Syarat Keempat:
IKHLAS
Kalimah ikhlas (اَلاِخْلاَصُ) diambil dari kata-kata: "Susu yang murni, tidak tercampur atau tercemar" (اَلْلَبَنُ الْخَالِص).
Ikhlas yang dimaksudkan dalam syahadah ialah: membersihkan hati dari segala sesuatu yang bertentangan dengan makna syahadah (persaksian). Menurut pengertian Bahasa Melayu ikhlas bererti:
"(Dengan) hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura,38 tulus dan sangat jujur".
Menurut istilah atau etimologi Bahasa Arab, kalimah ikhlas diambil dari kata dasar (اَخْلَصَ - اِخْلاَصًا) yang mempunyai beberapa maksud, antaranya:
اَلاِخْلاَصُ : تَرْكُ الْغُشِّ وَالرِّيَاءِ . اَوْ فىِ الطَّاعَةِ تَرْكُ الرِّيَاءِ
"Ikhlas ialah meninggalkan penipuan/kecurangan dan riyak. Atau di segi ketaatan (kepada Allah) ialah meninggalkan riyak".39
Ikhlas tempatnya di hati sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad:
"Sesiapa yang mengucapkan tiada tuhan yang diibadahi melainkan Allah dengan penuh keikhlasan akan dimasukkan ke syurga".40
Menurut istilah yang diberikan oleh ulama usuluddin (ulama tauhid), ikhlas bermaksud:
"Membersihkan atau memurnikan ibadah dan akidah hanya untuk Allah dan tidak mempersekutukan Allah dengan makhlukNya (tidak syirik)". Firman Allah:
فَاعْبُدِ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّيْنَ.
"Sembahlah Allah (Yang Satu) dengan penuh keikhlasan kepadaNya".
Az-Zumar, 39:2.
اَلاَ ِللهِ الدِّيْنُ الْخَالِصُ.
"Ingatlah! Hanya kepunyaan Allah agama yang bersih (dari kesyirikan)".
Az-Zumar, 39:2.
وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مَخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ.
"Padahal mereka tidak disuruh melaksanakan ibadah (menyambah Allah) melainkan dengan penuh keikhlasan (memurnikan ketaatan) kepadaNya dalam melaksanakan agama".
Al-Bayyinah, 98:5.
Lawan keikhlasan ialah dengan hati suci, tidak menipu atau tidak berpura-pura dan dalam syara ia bermaksud tidak syirik (tidak menyekutukan ibadahnya dengan yang lain). Kerana antara erti sebenar kalimah ikhlas ialah mengesakan Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang disembah. Dan apabila sesuatu ibadah atau amal benar-benar dikerjakan dengan ikhlas, ini bermakna niat amal tersebut tidak disekutukan dengan sembahan-sembahan yang lain, kerana ikhlas bertujuan membersihkan (memurnikan) setiap amal
Seseorang yang ikhlas beribadah, bermakna dia telah meniatkan ibadahnya hanya sema-mata kerana Allah, mencari keredhaan Allah dan demi kerana Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Adapun orang yang tidak ikhlas, pasti ibadah atau sesuatu amal yang dikerjakannya bukan kerana Allah, oleh itu ibadah atau amal tersebut dianggap telah disekutukan dengan yang lain, bukan ikhlas untuk Allah, kerana tujuan amalnya bukan lagi semata-mata kerana Allah, tetapi ada lagi tujuan yang lain di sebalik ibadahnya.
Adalah wajib bagi setiap orang-orang yang beriman berlaku ikhlas terhadap Allah dalam ibadahnya dan dalam mengucapkan kalimah tauhid, kerana keikhlasan adalah perintah dari Allah dan syarat diterimanya segala amal ibadah sebagaimana firmanNya:
قُلْ اِنِّيْ اُمِرْتُ اَنْ اَعْبُدَ اللهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّيْنَ.
"Katakanlah! Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan penuh keikhlasan (memurnikan ketaatan) kepadaNya dalam (menjalankan) agama".
Az-Zumar, 39:11.
فَمَنْ كَانَ يَرْجُوْا لِقَآءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحًا وَّلاَ يُشْرِكْ بَعِبَادَةِ رَبِّهِ اَحَدًا.
"Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Tuhannya".
Al-Kahfi, 18:110.
Syarat Kelima:
MENERIMA
Maksud menerima ialah tidak mempertikaikan, kerendahan, ketundukan serta penerimaan terhadap segala sesuatu yang datangnya Dari Allah dan RasulNya. Ia membuahkan ketaatan dan ibadah kepada Allah dengan jalan meyakini bahawa tiada yang dapat memberi pertunjuk dan menyelamatkan kecuali ajaran yang datangnya dari Allah. Firman Allah:
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلاَ مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَمْرًا اَنْ يَكُوْنَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ.
"Dan tidak patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula patut) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka".
Al-Ahzab, 33:36.
Menerima juga memberi maksud: Benar-benar menyetujui, membenarkan dan mengesahkan kalimah tauhid ini dengan penerimaan lahir dan batin tanpa diragui dan dipersoalkan.
Ada pun perbezaan antara tunduk (merendah diri) dan menerima adalah, bahawa tunduk merupakan perbuatan raga atau fizik, sedangkan menerima adalah pekerjaan hati.
Lawan menerima ialah menolak, menentang (membangkang), berpaling atau mendustakan ajaran-ajaran Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dengan hatinya. Tidak redha di hatinya untuk menerima apa yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam.
Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah mengkhabarkan kepada kita tentang keburukan dan kezaliman sesiapa yang menolak, menentang serta membohongi kalimah tauhid ini kerana mereka akan diazab, sebaliknya sesiapa yang menerima dan mengamalkannya dengan penuh ketaatan dan keikhlasan maka dia akan dimasukkan ke syurga. Firman Allah:
وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِى فَاِنَّ لَهُ مَعِيْشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ اَعْمَى . قَالَ رَبِّ لِمَا حَشَرْتَنِىاَعْمَى وَقَدْ كَنْتُ بِصِيْرًا . قَالَ كَذَلِكَ اَتَتْكَ اَيَاتُنَا فَنَسِيْتَهَا وَكَذَلِكَ الْيَوْمَ تُنْسَى.
"Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku! Mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat kami, maka kamu melupakannya, dan bagitu (pula) pada hari kamu pun dilupakan".
Taha, 20:124-126.
Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah mengkhabarkan di dalam al-Quran keadaan mereka yang menerima (beriman) dan mereka yang menolak (kufur kepada) kalimah tauhid. FirmanNya:
هَذَا يَوْمُ الْفَصْلِ الَّذِيْ كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُوْنَ . احْشُرُوْا الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا وَاَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوْا يَعْبُدُوْنَ . مِنْ دُوْنِ اللهِ فَاهْدُوْهُمْ اِلَى صِرَاطِ الْجَحِيْمِ.
"Inilah hari keputusan yang kamu selalu mendustakannya. (Kepada malaikat diperintahkan): Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah selain Allah, maka tunjukkan kepada mereka jalan ke neraka".
Ash Shaffat, 37:21-22.
اِنَّهُمْ كَانُوْا اِذَا قِيْلَ لَهُمْ لاَاِلَهَ اِلاَّاللهُ يَسْتَكْبِرُوْنَ . وَيَقُوْلُوْنَ اَئِنَّا لَتَارِكُوْا ءَالِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَّجْنُوْنٍ . بَلْ جَآءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِيْنَ . اِنَّكُمْ لَذَآئِقُوْا الْعَذَابِ اْلاَلِيْمِ . وَمَا تُجْزَوْنَ اِلاَّ مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ.
"Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka: (لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ) tiada tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, mereka menyombong diri. Dan mereka berkata: Apakah sesungguhnya kami harus meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila? Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan rasul-rasul (sebelumnya). Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan".
Ash Shaffat, 37:35-39.
Syarat Keenam:
BERSERAH
Berserah diri kepada kalimah tauhid sama juga seperti berserah diri kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala, kerana ia bermaksud tunduk kepada Allah lahir batin, merendah diri serta taat melakukan segala suruhanNya dengan ikhlas dan meninggalkan segala laranganNya, yang mana ini semua dilakukan berdasarkan firman Allah:
وَمَنْ يُّسْلِمْ وَجْهَهُ اِلَى اللهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بَالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَاِلَى اللهِ عَاقِبَةُ اْلاُمُوْرِ.
"Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. Dan hanya kepada Allahlah kesudahan segala urusan".
Luqman, 31:22.
Apa yang dimaksudkan dengan kalimah (بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى) "Buhul Tali Allah" di dalam ayat ini ialah "Kalimah tauhid" iaitu:(لاَاِلَهَ اِلاَّ اللهُ) "Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah".
وَاَنِيْبُوْا اِلَى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهُ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنْصَرُوْنَ.
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhammu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)".
Az-Zumar, 39:54.
Lawan dari berserah adalah penolakan. Iaitu meninggalkan apa yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam. Allah berfirman:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِيْنَ يُخَالِفُوْنَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْ تُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْ يُصِيْبَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌ.
"Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih".
An-Nur, 24:63.
Syarat Ketujuh:
CINTA
Pengertian cinta yang dapat diambil dan difahami dalam kalimah tauhid ialah cinta yang telah ditetapkan dan diarahkan oleh kalimah tersebut, iaitu agar menyerahkan pengibadatan, penyembahan serta jiwa dan raga dengan pengakuan: "Tiada ilah yang berhak diibadahi/disembah melainkan Allah". Tambahan pula antara pengertian Islam ialah "Menyerah" (الاستسلام), maka menyerah, menyembah dan mengibadahi hanya satu ilah iaitu Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan menyerahkan diri dan menyerah sepenuh cintanya kepadaNya adalah pokok segala ibadah. Kerana pembuktian cinta ialah dengan menyerah dan mendahulukan cintanya kepada yang paling berhak dicintai. Pastinya yang paling layak dan berhak dicintai hanyalah Allah Azza wa-Jalla, kemudian mencintai para nabi, para rasul dan seterusnya mencintai para ahli tauhid.
Termasuk juga tanda cinta ialah dengan mentaati, memenuhi segala tuntutan dan syarat-syarat kalimah ini serta membenci orang yang meninggalkan dan yang membenci akan kalimah tauhid ini. Para ahli ilmu pula telah menjelaskan bahawa cinta yang sebenar tidak dapat diketahui kecuali dengan adanya pembuktian tanda-tandanya dan melaksanakan syarat-syaratnya. Antara tanda-tanda dan syarat-syarat cinta ialah:
1- Mendahulukan cintanya kepada Allah Subhanahu wa-Ta'la walaupun disangka ia bertentangan dengan akal fikiran dan keinginan hawa nafsunya. Nabi bersabda:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَبِهِنَّ حَـلاَوَةَ اْلاِيْمَان : اَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ اَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَاَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ اِلاَّ ِللهِ وَاَنْ يَكْرَهَ اَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ اَنْ اَنْقَذَهُ اللهُ مَنْهُ كَمَا يَكْرَهُ اَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ.
"Tiga perkara yang mana sesiapa yang memperolehi ketiga-tiganya akan memperolehi kemanisan iman: Menjadikan Allah dan RasulNya lebih dicintainya (tiada lain yang lebih dicintai selain dari Allah dan RasulNya). Mencintai seseorang (yang seagama) dan tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Membenci kembali kepada kekufuran setelah diselamatkan oleh Allah darinya sebagaimana bencinya dari dicampakkan ke dalam neraka".41
2- Membenci segala apa dan siapa sahaja yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala sekalipun ianya sangat dicintai dan menggoda kehendak hawa nafsunya. Sebagaimana firman Allah:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُوْنِ اللهِ اَنْدَادًا يُحِبُّوْنَهُمْ كَحُبِّ اللهِ وَالَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَشَدُّ حُبًّا ِللهِ.
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah".
Al-Baqarah, 2:165.
اَرَاَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ اِلَهَهُ هَوَاهُ اَفَاَنْتَ تَكُوْنُ عَلَيْهِ وَكِيْلاً.
"Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?".
Al-Furqan, 25:43.
3- Ittiba', iaitu berittiba' kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dengan cara menerima wahyu yang disampaikannya, mempelajarinya, memahami segala isinya sebagaimana yang difahami oleh para Salaf as-Soleh, mentaatinya, mengimani semua hidayahnya dan mencontohi segala athar darinya. Syarat ini telah ditetapkan oleh Allah di dalam firmanNya:
قُلْ اِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْ وَاللهُ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ.
"Katakanlah! Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Ali Imran, 3:31.
4- Mentaati pemimpin Islam dan orang-orang yang menyeru supaya mentaati Allah. Memusuhi sesiapa sahaja yang memusuhi Allah Subhanahu wa-Ta'ala, memusuhi RasulNya dan orang-orang yang beriman. Firman Allah:
لاَ تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُوْنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلاَخِرِ يُوَآدُوْنَ مَنْ حَـآدَّ اللهَ وَرَسُوْلَهُ وَلَوْ كَانُوْا ءَابَآءَهُمْ اَوْ اَبْنَآءَهُمْ اَوْ اِخْوَانَهُمْ اَوْ عَشِيْرَتَهُمْ.
"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak, atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka".
Al-Mujadalah, 58:22.
يَااّيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا لاَ تَتَّخِذُوْا عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ اَوْلِيَاءَ تُلْقُوْنَ اِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوْا بِمَا جَآءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ يُخْرِجُوْنَ الرَّسُوْلَ وَاِيَّاكُمْ اَنْ تُؤْمِنُوْا بِاللهِ رَبِّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَادًا فِى سَبِيْلِى وَابْتِغَآءَ مَرْضَاتِى تُسِرُّوْنَ اِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَاَنَا اَعْلَمُ بِمَا اَخْفَيْتُمْ وَمَآاَعْلَنْتُمْ وَمَنْ يَفْعَلْهُ مِنْكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ السَّبِيْلِ.
"Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad pada jalanKu dan mencari keredhaanKu (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus".
Al-Mumtahanah,60:1.
DALIL-DALIL TENTANG TAUHID
Jumhur ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berpegang dengan manhaj Salaf as-Soleh sentiasa membawakan dalil-dalil syara apabila memperkatakan persoalan yang menyentuh akidah atau yang berkaitan dengan tauhid, sama ada dalil dari al-Quran atau dari hadith-hadith yang sahih. Antara dalil-dalil tauhid ialah firman Allah Azza wa-Jalla:
وَاِذَا ذَكَرْتَ رَبَّكَ فِى الْقُرْءَانِ وَحْدَهُ وَلَّوْا عَلَى اَدْبَارِهِمْ نُفُوْرًا.
"Dan apabila kamu menyebut saja Tuhanmu (Yang Esa) dalam al-Quran, nescaya mereka berpaling ke belakang kerana bencinya".
Al-Isra', 17:46.
وَاِذَا ذُكِرَ اللهُ وَحْدَهُ اشْمَاَزَّ تْ قُلُوْبُ الَّذِيْنَ لاَ يُؤْمِنُوْنَ بِالاَخِرَةِ وَاِذَا ذُكِرَ الَّذِيْنَ مِنْ دُوْنِهِ اِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُوْنَ.
"Dan apabila hanya nama Allah saja (Yang Esa) yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, dan apabila nama sembahan-sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka beriang hati".
Az-Zumar, 39:45.
ذَلِكُمْ بِاَنَّهُ اِذَا دُعِيَ اللهُ وَحْدَهُ كَفَرْتُمْ وَاِنْ يُشْرِكْ بِهِ تُؤْمِنُوْا فَالْحُكْمُ ِللهِ الْعَلِيِّ الْكَبِيْرِ.
"Yang demikian itu adalah kerana kamu kafir apabila Allah saja disembah. Dan kamu percaya apabila Allah dipersekutukan. Maka putusan (sekarang ini) adalah pada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar".
Al-Mukmin, 40:12.
Terdapat pada ayat di atas penunjuk tentang tauhid iaitu ungkapan ayat: "Allah Yang Maha Esa", "Apabila Allah sahaja disembah" dan "Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar". Antara dalil-dalil yang terdapat pada sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam pula ialah:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ اَنَّ رَسُـوْلَ اللهِ صَـلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا بَعَثَ مُعَاذًا اِلَى الْيَمَنِ قَالَ : اِنَّكَ تُقَدمُ عَلَى قَوْمٍ مِنْ اَهْلِ الْكِتَابِ فَلْيَكُنْ اَوَّلَ مَا تَدْعُوْهُمْ اِلَىاَنْ يُوَحِّدُوْا اللهَ.
"Dari Ibn Abbas radiallahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam ketika mengirim Mu'az ke Yaman baginda bersabda: Engkau akan menghadapi satu kaum dari Ahli Kitab, maka jadikanlah pokok pertama dakwah engkau mengajak mereka sekalian supaya mentauhidkan Allah".42
عَنْ طَارِقِ بْنِ اَشِيْمٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَـلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ وَحَدَّ الله وَكَفَرَبِمَايعْبَدُمِنْ دُوْنِهِ حَرَّمَ مَالَهُ وَدَمَهُ وَحِسَابهُ عَلَىاللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
"Dari Tariq bin Asyim berkata: Aku mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam bersabda: Sesiapa yang mentauhidkan Allah dan mengkufuri apa yang diibadahi selainNya, diharamkan harta dan darahnya. Dan perhitungannya atas Allah 'Azaa wa-Jalla".43
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ : بُنِيَ اْلاِسْلاَم عَلَى خَمْسٍ : عَلَى اَنْ يُوَحِّدَ الله ، وَاِقَامِ الصَّـلاَة ، وَاِيْتَاءِ الزَّكَاة ، وَصَـوْمِ رَمَضَان ، وَالْحَجَّ.
"Dari Ibn 'Umar radiallahu 'anhuma, dari Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam beginda bersabda: Dibina Islam atas lima perkara: (Diwajibkan) mentauhidkan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, puasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji".44
Dalam semua hadith Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam di atas terdapat dalil-dalil tentang tauhid, iaitu ungkapan: "Jadikanlah pokok pertama dakwah engkau mengajak mereka sekalian supaya mentauhidkan Allah", "Sesiapa yang mentauhidkan Allah..........." dan "Diwajibkan mentauhidkan Allah". Semua dalil-dalil ini menolak di atas kejahilan orang-orang yang mengingkari "Tauhid".45
PANDUAN MENGENAL KALIMAH TAUHID
Para ulama Salaf as-Soleh juga telah menggariskan beberapa panduan atau jalan untuk mengetahui dan mengenali kalimah ikhlas (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ) antaranya ialah:46
1. Dengan memberi perhatian tentang nama-nama, sifat-sifat dan af'al (perbuatan) Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang dikhabarkan di dalam al-Quran dan dijelaskan oleh hadith-hadith sahih yang menunjukkan tentang kesempurnaan Allah, keBesaranNya dan keAgunganNya. Seterusnya kalimah tersebut perlu dipelajari dan difahami sebagaimana yang difahami oleh para ulama Salaf as-Soleh dengan kecekalan, kesungguhan dan kesabaran. Semua yang diusahakan akan memberi kebaikan dan membawa kepada penyembahan serta pangabdian (penghambaan) diri yang sempurnaa kepada Tuhan Yang Maha Esa yang bagiNya segala puji, kemuliaan, kebesaran dan keindahan.
-
Berilmu (iaitu ilmu yang dipelajari dan difahami dari al-Quran dan al-Hadith yang sahih yang dengannya dapat menyedarkan) bahawa hanya Dia (Allah) sahaja Pencipta dan Pengurus sekalian alam dengan segala isi-isinya serta segala kejadian yang berlaku.
-
Mengambil ilmu tentang kalimah ini dari sumber al-Quran dan al-Hadith. Kerana hanya kedua kitab ini sahaja dapat mengenalkan seseorang bahawa Allah adalah pemberi nikmat zahir dan batin, termasuklah nikmat keduniaan. Namun, nikmat yang paling besar ialah nikmat beragama Islam. Dengan mengenali Allah sebagai pemberi segala nikmat, pasti akan menyebabkan hati sentiasa bergantung denganNya, mencintaiNya dan hanya menyembah Dia yang tidak ada sekutu bagiNya.
MAKSUD ILAH DALAM AL-QURAN
Secara bahasa kalimah ilah (اِلَهٌ) yang terdapat pada ayat-ayat al-Quran, ia membawa maksud "al-Ma'bud" iaitu "Yang diibadahi dan disembah dengan sepenuh hati".47 Firman Allah:
وَاِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيْمُ.
"Dan Rabbmu adalah Rabb Yang Maha Esa, tidak ada ilah yang berhak diibadahi (dan disembah) melainkan Dia, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang".
Al-Baqarah, 2:163.
Kesempurnaan akidah seseorang muslim setelah beriman bahawa hanya ada satu Tuhan Yang Esa mencipta dan menguasai langit, bumi, dunia dan akhirat, kerana akal yang waras tidak mungkin menerima adanya dua Tuhan pencipta segala-galanya. Firman Allah:
لَوْكَانَ فِيْهِمَا ءَالِهَةٌ اِلاَّ اللهُ لَفَسَدَتَا.
"Andaikan ada pada keduanya (langit dan bumi) Tuhan selain Allah, nascaya rusaklah keduanya".
Sl-Anbia, 21:22.
Terdapat beberapa hadith sahih yang menegaskan bahawa Allah menjamin kemasukan syurga bagi mereka yang mengetahui, memahami dan kemudian memenuhi tuntutan kalimah tauhid ini dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Namun sebaliknya, neraka adalah tempat kembali bagi mereka yang sengaja melakukan kesyirikan lantaran jahil dan mengabaikan kalimah ini. Antara hadith yang dimaksudkan ialah:
مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَعْلَمُ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ دَخَلَ الْجَنَّة.
"Sesiapa yang mati sedangkan dia mengetahui bahawasanya tidak ada tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, dia akan masuk syurga".48
Menurut kenyataan dari sirah, orang-orang Arab jahiliyah (musyirikin) terasa amat keberatan atau enggan untuk mengucapkan kalimah tauhid ini (لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ). Punca keengganan mereka ialah kerana mereka faham makna, maksud, syarat dan tuntutan kalimah ini disamping adanya rasa kesombongan (tidak ikhlas) di hati mereka.
Masyarakat Arab jahiliah menyedari bahawa sesiapa yang mengikrarkan kalimah tauhid bererti dia telah berlepas tangan dan tidak memiliki lagi tuhan-tuhan berhala yang menjadi sembahan selama ini, sebaliknya wajib bagi mereka menafikan semua ketuhanan berhala tersebut dan mengithbatkan (menetapkan) hanya Allah sahaja sebagai Tuhan yang wajib disembah dan ditaati. Allah telah mengkhabarkan kenyataan ini dengan firmanNya:
Dostları ilə paylaş: |