Pn. Hjh. Elina hj. Mohd abd. Kahar


BAHAN 12 : KARANGAN JENIS PERBINCANGAN



Yüklə 269,76 Kb.
səhifə5/7
tarix03.11.2017
ölçüsü269,76 Kb.
#29114
1   2   3   4   5   6   7

BAHAN 12 : KARANGAN JENIS PERBINCANGAN
Sejak akhir-akhir ini, program televisyen realiti telah mendapat tempat dalam hati masyarakat. Program seperti ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.

Bincangkan kesan buruk program tersebut dalam kalangan masyarakat.
Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancanagan televisyen realiti. Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. Tambahan pula, setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan para penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah “Akademi Fantasia”, “Mentor”, “One In A Million”, dan banyak lagi. Apabila ditanya kepada penerbit rancangan-rancangan televisyen realiti tentang tujuan rancangan-rancangan tersebut diadakan, mereka menyatakan bahawa rancangan tersebut diterbitkan khas untuk mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu “sambil menyelam minum air”. Persoalannya, apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita. Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini demikian kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini demikian kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

Rancangan televisyen realiti dapat juga mempengaruhi akhlak dan budaya masyarakat yang mengikut rancangan tersebut terutamanya golongan remaja. Hal ini demikian kerana remaja yang tidak teguh pendirian hidup akan mudah terpengaruh oleh budaya kurang sopan yang ditonjolkan dalam rancangan televisyen realiti ini. Golongan remaja sering meniru pemakaian artis yang ditunjukkan melalui rancangan ini. Kebanyakan artis memakai pakaian yang mendedahkan aurat. Golongan remaja yang memakai pakaian yang terdedah akan menyebabkan berlakunya masalah sosial. Masalah sosial akan meningkat dalam kalangan golongan remaja di negara kita. Golongan remaja perempuan akan mudah terjebak dalam gejala sosial seperti bersekedudukan dan sebagainya. Selain itu, golongan remaja mudah juga terlibat dalam masalah pergaulan bebas. Hal ini demikian kerana ketika pertandingan diadakan, penonton bebas memilih tempat duduk mereka masing-masing. Tambahan pula, tempat duduk antara lelaki dan perempuan tidak diasingkan. Oleh hal yang demikian, akhlak dan budaya yang tidak sihat wujud melalui rancangan televisyen rancangan realiti ini.

Sehubungan dengan itu, artis yang lahir daripada rancangan televisyen realiti kurang berbakat. Hal ini demikian kerana artis yang berjaya dilahirkan merupakan hasil undian melalui sistem pesanan ringkas daripada penonton. Tambahan pula, penonton mengundi bukan berdasarkan bakat yang ada pada artis tetapi mengundi berdasarkan paras rupa. Penonton haruslah memilih orang yang betul-betul berbakat untuk menjadi artis yang dapat memartabatkan industri nyanyian dan perfileman. Pakar motivasi yang popular di negara kita, Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, “jangan menilai rupa melalui kulitnya”. Selain itu, anak seni yang kurang berbakat akan menjatuhkan imej seniman dan seniwati yang berjuang untuk memartabatkan kerjaya mereka sebagai anak seni. Anak seni yang kurang berbakat akan merugikan pihak penerbit dan pihak yang berperanan untuk merakamkan lagu dan mengarah pembikinan filem. Hal ini demikian kerana album yang dihasilkan oleh mereka tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. Tegasnya disini bahawa rancangan televisyen realiti melahirkan anak seni yang tidak berbakat.

