AKIDAH yang benar merupakan asas penting bagi setiap orang dalam kehidupan beragama, kerana ia adalah garis penentu antara iman dan kufur. Pengajian akidah ini turut membincangkan perbezaan pendapat dan aliran antara mazhab-mazhab yang telah lama wujud dan berkembang sepanjang sejarah Islam bersama dengan mazhab utama iaitu mazhab Ahlussunnah Wal Jamaah.
Pengajian akidah ini menjuruskan perbincangan berkaitan isu-isu akidah yang sepatutnya direnungi dan diambil perhatian oleh setiap Muslim terhadap segala persoalan yang berlangsung dalam kehidupan seharian mereka.
Akidah Islam merupakan suatu pegangan atau kepercayaan yang mesti terpahat kukuh dalam jiwa sanubari setiap Muslim. Akidah Islam jugalah penentu nasib kesudahan setiap manusia sama ada berbahagia atau hidup sengsara di akhirat kelak. Akhir-akhir ini begitu banyak isu akidah tercetus dalam pentas kehidupan umat Islam yang memerlukan jawapan pasti agar mereka tidak tersasar daripada jalan yang lurus.
Akidah Islam adalah tonggak utama yang mendasari kelangsungan ummah. Maju dan membangunnya sesuatu umat bergantung rapat kepada ketulenan akidah dan kesejahteraan pemikirannya. Dari sini, dibangkitkan perutusan para nabi dan rasul untuk menyeru ke arah pemulihan akidah.
Pengajian akidah ini akan menyentuh perbincangannya mengenai mazhab ilmu Kalam, amalan-amalan yang membawa kepada kufur, syirik, riddah, nifaq dan zalim, kesan iman dalam kehidupan dan isu-isu penyelewengan dalam akidah.
Menilai perbezaan antara mazhab-mazhab ilmu kalam.
Menganalisiskan perkara-perkara yang boleh membatalkan keimanan.
Membincangkan kesan iman dan isu-isu aqidah dalam kehidupan.
Menjelaskan isu sejarah perpecahan dan pemikiran moden yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Hadith.
Menanamkan keyakinan agar pegangan umat Islam kini mantap seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad.
1.3 Kerangka Konsep Tajuk
1.4 Konsep dan Definisi Akidah
Pendahuluan
Akidah merupakan intisari utama dan tunjang terpenting yang terkandung dalam ajaran Islam. Akidah ini jugalah yang mendasari dan menunjangi dalam setiap gerak geri dan aspek kehidupan kita. Tanpanya, maka sia-sialah saja amalan yang dilakukan oleh seseorang manusia di sisi Allah Taala dan dia pastinya termasuk ke dalam golongan yang rugi di akhirat kelak.
Pengertian Akidah Perkataan akidah berasal daripada perkataan bahasa Arab ‘Aqada yang bermaksud “simpulan ikatan tali”. Akidah itu maknanya satu ikatan atau simpulan yang diikat dengan kuat dan rapi. Apabila akidah dipadankan dengan Islam, maka ia membawa maksud satu bentuk kepercayaan dan keimanan yang perlu dipegang kuat-kuat dan sungguh-sungguh agar ia tersemat mantap di jiwa dan tidak mudah digugah walaupun apa jua cabaran yang mendatang.
Manakala ilmu akidah ialah ilmu yang menyelidiki dan memeriksa kepercayaan seseorang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan dan perkara sam’iyyat iaitu perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka dan lain-lain berserta dalil-dalilnya. Ilmu akidah ini mempunyai pelbagai nama, antaranya ialah:
(a) Ilmu Kalam.
(b) Ilmu Makrifah
(c) Ilmu Tauhid dan
(d) Ilmu Usuluddin.
Kepentingan dan Peranan Ilmu Akidah
Akidah ini mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam ajaran Islam di mana ia mampu bertindak sebagai pemangkin bagi seseorang individu Muslim untuk menghadapi apa jua cabaran yang membadai biarpun ia menuntut pengorbanan dengan harta dan nyawa sekalipun. Generasi Rasulullah s.a.w. dan sahabat telah membuktikan segala-galanya dengan ketebalan iman yang tersemat kukuh di jiwa mereka. Dengan berkat asuhan dan didikan Rasulullah s.a.w. serta sentuhan ajaib baginda s.a.w. kepada generasi sahabat, mereka telah mampu melonjakkan generasi mereka sebagai umat yang terbaik dan terunggul sehingga setakat ini.
Seorang mukmin yang berakidah, ia sangat dikasihi oleh Allah dan RasulNya serta dikasihi pula oleh masyarakat yang berada di sekelilingnya. Segala perkataan yang diucapkannya, perbuatannya, masyarakat akan merasa senang. Ia akan bertawakal sepenuhnya kepada Allah dan menumpukan sepenuh harapan kepadaNya.
Akidah juga berperanan memantapkan keimanan di dalam hati seseorang serta meyakinkan kewujudan Allah s.w.t. serta mengesakanNya. Orang yang beriman meyakini keesaan dan kewujudan Allah. Mereka beriktikad bahawa Allah memiliki semua sifat kesempurnaan (yang sesuai denganNya) dan terpelihara dari semua sifat kekurangan (yang sesuai denganNya). Dengan adanya akidah Islam, mereka sanggup untuk mempertahankan keimanan mereka kepada Allah tanpa boleh diganggu-gugat oleh mana-mana kuasa manusia. Sejarah membuktikan kejayaan Bilal bin Rabah, ‘Ammar bin Yasir, Sumayyah yang berani mempertahankan iman mereka di hadapan pembesar Quraisy.
Di samping itu, Allah mencipta sekalian makhluk supaya mereka menyembahNya semata-mata dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain daripadaNya sebagaimana firman Allah maksudnya:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Surah al-Dzariyyat, ayat 56)
Menyembah Allah adalah hak Allah terhadap hamba-hambaNya berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadith kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: Adakah kamu mengetahui apakah hak Allah terhadap hambaNya dan apakah hak hamba terhadap Allah ? Saya berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Hak Allah terhadap hambaNya ialah mereka menyembah Allah dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain daripadaNya. Manakala hak hamba terhadap Allah ialah Allah tidak akan menyeksa mana-mana hamba yang tidak mempersekutukanNya dengan yang lain.
Melalui akidah, kita berupaya membuktikan kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. melalui dalil syarak dan juga secara logik akal. Dengan itu, ia berupaya menjadi alat untuk berdakwah kepada golongan bukan Islam. Ilmu akidah menjadikan agama Islam boleh diterima secara logik akal dan bukan ikutan secara melulu.
Tambahan pula, akidah ini berperanan untuk membuktikan penyelewengan ajaran sesat serta kebatilan agama selain akidah Islam. Ia berperanan mengenal pasti ajaran yang salah sekaligus mempertahankan agama Islam dari penyelewengan, keraguan dan ancaman gejala murtad. Akidah yang betul merupakan syarat asas kepada penerimaan Allah terhadap amalan manusia. Allah tidak menerima amalan orang yang rosak akidahnya atau golongan kafir.
Seorang pemimpin yang mempunyai akidah yang manpan sentiasa tunduk kepada perintah Allah s.w.t. yang lebih agung daripada kekuasaan yang ada padanya. Mereka menyedari bahawa kuasa yang mereka pegang adalah amanah, bukan satu jawatan yang mulia. Mereka akan menjalankan tugas dengan penuh amanah, menguruskan harta rakyat sebaik-baiknya.
Perlu disedari bahawa akidah itu adalah satu keyakinan yang penuh tulus dan kudus lahir dari sudut hati dengan dihiasi perasaan cinta dan kasih yang mutlak hanya kepada Allah semata-mata melebihi daripada segala apa yang dicintai di dunia yang fana ini. Dengan lain perkataan, keimanan kepada Allah adalah merangkumi sama Tauhid Rububiyyah dan tauhid Uluhiyyah yang menyaksikan Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir Agung alam semesta ini.
Sifat yang diasaskan kepada akidah akan melahirkan satu bentuk persaudaraan yang sukar dirungkai oleh mana-mana anasir yang tidak sihat. Persaudaraan yang dibina ini melampaui batasan sejarah, geografi, darah, keturunan dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bagaimana Salman al-Farisi (Parsi), Shahib ar-Rumi (Rom) telah menjadi saudara kepada orang Islam yang berada di Makkah walaupun mereka adalah golongan pendatang. Begitu juga apa yang berlaku pada orang Anshar dan Muhajirin sehinggakan Allah s.w.t. merakamkan dalam al-Qur’an mengenai sikap mereka yang sanggup mengorbankan apa sahaja semata-mata kerana ukhuwwah yang dibina di atas dasar Islam.
Persaudaraan dan persamaan tidak dapat dijelmakan jika manusia tidak bersikap tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ikatan hubungan antara manusia tidak dapat diwujudkan tanpa ikatan akidah. Ikatan bangsa dan negara akan hancur kerana umur hayatnya tidak boleh kekal lama. Perpaduan yang sebenar hanya dapat dimeterikan apabila di kalangan anggotanya diikat dengan pertautan akidah yang mantap dan kukuh.
Begitu juga dalam aspek persamaan di kalangan manusia tidak wujud jika ada manusia yang berlagak menjadi tuan kepada manusia yang lain. Kerana pengisytiharan persamaan sesama manusia dapat dijadikan apabila semua manusia yang telah berakidah meletakkan Allah s.w.t. sebagai Uluhiyyah yang sebenarnya, maka di sana tidak ada lagi tuan di atas dunia ini.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“.................sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu ........................”
(Surah al-Hujurat :13)
Akidah yang sebenarnya berperanan membebaskan manusia dari kepercayaan khurafat yang menyesatkan. Ia dapat membebaskan jiwa manusia dari tunduk dan merendahkan diri kepada yang lain dari Allah s.w.t. Manusia yang berakidah akan menjadikan Allah sebagai tempat tumpuan pengabdian dan meminta pertolongan. Bagi mereka kuasa manusia cukup kecil, kerana mereka mempunyai pergantungan yang terus dengan Allah s.w.t. sedangkan kuasa batil terputus terus dari Allah s.w.t.
Serentak dengan ini, hanyalah Allah sahaja yang berhak dipuja dan dipuji pada setiap masa dan ketika. Hanya Allah jualah yang berhak disembah dan dipinta pertolongan serta dipohonkan doa. begitu juga Allah memiliki segala sifat kesempurnaan dan tiada cacat celanya yang mampu mendatangkan manfaat dan mudarat kepada sekalian makhlukNya.
Kemantapan akidah ummah menyebabkan seseorang itu akan dapat dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan, ianya tidak akan dikuasai oleh unsur-unsur luar. Akidah telah menutup pintu ketakutan yang selalu berada di kepala golongan jahiliyyah, seperti takut tentang rezeki, takut tentang ajal, takut pada diri, takut pada keluarga dan anak-anak, takut kepada pangkat, takut kepada mati dan pelbagai masalah lain yang menyelubungi ketakutan yang tidak berasas. Ketenangan jiwa akan menjelma jika akidahnya mantap dan berpaksi kepada Allah s.w.t. semata-mata. Dengan sebab itulah, ketika orang lain berada di dalam ketakutan, maka orang mukmin akan berada di dalam ketenangan. Inilah yang membezakan keadaan yang sebenarnya di antara Islam dengan jahiliyyah.
Melalui akidah yang mantap inilah akan melahirkan seorang yang berjiwa besar. Akidah itu dapat memberi kekuatan jiwa yang besar kepada seseorang. Bila jiwa mereka dipenuhi dengan sifat raja’ (mengharap) kepada Allah, meletakkan thiqah (kepercayaan), bertawakal kepadaNya, redha dengan qadarNya, sabar terhadap dugaan dan ujian dariNya, tidak meminta pertolongan kepada makhluk maka ia akan menjadi kuat dan kukuh, laksana gunung yang tidak dapat digoyang dan digoncang oleh bencana dan tragedi. Apabila ia ditimpa bencana, musibah dan sebagainya ia terus memohon pertolongan kepada Allah s.w.t.
Sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:
“Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah dan apabila engkau meminta pertolongan, maka pintalah pertolongan dengan Allah.”
Perbincangan:
1) Jelaskan peranan iman dalam kehidupan manusia.
2) Bincangkan amalan dan kesan halawatul iman dalam kehidupan seseorang muslim.