Sifat2: (Abd Hadi)



Yüklə 68,68 Kb.
tarix06.03.2018
ölçüsü68,68 Kb.
#44607

CIRI-CIRI PENDAKWAH WANITA YANG BERJAYA

Oleh:

Ustazah Ros Izanuri binti Jamaludin

http://mamafarhah.wordpress.com

MUQADDIMAH
Shaikh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni1 menulis: “Seorang pendakwah harus ramah dan bersahabat dengan manusi dengan cara memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka. Tugas pendakwah tidak hanya menasihati mereka dengan perkataan, atau menyampaikan pidato serta peringatan, tetapi tugas mereka adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasul kita Muhammad SAW yang begitu ramah, mesra bersahabat, dan kadang-kadang memberikan hadiah kepada mereka atau menziarahi mereka dan sentiasa tidak pernah keberatan untuk menjemput mereka.”
Petikan di atas menghuraikan salah satu sifat pendakwah. Keazaman kita untuk menjadi pendakwah yang tulen perlu disertai dengan tekad untuk membaiki diri secara berterusan. Kualiti pendakwah perlu seiring dengan kualiti ‘produk’ yang dipasarkannya iaitu ISLAM. Sebagaimana hebatnya Islam, begitulah kehebatan yang patut ada pada pendakwah.
Kita tidak mahu, pendakwah yang sepatutnya menjunjung agama Allah akhirnya menjadi fitnah kepada Islam. Kita amat gerun jika gelaran ‘orang dakwah’ digambarkan dengan persepsi hodoh dan negatif. Apa yang kita hasratkan ialah untuk mewujudkan satu tanggapan umum bahawa manusia yang dikatakan ‘pendakwah’ itu adalah manusia yang boleh dipercayai, pandai berkawan, boleh jadi contoh, berjaya dalam bidang yang diceburi dan unggul peribadi.
InsyaAllah, dalam catatan kertas kerja ini, penulis akan menerangkan beberapa ciri-ciri pendakwah yang patut dimiliki oleh setiap pendakwah.
KEPERLUAN PENDAKWAH WANITA
Dakwah merupakan satu tanggungjawab yang dipikul oleh setiap insan yang beriman. Ia adalah kerja asasi para Rasul dan dipanjangkan kepada umat Muhammad (SAW) sebagai satu tugas yang tidak boleh dielakkan. Dr Abdul Karim Zaidan2 menegaskan bahawa tugas dakwah tidak dikhususkan kepada para ulama sahaja, atau golongan yang digelar sebagai ‘orang agama’, malah ia adalah kewajipan buat semua.
Golongan wanita merupakan kelompok penting yang perlu memikul amanah dakwah. Secara nalurinya kaum hawa mudah didekati oleh kaum sejenis dengannya. Batasan pergaulan menurut syariat tentunya mengehadkan peranan pendakwah lelaki buat kaum wanita. Maka, di sinilah letaknya peranan besar untuk melaksanakan tugas suci ini.
Tambahan pula wanita yang mempunyai sifat semulajadi sebagai pendidik sekurang-kurangnya dalam institusi keluarga, menjadi nilai tambah kepada usaha melahirkan seramai mungkin para pendakwah wanita. Malah keboleh wanita sebagai pendidik terserlah dewasa ini dengan ramainya wanita mendominasi bidang pendidikan berbanding lelaki. Kelebihan ini sepatutnya menjadi pendorong untuk setiap wanita bagi melibatkan diri dalam dunia dakwah dalam skop yang lebih luas dan melalui wadah yang lebih besar.
Realiti zaman ini yang melebarkan peranan dan kedudukan wanita menuntut kita untuk melakukan pecutan bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti pendakwah wanita. Hari ini wanita ditonjolkan untuk memimpin, maka sepatutnya wanita yang berjiwa pendakwahlah yang mengisi posisi kepimpinan itu. Jika bilangan pendakwah wanita hanya boleh dibilang dengan jari, dan kualitinya pula tumpul, maka posisi itu akan dipenuhi oleh golongan jahil, jahat atau pendakyah sesat.
Ruang lingkup pendakwah wanita adalah luas. Dakwah boleh dilakukan sama ada secara lisan, tulisan, atau melalui aktiviti yang dilakukan secara berjamaah. Seorang yang menguruskan pembesar suara dalam program dakwah, misalnya juga dianggap pendakwah. Berikut adalah beberapa contoh posisi yang boleh sertai sebagai usaha pendakwah wanita:

