Terdapat juga di dalam kalangan masyarakat Islam beberapa golongan yang sesat lantaran menyerupakan zat atau sifat Allah dengan zat dan sifat makhlukNya. Antara golongan ini ialah mereka yang dikenali sebagai firqah "Musyabbihah" .(مُشَبِّهَةٌ) Maksud dari kalimah musyabbihah ialah:
"Yang menyerupakan (sifat dan zat) Allah dengan (sifat dan zat) makhlukNya".
Antara firqah (kumpulan/golongan) terbesar yang termasuk dan terjebak ke dalam golongan ini ialah para syeikh (pemimpin) tarikat kesufian/tasawuf dan para pengikutnya. Mereka dianggap sesat kerana perbuatan mereka yang mudah menta'wil164 mentamsil,165 mentakyif dan menta'til nama-nama, sifat dan zat Allah. Lantaran yang demikian, akhirnya mereka sama ada menafikan zat dan sifat-sifat Allah, atau menyamakan sifat Allah dengan sifat-sifat dan zat makhlukNya.
Segolongan pula hanya menserupakan, mensetarakan atau mensekufukan hakikat zat, nama-nama dan sifat Allah dengan makhlukNya dan tidak menafikannya. Antara perbuatan mungkar mereka yang paling jelas untuk dijadikan contoh ialah, yang mana mereka menyamakan keadaan dan keberadaan (tempat) Allah dengan makhlukNya sehingga mengatakan bahawa Allah berada di mana-mana yang meliputi semua benda yang ada. Inilah jawapan dan pengakuan golongan yang sesat166 ini apabila ditanyakan kepada mereka: "Di mana Allah?".
Sesungguhnya untuk mengetahui di mana Allah, wajib diambil jawapannya dari al-Quran, as-Sunnah, athar sahabat yang sahih dan penjelasan para ulama Salaf as-Soleh yang memahaminya melalui pemahaman para sahabat, tabiin dan tabi'ut at-tabi'in, kerana penjelasan mereka adalah yang paling tepat dan benar, yang tidak ada keraguan dan syubahat dalam memahami tentang zat, nama dan sifat-sifat Allah, mereka adalah orang-orang yang paling berilmu, mereka dilahirkan di kurun yang terbaik, mereka hidup di zaman wahyu, mengetahui bila, di mana dan mengapa wahyu itu turun, mereka telah dididik oleh Nabi dengan al-Quran dan mengambil agama sebagai petunjuk secara terus menerus dari baginda. Yang jelas, mereka adalah manusia-manusia yang paling mulia sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.
"Sebaik-baik (semulia-mulia) manusia ialah yang di dalam kurunku, kemudian yang sesudahnya (Tabi'in) dan kemudian yang sesudah mereka (tabi'ut at-tabi'in)".167
Adapun golongan yang sesat dan kesasaran, sering memutar-belitkan hujjah dan kenyataan tentang "Di mana Allah?" melalui ayat-ayat al-Quran yang disalah tafsirkan oleh mereka, atau ditafsirkan melalui rakyi (fikiran), hawa nafsu atau akal mereka semata. Akibatnya penafsiran mereka banyak yang menyalahi dan bertentangan dengan kaedah penafsiran Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berlandaskan manhaj Salaf as-Soleh.
Adapun antara ayat yang dijadikan hujjah dan disalah-gunakan (disalah tafsir) oleh mereka yang sesat tentang memahami dan menjelaskan "Di mana Allah?" dapat dibuktikan melalui contoh dari beberapa ayat-ayat al-Quran dan penghuraiannya. Antara ayat-ayat tersebut ialah:
Ayat Pertama:
اَلَمْ تَرَى اَنَّ اللهَ يَعْلَمُ مَا فِىالسَّـمَاوَاتِ وَمَافِى اْلاَرْضِ مَايَكُوْنُ مِنْ نَّجْوَى ثَلاَثَةٍ اِلاَّ هُوَرَابِعُهُمْ وَلاَ خَمْسَةٍ اِلاَّ هُوَ سَادِسُهُمْ وَلاَ اَدْنَى مِنْ ذَلِكَ وَلاَ اَكْثَرَ اِلاَّ هُوَ مَعَهُمْ اَيْنَ مَاكَانُوْا ثُمَّ يُنَبِّئُكُمْ بِمَا عَمِلُوْا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اِنَّ اللهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٌ.
Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang ada di bumi. Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat. Dan tiada (perkataan antara) lima orang melainkan Dialah yang keenam. Dan tiada (pula) perkataan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
Al-Mujadalah, 58:7.
Penjelasan Ayat
Jika dikaji, diperhatikan dan difahami penafsiran dari keseluruhan ayat di atas ini, iaitu dari awalnya sehinggalah ke akhir ayat, adalah jelas bahawa ia dimulakan dengan memperkatakan tentang "Pengetahuan Allah atau ilmuNya" iaitu firman Allah: "Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi". Ayat ini dimulakan dengan pengkhabaran bahawa Allah Subhanahu wa-Ta'ala mengetahui (ilmu Allah Maha Mengetahui) apa yang di langit dan apa yang di bumi.
Allah mengetahui bisikan dua orang yang berbisik-bisik atau yang lebih dari dua orang. Kemudian dengan jelas ayat ini diakhiri dengan perkataan (kalimah) ilmu, iaitu firman Allah: "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu". Ini membuktikan Allah sentiasa bersama kita ilmuNya, bukan zatNya.168
Imam Ahmad rahimahullah telah menerangkan tentang maksud ayat ini:
اِفْتَتَحَ اْلاَيَة بِالعِلْمِ وَاخْتَتَمَهَا بِالْعِلْمِ.
"Dimulakan ayat ini dengan memperkatakan ilmu dan diakhiri juga dengan memperkatakan ilmu".169
Menurut penjelasan Imam Ahmad bahawa yang dimaksudkan Allah bersama hambaNya ialah yang bersama hambaNya "ilmuNya bukan zatNya", ini bukanlah suatu yang bid'ah atau sesuatu yang diada-adakan, sebaliknya inilah penafsiran para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan pemahaman para ulama Salaf as-Soleh. Sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Jarir dari Ad-Dahak dalam tafsirnya tentang ayat ini bahawa beliau menjelaskan:
"Dia (Allah) di atas 'ArasyNya dan yang bersama mereka ialah ilmuNya. Dan seterusnya beliau menjelaskan: Bahawasanya Dia (Allah) menyaksikan mereka dengan ilmuNya dan Dia (Allah) di atas 'ArasyNya".170
Imam Ibn Kathir pula menjelaskan tentang ayat ini di dalam tafsirnya:
وَلِهَذَا حَكَى غَيْرُ وَاحِدِ اْلاِجْمَاعِ عَلَى اَنَّ الْمُرَادَ بِهَذِهِ اْلاَيَةِ مَعِيَّةُ عِلْمهُ تَعَالَى.
"Oleh kerana yang demikian, telah menceritakan bukan seorang malah secara ijmak atas kesepakatan mereka bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Allah bersama seseorang ilmuNya".171
Seterusnya Ibn Kathir rahimahullah menjelaskan:
لاَ يَغِيْبُ عَنْهُ مِنْ اُمُوْرِهِمْ شَـيْء ثُمَّ قَالَ تَعَالَى {ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا عَمِلُوْا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اِنَّ اللهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ عَلِيْمٍ}.
"Tidak tersembunyi dari pengetahuanNya segala apapun perkara (urusan) mereka, oleh kerana itu Allah berfirman: Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada Hari Kiamat apa yang mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".172
Ayat Kedua:
وَهُوَ مَعَكُمْ اَيْنَمَا كُنْتُمْ.
"Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada".
Al-Hadid, 57:4.
Yang dimaksudkan: "Dia bersama kamu" pada ayat di atas bukanlah bersama hingga bersatu dengan mereka pada keadaan atau tempatnya. Tetapi dalam istilah lain, Allah bersatu dengan mereka kudratNya, pendengaranNya pentadbiranNya, kerajaanNya atau dengan makna kerububiyahanNya, sedangkan Dia di atas ArasyNya dan di atas segala makhluk-makhlukNya.173
Sufiyan At-Thauri rahimahullah telah menafsirkan ayat di atas dengan hadith riwayat Imam Bukhari:
بِاَنَّ ذَلِكَ عِلْمُهُ كَمَا رُوِيَ ذَلِكَ عَنْهُ الْبُخَارِي.
