1116. Dari Zuhari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Apabila kamu diundang orang makan, padahal kamu puasa, jawablah: "Aku puasa!"
1117. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Setiap amal anak Adam teruntuk baginya kecuali puasa; puasa itu adalah untukku dan aku akan memberinya pahala. Puasa itu ialah perisai. Apabila kamu puasa janganlah kamu rosak puasamu itu dengan sanggama, dan jangan menghina orang. Apabila kamu yang dihina atau dipukul orang, maka katakanlah: "Aku puasa." Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada bau kasturi. Dan bagi orang puasa ada dua kegembiraan. Apabila dia berbuka dia gembira dengan bukaannya dan apabila dia menemui Tuhannya (meninggal) dia gembira dengan puasanya."1118. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Setiap amal anak Adam dilipatgandakan pahalanya. Satu macam kebaikan diberi pahala sepuluh sampai tujuh ratus kali. Allah Azza wa Jalla berfirman: "Selain puasa kerana puasa itu untuk-Ku. Aku akan memberi pahala bagi orang yang puasa, kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya keranaKu, Dan bagi orang yang puasa ada dua macam kegembiraan: pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang puasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kesturi."
1119. Dari Sahal bin Sa'ad r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Di dalam syurga ada sebuah pintu yang disebut Ar Rayyan. Orang-orang yang diperkenankan masuk ke syurga melalui pintu itu pada hari kiamat kelai hanyalah orang-orang puasa, sedangkan yang lainnya tidak diperkenankan. Mereka akan dipanggil, "Hai, orang puasa! Maka masuklah mereka melalui pintu itu. Setelah orang yang terakhir masuk, pintu itu segera ditutup dan dikunci, sehingga yang lain-lain tidak dapat lagi melaluinya."1120. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejuah 70000 musim."
1121. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, 'Aisyah! Adakah engkau sedia makanan?" Jawab 'Aisyah, "Tidak, ya Rasulullah!" Sabda beliau, "Kalau begitu aku puasa." Kemudian Rasulullah saw. pergi, lalu ada orang datang memberikan makanan untuk kami. Setelah Rasulullah saw. kembali, kukatakan kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Tadi ada orang datang memberi kita makanan dan kusimpan untuk anda." Tanya Rasulullah saw., "Makanan apa?" Jawab ku, "Kuih hais." Sabda beliau, "Bawalah kemari!" Kuih itu kusajikan untuk beliau, lalu beliau makan.
1122. Dari 'Aisyah, Ummul Mukminin r.a., katanya: "Pada suatu hari Nabi saw. masuk ke rumahku, lalu dia bertanya: Adakah engkau sedia makanan?" Jawab ku, "Tidak!" Sabda beliau, "Kebetulan aku puasa." Kemudian pada hari yang lain beliau datang pula, lalu kukatakan kepada beliau, "Ya, Rasulullah! Kita diberi orang kuih hais." Sabda beliau, "Bawalah kemari. Sesungguhnya dari pagi aku puasa." Lalu dimakannya kuih itu."
1123. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang makan minum kerana lupa sedangkan dia puasa, maka hendaklah diteruskannya puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum."
1124. Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a., katanya dia pernah bertanya kepada 'Aisyah r.a. tentang puasa Nabi
saw. Jawab' Aisyah, "Beliau puasa beberapa hari sehingga kami mengira bahwa beliau akan puasa terus. Dan beliau berbuka beberapa hari sehingga kami mengira bahwa beliau akan berbuka terus. Sejak beliau tiba di Madinah, aku tidak pernah melihat beliau puasa sebulan penuh, kecuali bulan Ramadhan."1125. Dari 'Aisyah,Ummul Mukminin r.a., katanya: "Rasulullah saw. sering puasa sehinga kami mengira bahwa beliau akan puasa seterusnya. Dan beliau sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat beliau puasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadhan. Dan aku juga tidak pernah melihat beliau puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'ban."
1126. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun,
lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban. Beliau bersabda, "Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit." 1127. Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya dia dilaporkan orang kepada Rasulullah saw. bahwa dia pernah berkata: "Sesungguhnya aku akan solat sepanjang
malam dan puasa setiap hari selama hidupku." Lalu Rasulullah saw. bertanya kepada ku, "Betulkah engkau berkata demikian?" Jawab ku, "Benar, ya Rasulullah!" Maka bersabda Rasulullah saw., "Engkau tidak akan sanggup melakukannya. Puasalah satu hari, esok jangan. Tidurlah lebih dahulu sebelum solat malam, sesudah itu baru bangun. Dan puasalah tiga hari dalam sebulan, kerana tiap-tiap satu kebajikan akan diberi ganjaran sepuluh ganda, dan itulah contoh puasa sepanjang masa." Jawab Abdullah, "Sesunguhnya aku sanggup lebih dari itu." Jawab Rasulullah saw., "Kalau begitu puasalah satu hari, berbuka dua hari." Kata Abdullah, "Aku sanggup lebih dari itu, ya Rasulullah!" Jawab Rasulullah saw., "Puasalah satu hari, berbuka satu hari. Yang demikian itu adalah puasa Nabi Daud 'alaihissalam. Dan itulah puasa yang paling seimbang." Kata Abdullah, "Aku sanggup lebih dari itu." Jawab Rasulullah saw., "Tidak ada lagi yang lebih utama dari itu." Setelah Abdullah berumur lanjut, dia berkata: "Kalaulah kuterima puasa tiga hari seperti yang dianjurkan Rasulullah saw. kepada ku, tentulah akan lebih kusukai daripada keluarga dan hartaku."
1128. Dari Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya: "Aku puasa sepanjang masa dan menamatkan Qur'an setiap malam. Mungkin perbuatanku itu dilaporkan orang kepada Nabi saw. atau mungkin juga beliau menyuruh orang memanggil ku supaya aku datang kepada beliau." Setelah beliau ku datangi, maka beliau bertanya kepada ku, "Betulkah apa yang diceritakan orang kepada ku bahwa engkau puasa sepanjang masa dan menamatkan bacaan Qur'an sepanjang malam?" Jawab ku, "Benar, ya Nabiyallah. Tidak ada maksudku berbuat demikian melainkan hanya untuk kebaikan." Sabda Rasulullah saw., "Sesungguhnya sudah cukup jika engkau puasa tiga hari dalam sebulan." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Sesungguhnya aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Engkau punya kewajiban terhadap isteri mu, terhadap tamu-tamu mu, dan terhadap diri mu sendiri. Kerana itu puasalah seperti puasa Nabi Daud r.a., kerana beliau adalah orang yang paling taat beribadat." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Bagaimanakah puasa Nabi Daud itu?" Jawab beliau, "Dia puasa sehari dan berbuka sehari." Dan sabda beliau selanjutnya, "Dan tamatkanlah Qur'an sekali sebulan." Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah dua puluh hari sekali!" Jawab ku, "Ya, Nabiyallah! Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah sepuluh hari sekali!" Jawab ku, "Aku sanggup lebih dari itu." Sabda beliau, "Tamatkanlah sekali seminggu dan jangan lebih dari itu kerana engkau punya kewajiban terhadap isteri mu, terhadap tamu-tamu mu, dan terhadap diri mu sendiri." Aku merasa keberatan. Lalu bersabda Nabi saw. kepada ku, "Engkau belum tahu mudah-mudahan engkau panjang umur!" Kata Abdullah, "Ketika aku telah mencapai usia lanjut seperti yang dikatakan Rasulullah saw., aku menyesal kenapa tidak kuamalkan kelapangan yang diberikan Nabiyallah saw."
1129. Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud. Solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud a.s. Dia tidur seperdua malam, bangun sepertiganya dan tidur lagi seperenamnya. Dan beliau puasa satu hari, berbuka satu hari."
1130. Dari Mu'adzah Al 'Adawiyah r.a., dia bertanya kepada 'Aisyah isteri Rasulullah saw., katanya :
"Betulkah Rasulullah saw. puasa tiga hari setiap bulan?" Jawab 'Aisyah, "Ya, betul" Aku bertanya pula kepadanya, "Hari apa sajakah beliau puasa tiap-tiap bulan itu?" Jawab 'Aisyah r.a., "Beliau tidak menentukan hari apa beliau puasa setiap bulan itu."
1131. Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab beliau. "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang." Kemudian beliau ditanya pula tentang puasa hari 'Asyura. Jawab beliau, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu." 1132. Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang puasa hari Isnin. Jawab beliau, "Hari Isnin itu hari kelahiranku, dan hari Isnin itu Qur'an diturunkan kepada ku."
1133. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa bulan Muharram, dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam."
1134. Dari Abu Ayyub Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang puasa bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.'"
1135. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya beberapa orang sahabat Nabi saw. bermimpi melihat malam qadar dalam tidur mereka pada tujuh hari yang akhir bulan Ramadhan. Maka bersabda Rasulullah saw., "Aku juga bermimpi seperti mimpimu itu, melihat malam qadar jatuh bertepatan pada tujuh yang akhir bulan Ramadhan. Maka siapa yang mencarinya, carilah di tujuh yang akhir itu."
1136. Dari Salim, dari bapanya r.a., katanya seorang lelaki bermimpi bahwa malam qadar terdapat pada malam kedua puluh tujuh bulan Ramadhan. Maka bersabda Nabi saw., "Aku bermimpi seperti mimpimu, iaitu pada sepuluh yang akhir. Kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil."
1137. Dari Salim bin 'Abdullah bin 'Amru r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda perihal malam qadar. Sabdanya: "Beberapa orang di antara kamu telah bermimpi bahwa malam qadar ita terdapat pada tujuh malam yang awal, sedangkan yang lain bermimpi terdapat pada tujuh malam yang akhir dari Ramadhan. Maka carilah dia pada sepuluh yang akhir."1138. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Carilah malam qadar itu pada sepuluh malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang masih tinggal."
1139. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. i'tikaf pada sepuluh awal bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkannya pada sepuluh pertengahan, dalam sebuah gobah kecil yang pintunya ditutup dengan tikar. Lalu beliau ambil tikar itu dan diletakkannya di sudut gobah. Kemudian diulurkannya kepalanya seraya berujar memanggil orang banyak.
Maka mendekatlah mereka kepada beliau, lalu beliau bersabda: "Aku telah i'tikaf sejak sepuluh awal bulan
untuk mendapatkan Malam qadar, kemudian sepuluh yang pertengahan. Kemudian dikatakan kepada ku bahwa malam qadar itu terdapat pada sepuluh yang akhir. Maka siapa yang suka i'tikaf, silakan!" Lalu orang banyak i'tikaf bersama-sama dengan beliau. Sabda beliau pula, "Aku bermimpi melihat malam qadar di malam yang ganjil, di mana pagi-pagi aku sujud di tanah basah. Memang, pagi-pagi malam kedua puluh satu beliau solat Subuh sedangkan hari hujan sehingga masjid tergenang air. Aku melihat tanah dan air. Setelah selesai solat Subuh, Nabi saw. keluar sedangkan di kening dan di hidungnya ada tanah basah. Malam itu ialah malam kedua puluh satu dari sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."
1140. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Bahwasanya Nabi saw. i'tikaf pada tiap-tiap sepuluh yang akhir bulan Ramadhan."
1141. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Sesungguhnya Nabi saw. i'tikaf pada tiap-tiap sepuluh yang akhir bulan Ramadhan hingga beliau wafat. Kemudian para isteri beliau meneruskan i'tikaf seperti itu sesudah beliau wafat."
1142. Dari 'Aisyah r.a., katanya : "Apabila Rasulullah saw. hendak i'tikaf pada sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, beliau solat Subuh lebih dahulu, sesudah itu barulah beliau masuk ke tempatnya i'tikaf, iaitu
sebuah bilik kecil yang dibuatkan khusus untuknya. Beliau bermaksud hendak i'tikaf selama sepuluh hari yang akhir bulan Ramadhan. Tetapi Zainab minta dibuatkan pula bilik kecil untuknya, begitu pula para isteri beliau yang lain, maka dibuatkan orang semuanya. Ketika Rasulullah saw. solat Subuh, dilihatnya banyak bilik-bilik kecil berjejer lalu beliau bersabda: "Kebajikan macam manakah yang kalian inginkan?" Lalu beliau perintahkan supaya bilik-bilik itu dibongkar semuanya. Sedangkan beliau mengurungkan i'tikafnya pada Ramadhan itu dan menggantinya dengan i'tikaf pada sepuluh awal bulan Syawal."
1143. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Apabila telah masuk sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, Nabi saw. lebih giat beribadat malam-malamnya; beliau bangunkan keluarganya, beliau lebih tekun, dan beliau kencangkan ikat sarungnya (menjauhi isterinya untuk lebih banyak mendekati Allah swt.)"
1144. Dari 'Aisyah r.a., katanya:"Pada sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, Nabi saw. lebih giat beribadat melebihi hari-hari lainnya."1145. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku tidak pernah melihat Rasulullah saw. puasa pada sepuluh Zulhijjah, sekali-kali tidak."
1146. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw. perihal pakaian ihram. Maka bersabda beliau, "Tidak boleh pakai kemeja, serban, celana, peci dan sepatu. Kecuali bagi orang yang tidak punya terompah, dia boleh memakai sepatu pendek yang tidak menutupi kedua mata kaki. Dan tidak boleh memakai pakaian yang dicelup dengan za'faran dan wars."
1147. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah berkhutbah, sabdanya: "Orang yang ihram boleh pakai celana apabila dia tidak punya izar (sarung); dan boleh pakai sepatu pendek apabila dia tidak punya terompah."1148. Dari Ya'la bin Umayyah, dari bapanya r.a., katanya: "Seorang lelaki mendatangi Rasulullah saw. di Ja'ranah, ketika beliau sedang umrah. Janggut dan rambut lelaki itu dicatnya kuning (pakai pacar) dan dia memakai jubah. Lalu dia bertanya kepada Rasulullah saw., "Bolehkah aku umrah dalam keadaan dan pakaianku seperti sekarang?" Jawab Rasulullah saw., "Tanggalkan jubahmu, cuci cat janggut dan rambutmu. Lalu apa yang diperbuat dalam haji lakukan pula dalam umrah."
1149. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. menetapkan miqat (tempat memulai ihram) bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam di Juhfah, bagi penduduk Nejed di Qarnalmanazil, dan bagi penduduk Yaman, Yalamlam. Tempat-tempat itu berlaku pula bagi orang-orang yang bukan penduduk negeri-negeri tersebut, tetapi dia bermaksud menunaikan ibadah haji dan umrah melalui tempat-tempat itu bagi orang yang lebih dekat ke Mekah dari tempat-tempat tersebut atau bagi penduduk Mekah sendiri, miqatnya ialah di mana mereka berada."
1150. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Bahwasanya talbiyah Rasulullah saw. ialah: "Labbaika Allahuma labbaika. Labbaika la syarika laka labbaika. Innalhamda wan ni'mata laka, wal mulka la syarika laka."1151. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Ketika Rasulullah hendak berangkat, dan telah siap di atas kenderaannya yang berdiri di samping masjid Zulhulaifah, beliau mengucapkan talbiyah seperti ini: "Labbaika Allahumma labbaika. Labbaika la syarika laka labbaika. Innalhamda wan ni'mata laka, wal mulka la syarika laka."1152. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Sebelum berangkat dari Zulhulaifah, lebih dahulu Rasulullah saw. solat dua raka'at. Ketika beliau telah siap di atas kenderaannya yang berdiri di samping masjid Zulhulaifah, beliau membaca talbiyah seperti kalimat di atas."
1153. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya : "Rasulullah saw. bermalam di Zulhulaifah, di mana beliau memulai ihram dan beliau solat di masjidnya."
1154. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku pernah memakaikan harum-haruman ke baju ihram Rasulullah saw. tatkala beliau hendak berihram dan sesudah tahallul sebelum thawaf di Baitullah." 1155. Dari 'Aisyah r.a.,katanya: "Aku pernah memakaikan harum-haruman Zarirah (sejenis harum-haruman dari India) dengan tangan ku kepada Rasulullah saw. untuk tahallul dan ihram ketika haji wada'."
1156. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Kupakaikan kepada Rasulullah saw. harum-haruman terbaik yang ada pada ku sebelum ihram, kemudian beliau ihram."
1157. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku seolah-olah masih melihat kemilau harum-haruman di kepala Rasulullah saw. ketika beliau sedang membaca talbiyah."
1158. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. hendak melakukan ihram, beliau memakai harum-haruman terbaik yang ada pada kami, sehingga kelihatan olehku kemilau minyak di rambut dan janggut beliau sesudah itu."
1159. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ku pakaikan harum-haruman kepada Nabi saw. sebelum beliau ihram pada hari Nahar, dan sebelum thawaf di Baitullah dengan harum-haruman mengandung kesturi."1160. Dari 'Aisyah r.a., katanya "Kupakaikan harum-haruman kepada Rasulullah saw. sesudah itu beliau berkeliling kepada para isterinya, kemudian beliau ihram dengan menyebarkan bau harum."
1161. Dari Ash Sha'bi bin Jatstsamah Al Laitsi r.a., katanya dia memberikan daging keldai liar kepada Rasulullah saw. ketika beliau berada di Abwa' atau di Waddan, lalu pemberian itu ditolak oleh beliau. Ketika Rasulullah saw. melihat wajahnya agak kecewa, maka bersabda beliau, "Kami harus menolak pemberianmu itu kerana kami sedang ihram."
1162. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ash Sha'bi bin Jatstsamah menghadiahkan daging himar liar kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang ihram, lalu ditolak oleh beliau seraya bersabda: "Kalaulah kami tidak sedang ihram, nescaya pemberianmu itu kami terima."
1163. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Zaid bin Arqam datang, lalu dia ditanya oleh 'Abdullah bin 'Abbas tentang daging buruan yang dihadiahkan orang kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang ihram. Jawab Zaid, "Pemberian itu ditolak oleh beliau dengan ucapannya: Kami tidak boleh memakannya ketika kami sedang ihram."
1164. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Pada suatu ketika kami berpergian bersama-sama Rasulullah saw. Setelah sampai di Qahah sebagian kami ada yang ihram dan ada pula yang tidak ihram. Sementara itu aku melihat kawan-kawanku sedang memperhatikan sesuatu, lalu aku ikut pula melihatnya bersama-sama dengan
mereka. Kiranya seekor himar liar. Aku segera memasang pelana kuda ku dan ku ambil lembing ku, lalu ku naiki kuda ku. Tetapi sayang cemetiku jatuh. Aku minta tolong kepada kawan-kawan ku untuk mengambilkannya, sedangkan mereka orang-orang yang ihram. Jawab mereka, "Kami tidak dapat menolongmu sedikit jua pun." Lalu aku turun untuk mengambilnya sendiri. Sesudah itu ku naiki kudaku kembali dan kukejar himar itu. Ku dapati dia sedang berada di belakang gundukan pasir, lalu ku tusuk lambungnya dengan lembingku, dan dagingnya ku bawakan untuk kawan-kawan ku. Setengah mereka mengatakan boleh memakan daging itu dan yang setengah lagi mengatakan tidak boleh. Sedangkan Nabi saw. telah dahulu dari kami. Lalu ku pacu kuda ku sehingga beliau tersusul oleh ku. Beliau bersabda, "Halal, makanlah! "1165. Dari 'Abdullah bin Abu Qatadah, dari bapanya r.a., dia menceritakan bahwa mereka (para sahabat) bepergian bersama-sama Rasulullah saw., padahal mereka sedang ihram, tetapi Abu Qatadah tidak. Lalu diceritakannya cerita seperti di atas. Dia menambahkan bahwa Rasulullah saw. bertanya, "Adakah yang kamu bawa kemari?" Jawab mereka, "Ada, kakinya." Rasulullah saw. mengambil dan memakannya.
1166. Dari 'Aisyah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Ada lima macam binatang berbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram maupun di dalam tanah haram, iaitu: ular, gagak, tikus, anjing gila, dan helang."
1167. Dari Salim r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., sabdanya: "Ada lima macam binatang berbahaya, tidak berdosa membunuhnya walau di tanah haram sekalipun ketika ihram, iaitu: tikus, kala jengking, gagak, helang, dan anjing gila."
1168. Dari Zaid Ibnu Jubair r.a., katanya ada seorang lelaki bertanya kepada Ibnu 'Umar, tanyanya: "Binatang apa sajakah yang boleh dibunuh ketika sedang ihram?" Jawab Ibnu 'Umar, "Salah seorang isteri Rasulullah saw. memerintahkan supaya membunuh anjing gila, tikus, kala jengking, helang, gagak, dan ular, walau dalam solat sekalipun."
1169. Dari Ka'ab bin 'Ujrah r.a., katanya: "Pada suatu waktu ketika dia sedang ihram, Rasulullah saw. berdiri di dekatnya, sedangkan kutu berjatuhan dari kepalanya." Rasulullah saw. bertanya, "Apakah kutumu itu tidak mengganggumu?" Jawab ku, "Benar! Ya, Rasulullah!" Sabda beliau, "Cukurlah rambutmu!" Kata Ka'ab, "Ketika itu turunlah ayat: Jika ada di antara kamu yang sakit, atau mendapat gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur), maka wajiblah ia membayar denda, iaitu berpuasa atau bersedekah atau berkurban " (Al: Baqarah: 136). Maka bersabda Rasulullah saw. kepada ku, "Puasalah kamu tiga hari, atau bersedekah satu faraq (tiga sha' atau lebih kurang 10 liter), bagi-bagikan kepada enam orang miskin, atau menyembelih haiwan. Kerjakanlah mana yang mudah bagimu."
1170. Dari Ka'ab bin 'Ujrah r.a., katanya dia bertemu dengan Rasulullah saw. pada masa berlangsungnya perjanjian Hudaibiyah, lalu beliau bertanya, "Apakah kutu kepalamu itu tidak mengganggumu?" Jawab Ka'ab, "Benar, ya Rasulullah?" Bersabda Nabi saw., "Cukurlah rambutmu, kemudian bayar denda, iaitu menyembelih seekor kambing sebagai kurban, atau puasa tiga hari, atau memberi makan enam orang miskin dengan tiga sha' tamar."
1171. Dari Ka'ab bin 'Ujrah r.a., katanya dia pergi haji bersama-sama dengan Nabi saw., sedangkan kepala dan janggutnya penuh kutu. Hal itu disampaikan orang kepada Nabi saw., lalu beliau memerintahkan supaya Ka'ab datang kepadanya. Kemudian beliau panggil tukang cukur, maka di suruhnya cukur kepala Ka'ab. Kemudian Rasulullah saw. bertanya, "Sanggupkah engkau berkurban?" Jawab Ka'ab, "Tidak!" Lalu diperintahkannya puasa tiga hari, atau memberi makan enam orang miskin, satu sha' setiap dua orang. Allah menurunkan ayat khusus berkenaan dengan itu: "Jika ada di antara kamu yang sakit, atau dia mendapat gangguan di kepalanya, (Al Baqarah : 196). Kemudian ayat itu ditujukan kepada segenap kaum Muslimin.
1172. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya Nabi saw. pernah berbekam padahal beliau sedang ihram.
1173. Dari Ibnu BUhainah r.a., katanya: "Nabi saw. pernah berbekam di tengah-tengah kepalanya dalam perjalanan ke Makkah, padahal beliau sedang ihram."
1174. Dari Nubaihi bin Wahab r.a. katanya: "Kami naik haji bersama-sama dengan Aban bin 'Usman. Setelah sampai di Malal. 'Umar bin 'Ubaidillah sakit kedua matanya, dan sampai di Rauha' matanya tambah sakit. Lalu ditanyakannya ubatnya kepada Aban bin 'Usman. Aban menyarankan supaya mengubatinya dengan daun Sabir, kerana dia ingat bahwa 'Usman r.a., pernah mengabarkan dari Rasulullah saw. perihal seorang lelaki yang sakit mata ketika ihram, lalu diubatinya dengan daun Sabir.
1175. Dari Abdullah bin 'Abbas dan Miswar bin Makhramah r.a., keduanya berselisih pendapat di Abwa' tentang membasuh kepala ketika ihram. Kata 'Abdullah bin 'Abbas, boleh membasuh kepala ketika ihram.
Kata Miswar tidak boleh. Kerana itu Ibnu 'Abbas menyuruh ku kepada Abu Ayyub Al Anshari menanyakan hukum masalah itu. Kudapati Abu Ayyub sedang mandi bertutupkan sehelai kain yang direntangkannya
antara dua tiang. Aku memberi salam kepadanya, lalu dia menyahut, "Siapa itu? Jawab ku, "Aku, 'Abdullah bin
Hunain, disuruh Abdullah bin 'Abbas menanyakan kepada anda perihal membasuh kepala ketika ihram, bagaimanakah Rasulullah saw. melakukannya?" Abu Ayyub lalu merendahkan kain tabir, sehingga kelihatan kepalanya. Kemudian disuruhnya orang menyiram kepalanya, lalu dia menggosok kepalanya dengan kedua tangannya ke muka dan ke belakang. Kemudian katanya, "Begitulah kulihat diperbuat Rasulullah saw."
1176. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya, "Seorang lelaki jatuh dari unta ketika dia ihram lalu patah lehernya dan meninggal. Maka bersabda Rasulullah saw., "Mandikan dia dengan air yang dicampur daun Sidir (bidara), kemudian kafan dengan kedua kain ihramnya, dan jangan ditutup kepalanya; kerana sesungguhnya Allah akan membangkitkannya kelak di hari kiamat dalam keadaan membaca talbiyah (sedang mengerjakan haji)."
Dostları ilə paylaş: |