Al-quran membina minda saintifik



Yüklə 35,01 Kb.
tarix30.12.2018
ölçüsü35,01 Kb.
#88104


AL-QURAN MENYINGKAP

TABIR SAINS
Oleh
Dato Dr Danial bin Zainal Abidin

(M.B.Ch.B., University of Alexandria)



  • Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy (M) Sdn Bhd.

  • Pengamal Perubatan Swasta Selama 20 Tahun.

  • Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

  • Panelis Utama Rancangan Halaqah TV9, 2016-2017.

  • Penggubal Kurikulum Dirayah Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

  • Kolumnis Majalah i (Karangkraf).

  • Penulis 13 Buah Buku, 5 Daripadanya Bestseller.

  • Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI).



AL-QURAN DAN SAINS
Mukadimah
Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan Allah ke atas Nabi SAW. Ia bukan sebuah buku sains, sebaliknya merupakan wahyu Allah yang diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Melalui wahyu kita memahami secara tepat maksud Iman, Islam, Syariat dan Akhlak.
Allah mahu umat Islam mengkaji al-Quran dan tidak hanya membacanya. Allah berfirman,

“Apakah mereka tidak mahu memikirkan (tadabbur) isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datang) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (an-Nisak ayat 82)


Ketika menerangkan maksud ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, “Allah mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang mereka dari berpaling daripadanya. Allah juga mengarah mereka agar memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan.” Justeru rugilah mereka yang hanya membaca atau menghafaz al-Quran tanpa berusaha untuk memahami isi-isinya.
Keharmonian Al-Quran dan Sains
Walaupun al-Quran bukan sebuah buku sains, sebaliknya merupakan wahyu Allah yang diturunkan sebagai petunjuk, dalamnya terdapat isyarat serta kenyataan yang amat saintifik. Para saintis yang mengkaji al-Quran akan menyedari hakikat ini dan mengaguminya.
Secara dasarnya Allah mahu manusia mengkaji alam. Pada hari ini cara dan metodologi untuk mengkaji alam diistilahkan secara umum sebagai sains. Melalui sains proses kejadian alam serta fenomena berkaitan dengannya dapat disingkap.
Allah mahu isi-isi al-Quran dan penemuan saintifik tentang alam didekatkan. Bukan dipisahkan. Inilah yang Allah nyatakan dalam al-Quran,

“Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) alam dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.” (Fussilat ayat 53)


Dalam Tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “(Ayat ini bermaksud), Kami (Allah) akan tunjukkan bukti-bukti serta hujah yang akan menampakkan kebenaran al-Quran. Bukti-bukti yang akan ditunjukkan itu merupakan bukti-bukti luaran.”

Untuk mengkaji serta menyingkap rahsia di ufuk alam dan dalam diri insan sains diperlukan. Penemuan-penemuan yang terhasil tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan kepada manusia yang ragu bahawa al-Quran adalah benar. Itulah yang dimaksudkan oleh ayat ini.


Justeru, sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah: al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah satu hubungan yang harmonis.
Ayat ini mewujudkan jambatan antara sains dan al-Quran. Ia menampakkan bahawa memanfaatkan penemuan sains untuk memahami atau mentafsir al-Quran bukanlah suatu yang salah. Kenyataan Syeikh Said Hawa berhubung ayat ini amat menarik sekali.
Dalam al-Asas fit Tafsir beliau berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat ini. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang daripada Allah. Saya telah memberikan banyak contoh berhubung perkara ini dan sesiapa yang membaca kitab tafsir ini (iaitu al-Asas fit Tafsir) dia akan memahaminya secara yang lebih jelas.”
Al-Quran Kitab Mukjizat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mukjizat bermaksud, “Kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada para Nabi dan Rasul untuk membuktikan kebenaran mereka”.
Sebenarnya kalimat mukjizat berasal daripada kalimat Arab ‘ajaza yang bermaksud ‘lemah, tanpa tenaga dan tidak mampu’. Daripada ‘ajaza lahirlah kalimat mukjizat yang bermaksud ‘sesuatu yang luar biasa dan tidak mampu ditiru’.
Dalam at-Tibyan fi Ulum al-Quran oleh Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni, mukjizat didefinisikan sebagai, “Perkara yang luar biasa yang tidak mengikut hukum sebab musabab yang difahami. Ia dijadikan Allah untuk berlaku di tangan para Rasul sebagai bukti tentang kebenaran mereka.”
Ulama memutuskan, terdapat lima ciri yang menentukan sesuatu itu adalah mukjizat ataupun tidak:


  • Kejadian yang berlaku tidak mungkin dapat dilakukan oleh manusia.

  • Ia sesuatu yang luar biasa di luar hukum sebab musabab.

  • Ia digunakan Rasul sebagai saksi tentang kebenaran mereka.

  • Mukjizat berlaku sebagaimana yang dikehendaki para pencabar Nabi sekali gus melemahkan mereka.

  • Tidak ada seorang pun yang mampu menandingi mukjizat yang berlaku.

Mukjizat al-Quran menonjol di banyak sudut. Dalam at-Tibyan fi Ulum al-Quran, Syeikh Muhammad Ali as-Sabuni menyenaraikan sudut-sudut itu, antaranya, mukjizat di penjuru kehalusan bahasa, kesempurnaan syariat, khabar ghaib serta ramalan yang menjadi kenyataan, selari dengan penemuan saintifik dan begitulah seterusnya.


Mukjizat Saintifik
Alam ciptaan Allah ini tidak dijadikan dengan sia-sia. Ia juga tidak dijadikan secara semberono. Ciptaannya mempunyai sistem serta undang-undang. Dengan menggunakan konsep sains, melalui cerapan dan kajian, manusia mampu menyingkap rahsia di sebalik sistem dan undang-undang itu. Apabila penemuan yang ditemui itu dikaitkan dengan al-Quran manusia akan terkejut apabila mendapati al-Quran telah menyatakan tentangnya lama dahulu. Ketika itu ia pasti akan melahirkan ketakjuban dan kekaguman terhadap al-Quran. Antara aspek saintifik yang terdapat dalam al-Quran ialah:


  1. Alam ini pada asalnya bercantum padu (Kosmologi) – Kosmologi merupakan bidang ilmu yang membicarakan tentang kejadian alam semesta serta proses yang berkaitan dengannya. Alam semesta mempunyai permulaannya. Allah berfirman:

“Apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (ratqa) kemudian Kami pisahkan antara keduanya (fataq).” (al-Anbiya ayat 30)


Ayat ini menjelaskan tentang asal usul kejadian langit dan bumi. Ia bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya. Terdapat dua kalimat di dalam ayat ini yang perlu diberikan fokus, iaitu, ratqa dan fataq. Ratqa berasal daripada kalimat Arab rataqa yang bermaksud “patch up, sew up” yang dalam bahasa Melayu bermaksud “ditampal, dijahit.” Ia melambangkan sesuatu yang terhimpun dan melekat, dan begitulah asal usul langit dan bumi.
Fataq pula berasal daripada bahasa Arab fataqa yang bermaksud “unsew, unstitch, rip open, tear apart” yang dalam bahasa Melayu bermaksud “dibuka, dibelah, dikoyak.” Ia melambangkan sesuatu yang terbuka, terungkai dan mengembang, dan begitulah akhirnya berlaku kepada langit dan bumi.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Said bin Jubair berkata, “Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini.” Hal ini disebutkan dalam Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir.


Tafsiran oleh Imam Said bin Jubair ini yang dinyatakan lebih daripada 1,000 tahun dahulu amat mengagumkan. Berhubung dengan tafsiran ini, Syeikh Said Hawa berkata dalam al-Asas fit Tafsir, “Tafsiran yang dibuat, sebagai contohnya oleh Imam Said bin Jubair, menceritakan tentang sesuatu yang tidak diketahui melainkan baru-baru ini.” Hal ini disebabkan kenyataan ini memang selari dengan penemuan sains pada hari ini berhubung kejadian alam semesta.
Dalam bidang kosmologi, teori yang popular pada hari ini berhubung permulaan alam semesta dikenali sebagai teori Big Bang. Pernahkah kamu mendengar tentang teori ini? Mengikut laporan yang terdapat di laman web NASA, dalam segmen Big Bang Cosmology (http://map.gsfc.nasa.gov), kejadian alam bermula 12-14 bilion tahun dahulu. Alam ketika itu hanya berukuran beberapa milimeter sahaja. Sejak daripada tarikh itu ia telah mengembang sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini.
Kita tidak perlu beriman dengan teori Big Bang apatah lagi terdapat beberapa aspek tentang teori ini yang masih didebatkan. Namun para saintis rata-ratanya bersetuju tentang hakikat permulaan alam yang diutarakan oleh teori ini, iaitu, langit dan bumi pada asalnya memang bercantum padu.
Berhubung dengan ini, elok rasanya kita mengamati kenyataan yang dibuat oleh Profesor Dr. Zaghloul Ragheb Mohamed an-Najjar, seorang pakar dalam bidang geologi (Ph.D. Geology, University of Wales, UK, 1963). Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan Sunnah, di bawah naungan Majlis Tertinggi Agama Islam Mesir. Beliau berkata (di http://www.elnaggarzr.com/en/index.php), “Sama ada kita hendak menerima model Big Bang atau versi-versi yang di ubah suai, ia tidak menjadi masalah. Hal ini disebabkan ia tidak mengubah perkara pokok tentangnya, iaitu, pada asalnya langit dan bumi adalah bercantum padu. Hal ini mengagumkan kerana ketika itu (pada zaman Nabi) tidak ada seorang pun yang tahu tentang hakikat ini.”


  1. Besi dalam bumi (Geologi). Mengikut Kamus Dewan, geologi ialah bidang kaji bumi. Salah satu aspek yang dikaji ialah berkaitan asal usul besi di bumi.

Dalam surah al-Hadid Allah berbicara tentang besi dan kepentingannya. Allah berfirman:



“Dan Kami menurunkan (anzalna) besi yang terdapat padanya kekuatan yang hebat serta pelbagai manfaat bagi manusia.” (al-Hadid ayat 25)


Dalam ayat ini Allah menggunakan kalimat ‘anzalna al-hadid’ yang bermaksud ‘Kami menurunkan besi’. Dalam al-Jamik li Ahkam al-Quran, Imam Qartubi menukilkan pandangan sebahagian ulama yang mengatakan bahawa besi sebenarnya diturunkan dari langit. Antaranya ialah riwayat oleh sahabat Omar al-Khattab yang mengatakan Allah menurunkan empat perkara dari langit. Salah satunya ialah besi. Ia memberi makna, besi pada asalnya tidak ada di bumi. Allah menurunkannya dari langi, iaitu dari angkasa raya.
Kajian semasa membuktikan besi yang wujud di dunia datang dari bintang-bintang gergasi di angkasa raya. Untuk menghasilkan besi suhu yang diperlukan perlu mencecah ratusan juta darjah Selsius. Suhu tertinggi di bumi masih terlalu rendah untuk menghasilkan besi, iaitu, lebih kurang 7,000 darjah Selsius. Suhu tertinggi di matahari pula hanya mencecah lebih kurang 20 juta darjah Selsius.
Justeru,besi hanya dapat dihasilkan oleh bintang yang lebih besar daripada matahari, di mana suhunya mencecah ratusan juta darjah Selsius. Apabila besi di dalam bintang ini melebihi jumlah tertentu ia akan meledak dengan satu letupan besar yang dikenali sebagai ‘supernova’. Ledakan ini menghasilkan meteor yang mengandungi besi dan ia bertaburan di angkasa raya. Lebih kurang 4.5 bilion tahun dahulu meteor ini telah berlanggar dengan bumi dan dengan itu ‘turunlah besi ke bumi’.
Bukti-bukti tentang hakikat ini telah ditemui NASA (National Aeronautics and Space Administration, America) sebagai mana yang dilaporkan oleh Los Angeles Times bertarikh 17 Disember 1987, di bawah tajuk Supernova Explosion Tied to Origin of Heavy Metals. Pada tahun 1997 dengan pelancaran kapal angkasa Advanced Composition Explorer, maklumat yang diperoleh melaluinya menguatkan lagi hakikat ini.
Fokus Allah terhadap besi ada rahsianya. Michael J. Denton berkata dalam Nature’s Destiny, “Tidak ada logam yang lebih penting daripada besi.. Tanpa besi tidak akan ada hidupan berasaskan karbon.. Tidak akan ada atmosfera dan hidrosfera.. Tidak akan ada kuasa magnetik yang menangkis serangan radiasi dari angkasa ke bumi.. Tidak akan ada hemoglobin pembawa oksigen dalam darah manusia.”
Rumusan yang dibuat oleh Profesor Dr. Zaghloul an-Najjar, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan Sunnah (Mesir), amat menarik sekali. Dalam tulisan beliau bertajuk Brought Forth Iron Into the Earth (http://www.elnaggarzr.com/en/main.php?id=69), beliau berkata, “Kefahaman bahawa besi di dalam bumi di turunkan dari langit (angkasa raya) baru difahami beberapa dekad yang lalu. Namun al-Quran telah menyatakan tentangnya lebih daripada 1,400 tahun yang lalu. Ia jelas menunjukkan Nabi Muhammad SAW menerima wahyu daripada Allah dan al-Quran sememangnya mukjizat.”


  1. Ombak di dalam lautan (Oseanografi). Dalam Kamus Dewan oseanografi didefinisikan sebagai, “Ilmu tentang segala aspek yang berkaitan dengan lautan.” Dalam al-Quran Allah berfirman:

Maksudnya, “(Orang-orang kafir itu keadaannya) umpama orang yang di dalam gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula terdapat awan tebal. (Demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis. Apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia hampir tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak mendapat cahaya daripada Allah maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (menuju kebenaran).” (an-Nur ayat 40)


Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa laut dalam mempunyai dua gelombang. Penemuan semasa mengesahkan hakikat ini. Hal ini disebabkan laut dalam mempunyai dua lapisan air yang berbeza ketumpatannya (density). Air di dalam laut mempunyai ketumpatan yang lebih tinggi berbanding air di permukaannya. Maka lahirlah dua gelombang, iaitu, gelombang dalam (internal waves) dan gelombang permukaan (surface waves). Fakta ini dilaporkan M. Grant Gross dalam bukunya Oceanography, a View Of Earth.
Bagaimana Nabi, yang hidup di padang pasir, boleh mengetahui tentang rahsia lautan yang hanya difahami pada abad dua puluh? Justeru, berhubung dengan ayat ini Said Hawa merumuskan, “Ombak bertindih ombak mengisyaratkan bahawa terdapat dua gelombang di laut dalam. Ini merupakan kenyataan mukjizat.”
Berhubung ayat 40 dalam surah an-Nur ini juga, di laman sesawang Suruhanjaya Antarabangsa Mukjizat Saintifik di dalam al-Quran dan Sunnah (di http://www.eajaz.org/eajaz/), telah dinyatakan, “Kenyataan saintifik yang dinyatakan al-Quran 1,400 tahun dahulu baru difahami pada hari ini oleh para saintis. Siapakah yang memaklumkan hal ini kepada Nabi jika tidak Allah yang Maha Mengetahui serta Maha Agung?”
Sains Bukan Segala-galanya
Seperti yang disebutkan sebelum ini, memanfaatkan penemuan sains yang sahih untuk memahami ayat-ayat al-Quran tidaklah salah. Namun sains ada keterbatasannya. Tidak kesemua ayat Al-Quran serta perkara berkaitan agama dapat ditafsirkan dan dikaitkan dengan sains. Antaranya:


  • Alam ghaib. Dalam Islam, perkara ghaib wajib diimani. Keimanan kepadanya mestilah berdasarkan dalil Al-Quran dan Sunah dan bukan berdasarkan penemuan itu dan ini oleh manusia.

Sebagai contoh, berhubung dengan roh, Allah berfirman, “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan tentangnya melainkan sedikit sahaja.” (al-Israk ayat 85)


Justeru, hakikat roh yang sebenarnya tidak mungkin dapat diketahui oleh manusia termasuk saintis, walaupun kajian yang dilakukan tentangnya menggunakan alat-alat teknologi yang canggih. Demikianlah juga dengan perkara-perkara ghaib yang lain. Kerahsiaannya tidak dapat dirungkaikan oleh sains.


  • Perkara yang hukum hakamnya adalah qath’i (pasti). Hukum hakam yang qath’i bermaksud hukum hakam yang pasti berdasarkan dalil-dalil kukuh yang disepakati semua ulama. Ia merupakan hukum yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa pun. Antara hukum dalam kategori ini ialah tentang haramnya arak dan daging khinzir. Hukum tentang pengharamannya ditentukan oleh Al-Quran dan Sunnah dan bukan oleh kajian sains.

Jika sains menemui sesuatu yang kononnya baik tentang arak, ia tidak boleh digunakan untuk menghalalkan arak. Demikian juga, jika sains menemui cara untuk membunuh cacing serta kuman tertentu yang terdapat dalam badan khinzir, hukum tentang haramnya khinzir tetap tidak berubah. Sains ada keterbatasannya sebaliknya ilmu Allah mengatasi segala-galanya.




  • Ibadah yang khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji. Ia diwajibkan Allah berdasarkan dalil Al-Quran. Umat Islam melaksanakan ibadah-ibadah ini sebagai tanggungjawab pengabdian mereka kepada Allah. Ia bukan disebabkan sesuatu rahsia atau hikmah yang ditemui sains atau yang seumpamanya.

Nabi bersabda, “Apabila aku mencegah kamu daripada melakukan sesuatu maka jauhilah ia, dan apabila aku mengarahkan agar kamu melakukan sesuatu maka datangkanlah ia sedaya upayamu.” (Bukhari dan Muslim)



Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B, Alexandria)
Kataloq: wp-content -> uploads -> 2017

Yüklə 35,01 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2022
rəhbərliyinə müraciət

    Ana səhifə