Pn. Hjh. Elina hj. Mohd abd. Kahar


Membaca akan menjadikan seseorang itu cemerlang kerana membaca ialah kaedah mencari, memiliki dan mengembangkan ilmu dalam diri seseorang



Yüklə 269,76 Kb.
səhifə6/7
tarix03.11.2017
ölçüsü269,76 Kb.
#29114
1   2   3   4   5   6   7

Membaca akan menjadikan seseorang itu cemerlang kerana membaca ialah kaedah mencari, memiliki dan mengembangkan ilmu dalam diri seseorang. Budaya membaca dan budaya ilmu yang seiring akan membangunkan minda dan seterusnya memajukan individu. Individu yang maju dan cemerlang akan memajukan dan mencemerlangkan juga bangsa dan negaranya. Lord Bacon, ahli falsafah Inggeris berkata, “membaca menjadikan seseorang itu berisi”. Maksudnya membaca ialah suatu aktiviti yang membangunkan intelek, membentuk pemikiran kreatif, kritis, proaktif, inovasi dan dinamis yang akan menjadikan seseorang itu dan masyarakatnya progresif. Masyarakat Jepun umpamanya, cemerlang dalam membangunkan negaranya dalam masa yang singkat setelah kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki berkat suka membaca dan menimba ilmu. Mereka kini menjadi antara masyarakat yang cinta akan membaca. Musuh-musuh Islam dalam zaman kegemilangan tamadun Islam keluar daripada ‘kepompong’ belenggu ‘katak di bawah tempurung ’kerana pembacaan. Mereka menjadi bangsa yang cemerlang dalam hampir semua bidang ilmu hingga ke hari ini kerana mereka dilaporkan ghairah ‘merompak’ hasil karya tamadun Islam dan menterjemahkannya dan menerbitkannya. Mereka kemudiannya meneroka dimensi baru dan membina tamadun ilmu barat yang termaju kerana pembacaan. Jelaslah kecemerlangan sesuatu bangsa terletak pada tangan sendiri. Kecemerlangan itu tentulah diasaskan oleh membaca, adakah pemikiran Tun Dr. Mahathir yang cemerlang dan berwawasan sehingga mampu membuahkan pemikiran besar dan bernas untuk negara khususnya dan dunia amnya, terlahir kerana kurang membaca? Tidak! Tun Dr. Mahathir ialah tokoh yang sebahagian besar hidupnya dihabiskan dengan membaca walaupun beliau begitu sibuk menguruskan negara.

Kecemerlangan melalui membaca akan menjadikan seseorang itu merdeka mindanya. Sejarah Islam ada melaporkan sikap orang Arab ketika berbicara tentang buku. Mereka menganggap amalan membaca seumpama sedang berbicara dengan seseorang yang amat setia dan jujur atau seorang pemimpin yang membimbingnya ke jalan kebenaran atau sedang bercakap-cakap dengan sekumpulan ulama dan orang pintar. Membaca akan membawa kita banyak berfikir dan apabila banyak berfikir minda kita dapat menerawang jauh dan membawa kita keluar dari kepompong malas. Membaca akan memecahkan ruang dan skop sempit yang memenjarakan kita selama ini.

Apabila minda kita merdeka, seorang itu dapat menjana idea dengan berimaginasi untuk membina keupayaan sebenar dirinya. Pada masa ini, pembacaannya akan dapat mengasah tajamkan bakat dan potensi yang ada pada diri seseorang itu. Mereka akan lahir sebagai individu yang cemerlang. Ahli-ahli sains Barat yang mencipta telefon, kapal terbang, kapal angkasa atau kapal selam mengakseskan potensi diri dan bakat mereka kerana membaca. Tokoh mikrosof, Bill Gates memanfaatkan ilmu yang diperoleh melalui pembacaan untuk menjana pemikirannya sehingga terciptalah komputer yang berjaya menakluk dunia. Tokoh-tokoh ternama dan tersohor menjadi cemerlang dalam bidang masing-masing kerana pembacaan menjadikan mereka lebih kreatif, kritis dan inovatif. Idea-idea kontemporari akan lahir kerana membaca.

Membaca akan menjadikan seseorang itu berfikiran global. Mereka berjaya mengumpulkan pengalaman walaupun tidak mengalami sendiri sesuatu perkara atau peristiwa. Membaca pengalaman dan perjalanan hidup orang lain, seperti juga kita yang mengalami dan berjalan sepertinya. Hal ini secara langsung dapat mematangkan seseorang itu dengan lebih cepat. Merekalah bakal menjadi seseorang yang lebih memahami permasalahan dan menyelesaikan masalah dengan lebih cepat. Mereka juga akan sentiasa memburu pengalaman sebenar jika berkesempatan. Mereka akan muda membanding-membeza untuk melahirkan sesuatu idea dan rangka tindakan yang lebih bernas. Seseorang yang cemerlang kerana membaca, tidak mudah terburu-buru dalam bertindak.

Membaca juga mengajar seseorang itu lari daripada kesesatan dan menjauhkan diri daripada paradigma beku dan lapuk. Mereka yang banyak ilmu kerana banyak membaca, tidak mudah ditipu. Mereka tahu banyak perkara yang tidak mudah terpesong atau terjebak dengan pemikiran sesat dan negatif yang mengadu-domba mereka. Mereka ialah orang yang lebih berprinsip dan berpegangan. Sikap ini akan menjadikan seseorang itu cemerlang dalam banyak aspek. Mereka ialah orang yang dapat menerima cabaran dan kritikan kerana pembacaan mengajar mereka berlapang dada. Mereka tidak mudah tertekan dan ditekan dan sifat ini menyebabkan kecemerlangan mudah subur dalam hidup mereka. Semuanya di asaskan oleh pembacaan.

Percaya atau tidak, seorang pelajar yang cemerlang sahsiah, akademik dan kokurikulum lahir kerana pembacaan? Mereka yang cemerlang dalam aspek-aspek ini menjadikan buku sebagai aset bernilai untuk membina kecemerlangan. Mereka sudah tentu dicorakkan dengan budaya minat membaca sejak ‘rebung’ oleh ibu bapa dan guru-guru. Persekelilingan yang membudayakan mereka ialah persekelilingan ilmu dan ilmu ini diasaskan oleh kerajinan membaca. Membaca, ilmu dan berfikir, apabila dilorongkan dengan panduan yang tepat, mampu melahirkan generasi ‘rebung’ yang apabila menjadi ‘buluh’ mudah dilentur. Apabila wartawan bertanya kepada pelajar cemerlang UPSR atau PMR atau SPM atau STPM atau Pemenang anugerah kelas pertama di universiti, semuanya akan menjawab, mereka cemerlang kerana menggunakan masa yang banyak untuk membaca buku. Apabila ditanya pula kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan, dengan terdesak-esak mereka menyatakan kecemerlangan tidak diperoleh kerana kurang membuat ulang kaji atau kurang membaca. Tradisi mendapatkan ilmu tipis dalam hidup mereka. Hal ini menjelaskan lagi pertanyaan, kurangnya membaca menjejaskan kecemerlangan.



Intihannya, tepian akal itu lubuknya ialah pembacaan. Pembaca akan menjadikan kita lebih berakal dan akal itu membolehkan kita berfikir dan meluaskan horizon ilmu. Apabila kesemua ini bergabung, akan lahirlah manusia yang cemerlang dalam segala aspek. Mereka akan menjadi individu atau masyarakat yang cemerlang dan dapat memajukan negaranya. Tradisi membaca dan budaya membaca masih jauh daripada hidup rakyat Malaysia. Mengapakah hal ini terjadi di negara kita sedangkan tidak terjadi di negara Barat dan Jepun? Adakah masyarakat berilmu dan cemerlang ‘disuratkan’ oleh Tuhan wujud di situ? Jawapannya ada pada diri kita. Membaca sebenarnya untuk kebaikan diri sendiri.
SAMPEL II : KARANGAN CEMERLANG (MARKAH 94%)

Contoh Jawapan Calon SPM 2004, Soalan 1
Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan aset paling berharga buat sesebuah negara. Siapa lagi yang akan menerajui tampuk pemerintahan kelak, jika bukan pemuda-pemudi harapan bangsa? Siapakah pula yang akan meneruskan pembangunan dan menjana kemajuan negara jika memegang tanggungjawab dan amanah yang amat besar dalam menentukan arah tuju negara pada masa akan datang.

Dalam menongkah arus pembangunan yang semakin menggila, golongan remaja sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam usaha untuk merealisasikan aspirasi negara yang telah pun digariskan dalam wawasan 2020. Pelbagai peranan yang perlu dimainkan oleh remaja untuk memastikan politik, ekonomi dan sosial negara berkembang maju. Sebagai pelajar, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dibentuk haruslah menjadi panduan untuk menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Sementara itu, golongan remaja perlulah menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa lampau seperti perit pedih pejuang-pejuang negara dalam usaha mendapatkan kemerdekaan dan penat lelah pemimpin seterusnya memajukan negara. Perjuangan tokoh-tokoh terdahulu perlulah dijadikan inspirasi untuk meneruskan pembangunan sekali gus melakar sejarah indah buat generasi yang akan datang pula. Golongan remaja perlu sedar bahawa bukan mudah untuk kita mendapatkan kemerdekaan seperti sekarang. Rundingan demi rundingan, perbincangan demi perbincangan, barulah negara berjaya membebaskan diri daripada cengkaman negara asing. Oleh itu, sebagai generasi pelapis, remaja perlu memandang ke hadapan dan mengorak langkah dengan penuh yakin agar kemerdekaan negara akan dapat dikekalkan.

Pelantikan Dato’ Hishamudin Tun Hussien sebagai Menteri Pendidikan Malaysia yang baru telah membangkitkan lagi semangat dan keinginan setiap pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Melalui pendidikan, golongan remaja dapat menambah ilmu di dada dan menajamkan fikiran untuk menghadapi hari mendatang. Dengan ilmu pengetahuan juga, pelajar akan sentiasa dihargai walau di mana mereka berada, jika di daratan akan menjadi pokok, dan jika dicampak ke laut akan menjadi pulau. Begitulah, diibaratkan orang yang berilmu dan inilah ciri-ciri yang amat dititikberatkan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan dan berfikiran luas. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab golongan remaja untuk memenuhkan ilmu di dada dan mencari sebanyak mana pengalaman sebagai bekalan untuk menjadi pemimpin yang disegani.

Di samping itu, golongan remaja perlulah sentiasa menjaga maruah dan kehormatan diri walau di mana kita berada. Salah satu cara untuk mencapai hasrat tersebut adalah menjauhkan diri daripada kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral seperti merokok, menyalahgunakan dadah dan kegiatan lumba haram. Perbuatan-perbuatan yang tidak senonoh ini memberi gambaran imej yang jelas bahawa generasi muda kurang bersedia menerima amanah. Hal ini demikian kerana, pemimpin yang berakhlak buruk tidak akan dihormati rakyat apatah lagi untuk mencapai kecemerlangan dalam pemerintahan. Dari sudut pandangan yang lain, generasi yang tidak bermoral ini dilihat hanya akan menjatuhkan dan meruntuhkan kestabilan negara yang telah dicapai hampir sedekad abad. Justeru, golongan remaja harus sentiasa berhati-hati memilih rakan dan sentiasa berusaha mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah-kancah maksiat.

Selari dengan perkembangan ekonomi dan ledakan teknologi maklumat kini, golongan remaja perlulah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan perubahan yang berlaku sama ada di dalam ataupun di luar negara. Hal ini demikian kerana, remaja perlu sentiasa bersaing dan menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya agar dapat memaksimumkan keupayaan dan kebolehan diri sendiri, dalam usaha untuk memajukan diri, bangsa dan negara. Berfikiran luas, terbuka dan sentiasa rasional adalah sifat-sifat yang sangat perlu dalam pembentukan sahsiah seseorang bakal pemimpin. Contoh yang paling tepat ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Berkat kebijaksanaan dan keterbukaan beliau menerima pendapat dan teguran pihak lain, beliau berjaya memacu negara ke peringkat yang amat tinggi dan membanggakan. Oleh sebab itu, remaja haruslah menjadikan sifat-sifat terpuji beliau sebagai pendorong dan inspirasi untuk mengekalkan kedaulatan negara dan membawa negara ke aras yang lebih tinggi.

Bidang sains dan teknologi amat penting dalam era globalisasi kini. Kerajaan dan pihak swasta, semuanya menumpukan perhatian kepada bidang yang mempunyai prospek dan masa hadapan yang cerah ini. Golongan remaja, sebagai penggerak kemajuan negara, perlulah melibatkan diri dalam sektor-sektor berkaitan sains dan teknologi untuk memastikan perkembangan bidang ini yang berterusan. Kita perlulah mengambil dan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi agar dapat merealisasikan kemajuan sains dan teknologi. Majlis Amanah Rakyat (MARA) umpamanya menyediakan banyak peluang kepada rakyat, khususnya kaum bumiputera untuk melibatkan diri dalam bidang sains seperti Pertandingan Reka cipta. Pertandingan Inovasi Sains, Kuiz Sains Nasional dan Pertandingan Mereka Laman Web.

Selain itu, golongan remaja perlu sentiasa menyokong usaha dan langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan melalui kementerian dibawahnya untuk memajukan Malaysia. Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak terutamanya golongan remaja, yang merupakan kumpulan majoriti adalah sangat penting. Remaja perlu menyahut seruan kerajaan dengan minda terbuka dan melaksanakan segala rancangan tersebut dengan jayanya. Contohnya, kempen membaca, kempen dermah darah, dan Program Latihan Khidmat Negara. Pelbagai makna tersirat ingin disampaikan oleh kerajaan melalui kempen-kempen dan aktiviti yang dilaksanakan oleh badan-badan dan kementerian seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Pelbagai faedah akan diperoleh jika rancangan dan kempen tersebut mendapat perhatian dan penghayatan daripada golongan remaja. Antaranya, lahirlah golongan yang bersikap penyayang, matang, liberal, dan saling membantu. Justeru, adalah sangat perlu bagi remaja memainkan peranan mereka dalam menyokong seratus peratus dasar-dasar kerajaan.

Golongan remaja sememangnya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memajukan negara, dan menjaga kedaulatan negara. Semoga golongan remaja akan memandang serius segala perubahan yang berlaku serta mengambil tahu senario politik semasa agar dapat menjadi asas untuk menjadi pemimpin berjaya. “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu membantu golongan remaja dalam usaha untuk memastikan tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang akan mempunyai pelapisnya yang berwibawa.

11.0 KONSEP 1 MALAYSIA

Bahan Maklumat – Konsep 1 Malaysia (Penjelasan Mengenai Lapan Nilai)


1 MALAYSIA’

(Sumber Rujukan: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)


  1. PENGENALAN

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuh lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, merupakan langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Perseketuan dan Prinsip-prinsip Rukun Negara.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan ialah perasaan hormat-menghormati, keiklasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti slogan YAB Perdana Menteri, iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. ‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga, dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka ialah bangsa Malaysia, iaitu segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia ialah negara kita, tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan dalam kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.




  1. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. “One People”. Kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Hal ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.


2.1 Huraian

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan yang berikut:

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing. Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. “One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga dituntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum. Oleh itu, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama. Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam konsep 1 Malaysia “Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri, iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing. Melalui Konsep 1 Malaysia, YAB. Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.




  1. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti yang berikut:

3.1 “Konsep Malaysian adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2 Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integriti dan pewujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


  1. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baharu. Sebaliknya, konsep 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


  1. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB. Perdana Menteri. Beliau menegaskan ‘Konsep 1 Malaysia’, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baharu. Sebaliknya. “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama, iaitu untuk rakyat dan negara.


  1. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.

‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB. Dato’ Sri Najib, iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.




  1. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat, iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1 Budaya Kecemerlangan

2 Ketabahan

3 Rendah hati

4 Penerimaan

5 Kesetiaan

6 Meritokrasi

7 Pendidikan

8 Integriti
7.1 BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4 Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.


7.2 KETABAHAN

Setiap perjuangan atau perlaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya yang tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3 Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4 Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan.

7.2.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat, dan negara.


Yüklə 269,76 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6   7




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin