukanan yang diharapkan tidak mampu lagi dicapai oleh semua atlet yang menyertai kejohanan ini.

Namun, kejohanan olaraga pada tahun ini banyak melahirkan bakat baru yang mampu digilap menjadi bintang. Bagi acara larian, atlet tuan rumah iaitu Suria Aziz menjadi atlet terbaik apabila berjaya meraih lapan pingat emas bagi semua acara yang disertainya. Banyak bakat baru dalam pelbagai acara seperti lontar peluru, lompat kijang, dan sebagainya yang telah dilahirkan. Mereka semua berpotensi meneruskan perjuangan pada peringkat seterusnya. Atlet yang digembar-gemburkan mewarnai kemeriahan kejohanan olaraga ialah Mohd. Azmar Firhad yang berjaya memecah rekod kejohanan bagi acara lompat tinggi.

Hadiah-hadiah telah ditaja oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD). Jersi-jersi para atlet juga telah ditaja oleh Adidas. Kawasan padang juga dipenuhi khemah setiap pasukan yang kelihatan ceria dihiasi belon dan bendera kejohanan olaraga. Para atlet menunjukkan sikap yang positif dengan menjaga akhlak dan tingkah laku mereka. Di samping itu, para atlet telah dinasihati sejak awal kejohanan lagi agar menjaga kebersihan. Acara penutup agak meriah dengan acara perbarisan oleh semua pasukan serta diwarnai dengan pertunjukan bunga api.

Secara keseluruhannya, kejohanan olaraga telah dianjurkan dengan jayanya oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Abdul Aziz hasil kerja sama daripada semua pihak. Yang paling menarik, pasukan tuan rumah berjaya mengekalkan kejuaraan tanpa mengalami persaingan yang sengit daripada pasukan lain. Di samping itu, mutu pengadilan juga wajarlah dinilai semula supaya keputusan yang dibuat adalah tepat dan memuaskan hati semua pihak.


BAHAN 11 : KARANGAN JENIS FAKTA
Kerajaan telah memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara bagi memastikan remaja lepasan SPM mempunyai jati diri selaras dengan kehendak Wawasan 2020.

Jelaskan kepentingan menyertai program ini.
Kepesatan pembangunan negara yang semakin rancak pada hari ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang setanding dengan negara maju yang lain. Hal ini turut menjadikan Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mencari inisiatif baru untuk mengekalkan prestasi negara dengan menyediakan modul-modul yang berkualiti untuk pemimpin pada masa hadapan. Selaras dengan usaha tersebut, kerajaan telah menyediakan Program Latihan Khidmat Negara untuk pemuda-pemudi yang bakal melaksanankan visi dan misi negara pada masa akan datang. Program ini mewajibkan penyertaan kepada warga Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas tidak kira bangsa atau jantina. Langkah kerajaan ini menarik minat masyarakat serta disambut baik oleh semua pihak. Sebenarnya program seumpama ini sudah dilaksanakan di negara lain, contohnya Singapura dan Korea. Tindakan kerajaan untuk melaksanakan program yang sama adalah sangat wajar. Persoalannya, apakah rasionalnya Pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai Program Latihan Khidmat Negara?

Secara umumnya, program ini dapat mengisi masa senggang para pelajar lepasan SPM yang kebanyakkannya tidak dimanfaatkan secara berkualiti. Remaja hari ini telah cenderung untuk terjebak dalam masalah sosial seperti lepak, lumba haram, penyalahgunaan dadah, dan seks rambang. Secara tidak langsung, masalah tersebut dapat dikurangkan kadar bilangannya apabila kerajaan menyediakan program yang bermanfaat ini. Tempoh masa tiga bulan yang diperuntukkan bagi menjayakan program ini sememangnya amat sesuai bagi pelajar tersebut sementara menunggu keputusan peperiksaan. Masa tersebut sekurang-kurangnya diisi secara sistematik. Jika dahulu, pelbagai program lain telah dijalankan namun tidak mencapai objektifnya kerana penyertaannya yang dilakukan secara suka rela. Sebagai contoh, program rakan muda yang pernah dianjurkan pada suatu ketika dahulu mempunyai pelbagai aktiviti lasak, namun pelaksanaannya tidak mencapai matlamat kerana tidak mendapat penyertaan yang menyeluruh daripada remaja. Pelaksanaan program rakan muda seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga. Aktiviti tersebut dijalankan tanpa ada sebarang kesedaran dalam diri tentang matlamat sebenar program tersebut. Mereka tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam melaksanakan program tersebut.

Selain itu, program ini dapat juga membina semangat jati diri golongan remaja. Seperti yang kita lihat pada hari ini, golongan remaja merupakan golongan yang paling banyak menyumbang kepada kadar jenayah negara. Hal ini disebabkan semangat jati diri yang kurang dalam kalangan remaja. Mereka mudah tenggelam dalam arus globalisasi kini yang sememangnya banyak memberikan cabaran. Tambahan pula, kini banyak infrastruktur yang lengkap serta memudahkan mereka melakukan aktiviti yang dapat membantutkan pembangunan negara. Melalui program ini, remaja dapat membentuk jati diri agar menjadi insan yang lebih produktif. Selain itu, program ini bukan sahaja berkonsepkan ketenteraan malah kompenen-kompenen lain juga turut ditekankan seperti memupuk semangat kerjasama berpasukan serta memupuk perpaduan dalam kalangan remaja itu sendiri. Hal ini bertujuan melatih mereka supaya mementingkan perpaduan kerana tunggak kejayaan sesebuah negara ialah perpaduan itu sendiri. Sejarah pernah membuktikan bahawa perpaduan itu sangat penting dan menjadi tulang belakang pembangunan negara. Hal ini

dapat dibuktikan dengan kemerdekaan yang dicapai oleh negara pada hari ini hasil daripada semangat perpaduan yang kuat antara semua kaum.

Di samping itu, disiplin diri dapat juga dibentuk melalui program ini. Program ini menyediakan pelbagai aktiviti yang berbentuk ketahanan fizikal serta keupayaan mental peserta. Melalui program ini juga peserta dilatih untuk menepati masa serta menjadikan disiplin sebagai tunjang utama dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana kerajaan berhasrat untuk melahirkan individu yang berdisiplin serta menepati masa bagi merangka pembangunan negara pada masa hadapan. Berbanding dengan zaman sekarang, kebanyakan individu lebih bersifat materialistik dan individualistik. Mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding dengan orang lain seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Keadaan tidak sihat ini perlu dibendung supaya tidak lahir bakal pemimpin yang bersikap sebegini dan hanya merosakkan negara. Jika generasi muda ini tidak dilatih supaya berdisiplin, pada masa akan datang mereka akan berterusan mengamalkan sikap negatif ini dalam kehidupan seharian. Hal ini menjadikan mereka insan yang tidak memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Selain itu, melalui program ini juga masyarakat yang berkualiti dapat diwujudkan bagi merealisasikan impian negara seiring dengan usaha untuk mencapai matlamat wawasan 2020. Hal ini demikian kerana masyarakat yang berkualiti menjadi pemangkin pembangunan sesebuah negara. Negara yang maju dipimpin oleh pemimpin yang berkaliber dan bersifat amanah. Sejajar dengan hasrat tersebut amat bertepatan sekali usaha kerajaan mewujudkan program sebegini. Tambahan pula, melalui program ini dapat melahirkan pemuda-pemudi yang efisien dalam melaksanakan tugas kerana pemuda ialah harapan bangsa, pemudi merupakan tiang negara. Suatu ketika dahulu, pernah tersiar melalui dada-dada akhbar berita tentang bekas pelatih program Latihan khidmat Negara yang berjaya menumpaskan seorang peragut. Hal ini sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa program ini bukan sekadar omongan kosong tetapi turut memberikan faedah kepada individu yang menyertainya. Input yang diberikan dalam program tersebut turut diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Satu perkara lagi, melalui program ini juga semangat patriotisme dalam kalangan remaja lepasan SPM dapat dipupuk. Pelaksanaan program ini amatlah wajar dan tepat pada masanya. Hal ini kerana sejak kebelakangan ini semangat patriotisme generasi muda sering dipersoalkan. Rata-rata generasi muda didakwa tidak mempunyai nilai patriotik yang tinggi berdasarkan tindak-tanduk mereka yang sering menimbulkan kontroversi dan terlibat dalam kegiatan jenayah dari semasa ke semasa. Oleh itu, Program Latihan Khidmat Negara menjadi wadah terbaik untuk menyuntik semangat cinta akan negara apabila keadaan memerlukan. Melalui program ini juga mereka akan diajar strategi taktikal peperangan. Sehubungan itu, mereka sekurang-kurangnya mempunyai asas untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Semangat berkorban demi negara amatlah dituntut seperti kata pepatah “biar putih tulang jangan putih mata”.

Konklusinya, penyertaan lepasan SPM dalam Program Latihan Khidmat Negara amatlah wajar. Program tersebut dapat melatih peserta untuk bersikap lebih berdisiplin serta memiliki nilai-nilai mahmudah dalam diri. Seperti yang kita sedia maklum, golongan inilah yang akan menjadi pelapis negara pada masa akan datang. Selaras dengan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif yang bijak dengan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara ini. Kepekaan kerajaan terhadap masalah generasi muda pada hari ini adalah penting bagi melancarkan pentadbiran negara. Langkah awal perlu diambil bagi mengelakkan negara melahirkan individu yang tidak berkarisma dalam memimpin negara. Sehubungan dengan itu, segala kekangan yang timbul haruslah diatasi bagi menjamin kedaulatan negara terus terpelihara. Anjakan paradigma juga harus dilakukan agar Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.



Yüklə 269,76 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6   7




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin