ISLAM ADALAH AGAMA TAUHID (AKIDAH) & IBADAH
Islam merupakan agama tauhid dan amal (ibadah) sehingga diulang berkali-kali kalimah yang menyeru agar "Beriman dan beramal soleh" atau kalimah yang seumpamanya. Islam menuntut kepada setiap penganutnya agar sentiasa mentaati Allah di samping menjauhkan diri mereka dari segala bentuk maksiat, bid'ah dan kesyirikan. Firman Allah:
وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهُ وَالْمُؤْمِنُوْنَ وَسَتُرَدُّوْنَ اِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ.
"Dan katakanlah! Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat amalan kamu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan".
At-Taubah, 9:105.
Perlu sentiasa disedari bahawa seorang muslim setelah meninggalkan maksiat, ia wajib memahami akidah tauhid berserta ilmu-ilmu tentangnya. Seterusnya, akidah tersebut perlu dijaga, dipelihara, diperkukuh dan disempurnakan dengan beramal soleh, iaitu dengan melaksanakan semua amal ibadah yang wajib dan yang tatawwu' (sunnah) dengan ikhlas, penuh ketaatan dan istiqamah yang dengannya akan menjadikan seseorang itu bertakwa kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa Islam adalah agama yang paling sempurna sehingga tidak akan diterima apapun agama selainnya. Islam menjadi nikmat bagi setiap penganutnya kerana sesiapa yang mati dalam keadaan Islam dan bersih akidahnya (tidak syirik), maka ganjarannya adalah syurga. Ini bererti, amat malang dan paling rugi sesiapa yang mengambil agama selainnya, kerana jika ia mati dalam keadaan menganut agama selain agama Islam, maka kematiannya dalam kekafiran dan akibatnya ia akan di humban ke dalam neraka dengan penyiksaan yang amat pedih. (Na'uzubillahi min zalik).
Walaupun dalam penjelasan di atas dan dalam penjelasan yang selanjutnya (insya Allah) akan terus disentuh serba ringkas beberapa perkara yang berkaitan dengan Islam, namun dalam tulisan ini, penulis akan lebih menumpukan kepada pembahasan dan penelitian yang terperinci tentang "Iman" serta rukun dan syaratnya. Tulisan yang membahas serta mengupas tentang iman ini, akan dipenuhi, dipadatkan dan diperkuat dengan dalil-dalil al-Quran, hadith-hadith sahih, athar para sahabat, qaul-qaul para tabi'in, tabi'ut at-tabi'in dan fatwa-fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang muktabar yang berpegang kepada manhaj Salaf as-Soleh. Oleh itu ikutilah pembahasan dan penjelasan yang selanjutnya kerana penulisan ini akan diakhiri dengan membincangkan persoalan "Apa Itu Ihsan?"
RUKUN ISLAM
Penetapan bahawa rukun Islam itu lima perkara ialah berdasarkan kepada hadith sahih yang diriwayatkan dari Abdullah bin 'Umar radiallahu 'anhuma, yang mana beliau telah berkata: "Telah bersabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam":
اِنَّ اْلاِسْلاَمَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ ، شَـهَادَةِ اَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ ، وَانَّ مُحَمَّدًا رَسُـوْلُ اللهِ ، وَاِقَامِ الصَّلاَةِ ، وَاِيْتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَصِيَامِ رَمَضَانَ ، وَحَجِّ الْبَيْتِ.
"Dibina Islam di atas lima perkara, mengaku bahawa tidak ada tuhan yang diibadahi kecuali Allah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan".6
Penulisan ini akan lebih ditumpukan dalam membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan tauhid atau iman.
APA ITU IMAN?
Iman bersinonim dengan kalimah akidah atau didefinisikan sebagai keimanan yang tidak mengandungi kontra (tidak ada keraguan, dugaan, waham, ketidaktahuan, kesalahan atau kelupaan seseorang hamba di hatinya selain iman), kerana iman bererti pembenaran dan menurut syara pula didefinisikan:
اَلاِيْمَانُ : نُطْقٌ بِالْلِّسَانِ ، وَاعْتِقَادٌ بِالْجَنَانِ ، وَعَمَلٌ بَالْجَوَارِحِ وَاْلاَرْكَانِ ، وَيَزِيْدُ بِاطَّاعَةِ وَيَنْقُصُ بِالْمَعْصِيَةِ.
"Iman itu: Pengucapan dengan lisan, iktikad di hati, beramal dengan seluruh anggota badan, ia bertambah dengan ketaatan (ibadah) dan berkurangan dengan kemaksiatan".7
Atau dimaksudkan juga:
"Iman ialah ilmu tentang hukum-hukum syara dalam bidang akidah yang diambil dari dalil-dalil yakiniyah (mutlak) dan menolak syubahat serta dalil-dalil khilafiyah yang cacat".
Antara lain pengertian akidah menurut pemahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, sama ada menurut pengertian bahasa atau pengistilahan syara ialah:
(1) Akidah ialah: Ikatan tauhid yang kukuh, teguh dan kuat sehingga memantapkan keimanan seseorang terhadap Allah Subhanahu wa-Ta'ala, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan keimanan terhadap penentuan qada' dan qadarNya, sama ada yang baik atau yang buruk semuanya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala".
(2) Kalimah "Akidah" boleh membari maksud "Iman" kerana akidah dimaksudkan juga oleh para ulama tauhid sebagai: "Kepercayaan/Pembenaran(اَلتَّصْدِيْقُ) ". Namun, iman tidak boleh diseertikan dengan kalimah tasdik (اَلتَّصْدِيْقُ) "Percaya", kerana tasdik hanya setakat percaya dan seseorang yang percaya tidak semestinya telah beriman, sebagaimana percayanya Abu Talib terhadap Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi beliau tidak beriman dengan kerasulan baginda.
Adapun batasan iman dan penafsirannya menurut para ulama tauhid ialah:
اَلتَّصْدِيْقُ الْجَازِمُ وَاْلاِعْتِرَافُ التَّامُ بِجَمِيْعِ مَا اَمَرَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ بِالاِيْمَانِ بِهِ.
"Kepercayaan yang teguh/mantap (positif) dan pengiktirafan yang sempurna pada segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan RasulNya sehingga ditaati dengan sepenuh keyakinan pada setiap apa yang telah disyariatkan".8
Oleh yang demikian dapatlah difahami bahawa asas dan pokok segala akidah dan keimanan ialah beriman kepada tauhid, sama ada tauhid uluhiyah, rububiyah atau tauhid asma, sifat dan zat. Itulah sebabnya martabat dan keimanan seseorang itu dianggap paling tinggi dan mulia apabila mengimani "Tauhid" kepada Allah dan mengetahui (berilmu) akan makna, maksud dan syarat-syarat kalimah tauhid, iaitu kalimah (لاَ اِلَهَ اِلاَّ الله).
Adapun antara maksud dan tujuan memahami akidah tauhid ialah:
"Supaya dapat membenarkan (meyakini) dengan hati yang suci murni dan dengan penuh kepastian tentang wujudnya Dzat Allah Yang Esa (Tunggal), nama-namaNya dan sifat-sifatNya yang sempurna dan tiada sesuatu pun yang semisal, setara atau sekufu denganNya. Dialah Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi yang tiada ilah yang berhak disembah dan diibadahi selain Dia". Akidah tauhid juga dapat diertikan:
"Mengaku dengan sebenar-benar pengakuan dan keyakinan bahawa Dialah Tuhan Yang Al-Awalu wal-Akhiru (اَلاَوَّلُ وَاْلاَخِرُ)(Yang Awal dan Yang Akhir), Dialah Zahir, Dialah di atas segala-galanya sehingga tidak ada sesuatu pun yang berada di atasNya dan Dialah juga Batin sehingga tidak ada lagi yang di bawahNya".
Seseorang yang berakidah tauhid meyakini bahawa hanya Allah menghidupkan (Qayyum), Maha Esa dan Dialah tempat berlindung segala makhluk di langit dan di bumi sebagaimana firmanNya:
قُلْ هُوَ اللهُ اَحَدٌ . اَللهُ الصَّـمَدُ . لَمْ يَـلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْ . وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا اَحَدٌ.
"Katakanlah! Dialah Allah Yang Maha Esa (Tunggal). Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia".
Al-Ikhlas, 1-4.
Menurut ulama Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, bahawa natijah dari mentaati perintah Allah yang memerintahkan agar mempelajari dan memahami kalimah (لااله الا الله) melalui ilmu yang bersumber dari al-Quran dan sunnah, maka ia membawa seseorang itu mengenali nikmat tauhid, kerana dengan pengetahuan tersebut ia dapat menyelamatkan akidahnya dari kesesatan bid'ah, kesyirikan atau penyelewengan.
Antara seruan Allah Subhanahu wa-Ta'ala yang memerintahkan agar difahami dan dipelajari kalimah tauhid ini terdapat di dalam firmanNya:
فَاعْلَمْ اَنَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ.
"Maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan (Yang berhak diibadahi) melainkan Allah dan mohonlah ampunan bagi dosamu".
Muhammad, 47:19.
Ayat di atas ini menyuruh agar seseorang itu meminta keampunan di atas keterlanjuran dosa yang dilakukan, namun sebelum meminta ampun, diperintahkan agar bertauhid terlebih dahulu kerana dosa kesyirikan akan menghalang dari keampunan Allah sebelum dibersihkan dengan tauhid.
Oleh itu, beriman kemudian berilmu tentang akidah tauhid yang diimani adalah asas bagi segala-galanya, dan dengan termeterinya keimanan yang didasari ilmu di hati seseorang, ia akan memperolehi keimaman yang mantap dan akidah yang murni. Malah keimanan yang berasaskan ilmu akan menjadikan seseorang itu beribadah kepada Allah Subhanahu wa-Ta'ala dengan sempurna, penuh keikhlasan dan terhindar dari pembabitan bid'ah, sama ada ibadahnya yang berupa pengucapan dengan lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), amalan luaran (عَمَلُ الْجَوَارِح والاركان) atau amalan (kerja) hati (عَمَلُ الْقَلْبِ) sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban:
"Sesungguhnya cabang-cabang iman itu setelah diperinci ia meliputi amal lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), amal badan/luaran (عَمَلُ الْجَوَارِحِ) dan amal hati (عَمَلُ الْقَلْبِ)". Ini dapat diperjelaskan lagi bahawa:
-
Qaul قَوْلٌ "Ucapan/perkataan/pengakuan". Iaitu dengan cara ( قَوْلٌ بِاللِّسَانِ ) "Ucapan (Perkataan, Pengakuan pengikraran) yang lahir dari lisan yang terbit (untuk menggambarkan) apa yang terdapat di hati tentang apa yang dipercayai sehingga diikrarkan dengan perkataan".9
Qaul bil-Lisan (قَوْلٌ بِاللِسَانِ) disebut juga oleh ahli ilmu: "Amal Lisan" (عَمَلُ الْلِسًانِ). Penjelasan ini berdasarkan firman Allah:
قُوْلُوْا آمَنَّا بِاللهِ.
"Katakanlah/ucapkanlah (dengan lisan kamu bahawa) kami beriman dengan Allah".
Al-Baqarah, 2:136.
Contoh amal lisan ialah: Mengucapkan dua kalimah syahadah (kalimah tauhid), membaca al-Quran, belajar atau mengajarkan ilmu, beristighfar dan sebagainya.
2- Amal (عَمَلٌ) "Perbuatan". Iaitu dengan cara amal al-jawarih (عَمَلُ الْجَوَارَحِ) "Amalan anggota tubuh badan seperti mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala tegahanNya".10
Sesiapa yang terkeluar atau menyeleweng dari dasar amal yang berkaitan dengan keimanan (akidah) maka dia telah berdosa malah ia telah melakukan kesyirikan kepada Allah. Dan sesiapa yang sengaja menambah amal yang berkaitan dengan iman apa yang bukan dari urusan keimanan maka dia telah melakukan bid'ah dalam akidah11 (sehingga menyebabkan juga berlakunya kesyirikan lantaran amalannya yang bid'ah. pent.).
Contoh amal badan (اَلْجَوَارِحُ) ialah: Sembahyang, puasa, zakat, haji, beriktikaf, bersuci, berjihad dan yang lain-lainnya.
3- Iktikad (اِعْتِقَادٌ) di hati bererti: "Kepercayaan/keyakinan yang tersemat di dalam hati". Iktikad di hati dikenali juga oleh ahli ilmu sebagai qaul al-qalb (قَوْلُ الْقَلْبِ) "Ucapan/bisikan hati" iaitu:
"Berpunca dari iktikad di hati sehingga membuktikan atau mengwujudkan (Bisikan/Pengikraran) amalan hati yang mana tanda pembenarannya ialah dengan tunduk, menyerah (patuh)12, ikhlas, taat, penuh rasa cinta (kepada Allah) dan menggemari amal soleh".13
Amal hati terdiri dari iktikad (keimanan/kepercayaan) dan niat. Contoh amalan hati ialah beriman dengan tauhid rububiyah, tauhid uluhiyah serta tauhid asma (nama-nama), sifat-sifat dan zat Allah. Setrusnya mengimani para malaikat, kitab, para rasul, para nabi, hari kiamat serta qada' dan qadar (penentuan) yang semuanya dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala.
Semua keterangan dan hujjah-hujjah di atas dapat difahami, diperjelas dan dikuatkan lagi melalui qaul Imam Syafie rahimahullah yang dikeluarkan oleh Ibn Abdulbar dari Ar-Rabii':
سَمِعْتُ الشَّافِعِيَّ يَقُوْلُ : اَلاِيْمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ وَاعْتِقَادٌ بِالْقَلْبِ ، اَلاَ تَرَى قَوْلَ الله تَعَالَى {ومَاكَانَ اللهُ لِيُضِيْعَ اِيْمَانَكُمْ} يَعْنِي صَلاَتَكُمْ اِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ ، فَسَمَّى الصَّلاَة اِيْمَانًا وَهِىَ قَوْلٌ وَعَمَلٌ وَعَقدٌ.
"Aku mendengar Syafie berkata: Iman itu perkataan (ucapan/pengakuan), amal dan iktikad di hati, tidakkah engkau ketahui firman Allah Ta'ala (Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu) iaitu sembahyang kamu semasa menghadap Baitul Makadis. Maka dinamakan sembahyang sebagai iman lantaran ia merupakan ucapan, amal dan iktikad".14
Dengan berpandukan penjelasan Imam Syafie rahimahullah ini, maka perlulah seseorang itu sentiasa memelihara setiap perkataan, amal dan iktikadnya terutama yang berkaitan dengan tauhid dan sembahyang, supaya ia tidak menyeleweng dari dasar keimanan yang sempurna, terhindar dari melakukan dosa-dosa besar serta terselamat dari segala bentuk kekufuran, kesesatan atau kesyirikan. Kerana al-Quran juga telah menggambarkan mereka yang meninggalkan salah satu dari tiga perkara tersebut:
كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللهِ اَنْ تَقُوْلُوْا مَالاَ تَفْعَلُوْنَ.
"Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan".
Ash-Shaff, 61:3.
MUKMIN SEJATI
Perlu disedari bahawa belum memadai jika sekiranya seseorang itu setakat mengaku dirinya sebagai seorang mukmin jika hanya sekadar mempercayai (berdasarkan kepercayaan) semata. Seseorang itu juga tidaklah dinamakan beriman jika tidak dibuktikan keimanannya atau akidah tauhidnya dengan amal-amal yang soleh. Kerana Abu Talib juga percaya dengan kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad salallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi dia tidak dianggap sebagai seorang mukmin lantaran tidak pernah membuktikan keimanannya sama ada dengan pengucapan kalimah tauhid atau mengamalkan amal ibadah yang telah diwajibkan oleh syara kepada setiap mukmin yang mukallaf
Oleh itu, sesiapa sahaja yang hanya percaya dengan segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa-sallam, mengakui bahawa baginda adalah semulia-mulia Nabi dan Rasul, meyakini bahawa agama yang dibawanya adalah sebaik-baik agama, namun jika ia enggan beramal dengan apa yang telah diwajibkan dan tidak meninggalkan apa yang telah diharamkan, maka ia tetap dianggap tidak beriman kerana keingkarannya beramal secara lahir walaupun mempunyai kepercayaan di batinnya.15 Serangkap kata-kata Arab telah menjelaskan keadaan orang-orang seperti ini:
اَلظَّاهِرُ عِنْوَانُ الْبَاطِن.
"Yang lahir itu adalah tanda/alamat (sebenar untuk) menunjukkan yang di batin".
Dari keterangan ini dapat difahami bahawa jika sekiranya seseorang itu tidak redha, belum mengikrarkan (membuktikan) hakikat keimanannya, enggan mengamalkan apa pun suruhan dan tuntutan agama sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syara dan tidak mahu berilmu tentangnya, maka ia tidak dianggap sebagai insan yang beriman.
Dianggap tidak beriman sesiapa yang tidak menyakini wajibnya menunaikan setiap tuntutan yang telah diwajibkan oleh syara. Begitu juga tidak beriman sesiapa yang mengingkari kewajipan yang telah diwajipkan oleh syara kepada setiap orang yang beriman.
Antara penjelasan dari ulama Salaf as-Soleh tentang tuntutan pembuktian iman sama ada dengan pengucapan atau amalan ialah:
"Pembuktian iman melalui amal perbuatan itu adalah wajib kerana ia termasuk dalam bab kesempurnaan iman, maka sesiapa yang mengingkarinya dia adalah Murjii. Manakala sesiapa yang memasukkan ke dalam bab iman sesuatu amal yang bukan daripadanya maka dia adalah seorang yang mubtadi' atau pencinta bid'ah".
Dalam menjelaskan tentang akidah, Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, memaksudkan antara pengertian akidah sebagai keimanan serta keikhlasan yang tersemat dan terpelihara di hati. Iman, akidah dan keikhlasan merupakan himpunan segala perkara dan sebagai sendinya dalam meyakini agama. Iman tidak didahului oleh yang lainnya dalam manhaj agama dan tidak ada yang dapat menempati kedudukannya dalam perilaku beragama. Iman penyempurna baiknya hati, menjadi syarat utama untuk diterima segala amal kebaikan atau amal ibadah yang dilakukan oleh seseorang insan dan iman menjadi asas utama untuk menjadi insan yang bertakwa. Firman Allah:
وَالَّذِيْ جَآءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَقَ بِهِ اُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُوْنَ.
"Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang mempercayai(nya), mereka itulah orang-orang yang bertakwa".
Az-Zumar, 39:33.
Di dalam kitab sahih Bukhari, telah dikhususkan satu bab bertajuk: "Sesungguhnya Iman itu ialah amal".16 Seterusnya dibawakannya sebuah hadith:
عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ اَيُّ الْعَمَلِ اَفْضَلُ ؟ فَقَالَ : اِيْمَانٌ بِاللهِ وَرَسُوْلِهِ.
"Dari Abi Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam telah ditanya, apakah amal yang terbaik? Maka baginda menjawab: Beriman kepada Allah dan RasulNya".17
Sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam sebagaimana di dalam hadith ini bahawa amal yang terbaik ialah "Beriman kepada Allah". Ini merupakan jawapan yang menjelaskan kepada amal yang paling afdal (terbaik) yang menunjukkan bahawa iktikad (iman) dan pengucapannya termasuk dalam jumlah amal,18 seterusnya diiringkan dengan amal-amal fizikal kerana ia adalah penyempurnaan iman yang tersemat di hati.19
Dostları ilə paylaş: |