Pendapat Ulama Salaf as-Soleh
Menurut kesepakatan Ahli Sunnah wal-Jamaah dan seluruh ulama yang bermanhaj salaf as-Soleh, bahawa beriman kepada qada' dan qadar Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang menjadi rahsiaNya mengandungi empat perkara (tingkatan):
1. Ilmu Allah, ia merupakan sifat zatiyah bagi Allah yang tidak berpermulaan dan tidak berkesudahan. Allah Maha Mengetahui segala yang belum terjadi, yang sedang dan yang akan terjadi. Allah tahu siapa yang akan menghuni syurga dan siapa yang akan menghuni neraka. Ilmu Allah tidak dibatasi oleh sesuatu kerana ilmu Allah adalah secara global sehingga tiada sesuatu perkara atau benda yang tersembunyi dari pengetahuanNya. Dia mengetahui segala perbuatanNya dan segala perbuatan makhlukNya. Ilmu atau pengetahuan Allah tentang segala sesuatu tidak didahului oleh ketidaktahuan (tidak didahului dengan belajar). Allah mustahil lupa, ilmuNya abadi dan azali yang tidak berawal dan tidak berakhir.
هُوَ اْلاَوَّلُ وَاْلاَخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَىءٍ عَلِيْمٌ.
"Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu".
Al-Hadid, 57:3.
وَاَنَّ اللهَ قَدْ اَحَاطَ بِكَلِّ شَيْءٍ عِلْمًا.
"Dan sesungguhnya Allah, IlmuNya benar-benar meliputi segala sesuatu".
At-Talaq, 65:12.
2. Mengimani kitab (tulisan yang berupa penentuan Allah) di Loh Mahfuz, yang di dalamnya tertulis semua (segala) sesuatu yang terjadi pada makhluk dan disebutkan dengan terperinci, maka mengimani semuanya itu adalah wajib. Malah setiap mukmin diwajibkan juga mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa Allah telah menulis segala sesuatu (ketentuan) baik yang telah, sedang atau yang akan berlaku, semuanya itu telah tertulis di Loh Mahfudz yang kekal sehingga ke Hari Kiamat. Dia memerintahkan al-Qalam untuk menuliskannya di dalam kitab Al-Loh Al-Mahfuz. Keterangan ini berpandukan kepada firman Allah dan hadith Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam:
اَلَمْ تَعْلَمْ اَنَّ اللهَ يَعْلَمُ مَا فِى السَّمَآءِ وَاْلاَرْضِ اِنَّ ذَلِكَ فِى كِتَابٍ اِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللهِ يَسِيْرٌ.
"Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi, bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Loh Mahfudz). Sesungguhnya demikian itu amat mudah bagi Allah".
Al-Haj, 22:70.
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرٍ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: كَتَبَ اللهُ مَقَادِيْرَ الْخَلاَئِقُ قَبْلَ اَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَاْلاَرْضَ بِخَمْسِيْنَ اَلْفَ سَنَةٍ.
"Allah telah menulis (menentukan) takdir seluruh makhluk sebelum menciptakan segala langit dan bumi lima puluh ribu tahun (sebelumnya)".346
3. Mengimani bahawa setiap kejadian yang berlaku dan segala yang mawujud (yang ada) sama ada di langit atau di bumi, yang ghaib atau yang nyata adalah dengan masyiah dan iradah (kehendak) Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Sesuatu tidak akan wujud kecuali dengan kehendakNya. Begitu juga segala sesuatu tidak akan terjadi atau berlaku jika tidak dengan masyiah (kehendak) Allah. Malah kejadian rupa dan bentuk makhluk itu juga adalah dengan kuasa, kehendak dan penentuan Allah Subhanahu wa-Ta'ala:
هُوَ الَّذِىْ يُصَوِّرُكُمْ فِى اْلاَرْحَامِ كَيْفَ يَشَاءُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ.
"Dialah yang membentuk kamu dalam rahim sebagaimana dikehendakiNya. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang Perkasa lagi Maha Bijaksana".
Ali Imran, 3:6
4. Mengimani bahawa seluruh yang mawujud (yang ada), lahir atau batin sama ada zatnya, sifatnya (bentuknya) dan segala pergerakannya (perbuatannya) dicipta, ditentukan, dipelihara dan hanya boleh dibinasakan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan kudrah dan iradahNya:
وَخَلَقَ كُلَّ شَيءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيْرًا.
"Dan Dia telah menciptakan segala sesuatu dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya".
Al-Furqan, 25:2
اَللهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ وَكِيْلٌ.
"Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu".
Az-Zumar, 39:62.
وَاللهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُوْنَ.
"Dan Allah yang mencipta kamu dan apa yang kamu lakukan".
As-Safat, 37:96
Kemampuan Atau Ikhtiari (Berusaha)
Walaupun Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menentukan segala-galanya sebagai qada' dan qadarNya, tetapi bagi setiap manusia telah diberikan sifat ikhtiari (اِخْتِيَارِى). Ikhtiar pula bermaksud:
"Kemampuan melakukan berbagai-bagai perbuatan dan tindakan". Atau "Pilihan yang bebas dengan kemahuan (kehendak) sendiri".
Kelengkapan sifat ikhtiari ditambah dengan pemberian perasaan dan akal untuk berfikir serta kitab al-Quran untuk dijadikan panduan. Semua pemberian ini cukup untuk membolehkan mereka menentukan pilihan sama ada mahu mengerjakan atau meninggalkan sesuatu amalan atau pekerjaan yang baik atau yang buruk. Pemilihan ini tidak dapat dinafikan kerana telah dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya:
فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ اِلَى رَبِّهِ مَئَابًا.
"Maka barangsiapa yang menghendaki, nescaya ia memilih jalan kembali kepada Tuhannya".
An-Anbia', 78:39.
فَاتَّقُوْا اللهَ مَاسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوْا وَاَطِيْعُوْا.
"Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupan kamu, dengar dan taatlah kamu".
At-Tagabun, 64:16.
لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ اَنْ يَسْتَقِيْمَ وَمَ اتَشَآءُ وْنَ اِلاَّ اَنْ يَشَآءَ اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ.
"(Iaitu) bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan lurus. Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam".
At-Takwir, 81:28-29.
Orang-orang yang sengaja menyalahkan takdir apabila melakukan kejahatan, kemungkaran dan maksiat atau apabila tidak mahu melakukan segala kewajipan dan tuntutan agama adalah orang-orang yang sombong, pembohong, fasik dan jahil. Kejahilan mereka membawa kepada kekafiran dan kesyirikan terhadap Allah seperti mana yang telah diceritakan oleh Allah di dalam firmanNya tentang mereka yang menyalahkan qada' dan qadar Allah:
سَيَقُوْلُ الَّذِيْنَ اَشْرَكُوْا لَوْشَاءَ اللهُ مَا اَشْرَكْنَا وَلاَ آبَاؤُنَا وَلاَ حَرَّمْنَا مِنْ شَىءٍ كَذَلِكَ كَذَّبَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِهِمْ حَتَّى ذَاقُوْا بَاْسَنَا قُلْ هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ عِلْمٍ فَتُخْرِجُوْهُ لَنَا اِنْ
تَتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ اَنْتُمْ اِلاَّ تَخْرُصُوْنَ.
"Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan (syirik) akan mengatakan: Jika Allah menghendaki, nescaya kami dan bapak-bapak kami tidak akan mempersekutukanNya, dan tidak pula mengharamkan barang sesuatu apapun. Demikian pulalah orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan (para rasul) sampai mereka merasakan siksaan Kami. Katakanlah! Adakah kamu mempunyai sesuatu pengetahuan sehingga dapat kamu mengemukakannya sampai kepada Kami? Kamu tidak mengikuti kecuali perasangka belaka, dan kamu tidak lain hanyalah berdusta".
Al-An'am, 6:148.
Mereka yang beralasan dengan menyerahkan segala-galanya kepada suratan takdir untuk melepaskan kewajipannya dari menunaikan semua tanggungjawab dan tuntutan agama, mereka pula enggan untuk melaksanakan amal ibadah yang ditetapkan oleh syara lantaran menyalahkan takdir, maka manusia seperti ini adalah tergulung dalam golongan manusia yang paling malang kerana mereka memilih kekufuran lantaran kesombongan dan kejahilan mereka sendiri. Alasan mereka yang tidak berasaskan hujjah dari syara sehingga meninggalkan tanggungjawab dalam melaksanakan kewajiban ibadah adalah kerana mereka beranggapan "Segala-galanya sudah suratan takdir". Perkiraan seperti ini adalah suatu kemungkaran yang benar-benar menyebabkan mereka terkeluar dari millah Islamiyah. Semua dakwaan mereka yang menyalahi hukum sehingga membatalkan akidah mereka dapat kita sangkal dengan hadith sahih di bawah ini:
عَنْ عَلِيِ بْنِ اَبِى طَالِبٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَا مِنْكُمْ مِنْ اَحَدٍ اِلاَّ قَـدْ كُتِبَ مَقْعَدهُ مِنَ النَّارِ اَوْ مِنَ الْجَنَّةِ فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اَلاَ نَتَّكِلُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ؟ فَقَالَ : لاَ ، اِعْمَلُوْا كُلُّ مُيَسَّرٌ ثُمَّ قَرَاَ :
{اِنَّ سَعْيَكُمْ لَشَتَّى فَاَمَّا مَنْ اَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى}.
"Dari Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu. Bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Setiap diri dari kamu telah ditulis tempatnya di syurga atau di neraka. Salah seorang dari sahabat bertanya? Mengapakah kita tidak semata-mata bertawakkal sahaja wahai Rasulullah!? Beliau menjawab: Tidak, berbuatlah kerana masing-masing akan dimudahkan. Lalu baginda membacakan: "Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza. Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (ke syurga)".347
Keyakinan Dan Pegangan Setiap Mukmin Tentang Qada' & Qadar
Menurut Imam Al-Hafiz Az-Zahabi rahimahullah, telah sepakat seramai tujuh puluh orang dari para tabi'in, pemimpin-pemimpin kaum Muslimin, para ulama Salaf as-Soleh dan para fukaha terkemuka dari beberapa negara, bahawa menurut sunnah dan ketetapan Rasulullah sallallahu wa-sallam untuk sekalian ummatnya, adalah seperti berikut:
1- Redha (rela) dan tabah terhadap segala ketetapan Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang berupa takdir dariNya.
2- Berserah diri terhadap segala keputusan Allah.
3- Tabah menerima hukum (penentuan) Allah Ta'ala.
4- Melaksanakan setiap apa yang diperintahkan Allah.
5- Menjauhkan setiap yang telah dilarang oleh Allah.
6- Mengikhlaskan diri pada setiap amalan kepada Allah.
7- Sentiasa beriman terhadap takdir Allah sama ada yang baik atau buruk.348
Dostları ilə paylaş: |