bertanya pula, "Sudah solatkah orang ramai?" Jawab kami, "Belum! Mereka menunggu Anda, ya Rasulullah'" Kata 'Aisyah, "Ketika itu jamaah tetap diam di masjid menunggu Rasulullah saw. hendak solat 'Isya. Kemudian Rasulullah menyuruh seseorang kepada Abu Bakar, supaya menyuruhnya mengimami solat orang ramai. Jawab Abu Bakar, dia seorang yang lemah lembut. "Hai, 'Umar! Andalah yang lebih pantas menjadi imam!" Kata 'Aisyah, "Akhirnya Abu Bakarlah yang mengimami mereka solat, sehingga beberapa hari lamanya. Kemudian, setelah sakit Rasulullah saw. beransur ringan, beliau pergi solat Zhuhur di papah oleh dua orang lelaki, salah seorang di antaranya ialah 'Abbas, Ketika beliau tiba, ternyata Abu Bakar telah mulai solat mengimami orang ramai. Tatkala Abu Bakar menyadari bahwa Rasulullah datang, dia berusaha hendak mundur dan memberi kesempatan kepada Nabi menjadi imam. Tetapi Nabi saw. memberi isyarat kepadanya agar tetap berada di tempat dan jangan mundur. Sementara itu Nabi berkata kepada kedua orang yang memapah beliau, "Dudukkan aku di samping Abu Bakar!" Lalu keduanya mendudukkan
beliau disamping Abu Bakar. Abu Bakar solat sambil berdiri mengikuti solat Rasulullah saw., sedangkan orang ramai solat mengikuti Abu
Bakar, padahal Nabi sendiri solat sambil duduk. Kata 'Ubaidillah, "Kemudian aku datang ke rumah 'Abdullah bin 'Abbas lalu kataku kepadanya, "Apakah anda belum tahu hadis yang diriwayatkan 'Aisyah tentang sakit Rasulullah saw.?" Jawab 'Abdullah, "Ceritakanlah!" Lalu kuceritakan hadis itu kepadanya, tetapi dia tidak membantah apa-apa selain katanya, "Apakah 'Aisyah tidak menyebutkan kepada mu orang yang satu lagi?" Jawab ku, "Tidak'" Kata 'Abdullah bin 'Abbas, "Orang itu ialah 'Ali!"
371. Dari 'Ubaidillah bin 'Abdullah bin 'Utbah bin Mas'ud r.a., katanya 'Aisyah isteri Nabi saw. berkata: "Ketika sakit Rasulullah saw. bertambah berat, beliau minta izin kepada para isteri beliau, kiranya beliau boleh dirawat di rumahku. Maka beliau diizinkan oleh mereka. Lalu beliau dipapah oleh dua orang lelaki sehingga kaki beliau terjulai membuat garis di tanah. Salah seorang di antara kedua lelaki itu ialah
Abbas. Kata 'Ubaidillah, "Cerita 'Aisyah itu ku sampaikan kepada 'Abdullah." Lalu tanya 'Abdullah bin 'Abbas, "Tahukah kamu siapa lelaki yang satu lagi, yang tidak disebutkan 'Aisyah?" Jawab ku, "Tidak!" Kata
Ibnu 'Abbas, "Orang itu ialah 'Ali."
372. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Ketika sakit Rasulullah saw.
bertambah berat, Bilal datang seperti biasa memberitahukan waktu solat telah tiba. Lalu beliau bersabda, "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjamaah dengan orang ramai." "Ya, Rasulullah!" Kata 'Aisyah, "Abu Bakar itu seorang lelaki penyedih. Kalau dia yang menggantikan anda menjadi imam suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Bagaimana kalau 'Umar saja yang disuruh'?" Sabda Rasulullah saw., "Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjamaah dengan orang ramai!" Kata 'Aisyah selanjutnya, "Lalu hal itu kukatakan kepada Hafshah, supaya dia menyampaikan kepada Nabi saw. bahwa Abu Bakar seorang penyedih. Kalau dia yang disuruh menjadi imam menggantikan Nabi, suaranya tidak kedengaran oleh orang ramai. Kerana itu alangkah baiknya kalau 'Umar yang disuruh." Lalu Hafshah mengatakannya kepada Nabi saw. Sabda Rasulullah saw., "Anda semua termasuk kelompok Yusuf. Suruhlah Abu Bakar mengimami solat berjamaah dengan orang ramai." Kerana itu, akhirnya Abu Bakarlah yang menjadi imam. Pada suatu ketika, sewaktu Abu Bakar sedang mengimami solat berjamaah dengan orang ramai, kebetulan Rasulullah saw. merasa sakitnya agak ringan. Lalu beliau pergi solat berjamaah di papah dua orang lelaki, dan kedua kaki beliau terjulai ke tanah. Sesampainya di masjid, Abu Bakar mendengar desah nafas beliau datang. Lalu dia berusaha hendak mundur, tetapi Rasulullah saw. memberi isyarat kepadanya supaya dia tetap di tempatnya, dan beliau didudukkan orang di sebelah kiri Abu Bakar, setentang dengannya. Kata 'Aisyah, "Ketika itu Rasulullah saw. solat berjamaah mengimami orang ramai sambil duduk, sedangkan Abu Bakar berdiri. Abu Bakar mengikut kepada Nabi saw., sedangkan jama'ah yang banyak mengikuti Abu Bakar."
373. Dari Ibnu Syihab La., katanya: "Anas bin Malik mengatakan kepada ku, bahawa Abu Bakar mengimami solat berjamaah pada hari-hari Rasulullah sakit akan meninggal. Pada hari Isnin, ketika jamaah sedang
solat bershaf-shaf, Rasulullah saw. menyingkapkan tabir kamarnya, sehingga beliau kelihatan oleh kami berdiri dengan muka pucat seperti kertas. Lalu beliau tersenyum dan tertawa." Kata Anas selanjutnya, "Tiba-tiba beliau mendatangi kami, dan kami yang sedang solat merasa gembira dengan kedatangan beliau itu. Abu Bakar yang menjadi imam ketika itu mundur sampai ke shaf; kerana dia menyangka Rasulullah keluar hendak solat. Tetapi beliau memberi isyarat dengan tangannya, supaya mereka meneruskan solat mereka hingga selesai. Kemudian beliau masuk kembali ke kamar dan menurunkan tirainya."
374. Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Rasulullah saw.
pergi ke kampung Bani 'Umar bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba. Muadzin datang kepada Abu Bakar dan
berkata, "Maukah anda mengimami solat? Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. Ketika Abu Bakar sedang solat, sekonyong-konyong Rasulullah saw. datang dan terus maju hingga sampai ke shaf pertama). Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh, dan terlihat kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap di tempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dari memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah saw. itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan shaf, sedangkan Rasulullah saw. maju ke depan mengimami solat selanjutnya. Setelah selesai solat beliau bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya anda tidak mahu kusuruh tetap di tempatmu menjadi imam?" Jawab Abu Bakar, "Tidaklah pantas bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah saw." Kemudian beliau bertanya kepada jamaah, "Aku lihat anda semua ramai bertepuk tangan, mengapa? Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah'), kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan."
375. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tasbih untuk lelaki dan bertepuk tangan bagi perempuan."
376. Dari Abu Hurairah r.a., katanya : Pada suatu hari Rasulullah saw. solat mengimami kami. Setelah selesai solat beliau menghadap kepada jamaah lalu bersabda: "Hai Fulan: Mengapakah anda tidak membaguskan solat anda? Tidakkah anda lihat orang lain bagaimana dia solat? Sesunguhnya dia solat untuk dirinya. Demi Allah! Sesungguhnya aku dapat melihat ke belakang seperti aku melihat ke muka."
377.Dari Anas bin Malik r.a., katanya Nabi saw. bersabda:
"Sempurnakanlah ruku' dan sujud anda! Demi Allah! Sesungguhnya aku dapat melihat anda di belakangku, bagaimana caranya anda ruku' dan
sujud. "
378. Dari Anas .r.a., katanya: "Pada suatu hari Rasulullah saw. solat mengimami kami. Setelah selesai solat beliau menghadapkan mukanya kepada kami lalu bersabda: "Wahai manusia! Aku ini imam anda semua. Kerana itu janganlah mendahului ku ketika ruku', ketika sujud, ketika berdiri dan ketika menyudahi solat. Sesungguhnya aku melihat anda ketika di hadapanku dan di belakangku. Demi Allah yang diri Muhammad berada di tanganNya, kalaulah anda melihat apa yang kulihat, anda akan sedikit tertawa, tetapi akan banyak menangis." Tanya mereka," Apakah yang anda lihat, wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah, "Aku melihat syurga dan neraka."
379. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Tidak takutkah orang-orang yang mengangkat kepalanya lebih dahulu dari imam, bahwa kepala mereka akan ditukar Allah dengan kepala keldai?"
380. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak percayakah orang-orang yang mengangkat kepalanya mendahului imam, bahwa Allah akan menukar rupanya dengan rupa keldai?"381. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika solat ataukah mereka akan dibutakan Allah?"
382. Dari Abu Hurairah. r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah orang-orang itu berhenti melihat ke langit ketika mendo'a dalam solat, ataukah mereka akan dibutakan?"
383. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda: "Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga kulihat bagaikan ekor kuda binal? Bersikap tenanglah dalam solat!" Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa kulihat anda berpisah-pisah?" Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat shaf (berbaris) seperti shaf malaikat di hadapan Tuhannya?" Tanya kami, "Bagaimana caranya shaf malaikat di hadapan Tuhannya?" Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu shaf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."
384. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Kami pernah menyudahi solat kami ketika solat bersama-sama Rasulullah saw. dengan mengucapkan salam 'Assalamu'alaikum warahmatullahi', sambil memberi isyarat dengan tangan ke kanan dan ke kiri. Maka bersabda Rasulullah saw., "Mengapa anda
memberi isyarat dengan tangan (ketika mengucapkan salam) seperti ekor kuda binal? Sesungguhnya sudah cukup kalau anda letakkan tangan anda di atas paha, lalu anda ucapkan salam kepada saudara anda yang di kanan dan kiri anda."385. Dari Abu Mas'ud r.a., katanya: "Rasulullah saw. menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata: "Luruskan barisanmu, jangan bengkok-bengkok. Kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah-belah. Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah berdiri dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya." 386. Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hendaklah berdiri dekat dengan ku orang-orang dewasa yang cerdik dan pandai, kemudian yang pandai (beliau ucapkan sampai tiga kali), dan jauhilah hiruk-pikuk seperti di pasar!"
387. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Luruskan shaf kamu, kerana shaf yang lurus termasuk solat yang sempurna."
388. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Buatlah shaf (barisan), kerana dengan membuat shaf itu sesungguhnya termasuk solat yang bagus."
389. Dari Nu'man bin Basyir r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah meluruskan shaf kami, sehingga beliau kelihatan seolah-olah sedang meluruskan anak panah sampai lurus benar. Pada suatu hari ketika beliau hendak solat dan hampir takbir, sekonyong-konyong terlihat oleh beliau seorang lelaki menonjolkan dadanya dari shaf. Maka bersabda beliau, "Wahai hamba Allah! Luruskanlah shaf anda! Kalau tidak, nescaya Allah akan mencerai-beraikan hati anda."
390. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kalaulah manusia itu tahu keutamaan azan dan shaf pertama, tetapi mereka tidak bisa mendapatkannya melainkan dengan jalan diundi, nescaya mahulah mereka diundi. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan segera pergi solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana. Dan kalaulah mereka tahu keutamaan solat 'Isya dan Subuh berjamaah, nescaya mereka akan mendatanginya, sekalipun mereka akan merangkak. "
391. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah memperhatikan para sahabatnya yang suka berada di shaf belakang. Lalu beliau bersabda kepada mereka, "Majulah ke depan dan ikutilah aku supaya orang yang dibelakanag mu dapat pula mengikut mu. Memang ada saja orang-orang yang suka di belakang-belakang, sehingga Allah membelakangkan mereka benar-benar."
392. Dari Abu Hurairah r.a., katanya RasuluUah saw. bersabda: "Shaf yang paling baik bagi lelaki ialah shaf pertama, dan yang paling buruk ialah shaf terakhir sedangkan shaf yang paling baik bagi perempuan ialah shaf yang terakhir dan yang paling buruk ialah shaf yang pertama."
393. Dari Sahal bin Sa'id r.a., katanya: "Aku melihat beberapa orang lelaki solat di belakang Nabi saw. dengan hanya mengikatkan kain mereka dileher seperti anak-anak, kerana kain mereka sempit, lalu Nabi saw. bersabda: "Hai, kaum wanita! Janganlah anda mengangkat kepala lebih dahulu daripada pria! (Maksudnya supaya mereka tidak terlihat kepada aurat lelaki).
394. Dari Salim r.a., dari bapanya, katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila isteri mu minta izin hendak pergi ke masjid, janganlah mereka dilarang."
395. Dari Abdullah bin 'Umar r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu halangi isteri mu pergi ke mesjid, apabila ia minta izin kepada mu!" Kata Abdullah, "Mendengar hadis itu lalu Bilal bin Abdullah menjawab: Demi Allah! Akan kami larang mereka!" Kerana itu Abdullah marah kepadanya, dan mengatakan dengan kata-kata
yang belum pernah didengar selama ini. Akhirnya dia berkata, "Ku sampaikan kepada mu hadis Rasulullah, tetapi kamu bahkan bersumpah akan melarang mereka."
396. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah anda larang kaum wanita pergi ke masjid waktu malam."
397. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari bapaknya, katanya Rasulullah saw. bersabda: "Janganlah kamu halang; kaum wanita merebut keuntungan di masjid apabila dia minta izin kepada mu."
398. Dari Zainab Ats Tsaqafiay r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila kamu (para wanita) mengikuti solat 'Isya berjamaah di masjid, maka janganlah memakai harum-haruman ketika itu."
399. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa-siapa di antara para wanita yang memakai harum-haruman, maka janganlah dia ikut solat 'Isya yang akhir bersama-sama dengan kami."
400. Dari 'Amrah binti 'Abdur Rahman r.a., katanya dia mendengar 'Aisyah isteri Nabi saw. berkata: "Andaikata Rasulullah tahu apa yang terjadi di kalangan wanita, nescaya beliau melarang mereka pergi ke
masjid, seperti halnya wanita-wanita Bani Israil dilarang ke masjid." Kemudian aku tanyakan kepada Amrah, "Apakah wanita-wanita Bani Israil dilarang ke masjid?' Dia menjawab, "Ya!"
401. Ibnu 'Abbas r.a. berkata tentang turunnya ayat: "Wa la tajhar bishalatika wa la tukhafit biha " (Isra : 110) ( dan janganlah kamu mengeraskan suara di dalam solat, dan jangan pula merendahkannya) katanya ayat itu turun ketika Rasulullah saw. berada di Makkah. Biasanya beliau membaca ayat Qur'an dalam solat berjamaah dengan para sahabat, ialah dengan mengeraskan suara. Kerana itu bila terdengar oleh kaum musyrikin, mereka mencemuh Al Qur'an, mencemuh Allah yang menurunkannya, dan mencemuh Rasulullah yang membawanya. Maka berfirman Allah Ta'ala kepada Nabi-Nya, "Wa La tajhar hi shalatika " Janganlah kamu mengeraskan suara ketika membaca ayat dalam solat, sehingga terdengar oleh orang-orang musyrik itu, dan jangan pula terlalu direndahkan ketika membacanya di hadapan para sahabatmu sehingga
tidak kedengaran oleh mereka, tetapi perdengarkanlah kepada mereka dengan suara sedang, sekadar terdengar oleh para sahabatmu itu.402. Ibnu 'Abbas r.a. berkata tentang firman Allah' Azza wa Jalla, "La tuharrik bihi lisanaka" (Janganlah kamu gerakkan lidahmu) (Al Qiyamah
:16), katanya: Bila Jibril datang menyampaikan wahyu kepada Nabi saw., biasanya beliau menggerakkan lidah dan bibirnya, sehingga beliau mendapat kesulitan kerananya. Hal itu jelas kelihatan dari wajah dan keadaan beliau. Kerana itu Allah Ta'ala berfirman. "La tuharrik
bihi lasanaka lita'jal bihi Inna 'alaina jam'ahu wa qu'anahu. ' (Al Qiyamah 16 - 17). (Janganlah kamu gerakkan lidahmu kerana hendak cepat-cepat membacanya. Sesungguhnya Kamilah yang akan mengumpulkannya (di dadamu) dan mengajarmu pandai membacanya. (Kerana itu semaklah baik-baik!) Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaan itu. Kemudian kewajipan Kamilah menjelaskannya (menjelaskan maksud ayat itu melalui lidahmu). Semenjak itu, kalau Jibril datang kepada Nabi saw., beliau menundukkan kepala sambil berdiam diri. Setelah Jibril pergi, barulah beliau baca kembali dengan lancar bacaan yang disampaikan Jibril itu sesuai dengan janji Allah Ta'ala kepadanya.
403. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah membacakan Qur'an kepada Jin, dan beliau tidak pernah pula melihatnya.
Pada suatu ketika Rasulullah saw. pergi dengan beberapa orang sahabat ke pasar 'Ukazh. Ketika itu syaitan-syaitan, tidak dapat lagi mendengar berita dari langit, kerana mereka dilontari dengan nyala api (meteor) sehingga mereka terpaksa kembali kepada kaumnya. Kaumnya bertanya, "Mengapa kalian kembali, apa yang terjadi?" Jawab mereka, "Berita dari langit tertutup untuk kita. Kami dilontari dengan nyala-nyala api." Kata kaumnya, "Tentu ada peristiwa yang menyebabkannya. Kerana itu pergilah ke Timur dan ke Barat, carilah sebab-sebab kenapa berita langit tertutup untuk kita ketahui." Lalu mereka berpencar ke seluruh pelusuk bumi, ke Timur dan ke Barat, mencari sebab-sebab tertutupnya berita langit itu. Ketika rombongan yang menuju ke Tihamah sampai di Nakhlah, hendak terus ke Pasar 'Ukazh, sekonyong-konyong mereka melihat
Rasulullah saw. sedang solat Subuh berjamaah dengan para sahabat beliau. Tatkala mereka mendengar ayat-ayat Qur'an dibaca Nabi saw. dalam solat, mereka dengarkan baik-baik, sehingga mereka berkesimpulan, inilah kiranya yang telah menutup kita untuk mengetahui berita-berita dari langit. Kerana itu mereka pulang kepada kaumnya.Lalu mereka melapar, "Hai, kaum kami! Kami telah mendengar ayat-ayat Qur'an yang sangat mengagumkan, yang membimbing kami ke jalan yang lurus. Kerana itu kami iman dengannya, dan kami tidak akan mempersekutukan Tuhan kami dengan yang lain-lain." lalu diturunkan Allah' Azza wa Jalla kepada Nabi-Nya, Muhammad saw. ayat: "Qul uhiya ilayya annahustama'a nafarun minal jinni" (Al Jinn : 1) (Katakanlah hai Muhammad! Telah diwahyukan kepada ku, bahwa sekelompok jin telah mendengar ayat-ayat Qur'an )
404. Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Rasulullah saw. biasa solat mengimami kami. Pada dua raka'at pertama Zhuhur dan 'Ashar beliau membaca Fatihah dan surah yang kadang-kadang diperdengarkan beliau bacaannya kepada kami. Biasanya beliau memanjangkan bacaan pada rakaat pertama solat Zhuhur, dan memendekkannya pada rakaat kedua." Demikian pula pada solat Subuh."
405. Dari 'Abdullah bin Abu Qatadah r.a., dari bapanya, katanya: "Sesungguhnya Nabi saw. membaca Fatihah dan surah pada dua raka'at pertama Zhuhur dan Ashar. Bahkan kadang-kadang beliau perdengarkan kepada kami bacaannya. Pada dua raka'at yang akhir, beliau hanya membaca Fatihah saja."
406. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Kami pernah mengira-ngirakan berapa lama Rasulullah saw. berdiri ketika solat Zhuhur dan 'Ashar. Perkiraan kami ialah: pada dua rakaat pertama Zhuhur beliau berdiri selama membaca surah 'Alif Lam Mim Tanzil', sedang pada dua raka'at yang akhir, kira-kira seperdua itu. Kemudian kami kira-kirakan pula lama beliau berdiri pada dua rakaat pertama solat 'Ashar ialah kira-kira selama berdirinya pada dua rakaat yang akhir solat Zhuhur, sedang pada dua rakaat yang akhir kira-kira seperdua itu."
407. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: "Biasanya Nabi saw.
membaca ayat pada solat Zhuhur kira-kira tiga puluh ayat pada tiap-tiap dua rakaat pertama, sedangkan pada dua rakaat yang akhir kira-kira lima belas ayat atau seperdua yang pertama. Dalam tiap-tiap dua rakaat pertama solat 'Ashar beliau membaca kira-kira lima belas ayat, sedang pada dua rakaat yang akhir kira-kira seperdua itu."
408. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Penduduk Kufah
mengadukan Sa'ad kepada Umar bin Khaththab tentang cara Sa'ad solat.
Lalu 'Umar memanggil Sa'ad. dan Sa'ad pun datang menghadap memenuhi panggilan itu. 'Umar menyampaikan kepada Sa'ad perihal pengaduan
orang-orang Kufah itu. Jawab Sa'ad, "Sesungguhnya aku solat mengimami
mereka sama dengan solat Rasulullah saw. dan tidak kurang sedikit jua pun. Kupanjangkan bacaan pada dua rakaat pertama, dan kupendekkan pada dua rakaat yang akhir." Jawab 'Umar, "Apakah itu bukan dugaanmu belaka, hai Abu Ishaq."
409. Dari Qaz'ah r.a., katanya: "Aku datang kepada Abu Sa'id Al Khudri, dan ketika itu dia sedang, dikerumuni orang ramai. Setelah orang ramai itu usai, aku berkata kepadanya, "Aku tidak akan menanyakan soal-soal yang telah ditanyakan mereka kepada anda. Aku bertanya tentang solat Rasulullah saw." Kata Abu Sa'id, "Apakah hal itu akan ada baiknya untukmu?" Qaz'ah mengulangi pertanyaannya. Lalu dijawab oleh Abu Sa'id, "Beliau berdiri melakukan solat Zhuhur selama perjalanan seseorang sampai ke Baqi', lalu sampai di sana diselesaikannya urusannya, sesudah itu dia pulang ke rumahnya lalu berwudhuk. Setelah itu dia kembali ke masjid, didapatinya Rasulullah saw. masih berdiri pada raka'at pertama."
410. Dari 'Abdullah bin Saib r.a., katanya: "Pada suatu waktu Rasulullah saw. mengimami kami solat Subuh di Makkah. Ketika itu beliau
membaca surat Al Mu'minun. Setelah sampai kepada ayat yang menyebutkan Musa dan Harun, atau barangkali menyebutkan 'Isa a.s. (perawinya ragu), sekonyong-konyong beliau diserang batuk, lalu beliau ruku'. Dan 'Abdullah bin Saib hadir waktu itu.
411. Dari 'Amar bin Huraits r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. membaca dalam solat Subuh 'Wallaili idza 'as'as'(surah Takwir).
412. Dari Quthbah bin Malik r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. membaca dalam solat Subuh 'Wan Nakhla basiqatin laha Thal'un nadhid' (surah Qaf).
413. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Nabi saw. biasa membaca dalam solat Subuh 'Qaf. wal Qur'anil majid. Tetapi sesudah itu
beliau membaca surah yang pendek saja."
414. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Biasanya Nabi saw. membaca dalam solat Zhuhur 'Wal laili idza yaghsya', dalam solat 'Ashar surah yang sepanjang itu pula, dan di dalam solat Subuh surat yang lebih
panjang dari itu,"
415. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Nabi saw. dalam solat
Zhuhur membaca 'Sabbihisma rabbikal a'la' (surah Al A'la), dan dalam solat Subuh lebih panjang dari itu."416. Dari Abu Barzah Al Aslami r.a., katanya: "Nabi saw. dalam solat Subuh membaca ayat kira-kira enam puluh sampai seratus ayat."
417. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya Ummul Fadhal bintil Harits mendengarnya membaca 'Wal Mursalati 'urfa' (surah: Al Mursalat). Lalu Ummul Fadhal berkata kepadanya. "Hai, Anak ku! Ketika engkau membaca surah itu, seolah-olah engkau mengingatkan ku akan saat terakhir aku mendengar Rasulullah saw. membacanya dalam solat Maghrib."
418. Dari Muhammad bin Jubair bin Muth'im r.a., dari bapanya, katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. membaca surat Ath Thur dalam solat Maghrib."419. Dari Al Barra' bin 'Azib r.a., katanya: "Aku solat Isya bersama Rasulullah saw.. ketika itu beliau membaca Surat At Tin."
420. Dari Jabir r.a., katanya: "Pada suatu waktu Mu'adz bin Jabal Al Anshari mengimami para sahabatnya solat 'Isya. Ketika itu dia membaca surah yang panjang sehingga melamakan mereka solat. Kerana itu seorang lelaki yang ikut berjamaah memutuskan solatnya lalu dia solat sendiri. Hal itu disampaikan orang kepada Mu'adz, lalu Mu'adz berkata, "Dia munafik!" Tatkala orang itu mendengar ucapan Mu'adz yang demikian disampaikan orang kepadanya, dia pun melapor kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. bersabda kepada Mu'adz, "Hai, Mu'adz! Apakah engkau ingin menjadi tukang fitnah? Apabila engkau mengimami solat orang banyak, bacalah 'Wasy Syamsi wadh dhuhaha. (Surat Asy Syams), atau 'Sabbihisma rabbikal a'la' (Surat Al A'laa), atau 'Iqra' bismi rabbika' (Surat At 'Alaq), atau 'Wal laili idza yaghsya' (Surat Al Lail)."
421. Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku sengaja lambat datang solat Subuh, kerana si Fulan suka memanjangkan solat ketika mengimami kami." Belum pernah kulihat Nabi saw. marah ketika memberikan pengajian seperti beliau marah ketika itu," ujar Abu Mas'ud. Lalu beliau bersabda, "Hai, manusia! Di antara kamu sekalian ada yang bertindak
Dostları ilə paylaş: |