Individu yang malas berusaha untuk mencari pekerjaan juga dilahirkan melalui rancangan televisyen realiti. Hal ini demikian kerana populasi di negara ini ingin menjadi cepat kaya tanpa perlu berusaha. Mereka malas berusaha untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan lebih menjamin masa depan mereka. Oleh sebab itu, mereka mengambil jalan singkat dengan menyertai program rancangan televisyen realiti. Mereka menganggap dengan menyertai rancangan televisyen realiti, mereka mudah mendapat wang dan dapat memiliki segala keperluan dan kehendak mereka. Malangnya, mereka tidak berfikir untuk masa hadapan mereka. Wang yang banyak akan diperoleh oleh mereka hanya ketika mereka berkecimpung dalam bidang tersebut. Selepas munculnya bakat baru yang lain, pendapatan mereka akan berkurang dan populariti mereka semakin merosot juga. Oleh hal yang demikian, majoriti pelakon dan penyanyi yang berfikiran rasional menceburi bidang lain seperti perniagaan dan pertanian sebagai bekalan untuk hari-hari yang mendatang. Keadaan ini diibaratkan seperti sediakan payung sebelum hujan. Maka, rancangan ini melahirkan masyarakat yang malas berusaha dan hanya menunggu bulan jatuh ke riba.

Selain itu, rancangan televisyen realiti mewujudkan masyarakat yang terlalu taksub dan fanatik dengan artis. Terdapat segelintir masyarakat yang teruja dengan artis pilihan mereka. Mereka menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka. Golongan remaja terutamanya mengikut segala tingkah laku dan tabiat artis kegemaran mereka kerana terlalu taksub dengn artis tersebut. Bagi sesetengah masyarakat yang terlalu taksub dengan artis tersebut, mereka sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata ingin bertemu dengan idola mereka. Tambahan pula, mereka tidak dapat hidup dengan senang jika suatu hari mereka tidak dapat melihat artis pilihan mereka itu. Terdapat juga masyarakat yang memuja artis kegemaran mereka. Kadangkala minat yang melampau kepada seseorang artis dapat menimbulkan kontroversi antara dua pihak. Hal ini terjadi apabila sesetengah pihak yang terlepas cakap tentang artis kesukaan mereka dan menimbulkan kemarahan orang yang terlalu taksub dengan artis itu. Maka pergaduhan dan pertelingkahan akan berlaku semata-mata kerana perkara yang kecil. Jelaslah di sini bahawa rancangan ingin mewujudkan masyarakat yang terlalu taksub dengan artis.

Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen ini haruslah bertujuan semata-mata mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan paras rupa semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Hal ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja dalam negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit mahupun penonton. Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. Pihak juri atau hakim dalam sesuatu pertandingan haruslah memilih peserta yang mempunyai kelayakan dan berbakat bagi meningkatkan imej dan karier seniman dan seniwati negara dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

BAHAN 13 : KARANGAN JENIS PERIBAHASA (TEKNIK HURAIAN)

Tulis suatu karangan yang berdasarkan peribahasa “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Orang Melayu amat masyhur dengan pepatah-pepatah Melayu atau dikenali sebagai peribahasa sejak dahulu kala lagi. Pelbagai pepatah tersebut direka mengikut keadaan sekeliling bagi menunjukkan sindiran dan nasihat secara spontan kepada seseorang. Bagi melahirkan semangat dan dorongan dalam kehidupan sesama ahli masyarakat, orang-orang Melayu suatu ketika dahulu mencipta pepatah “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Pepatah ini mengingatkan kita, untuk sampai ke tebing kita perlu terlebih dahulu berenang dengan sunggu-sungguh melawan arus menghala ke tepian. Jika tidak dilakukan demikian, mustahil kita dapat sampai ke destinasi yang ditujui. Begitu juga halnya, pepatah ini ditakrifkan bahawa sekiranya kita menginginkan kesenangan pada kemudian hari, kita terpaksa mengharungi segala kesusahan sebelum menikmati kesenangan dan kebahagiaan. Hakikatnya, itulah hukum alam untuk manusia merealisasikan impian masing-masing. Persoalannya, apakah faedah yang akan diperoleh jika pepatah ini dipraktikkan dalam kehidupan kita?

Untuk mendapatkan sesuatu kemenangan atau kejayaan, semestinya didahulukan dengan usaha. Oleh itu, pepatah ini dapat menjadi perangsang kepada kita dalam usaha mengejar sesuatu kejayaan setiap pelajar pasti mengimpikan kejayaan dalam kehidupan kita. Oleh hal yang demikian, setiap orang terutamanya orang Islam wajib menuntut ilmu selagi berkemampuan walaupun terpaksa berhijrah ke luar negara. Sungguhpun begitu kejayaan bukan hanya di dunia sahaja tetapi hendaklah diselangi dengan ilmu akhirat. Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara tentunya perlu mendapati pelbagai onak dan duri setelah menjejakkan kaki ke sana. Sehubungan itu, situasi beginilah yang akan menentukan sama ada jati diri kita akan dapat bertahan terhadap segala cabaran tersebut ataupun sebaliknya.

Selain itu, pepatah ini turut menyeru kita supaya merancang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. Bagi manusia, mereka haruslah memiliki perancangan hidup sendiri bagi menjalani kehidupan yang lebih sempurna. Malah, kejayaan tidak akan menjadi realiti jika tiada pengorbanan tertanam dalam diri masing-masing. Namun, pepatah ini bukan hanya ditujukan kepada individu sahaja tetapi meliputi negara pada keseluruhannya. Hal ini disebabkan pembangunan dan kemajuan negara tidak akan dapat dicapai tanpa perancangan yang sistematik dan teliti. Sebagai impak positif yang diperoleh daripada prinsip ini adalah melalui pembangunan yang wujud di negara kita. Sebagai contohnya, pembinaan pusat Pentadbiran Putrajaya, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Siber Jaya, Koridor Raya Multimedia, dan sebagainya dimulakan dengan susah payah dan perancangan yang amat teliti. Dalam hal ini, pemimpinlah yang menjadi nadi pembangunan ini dengan mentadbir negara dengan mengamalkan slogan kepemimpinan melalui teladan dan berwawasan futuristik.

Di samping itu, matlamat di sebalik peribahasa ini adalah sebagai panduan hidup untuk semua umat manusia. Hal ini demikian kerana kesenangan tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan beristiqomah seperti kata bidalan “malas berdayung, perahu hanyut”. Kejayaan juga tidak akan datang seperti “yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang” kerana terpaksa didahului dengan daya usaha yang gigih tanpa mengenal erti penat lelah dan jemu. Sesungguhnya, tiada jalan pintas ke arah kecemerlangan dalam hidup kita yang belum mengetahui apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Hal ini menunjukkan bahawa kita perlu berusaha dan cekal sebelum bertawakal kepada Allah yang menentukan segala-galanya.

Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah pernah berkata, “belajarlah kamu daripada kesusahan, sesungguhnya kesusahan itu akan mematangkan kamu”. Jelaslah bahawa setiap orang yang hidup melalui kesusahan pasti akan mendapat laba yang lebih berbanding dengan orang yang menjalani kehidupan dalam kesenangan tanpa mengalami apa-apa kesusahan. Melalui kesusahan, manusia dapat mengutip pengajaran dan pengalaman yang berguna. Dalam era globalisasi ini, pelbagai kemudahan dan instrumen telah dicipta untuk memudahkan hidup manusia. Sehubungan dengan itu, manusia pada masa ini semakin malas berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan oleh mereka. Namun, kelebihan ini tidak dapat dijadikan alasan untuk menjadikan komuniti kita tidak mahu berusaha walaupun hanya menggunakan tenaga yang sedikit. Tatkala manusia mengalami kesusahan, pasti tergerak dalam sanubari mereka untuk melakukan yang terbaik bagi mengubah kehidupan mereka supaya lebih cemerlang.

Peribahasa ini turut memberikan mafhum bahawa pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi sebelum seseorang mengecapi kejayaan yang diidam-idamkan. Oleh itu, seseorang yang hanya berharap untuk memperoleh kejayaan tetapi sentiasa berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha adalah ibarat bermimpi pada siang hari. Cerita dongeng “Mat Jenin” yang mengharap sesuatu yang tidak mungkin dapat dicapai, menjadi iktibar kepada kita supaya tidak berangan-angan untuk mendapatkan sesuatu kejayaan. Kita telah sedia maklum, dugaan yang perlu dilalui dalam kehidupan kita ini bukan sahaja dari segi fizikal, malah terdapat juga dari segi mental. Contohnya, anak-anak remaja yang hidup di kota metropolitan perlu memelihara diri mereka daripada terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral. Bagi remaja yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi dan mantap, pasti mereka akan terhindar daripada perkara-perkara ini. Hal yang demikian, menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam berusaha meraih kejayaan.

Tuntasnya, kejayaan manis menanti sesiapa sahaja yang sanggup mengorbankan kesenangan pada masa ini dan bekerja keras untuk kesenangan pada hari-hari muka. Para pelajar haruslah menghayati peribahasa ini sedalam-dalamnya demi menuntut ilmu yang bakal menjadi kelebihan kepada diri mereka. Manusia yang tidak menghadapi kesukaran terlebih dahulu sebenarnya tidak merasai kenikmatan hidup sebagai manusia yang hidup dalam dunia yang fana ini. Kerajaan turut bertanggungjawab melakukan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penggunaan peribahasa ini dalam kalangan pelajar dan masyarakat di negara kita. Kedaluwarsa, para remaja mengubah perspektif mereka bahawa pepatah Melayu ini ketinggalan zaman tetapi memperbanyak kegunaannya dalam kehidupan harian. Para remaja juga haruslah melatih diri mereka menjadi modal insan yang berguna kepada masyarakat melalui penghayatan pepatah ini.

BAHAN 14 : KARANGAN JENIS PERIBAHASA (TEKNIK CERITA)
Dalam suatu pertandingan mengarang cerpen anjuran Persatuan Belia di tempat tinggal anda, suatu tajuk peribahasa “Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga” diberikan. Anda ingin menyertai pertandingan tersebut.

Tulis suatu karangan berdasarkan tajuk tersebut.
Yasin bertugas sebagai pegawai kastam di Johor Bharu. Dia telah berumah tangga dan mempunyai lima orang anak. Kehidupan Yasin sekeluarga sangat bahagia. Pendapatan Yasin tidaklah banyak tetapi kehidupannya sangat senang seperti ayam bertelur dalam padi. Tambahan pula, Yasin memiliki dua buah kereta mewah, sebuah van dan dua buah banglo. Walaupun hanya bekerja sebagai pegawai kastam, namun Yasin amat dihormati oleh penduduk kampungnya. Hal ini disebabkan sikap prihatin yang ditonjolkannya kepada masyarakat. Dia gemar membantu keluarga yang miskin di kampungnya. Jika mereka menghadapi masalah kewangan, kepada Yasinlah mereka meminta pertolongan.

Pada suatu hari, Pak Samad telah datang berjumpa dengannya. Sebagai ketua kampung di kawasan itu, Pak Samad berhasrat ingin mendirikan sebuah surau untuk kegunaan penduduk kampungnya.

“Begini Yasin. Aku bercadang ingin mendirikan sebuah surau di kampung kita. Surau yang terletak di hujung kampung itu sudah roboh. Jadi penduduk kampung meminta jasa baik engkau menghulurkan sedikit sumbangan bagi meringankan beban mereka. Itupun jika engkau tidak keberatan”, kata Pak Samad.

“Oh, begitu! Saya tidak berat hati menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung. Lagipun memang menjadi tugas saya menolong orang yang berada dalam kesusahan. Hidup ini mestilah bantu-membantu, seperti kata pepatah, yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing, barulah kerja menjadi mudah”, jawab Yasin.

Begitulah sikap Yasin yang baik hati. Dia tidak menghampakan orang yang mengharapkan bantuannya. Oleh sebab itu, Yasin dihormati dan disayangi penduduk kampung. Bahkan ada sesetengah penduduk kampung yang menggelarnya Yang Berbahagia. Isteri dan anak-anaknya amat berbangga dengan Yasin. Walaupun sibuk dengan tugas Yasin tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada keluarga. Anak-anaknya dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Masyarakat memandang tinggi terhadap hasil dan keluarganya. Jika ada kenduri atau jamuan tertentu di kampungnya keluarga Yasin merupakan tetamu utama.

Kemewahan dan kekayaan hidup Yasin dicemburui oleh rakan-rakannya mereka mula mengesyaki tindak-tanduknya. Mereka menyiasat latar belakang keluarga Yasin. Akhirnya mereka mengetahui bahawa Yasin bukanlah anak orang berada. Isterinya pula hanya mengambil upah menjahit baju. Rakan-rakan Yasin mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan diri Yasin.

“Aku bijak mengurus hartaku, sebab itulah hidup aku senang. Orang yang bijak, pasti berjaya”, begitulah jawab Yasin apabila rakan-rakannya mengajukan soalan.

Rakan-rakan Yasin menjalankan siasatan dan pengintipan. Setelah beberapa lama mereka mengetahui keadaan yang sebanarnya. Yasin ialah ketua sindiket yang membawa masuk pendatang tanpa izin ke kampungnya. Hal ini tidak diketahui oleh sesiapa termasuklah ketua kampung dan ahli keluarganya. Malahan, sikap baik hati yang ditonjolkan oleh Yasin kepada penduduk kampung sering diagung-agungkan. Rakan-rakannya tergamam dan tidak menyangka Yasin sanggup terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang negara, walhal dia seorang pegawai penguat kuasa undang-undang.

Kelicikan Yasin yang bertopengkan pegawai kastam menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakanya. Mereka berpendapat jika perkara ini diketahui umum tentulah ahli keluarga dan rakan sepejabatnya mendapat malu. Rakan-rakan Yasin mencuba menasihatinya. Mereka meminta Yasin supaya insaf dan berpaling daripada perbuatan yang terkutuk itu. Namun Yasin berlagak tenang seolah-olah dia tidak bersalah. Tiada riak bersalah pada wajahnya.

“Yasin, hentikanlah perbuatan kejimu itu. Jangan jadi seperti anjing makan muntah nya. Kasihanilah keluargamu”, nasihat rakan-rakannya.

“Ah, aku tidak bersalah! Tiada sebarang bukti yang menunjukkan aku melakukan perbuatan seperti itu. Kemewahan yang kukecapi pada hari ini merupakan hasil titik peluhku”, balas Yasin.

Nasihat yang diberikan kepada Yasin ibarat mencurah air ke daun keladi. Yasin memarahi rakan-rakannya kerana dikatakan suka menjaga tepi kain orang. Malah, Yasin mencabar rakan-rakannya agar membuktikan penglibatanya dalam kegiatan tersebut. Oleh sebab Yasin seorang yang berpangkat tinggi maka amatlah sukar bagi rakan-rakannya untuk membuktikan penglibatanya itu. Di samping itu, Yasin juga merupakan orang yang berpengaruh di kampungnya. Bagi mereka, Yasin dan keluarganya perlu dihormati disebabkan budi yang dicurahkan.

Setelah beberapa lama Yasin masih bergiat aktif dengan aktivitinya yang menyalahi undang-undang. Dia menjadi tekong untuk membawa masuk pendatang-pendatang tanpa izin dari Indonesia dan Filipina. Dia mengangkut pendatang tanpa izin dari tempat pendaratan pendatang asing di Melaka untuk dihantar kepada orang tengah. Kegiatan jenayahnya itu dilakukan pada waktu malam agar isteri, anak-anaknya dan penduduk kampung tidak dapat menghidu perbuatannya. Yasin akan membawah pendatang tanpa izin dengan menggunakan sebuah lori tangki minyak yang disewa.

Malang tidak berbau, pada suatu hari, ketika Yasin sedang ghairah menjalankan kegiatannya itu, suatu operasi sekatan jalan raya telah diadakan. Sejam kemudian sebuah lori yang disyaki telah membawa pendatang asing menghampiri sekatan jalan tersebut. Pada masa itu, Yasin mencuba memperlahankan lorinya bertukar arah. Bagaimanapun beberapa orang pegawai polis bergegas ke arah lori berkenaan. Pihak polis memeriksa lori yang dipandu oleh Yasin. Di dalam lori tersebut, polis menemui sepuluh orang pendatang asing yang menyembunyikan diri di dalam tangki minyak kosong. Semua pendatang asing itu mencuba melarikan diri, tetapi berjaya ditahan oleh pihak polis. Tangan Yasin digari dan dia dibawa ke balai polis.

