Tugas Sebenar Para Rasul, Para Nabi & Da'i
Tujuan utama sekalian nabi-nabi dan rasul-rasul diutus oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada ummah mereka ialah untuk merawat penyakit yang menular di kalangan ummahnya, yang mana majoritinya berpenyakit jahiliah yang kritikal. Oleh kerana itu, para nabi dan rasul terlebih dahulu dibekalkan dengan al-Kitab sebelum mereka menyeru kaumnya kepada tauhid yang menjadi penawar dan penyembuh segala penyakit rohani yang juga menjadi penyebab penyakit jasmani yang mereka hadapi.
Dengan berpandukan kepada al-Kitab yang menjadi syifa' (penyembuh) dan petunjuk, para nabi dan rasul terus berdakwah dan merawat ummah mereka terutama di segi akidah supaya beribadah hanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, dan agar meninggalkan semua jenis khurafat, tahayyul, bid'ah dan syirik. Firman Allah Azza wa-Jalla:
يَآاَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَكُمْ مَّوْعَظَةٌ مِنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوْرِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ.
"Hai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman".
Yunus, 10:57.
Para nabi dan rasul ditugaskan untuk membawa sekalian ummahnya kepada hidayah, yang akhirnya telah membawa ummah dan masyarakat manusia ke jalan tauhid uluhiyah (اُلُوْهِيَّةٌ) yang hakiki, iaitu tauhid yang mengajar seseorang hamba bahawa tidak perlu berperantaraan makhluk dalam melaksanakan ibadah kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala.
Para nabi dan rasul diarahkan agar memerangi setiap jenis kesyirikan dan menunjuki manusia ke manhaj tauhid yang murni supaya mengenali Allah sebagai Tuhan seluruh alam, Tuhan yang wajib disembah dan ditaati tanpa disekutukan dengan makhlukNya. Amanah ini telah disampaikan melalui konsep tauhid uluhiyah (mengEsakan Allah) di samping tauhid rububiah dan tauhid asma wa sifat. Semua tugas-tugas ini telah ditunaikan oleh para nabi dan rasul dengan bimbingan al-Kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala kepada mereka.
Penyampaian dan penerangan mengenai akidah tauhid ditekankan dengan serious sebelum mengajar ummah bagaimana mengerjakan cara-cara beribadah dan bermuamalah. Dakwah di segi akidah yang berdasarkan basirah (بَصِيْرَة) "dengan hujjah yang nyata" diberikan penumpuan, perhatian dan keutamaan. Kerana hanya penyeruan akidah yang berhujjah yang nyata dan jelas sahaja yang akan memantapkan (istiqamah) atau meyakinkan seseorang untuk menerima dakwah tersebut.
Begitu juga berdakwah dengan hujjah yang nyata amat diperlukan untuk melaksanakan setiap jenis ibadah atau muamalah agar ianya dilakukan dengan ikhlas, kerana berapa ramaikah orang yang berdakwah tetapi berdakwah kepada diri dan kepentingannya. Oleh itu dakwah perlu dikerjakan dengan ikhlas agar ianya terus diimani dan diamalkan dalam mentaati dan beribadah kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Firman Allah:
قُلْ هَذِهِ سَبِيْلِى اَدْعُوْا اِلَى اللهِ عَلَى بَصِيْرَةٍ اَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِيْ وَسُبْحَانَ اللهِ وَمَآ اَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ.
"Katakanlah! Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutku mengajak (menyeru kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik".
Yusuf, 12:108.
فَاَرْسَلْنَا فِيْهِمْ رَسُوْلاً مِّنْهُمْ اَنِ اعْبُدُوْا اللهَ مَالَكُمْ مِّنْ اِلَهٍ غَيْرُهُ اَفَلاَتَتَّقُوْنَ .
"Lalu Kami utus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri (yang menyeru): Sembahlah Allah oleh kamu sekalian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya)".
Al-Mu'minun, 23:32.
وَمَآ اَرْسَـلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُـوْلٍ اِلاَّ نُوْحِى اِلَيْهِ اَنَّهُ لآ اِلَهَ اِلاَّ اَنَا فَعْبُدُوْنِ.
"Tiada Kami utus seorangpun Rasul sebelum engkau, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan, kecuali Aku, maka oleh sebab itu sembahlah Aku".
Al-Anbia', 21:25.
لَقَدْ اَرْسَلْنَا نُوْحًا اِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ يَاقَوْمِ اعْبُدُوْا اللهَ مَا لَكُمْ مِنْ اِلَهٍ غَيْرُهُ اِنِّى اَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمٍ .
"Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu berkata: Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada tuhan bagimu selain Dia. Aku takut akan ditimpakan ke atas kamu azab di hari yang bersangatan (azabnya)".
Al-A'raff, 7:59.
وَاِلَى عَادٍ اَخَاهُمْ هُوْدًا قَالَ يَاقَوْمِ اعْبُدُوْ اللهَ مَالَكُمْ مِّنْ اِلَهٍ غَيْرُهُ اَفَلاَ تَتَّقُوْنَ.
"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Aad saudara mereka, Hud. Ia berkata: Hai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada ilah (tuhan) bagimu selainNya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?".
Al-A'raf, 7:65.
وَاِلَىثَمُوْدَ اَخَاهُمْ صَالِحًاقَالَ يَاقَوْمِ اعْبُدُوْااللهَ مَالَكُمْ مِّنْ اِلَهٍ غَيْرُهُ.
"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka, Soleh. Ia berkata: Hai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada ilah (tuhan) bagimu selainNya".
Al-A'raf, 7:73
وَاِلَىمَدْيَنَ اَخَاهُمْ شُعَيْبًاقَالَ يَاقَوْمِ اعْبُدُوْااللهَ مَالَكُمْ مِّنْ اِلَهٍ غَيْرُهُ.
"Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara mereka, Syu'aib. Ia berkata : Hai kaumku! Sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada tuhan bagimu selainNya".
Al-A'raf, 7:85.
قُلْ يَآاَيُّهَا النَّاسُ اِنِّيْ رَسُوْلُ اللهِ اِلَيْكُمْ جَمِيْعًا الَّذِيْ لَهُ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالاَرْضِ لآ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ يُحْيِ وَيُمِيْتُ فَآمِنُوْا بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ النَّبِيِّ اْلاُمِّيِّ الَّذِى يُؤْمِنُ بِاللهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوْهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ.
"Katakanlah (ya Muhammad!): Hai manusia! Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah Yang mempunyai kerajaan langit dan bumi: Tidak ada ilah (tuhan yang berhak disembah) selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimatNya (kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk".
Al-A'raf, 7:158.
اِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ فَالَّذِيْنَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ بِالاَخِرَةِ قُلُوْبُهُم مُّنْكِرَةٌ وَهُم مُّسْتَكْبِرُوْنَ .
"Ilah (Tuhan) kamu adalah Ilah Yang Maha Esa. Maka orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, hati mereka mengingkari (keEsaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong".
An-Nahl, 16:22.
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَ مُعَاذًا اِلَى الْيَمَنِ قَالَ لَهُ : اِنَّكَ تَاْتِيْ قَوْمًا مِنْ اَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ اَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ اِلَيْهِ شَهَادَةُ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ . وَفِى رِوَايَةٍ : اَنْ يُوَحِّدَ اللهَ.
"Dari Abdullah bin 'Umar radhiallahu 'anhuma berkata: Sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam semasa mengutus Mu'az ke Yaman baginda bersabda: Sesungguhnya engkau mendatangi satu kaum dari Ahli Kitab, maka jadikanlah pertama yang engkau dakwahkan kepada mereka ialah menyaksikan (mengucapkan/pengakuan) kalimah (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ). Dalam satu riwayat yang lain: "Ajaklah supaya mentauhidkan Allah".
Kesemua ayat-ayat atau hujah-hujjah di atas menunjukkan bahawa para nabi dan rasul telah ditugaskan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala agar memulakan dakwah mereka dengan hujjah. Iaitu dimulakan dengan menyampaikan dan menerangkan pengertian kalimah ikhlas (لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ) kerana di dalam kalimah ini terkandung pengertian akidah tauhid yang dapat menjadikan seseorang itu muwahhid sehingga benar-benar dapat menghapuskan segala bentuk Khurafat, tahayyul dan kesyirikan. Dan mereka diseru agar sentiasa berdakwah dengan basirah(بَصِيْرَةٌ) "Hujjah yang nyata" dari al-Kitab yang diturunkan kepada mereka.
Dostları ilə paylaş: |