"Sesungguhnya (apa yang dimaksudkan oleh) ayat tersebut ialah (yang bersama kita) IlmuNya sebagaimana yang telah diriwayatkan (tentang ayat tersebut) dari Bukhari".174
وَقَالَ الذَّهَبِى : رُوِيَ غَيْرُ وَاحِدٍ عَنْ معْدَانٍ قَالَ : سَاَلْتُ سُفْيَانَ الثَّوْرِى عَنْ قَوْلِهِ تَعَالَى : (وَهُوَ مَعَكُمْ اَيْنَمَا كُنْتُمْ) قَالَ : بِعِلْمِهِ.
"Berkata Az-Zahabi: Telah diriwayatkan bukan sahaja hanya dari seorang, dari Ma'dan berkata: Aku telah bertanya kepada Sufiyan At-Thauri tentang firman Allah (Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada) beliau berkata: (Yang bersama ialah) IlmuNya".175
Berkata Ibn Jarir rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini di dalam kitab tafsirnya:
"Dia (Allah) melihat kamu wahai manusia! Di mana sahaja kamu berada, Dia mengetahui (apa sahaja) tentang kamu dan mengetahui segala amal kamu......, Dan Dia di atas 'ArasyNya dan 'ArasyNya di atas langit yang ke tujuh".176
Berkata Abu Al-Qasim Al-Asfahani rahimahullah:
"Maka jika sekiranya mereka mempersoalkan kamu tentang penta'wilan ayat (dan Dia bersama kamu di mana kamu berada) dan kamu menafsirkan (maksud ayat tersebut yang bersama ialah) IlmuNya? Kami katakan: Kami tidak menta'wilkan kerana sesungguhnya ayat tersebut menunjukkan bahawa yang dimaksudkan yang bersama ialah ilmuNya kerana Dia berfirman di akhir ayat tersebut (Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di atas segala sesuatu)".177
Telah berkata Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya tentang ayat ini:
"Dia (Allah) mengawasi kamu, memerhatikan segala perbuatan kamu di mana sahaja kamu berada sama ada di daratan atau di lautan, di malam hari atau di siangnya, di dalam rumah-rumah kamu atau di luar rumah. Maka segala-galanya itu dalam pengetahuanNya (ilmuNya) tanpa terkecuali. Segala-galanya di bawah pengelihatanNya, pendengaranNya, maka Dia mendengar percakapan kamu, melihat kedudukan kamu, mengetahui semua rahsia-rahsia kamu dan bisikan kamu kerana Dia telah berfirman:
اَلاَ اِنَّهُمْ يَثْنُوْنَ صُدُوْرَهُمْ لِيَسْتَخْفُوْا مِنْهُ اَلاَ حِيْنَ يَسْتَغْشُوْنَ ثِيَابَهُمْ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّوْنَ وَمَا يُعْلِنُوْنَ اِنَّهُ عَلِيْمٌ بِذَاتِ الصُّدُوْرِ.
"Ingatlah! Sesungguhnya (orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad). Ingatlah! Di waktu mereka menyelimuti dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati".178
Dan Allah berfirman:
سَـوَاءٌ مِّنْكُمْ مَّنْ اَسَـرَّ الْقَوْلَ وَمَنْ جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْـتَخْفِ بِالَّيْلِ وَسَارِبُ بِالنَّهَارِ.
“Sama sahaja (bagi Tuhan) siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya dan siapa yang berterus-terang dengan ucapannya itu, dan siapa yang bersembunyi dimalam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari".179
Seterusnya Imam Ibn Kathir menjelaskan:
"Tiada Ilah (yang wajib diibadahi) selain Dia, tiada Tuhan (Pencipta) selain Dia dan telah thabit (jelas) di dalam hadith yang sahih bahawa Rasulullah salallahu 'alaihi wa-sallam bersabda kepada Jibril semasa ditanya tentang ihsan, baginda bersabda: Hendaklah kamu menyembahNya (Allah) seolah-olah kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat kamu".180 (Bersama dan melihat tidaklah serupa kerana tidak semestinya melihat itu bersama pada zatNya).
Berkata Abu Hayyan Al-Andelusi, At-Thauri dan juga Al-Qurtubi:
Dostları ilə paylaş: |