Berita Yasin ditangkap oleh pihak polis telah diketahui oleh penduduk kampung dan ahli keluarganya. Mereka sangat terkejut dan tidak menyangka bahawa Yasin yang dianggap oleh mereka seperti tulang belakang kampung tersebut melakukan kegiatan haram. Yasin mengaku akan kesalahannya menjadi ketua sindiket membawa masuk pendatang asing. Dia telah dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun. Yasin akur akan hukuman yang diterimanya, bak kata bidalan “bangkai gajah dapatkah ditutup dengan nyiru?”.

Perbuatan Yasin dapat diibaratkan seperti ayam terlepas tangan bau tahi. Ahli keluarganya berasa amat malu dan sedih dengan perbuatan Yasin. Keluarga Yasin yang dahulunya sangat dihormati dan disanjung tinggi telah musnah. Masyarakat memandang serong kepada Yasin dan keluarganya. Disebabkan kesalahan tersebut, segala jasa yang pernah ditabur lenyap begitu sahaja. Maruah keluarganya telah tercemar, disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga.



10.0 SAMPEL I DAN II : KARANGAN CEMERLANG
SAMPEL I : KARANGAN CEMERLANG
Anda ingin menyertai pertandingan menulis rencana anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan majlis buku kebangsaan sempena bulan membaca kebangsaan. Tajuk yang anda pilih ialah ‘kurang membaca, menjejaskan kecemerlangan’. Tuliskan rencana anda selengkapnya. Panjang karangan mestilah melebihi 350 patah perkataan.

Kurang Membaca, Menjejaskan Kecemerlangan



Oleh: Adi Atman Putra bin Jazeri
Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996 menunjukkan peratusan orang yang benar-benar membaca (terdorong menimba ilmu) cuma 87 peratus, biarpun tahap literasi penduduk negara sudah mencapai 93 peratus dan akan mencapai matlamat 100 peratus pada tahun 2010. Kajian umum oleh Prof. Atan Long dari universiti Putra Malaysia pada tahun 1983 mendapati, minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Profesor Datuk Dr. Syed Hussain Al-Attas, Fellow Penyelidikan Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpendapat, masalah pencapaian akademik dalam kalangan pelajar Melayu adalah disebabkan oleh tidak memiliki sikap gemar membaca. Tabiat membaca untuk lulus periksa belumlah memadai. Kajian juga menunjukkan minat membaca majalah separa ilmiah dan ilmiah masih rendah. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pula mendedahkan rakyat Malaysia lokek mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli bahan bacaan bermutu yang merangsang minda. Jelas beliau lagi, pada keseluruhannya, budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia tidak boleh dibanggakan dan masih pada tahap daif. Beliau juga mengemukakan contoh bagi membuktikan pernyataan beliau, iaitu cetakan lebih 3000 naskah buku bagi satu judul tidak terjual dalam tempoh dua tahun. Ketua Pengarah Perpustkaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Zawiyah Baba mengeluh kerana Bulan Membaca sudah hampir sedekad, namun kempen Bulan Membaca masih belum mampu mengubah sikap rakyat Malaysia menjadikan budaya membaca sebagai amalan hidup. Pada tahun 2004, PNM siap merayu dan rayuan itu diterakan di kaca televisyen ialah, “Wahai ibu bapa yang dikasihi, sudahkah anda membaca bersama-sama anak-anak anda - pesanan ikhlas PNM. Membaca santapan minda”. Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, jelaslah menunjukkan masyarakat Malaysia kurang membaca. Dapatkah masyarakat yang kurang membaca ini melakarkan kecemerlangan? Dapatkah masyarakat yang ‘ibarat pahat, sekali diketuk atau ditukul barulah bergerak’ ini, mampu mencapai kecemerlangan diri?

Yüklə 269,76 Kb.

Dostları ilə paylaş:
1   2   3   4   5   6   7




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin