1267. Dari Ismail bin Abi Khalid, dia bertanya kepada 'Abdullah bin Abi Aufa, seorang sahabat Rasulullah saw., katanya, "Adakah Nabi saW., masuk ke Baitullah ketika 'umrah?" Jawab Abdullah, "Tidak!"
1268. Dari 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw., katanya Rasulullah saw. bersabda kepadanya: "Tahukah kamu bahwa ketika kaum Quraisy membangunan Ka'bah, mereka mengubahnya lebih kecil dari tapak yang dibuat Nabi Ibrahim a.s." Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Kenapa anda tidak mengubahnya kembali sesuai dengan tapak yang dibuat Nabi Ibrahim?" Jawab Rasulullah saw., "Kalau bukanlah kerana kaum mu baru saja meninggalkan kekafiran, tentu ku ubah kembali!"
1269. Dari 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Kalau
bukanlah kerana kaummu baru saja meninggalkan masa jahiliyah (atau kekafiran), akan kupakai dana Ka'bah untuk memperbaikinya; pintunya akan kubuat sampai ke tanah, dan hijir kumasukkan ke dalamnya."1270. Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ya, 'Aisyah! Kalau bukanlah kerana kaummu baru saja keluar dari syirik, akan kupugar Ka'bah kembali. Kubuat pintunya dua buah, satu menghadap ke Timur dan satu lagi ke Barat. Kemudian kutambah lebarnya enam hasta dari hijir. Sesungguhnya orang-orang Quraisy telah memperkecilnya ketika dahulu mereka memugarnya."
1271. Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Aku menanya kepada Rasulullah saw. perihal dinding (Ka'bah), apakah termasuk Bait atau tidak?" Beliau mengatakan, "Termasuk!" Kataku, "Kenapa tidak dimasukkan mereka?" Jawab beliau, "Kaummu kekurangan dana." Tanya ku, "Kenapa pintunya tinggi begitu?" Jawab beliau,
"Itu siasat bangsamu, supaya mereka dapat memasukkan orang yang disukainya dan melarang orang yang tidak disukainya. Kalau bukanlah kerana bangsamu baru saja meninggalkan masa jahiliyah, yang menyebabkan kekhuatiranku hati mereka akan berbalik menjadi ingkar, aku telah berfikir akan memasukkan dinding itu ke Bait dan membuat pintu sampai ke tanah."
1272. Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., katanya: "Fadhal bin 'Abbas pernah membonceng kenderaan di belakang Rasulullah saw., tiba-tiba datang seorang perempuan dari Khats'am minta fatwa kepada beliau. Fadhal menengok kepada perempuan itu dan perempuan itu menengok kepada Fadhal. Lalu Rasulullah saw. memalingkan muka Fadhal ke arah lain. Kata perempuan itu, "Ya, Rasulullah! Kewajipan untuk menunaikan haji terpikul kepada bapaku yang sudah tua. Beliau sudah tak sanggup lagi duduk di kenderaan lama-lama. Bolehkah aku menggantikan beliau?" Jawab Nabi saw., "Ya, boleh!" Tanya jawab itu terjadi ketika haji wada'.
1273. Dari Fadhal r.a., katanya: "Seorang perempuan dari Khats'am bertanya kepada Rasulullah saw., katanya: "Ya, Rasulullah! Bapaku sudah tua bangka; kepadanya terpikul kewajipan menunaikan ibadah haji; sedangkan dia sudah tak sanggup duduk di punggung untanya, bagaimana itu?" Jawab Rasulullah saw., "Hajikanlah dia olehmu!"
1274. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Nabi saw. bertemu dengan serombongan pengendara di Rauha', lalu
beliau bertanya: "Rombongan apakah anda semua?" Jawab mereka, "Kami rombongan kaum muslimin; dan anda siapa?" Jawab beliau, "Aku Rasulullah!" Tiba-tiba seorang perempuan datang ke hadapan beliau sambil mengangkat seorang anak kecil; lalu dia bertanya: "Sudah sahkah haji anak ini?" Jawab beliau, "Sah, dan engkau mendapat pahala pula."
1275. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah saw. bersabda kepada kami dalam suatu pengajian, sabdanya: "Hai manusia! Allah telah mewajibkan kepada mu ibadah haji; kerana itu hajilah kamu semua." Lalu bertanya seorang lelaki, "Apakah setiap tahun, ya Rasulullah?" Beliau diam beberapa ketika, sehingga orang itu bertanya sampai tiga kali. Kemudian beliau menjawab, "Seandainya kukatakan ya, tentulah wajib kamu tunaikan setiap tahun; nescaya kau tidak akan sanggup melaksanakannya. Kerana itu biarkanlah untuk sementara masalah yang belum kujelaskan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelum engkau mendapat celaka kerana mereka banyak tanya dan suka mendebat para Nabi mereka. Kerana itu bila kuperintahkan kamu mengerjakan sesuatu, laksanakanlah sebisa-bisanya, dan apabila kularang kamu mengerjakan sesuatu, hentikanlah segera."
1276. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang wanita tidak boleh melakukan perjalanan selama tiga hari, melainkan harus dengan muhrimnya."
1277. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Seorang wanita yang iman kepada Allah dan hari kiamat, tidak boleh melakukan perjalanan selama tiga malam, melainkan harus disertai muhrimnya."1278. Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a. katanya Nabi saw. bersabda : "Seorang wanita tidak boleh melakukan perjalanan lebih dari tiga malam, melainkan harus bersama muhrimnya."
1279. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang wanita yang iman kepada Allah dan hari kiamat tidak boleh melakukan perjalanan sehari semalam, melainkan harus bersama muhrim."
1280. Dari Abu Sa'id al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir tidak boleh melakukan perjalanan lebih dari tiga hari, melainkan harus disertai bapanya, atau anaknya, atau suaminya, atau saudara lelaki, atau salah seorang muhrimnya."
1281. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. berkhutbah, sabdanya: "Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai muhrim. Begitu pula seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama muhrim." Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: "Isteriku hendak menunaikan ibadah haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ; bagaimana itu ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah saw."Pergilah kamu haji bersama isterimu!"
1282. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. telah berada di atas kenderaan hendak melakukan suatu perjalanan, lebih dahulu beliau takbir tiga kali. Kemudian beliau membaca doa sebagai berikut. "Subhanal ladzi sakhkhara lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina, wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas-aluka fi safarina hadzal birra wat taqwa wa minal 'amali ma tardha. Allahumma hawwin 'alaina safarana hadza wathwi'anna bu'dahu. Allahumma antash shahibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allahumma inni a'udzubika min wa'tsa-is safari wa kaabatil manzhari wa su-il munqalabi fil mali wal ahli." Ketika pulang beliau baca pula doa itu semuanya, dengan tambahan: "Aayibuna, taaibuna, 'aabiduna, lirabbina hamidun."1283. Dari Abdullah bin Sarjis r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. melakukan suatu perjalanan, beliau berlindung kepada Allah dari kesulitan perjalanan, dari kesedihan bila kembali, dari kesempitan setelah berkecukupan, dari doa orang yang teraniaya, dan dari pandangan buruk terhadap keluarga dan harta."
1284. Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., katanya: "Apabila Rasulullah saw. kembali dari peperangan besar
ataupun kecil, atau kembali dari haji dan 'umrah, atau bila beliau berada di puncak sebuah bukit atau tempat yang tinggi, beliau takbir tiga kali, sesudah itu beliau baca: "Laa ilaaha illallahu wahdahu laa syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir, Aayibuuna, taaibuuna, 'aabiduuna, saajiduuna lirabbinaa, haamiduuna. Shadaqallaahu wa'dah, wa nashara 'abdah, wa hazamal ahzaaba wahdah."1285. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Abu Bakar Sidik menugaskan ku ikut dalam suatu rombongan pada musim haji, di mana dia diperintahkan Rasulullah saw. sebelum haji wada' untuk mengumumkan kepada orang ramai pada hari Nahar, bahwa: Orang musyrik tidak diperkenankan haji mulai tahun yang akan datang, dan tidak boleh thawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang."
1286. Dan 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak ada suatu hari di mana Allah Ta'ala paling banyak membebaskan hambaNya dari neraka selain hari 'Arafah."
1287. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Masa dari satu 'umrah ke 'umrah berikutnya adalah masa Penghapusan dosa. Dan ganjaran haji yang mabrur tiada lain hanya syurga."
1288. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang mendatangi rumah ini (menunaikan ibadah haji atau 'umrah) tanpa merosaknya dengan perbuatan dan perkataan kotor, serta tidak membuat maksiat, maka dia kembali pada keadaannya seperti baru lahir (bersih dari dosa)."
1289. Dari Al 'Ala bin Al Hadhrami r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Orang-orang Muhajirin boleh tinggal di Makkah setelah selesai mengerjakan ibadah haji tiga hari." 1290. Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada hari penaklukan Makkah, Rasulullah saw. bersabda: "Makkah telah ditaklukkan. Mulai sekarang tidak ada lagi hijrah. Yang ada hanyalah jihad dan niat menegakkan agama Allah. Bila kamu diperintahkan berangkat, maka berangkatlah! Makkah telah ditaklukkan. Sesungguhnya tanah ini diharamkan Allah sejak terciptanya langit dan bumi. Maka negeri ini negeri haram, kerana diharamkan Allah hingga hari kiamat. Siapa pun tidak boleh berperang di negeri ini, baik orang yang sebelumku maupun aku sendiri, kecuali hanya satu saat di siang hari bagi ku. Negeri ini negeri haram kerana diharamkan Allah sampai hari kiamat. Di negeri ini tidak boleh memotong pohon berduri, tidak boleh memburu binatang-binatangnya, tidak boleh memungut barang hilang kerana tercicir, kecuali untuk diumumkan, dan tidak boleh memotong rumputnya. Maka berkata 'Abbas, "Ya, Rasulullah! Selain izkhir, kerana izkhir diperlukan tukang besi dan pembangun rumah." Maka sabda Nabi saw., "Melainkan izkhir."
1291. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Setelah Allah Ta'ala memenangkan Rasulullah saw. atas penaklukan kota Makkah, beliau berpidato di hadapan orang ramai. Setelah memuji dan menyanjung Allah, beliau bersabda: "Sesungguhnya Alah telah melindungi kota Makkah dari serangan tentara gajah serta memberi kekuatan kepada RasulNya dan orang-orang yang beriman untuk mempertahankannya. Tidak seorang pun boleh berperang di negeri ini. Larangan itu telah ada sejak dahulu. Dan hanya dikecualikan kepada ku untuk sesaat di siang hari. Dan juga tidak dibolehkan bagi orang-orang yang sesudahku. Jangan dibunuh haiwan-haiwan buruannya, jangan dipotong pohon berdurinya, dan jangan dipungut barang-barang yang hilang tercicir kecuali untuk diumumkan. Siapa yang anggota keluarganya terbunuh, dia mempunyai dua pilihan yang baik, iaitu: menerima wang tebusan atau membunuh si pembunuh." Maka berujar Al 'Abbas, "Selain izkhir, ya Rasulullah. Kerana kami membutuhkannya untuk kuburan dan rumah-rumah kami." Maka bersabda Rasulullah saw., "Melainkan izkhir."
1292. Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Tidak halal bagi mu membawa-bawa senjata dalam kota Makkah."
1293. Dari Jabir Ibnu 'Abdullah Al Anshari r.a., katanya: "Bahwasanya Rasulullah saw. masuk kota Makkah Kata Qutaibah beliau masuk kota Makkah pada hari penaklukan, dengan memakai serban hitam tanpa (pakaian) ihram."
1294. Dari Abdullah bin Zaid Ibnu 'Ashim r.a., katanya Rasulullah saw bersabda: "Nabi Ibrahim a.s. membangun kota Makkah menjadi Tanah Haram dan mendoakan bagi kemakmuran penduduknya. Aku membangun kota Madinah menjadi Tanah Haram sebagaimana Nabi Ibrahim mengharamkan kota Makkah, dan mendoakan kemakmuran bagi penduduknya seperti Nabi Ibrahim mendoakan penduduk Makkah."
1295. Dari Jabir r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Bahwasanya Nabi Ibrahim a.s., menjadikan kota Makkah sebagai Tanah Haram, dan aku pun menjadikan kota Madinah sebagai Tanah Haram, iaitu antara kedua bukitnya yang berbatu-batu hitam itu. Kerana itu jangan dipotong pohon-pohonnya dan jangan dibunuh haiwan buruannya."1296. Dari 'Amir bin Sa'ad, dari bapanya, katanya Rasulullah saw. bersabda: "Madinah kujadikan tanah Haram antara kedua bukitnya yang berbatu-batu. Jangan dipotong pohonnya dan jangan dibunuh haiwan buruannya. Sesungguhnya kota Madinah lebih baik bagi mereka jika mereka mengerti. Orang yang meninggalkan kota itu kerana tidak senang kepadanya, maka Allah akan menggantinya dengan orang yang lebih baik daripadanya. Seorang yang betah tinggal di kota itu dalam kesusahan dan kesulitan hidup, maka aku akan memberi syafa'at atau menjadi saksi baginya di hari kiamat nanti."
1297. Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda kepada Abu Thalhah: "Hai, Abu Thalhah! Beri aku seorang pemuda di antara pemuda-pemudamu untuk melayani ku!" Akulah yang beruntung dibawanya kepada Rasulullah saw., dengan membonceng di belakang Abu Thalhah, untuk melayani beliau. Demikianlah setiap beliau turun dari kenderaannya aku segera datang melayani. Kemudian, tatkala kami sampai ke bukit Uhud beliau bersabda: "Bukit ini mencintai kita dan kita mencintainya." Tatkala sudah dekat akan sampai ke kota Madinah, beliau mendoa: "Wahai, Allah! Ku jadikan negeri ini, iaitu antara kedua bukitnya yang berbatu-batu hitam sebagai Tanah Haram, seperti Ibrahim menjadikan Makkah sebagai Tanah Haram. Wahai Allah! Berikanlah kemakmuran bagi penduduknya dalam soal pangan dan sandang mereka."
1298. Dari 'Ashim, katanya dia bertanya kepada Anas bin Malik r.a.: "Adakah Rasulullah saw. menjadikan Madinah Tanah Haram?" Jawab Anas, "Ya, ada! Iaitu dalam batas ini sampai ke sana. Siapa yang berbuat dosa di dalamnya - Anas berbicara dengan sungguh-sungguh maka dia mendapat kutuk Allah, kutuk malaikat, dan manusia seluruhnya. Allah tidak akan menerima pembayaran denda daripadanya sampai hari kiamat."
1299. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Madinah adalah Tanah Haram. Maka siapa yang mengada-ada di dalamnya, dia mendapat kutuk Allah, kutuk malaikat dan kutuk manusia seluruhnya, Tidak akan diterima pembayaran denda daripadanya di hari kiamat kelak."1300. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Adalah suatu kebiasaan orang ramai, apabila mereka menampak buah yang pertama-tama keluar, lalu mereka bawa kepada Nabi saw. Buah itu diterima oleh beliau, lalu beliau doakan: "Allaahumma barik lana fi tsamarina wa barik lana fi madinatina, wa barik lana fi shaa'ina, wa barik lana fi muddina. Allaahumma inna Ibrahima 'abduka wa khaliluka, wa nabiyyuka, wa inni 'abduka wa nabiyyuka, wa innahu da'aaka li Makkata, wa inni ad'uuka lil Madinati bi mit sli maa da'aaka li Makkata wa mitslihi ma'ahu." Kata Abu Hurairah, "Kemudian beliau panggil seorang bocah, lalu diberikannya buah itu kepadanya."
1301. Dari Sahal bin Hunaif r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah menunjuk dengan tangannya ke Madinah, sambil beliau bersabda: "Sesungguhnya Madinah itu sebuah Tanah Haram yang aman."
1302. Dari 'Aisyah r.a., katanya : "Ketika kami baru tiba di Madinah, ternyata kota itu sebuah kota banyak penyakit, sehingga Abu Bakar sakit dan Bilal pun sakit. Tatkala Rasulullah saw. melihat sahabat-sahabatnya banyak yang sakit, maka beliau mendoa: "Allaahumma habbib ilainal Madinata kama habbabta Makkata au asyadda, wa shahhihha, wa baarik lana shaa'iha wa muddiha, wa hawwil hummaaha ilal Juhfah."
1303. Dari Yuhannas, maula Zubair r.a., katanya dia pernah duduk dekat 'Abdullah bin 'Umar pada masa
kacau, lalu datang maulanya yang perempuan kepadanya. Setelah memberi salam, perempuan itu berkata: "Aku ingin pergi dari kota ini, hai Abu 'Abdurrahman, kerana keadaan terasa semakin sulit." Jawab 'Abdullah, "Bodoh kamu! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang sabar menahan kesusahan dan kesulitan yang dideritanya di kota ini, maka aku akan menjadi saksi atau pembelanya nanti di hari kiamat."1304. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Di jalan-jalan masuk ke kota Madinah ada malaikat pengawal, sehingga bahaya wabah dan bahaya Dajjal tidak dapat masuk ke kota itu."
1305. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Dajjal Al Masih datang dari arah Timur menuju ke Madinah dan berhenti di belakang bukit Uhud. Kemudian malaikat memalingkan mukanya ke arah Syam dan di sana dia binasa."1306. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Akan datang suatu masa, di mana seseorang memanggil anak pamannya atau kerabatnya, katanya: "Marilah ke sini - keluar dari Madinah - menuju kemakmuran. Marilah ke sini - keluar dari Madinah - menuju kemakmuran. Sedangkan kota Madinah sesungguhnya lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak tahu. Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, tidak seorang pun yang keluar dari Madinah itu kerana benci, melainkan Allah menukar mereka dengan orang-orang yang lebih baik daripadanya. Ketahuilah! Sesungguhnya Madinah itu bagaikan dapur tukang besi, iaitu tempat membuang kotoran-kotoran besi. Belum akan terjadi kiamat, sebelum Madinah mengeluarkan penjahat-penjahat yang ada di dalamnya, seperti dapur tukang besi membuang kotoran-kotoran besi."
1307. Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda : "Sesungguhnya Allah Ta'ala menamai kota Madinah dengan Thabah (baik)."
1308. Dari Sa'ad bin Abu Waqqash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa mempunyai rencana jahat terhadap penduduk Madinah, Allah akan menghancurkannya seperti garam dalam air."
1309. Dari Sufyan bin Abu Zuhair r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Ketika negeri Yaman ditaklukkan, berbondong-bondonglah penduduk Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka; sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula negeri Syam, maka berbondong-bondong pula orang Madinah datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal kota Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak tahu. Kemudian ditaklukkan pula Iraq, maka berbondong-bondong pulalah orang datang ke sana membawa keluarga dan anak buah mereka. Padahal Madinah lebih baik bagi mereka, sayang mereka tidak mengerti."
1310. Dari Abu Hurairah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Nanti mereka bakal
meninggalkan Madinah dalam keadaan baik sebagaimana adanya; kemudian kota itu akan penuh dengan binatang liar dan burung-burung pencari makanan (burung bangkai). Kemudian datang ke Madinah dua orang gembala dari Muzainah mencari kambingnya yang hilang. Didapatinya Madinah telah menjadi kota liar. Ketika kedua gembala itu sampai di Tsaniyatul Wada', keduanya jatuh tersungkur di atas muka mereka."
1311. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Tempat antara mimbarku dan rumahku adalah satu taman dari taman-taman syurga. Dan mimbarku berada di atas telagaku."
1312. Dari Abu Humaid r.a., katanya: "Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. dalam peperangan Tabuk. Ketika kami sampai di Wadil Qura. Rasulullah saw. bersabda: "Aku ingin cepat-cepat. Siapa yang ingin cepat ikutlah bersama ku,
dan siapa yang mahu lambat boleh tinggal. Lalu kami pergi lebih dahulu. Tatkala kami telah dekat akan sampai ke Madinah, beliau bersabda: "Itulah kota Thabah dan ini bukit Uhud. Iaitu sebuah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya."
1313. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Solat di masjidku ini, lebih baik daripada seribu solat di masjid lain, kecuali Masjidil Haram."
1314. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Jangan susah-susah melakukan perjalanan jauh melainkan untuk mengunjungi tiga masjid, iaitu: Masjidku ini (masjid Madinah), Masjidil Haram (di Makkah), dan Masjidil Aqsha (di Yerusalem -Palestina)."
1315. Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ziarah boleh dilakukan untuk mengunjungi tiga masjid, iaitu: pertama, Masjid Ka'bah, kedua, Masjidku (masjid Madinah); dan ketiga, masjid Iliya (Masjidil Aqaba di Yerusalem)."
1316. Dari Abu Salamah bin 'Abdurrahman r.a., katanya dia bertemu 'Abdurrahman bin Abu Sa'id Al Khudri r.a., lalu dia bertanya: "Apa yang kamu dengar dari bapamu tentang masjid yang dibangun atas dasar taqwa?" Jawab: "Bapa ku menceritakan bahwa dia pergi menemui Rasulullah saw. di rumah seorang isteri beliau, lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Masjid manakah di antara dua masjid (Makkah dan Madinah) yang dibangun atas dasar taqwa?" Beliau mengambil segenggam pasir lalu dibuangnya kembali ke tanah, dan kemudian beliau bersabda: "Masjid kamu ini (masjid Madinah)!"
1317. Dari Ibnu 'Umar r.a., katanya: "Rasulullah saw. sering mengunjungi masjid Quba dengan berkenderaan atau berjalan kaki. Sampai di situ beliau solat dua raka'at."
1318. Dari 'Abdullah bin Dinar r.a., katanya: "Bahwasanya Ibnu 'Umar r.a. sering mengunjungi masjid
Quba tiap-tiap hari Sabtu." Dia berujar, "Aku melihat Nabi saw. sering mengunjunginya tiap hari Sabtu."1319. Dari 'Abdullah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, para pemuda! Siapa-siapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggung jawab berumah tangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia puasa, kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu birahi."
1320. Dari Anas r.a., katanya: "Beberapa orang sahabat Nabi saw. bertanya kepada para isteri beliau tentang amal ibadah beliau ketika sedang bersunyi diri. Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata, "Aku tidak akan pernah kahwin!" Sebagian lagi berkata, "Aku tidak akan makan daging." Yang lain berkata pula, "Aku tidak akan tidur di atas kasur." Mendengar ucapan-ucapan para sahabat itu, Nabi saw. serta-merta memuji dan menyanjung Allah swt. lalu beliau bersabda: "Bagaimanalah cara berfikir mereka, sehingga mereka berujar begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka, dan bahkan aku menikah. Siapa yang benci kepada cara hidup (sunnah)ku maka dia tidak termasuk golonganku."1321. Dari Sa'ad bin Abi Waqash r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah melarang 'Usman bin Mazh'un untuk membujang selamanya, kerana semata-mata hendak melakukan ibadah kepada Allah. Andaikan Rasulullah saw, mengizinkannya, tentulah kami sudah mengebiri diri kami."
1322. Dari Jabir r.a., katanya: "Rasulullah saw. pernah terlihat kepada seorang wanita, lalu beliau segera mendatangi isteri beliau Zainab yang sedang menyamak kulit, guna melepaskan rasa rindunya. Sesudah itu beliau pergi menemui para sahabatnya, lalu beliau bersabda, "Sesungguhnya wanita itu datang dan pergi bagaikan syaitan. Maka bila kamu terlihat kepada wanita, datangilah isteri mu, kerana yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatimu."
1323. Dari Jabir r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita, maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat menenteramkan gejolak hatinya."
1324. Dari 'Abdullah r.a., katanya: "Kami pergi berperang bersama-sama dengan Rasulullah saw. tanpa wanita menyertai kami. Lalu kami bertanya kepada beliau, "Bolehkah kami melakukan pengebirian?" Beliau melarang kami melakukannya, tetapi membolehkan kami menikahi perempuan untuk masa tertentu dengan mahar sehelai baju. Kemudian 'Abdullah membaca ayat: "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan sesuatu yang baik yang telah dihalalkan Allah bagi mu, dan jangan pula kamu melampaui batas; sesungguhnya Allah tiada menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al Maidah: 87)
1325. Dari Jabir bin 'Abdullah dan Salamah bin Akwa' r.a., keduanya berkata: "Suruhan Rasulullah saw. datang kepada kami, lalu dia berkata: "Rasulullah saw. telah membolehkan kamu nikah mut'ah."
1326. Dari Abu Salamah r.a., katanya: "Rasulullah saw. membolehkan nikah mut'ah pada tahun Authas (tahun penaklukan Makkah) selama tiga hari. Kemudian beliau melarangnya."
1327. Dari Rabi' bin Sabrah r.a., katanya bapanya pergi berperang bersama Rasulullah saw., menaklukkan Makkah. Katanya: "Kami tinggal di sana selama lima belas hari. Rasulullah saw. memberi izin kepada kami melakukan nikah mut'ah. Lalu aku dan seorang sepupuku pergi mencari wanita untuk kami nikahi secara mut'ah. Aku lebih tampan dari sepupuku yang memang agak lebih jelek daripada ku. Masing-masing kami membawa sehelai baju untuk mas kawin; tetapi bajuku telah usang, sedangkan baju sepupuku masih baru dan halus. Setelah kami sampai di bawah atau di atas kota Makkah, kami bertemu dengan seorang wanita muda, cantik dan berleher jenjang. Lalu kami bertanya kepadanya, "Sudikah anda menerima salah seorang dari kami berdua kahwin mut'ah denganmu?" Jawab wanita itu, "Apa mas kawin yang bakal anda berikan?" Lalu masing-masing kami memperlihatkan baju yang telah kami sediakan untuk itu. Sementara wanita itu sedang memperhatikan kami, sepupuku melihat kepadanya sambil berkata, "Baju ini sudah usang, sedangkan bajuku masih baru dan halus." Jawab wanita itu, "Baju usang ini juga tak apa-apa." Dia mengatakannya sampai tiga atau dua kali. Kemudian aku nikah mut'ah dengannya, dan hampir saja aku tidak pulang, seandainya setelah berlangsung tiga hari, Rasulullah saw. tidak mengharamkannya."
Dostları ilə paylaş: |