  1. berdakwah dalam keluarga sebagai ibu atau anak atau adik beradik

  2. berdakwah secara fardhiyah kepada sasaran masyarakat kejiranan

  3. berdakwah secara jamaie dengan jiran-jiran melalui jawatankuasa surau, harakah Islam, atau persatuan penduduk.

  4. berdakwah kepada rakan-rakan tempat kerja

  5. berdakwah melalui medium IT menggunakan laman web, blog, emel, SMS dan lain-lain.

  6. Berdakwah melalui gerakerja organisasi dakwah atau harakah Islam.

  7. Berdakwah melalui platform hobi seperti menjahit, memasak dan lain-lain.

  8. Berdakwah melalui rangkaian perniagaan



MENEROKA KEJAYAAN DAKWAH
Secara individunya, kejayaan dakwah diukur dengan penerimaan amalannya di sisi Allah. Allah berhak untuk memberikan pahala dakwah sebayak mana yang dia kehendaki. Namun para pendakwah boleh berikhtiar untuk mencapai sebanyak mungkin pahala dakwah berasaskan keikhlasan, kualiti dan kuantiti dalam dakwah, serta tidak mengabaikan fiqh awlawiyat (prinsip keutamaan).
Sejara jamaienya, kejayaan dakwah boleh diukur melalui peningkatan amalan Islam diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Kejayaan dakwah ini tidak akan tercapai melainkan jika para pendakwah mempunyai kualiti yang hebat sebagaimana yang dimiliki oleh generasi awalan yang telah membuktikan keagungan Islam di mata dunia.
CIRI-CIRI PENDAKWAH
Pertama: Memiliki Iman yang mantap
Iman dan taqwa adalah syarat asasi pendakwah. Tugas utama pendakwah untuk mengajak manusia kepada iman. Maka, adalah mustahil pendakwah dapat melaksanakan tugas itu tanpa iman dan taqwa. Pendakwa bukan sahaja perlu menjadi orang yang bertaqwa, bahkan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan ketaqwaannya kepada Allah secara berterusan.
Pendakwah tanpa iman akan menjadi lebih buruk daripada bukan pandakwah tanpa iman. Mereka ibarat ‘ulama jahat yang pandai menghias bicara tetapi kontang jiwanya. Mereka menjual agama untuk habuah dunia.
Sebenarnya iman inilah yang menjadi bekal terpenting buat pendakwah menghadapi seribu macam cabaran menanti. Ketahanan jiwa seorang pejuang Islam hanya termateri, jika iman terpahat di hati.
Keimanan yang mantap juga akan membuahkan keikhlasan yang merupakan satu ciri penting pendakwah. Imam Hasan Al-Banna3 menghuraikan bahawa ikhlas adalah menjadikan setiap amalan, kata-kata dan perjuangan pendakwah adalah kerana Allah, untuk mencari keredhaanNya, dan pahala dariNya, tanpa memandang kepada imbuhan, kemegahan, gelaran, atau menjadi terkenal.
Muhammad Abdullah Al-Khatib,4 menyebut bahawa di antara tanda-tanda keikhlasan adalah:

  1. Takutkan kemasyhuran kerana meyakini bahawa Allah menerima amalannya jika ia tidak bercampur dengan rasa mengharapkan penghargaan dan pujian manusia.

  2. Sentiasa menganggap dirinya cuai dan berdosa di hadapan Allah kerana dia tidak terpedaya dengan amalannya dan tidak ujub.

  3. Lebih menyukai amalan yang dilakukan secara senyap kerana ingin menjadi orang yang paling berperanan walaupun tidak kelihatan ibarat akar tunjang pada sepohon pokok. Namun bila terpaksa untuk menonjol, dia lakukan dengan menjaga kelurusan niat.

  4. Baginya tugas pemimpin dan pengikut sama sahaja selagimana kedua-duanya terlibat dengan dakwah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

  5. Mengharapkan redha Allah walau pun dimurkai oleh manusia.

  6. Mengasihi, menyukai, membenci atau memarahi manusia kerana Allah semata-mata.

  7. Tidak kecewa atau malas walau pun perjuangan mengambil masa panjang untuk memperlihatkan buah kejayaan.

  8. Tidak dengki atau curiga, bahkan gembira dengan kelahiran tenaga baru yang jujur untuk berdakwah.

Secara ringkasnya setiap pendakwah perlu sentiasa meningkatkan aspek-aspek keimanan berikut:




    1. kasih kepada Allah

Pendakwah perlu mengangkat cinta Allah sebagai cinta teragung dalam hidupnya. Yang pasti cinta kepada Allah ini akan terbalas dengan cinta Allah kepada dirinya. Cinta ini menjadikan Allah sentiasa ada dihati dan fikirannya—sepanjang masa dan setiap tempat. Setiap gerak-gerinya terpancar dari hasil cinta murni itu.


Cinta Allah juga menghasilkan cinta kepada sesiapa yang dicintai Allah. Seorang pendakwah yang cinta pada Allah, pasti juga akan cinta kepada Rasulullah SAW. Bahkan setiap usaha untuk meningkatkan cinta kepada Rasul, akan turut menambahkan cinta kepada Allah.
Cinta kepada Allah juga menghasilkan rasa kasih sesama Muslim lebih-lebih lagi sesama rakan pendakwah. Bahkan ia juga menghasilkan rasa bencikan kepada apa sahaja yang dibenci oleh Allah, dan rasa berani untuk berdepan dengan musuh-musuh Allah.
Orang yang cinta pada Allah akan sentiasa mengingati Allah dalam apa keadaan sekali pun. Ibadah akan terasa manis dan menyeronokkan, dan ujian kesusahan akan dianggap usikan cinta Allah bagi mendalamkan cintaNya. Dia tidak mudah sensitif dengan sesuatu yang menimpa dirinya tetapi amat sensitif jika hak dan kepentingan Allah tercabar.


    1. takut kepada Allah

Pendakwah juga perlu menajamkan rasa takut kepada Allah, kemurkaanNya dan azab dariNya. Rasa takut ini ibarat pengawal yang menghalang dirinya dari terjebak kepada maksiat walau pun sekelumit. Dirinya akan sentiasa terpandu dengan batasan syariat yang ditetapkan Allah yang Maha Perkasa, Maha Adil dan Maha Besar.


Rasa takut ini boleh diperdalamkan dengan cara memahami azab-azab Allah ke atas orang durhaka di dalam kubur, di padang mahsyar, di titian sirat serta di dalam syurga. Rasa takut kepada Rabb inilah yang dapat mendorong dirinya menjadi para pendakwah yang tidak mengenal penat dalam berjuang bagi mengelakkan azab Allah.


    1. Berharap dan bergantung kepada Allah

Pendakwah yang berjaya sentiasa meletakkan harapan terakhir kepada Allah SWT. Harapan ini meliputi soal nasib dirinya di dunia seperti rezekinya, keselamatannya, dan keluarganya, serta nasib perjuangannya di dunia iaitu sama ada menang atau kalah, dan juga nasib dirinya di akhirat kelak. Dia memahami bahawa Allah akan memberikannya yang terbaik walau pun zahirnya mungkin berbentuk kesulitan dan ujian.


Rasa berharap ini menghasilkan tawakal dalam tindaknya. Tawakal ini bukannya berserah tanpa beramal, tetapi berserah kepadaNya setelah melakukan segenap usaha yang mungkin untuk mencapai hasrat. Tawakal bukan dengan mengharapkan hidayah Allah menyelinap ke dalam hati tanpa usaha, tetapi ia adalah pengharapan agar hidayah terpancar setelah mesej dakwah telah disampaikan semampunya dengan uslub sebaik-baiknya.
Pergantungan kepada Allah menjadikan diri kita rasa cukup dengan kehadiran dan pertolongan Allah dalam perjuangan ini. Secara tidak langsung perasaan ini membentuk rasa gigih untuk menyampaikan dakwah, walau pun kita tersisih dan ditekan oleh musuh. Bahkan sebarang ancaman dan risiko mampu menjadikan orang yang beriman semakin dekat dengan Allah kerana pergantungan kepadaNya semakin erat. Allah berfirman (Ali Imran: 173):
Maksudnya: Mereka yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Kaum kafir (musyrikin) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepada mereka”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

Kedua : Berilmu
Ilmu sebenarnya perlu mendahului amal. Amalan dakwah hanya boleh dilakukan dengan ilmu. Buktinya wahyu pertama bermula dengan lafaz ‘iqra’ (bacalah). Pendakwah yang berjaya mestilah mempunyai ilmu mencukupi sebagai asas untuk bekalan diri dan ilmu yang mendalam untuk menarik sasaran. Namun tidak semestinya semua pendakwah menjadi faqih seperti para ulama’.
Berikut adalah beberapa perspektif penguasaan ilmu yang perlu diberi perhatian oleh pendakwah:


  1. Memahami asas agama

Imam Hasan Al-Banna meletakkan prisip al-fahmu (kefahaman) sebagai rukun bai’ah yang pertama sebagai anggota harakah Islam. Ini bermakna kefahaman merupakan asas kepada kejayaan pendakwah. Dr. Fathi Yakan dalam bukunya Kaifa Nad’u Ilal Islam (Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam) mencatatkan beberapa perkara yang perlu difahami oleh pendakwah iaitu antaranya:



  1. Memahami asas aqidah

  2. Memahami tasawur Islam sebagai cara hidup

  3. Memahami sumber ajaran Islam

  4. Memahami ciri-ciri khusus Islam

  5. Memahami realiti kedudukan dan cabaran Islam pada hari ini.




  1. Menguasai al-Quran

Pendakwah mesti mampu membaca al-Quran dengan betul dan lancar serta memahami maksud ayat-ayat penting. Usaha untuk menghafal ayat-ayat atau surah-surah penting juga perlu dilaksanakan sebagai bekalan diri dan untuk membantu pendakwah dalam berhujah.




  1. Memahami uslub dakwah

Pendakwah juga perlu memahami pendekatan dan cara dakwah. Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam kitab Ar-Rasulul Mu’allim wa Asalibuhu fi al-Ta’lim (Rasulullah Sebagai Pendidik dan Methodologi Pendidikan) mencatatkan empat puluh teknik penyampaian yang dilakukan oleh Baginda dalam berdakwah, iaitu antaranya berdakwah secara beransur-ansur, berdakwah secara role model, meraikan perbezaan mad’u, mengadakan soal-jawab, membuat perbandingan, melukis dan melakar, meggabungkan komunikasi lisan dan bahasa badan, pendekatan senda gurau, memegang bahu dan tangan mad’u, mengarahkan sahabat menguasai bahasa asing, menggunakan kisah-kisah dan cerita teladan, serta kaedah penulisan.


Dr. Fathi Yakan5 menyebut bahawa, secara fitrah manusia lebih cenderung untuk menerima dakwah jika ia disampaikan secara lembut dan berhikmah. Hal ini terbukti sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan arahan Allah kepada Nabi Musa agar berbicara dengan Firaun dengan kata-kata lembut (Surah Taha: 44).
Zaman kini, kita ilmu pendekatan dalam komunikasi dan mempengaruhi manusia banyak diperkatakan oleh tamadun ilmu Barat. Walau pun ilmu ini diasaskan dari dorongan untuk mengaut kekayaan melalui kemahiran pemasaran dan perundingan perniagaan, namun ia amat berguna dan boleh disesuaikan untuk tujuan dakwah.
Tambahan pula perkembangan pesat ICT membuka ruang yang luas untuk pendakwah menggunakan segala kemudahan teknologi untuk menyampaikan dakwah. Para pendakwah tidak harus memandang ICT ini dari sisi hitamnya semata-mata tanpa memikirkan manfaat besar yang boleh digunakan dari teknologi ini.


  1. Mengikuti perkembangan semasa

Para pendakwah juga perlu mengikuti perkembangan semasa dalam aspek ekonomi, politik, kebudayaan, sosial, sukan, hiburan, permotoran, hobi-hobi popular, jenayah, teknologi dan antarabangsa setakat yang perlu dan sesuai agar penyampaian dakwah sesuai dengan perkembangan semasa. Isu semasa juga menjadi pintu untuk membuka topik perbincangan dengan mad’u dan sebagai daya penarik untuk disesuaikan dengan minat atau kecenderungan peribadi mad’u.


Ketiga: Berakhlak
Akhlak merupakan syarat asas seorang pendakwah. Pendakwah yang membawa mesej Islam sewajarnya melaksanakan mesej itu dalam kehidupannya sendiri. Nabi Muhammad SAW yang diutuskan dengan misi untuk menyempurnakan akhlak mulia telah menunjukkan contoh unggul sebagai pendakwah yang menjadi teladan sepanjang zaman. Bahkan ramai yang terbuka hati menerima Islam kerana akhlak Baginda SAW.
Keperluan para pendakwah untuk mengamalkan akhlak mulia boleh dilihat dalam beberapa perspektif berikut:


  1. Menjadi tauladan


Dakwah bil hal (dakwah melalui perbuatan) memang terbukti lebih berkesan dari dakwah bil lisan (dakwah secara lisan). Manusia secara fitrah sejak dari kecil hingga tua terdorong untuk meniru tingkahlaku orang lain terutamanya orang yang dihormati dan disanjung.
Setiap pendakwah seharusnya berusaha untuk mengamalkan dahulu sebelum menyampaikan kepada orang lain. Cara ini menjadikan penyampaian lebih berkesan dan lebih ikhlas. Walau bagaimana pun menyampaikan sesuatu yang belum mampu dilakukan bukanlah satu kesalahan, terutamanya jika pendakwah itu telah mempunyai tekad dan usaha untuk mengamalkannya.
Allah mengherdik mereka yang mengatakan sesuatu yang meyampaikan sesuatu namun membiarkan dirinya sendiri cuai dari mengamalkannya. Hal ini termaktub dalam Surah As-Saff (ayat 2-3):

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya! Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.


Abdul Hadi Awang6 menyebut bahawa seseorang yang seseorang yang menyeru manusia supaya berakhlak mulia, tetapi akhlaknya sendiri rosak, maka dakwahnya tidak berkesan. Begitu juga jika dia mengajak orang menderma sedangkan dia kedekut, maka ajakannya akan gagal. Orang yang menyeru kepada jihad dengan berkobar-kobar tetapi dirinya sendiri penakut dan tidak yakin, maka seruannya tidak masuk ke dalam hati pendengar.


  1. Siddiq

Siddiq adalah sifat wajib bagi rasul yang mesti juga dihayati oleh para penyambung tugas para rasul. Siddiq pada hati menimbulkan keyakinan dan keazaman yang tinggi dalam perjuangan. Ia juga menjadikan pendakwah tidak selesa untuk sekadar berpeluk tubuh melihat kemelut menanda ummah. Hatinya begitu segar dan bersemangat untuk berada pada jalan perjuangan.


Siddiq pada lidah pula menjadikan pendakwah jujur dalam tindakan dan benar dalam bicara. Abdul Karim Zaidan mengulas: “Seorang pendakwah muslim yang siddiq dapat dikenali dari raut wajah dan suaranya. Setiap kali Rasulullah SAW bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya, mereka akan berkata tentang Rasulullah: Demi Allah, wajahnya bukan wajah pendusta, dan suaranya bukan suara pendusta. Oleh yang demikian para pendakwah perlu menjauhi sifat bohong dan dusta.”


  1. Sabar

Allah mengasihi orang-orang yang sabar (Ali Imran: 146) dan meyatakan dengan jelas bahawa Dia bersama-sama dengan orang-orang yang sabar (Al-Baqarah: 153). Seterusnya Allah menjanjikan pahala yang besar—yang tidak terkira—kepada orang-orang yang sabar (Az-Zumar:10). Maka, pendakwah sewajarnya mengejar ‘status’ sebagai hamba Allah yang penyabar.


Imam Al-Ghazali7 membahagikan sabar kepada tiga pembahagian besar:

  1. Sabar dalam perkara yang berpunca dari ikhtiar manusia sendiri iaitu sabar dalam melakukan ketaatan serta sabar dalam meninggalkan maksiat.

  2. Sabar dalam perkara tidak berpunca dari ikhtiar sendiri tetapi boleh dihadapi dengan tindak balas dari ikhtiar sendiri, iaitu sabar atas perlakuan orang lain ke atas diri kita. Contohnya, jika orang mengucapkan kata-kata kasar dan maki hamun terhadap kita, kita boleh membalasnya dengan senyuman atau kata-kata lembut bila mampu bersabar.

  3. Sabar atas musibah yang besar yang diluar kemampuan ikhtiar kita seberti ditimpa bencana dan seumpamanya.




  1. Penyayang

Manusia tidak melakukan kerja dakwah jika tiada sifat pengasih dan penyayang. Pendakwah memandang wajah-wajah mad’u denga rasa kasihan dan kasih—bukannya rasa benci dan meluat—walau pun mad’u itu mempunyai seribu macam cacat cela yang layak untuk dibenci. Jika mad’u itu melakukan maksiat, pendakwah wajib membenci PERBUATAN itu, tetapi tidak perlu membenci batang tubuh yang melakukannya.


Pendakwah seharusnya dimotivasikan dengan rasa belas terhadap pelaku maksiat yang mungkin dijilat neraka, bukannya dimotivasikan dengan rasa geram kerana busuknya perangai pelaku maksiat itu. Hal ini terbukti dengan ucapan tokoh dakwah ulung yang berdakwah tanpa penat lebih 950 tahun (!) sebagaimana yang diungkap dalam firman Allah (Al-A’raf:59):

Maksudnya: Maka berkatalah (Nuh) kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada tuhan bagi kamu selainNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (hari kiamat)”


Dr Abdul Karim Zaidan8 menyebut bahawa sifat penyayang pada pendakwah akan melahirkan sifat pemaaf dan menjadikan pendakwah berjiwa besar sehingga merasakan dugaan dari musuh itu sebagai ujian yang kecil. Sifat penyayang juga akan menjadikan pendakwah mudah didekati oleh para mad’u.


  1. Merendah diri (Tawadhu’)

Pendakwah tidak boleh sombong. Jika masih ada saki baki kesombongan, pendakwah perlu bermuhasabah dan mengikisnya hingga licin. Namun kadang-kadang kesombongan itu bertapak dalam hati tanpa disedari. Maka pendakwah perlulah kerap bermuhasabah agar dapat menjadi seorang yang tawadhuk dan merendah diri.


Antara tanda-tanda kesombongan ialah merasa terlalu gembira bila dihormati dan disambut, dan merasa amat kecewa jika tidak dipedulikan. Orang yang sombong juga akan mengelakkan dari melakukan kerja-kerja yang dianggap ‘rendah, kotor atau kasar’ seperti menyapu sampah, membersih longkang dan seumpamanya. Dr. Abdul Karim menyebut bahawa orang takabur amat sukar mengakui kesalahannya walau pun memang jelas dia bersalah.
Manusia akan menjadi tawadhu dan hilang sikap takabur apabila menghayati kehebatan dan keagungan Allah SWT. Mereka akan menganggap bahawa dirinya terlalu kerdil dibandingkan dengan kesucian, ketinggian dan kebesaran Allah. Lantas akan timbul perasaan untuk sentiasa tunduk kepada Allah walau pun dikurniakan berbagai kehebatan duniawi seperti kepandaian, kekayaan, kecantikan dan kepimpinan.
Pendakwah yang merendah diri akan mudah bergaul dengan mad’u yang terdiri dari pelbagai peringkat. Pendakwah begini tidak akan membezakan antara sasaran yang miskin atau kaya—semuanya dilayan dengan istimewa sebagai mad’u. Mereka tidak rasa tergugat atau marah apabila batang tubuh mereka diherdik atau dihina. Namun apabila yang dihina itu adalah agamanya, Tuhannya atau Nabinya, mereka akan bersikat tegas dan lantang.


  1. Mudah mesra dengan masyarakat

Pendakwah yang baik adalah yang pandai bergaul dengan masyarakat. Dia disukai oleh segenap kelompok sama ada orang tua, remaja, dewasa bahkan kanak-kanak. Dia tahu menyesuaikan diri dengan pelbagai latarbelakang—golongan profesional, pekerja am, remaja yang nakal, golongan elitis, golongan marhain, dan sebagainya.


Pendakwah yang baik murah senyuman dan mudah memberikan salam. Beliau juga tidak lokek untuk bertanya khabar dan berkenalan dengan orang yang baru dikenali. Dia juga bijak untuk menjadikan mad’u merasa serasi dan selesa untuk terus mengikuti dakwahnya.


  1. Suka berkhidmat dan menolong

Pendakwah yang baik juga perlu sentiasa ringan tulang untuk melakukan kerja kebajikan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis-hadis berikut:


Maksudnya: Demi sesungguhnya, seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari ia beriktikaf di dalam masjidku ini selama dua bulan.9
Maksudnya: Seseorang Islam itu saudara seorang Islam yang lain. Siapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah bersama dengan hajatnya. Dan sesiapa yang melepaskan satu kesusahan saudaranya, nescaya Allah akan melepaskan satu kesusahan daripada kesusahannya di hari kiamat.10


  1. Gigih berjihad

Pendakwah yang berjaya akan sentiasa gigih berjihad menyampaikan dakwah. Imam Hasan Al-Banna menyebut bahawa dakwah tidak akan hidup tanpa jihad. Maka para pendakwah juga perlu menghayati semangat jihad dalam usaha dakwah.




  1. Berdisiplin

Pendakwah tentunya tidak boleh bergerak keseorangan. Dia perlukan organisasi yang dapat mewujudkan sinergi dalam usaha dakwah. Bahkan kerja secara berjamaah merupakan tuntutan yang tidak boleh dinafikan.
Oleh yang demikian, setiap pendakwah perlu memahami tanggungjawab dan disiplin berada dalam jamaah. Dia perlu tahu untuk bertindak sesuai dengan kehendak jamaah. Dia juga perlu bersedia untuk taat kepada pemimpin walau pun dalam perkara yang tidak disukainya. Dia juga mengamalkan syura dan menghormati keputusan syura.

PENUTUP
Pendakwah memikul tanggungjawab yang suci sebagai duta-duta agama kepada manusia. Para pendakwah hari ini bukan sahaja perlu menarik orang supaya menjadi baik, bahkan perlu juga menarik mereka menjadi pendakwah-pendakwah yang baru. Trend perkembangan pesat teknologi maklumat juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar para pendakwah tidak ketinggalan dalam usaha menyampaikan mesej Islam.
Para pendakwah tidak boleh lahir spontan, bahkan ia perlu kepada perancangan yang teliti. Organisasi harakah Islam atau badan dakwah perlu meneroka usaha melahirkan pendakwah sejak dari bangku sekolah rendah lagi (Kalau hari ini pelajar tadika pun sudah pandai menyebut perkataan ‘cinta’, maka mereka sangat perlu dibiasakan dengan istilah ‘dakwah’). Sekurang-kurangnya mereka boleh menjadi pendakwah sebaya (peer duat).
Insyallah dengan kesungguhan semua pihak untuk merancakkan dakwah dan meneguhkan jihad ini, Allah akan mengurniakan sinar kejayaan buat pendokong-pendokong Islam. Dengan pertolongan Allah, Islam akan kembali menjadi asas dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, masyarakat dan bernegara. Aqidah Islam menjadi akar, akhlak Islam menjadi hiasan peribadi dan syariat Islam diamalkan sebagai pedoman hidup dan undang-undang negara. Seterusnya, dengan berkat usaha dakwah, Islam yang kini telah diiktiraf sebagai ‘the fastest growing religion of the world’ akan kembali menjadi tunjang kepada kemakmuran dunia suatu hari nanti. Amin.

BIBLIOGRAFI


    1. Abdul Fattah Abu Ghuddah, Nabi Muhammad Guru dan Pendidik Terulung (Negeri Sembilan: M Khairi Enterprise, 2001)

    2. Abdul Ghani Shamsudin, Tokoh-tokoh Wanita Mithaliyah (Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn Bhd, 1986)

    3. Abdul Hadi Awang, Islam: Fikrah, Harakah dan Daulah (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 2003)

    4. Abdul Halim Al-Kinani, Dakwah Fardhiyyah, (Kuala Lumpur : DPPP, 2006)

    5. Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2002)

    6. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, Jadilah Hamba Allah Yang Sejati (Kuala Lumpur: Al-Hidayah, 2008)

    7. Fathi Yakan, Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam (Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, 1987)

    8. Muhammad Abdullah Al-Khatib, Penjelasan Sekitar Risalah Ta’lim (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 2001)

    9. Said Hawwa, Pendidikan Harakah Islamiyyah: Syarah Risalah Ta’lim (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 1999)

    10. Imam Al-Ghazali, Bimbingan Mukmin (Singapura: Pustaka Nasional, 1990)


1 ‘Aidh Abdullah Al-Qarni, Jadilah Hamba Allah Yang Sejati (Kuala Lumpur: Al-Hidayah, 2008) hlm 67

2 Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2002) hlm 346

3 Said Hawwa, Pendidikan Harakah Islamiyyah: Syarah Risalah Ta’lim (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 1999) hlm 180

4 Muhammad Abdullah Al-Khatib, Penjelasan Sekitar Risalah Ta’lim (Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 2001) hlm 228-234

5 Fathi Yakan, Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam (Kuala Lumpur: DPF, 1987) hlm. 56

6 Abdul Hadi Awang, Islam: Fikrah, Harakah dan Daulah (Shah Alam: DPF, 2003) hlm. 247

7 Imam Al-Ghazali, Bimbingan Mukmin (Singapura: Pustaka Nasional, 1990) hlm 728

8 Abdul Karim Zaidan, Islam dan Dakwah (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2002) hlm 404-5

9 Hadith riwayat al-Hakim

10 Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud




Yüklə 68,68 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©muhaz.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

gir | qeydiyyatdan keç
    Ana səhifə


yükləyin